Belanjawan 2012 Sahkan GST Akan Dilaksanakan Jika BN Menang PRU13

Angka-angka unjuran ekonomi yang terkini semakin menunjukkan bahawa ramalan pertumbuhan ekonomi yang digunakan Perdana Menteri di dalam Belanjawan 2012 adalah tidak realistik. Terbaru adalah unjuran yang dibuat Malaysian Institute of Economics Research (MIER) yang menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 kepada 4.6%.

Berdasarkan realiti ekonomi global, sasaran pertumbuhan 5% – 6% yang digunapakai adalah sukar untuk dicapai. Ini akan memberi kesan kepada jumlah pendapatan negara bagi tahun 2012 akibat kutipan cukai dan hasil lain yang berkurangan berikutan pertumbuhan ekonomi 2012 yang lebih perlahan.

Barisan Nasional perlu meminjam sekurang-kurangnya RM46 bilion untuk membiayai defisit Belanjawan 2012; itu pun jika ekonomi tumbuh pada kadar 5% – 6% bagi tahun 2012. Pada masa yang sama, keupayaan kerajaan mengeluarkan terbitan bon dan instrumen hutang baru dalam tahun 2012 adalah terbatas akibat had keberhutangan negara (debt ceiling) yang dihadkan kepada 55% daripada KDNK di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983. Hutang negara sudah pun mencecah 53% dari KDNK berdasarkan angka rasmi Bank Negara Malaysia setakat Jun 2011, maka sebarang hutang baru sudah tentu bertentangan dengan undang-undang negara.

Saya berpendapat Perdana Menteri dan pentadbiran Barisan Nasional cukup arif dengan segala angka ekonomi dan had keberhutangan kerajaan di bawah kedua-dua akta tersebut. Saya juga yakin Perdana Menteri telah dinasihatkan bahawa ramalan pertumbuhan 5% – 6% yang digunapakai di dalam Belanjawan 2012 adalah tidak realistik.

Ini membawa kepada satu rumusan semata-mata.

Belanjawan 2012 yang berjumlah RM232 bilion pada ketika pendapatan negara tidak mampu menampungnya dan keupayaan berhutang kerajaan dihadkan mengesahkan niat Perdana Menteri untuk serta-merta melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya Barisan Nasional kekal berkuasa selepas PRU13.

Ini adalah satu pertaruhan yang diambil oleh Perdana Menteri, dengan niat mengabui mata rakyat dan menawarkan gula-gula bermula dengan bayaran dalam Januari 2012 kelak tetapi akan dicukai kembali melalui GST selepas PRU13 kelak.

Oleh yang demikian, Biro Politik KEADILAN telah memutuskan semalam untuk bersama-sama dengan Pakatan Rakyat membawa isu GST kepada rakyat sebagai isu utama PRU13 bertujuan memastikan rakyat memahami bahawa “undi kepada BN bermakna undi melaksanakan GST”.

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI

13 OKTOBER 2011

One thought on “Belanjawan 2012 Sahkan GST Akan Dilaksanakan Jika BN Menang PRU13”

  1. saya juga yakin jika pembangkang menang dalam PRU13, pembangkang akan laksanakan GST ikut negara-negara maju yang lain. Ini kerana relitinya negara tidak boleh bergantung selama-lamanya dengan hasil petrolium yg menyumbang hampir 40 % hasil negara. Di dunia hanya 3 negara sahaja yg tak laksana GST termasuk malaysia dan Berunai. Berunaipun kini dah mula nak kenakan cukai kepada rakyatnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.