Kerajaan Perlu Segera Selesaikan Masalah Ijazah Sarjana Muda Perguruan (ISMP) Terutama Di Universiti Swasta Milik UMNO

Masalah pengangguran di kalangan graduan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (ISMP) belum diselesaikan walaupun berkali-kali kerajaan Barisan Nasional berjanji untuk memberi penempatan kepada graduan-graduan ini.

Dalam bulan Mac 2012, Timbalan Menteri Pendidikan Dato’ Puad Zakarshi mengesahkan bahawa graduan ISMP seramai 7,000 orang yang belum mendapat pekerjaan akan ditempatkan dan prosesnya sedang berjalan ketika itu.

Pada masa yang sama juga, Kementerian Pendidikan menetapkan bahawa hanya graduan ISMP lulusan IPTA sahaja yang akan dipanggil temuduga, sedangkan masih ramai graduan SMP lulusan IPTS yang turut terbelenggu dengan masalah pengangguran.
Kenyataan Dato’ Puad Zakarshi dan tindakan Kementerian Pendidikan tidak ubah seperti cakap tidak serupa bikin, janji tidak ditepati.

Umno perlu mengambil tanggungjawab terhadap nasib graduan-graduan ini kerana institusi swasta yang paling rancak menawarkan ISMP adalah institusi yang rapat dengan pimpinan Umno seperti Universiti Tun Abdul Razak, atau UniRazak. Pada masa yang sama, Kemnterian Pendidikan Tinggi meluluskan kuota pengambilan yang memberi lesen kepada UniRazak menawarkan ISMP dengan memberi gambaran graduan-graduan ini akan mendapat pekerjaan di dalam perkhidmatan perguruan negara.

UniRazak dimiliki oleh Yayasan Pintar, yang mana Lembaga Pengarahnya turut dianggotai oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak, Dato’ Hishamuddin Hussin, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Mustapha Mohamad dan Dato’ Seri Ali Rustam.

Di manakah moral pimpinan-pimpinan ini yang boleh mencuci tangan apabila graduan-graduan UniRazak lulusan ISMP tersadai tanpa peluang pekerjaan, sedangkan universiti yang dikendalikan mereka bersekongkol dengan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menawarkan kursus perguruan sedangkan mereka tahu bahawa kekosongan jawatan tidak mengizinkan pengambilan sedemikian rupa.

Saya yang selalu didatangi oleh graduan-graduan ini telah memberi persetujuan untuk membawa isu ini bersama-sama dengan pimpinan muda KEADILAN yang lain.

Mahasiswa KEADILAN Malaysia (MKM) pula akan terus mengumpulkan graduan-graduan ini agar nasib mereka dapat diperjuangkan.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI
20 DISEMBER 2012

One thought on “Kerajaan Perlu Segera Selesaikan Masalah Ijazah Sarjana Muda Perguruan (ISMP) Terutama Di Universiti Swasta Milik UMNO”

  1. Beberapa perkara yang mengherankan saya berlaku dinegara ini 1. pembukaan saham baru (IPO) yg terang-terang tiada potensi masa depan 2. kemasukan “pelajar” luar negara yg begitu ramai yg terang-terang bukan belajar tetapi menggunakan “loophole” KPI kerajaan untuk tinggal dinegara ini tanpa gangguan. Yg pasti mereka ini bukan membawa aliran masuk tukaran wang malah sebaliknya. 3. pembukaan IPTS bagaikan cendawan selepas hujan terutama medical.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.