Siasatan Ke Atas Pembelian Hotel Di London: Bukankah Pelaburan Di Luar Negara Mesti Diluluskan Majlis Ekonomi Yang Dipengerusikan Perdana Menteri?

Saya adalah ahli parlimen pertama yang menyatakan bahawa Tan Sri Isa Samad akan dijadikan “kambing hitam” untuk dikorbankan bagi menyelamatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak, seawal 17 Februari 2017 seperti yang dilaporkan Malaysiakini https://www.malaysiakini.com/news/372808#8S8OqMvHCWxQPA2l.97

Oleh itu, sementara saya lega kerana akhirnya ada siasatan ke atas penyelewengan wang Felda yang akan membebankan rakyat Malaysia untuk berpuluh tahun akan datang, saya juga tidak mudah terpedaya bahawa siasatan ini adalah ikhlas dan menyeluruh. Saya sudah dapat menghidu seawal Februari 2017 lagi bahawa ini akan berlaku kerana memang perkiraan itu telah dibuat lebih awal.

Sebab itu, saya menyeru rakyat Malaysia dan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan agar tidak ghairah bertepuk tangan dengan penahanan Tan Sri Isa Samad kerana itu belum tentu akan dapat merungkai kesemuanya sekiranya penyelewengan ini tidak disiasat secara menyeluruh.

Satu perkara yang membimbangkan saya ialah bagaimana budaya pertanggungjawaban di Malaysia ini (baik dalam politik, di tempat kerja, di jabatan kerajaan dan lain-lain) hanya memberi tumpuan kepada “kambing hitam” yang menjadi korban. Jika ada sesuatu penyelewengan atau pelaburan yang merugikan, hanya “kambing hitam” itu yang disiasat dan dihukum. Ketua atau badan yang bertanggungjawab mengawal selia dan meluluskan tindakan-tindakan “kambing hitam” itu yang akhirnya menyebabkan kerugian tidak disentuh langsung dan mereka kekal di jawatan mereka.

Sebab itu apabila sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) rugi besar, yang dihukum hanyalah Ketua Pegawai Eksekutifnya sedangkan Lembaga Pengarah yang turut bertanggungjawab membuat kesemua keputusan besar yang dilaksanakan oleh CEO tidak dikenakan tindakan.

Dalam kes pembelian hotel-hotel mewah di Kuching dan London oleh Felda yang menjadi tumpuan siasatan SPRM dan punca Tan Sri Isa Samad ditahan, beliau bukanlah individu yang tertinggi yang membuat keputusan pembelian. Ada lagi badan yang lebih tinggi yang sepatutnya telah lebih awal menolak dan membatalkan hasrat Felda untuk membeli hotel-hotel ini.

Saya merujuk pengalaman saya mengendalikan skandal pembelian tiga unit hartanah di Australia oleh MARA yang harganya dinaikkan hampir dua kali ganda. Kes itu sekarang sudah menjadi siasatan pihak berkuasa (walaupun belum ada seorang pun yang didapati bertanggungjawab) dan saya sudah pun menang saman dengan Timbalan Ketua Pemuda Umno yang menuduh saya memfitnah dalam kes itu.

Dalam kes tersebut, menteri yang bertanggungjawab ketika itu (Dato’ Seri Shafie Afdal) dan pengerusi MARA ketika itu (Tan Sri Anuar Musa) dengan secara jelas mengesahkan bahawa cadangan pembelian hartanah luar negara oleh MARA itu telah dibentangkan dan diluluskan oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Berita-berita yang melaporkan perkara ini boleh dibaca di capaian berikut:

Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/node/60550
Astro Awani: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pembelian-hartanah-di-australia-patuhi-tatacara-perolehan-kementerian-kewangan-pengerusi-mara-63518
Malaysiakini: https://www.malaysiakini.com/news/303181#pgsM5TCP9Vo3us8x.97

Malah, laporan Astro Awani dengan secara jelas juga memetik Tan Sri Anuar Musa sebagai mengesahkan bahawa “kelulusan dari Perdana Menteri (melalui Majlis Ekonomi) adalah sebahagian dari prosedurnya”.

Saya telah menyemak laman web Majlis Ekonomi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keanggotaannya, fungsinya dan terma rujukannya di capaian http://www.epu.gov.my/ms/seksyen/urus-setia-majlis-ekonomi

Dato’ Seri Najib telah menetapkan bahawa Majlis Ekonomi mengambil alih tugas Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal pelaburan negara. Ini disahkan juga oleh laporan Malaysiakini https://www.malaysiakini.com/news/303195#hwqo8VG5ys2PCYEG.97
yang memetik penerangan Tan Sri Anuar Musa bagaimana pembelian di luar negara (atau) yang melibatkan pinjaman luar negara perlu dibawa ke Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Oleh yang demikian, pembelian hotel di London oleh Felda sudah tentu perlu melalui proses kelulusan yang sama iaitu perlu dibawa dan diluluskan oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri di samping menteri kanan yang lain.

Jika Tan Sri Isa Samad direman dan disiasat atas dakwaan menerima suapan dari pembelian hotel tersebut yang menyeleweng duit Felda, maka Dato’ Seri Najib Razak dan anggota Majlis Ekonomi yang lain juga perlu disiasat untuk menentukan sama ada mereka juga menerima habuan/suapan kerana merekalah (Perdana Menteri dan anggota Majlis Ekonomi) yang turut meluluskan pembelian hotel di London (yang perlu dibawa ke Majlis Ekonomi kerana ia melibatkan pelaburan luar negara).

Jika ada bukti mereka tahu bahawa pembelian itu ada unsur penyelewengan kerana harganya lebih mahal tetapi mereka tetap meluluskannya, mereka perlu disiasat pula sama ada mereka mendapat habuan. Jika ada bukti mereka mendapat habuan, mereka juga perlu ditahan seperti Tan Sri Isa Samad.

Jika mereka tidak tahu ada unsur penyelewengan dalam pembelian itu tetapi gagal mengenal pasti risiko pelaburan dan gagal menyemak bahawa harga yang perlu dibayar Felda adalah terlalu tinggi, maknanya mereka tunggul yang makan gaji buta kerana gagal/cuai menjalankan amanah sebagai anggota Majlis Ekonomi. Mereka perlu dipecat atau jika mereka bermaruah, mereka perlu meletakkan jawatan.

Budaya rasuah menjadi begitu mendalam dan parah di negara kita bukan disebabkan dua tiga orang yang ditangkap terlibat di dalam penyelewengan. Mereka sebenarnya hanyalah sebahagian kecil dari satu ekosistem pentadbiran negara yang mendokong dan membenarkan rasuah berleluasa. Jika kita benar-benar mahu membanteras rasuah, kita perlu memerangi keseluruhan ekosistem rasuah ini termasuklah dengan menuntut satu teladan pertanggungjawaban yang tertinggi di kalangan menteri dan pegawai kanan kerajaan yang menduduki kerusi-kerusi penting seperti Majlis Ekonomi.

Oleh itu, walaupun Tan Sri Isa Samad telah dikambing hitamkan, itu tidak bermakna Dato’ Seri Najib boleh mencuci tangan. Beliau perlu dipanggil SPRM untuk disiasat untuk menentukan sama ada sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi, beliau telah meluluskan pembelian ini (jika dibawa) dan sebab musabab beliau berbuat demikian sedangkan jelas harga yang dibayar Felda adalah jauh lebih tinggi dari yang sepatutnya.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Kajiselidik Sentimen Pengundi Mengenai Ekonomi, Kos Sara Hidup Dan Kenaikan Harga Barang

Download (PDF, 522KB)

LATAR BELAKANG

Melalui kajiselidik-kajiselidik sebelum ini, I-CPI mendapati bahawa isu-isu paling penting yang mempengaruhi pilihan pengundi adalah isu ekonomi rakyat, terutamanya mengenai kenaikan harga barang dan gaji yang dilihat tidak setimpal dengan kenaikan kos sara hidup.

Oleh itu, kefahaman mengenai tahap puas hati pengundi mengenai prospek ekonomi adalah cukup penting bagi 2 tujuan utama:

i. Corak sentimen pengundi terhadap prospek ekonomi boleh mengesahkan dapatan sebelum ini mengenai tahap sokongan kepada parti-parti politik
ii. Corak sentimen pengundi terhadap prospek ekonomi boleh memberi gambaran bila pilihanraya umum akan dipanggil

Secara umumnya, Dato’ Seri Najib Tun Razak sepatutnya memanggil PRU14 apabila sentimen pengundi terhadap prospek ekonomi adalah baik kerana ia bermakna pentadbiran beliau telah berjaya menangani masalah-masalah utama yang selama ini mengundang kemarahan pengundi.

Kajiselidik ini juga dibangunkan khusus untuk membandingkan kadar inflasi bagi kumpulan barangan utama yang dirasai rakyat berbanding dengan kadar inflasi yang diumumkan kerajaan.

Dapatan dari perbandingan ini membolehkan pembuat dasar mengetahui keadaan sebenar kenaikan harga barang yang nampaknya semakin terpisah dari angka rasmi inflasi.

KAEDAH DAN SAMPEL

Kajiselidik melibatkan panggilan dari “interactive voice response system” iaitu sistem temuramah berinteraktif yang dibangunkan I-CPI. Pengundi ditanya soalan dan memberi jawapan dengan menekan angka di telefon bagi jawapan yang dipilih.

Kajiselidik dijalankan dari 10 Jun 2017 ke 14 Julai 2017. Pengundi dipilih dan didail secara rawak oleh sistem kajiselidik berkomputer INVOKE.

Seramai 1.94 juta orang pengundi berdaftar didail secara rawak. Dari jumlah itu, 22,376 orang pengundi mengangkat telefon dan 3,783 orang pengundi menjawab kesemua soalan yang ditanya. Pecahan mengikut kaum adalah seperti berikut: Melayu (59%), Cina (26%), India (7%), Bumiputra Sabah/Sarawak (8%).

Kadar mengangkat telefon (“response rate”) yang lebih rendah adalah disebabkan tempoh masa kajiselidik dibuat iaitu sekitar dua minggu sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri. Cuti panjang menyebabkan lebih ramai yang tidak mengangkat telefon.

Keputusan hasil dari kajiselidik melibatkan 3,783 orang pengundi berdaftar ini kemudiannya diterjemahkan kepada keputusan nasional mengikut:

i. agregat umur, jantina dan kaum (supaya melambangkan taburan demografi pengundi di seluruh negara)
ii. agregat taburan pengundi di setiap negeri (supaya melambangkan kedudukan kerusi parlimen di seluruh negara)

DAPATAN KAJISELIDIK

1. Hanya 41% pengundi merasakan hala tuju ekonomi negara di landasan yang betul. 59% pengundi merasakan hala tuju ekonomi negara di landasan yang salah.

2. 65% pengundi merasakan keadaan ekonomi keluarga mereka lebih buruk berbanding 4 tahun lalu.

3. 64% pengundi merasakan keadaan ekonomi keluarga mereka akan menjadi lebih buruk tahun depan.

4. 50% pengundi merasakan harga barang makanan dan barang runcit naik melebihi 10% sejak tahun lepas dan 37% pengundi merasakan harga barang makanan dan barang runcit naik antara 6% ke 10%.

5. 28% pengundi merasakan bil bulanan seperti elektrik, api, air, telefon dan lain-lain naik melebihi 10% sejak tahun lepas dan 37% pengundi merasakan bil bulanan seperti elektrik, api, air, telefon dan lain-lain naik antara 6% ke 10%.

6. 25% pengundi merasakan harga minyak (petrol dan diesel) naik melebihi 20% sejak tahun lepas dan 41% pengundi merasakan harga minyak (petrol dan diesel) naik antara 11% ke 20%.

7. 64% pengundi merasakan harga keperluan lain seperti pakaian, belanja sekolah anak dan lain-lain naik melebihi 10% sejak tahun lepas dan 27% pengundi merasakan harga keperluan lain seperti pakaian, belanja sekolah anak dan lain-lain naik antara 6% ke 10%.

8. 50% pengundi membelanjakan lebih dari 50% dari pendapatan bulanan untuk membayar hutang dan rumah.

9. 64% pengundi sama ada tidak berpuas hati dengan gaji mereka sekarang, atau mahukan kerja tetap.

10. 60% pengundi merasakan pendapatan mereka hanya cukup-cukup untuk menampung perbelanjaan dan 17% pengundi merasakan pendapatan mereka tidak cukup untuk menampung perbelanjaan.

PEMERHATIAN UTAMA

i. Lebih dari 60% pengundi merasakan ekonomi negara berada pada landasan yang salah. Mereka juga merasakan keadaan sekarang lebih buruk dari 4 tahun lalu dan akan kekal buruk tahun depan.

ii. Sentimen pengundi terhadap prestasi pengurusan ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah begitu rendah. Pada masa isu-isu ekonomi rakyat adalah isu yang menentukan pilihan parti mana, sentimen yang begitu negatif membayangkan keputusan PRU14 yang tidak berpihak kepada Barisan Nasional.

iii. Sentimen pengundi Melayu yang berpuas hati dengan suasana ekonomi (sekitar 40% ke 45%) adalah selari dengan tahap sokongan pengundi Melayu kepada Umno dan peratusan pengundi yang masih mahukan Dato’ Seri Najib kekal sebagai Perdana Menteri.

iv. Dapatan kajiselidik ini yang selari dengan dapatan kajiselidik yang terdahulu (walaupun subjek kajiselidik adalah berlainan) mengesahkan sokongan kepada Umno yang kekal lemah (dalam lingkungan 35% hingga 45% dari pengundi Melayu dalam pertandingan 3 penjuru).

v. Mengambil kira sentimen pengundi yang tidak berpuas hati dengan prestasi pengurusan ekonomi Dato’ Seri Najib, besar kemungkinan PRU14 tidak dipanggil tahun ini untuk membolehkan isu-isu ekonomi diselesaikan dengan lebih baik. Penyelesaian kepada isu-isu kenaikan harga barang, gaji dan sentimen suasana ekonomi dijangka mengambil masa yang lebih panjang dari tempoh 3-4 bulan (masa berbaki tahun ini).

vi. Ada perbezaan besar di antara angka rasmi inflasi yang dikeluarkan kerajaan (sekitar 2% hingga 3%) berbanding kenaikan harga barang yang dirasai oleh pengundi (secara majoritinya melebihi 10%)

vii. Perbezaan ini yang menunjukkan angka rasmi tidak membayangkan keadaan sebenar yang dirasai pengundi sebenarnya melunturkan keyakinan pengundi kepada angka-angka rasmi kerajaan

viii. Ini menyukarkan lagi sebarang usaha di pihak Dato’ Seri Najib untuk membaiki sentimen pengundi terhadap suasana ekonomi kerana pengumuman mengenai pencapaian makro ekonomi tidak lagi berkesan untuk mengubah sentimen pengundi

Dikeluarkan oleh:
Rafizi Ramli
Bagi pihak INVOKE

Petua Menangani Pembenci (“Haters”) di Facebook

Dalam bidang kerja saya, memang menjadi kebiasaan saya dimaki hamun, dicaci dan sebagainya. Saya selalunya tidak ambil kisah sangat dan tidak ada kesan pun kepada saya. Saya membaca seberapa banyak komen tetapi tidaklah begitu terkesan.

Jika jelas komen-komen yang dibuat mengandungi unsur lucah, menghina yang terlampau atau ia cybertrooper yang tidak berminat pun untuk mendengar semua pandangan (walaupun keputusan itu hak masing-masing), ada masanya komen sebegitu dibuang atau cybertrooper itu di-block kerana mereka hanya berminat untuk menimbulkan kemarahan dengan kata-kata kesat atau keterlaluan.

Namun sebahagian besarnya saya tidak ambil peduli sangat komen-komen yang bagi orang kebanyakan bunyinya kesat.

Berikut ialah petua menangani pembenci (“haters”) supaya hidup kita tidak terkesan dengan cacian orang lain yang kita tidak kenal dan dia pun tidak kenali.

1) Pembenci itu penyokong kuat Umno yang mengeluarkan kata-kata kesatRujuk Specimen A dari Jamilah Milah

Tiada manfaatnya memarahi kakak ini atau cuba meyakinkan kakak ini mengenai kepincangan dalam negara yang menyebabkan kita membangkang Umno/Barisan Nasional. Cara terbaik ialah melawak dengan orang macam ini.

2) Pembenci itu penyokong kuat PAS yang terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak tepat kebenarannya sehingga cenderong ke arah memfitnah orang lainRujuk Specimen B1 dan B2 dari Ariff Ramlan


Ada baiknya diperbetulkan salah sangka dengan menyatakan kembali perkara-perkara sebenar supaya pembenci itu tidak mengulangi atau menyebarkan kenyataan-kenyataan yang cenderong kepada fitnah untuk membantunya menjauhi dosa.

Dalam kes Ariff Ramlan, dia menuduh saya suka menokok tambah cerita sehingga menjadi fitnah dan selalu kalah di mahkamah (kemudian menyusahkan rakyat dengan meminta derma). Saya harap fakta-fakta berikut boleh memperbetulkan salah sangka tersebut:

i) Setakat ini dari 6 kes saman yang dibawa terhadap saya akibat pelbagai pendedahan saya, hanya satu kes yang mahkamah memutuskan kenyataan saya berbaur fitnah iaitu saman kedua yang dibawa oleh NFC/Salleh Ismail terhadap saya (arahan membayar RM300,000 kepada NFC/Salleh Ismail). Saman pertama difailkan oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil sendiri tetapi ditarik balik di tengah perbicaraan.

ii) Saman-saman yang lain: Dato’ Seri Zahid Hamidi berhubung skandal tanah LTAT/Deepak (selesai mahkamah dengan baik tanpa permohonan maaf), Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berhubung skandal MARA (saya menang dan Sdr Khairul Azwan diarahkan membayar kos guaman dan kos tambahan kepada saya), LTAT berhubung kelewatan membayar pencen dan urusniaga LTAT & 1MDB (masih dalam proses perbicaraan), Dato’ Seri Najib & Datin Seri Rosmah berhubung penghapusan subsidi minyak (masih dalam proses perbicaraan, DS Najib/DS Rosmah membuat pelbagai permohonan dalam perbicaraan yang menyebabkan perbicaraan belum bermula sehingga kini).

iii) Hakim memutuskan kenyataan saya mengenai pembelian 8 unit hartanah di Ecocity adalah memfitnah bukanlah atas sebab perkara itu (pembelian 8 unit hartanah di Ecocity dengan dana NFC) tidak benar. Teras kepada penghujahan hakim ialah penggunaan perkataan “menyeleweng” di dalam kenyataan saya itu memberi gambaran NFC/suami DS Shahrizat Jalil berlaku tidak jujur apabila menggunakan dana NFC untuk membeli unit-unit hartanah itu. Hakim memutuskan bahawa sedang fakta kes mengesahkan dana NFC memang digunakan untuk pembelian hartanah itu, tiada bukti yang menunjukkan NFC/suami DS Shahrizat Jalil telah berlaku tidak jujur. Kenyataan saya yang menggunakan perkataan “menyeleweng” (dan bukannya salah guna) telah memberi gambaran NFC/suami DS Shahrizat Jalil telah tidak jujur dan itu dikira satu fitnah.

iv) Perkara di atas terkandung di dalam penghujahan penghakiman yang boleh dibaca di sini https://drive.google.com/open?id=0B2GRLI8QVQQgQjNWSW00Wk5kR1E

v) Perkara di atas dan penghujahan penghakiman itu dilaporkan oleh FMT di sini http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/31/rafizi-diperintah-bayar-rm15000-kepada-pengerusi-nfcorp/ yang memberi penerangan panjang lebar mengenai penggunaan perkataan “menyeleweng”

vi) Mengenai kes saman TS Khalid Ibrahim ke atas Dato’ Saifuddin Nasution (atas kapasiti peribadi dan sebagai Setiausaha Agung KEADILAN) dan Setiausaha Agung KEADILAN (yang disandang oleh saya pada ketika itu) mengenai dokumen 91 mukasurat yang memberi huraian sebab-sebab kenapa KEADILAN mengambil keputusan mahu menukar beliau sebagai Menteri Besar, kes itu diselesaikan di luar mahkamah dengan kedua-dua pihak saling memohon maaf atas permintaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Saya sebenarnya tidak bersetuju dengan permintaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu kerana saya bimbang ia akan mengundang fitnah selepas itu, tetapi Dato’ Saifuddin Nasution bersetuju untuk akur dengan permintaan Dato’ Seri Anwar itu. Kenyataan saling meminta maaf itu direkodkan oleh mahkamah.

vii) Isu yang timbul selepas itu ialah apabila ada pihak yang mendakwa tidak timbul soal TS Khalid Ibrahim turut meminta maaf kerana beliau meminta maaf bersempena bulan Syawal, kerana permohonan maaf oleh TS Khalid Ibrahim ada menyebut perkataan “Syawal”. Saya memang telah membantah perkataan itu dari dimasukkan dari awal tetapi sekali lagi Dato’ Seri Anwar meminta supaya tidak dipanjangkan. Beliau hadir ke mahkamah pada hari itu untuk menjadi saksi dan pada pendapat beliau, jika dipanjangkan kes saman itu hanya akan membawa lebih banyak aib kepada semua pihak termasuklah TS Khalid yang terpaksa masuk kandang saksi memberi keterangan mengenai perkara-perkara yang terkandung di dalam dokumen 91 mukasurat itu.

viii) Oleh kerana kes saman TS Khalid Ibrahim itu berakhir dengan baik di luar mahkamah secara saling memaafkan (walaupun timbul isu lain yang menjadi mainan politik selepas itu), maka tidak ada sebarang penghakiman mengenai dokumen 91 mukasurat itu. Tidak ada sebarang arahan untuk menurunkannya atau menghalang dari dokumen itu diulang seperti mana kes-kes saman biasa apabila tukang saman telah menang kes.

ix) Sebab itu, sehingga ke hari ini dokumen 91 mukasurat itu masih lagi berada di laman blog saya seperti mana sejak hari pertama isu ini timbul. Dokumen 91 mukasurat itu boleh dibaca di http://rafiziramli.com/2014/08/laporan-kes-kes-bersabit-integriti-melibatkan-tan-sri-khalid-ibrahim/

x) Jika dokumen ini bersifat fitnah seperti yang sering dijaja terutamanya oleh penyokong PAS, saya sepatutnya telah disaman agar satu perintah mahkamah diperolehi untuk menghalang saya dari menyiarkan dokumen ini. Sehingga kini, tidak pernah ada saman kerana tindakan menyaman saya bermakna TS Khalid Ibrahim perlu memberi keterangan bagaimana hutang RM70 juta dimaafkan oleh Bank Islam, seperti kandungan di dalam dokumen itu.

xi) Dalam kes saman DS Najib dan DS Rosmah mengenai penghapusan subsidi, saya tidak pernah meminta maaf kepada mereka, atau menafikan ada cincin-cincin mahal yang dibeli atau memberi alasan “saya bergurau”.

xii) Mereka menyaman saya atas alasan saya mendakwa “DS Rosmah telah menggunakan wang subsidi rakyat untuk membeli cincin”. Saya menjelaskan di dalam kenyatan bela diri bahawa ucapan saya tidak boleh dibaca secara harfiah (“literal”) sedangkan makna ucapan saya ialah bila subsidi dihapuskan oleh DS Najib, keuntungan dari hasil minyak negara pergi terus kepada Perdana Menteri/Menteri Kewangan dan penggunaannya diputuskan oleh Perdana Menteri. Ini menimbulkan risiko pembaziran dan pemborosan dalam keadaan isteri Perdana Menteri memang diketahui terkenal dengan gaya hidup begitu (ada cincin mahal).

xiii) Saya menjelaskan dalam kenyataan bela diri bahawa ucapan itu dibuat dalam gaya berseloroh seperti mana ucapan-ucapan ceramah. Perkataan “berseloroh” itulah yang diputarbelitkan oleh pihak tertentu kononnya apabila masuk ke mahkamah, saya mengaku saya hanya bergurau dan meminta maaf kepada DS Rosmah.

Saya tidak terkejut apabila perkara-perkara di atas memang sengaja diada-adakan oleh musuh politik saya yang tidak senang dengan pendedahan saya dan tumpuan saya kepada kes-kes penyelewengan.

Tetapi malanglah kalau jika hanya perbezaan parti menyebabkan kita tidak berhati-hati menyemak terlebih dahulu sehingga kita menuduh sesuatu (seperti Ariff Ramlan di atas) yang cenderong kepada fitnah.

Sebab itu dalam kes seperti Ariff Ramlan, tuduhan kononnya saya suka menokok tambah itu tidak betul. Saya yakin dia tahu dosa pahala kerana dia penyokong kuat PAS.

Jadi cara menangani pembenci sebegini ialah dengan menyatakan perkara dan fakta yang sebenar, moga-moga dia terdetik untuk tidak mengulanginya lagi.

Akan tetap ada yang terus mengulangi perkara-perkara yang cenderong kepada fitnah walaupun telah diberikan maklumat yang tepat. Petua untuk menangani pembenci sebegini ialah dengan menyerahkan perkara itu kepada Allah SWT untuk diselesaikan, saya memaafkan mereka semua kerana mereka manusia biasa yang terbawa-bawa dengan perasaan yang terlalu menebal.

Pendirian Pas Mengenai 1MDB Mengecewakan, Rasionalisasi 1MDB Adalah Pindahmilik Hutang Kepada Rakyat

Saya membaca beberapa kali laporan-laporan mengenai taklimat 1MDB oleh CEOnya Arul Kanda Kandasamy kepada pimpinan tertinggi PAS. Saya juga menonton rakaman sidang media oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS untuk memastikan saya tidak tersalah dengar.

Kesimpulan yang dibuat oleh kepimpinan PAS selepas taklimat itu dilaporkan seperti berikut:

i. Bahawa PAS berpuas hati dengan proses rasionalisasi 1MDB;
ii. Bahawa PAS merasakan perlu ada pemantauan ke atas syarikat-syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang mengambil alih aset dan hutang 1MDB itu

Saya tidak pasti sama ada pimpinan PAS yang hadir di dalam taklimat itu faham apa makna proses rasionalisasi 1MDB yang dihukumkan sebagai “memuaskan” itu.

Proses rasionalisasi 1MDB seperti yang dijaja oleh Arul Kanda dan pimpinan Umno/Barisan Nasional ialah proses memindahkan hutang-hutang 1MDB kepada syarikat-syarikat milik penuh kerajaan melalui MOF Inc. Segala yang diterangkan oleh Arul Kanda itu sudah pun diketahui umum dan melibatkan perkara-perkara berikut:

i. Menjual aset-aset negara kepada syarikat swasta dan asing, dengan harapan dana yang dibayar itu akan dapat mengurangkan hutang 1MDB disamping memindahkan hutang-hutang lain yang diwarisi semasa 1MDB membeli asetnya kepada pembeli baru itu. Contohnya, penjualan Edra kepada syarikat milik kerajaan China;

ii. Menjual aset-aset negara kepada syarikat swasta dan asing, dengan harapan pembangunan di tanah-tanah itu akhirnya akan membawa keuntungan yang sebahagiannya akan dikongsi oleh Kerajaan Malaysia suatu ketika nanti. Penjualan itu juga diharap akan dapat membawa dana untuk membantu 1MDB mengurangkan hutangnya. Contohnya, penjualan tanah-tanah di Pengkalan Udara Sungai Besi kepada syarikat swasta dan syarikat milik Kerajaan China untuk dibangunkan menjadi Bandar Malaysia;

iii. Menjual aset-aset negara kepada tabung-tabung dana rakyat pada harga yang berkali ganda mahalnya atau memindahkan operasi tabung-tabung dana rakyat ke pembangunan baru yang diusahakan 1MDB walaupun tidak ada keperluan tabung-tabung tersebut membelanjakan wang untuk ibupejabat yang baru. Contohnya, penjualan tanah kepada Tabung Haji dan keputusan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) untuk membina ibupejabat baru di Tun Razak Exchange;

iv. Memindahkan anak syarikat-syarikat 1MDB yang dibebani hutang kepada kerajaan sepenuhnya dan seterusnya mewarisi hutang-hutang tersebut. Contohnya, SRC International Sdn Bhd dipindahkan kepada MOF Inc dan mewarisi hutang RM4 bilion yang kini ditanggung rakyat.

Sebab itu saya ingin bertanya kembali kepada kepimpinan PAS: apabila mereka berpuas hati dengan kemajuan proses rasionalisasi itu, adakah mereka bersetuju dengan kaedah memindahkan hutang 1MDB kepada rakyat sedangkan wang yang dipinjam oleh 1MDB itu telah jelas lesap dan diselewengkan untuk membeli harta-harta mewah?

Di mana baiknya tindakan-tindakan merompak wang rakyat, kemudian menjual harta-harta rakyat untuk menutup lubang hutang setelah hutang-hutang itu dipindahmilik kepada kerajaan? Pada masa yang sama, kerajaan terpaksa mengutip cukai yang baru (GST), meningkatkan kutipan cukai sedia ada sehingga orang yang mati pun masih perlu membayar cukai dan memotong perbelanjaan-perbelanjaan penting seperti pendidikan dan kesihatan?

Saya kecewa dengan kenyataan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan pendirian pimpinan PAS itu kerana ia akan dijadikan modal oleh Umno/Barisan Nasional untuk menghalalkan tindakan memindahkan hutang kepada rakyat.

Sewajarnya, bila Arul Kanda atau pengurusan 1MDB menawarkan untuk memberi taklimat, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man perlu mengambil peluang itu untuk membawa Arul Kanda berhadapan dengan Parlimen kerana selama ini Arul Kanda mengelak daripada hadir mengambil soalan-soalan ahli parlimen, terutamanya ahli parlimen pembangkang.

Saya menasihatkan pimpinan PAS supaya lebih berhati-hati dan tidak terperangkap dengan permainan propaganda Umno/Barisan Nasional yang hanya mahu menggunakan PAS untuk mengurangkan kritikan rakyat terhadap penyelewengan-penyelewengan yang telah berlaku di dalam1MDB.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Biayaramai NFC: Jangan Putus Harapan

10 hari lalu, dengan berat hati saya umumkan hasrat mendapatkan sumbangan untuk membayar sejumlah RM300,000 kepada NFC seperti yang diarahkan mahkamah. Saya melengah-lengahkannya beberapa minggu dan cuba mencari jalan lain kerana saya tidak berasa selesa untuk memohon sumbangan sebegitu. Sebelum ini memang saya pernah menggunakan “crowdfunding” atau “biayaramai” (saya pilih “biayaramai” sebagai terjemahan yang paling tepat kerana saya belum terjumpa terjemahan rasmi), tetapi dana itu digunakan bukan untuk diri saya.

Berat hari itu bertambah kerana saya sedar sejak setahun lalu, ramai rakyat Malaysia yang tidak saya kenali telah menyumbang wang (RM20, RM50, RM100 mengikut kemampuan masing-masing) secara berterusan untuk membiayai operasi INVOKE. Di kala saya mengumumkan kempen biayaramai itu Isnin lalu, INVOKE telah menerima sumbangan mencecah RM2.5 juta dari rakyat Malaysia. Saya segan untuk mengumumkan satu kempen biayaramai yang baru, lebih-lebih lagi kerana melibatkan kes mahkamah saya.

Saya maklumkan keputusan saya kepada pasukan muda saya di INVOKE untuk menggunakan akaun INVOKE supaya apa-apa sumbangan melepasi RM300,000 perlulah dipulangkan balik kepada rakyat. Pun begitu, bukanlah mudah untuk memulangkan kembali wang kepada setiap yang menyumbang. Maka cara yang terbaik ialah dengan menyalurkan sumbangan yang lebih itu kepada perkara yang didokong oleh sebahagian besar yang menyumbang. Saya yakin mereka yang menyumbang berbuat demikian kerana bencikan rasuah. Mereka yang bencikan rasuah selalunya bersetuju kepimpinan negara perlu berubah, sebab itu sebaiknya biayaramai ini dibuat menggunakan akaun INVOKE.

Dengan tidak menggunakan akaun peribadi saya, setiap satu sen sumbangan akan diaudit dan dikira untuk dilaporkan kembali kepada rakyat.

Selalunya, satu-satu kempen biayaramai di Malaysia mengambil masa antara satu ke dua minggu bergantung kepada sambutan. Macam mana pun, kami terpaksa menunggu sekurang-kurangnya seminggu untuk mendapatkan laporan sumbangan dari pembayaran maya (“online payment gateway”) kerana laporan dihantar seminggu sekali. Jika kami mengisytiharkan jumlah sumbangan tanpa menunggu jumlah sumbangan melalui pembayaran maya, ia samalah seperti kami tidak mengisytiharkan sebahagian dari sumbangan.

Alhamdulillah laporan mingguan sumbangan melalui pembayaran maya itu diterima semalam lalu bolehlah kami menjumlahkan sumbangan terkumpul bersama sedikit analisa.

Dalam tempoh 10 hari, seramai 7,435 rakyat Malaysia menjawab rayuan saya dan secara bersama menyumbang sejumlah RM1,585,014.49. Jumlah ini adalah 5 kali jumlah yang diperlukan untuk membayar NFC.

Mereka yang menyumbang datangnya dari pelbagai latar belakang. Dari 5,135 penyumbang yang maklumat mereka diketahui, seramai 1,575 orang adalah Melayu, 2,903 adalah Cina, 348 adalah India, 40 Bumiputra Sabah dan 91 Bumiputra Sarawak. Baki 2,300 orang lagi menyumbang melalui mesin deposit tunai yang tidak memberi maklumat mereka.

84% dari keseluruhan sumbangan adalah dalam bentuk sumbangan kecil, paling sedikit RM10 dan paling tinggi pun RM200 setiap sumbangan.

Download (PDF, 307KB)

Saya berkongsi maklumat penyumbang mengikut pecahan begini supaya rakyat Malaysia keseluruhannya membuat kesimpulan yang sama seperti saya; iaitu dalam usaha membanteras rasuah dan penyelewengan – kita semua serupa. Walau kita sering cuba dilaga-lagakan agar berpecah belah, peliknya (tetapi indah) sepanjang minggu lepas saya menyaksikan sendiri bagaimana rakyat Malaysia yang berlainan kaum, agama, harta kekayaan dan darjat dunia boleh bersatu untuk satu matlamat yang sama: menghantar isyarat bahawa mereka akan menyokong sesiapa yang berusaha melawan rasuah dan penyelewengan.

Saya benar-benar tersentuh hati mengenangkan keikhlasan mereka yang menyumbang mengikut cara dan kemampuan masing-masing.

Beberapa orang Ahli Parlimen PAS menghampiri saya dari tempat duduk mereka (yang kini terpisah jauh di sebelah kiri Dewan Rakyat) untuk menyampaikan sumbangan tunai mereka secara terbuka di khalayak ahli parlimen yang lain, walaupun kebelakangan ini hubungan parti-parti kami tidak lagi seperti sebelum ini. Semasa trak kempen INVOKE singgah di Temerloh minggu lalu, seorang kakak mengirimkan sumbangan RM20 dengan satu nota kata-kata semangat yang distapelkan bersama wang itu. Laman-laman berita seperti Malaysiakini, Cilisos dan banyak lagi yang lain memuatnaik berita mengenai biayaramai ini yang membantu menularkan rayuan saya itu dengan cepat.

Saya membaca setiap satu dari beribu-ribu kata-kata semangat, doa dan nasihat dari orang ramai yang datang mencurah-curah itu. Saya sedar banyak kata-kata itu terlalu baik dan tidak sepadan dengan usaha saya, sebaiknya saya hanya boleh berterima kasih sebanyak-banyaknya kepada setiap insan yang telah membantu dengan apa jua cara (baik yang menyumbang, yang menularkan maklumat, yang menganjurkan majlis kecil untuk mengutip sumbangan sesama mereka, yang menulis mengenainya, yang menghantar komen dan kata-kata semangat di media sosial dan banyak lagi).

Sejumlah RM300,000 dari keseluruhan sumbangan akan diserahkan kepada peguam-peguam saya untuk menguruskan tuntutan NFC.

Bakinya akan digunakan untuk membiaya operasi INVOKE yang mengendalikan kempen di 50 kerusi parlimen marginal di seluruh negara, yang menelan belanja purata RM300,000 sebulan. Sebahagian besar dari belanja ini adalah tanggungan gaji 80+ orang kakitangan sepenuh masa INVOKE di seluruh negara yang bekerja di belakang tabir saban hari untuk membantu kemenangan di 50 kerusi ini.

INVOKE akan menerbitkan laporan setiap suku tahun untuk menunjukkan bagaimana kos operasi dibelanjakan dan penyata kewangan INVOKE yang diaudit akan disiarkan sepenuhnya untuk diteliti rakyat.

Dalam banyak ikhtiar saya yang lain sebelum-sebelum ini, setiap kali saya menemui kebuntuan, saya mengingatkan diri saya kepada satu bab akhir dari “Fellowship of The Ring” karya agung penulis terkenal JRR Tolkien. Apabila watak utama Frodo Baggins dan Samwise Gamgee berada di tengah-tengah sungai setelah berpisah dari kawan-kawan mereka yang lain, Frodo memandang sedih ke arah tebing mengenangkan kawan-kawan mereka yang terpisah selama-lamanya.

“I don’t suppose we’ll ever see them again” said Frodo.
Agaknya kita tidak akan bertemu lagi dengan mereka sampai bila-bila” kata Frodo.

“We may yet Mr Frodo, we may” replied Sam comfortingly.
“Jangan putus harapan Mr Frodo, masih ada harapan” kata Sam.

Dalam saat-saat yang sangat genting sepanjang sejarah pendek negara kita, rakyat Malaysia yang bersaudara telah berkali-kali menongkah arus dan mengenepikan perbezaan sesama kita untuk bersatu hati di saat-saat yang paling memerlukan kesatuan itu. Sepanjang minggu lalu, keyakinan saya kepada kemuliaan rakyat Malaysia diperbaharui malah diperkukuhkan.

Hati saya berbisik: memang banyak ranjau di sepanjang jalan ini, tapi kita masih ada harapan untuk bertemu hari-hari yang lebih baik selepas ini.

Terima kasih Malaysia.

Rafizi Ramli

%d bloggers like this: