Skandal NFC: KEADILAN Desak SPRM Dakwa Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail, Pengerusi Eksekutif NFC Kerana Cubaan Merasuah

Saya merujuk kepada tindakan pihak berkuasa mendakwa Datuk Shamsubahrin Ismail pada 30 Disember lalu atas tuduhan menipu Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail sejumlah RM1.755 juta.

Pihak KEADILAN boleh mengesahkan melalui maklumat yang diperolehi setakat ini bahawa wang RM1.755 juta itu dibayar oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail bagi tujuan merasuah pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM untuk mempengaruhi siasatan ke atas NFC. Wang tersebut dibayar melalui cek oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail.

Tugasan Datuk Shamsubahrin Ismail adalah menjadi orang tengah yang menyampaikan wang tersebut kepada pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM.

Merujuk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 Bahagian IV Perkara 16 dan 17, kesalahan rasuah berlaku apabila:

“Mana-mana orang yang sendiri atau melalui atau bersama dengan mana-mana orang lain:

 (a)   Secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju untuk menerima bagi dirinya atau bagi mana-mana orang lain; atau

(b)   Secara rasuah memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada mana-mana orang sama ada bagi faedah orang itu atau bagi faedah orang lain;

 apa-apa suapan sebagai dorongan untuk atau upah bagi; atau selainnya oleh sebab:

 (A)  Mana-mana orang melakukan atau tidak melakukan apa jua berkenaan dengan apa-apa perkara atau transaksi; sama ada yang sebenar atau yang dicadangkan atau yang mungkin berlaku; atau

(B)   Mana-mana pegawai sesuatu badan awam melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan dengan apa-apa perkara atau transaksi; sama ada yang sebenar atau yang dicadangkan atau yang mungkin berlaku, yang dengannya badan awam itu terlibat”

 

Undang-undang SPRM secara jelas menunjukkan dalam kes ini, Dato’ Seri Salleh Ismail MELALUI Datuk Shamsubahrin Ismail telah cuba merasuah pegawai penyiasat SPRM dan PDRM di dalam kes NFC berdasarkan perkara-perkara berikut:

1)      Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail yang membekalkan wang suapan malah menandatangani cek berjumlah RM1.755 juta

2)      Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail bersetuju dengan cadangan Datuk Shamsubahrin Ismail untuk memujuk pegawai-pegawai SPRM dan PDRM dengan cara menyediakan wang suapan

 

Saya merasa kesal kerana pihak berkuasa masih terus mahu melindungi Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan keluarga menteri kanan walaupun secara jelas beliau terbabit dalam cubaan rasuah untuk menutup penyelewengan yang lebih besar di dalam NFC. Sebaliknya, pihak berkuasa membuat keputusan untuk mendakwa Datuk Shamsubahrin Ismail atas tuduhan cuba menipu NFC sedangkan wang yang terlibat adalah dengan tujuan merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM.

Tindakan Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail mengambil jalan cuba merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM juga menggambarkan bahawa prinsip tatakelola dan urustadbir yang diamalkan di NFC adalah lemah dan longgar. Ia menggambarkan seolah-olah kelakuan rasuah dan cuba membeli pegawai-pegawai kerajaan adalah amalan yang ringan dan boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Oleh yang demikian, KEADILAN mendesak SPRM supaya dengan segera memulakan siasatan ke atas Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan pengurusan NFC atas cubaan merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM bagi tujuan mempengaruhi siasatan ke atas skandal NFC.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

4 JANUARI 2012 

8 thoughts on “Skandal NFC: KEADILAN Desak SPRM Dakwa Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail, Pengerusi Eksekutif NFC Kerana Cubaan Merasuah”

  1. Apabila perkara sudah JELAS, TERANG-TERANG sudah terbukti, masih tidak ada tindakan yang sewajarnya di ambil oleh kerajaan. Sangat kesal dengan pihak berkuasa. Kebenaran tidak dapat ditegakkan. Apa gunanya?
    Saya juga kesal dengan komen2 dikemukakan oleh rakan2 diatas. Apabila perkara sudah jelas diutarakan, bukti dan hitam putih sudah dinyatakan, masih mahu menyokong yang salah. Jika benar saudara Rafizi salah, sila jelaskan kembali dengan BUKTI YANG KUKUH, dan kajian yang menyeluruh, seperti yang dilakukan oleh saudara Rafizi sendiri. Malah, mereka memburukkan lagi pihak yang berjaya mendedahkan kebenaran dengan cacian dan maki hamun.
    Mereka tidak sedar bahawa perbuatan mereka ini sebenarnya memalukan pihak mereka sendiri. Saya kecewa. Saya sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan sekarang.

  2. Oit2..pengkomen di atas macam mengalakan kroni umno makan duit
    rakyat je.penah makan lembu sharizat?
    Patut la mulut pun macam lembu.

Leave a Reply to roslan Cancel reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.