Cukai Perkhidmatan 6%: Perdana Menteri Perlu Bertanggungjawab

Kenyataan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menyalahkan syarikat telekomunikasi atas kenaikan harga akibat cukai perkhidmatan 6% tidaklah mengejutkan. Kebelakangan ini, tindakan beliau yang suka menuding jari kepada orang lain apabila keputusannya sendiri tidak disukai rakyat sudah menjadi tabiat.

Adalah tidak patut dan memalukan apabila seorang Perdana Menteri menyatakan beliau tidak tahu menahu mengenai kenaikan kos prabayar yang ditanggung rakyat, sedangkan beliau sendiri dengan gahnya mengumumkan kenaikan cukai perkhidmatan dalam pembentangan belanjawan 2011 di Dewan Rakyat tahun lepas.

Rakyat harus sedar bahawa cukai perkhidmatan 6% ke atas perkhidmatan telekomunikasi termasuk kad prabayar adalah cukai kerajaan. Cukai ini adalah milik kerajaan sepenuhnya dan tidak ada satu sen pun yang masuk poket mana-mana pihak lain, yang hanya bertanggungjawab mengutip cukai ini bagi pihak kerajaan. Setiap tahun, dianggarkan kerajaan mengutip sehingga RM750 juta daripada pembelian kad prabayar oleh rakyat Malaysia.

Walaupun saya berpendapat keputusan syarikat telekomunikasi untuk menaikkan kos kad prabayar untuk menampung kenaikan cukai perkhidmatan adalah tidak berpatutan kerana keuntungan mereka yang begitu tinggi, kita juga perlu adil dengan memahami bagaimana kos bagi segmen prabayar meningkat apabila cukai perkhidmatan dinaikkan.

Namun, tabiat Perdana Menteri yang suka menuding jari dan tidak mahu mengambil tanggungjawab perlu ditegur dengan keras oleh ahli-ahli politik dan pimpinan golongan niagawan. Kerajaan tidak boleh berdolak dalih dalam melaksanakan dasar percukaiannya. Jika ia telah meluluskan undang-undang yang menetapkan semua perkhidmatan dikenakan cukai 6% sebagai satu bentuk cukai penggunaan, ia tidak boleh secara diam-diam berharap cukai itu ditanggung oleh syarikat, kerana cukai perkhidmatan adalah satu bentuk cukai yang ditanggung oleh rakyat bagi tujuan mengawal penggunaan.

Tabiat sebegini akan menghuru-harakan keadaan. Ia akan menyebabkan pentadbiran percukaian dan ekonomi negara kucar-kacir kerana kaedah percukaian yang berbeza sudah hilang maknanya; apabila Perdana sendiri yang keliru di antara tujuan dan fungsi di antara cukai langsung (ke atas keuntungan dan pendapatan) berbanding cukai tidak langsung (ke atas penggunaan melalui cukai perkhidmatan dan barangan). Maka tidak hairanlah Perdana Menteri sehingga sekarang tidak berjaya mengembalikan keyakinan pasaran kepada dasar dan kepimpinannya.

Tabiat Dato’ Seri Najib Tun Razak juga berbahaya kerana ia memberi gambaran syarikat berlainan akan mendapat layanan berbeza walaupun undang-undangnya sama. Jika beliau mahu syarikat telekomunikasi menanggung cukai perkhidmatan 6%, beliau juga perlu berlaku adil kepada semua. Makanya, beliau wajar memberi arahan agar semua syarikat lain dari pelbagai industri, termasuklah industri penyiaran (Astro) hinggalah kepada industri makanan (KFC dan restoran mamak) juga perlu menanggung cukai perkhidmatan itu.

Alang-alang beliau mahu menjadi jaguh rakyat, lebih baik beliau menghapuskan saja cukai perkhidmatan kerana beliau tidak ada hak untuk memberi arahan syarikat mana perlu menanggung cukai perkhidmatan. Tindakan itu akan menyebabkan sudah tidak ada beza di antara cukai perkhidmatan dan cukai pendapatan.

Hakikatnya, rakyat harus sedar bahawa tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak menaikkan cukai perkhidmatan kepada 6% berkuatkuasa 1 Januari 2011 memainkan peranan dalam kenaikan kos; termasuk kos prabayar.

Jika beliau mahu menjadi seorang Perdana Menteri yang bertanggungjawab, beliau sepatutnya mengumumkan pengecualian daripada cukai perkhidmatan semua perkhidmatan harian yang ditanggung sebahagian besar rakyat; termasuklah perkhidmatan siaran TV berbayar (Astro), telekomunikasi dan restoran.

Itu lebih bertanggungjawab daripada terus menuding jari kepada orang lain apabila keputusannya dibangkang rakyat.

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI

10 SEPTEMBER 2011

One thought on “Cukai Perkhidmatan 6%: Perdana Menteri Perlu Bertanggungjawab”

  1. “Jika beliau mahu menjadi seorang Perdana Menteri yang bertanggungjawab, beliau sepatutnya mengumumkan pengecualian daripada cukai perkhidmatan semua perkhidmatan harian yang ditanggung sebahagian besar rakyat; termasuklah perkhidmatan siaran TV berbayar (Astro), telekomunikasi dan restoran.”

    Yang ni saya setuju sangat… tapi yang peliknya dalam bajet 2011, PM lebih berminat utk memberi pengecualian cukai bagi 300 barangan yang disukai oleh isterinya… ye lah kan… hanya orang yang kerap melancong (guna duit rakyat) akan memahami keperluan pelancong-pelancong yang lain. Hmm…

    Sisipan bajet 2011:

    “duti import 5 % hingga 30% ke atas kira-kira 300 barangan lebih disukai oleh pelancong luar dan tempatan yang kerap dibeli dimansuhkan. Barangan ini merangkumi kegunaan harian seperti beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut, bola golf, barang kemas tiruan, bedak talkum, syampu, langsir, alas meja, selimut, cadar, kemeja, baju tidur, pakaian dan pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuklah kelambu.”

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.