Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua

Konvensyen Pakatan Rakyat berjalan dengan baik dan berakhir dengan sempurna.

Apa yang paling menarik mengenai konvensyen kali ini ialah tumpuan kepada menterjemahkan Dasar Bersama kepada beberapa langkah khusus yang menggambarkan kerajaan persekutuan di bawah Pakatan Rakyat. Selama ini, Pakatan Rakyat dituduh (selalunya oleh media perdana dan pencacai mereka) kononnya tidak mempunyai kerangka cadangan dasar dan program yang jelas untuk rakyat.

Saya sebenarnya kurang bersetuju dengan pandangan itu kerana ia tidak adil kepada Pakatan Rakyat.

Sekiranya kita meneliti Dasar Bersama yang mengikat parti-parti Pakatan Rakyat, pendirian, pendekatan dan program yang dicadangkan dan dimeterai bersama adalah cukup komprehensif. Sesiapa yang menghadam dokumen itu akan benar-benar faham arah tujuan negara Malaysia di bawah Pakatan Rakyat.

Kelemahan di peringkat Pakatan Rakyat adalah masalah mesej yang tidak sampai kepada rakyat – sama ada kerana tidak cukup “follow through” atau kekangan kewangan apabila dokumen itu tidak dicetak besar-besaran untuk difahami rakyat.

Sebab itu, kesilapan yang sama tidak boleh diulangi kali ini.

Buku Jingga iaitu buku poket yang mengandungi rancangan-rancangan konkrit Pakatan Rakyat sebagai kerajaan perlu dicetak secara besar-besaran dan diedarkan ke seluruh negara.

Hujah yang dihurai di dalam Buku Jingga yang menjelaskan fakta-fakta kenapa Malaysia sedang dilanda krisis dan perlu diubah sekarang, perlu juga dijelaskan di dalam ceramah secara bersepadu di seluruh Malaysia.

Memang tugasnya besar, belanjanya besar.

Tetapi jika program-program kita sampai ke pengetahuan rakyat, mudah untuk kita meyakinkan mereka. Tema Buku Jingga yang menumpukan kepada bebanan kehidupan rakyat dan jalan penyelesaian yang kita tawarkan, sukar untuk dijawab oleh lawan.

Majoriti rakyat akan mengundi kepada perkara-perkara berikut:

1) Penghapusan tol

2) Kenaikan gaji RM500 kepada guru-guru

3) Ambil alih semula perkhidmatan air yang diswastakan agar tarif air rendah dan program air percuma seperti yang dilaksanakan di Selangor diluaskan ke seluruh Malaysia

4) Hentikan subsidi korporat terutama jumlah RM19 bilion yang diberi kepada biawak hidup ekonomi Malaysia (iaitu syarikat-syarikat IPP seperti YTL, Genting, Malakoff) dan mengalihkannya kepada subsidi rakyat

5) Internet wi fi percuma kepada semua rakyat di semua kawasan bandar dan separa bandar

6) Mengembalikan peranan Felda sebagai pembuka tanah rancangan untuk rakyat, dengan mengubah fungsi Felda Plantations dari syarikat ladang ala swasta dan mengembalikan ladang-ladangnya kepada generasi kedua dan ketiga Felda

Tawaran-tawaran ini sukar dicabar oleh lawan.

Cabaran kita sekarang adalah memastikan mesej ini sampai secara konsisten kepada rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.