Garis Panduan Dari Dato’ Seri Anwar Ibrahim Memudahkan Untuk Memuktamadkan Keputusan Rundingan KEADILAN-PAS

Saya mengalu-alukan kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai isu rundingan kerusi di antara KEADILAN dengan PAS yang banyak membantu menjelaskan latar belakang persetujuan beliau mengenai rundingan tersebut (ketika isu ini timbul dua tahun lalu) dan pandangan mutakhir beliau setelah dua tahun perkara ini berlanjutan.

Saya ada pilihan untuk tidak mengulas lanjut kenyataan tersebut, namun saya khuatir ia disalah erti sehingga menyebabkan Dato’ Seri Anwar menjadi sasaran cemuhan rakyat apabila kenyataan itu ditafsirkan secara sekerat-sekerat sehingga ia keluar dari konteks sebenar.

Sejak semalam, saya lihat ada pihak yang mendakwa kenyataan Dato’ Seri Anwar itu menjadi bukti bahawa strategi berunding dengan PAS hingga ke saat akhir itu datangnya dari Dato’ Seri Anwar sendiri. Ramai penyokong KEADILAN dan Pakatan Harapan serta rakyat terbanyaknya yang kecewa, tidak kurang juga yang menyerang Dato’ Seri Anwar.

Dengan keterbatasan yang beliau ada kerana terpenjara, pandangan Dato’ Seri Anwar selama ini pun (dalam sesuatu perkara) memang berbentuk panduan umum yang memberi garisan jelas pertimbangan-pertimbangan yang mesti diambil kira dalam membuat keputusan. Beliau menyenaraikan sempadan-sempadan (“parameters”) supaya keputusan yang dibuat mengambil kira perkara-perkara penting yang ditetapkan oleh sempadan-sempadan itu.

Namun akhirnya, keputusan diserahkan untuk dibincangkan dan dimuktamadkan oleh pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan kerana beliau ada keterbatasan dari segi maklumat terkini yang diperolehi. Dalam isu rundingan kerusi dengan PAS ini, keterbatasan maklumat itu lebih meruncing kerana satu-satunya saluran maklumat beliau yang paling kerap ialah melalui peguam-peguam Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan N Surendren yang ketiga-tiganya adalah pendokong kepada cadangan bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan 3 penjuru.

Sebab itu saya menyambut baik kenyataan Dato’ Seri Anwar semalam kerana ia mengulangi perkara-perkara prinsip yang telah beliau tegaskan sejak dua tahun lalu apabila isu-isu ini mula-mula timbul.

Perkara-perkara prinsip yang dirujuk oleh Dato’ Seri Anwar dalam kenyataan beliau adalah:

1. Segala bentuk kerjasama dengan PAS, kalau pun berlaku, mestilah dalam bentuk kerangka komitmen KEADILAN dengan Pakatan Harapan (dan bukannya atas dasar KEADILAN bersendiri dengan PAS)

2. Segala bentuk kerjasama dengan PAS, kalau pun berlaku, mestilah dalam konteks strategi pilihanraya nasional (yang merangkumi semua parti di dalam Pakatan Harapan dan semua kerusi di seluruh negara) dan bukannya terbatas kepada Selangor semata-mata

3. Pendekatan KEADILAN untuk tidak memusuhi PAS bagi tujuan berunding adalah bersyarat kepada kesediaan PAS untuk saling berunding; dan (penilaian sama ada PAS masih bersedia untuk berunding itu) tertakluk kepada penilaian pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan dari semasa ke semasa

4. Kebimbangan mengenai sikap PAS terhadap Umno dan kemungkinan kerjasama di antara dua parti itu adalah satu pertimbangan penting; dan Dato’ Seri Anwar berpegang kepada penafian Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini

5. Tempoh masa rundingan yang lama yang tidak membuahkan hasil membawa risiko besar kepada persediaan menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14)

Kesemua perkara di atas adalah panduan-panduan yang telah digariskan oleh Dato’ Seri Anwar sejak dua tahun lalu. Oleh sebab itulah, KEADILAN mengambil pendekatan untuk membidani penubuhan Pakatan Harapan dan pada masa yang sama terus mengekalkan hubungan dengan PAS selepas itu.

Seruan saya supaya keputusan mengenai rundingan dengan PAS dimuktamadkan segera oleh pimpinan (dan jika tidak, wajar diserahkan kepada pimpinan akar umbi untuk diputuskan melalui Kongres Khas mengikut peruntukan Perlembagaan parti) sebenarnya mengambil kira banyak perkembangan terkini yang telah menyentuh garis-garis sempadan yang ditentukan oleh Dato’ Seri Anwar sejak dua tahun lalu.

Saya senaraikan perkembangan-perkembangan terkini yang sewajarnya membolehkan KEADILAN membuat keputusan segera dengan berpandukan garis prinsip yang ditetapkan Dato’ Seri Anwar:

i. Segala bentuk kerjasama dengan PAS mestilah dalam kerangka komitmen KEADILAN dalam Pakatan Harapan – Majlis Presiden Pakatan Harapan telah membuat keputusan muktamad menolak sebarang bentuk rundingan kerusi dengan PAS pada saat ini memandangkan ia akan melengah-lengahkan persediaan di peringkat Pakatan Harapan jika pembahagian kerusi tidak dapat dimuktamadkan. Sebagai parti yang membidani kelahiran Pakatan Harapan, KEADILAN wajar menghormati keputusan yang dibuat Pakatan Harapan;

ii. Segala kerjasama dengan PAS mestilah melibatkan seluruh negara dan bukannya terbatas kepada Selangor sahaja – kenyataan pimpinan PAS secara berterusan mengesahkan parti itu akan bertanding di kesemua kerusinya semasa di bersama Pakatan Rakyat di seluruh negara. Kenyataan terkini Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man juga menegaskan rundingan hanya boleh berlaku jika kerusi-kerusi PAS tidak disentuh diseluruh negara. Ini menyebabkan mustahil boleh berlaku sebarang kerjasama kerana tidak ada ruang langsung untuk AMANAH dan PPBM bertanding, sedangkan dua parti rakan Pakatan Harapan ini wajar diberi ruang sebaiknya untuk sama-sama membantu menjana kemenangan. Dalam keadaan ini, adalah mustahil satu formula dapat dicapai yang memuaskan hati semua pihak di peringkat Selangor dan seluruh negara;

iii. Rundingan dengan PAS adalah bersyarat kepada kesediaan PAS untuk saling berunding dan tertakluk kepada penilaian pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan dari semasa ke semasa – Sehingga hari ini, PAS terus berpendirian untuk tidak berunding dengan KEADILAN atau Pakatan Harapan. Malah, PAS Selangor yang merupakan sebahagian dari Kerajaan Selangor telah mengisytiharkan untuk bertanding di 42 kerusi DUN Selangor, termasuk Parlimen Gombak yang diwakili Dato’ Seri Azmin Ali sendiri. Pendirian PAS untuk tidak berunding ini bukan sahaja disampaikan kepada KEADILAN tetapi juga telah disampaikan kepada pimpinan PPBM terlebih dahulu. Maka tidak hairanlah Majlis Presiden membuat penilaian bahawa PAS tidak lagi bersedia untuk berunding dan wajarlah rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan tidak lagi dilengah-lengahkan dengan cubaan memujuk PAS;

iv. Kebimbangan rakyat mengenai sikap PAS terhadap Umno – Saya tidak pasti bila kali terakhir ada perhubungan terus di antara Dato’ Seri Anwar dan Dato’ Tuan Ibrahim memandangkan keterbatasan ruang yang wujud di antara mereka. Masalahnya, keputusan pimpinan PAS ditentukan oleh Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan bukannya Dato’ Tuan Ibrahim. Sehingga kini, Dato’ Seri Abdul Hadi belum menafikan beliau ada berbincang secara berterusan dengan Dato’ Seri Najib mengenai kemungkinan mewujudkan kerjasama PAS-Umno untuk merampas Selangor dalam PRU14 seperti laporan media baru-baru ini. Malah, kalau pun Dato’ Tuan Ibrahim mampu mempengaruhi keputusan JK PAS Pusat, kenyataan beliau baru-baru ini yang “berpuas hati dengan pelan rasionalisasi 1MDB” selepas mengadakan pertemuan dengan CEO 1MDB (Arul Kanda Abdullah) tidak membantu meredakan kebimbangan rakyat mengenai sikap PAS terhadap Umno;

v. Tempoh masa rundingan yang lama – sehingga kini, tidak ada sebarang kemajuan dalam rundingan di antara KEADILAN dan PAS. Wakil KEADILAN yang diberi tanggungjawab berunding dengan PAS iaitu Dr Shaharuddin Badaruddin (Naib Presiden dilantik) sehingga sekarang tidak ada laporan yang kukuh dan masih lagi di perbincangan awal, sedangkan PRU14 semakin dekat.

Justeru, saya mengalu-alukan saranan Dato’ Seri Anwar supaya “segala keputusan perlu dimuktamadkan segera” memandangkan PRU14 yang terlalu dekat.

Beliau memohon supaya Presiden dan pimpinan KEADILAN diberikan ruang untuk memberi arah yang seterusnya (maksudnya membuat keputusan segera) selaras dengan pendirian KEADILAN dan muafakat Pakatan Harapan.

Pendirian KEADILAN telah lama dipersetujui seperti yang digariskan oleh prinsip-prinsip di atas dan diulangi sekali lagi oleh Dato’ Seri Anwar dalam kenyataannya semalam. Muafakat Pakatan Harapan juga telah memutuskan tidak ada lagi sebarang rundingan dengan PAS untuk membolehkan Pakatan Harapan menumpukan perhatian kepada persediaan PRU14 pada kadar segera.

Sebab itu bagi saya, isu ini tidak lagi berbangkit dan kenyataan Dato’ Seri Anwar semalam tidak boleh disalah ertikan sebagai persetujuan untuk terus menggantung rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan demi memujuk PAS sehingga ke saat akhir penamaan calon.

Jika garis-garis panduan yang jelas yang diberikan oleh Dato’ Seri Anwar (besertakan keputusan di peringkat Pakatan Harapan dan penolakan PAS) masih belum membolehkan satu keputusan muktamad mengenai perkara ini di peringkat pimpinan KEADILAN, maka ahli akar umbi berhak untuk menggunakan peruntukan Perlembagaan untuk memanggil Kongres Khas dan memuktamadkan keputusan tersebut bagi pihak parti.

Saya bersetuju dengan Dato’ Seri Anwar bahawa sewajarnya ia tidak perlu sampai ke situ kerana keputusannya sudah “terang lagi bersuluh”. Keutamaan kita sekarang adalah mempamerkan kejujuran dan keikhlasan dalam membela rakyat terbanyak yang saya pasti akan turut memikat hati ahli-ahli PAS biasa yang rata-ratanya mahu menukar kerajaan Umno/BN seperti mana juga kami di Pakatan Harapan.

Membawa isu rakyat adalah strategi yang lebih baik untuk memenangi undi penyokong PAS, bukannya rundingan dengan pimpinan yang secara jelas telah menemui jalan buntu.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Tiada Amaran Atau Tindakan Dari Biro Politik, Tumpu Kepada Persediaan Pilihanraya

Saya dihubungi berkali-kali oleh rakan-rakan media pada Hari Raya Aidiladha mengenai satu laporan yang disiarkan Sinchew Daily kononnya saya diberi amaran keras oleh Biro Politik kerana memburukkan nama baik parti dan akan dipecat dari KEADILAN jika terus bersuara. Berita itu ditulis berdasarkan satu sumber dari Biro Politik yang tidak dinamakan.

Saya ingin mengesahkan bahawa tidak ada sebarang keputusan Biro Politik yang begitu. Saya tidak diberi sebarang amaran oleh sesiapa dan tiada sebarang keputusan mengenai tindakan tatatertib dibuat oleh Biro Politik. Sudah tentu berita yang saya boleh dipecat juga direka-reka.

Semua ini telah disahkan oleh Setiausaha Agung, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail.

Saya tidak terkejut dengan perkara ini kerana ia pernah berlaku beberapa kali sebelum ini setiap kali ada perbezaan pendapat yang ketara di dalam kepimpinan. Ada beberapa orang pimpinan KEADILAN yang gemar memberikan gambaran yang salah kepada pihak media dengan berselindung di sebalik nama “sumber dalaman parti” untuk memastikan pandangan mereka diambil sebagai pandangan umum, walaupun itu bertentangan dengan perbincangan atau keputusan sebenar Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Ini pernah berlaku semasa pelantikan Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, apabila berita-berita yang tidak sahih terus dibekalkan kepada pengamal media yang jelas memusuhi KEADILAN seperti Jocelyn Tan dari The Star. Walaupun mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat dengan secara jelas memutuskan hanya satu calon untuk jawatan Menteri Besar iaitu Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ada sahaja berita-berita dari sumber tidak rasmi kononnya ada keputusan yang berbeza.

Perkara yang sama berlaku menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak. Sedang Biro Politik berkali-kali memutuskan untuk mempertahankan perjanjian pembahagian kerusi yang telah dipersetujui di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan, ada segelintir ahli Biro Politik yang menghantar mesej yang berlainan kepada pimpinan KEADILAN di Sarawak, yang akhirnya sampai kembali kepada saya sebagai Setiausaha Agung apabila mereka (pimpinan akar umbi) mahu mengesahkan berita itu.

Selagi 2-3 orang ahli Biro Politik ini tidak berdisiplin dan memberikan maklumat yang salah kepada pihak media dan anggota parti, keadaan akan terus bercelaru.

Oleh sebab itulah saya mengambil keputusan (sejurus selepas Pilihanraya Negeri Sarawak dan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar) bahawa masa dan tenaga saya lebih dimanfaatkan bergelumang dengan kempen KEADILAN dan Pakatan Harapan di kerusi-kerusi marginal berbanding cuba membetulkan maklumat yang salah yang disebarkan secara berterusan oleh 2-3 orang ahli Biro Politik ini.

Sebelum ini, saya mengambil keputusan untuk berdiam diri agar perkara ini tidak sampai ke pihak media tatkala pimpinan-pimpinan yang sama sedang mengusahakan perbincangan dengan PAS. Untuk tidak terus bertembung akibat maklumat yang salah disebarkan, saya mengambil keputusan lebih baik tidak turut serta di dalam mesyuarat Biro Politik untuk mengurangkan kebarangkalian saya terpaksa membetulkan versi keputusan Biro Politik yang kerapnya diberikan tafsiran berbeza.

Kini, kita sudah terlalu dekat dengan Pilihanraya Umum ke-14 dan sewajarnya kita memberi fokus kepada persediaan PRU14 (bukannya berita-berita dalaman sebegini).

Saya mengalu-alukan kenyataan Dato’ Seri Azmin Ali untuk patuh kepada keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan dan saya yakin sebagai Pengarah Pilihanraya PH, beliau ada ruang besar untuk menyumbang memperkasakan persediaan PH menghadapi BN, walaupun jika berlaku pertembungan 3 penjuru.

Saya juga menyeru keseluruhan pimpinan KEADILAN dari yang tertinggi di Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat, sehinggalah kepada pimpinan akar umbi untuk memberi tumpuan kepada persediaan PRU14 dan tidak melayan berita politik yang tidak membantu mengalahkan Umno/BN.

Saya akan terus turun ke kerusi-kerusi marginal di seluruh negara. Dalam bulan Julai dan Ogos, saya telah berkempen sebanyak 61 kali (ceramah dan acara kempen lain) di 46 kerusi marginal di peringkat Parlimen dan DUN di seluruh negara iaitu sekitar 7 atau 8 kerusi DUN/Parlimen setiap minggu tanpa henti. Jumlah tontonan terkumpul kesemua ceramah-ceramah ini di Facebook dan Youtube telah mencecah 1.1 juta tontonan sepanjang dua bulan ini.

Saya yakin tanggungjawab berjumpa pengundi di bawah dan menyampaikan maklumat sebegini adalah lebih penting dari melayan berita-berita tidak sah yang direka oleh sumber-sumber yang tidak berani menerbitkan nama mereka sendiri.

Maka, saya beranggapan perbezaan pendapat mengenai rundingan kerusi dengan PAS telah tamat dengan keputusan Majlis Presiden PH yang dipersetujui oleh Biro Politik KEADILAN dan dihormati oleh Dato’ Seri Azmin Ali sendiri dalam kenyataannya dua hari lalu kepada pihak media.

Oleh itu, ini masa untuk menjaga kawasan masing-masing dan menumpukan perhatian kepada kempen akar umbi untuk menghadapi PRU14 yang boleh dipanggil bila-bila masa dari sekarang.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Harga Minyak Kekal Tinggi Walaupun Dato’ Seri Najib Ambil RM3 Bilion Tambahan Dari Petronas

Berikut saya sertakan jadual pengiraan penuh untuk menganggarkan harga RON95 yang akan berkuatkuasa bermula tengah malam ini berdasarkan perkara-perkara berikut:

1. Semakan harga mingguan sejak tiga bulan lalu menunjukkan harga rujukan MOPS95 yang digunakan kerajaan untuk mengira harga RON95 adalah bagi dua minggu sebelum (bermakna bagi minggu berkuat kuasa 31 Ogos ke 6 September, harga rujukan MOPS diambil dari laporan bagi minggu 14 Ogos ke 20 Ogos)

2. Jadual di bawah dibangunkan untuk menyesuaikan kiraan dengan laporan MOPS95 mengikut minggu seperti yang diterbitkan Institut Petroleum Australia iaitu satu-satunya (setakat ini) sumber awam yang menerbitkan harga mingguan MOPS95. Besar kemungkinan kerajaan menggunakan laporan MOPS95 yang dibeli khusus dan menunjukkan harga harian

3. Oleh itu ada sedikit perbezaan di antara harga yang dianggarkan mengikut jadual ini berbanding yang dikira mengikut harga rujukan harian MOPS95 bagi tempoh yang sama

Berdasarkan keadaan semasa harga minyak mentah dunia, harga petrol RON95 yang didagangkan di Singapura yang menjadi harga rujukan dalam formula kerajaan dan nilai matawang Ringgit berbanding AS Dollar dan matawang lain, saya menganggarkan harga RON95 sepatutnya kekal pada harga RM2.15 seliter untuk seminggu akan datang.

Ini bermakna, ini minggu ketiga berturut-turut harga RON95 ditetapkan pada harga RM2.15 seliter iaitu satu harga yang mahal berbanding harga-harga sebelum ini. Ia juga mengesahkan amaran-amaran saya sebelum ini bahawa harga petrol dan diesel akan kekal pada harga yang tinggi berbanding sebelum ini sekiranya pentadbiran Dato’ Seri Najib masih berdegil untuk tidak memperkenalkan harga siling dan mengembalikan subsidi.

Di antara minggu pertama April 2017 (iaitu minggu pertama harga disemak secara mingguan) sehingga kini, harga RON95 sebenarnya hanya turun sebanyak 6 kali sedangkan dinaikkan sebanyak 12 kali dan kekal pada harga yang sama sebanyak 3 kali.

Melihatkan maklumat pasaran mengenai harga minyak mentah dunia (Brent) dan nilai matawang Ringgit berbanding AS Dollar seperti di bawah (sumber Bloomberg), saya telah menyatakan sebelum ini bahawa keadaan harga yang kekal di paras tersebut bermakna rakyat akan terus membayar petrol dan diesel pada kadar sekarang untuk tempoh yang akan datang.

 

Matawang Ringgit telah jatuh nilai ke paras sekarang yang kekal begitu sejak beberapa bulan lalu

Walaupun harga minyak mentah dunia telah jatuh kepada separuh harganya sebelum 2015, rakyat Malaysia membayar harga RON95 yang lebih tinggi berbanding sebelum ini

 

Ini adalah tidak adil kerana harga minyak mentah sebenarnya telah jatuh lebih dari separuh dari nilainya sebelum 2015, iaitu dari sekitar USD110 setong kepada sekitar USD50 setong dari awal 2017 hingga kini. Sebaliknya, harga RON95 yang dibayar oleh rakyat bukannya berkurangan satu kali ganda seperti yang sepatutnya, ia telah naik dari RM2.10 (purata 2014) kepada RM2.15 seliter sekarang disebabkan kejatuhan nilai matwang Ringgit dan penghapusan subsidi yang kedua-duanya berpunca dari kelemahan pentadbiran Dato’ Seri Najib.

Paling mengecewakan, sedang Dato’ Seri Najib memekakkan telinga kepada tuntutan untuk mengembalikan subsidi agar harga petrol dan diesel di Malaysia melambangkan kejatuhan harga minyak mentah dunia (iaitu perlu ada penurunan harga sekarang berbanding harga 2014 kerana harga minyak mentah telah susut separuh), kita dikejutkan dengan pengumuman bahawa Putrajaya akan mendapat tambahan dividen dari Petronas sebanyak RM3 bilion lagi untuk dibelanjakan dalam tempoh 4 bulan terakhir tahun ini.

Dividen tambahan sebanyak RM3 bilion bagi tempoh yang pendek, jika dibelanjakan bagi perkara-perkara lain yang tidak sampai terus kepada rakyat, adalah satu penghinaan kepada rakyat yang memerlukan bantuan segera untuk menstabilkan harga minyak. Tambahan lagi, saya telah menunjukkan sebelum ini bagaimana jumlah subsidi yang perlu dibelanjakan oleh kerajaan setiap tahun (pada harga minyak mentah sekarang dan tukaran matawang Ringgit sekarang) adalah sekitar RM5 bilion ke RM6 bilion (bergantung kepada berapa kuota bulanan RON95 dan diesel yang ditetapkan oleh kerajaan) sahaja untuk menstabilkan RON95 pada harga RM1.80 seliter.

Maknanya jumlah dividen tambahan RM3 bilion ini, jika dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk subsidi minyak yang tertakluk kepada kuota penggunaan maksimum bulanan, adalah mencukupi untuk menurunkan harga RON95 kepada RM1.80 seliter sahaja.

Saya akan terus memantau bagaimana wang rakyat dari hasil minyak dibelanjakan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib, tetapi rakyat perlu menerima kenyataan bahawa selagi kerajaan Umno/Barisan Nasional tidak diturunkan, harga RON95 akan kekal pada harga sekarang walaupun sebenarnya harga minyak mentah dunia kini telah susut hampir 50% dari harga dalam tahun 2014 dahulu.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Peningkatan Kutipan Cukai Pendapatan Sejak Dato’ Seri Najib Menjadi PM Sudah Pun Tinggi, Sekarang LHDN Terus Kejar Rakyat

Kebelakangan ini, semakin banyak berita mengenai denda dan saman dikenakan terhadap individu atau syarikat atas tuduhan tidak membayar cukai pendapatan yang dikutip oleh LHDN. Selain menjadi bualan rakyat kerana ada dakwaan LHDN digunakan untuk menghukum tokoh-tokoh perniagaan yang dilihat rapat dengan Pakatan Harapan, berita bahawa LHDN mengutip cukai dari orang yang sudah mati juga mengejutkan rakyat.

Isu peningkatan drastik tindakan yang diambil oleh LHDN berkenaan dakwaan salah laku berkaitan cukai pendapatan adalah isu yang besar kerana beberapa faktor berikut:

1. Pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak melaksanakan GST dengan menggunakan alasan bahawa pendapatan Kerajaan Persekutuan dari hasil cukai pendapatan adalah tidak mencukupi kerana sebahagian besar rakyat Malaysia tidak membayar cukai pendapatan

2. Hasil Kerajaan Persekutuan adalah tidak mencukupi kerana kononnya pendapatan dari hasil petroleum adalah rendah, lalu memaksa pentadbiran Dato’ Seri Najib melaksanakan GST

Oleh yang demikian, hujah ekonomi dan moral yang paling kukuh di pihak Dato’ Seri Najib untuk melaksanakan GST ialah kurangnya kutipan cukai pendapatan kerana rakyat/syarikat Malaysia tidak membayar cukai pendapatan yang mencukupi.

Malangnya, setelah GST dilaksanakan dan kini menjadi beban besar kepada rakyat Malaysia, pentadbiran Dato’ Seri Najib mengejar pula rakyat biasa untuk mengutip cukai pendapatan. Dalam tempoh dua tahun yang lalu, ramai rakyat biasa yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan, peniaga kecil-kecilan malah waris orang yang telah mati menerima notis dari LHDN untuk melangsaikan tunggakan cukai kepada kerajaan atas taksiran atau audit yang dilakukan oleh LHDN.

Terbaru, LHDN mengumumkan untuk memburu golongan profesional seperti arkitek, peguam dan jurutera pula untuk operasi pengauditan cukai, seperti kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Sabin Samitah (seperti laporan Bernama/Awani di http://www.astroawani.com/berita-bisnes/cukai-lhdn-mahu-buru-arkitek-peguam-dan-jurutera-153801?amp=1)

Saya ingin membentangkan prestasi kutipan cukai pendapatan oleh LHDN sejak tahun 2010 iaitu genap tahun pertama pentadbiran Dato’ Seri Najib sehingga anggaran kutipan cukai tahun 2017, seperti jadual di bawah:

Angka rasmi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan boleh diperolehi dari laman rasmi Perbendaharaan di http://www.treasury.gov.my/index.php/en/economy/estimated-federal-revenue.html

Anggaran bagi 2017 ditunjukkan di bawah:

Maknanya, dalam tahun 2017 ini pentadbiran Dato’ Seri Najib dijangka akan mengutip hampir sekali ganda lebih banyak cukai pendapatan (pada jumlah RM112 bilion) berbanding kutipan tujuh tahun lalu iaitu 2010 semasa beliau mula-mula menjadi Perdana Menteri (pada jumlah RM60.3 bilion).

Malah, kenaikan purata tahunan sepanjang tempoh 2010 ke 2017 (disebut cumulative annual growth rate atau CAGR) adalah 11%, iaitu kadar bertambahnya kutipan cukai tahunan secara purata di antara 2010 ke 2017 sebanyak 11% setiap tahun.

Mana-mana juru ekonomi di dunia tahu bahawa kadar kenaikan tahunan purata kutipan cukai sebanyak 11% setiap tahun bagi satu tempoh 8 tahun adalah sangat tinggi. Saya akan melakukan lebih banyak analisa untuk membandingkan kadar kenaikan tahunan purata kutipan cukai yang berlaku di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib berbanding dengan negara-negara lain, tetapi saya percaya pada kadar purata peningkatan 11% setiap tahun itu adalah tinggi dalam keadaan:

1. Pertumbuhan ekonomi negara hanyalah sekitar 5% sahaja dalam tempoh yang sama. Jika ekonomi tumbuh hanya 5%, maknanya rakyat tidak merasa kenaikan gaji yang mendadak dan peniaga juga tidak merasa keuntungan yang mendadak yang membolehkan LHDN mengutip cukai yang lebih tinggi

2. Kenaikan gaji purata pekerja Malaysia adalah antara yang terendah di rantau ini, maka mustahil lebih ramai pekerja yang secara tiba-tiba menyumbang lebih banyak cukai kerana gaji mereka menjadi lebih besar

3. Pentadbiran Dato’ Seri Najib sebenarnya menurunkan cukai pendapatan ke atas syarikat dan individu apabila GST diperkenalkan, maka sepatutnya kutipan cukai pendapatan tidaklah meningkat sedemikian rupa kalau pun tidak lebih rendah

Saya membandingkan prestasi kutipan cukai pendapatan oleh Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Australia bagi tempoh yang sama untuk mendapat kepastian bahawa kadar peningkatan purata tahunan sebanyak 11% itu adalah tinggi. Prestasi tersebut adalah seperti di bawah (data diambil dari angka rasmi Kerajaan Australia di http://www.abs.gov.au/ausstats/[email protected]/mf/5506.0, cukai pendapatan merujuk kepada “Taxes on income” dan “Employers’ payroll taxes”)

Oleh itu, kenaikan purata tahunan kutipan cukai pendapatan oleh Kerajaan Australia sepanjang tempoh 2011 ke 2016 adalah 5.3%, iaitu separuh dari kenaikan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Malaysia.

Sebab itu saya yakin bahawa kutipan cukai dan pelbagai operasi audit percukaian yang dibuat oleh LHDN untuk memburu rakyat biasa dari golongan artis, profesional, kakitangan kerajaan sehinggalah kepada orang mati adalah akibat perbelanjaan pentadbiran Dato’ Seri Najib yang terlampau tinggi yang perlu ditanggung oleh rakyat.

Saya percaya kutipan cukai pendapatan dari rakyat yang meningkat sebanyak 11% setahun secara purata dari 2010 hingga 2017 itu berlaku sebahagian besarnya kerana operasi audit percukaian yang membuka balik fail-fail lama untuk ditaksirkan yang menyebabkan tiba-tiba rakyat mendapat notis membayar cukai bagai tahun-tahun yang lepas.

Semua ini berlaku dalam keadaan rakyat terpaksa menanggung GST dan peruntukan untuk rakyat seperti subsidi, belanja pendidikan, perubatan dan lain-lain terus dipotong; sedangkan semasa GST hendak dilaksanakan rakyat dijanjikan Kerajaan Persekutuan akan meringankan beban cukai pendapatan untuk mengimbangi GST yang dikutip.

Saya akan meneliti undang-undang sedia ada dan berbincang dengan ahli parlimen yang lain untuk mempertimbangkan menubuhkan satu pasukan khas (task force) untuk meneliti kes-kes audit percukaian yang boleh memangsakan rakyat hanya semata-mata untuk menampung perbelanjaan pentadbiran Dato’ Seri Najib.

Saya akan umumkan langkah yang seterusnya dalam masa yang terdekat.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Ketidakhadiran Ke Mesyuarat Biro Politik Dan Tuduhan Sebagai Ejen UMNO

Saya berterima kasih kepada semua pandangan dari dalam dan luar parti mengenai cadangan saya supaya kebuntuan mengenai kerjasama dengan PAS diselesaikan melalui kaedah pengundian perwakilan akar umbi KEADILAN di Kongres Khas yang boleh dipanggil mengikut peruntukan Perlembagaan Fasal Fasal 19(1)(c).

Dari pelbagai pandangan itu, ada beberapa perkara yang ditimbulkan yang mengundang pelbagai soalan dari pihak media dan orang ramai.

Pertama, isu ketidakhadiran saya ke mesyuarat Biro Politik KEADILAN yang digunakan sebagai alasan kononnya saya tidak mengetahui keputusan berunding dengan PAS itu adalah keputusan parti yang diputuskan oleh Biro Politik KEADILAN.

Saya telah membuat keputusan untuk tidak hadir ke mesyuarat Biro Politik sejak Ogos 2016 selepas jelas perbezaan pendapat di Biro Politik yang berpanjangan akan membantutkan persediaan parti menjelang PRU14.

Ia berikutan rentetan peristiwa-peristiwa berikut:

1. Pertembungan 3 penjuru di pilihanraya Sarawak (Mei 2016) walaupun keputusan Biro Politik adalah jelas mengekalkan persetujuan pembahagian kerusi yang diputuskan di peringkat Majlis Presiden PH pada ketika itu dan ditandatangani sendiri oleh Timbalan Presiden parti

2. Tindakan melengah-lengahkan penyertaan PH di dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sehingga ke saat akhir sehingga saya terpaksa mengeluarkan satu Pekeliling Setiausaha Agung mengarahkan jentera parti turun membantu jentera PH (dari AMANAH dan DAP ketika itu) tanpa menunggu keputusan Biro Politik yang tidak kunjung tiba

Sejak Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, keputusan di peringkat Biro Politik menjadi sukar untuk dicapai bila ada perbezaan pendapat. Jika pun telah ada persetujuan di peringkat Biro Politik, jika itu tidak disukai oleh seseorang maka keputusan itu tidak dihormati malah akan dibuka balik di dalam mesyuarat Biro Politik yang seterusnya untuk ditukar kembali (seperti yang berlaku dengan keputusan perletakan jawatan pimpinan parti di dalam Kerajaan Kelantan). Akibatnya mesyuarat Biro Politik menjadi tempat polemik politik yang berpanjangan tanpa menghasilkan gerakan yang berkesan di bawah.

Keadaan ini semakin menjadi-jadi dalam isu yang paling sensitif iaitu kerjasama dengan PAS kerana ia melibatkan Kerajaan Selangor. Oleh kerana pandangan Timbalan Presiden ialah untuk terus membuka pintu kepada PAS sehingga ke saat akhir untuk memastikan kemenangan di Selangor, sebarang langkah yang dilihat tidak disukai oleh PAS ditolak.

Maka keputusan untuk menubuhkan Pakatan Harapan (yang mana saya menjadi tulang belakangnya sebagai Setiausaha Agung pada ketika itu) melebarkan lagi perbezaan pendapat antara saya dan Timbalan Presiden. Peristiwa-peristiwa di Pilihanraya Sarawak dan Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah berpunca dari pandangan yang mengaitkan sebarang inisiatif yang membabitkan Pakatan Harapan akan menguntungkan saya secara politik, maka ia tidak wajar disokong.

Menyedari hakikat ini, selepas kekalahan di Pilihanraya Sarawak dan Pilihanraya Kecil Sungai Besar/Kuala Kangsar, saya tahu bahawa masa dan tenaga saya lebih baik digunakan untuk berkempen di bawah daripada bertempur di dalam bilik mesyuarat yang tidak berkesudahan. Seawal Ogos 2016, saya tahu kemungkinan besar saya akan dijatuhkan hukuman penjara kerana saya didakwa di bawah Akta OSA pada April 2016, maka saya telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatan Setiausaha Agung kepada Dato’ Saifuddin Nasution Ismail apabila dijatuhkan hukuman kerana pertukaran itu tidak menimbulkan kontroversi di mata rakyat.

Sebab utama keputusan itu (selain dari soal dijatuhkan hukuman) ialah kerana saya percaya tenaga dan masa saya lebih baik digunakan untuk memastikan kempen dan persediaan KEADILAN/PH di kerusi-kerusi penting (kerusi marginal yang kalah tipis) berjalan baik; daripada dihabiskan di dalam pertempuran politik di atas. Tambahan pula, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail adalah orang kepercayaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail dan juga diplomat KEADILAN di dalam Pakatan Harapan yang paling kanan (sejak Pakatan Rakyat lagi).

Maka saya membuat keputusan untuk mengambil tanggungjawab menyediakan jentera dan kempen pilihanraya di kerusi-kerusi marginal yang saya telah usahakan melalui INVOKE sejak Ogos 2016 lagi.

Sudah tentu semua keputusan ini dibincangkan dengan Dato’ Seri Anwar dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah. Walaupun berat, mereka memahami keadaan pada ketika itu dan kami menyesuaikan aturan menguruskan parti dan memimpin kempen rakyat untuk memastikan kompromi itu membuahkan hasil kepada rakyat dan parti: iaitu sedang Timbalan Presiden diberikan peluang mengusahakan satu muafakat dengan PAS untuk mencari jalan satu lawan satu, saya pula diberikan peluang membina kempen di bawah di kerusi-kerusi marginal melalui INVOKE.

Saya memberikan laporan dan maklumbalas kepada Presiden dan Setiausaha Agung setiap minggu dalam mesyuarat mingguan kami. Saya juga adalah perunding yang mewakili KEADILAN dalam merundingkan kerusi di peringkat Pakatan Harapan.

Maka sementara saya mungkin tidak ke Biro Politik, itu tidak bermakna saya tidak tahu perkembangan parti kerana saya bermesyuarat dengan Presiden, Setiausaha Agung (dan Pengarah Pilihanraya Sdri Nurul Izzah, pada masa yang melibatkan pilihanraya) setiap minggu. Namun, saya juga tahu bahawa di saat akhir menjelang PRU14 ini, saya tidak nampak bagaimana Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat boleh mencapai persetujuan yang mendamaikan semua pihak mengenai kerjasama dengan PAS. Sebab itu saya mengutarakan bahawa cara paling baik ialah dengan menyerahkannya kembali kepada akar umbi melalui Kongres Khas.

Mengenai tuduhan saya ialah seorang ejen Umno dan rujukan kepada “Ponorogo” seperti yang dituduh oleh Saudari Latheefa Koya (ahli Majlis Pimpinan Pusat), kempen mengaitkan saya sebagai ejen Umno bukanlah satu perkara yang baru. Saya sedia maklum sejak lebih setahun yang lepas ada cerita yang dibawa di bawah kononnya saya telah dibeli oleh Umno (melalui Dato’ Seri Zahid Hamidi, sebab itu nama jolokan disebut “Ponorogo”) untuk menghancurkan KEADILAN dari dalam sebagai pertukaran kepada tidak ke penjara (kerana saya ada banyak kes di mahkamah).

Saya berlapang dada dan tidak akan menjawab tuduhan-tuduhan itu kerana kita kesuntukan masa. Masa dan tenaga saya lebih baik ditumpukan kepada membina kempen di kerusi-kerusi marginal yang dibantu INVOKE dengan turun ke bawah berkempen setiap minggu.

Saya juga boleh mengesahkan bahawa saya tidak pernah berjumpa mana-mana menteri atau pimpinan kanan Umno/Barisan Nasional seumur hidup saya selain berselisih di Parlimen. Saya hanya bertemu Dato’ Seri Zahid Hamidi sekali sahaja di mahkamah dalam tahun 2012 untuk menyelesaikan kes saman beliau terhadap saya. Saya mengisytiharkan harta setiap tahun secara berkanun dan saya yakin rakyat tahu saya tidaklah ada kekayaan yang disyaki hasil dari sogokan.

Saya memaafkan Saudari Latheefa Koya dan semua yang membuat pelbagai tuduhan terhadap saya. Saya tahu pandangan politik selalunya penuh dengan emosi, namun kita semua mempunyai niat yang sama iaitu untuk menewaskan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Umno/Barisan Nasional.

Saya tahu ramai yang sering merasakan saya mengancam kedudukan politik mereka. Sebenarnya saya telah dijatuhkan hukuman penjara dan besar kemungkinan akan dihalang dari bergiat di dalam politik untuk satu tempoh melebihi 7 tahun. Saya tidak pasti sama ada saya akan kekal di dalam politik selepas saya menjalani hukuman (jika rayuan ditolak) kerana saya tidak boleh membaca masa depan. Oleh itu, saya tidak sewajarnya dilihat sebagai satu ancaman politik kepada rakan-rakan; sekadar seorang yang sudah terbiasa bersuara apabila saya berbeza pendapat.

Saya mengajak kesemua anggota KEADILAN dan Pakatan Harapan untuk menumpukan tenaga dan masa kepada usaha menumpaskan Umno/BN selaras dengan keputusan Majlis Presiden semalam.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

%d bloggers like this: