Pinjaman Bank Dunia Yang Dinafikan Tun Mahathir Sah Diterima Kerajaan Malaysia, Tersenarai Dalam Penyata Akaun Negara

Saya merujuk kepada penafian Tun Mahathir Mohamad bahawa pentadbiran beliau mengambil bantuan kewangan dari Bank Dunia dalam tahun 1999, seperti yang dilaporkan BERNAMA pada 19 Disember 2011. Beliau juga mempersoalkan kesahihan dokumen-dokumen perjanjian pinjaman di antara Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia yang dikemukakan KEADILAN.

Saya telah menulis secara rasmi kepada Bank Dunia untuk mendapatkan pengesahan mereka bahawa semua dokumen yang dipaparkan di laman web mereka adalah sahih. Saya yakin bahawa kesemua itu adalah dokumen sah.

Kalau pun Tun Mahathir meragui dokumen-dokumen rasmi dari Bank Dunia, beliau tidak boleh menafikan dokumen rasmi kewangan negara yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan di Parlimen. Saya lampirkan Penyata Akaun Memorandum Hutang Awam Luar Negeri Kerajaan Malaysia seperti pada 31 Disember 2008 yang terkandung di dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2010. Dokumen ini dibentangkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober 2009.

Penyata tersebut mengesahkan bahawa Kerajaan Malaysia telah mengambil pinjaman dari Bank Dunia dalam tahun 1999 dengan rujukan “4452 MA Projek Sokongan Sektor Sosial” dari Bank Dunia (dikenali sebagai Bank Antarabangsa bagi Pemulihan dan Pembangunan). Kadar faedahnya adalah 7.47% bagi tahun 2008 dan sehingga 31 Disember 2008, Kerajaan Malaysia masih berhutang sebanyak RM701,040.14 daripada keseluruhan pinjaman berjumlah USD60 juta yang diambil dalam tahun 1999.

KEADILAN tidak mahu memanjangkan isu ini. Kami hanya mengemukakan fakta untuk membetulkan kenyataan Tun Mahathir Mohamad sebelum itu yang jelas satu pembohongan.

Penggunaan teknologi maklumat yang semakin meluas sekarang berbanding sedekad lalu memungkinkan pelbagai dokumen rasmi Bank Dunia dipamerkan kepada umum kerana mereka mengamalkan dasar terbuka, bukannya seperti pentadbiran Barisan Nasional yang menggunakan Akta Rahsia Rasmi untuk menyekat pelbagai dokumen daripada diteliti rakyat.

Sewajarnya Tun Mahathir Mohamad perlu menerima hakikat bahawa beliau telah tersilap dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana berbohong mengenai bantuan Bank Dunia kepada Malaysia dalam tahun 1999.

 

MOHD RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI KEADILAN

20 DISEMBER 2011

 

5 thoughts on “Pinjaman Bank Dunia Yang Dinafikan Tun Mahathir Sah Diterima Kerajaan Malaysia, Tersenarai Dalam Penyata Akaun Negara”

    1. There is nohting great to brag about this “ex-PM”. Malaysia could have preformed better than Singapore with all the natural resources. It did not beacuse we had this “great leader” as his PM. We Non-malays would just like to erase him off our mind for all his good deeds.

Leave a Reply to amir Cancel reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.