Belanjawan 2013: Jawapan Pakatan Rakyat Kepada Chua Tee Yong

Kami merujuk kepada kenyataan akhbar yang dibuat oleh Dato’ Chua Tee Yong yang menuduh angka-angka di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 adalah tidak tepat berdasarkan perkiraan ringkas beliau seperti berikut:

  1. Bentuk kenaikan gaji hasil dari dasar-dasar Pakatan Rakyat adalah kenaikan gaji guru sebanyak RM2.4 bilion (hasil dari pelaksanaan Elaun Khas Perguruan sebanyak RM500 setiap bulan bagi setiap orang guru), kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak RM2 bilion (hasil dari pelaksanaan gaji minima RM1,100 di sektor awam dan pelarasan gaji kepada semua kakitangan) dan kenaikan gaji anggota polis sebanyak RM754 juta (hasil dari cadangan untuk membekukan pengambilan baru anggota polis sehingga tahun 2015).
  2. Mengikut perkiraan beliau, jumlah kesemua kenaikan gaji ini sebanyak RM5.1 bilion tidak selari dengan angka di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menunjukkan pertambahan gaji sebanyak hanya sebanyak RM4 bilion.

Berdasarkan perkiraan mudah itu, beliau menuduh Belanjawan Pakatan Rakyat mengandungi angka-angka yang menipu dan hasil dari penyelidikan yang kucar-kacir.

Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan dokumen-dokumen rasmi termasuklah Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 ada mengambil kira semua perkara ini dalam menentukan angka-angka yang digunapakai.

Seharusnya Dato’ Chua Tee Yong membaca sepenuhnya keseluruhan dokumen Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menerangkan pendekatan Pakatan Rakyat untuk menggunakan jumlah anggota polis sedia ada bagi memenuhi tuntutan melindungi keselamatan awam tanpa perlu menambah tenaga kerja melalui pengambilan baru. Ini berbeza dengan pendekatan Barisan Nasional yang ingin meningkatkan pengambilan baru sehingga mencecah 30% menjelang 2015, yang sudah tentu akan meningkatkan tanggungan gaji.

Cadangan Pakatan Rakyat adalah dengan memfokuskan anggota polis sedia ada kepada kerja-kerja membanteras jenayah dengan menukar anggota Cawangan Khas ke Jabatan Siasatan Jenayah. Penjimatan dari langkah ini (kerana tiada pengambilan baru menjelang 2015) bolehlah digunakan untuk menaikkan gaji anggota polis.

Maka, ia satu proses yang akan berjalan dalam satu tempoh, bukannya kenaikan gaji serentak kerana proses penukaran anggota Cawangan Khas melibatkan latihan dan lain-lain. Sebab itu di mukasurat 8 Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 ada menyebut bahawa Pakatan Rakyat mengunjurkan kenaikan gaji 15% sekiranya proses ini berjalan.

Oleh kerana ia melibatkan satu proses, maka ia juga melibatkan kenaikan berperingkat dalam satu tempoh masa kerana kenaikan gaji itu perlu dibiayai dari penjimatan kerana tiada pengambilan baru dalam tempoh 3 tahun.

Kesan kewangan bagi tahun 2013 dianggarkan satu pertiga dari jumlah kenaikan gaji RM754 juta bagi kesemua kakitangan, iaitu sekitar RM250 juta.

Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat memutuskan bahawa kenaikan ini boleh dibiayai dengan menyemak semula perbelanjaan untuk “Faedah-faedah Kewangan Yang Lain” (Kod Akaun: 15000) yang telah mencecah RM1.04 bilion dalam tahun 2013. Kerajaan Pakatan Rakyat akan meneliti bentuk-bentuk faedah bukan gaji untuk mengelakkan pembaziran, dengan memastikan hanya faedah bukan gaji kepada kakitangan awam disediakan pada kos yang berpatutan. Ini penting bagi memastikan Kod Akaun 15000 (“Faedah-faedah Kewangan Yang Lain”) tidak melibatkan peruntukan bagi perbelanjaan yang boros. Kami yakin penjimatan dari semakan terhadap perbelanjaan faedah bukan gaji boleh menampung kesan kewangan bagi tahun 2013 yang dianggarkan RM250 juta itu.

Mengambil kira pertimbangan ini, kenaikan peruntukan gaji kakitangan kerajaan hanyalah RM4 bilion seperti yang terkandung di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.

Kami mengucapkan tahniah kepada Dato’ Chua Tee Yong kerana mengambil sedikit masa untuk meneliti angka-angka yang dibentangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.

Namun, beliau lebih berhati-hati apabila ingin berhujah menggunakan angka kerana reputasi beliau sebelum ini pun terjejas teruk apabila angka-angka yang digunakan sering bertukar-tukar.

 

Bagi pihak

Jawatankuasa Dasar & Manifesto Pakatan Rakyat

YB DR DZULKIFLY AHMAD
AHLI PARLIMEN KUALA SELANGOR/AJK PAS PUSAT

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

DR ONG KIAN MING
STRATEGIS PILIHANRAYA DAP

 

3 OKTOBER 2012 

One thought on “Belanjawan 2013: Jawapan Pakatan Rakyat Kepada Chua Tee Yong”

  1. As salam, the calculations by Datuk Chua were always incorrect as he had tried in vain, to humiliate the PR Financial Report. We believe he was just a small-scale politician-cum-businessman to like to tarnish other politician’s reputation. As in politic, commonly in international politic, tarnishing others is part and parcel of the unIslamic practise done worldwide. As usual, the AlMighty Allah is with the believers and keep on soldiering forward.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.