Sebahagian Draf Ucapan Perbahasan Belanjawan 2011

Ucapan sebenar adalah berbeza dan perlu dirujuk kepada hansard, kerana YB Ketua Pembangkang merujuk kepada beberapa draf dan persediaan tambahan mengikut kesesuaian isu yang sedang beliau bahaskan.

Download teks

PENDAHULUAN

Belanjawan 2011 yang dibentangkan Jumaat lalu ditunggu-tunggu oleh rakyat dan negara kerana ia diwar-warkan sebagai penterjemahan kepada semua rancangan besar ekonomi yang kerap diumumkan kebelakangan ini oleh YAB Perdana Menteri.

Mula-mula rakyat dimaklumkan ketibaan Model Ekonomi Baru yang akan menyelamatkan Malaysia dan membawa negara ke era berpendapatan tinggi. Ketika diumumkan, khabarnya perincian-perincian akan diberikan di dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Rakyat menanti pengumuman Rancangan Malaysia Ke-10. Dalam pada itu, kerajaan Barisan Nasional mula acuh tidak acuh dengan idea-idea yang dikemukakan melalui Model Ekonomi Baru. YB Tasek Gelugor berucap di dewan ini bahawa Model Ekonomi Baru bukanlah dokumen kerajaan dan hanyalah cadangan-cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan.

Walaupun terkeliru, rakyat terus menunggu reformasi besar dalam ekonomi negara seperti yang dijanjikan melalui Rancangan Malaysia Ke-10.

Pada sidang yang lalu, YAB Perdana Menteri membentangkan pula Rancangan Malaysia Ke-10, namun ia penuh dengan retorik dan konsep besar yang telah pun dibawa di dalam Rancangan Malaysia Ke-8 dan Ke-9 tetapi gagal dicapai. Rakyat kecewa, tetapi YAB Perdana Menteri minta rakyat bersabar kerana perinciannya akan diumumkan pula di dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Rakyat menunggu lagi, makanya apabila ETP diumumkan rakyat terkasima buat kesekian kalinya kerana ia juga penuh dengan pengumuman projek-projek besar tidak ubah seperti zaman-zaman kegilaan penswastaan dahulu tetapi lompong tanpa rancangan pelaksanaan dan pembiayaan yang konkrit.

Reformasi ekonomi yang menyentuh perkara dasar dan struktur masih tidak kelihatan kelibatnya, tetapi rakyat diminta menunggu pula pengumuman Belanjawan 2011 untuk menilai kononnya komitmen kerajaan Barisan Nasional kepada agenda reformasi ekonomi.

Sebab itu apabila Belanjawan 2011 yang diumumkan langsung tidak menyentuh perkara-perkara pokok seperti yang dijanjikan di dalam dokumen Model Ekonomi Baru, kekecewaan rakyat dan komuniti perniagaan tidak boleh ditangguhkan untuk menunggu satu lagi pengumuman baru YAB Perdana Menteri.

YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Kewangan Kedua telah mengakui sendiri secara rasmi bahawa ekonomi kita tempang dan terperangkap dengan model lama berasaskan kos rendah, sehingga membuatkan kita ketinggalan berbanding ekonomi-ekonomi lain yang sebelum ini menjadi pesaing kita.

Semua penunjuk ekonomi yang utama membayangkan kita semakin ketinggalan; baik dari segi pelaburan swasta dan pelaburan asing, pertumbuhan ekonomi, kenaikan gaji dan lain-lain. Hakikat ini diterima umum baik di dalam Dewan ini oleh Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, mahupun di kalangan ahli ekonomi, penganalisa pasaran dan pemerhati di seluruh dunia.

Justeru, Belanjawan 2011 adalah kayu ukur kepada keberanian YAB Perdana Menteri untuk menjalankan reformasi ekonomi negara yang tidak boleh ditangguhkan lagi dan merungkai permasalahan pokok yang menyentuh kelemahan struktur dan institusi secepat mungkin.

Apakah permasalahan-permasalahan pokok yang memerlukan perhatian serius?

Misi membela rakyat dengan menaikkan pendapatan mereka dan menganjakkan ekonomi negara ke paras pendapatan tinggi tidak dapat berlaku tanpa menyelesaikan tiga masalah asas ekonomi Malaysia iaitu:

  1. i.            kekurangan modal akibat kelembapan pelaburan swasta,
  2. ii.            tahap gunapakai teknologi yang rendah di dalam ekonomi, serta
  3. iii.            tenaga kerja yang kurang berdaya saing dan inovatif.

Harapan besar rakyat adalah untuk mendengar dan menilai kebijakan ekonomi kerajaan Barisan Nasional mengatasi ketiga-tiga masalah asas tersebut. Sebaliknya kita disogok dengan pengumuman-pengumuman yang sama seperti tahun-tahun lepas dan berlegar di sekitar menara 100 tingkat, pelbagai projek hartanah malah persoalan beg tangan dan pakaian dalam. Dalam keadaan genting kita berdepan dengan persimpangan ekonomi, YAB Perdana Menteri memilih untuk mengulangi pendekatan lepas sehinggakan belanjawan 2011 tidak banyak bezanya dengan belanjawan-belanjawan sebelum ini.

Kalau ekonomi negara ini diibaratkan sebagai sebuah bahtera, mengikut kemudi yang diumumkan YAB Perdana Menteri minggu lalu saya yakin bahtera ini akan belayar mengelilingi tempat yang sama. Mengikut perumpaan YAB Perdana Menteri sendiri, kalaulah falsafah induk yang diguna laksamana bahtera ini adalah konsep 1Malaysia, peta panduan layaran pula adalah GTP dan ETP, serta Model Ekonomi Baru itu diibaratkan kerangka bahtera – bukan sahaja bahtera ini belayar di tempat yang sama; kalau datang ribut yang seterusnya sudah tentu ia akan karam.

Belanjawan 2011, sebagai cermin awal segala pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri sejak mengambil alih kuasa, membuktikan tidak ada iltizam politik untuk melonjakkan ekonomi negara dan membela rakyat dengan mengatasi kekangan-kekangan utama ekonomi negara.

Makanya, saya ingin mengambil kesempatan untuk membawa kembali perbahasan Dewan dan perhatian negara kepada tiga masalah pokok tadi yang langsung diketepikan di dalam belanjawan 2011 yang dibentangkan.

PRESTASI EKONOMI NEGARA

Prestasi ekonomi negara memberangsangkan apabila ia berkembang pada kadar 9.5 peratus bagi tempoh separuh tahun pertama 2010, berbanding penguncupan 5 peratus bagi tempoh yang sama 2009.

Saya berasa lega kerana YAB Perdana Menteri ada juga menyebut mengenai prestasi ekonomi dunia yang telah pulih dari kemelesetan global dan pertumbuhan rancak perdagangan dunia yang dijangka berkembang pada kadar 11.4 peratus berbanding penguncupan 11 peratus bagi tahun 2009.

Hakikatnya ekonomi kita pulih kerana ekonomi dunia yang pulih. Malaysia sebagai sebuah negara dagang yang bergantung kepada dagangan dunia, banyak dipengaruhi oleh pasang surut ekonomi dan perdagangan dunia.

Tetapi jika kerajaan Barisan Nasional jujur dengan rakyat, kita tidak wajar menyembunyikan perbandingan bahawa dalam keadaan ekonomi global yang pulih, pertumbuhan kita lebih lemah berbanding pesaing dan jiran serantau.

Malaysia dijangka tumbuh pada kadar 7 peratus bagi tahun 2010.

Bandingkan dengan Thailand, yang bergelumang dengan pelbagai kacau bilau politik dan boikot sepanjang tahun 2009 dan 2010. Dalam kegawatan begitu, Thailand dijangka akan tumbuh pada kadar 6.5 hingga 7.5 peratus – setanding atau lebih baik dari kita.

Singapura dijangka akan berkembang pada kadar 13 hingga 15 peratus bagi tahun 2010; dua kali ganda lebih pantas dari kita.

Prestasi ekonomi Indonesia bagi 2010 dijangka melebihi 6 peratus. Perlu diingatkan, Indonesia tidak mengalami penguncupan pada tahun 2009 dan tumbuh pada kadar 4.6 peratus; maka angka 6 peratus bagi 2010 adalah pertumbuhan berterusan yang lebih besar dari angka 7 peratus yang boleh dicapai Malaysia, memandangkan pertumbuhan kita adalah selepas penguncupan.

Sebab itu, berita-berita manis yang diumumkan kerajaan perlu diletakkan di dalam konteks ekonomi yang jujur dan jelas. Muslihat silap mata yang melaporkan angka ekonomi sekadar untuk mengabui mata rakyat adalah berbahaya pada persimpangan negara memerlukan reformasi ekonomi yang mendesak.

Saya juga ingin bawa kembali satu kontras di antara realiti ekonomi Malaysia dan Indonesia supaya kita tidak alpa.

Seperti yang saya huraikan dalam perbahasan RMK10, Indonesia telah berjaya mengurangkan hutang negara secara mendadak dari paras 77% nisbah hutang awam kepada KDNK pada tahun 2001 kepada 29% pada tahun 2009.

Kedudukan hutang awam kita adalah terbalik. Pengurusan ekonomi di bawah Barisan Nasional tidak ubah seperti tabiat buruk ketagihan ibu bapa yang berbelanja sakan dan diwariskan hutang kepada anak cucu.

Nisbah hutang awam kepada KDNK Malaysia bagi tahun 2009 dijangkakan berada pada paras 54 %[1] dan tidak ada apa perancangan khas untuk mengurangkan kadar hutang ini dalam masa terdekat.

Balanya ditanggung oleh rakyat tanpa mereka sedari. Belanjawan 2011 memperuntukan sejumlah 8.7% dari keseluruhan perbelanjaan mengurus sebagai caj perkhidmatan hutang.

Jumlah membayar faedah dan pelbagai tanggungan hutang pada kadar itu tidak jauh berbeza dari bayaran subsidi kepada rakyat; berjumlah 11.2% dari keseluruhan perbelanjaan mengurus.

Kerajaan Barisan Nasional gah menumpukan perhatian untuk menarik balik subsidi kepada rakyat sebagai strategi utama mengurangkan defisit, tetapi langsung tidak menunjukkan kesungguhan mengurangkan pembaziran melalui projek-projek mega atau menyusun semula pengurusan hutang negara supaya pembayaran faedah dan tanggungan hutang tidak terlalu tinggi.

Lalu YAB Perdana Menteri mengisytiharkan perang terhadap subsidi rakyat dengan mengurangkan 5 sen subsidi dari setiap liter minyak yang dibeli rakyat, atau 20 sen subsidi dari setiap sekilogram gula atau gandum yang menjadi perbelanjaan ruji isi rumah di Malaysia. Malah Belanjawan 2011 meletakkan belanja subsidi yang lebih rendah berbanding 2010, jadi rakyat bolehlah menjangkakan pengumuman kenaikan harga barang keperluan yang seterusnya dalam masa terdekat.

Saya tidak katakan kaedah pemberian subsidi sekarang tidak boleh diperbaiki untuk memberi lebih manfaat kepada golongan yang memerlukan, tetapi saya membidas falsafah pimpinan Barisan Nasional yang sibuk mengutip lukut di tepi gantang; sedang guni beras yang bocor tidak diendahkan.

Oleh itu, saya menyeru supaya kerajaan membentangkan kepada Dewan dalam sessi ini rancangan kerajaan secara terperinci untuk mengurangkan hutang negara dalam masa 5 tahun – agar kita boleh mengurangkan defisit dengan memberi fokus untuk memotong perbelanjaan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat. Pengurangan hutang ke paras sasaran yang jelas menjelang 2015 akan membantu masalah defisit di samping menunaikan amanah kepada generasi akan datang untuk tidak mewariskan hutang kepada mereka.

MASALAH POKOK PERTAMA: KEKURANGAN MODAL AKIBAT KELEMBAPAN PELABURAN SWASTA

Malaysia tidak pernah pulih sepenuhnya dari krisis kewangan 1997/98. Jawapan jangka pendek dengan meningkatkan perbelanjaan kerajaan akhirnya menjadi satu tabiat dan ketagihan sehinggakan pelaburan swasta hanya tumbuh pada kadar purata 2 peratus di antara tahun 2006 hingga 2010[2] (berbanding pertumbuhan sihat pada kadar purata 16.7% antara tahun 1991 dan 1997[3]).

Zaman tabiat berbelanja secara berleluasa dengan bergantung kepada hasil minyak dan sumbangan PETRONAS sudah berakhir dan negara sedang berdepan dengan defisit belanjawan yang berterusan melepasi satu dasawarsa.

Kerajaan Barisan Nasional tahu peri pentingnya penyelesaian kepada kelembapan pelaburan swasta untuk memacu ekonomi, malangnya Belanjawan 2011 tidak memberi perhatian langsung kepada langkah-langkah khusus untuk merungkai masalah ini.

Dewan disogok dengan pengumuman pelbagai projek mega yang kononnya akan dijalankan melalui konsep perkongsian sektor awam dan swasta (PPP) sebagai langkah meningkatkan pelaburan swasta.

Kita bakal menyaksikan menara 100 tingkat di Kuala Lumpur berharga RM5 billion; apabila siap nanti pada tahun 2020 kosnya sudah tentu mencecah RM20 billion yang akan diusahakan PNB.

Kita akan mengucapkan selamat tinggal kepada Kem Sungai Besi, diganti dengan Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD), sebuah projek hartanah yang diberikan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa tender terbuka dan diwar-warkan menelan belanja RM26 billion.

Tidak cukup dengan itu, ucap juga selamat tinggal kepada taman rekreasi dan hutan simpan, kerana tanah kerajaan di Sungai Buloh akan dibangunkan menjadi projek hartanah baru yang akan diusahakan oleh KWSP berjumlah RM10 billion.

Kerajaan juga mengumumkan persetujuan kepada cadangan Gamuda-MMC untuk membina sistem pengangkutan transit yang baru di Lembah Kelang berharga RM40 billion.

Syarikat-syarikat lebuhraya dan pembinaan juga akan mendapat durian runtuh kerana 4 pembinaan lebuhraya baru akan diluluskan dan diberikan kepada PLUS dan PNB; tanpa melalui kaedah tender terbuka. Nilainya berbillion ringgit.

Selain dari pengumuman beberapa dana, projek-projek ini menjadi teras utama usaha YAB Perdana Menteri menghidupkan kembali pelaburan swasta.

Menurut dokumen ETP yang diumumkan kepada rakyat, kerajaan Barisan Nasional mengambil pendekatan menjemput pihak swasta mengemukakan cadangan projek-projek dan program ekonomi yang akan diluluskan oleh kerajaan. Projek-projek yang diberi nama Entry Point Projects (EPP) inilah yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Jumaat lalu.

Kaedah melancarkan projek-projek mega yang menelan belanja yang besar adalah kaedah konvensional yang pernah digunapakai untuk menggalakkan pelaburan.

Walau bagaimana pun, sekiranya beberapa langkah utama tidak diambil untuk memastikan projek-projek ini dilaksanakan secara telus dan amanah, akhirnya pisang akan berbuah berkali-kali seperti mana gagalnya projek-projek mega seperti PKFZ, Bakun, Perwaja dan lain-lain.

Senarai projek yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri lebih membimbangkan kerana ia melibatkan badan-badan yang diamanahkan dengan wang rakyat seperti KWSP dan PNB.

Saya memandang tinggi sumbangan dan peranan yang telah dimainkan oleh KWSP dan PNB selama ini, tetapi tindakan kerajaan menggalaskan projek-projek mega ini dibahu mereka tidak bertepatan dengan kepakaran mereka sebagai pengurus pelaburan; bukannya pengurus projek hartanah.

Saya juga ingin mengingatkan Dewan bahawa rakyat telah lama menanggung beban kewangan bagi projek-projek mega yang melibatkan infrastruktur awam yang dijalankan sebelum ini. Pengambilalihan sistem LRT sedia ada dari Putra-LRT dan Star-LRT oleh Syarikat Prasarana Negara milik kerajaan melibatkan perbelanjaan sejumlah RM7.8 billion pada tahun 2002[4], apabila kedua-dua pemegang konsesi ini tidak mampu membayar hutang.

Oleh yang demikian, reaksi rakyat yang berwaspada dengan pengumuman projek-projek mega ini adalah sesuatu yang kita sudah jangka kerana prestasi Barisan Nasional menguruskan penswastaan dan projek mega akhirnya membawa beban kewangan kepada rakyat.

Sebab itu, saya menggesa supaya kerajaan mendengar keluh kesah rakyat dan mengambil kira tuntutan supaya pelaksanaan projek-projek mega ini dibuat dengan cukup telus dan bertanggungjawab.

Saya mencadangkan Dewan mempertimbangkan cadangan-cadangan yang berikut demi memastikan wang rakyat tidak dibazirkan atau disalahgunakan:

i.            Sebuah jawatankuasa audit dan pemantau yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat dari Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, ahli-ahli professional dan penjawat awam ditubuhkan dengan diberi mandat untuk menyelia pelaksanaan projek dari awal hinggalah akhir;

ii.            JK Audit dan Pemantau bertanggungjawab membentangkan kepada Dewan Rakyat dari semasa ke semasa perkembangan pelaksanaan dengan tumpuan khusus kepada ketelusan dan mendapatkan nilai yang terbaik bagi pakej-pakej tender yang akan dianugerahkan;

iii.            JK Audit dan Pemantau diberikan mandat untuk meluluskan perjanjian-perjanjian yang melibatkan beban kewangan kepada rakyat termasuklah sebarang jaminan kewangan yang akan diberikan kerajaan, perjanjian konsesi perkhidmatan, perjanjian serah milik dan perjanjian-perjanjian lain.

Kepentingan rakyat hanya dapat dijamin sekiranya pelaksanaan EPP dan pelbagai usahasama awam swasta yang dicadangkan melalui projek-projek mega ini dibuat dengan penuh ketelusan dan kebertanggungjawaban seperti yang saya gariskan tadi.

Pun begitu, kita tidak dapat lari dari hakikat kita masih memerlukan peningkatan pelaburan swasta yang mendadak untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Kerajaan sendiri mensasarkan pertumbuhan purata pelaburan swasta sebanyak 12.8% setahun, iaitu mencapai tahap RM115 billion mengikut harga semasa[5] bagi tahun 2010 dan seterusnya. Laporan Bank Negara[6] menunjukkan pelaburan swasta bagi tahun 2009 (pada harga semasa) hanyalah berjumlah RM65 billion.

Justeru, adalah amat mengecewakan apabila Perdana Menteri langsung tidak menyentuh sama ada Malaysia akan mencapai sasaran pelaburan asing berjumlah RM40 billion yang diumumkan, apabila hanya RM13.2 billion diluluskan pada separuh tahun pertama 2010[7].

Dalam keadaan kita terus ketinggalan dari segi pelaburan asing dan jawapan kerajaan kepada kelembapan pelaburan swasta domestik hanyalah dengan mengumumkan projek-projek hartanah yang akan dibiayai oleh wang rakyat, masalah utama ekonomi negara akan berlarutan.

Sebab itu, YAB Perdana Menteri tidak boleh lari dari cabaran terbesarnya dalam melakukan reformasi ekonomi, jika benar beliau ikhlas dengan agenda tersebut – iaitu mengembalikan keyakinan pelabur dengan memulihkan institusi utama negara, memerangi rasuah dan membudayakan ketelusan dan amanah dalam segala urusan kerajaan.

Dana-dana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri bukanlah perkara baru dan kita sering mendengar setiap kali pembentangan belanjawan, tetapi ia tidak ada kesan untuk menghidupkan pelaburan swasta kerana penyelewengan terus berlaku, sepertimana dana pertanian sebanyak RM250 juta yang diberikan kepada anak seorang menteri kabinet walaupun beliau tidak mempunyai pengalaman dalam bidang penternakan lembu.

Usaha-usaha yang sama ini gagal kerana masyarakat pelabur di Malaysia dan antarabangsa masih memandang serong akan ketelusan dan ketulusan kerajaan; apatah lagi apabila tindakan-tindakan kerajaan tidak mencerminkan iltizam untuk melaksanakan reformasi ekonomi.

Pemberian tender kepada kroni terus berleluasa, manipulasi mahkamah dari sekecil-kecil kes ke kes yang menjadi perhatian dunia juga berterusan, gejala rasuah tidak reda.

YAB Perdana Menteri bercakap tentang komitmen untuk mewujudkan suasana ekosistem yang mesra pelabur agar kerancakan pelaburan swasta dapat dikembalikan, tetapi tanpa reformasi menyeluruh mengembalikan kebebasan dan professionalisme institusi-institusi utama di negara ini, suasana ekosistem yang mesra pelabur ini tidak akan dapat dicapai.

Tanpa pelaburan swasta, sama ada dari dalam negeri atau luar negeri, ekonomi kita akan ketandusan modal yang sangat-sangat diperlukan untuk berkembang dan membawa masuk teknologi baru agar kita boleh melonjak ke paras ekonomi berpendapatan tinggi.

MASALAH POKOK KEDUA: TAHAP GUNAPAKAI TEKNOLOGI YANG RENDAH DI DALAM EKONOMI

Usaha mengangkat ekonomi negara ke tahap berpendapatan tinggi akan juga bergantung kepada kemampuan kita mencapai sasaran gunapakai teknologi dalam ekonomi.

Selain gunapakai teknologi, fokus kerajaan sepatutnya tertumpu kepada usaha mewujudkan kegiatan ekonomi bernilai tinggi baik dalam bidang perkhidmatan, pembuatan dan lain-lain.

Dalam kedua-dua aspek, pencapaian kerajaan adalah merunsingkan apatah lagi apabila belanjawan 2011 terlalu menitik beratkan pembangunan fizikal dan hartanah; tanpa misi yang khusus untuk membawa masuk perisian ekonomi yang bernilai tinggi.

Saya mengambil contoh pembangunan projek Kuala Lumpur Islamic Financial District (KLIFD) yang akan diuruskan dan dimiliki bersama oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Secara jelas, ia adalah projek hartanah secara besar-besaran yang mengambil alih tanah strategik kerajaan tanpa proses bidaan terbuka.

Sehingga kini, rakyat masih belum tahu firma-firma kewangan antarabangsa mana yang telah bersetuju untuk memindahkan operasi kewangan serantau mereka ke Malaysia; atau apakah strategi untuk menandingi Singapura sebagai pusat kewangan serantau.

Dalam temuramah[8] terkini, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Encik Shahrol Halmi secara jelas menerangkan bahawa tumpuan 1MDB adalah untuk mendapatkan nilai dari tanah-tanah tersebut dengan membina bangunan-bangunan bertaraf dunia.

Membina bangunan atau infrastruktur bertaraf dunia dan mengaut keuntungan serta-merta bukanlah satu tugas yang susah; apatah lagi kalau tanah-tanah itu berada di lokasi paling strategik di Kuala Lumpur.

Sebelum ini pun, kita ada pelbagai koridor, pelbagai taman industri tetapi akhirnya terbengkalai dan tidak berjaya mengangkat ekonomi kita ke nilai yang lebih tinggi kerana bangunannya gah, tetapi pengisiannya masih ketinggalan di belakang.

Kegilaan ini makin menjadi-jadi mutakhir ini, sehinggakan belanjawan 2011 secara jelas lebih gah dengan bangunan dan projek hartanah, bukannya peruntukan atau rancangan besar menutup jurang pembangunan dan gunapakai teknologi dalam negara kita.

Saya terkejut apabila kerajaan hanya memperuntukkan RM20 juta bagi program menambah bilangan pemegang ijazah doktor falsafah di institusi pengajian tinggi awam; berbanding dengan pengumuman berbillion ringgit bagi pelbagai projek yang diumumkan.

Walaupun YAB Perdana Menteri sudah boleh dinobatkan sebagai Perdana Menteri yang paling banyak mengumumkan blue print, tetapi sehingga kini kita masih belum melihat blue print kerajaan untuk menutup jurang pembangunan dan aplikasi teknologi dalam ekonomi kita.

Pengumuman paling besar yang dibuat di dalam belanjawan 2011 adalah peruntukan sebanyak RM71 juta untuk operasi Unit Inovasi Khas di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk merangka dasar mengenai pembangunan dan pengkomersilan teknologi oleh universiti dan institusi penyelidikan.

Ini bukan sahaja bertentangan dengan sasaran Model Ekonomi Baru yang diwar-warkan oleh YAB Perdana Menteri, ia juga boleh menjadi lelucon kerana sedang negara-negara lain sudah maju ke depan dalam bidang inovasi, Malaysia baru menubuhkan satu unit untuk menggubal dasar.

Ini tidak ubah seperti pengumumam memberi pelepasan cukai jualan kepada semua pembelian telefon bimbit – negara lain bersaing untuk membangunkan telefon bimbit generasi baru, Malaysia sedang berbincang menyelaraskan cukai jualan antara jenis-jenis telefon bimbit.

Pergantungan yang berterusan kepada badan-badan dan dana awam untuk aktiviti pembangunan dan pengkomersilan teknologi  tidak akan berjaya melonjakkan kita ke ekonomi berpendapatan tinggi kerana peranan sektor swasta adalah lebih strategik memandangkan mereka mempunyai motif komersil untuk menaiktaraf aplikasi teknologi dalam kegiatan perniagaan.

Sebab itu saya kecewa kerana kerajaan tidak mahu berdepan dengan masalah ini dan mencari jalan paling tuntas untuk mempercepatkan pelaburan swasta dalam aktiviti pembangunan dan pengkomersilan teknologi.

Saya menyarankan bahawa kaedah memberi tolakan cukai berganda (double deduction) yang sekarang ini digunapakai oleh kerajaan tidak cukup drastik untuk mempercepatkan proses ini.

Kerajaan perlu memberi lebih motivasi yang berkait rapat dengan pengkomersilan teknologi; termasuk dengan mengenakan peraturan mandatori agar syarikat-syarikat besar yang mencapai keuntungan pada tahap tertentu perlu melaburkan kembali keuntungan pada kadar tertentu ke dalam aktiviti pembangunan dan pengkomersilan teknologi.

Sebagai balasan, kerajaan wajar mengecualikan keuntungan yang dilaburkan kembali itu dari dikenakan cukai. Kaedah pelaburan semula yang mandatori di dalam aktiviti pembangunan dan pengkomersilan teknologi ini diharapkan dapat merintis peranan sektor swasta secara besar-besaran di dalam menaiktaraf aplikasi dan pengkomersilan teknologi, di samping menjadikan Malaysia lebih menarik kepada syarikat-syarikat besar dunia untuk dipilih sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan.

Saya juga mencadangkan supaya syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan PETRONAS dipilih menjalani projek perintis skim ini, agar ia dapat dijalankan secepat mungkin.

Pelaburan yang berterusan oleh pihak swasta dalam bidang teknologi adalah sangat penting demi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, kerana kita masih jauh ketinggalan dari segi perbelanjaan teknologi dan guna tenaga teknikal di dalam ekonomi kita.

Setakat tahun 2008, perbelanjaan R&D berbanding KDNK[9] negara hanyalah pada kadar 0.64 peratus, berbanding 2.39 peratus (Singapura), 3.23 peratus (Korea Selatan), 2.58 peratus (Taiwan) dan 3.4 peratus (Jepun).

Sekiranya kadar ini tidak ditingkatkan segera, segala pengumuman panas yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri mengenai sasaran ekonomi berpendapatan tinggi tidak lebih dari omong kosong dan silap mata pilihanraya semata-mata.

MASALAH POKOK KETIGA: TENAGA KERJA YANG KURANG BERDAYA SAING DAN KURANG INOVATIF

Ekonomi berpendapatan tinggi juga bergantung kepada tenaga kerja yang produktif dan inovatif. Umum menerima hakikat bahawa kita masih belum berjaya mewujudkan tenaga kerja yang memenuhi kehendak pelabur antarabangsa dalam bidang-bidang ekonomi berpendapatan tinggi, kerana terlalu taksub dengan model kos sumber manusia yang rendah selama ini.

Saya ingin menyentuh mengenai model kos sumber manusia yang rendah ini sehingga menyebabkan Malaysia terkebelakang dari segi kenaikan gaji dan upah.

Kajian Bank Dunia menunjukkan purata kenaikan gaji di Malaysia bagi sektor domestik dan ekpsort antara tahun 1994 hingga 2007 hanyalah sekitar 2.6 hingga 2.8 peratus sahaja. Pada masa yang sama, Indonesia mencatatkan purata kenaikan gaji sebanyak 10 peratus antara tahun 2007 hingga 2009[10].

Masanya sudah tiba untuk kita menerima hakikat bahawa tanpa gaji yang setimpal dengan nilai dan sumbangan golongan pekerja, seruan kerajaan agar pekerja-pekerja berkorban untuk negara dengan menjadi lebih inovatif dan produktif walaupun gajinya murah adalah tidak munasabah.

Saya menjangkakan YAB Perdana Menteri akan mengumumkan langkah lebih drastik untuk melaksanakan segera gaji minima secara menyeluruh di Malaysia, melihatkan bagaimana wakil-wakil Barisan Nasional ghairah bercakap tentang isu yang menjadi dasar pokok Pakatan Rakyat.

Tetapi setakat ini, YAB Perdana Menteri hanya memberikan komitmen minima, bukan gaji minima, melalui penubuhan sebuah Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi orang tengah mencari titik persetujuan antara majikan dan pekerja.

Saya tidak mahu mengulas panjang sehinggalah kita mendapat maklumat yang lanjut mengenai operasi dan kuasa majlis ini; tetapi kalau ia hanya berfungsi untuk memberikan rundingan – maka rundingan yang telah berjalan selama berdekad-dekad akan berterusan.

Mujur tempoh hayat kerajaan ini sudah tidak lama, jadi kalaupun YAB Perdana Menteri tidak berani memberi komitmen yang jelas mengenai gaji minima, Pakatan Rakyat secara tegas menetapkan bahawa ia akan menjadi salah satu tindakan utama Pakatan Rakyat sekiranya berkuasa kelak.

Dalam riuh rendah ini, saya memohon Dewan supaya tidak lupa bahawa belanjawan 2011 yang dibentangkan tidak membawa satu kerangka yang konkrit untuk menaiktaraf kemahiran dan inovasi tenaga kerja kita.

Belanjawan 2011 mengandungi beberapa peruntukan untuk program latihan tambahan siswazah (termasuk Skill Enhancement Program berjumlah RM220 juta) yang akan dilaksanakan melalui pelbagai Pusat Latihan Kemahiran Negeri.

Saya tidak bersetuju dengan pendekatan tidak bersepadu yang mengenepikan persoalan peranan universiti dalam memberi latihan kepada siswazah yang memenuhi tuntutan sektor pekerjaan. Sekiranya ada kepincangan sekarang ini, sewajarnya Kementerian Pendidikan Tinggi mengambil langkah segera memperbetulkan keadaan – bukannya secara berterusan mengeksport masalah ke luar universiti.

Akibatnya kerajaan terus membina pusat-pusat latihan yang baru dan fungsi universiti dikurangkan dan diambil alih; apatah lagi apabila peruntukan besar sejumlah RM220 juta setahun disediakan bagi program naiktaraf kemahiran ini.

Peruntukan ini perlu dikembalikan ke universiti dan kaedah mengalihkan masalah ke tempat baru yang digunapakai kerajaan perlu dihentikan segera.

Saya juga ingin menegur YAB Perdana Menteri yang mengumumkan Program Latihan 1Malaysia untuk kemahiran-kemahiran asas yang sudah pun disediakan bertahun-tahun lamanya sebelum ini.

Ini berbalik kepada pandangan saya bahawa masalah di universiti dibiarkan dan pembiayaan ditidakkan kepada universiti, sedangkan Program Latihan 1Malaysia diperuntukkan sehingga RM200 juta berbanding hanya RM20 juta untuk menambah tenaga pengajar berkelulusan PhD di universiti.

RM200 juta ini boleh digunakan dengan lebih bijak di universiti, berbanding untuk program-program 1Malaysia yang berbaur doktrinasi seolah-olah tidak cukup untuk rakyat menanggung beban dengan kos PLKN selama ini.

Kontradiksi sebegini antara pengumuman yang dibuat melalui MEB dan pelaksanaan melalui belanjawan 2011 meyakinkan kita bahawa pengumuman-pengumuman besar model ekonomi oleh YAB Perdana Menteri tidak lebih dari menjual slogan semata-mata.

TEKANAN EKONOMI YANG DITANGGUNG RAKYAT

Saya tercuit melihatkan bagaimana media perdana menjaja belanjawan 2011 sebagai belanjawan yang mesra rakyat.

Dada-dada akhbar dipenuhi dengan senarai barangan mewah yang dikecualikan cukai dan beberapa lanjutan kepada tempoh kuatkuasa skim-skim sedia ada.

YAB Perdana Menteri juga tentu lega apabila dapat mengumumkan tidak akan ada kenaikan tol di PLUS selama lima tahun; harap-harapnya kemarahan rakyat kerana kenaikan kos sara hidup yang mendadak dapat diredakan.

Realitinya rakyat lebih mengetahui dan menganggap belanjawan ini hambar kerana jelas yang dikecualikan cukai adalah barangan-barangan import yang hanya dipakai oleh golongan elit; sedangkan cukai perkhidmatan dinaikkan kepada 6% dan turut dikenakan kepada langganan televisyen berbayar.

Saya anggap ini taktik silap mata yang tidak menjadi; kerana pelepasan yang diumumkan di dada-dada akhbar sebenarnya hanya dinikmati sebahagian tetapi dibayar oleh kebanyakan rakyat melalui kenaikan cukai.

Begitu juga dengan pengumuman tiadanya kenaikan tol kerana yang akan terus membayarnya adalah rakyat. Lainlah kalau YAB Perdana Menteri mengumumkan penstrukturan semula konsesi lebuhraya yang membatalkan pampasan tahunan yang mencecah ratusan juta ringgit yang perlu dibayar kerajaan apabila tol tidak dinaikkan.

Lebih memeranjatkan, kerajaan menggunakan Khazanah dan KWSP untuk mengambil alih PLUS dari UEM, sedang umum mengetahui bahawa UEM itu syarikat yang kepentingannya dikuasai UMNO.

Pertama, rakyat memerlukan penjelasan dan justifikasi dalam bentuk bagaimana pengambil alihan itu menambah nilai kepada rakyat dan negara, kerana kadar tol masih lagi tidak berubah. Proses pengambilalihan korporat yang sedemikian besar hanya patut dijalankan sekiranya ada nilai sinergi yang besar kerana kos pengambilalihan yang terpaksa ditanggung adalah tinggi.

Keduanya, rakyat juga tertanya-tanya apakah ini tanda-tanda awal UMNO ingin melupuskan kepentingan di dalam PLUS dan mengambil dana takut-takut pilihanraya umum akan datang tidak berpihak kepada mereka.

Makanya, yang akan terus menanggung beban adalah rakyat, kerana sumber kewangan negara yang sepatutnya disalurkan kepada mereka disalurkan kepada kroni. Dalam istilah lain, ambil dari poket kiri atau poket kanan sama sahaja kesannya.

Begitu juga dengan lanjutan pelepasan duti setem untuk pembelian rumah pertama dan kenaikan had harga rumah dari RM250,000 kepada RM350,000 yang dijaja sebagai jawapan kerajaan kepada masalah perumahan yang dialami golongan muda.

Saya pasti kalaulah YAB Perdana Menteri duduk bersarapan dengan golongan muda lingkungan pertengahan 20an; bukannya dengan kanak-kanak berumur 10 tahun, beliau akan mendapat maklumbalas bahawa golongan muda mahukan tindakan segera mengekang kenaikan harga rumah mendadak di sekitar Lembah Klang dan bandar-bandar besar; bukannya kerajaan menaikkan had harga rumah.

Masalah yang dihadapi oleh golongan keluarga muda adalah ketiadaan rumah yang sesuai dengan tahap sosio-ekonomi mereka. Mereka berjawatan eksekutif dan graduan dari institusi pengajian tinggi, tetapi pilihan yang ada kepada mereka adalah terhad – mereka tidak mampu membeli rumah yang rata-rata berharga RM350,000 ke atas tetapi tidak layak memohon rumah kos rendah atau sederhana rendah.

Menaikkan had pelepasan kepada rumah-rumah berharga RM350,000 tidak membantu menyelesaikan masalah mereka kerana bebanan hutang yang terpaksa ditanggung sehingga ke persaraan.

Oleh yang demikian, saya mengulangi cadangan-cadangan yang telah saya kemukakan kepada Dewan sebelum ini.

Pada pembentangan belanjawan lepas, saya mencadangkan supaya struktur percukaian peribadi diubah supaya lebih mesra kepada golongan menengah yang menjadi golongan terbesar membayar cukai.

Setakat ini, seorang jutawan yang mendapat tanah kerajaan dengan murah di Sungai Besi akan membayar cukai pendapatan pada kadar 26% seperti juga seorang pengurus di syarikat swasta, walaupun kekayaan beliau melimpah ruah.

Penentuan jalur-jalur pendapatan (income band) bagi cukai pendapatan peribadi perlu disemak supaya lebih realistik dengan realiti pendapatan dan kos sara hidup sekarang.

Saya juga mengulangi janji Pakatan Rakyat bahawa fokus utama untuk membantu mengurangkan kos sara jidup yang tinggi yang dihadapi rakyat adalah dengan menstrukturkan kembali empat sektor utiliti awam; iaitu elektrik, air, jalur lebar dan lebuhraya.

Penstrukturan ini penting supaya sektor-sektor awam yang strategik ini tidak terdedah kepada manipulasi keuntungan yang berlebihan sehingga membebankan rakyat, seperti yang berlaku sekarang.

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya saya kecewa, kerana sebagai rakyat Malaysia, walaupun berlainan wadah politik, saya mahukan kerajaan yang berkuasa memikul tanggungjawab dengan berkesan keraja masa depan negara dan rakyat berada di dalam tangan kerajaan.

Kami di Pakatan Rakyat menanti pembentangan belanjawan 2011 untuk menilai ampuh atau tidak strategi menangani tiga kekangan utama ekonomi negara yang saya huraikan tadi.

Sebaliknya, YAB Perdana Menteri mengambil jalan singkat dan menumpukan perhatian kepada pengumuman-pengumuman yang dikira populis dan meninggalkan reformasi ekonomi yang penting.

Oleh sebab itu, belanjawan 2011 akan diingati kerana beberapa perkara.

Pertama, ia akan menerima nama jolokan belanjawan 100 tingkat dan beg tangan kerana itu fokus utama belanjawan ini.

Kedua, ia akan dikesali kerana tidak membawa reformasi kepada struktur dan asas ekonomi negara pada kala reformasi ekonomi itu sangat-sangat diperlukan.

Dan ketiga, ia akan diingati sebagai belanjawan terakhir Barisan Nasional kerana isyarat pilihanraya sudah jelas dan dengan kesediaan serta iltizam Pakatan Rakyat; Insya Allah dalam belanjawan seterusnya reformasi ekonomi yang mendesak akan bermula.

Sekian, wassalam.


[1] PEMANDU

[2] Agencies/PEMANDU: 15 Oktober 2010

[3] Prof KS Jomo

[4] The Star, 14 Disember 2006 dan 4 Mei 2002

[5] RMK10 mukasurat 57

[6] Buletin Statistik Bulanan BNM April 2010

[7] MITI, 13 Ogos 2010

[8] Bernama, 11 Oktober 2010

[9] UNESCO & MOSTI

[10] Laporan Tahunan Bank Indonesia

4 thoughts on “Sebahagian Draf Ucapan Perbahasan Belanjawan 2011”

  1. Why do you need to post this draft? Are you trying to tell us that you are the one behind it? It would have been better if you reflect your own analysis in your blog rather then posting what you do for the Ketua Pembangkang – you know what what what la!!! credibility brother, Rafizi or Anwar and backroom boys are not supposed to be made known! Come on young man!

  2. Sdr Eagle

    1) This was requested by many people esp reporters as reference. Ketua Pembangkang usually refers to one consolidated text so it’s easy to release the text immediately upon debate as reference to everyone (including at his blog)

    2) This time around, he arranged the sequence and take from different sources and references, so for a complete set we have to wait for hansard. If the text (or excerpts of it) is not released, it will make it difficult for people to make difference and it will die out.

    3) Hence why this is posted. It’s not posted at his blog because it’s not entirely the text.

    4) It’s a big open secret now of my involvement in his economic/research team. Not a big deal, in fact the party election exposed a lot of that (and party members have always known anyway).

    5) Lastly, I can hardly be hidden from the public now given the exposure of the last 2 months. I don’t think Ketua Pembangkang wants me to hide from the public either 😉

  3. I tend to agree with Eagle. This stuff should’ve been posted at Anwar’s official website/blog, not yours. It’s him who mass want to listen to. It’s not a matter of hiding/exposing you to the public. By putting it here, you make people (to say the least, me) to reckon this as your personal thoughts, and Anwar was merely the orator (during the parliamentary session).

    As an outsider/people-on-the-sidewalk, I don’t have any problem in referring to the excerpts, as long as they are at the right place. And why you make it sounds like it is such a big deal to compile the entire text? Don’t tell me that’s the level of effectiveness in Anwar’s office 🙂

    I guess that’s the dark side of your job, working like hell, then have to surrender all the credits to your boss. Well, since “Meletakkan Kepentingan Parti Melebihi Kepentingan Peribadi” is your motto, I hope you’re having a good time 😉

    Nonetheless, terrific job! (especially on the conclusions) I feel being represented by this speech. On your face Rosmah!

    p.s: You still owe me an explanation.

  4. 1) I will email an explanation.

    2) MPs make lots of reference to different sources when debating. Leader of Opposition is no different. Our office produces materials, sometimes it’s taken in entirety, sometimes referred to and rearranged accordingly by Leader of Opposition. You have to understand how research work functions for opposition MPs.

    3) Please do not forget the essence of time. Reporters can’t wait otherwise the issue is passed on, when newer news comes about. Even PM Department takes months to finalise one budget speech. There’s only 1 people who handle press, news, blogs etc in the office – why don’t you come and volunteer 😉

    4) It’s never about credit. I wouldn’t be here if it’s about credit 😉

Leave a Reply to Eagle Cancel reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.