Tanah Felda Di KLVC Telah Hilang Buat Selama-Lamanya

Saya memberi ruang sepenuhnya kepada kepimpinan Felda untuk meneruskan sandiwara mengenai tanah Felda yang dilaporkan hilang hakmilik dan kemudiannya telah mendapat kembali hakmilik.

Sepanjang sebulan sandiwara ini dimainkan, saya menunggu sama ada Tan Sri Shahrir Samad akan menjelaskan perkara yang sebenarnya kepada rakyat. Malangnya, beliau terus terjebak dengan sandiwara politik untuk meredakan kemarahan rakyat mengenai kerosakan yang telah berlaku ke atas Felda, sehingga beliau sempat mengeluarkan sindiran seolah-olah “kejayaan” Felda mendapatkan kembali tanah tersebut adalah hasil doa Perdana Menteri di Mekah.

Saya bersimpati kerana ramai rakyat kebanyakan yang tidak biasa dengan selok belok pembangunan tanah dan undang-undang tanah yang dengan mudah boleh terpedaya dengan sandiwara politik tersebut.

Hari ini, saya ingin menegaskan bahawa tanah Felda yang diwar-warkan kononnya telah didapati kembali hakmiliknya, sebenarnya telah hilang buat selama-lamanya.

Saya ingin mengingatkan perkara-perkara berikut:

i. Beberapa bidang tanah milik Felda ini telah diserahkan kepada sebuah syarikat pemaju yang bernama Symphony Promenade Sdn Bhd (SPSB) untuk membangunkan beberapa menara pejabat dan kediaman mewah

ii. Apabila pembangunan itu diteruskan, lot-lot bangunan itu akan dijual kepada pembeli-pembeli dan hakmilik bangunan bertingkat itu akan bertukar dari hakmilik tanah kepada hakmilik strata (satu hakmilik strata setiap satu ruang pejabat atau kediaman mewah yang dijual kepada pembeli)

iii. Hakmilik bangunan tersebut akhirnya adalah milik pembeli-pembeli persendirian dan bukan lagi hakmilik Felda, walaupun kini hakmilik tanah masih lagi dalam pegangan Felda

Sebab itu saya mahu mengingatkan Tan Sri Shahrir Samad bagaimana pendirian beliau sendiri telah berubah dalam tempoh sebulan mengenai pembangunan tanah-tanah tersebut.

Apabila beliau mula-mula mendedahkan sandiwara tanah ini, beliau dilaporkan oleh Berita Harian bertarikh 21 Disember 2017 bahawa Felda tidak berminat untuk meneruskan projek pembangunan KLVC di atas tanah-tanah Felda itu, seperti capaian-capaian berikut:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/12/366118/felda-tidak-minat-teruskan-pembinaan-klvc-shahrir

01 - 23 - Felda 1

Saya sertakan juga rakaman temuramah yang dibuat oleh Tan Sri Shahrir dengan wartawan-wartawan Berita Harian pada hari yang sama yang menyatakan sendiri Felda tidak lagi berminat untuk meneruskan projek KLVC:

Saya faham kenapa Felda tidak berminat untuk meneruskan projek tersebut kerana sekiranya projek diteruskan, hakmilik akan bertukar kepada hakmilik strata dan keseluruhan bangunan dan lot-lot yang dijual itu akan berpindah milik kepada pembeli-pembeli yang mendapat hakmilik strata kelak.

Hanya dengan tidak meneruskan projek pembangunan KLVC itu barulah Felda dapat mengekalkan tanah-tanah tersebut menjadi pegangan Felda.

Malangnya tidak sampai sebulan dari kenyataan tegas tersebut, Tan Sri Shahrir Samad telah buat pusingan-U demi menjual sandiwara tanah Felda diperolehi kembali.

Saya petik laporan Utusan Malaysia bertarikh 15 Januari 2018 semasa Tan Sri Shahrir Samad dijulang menjadi wira mendapatkan kembali tanah Felda, di dalam laporan bertajuk “Felda dapat kembali hak milik tanah di Jalan Semarak”.

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/felda-dapat-kembali-hak-milik-tanah-di-jalan-semarak-1.590746

01 - 23 - Felda 3

01 - 23 - Felda 4

Keputusan Felda untuk meneruskan projek pembangunan KLVC, yang kurang sebulan dari tarikh 15 Januari itu ditentang habis-habisan oleh Tan Sri Shahrir Samad sendiri, merupakan sandiwara utama episod tanah Felda yang hilang ini.

Saya memohon Tan Sri Shahrir Samad berdebat dengan saya untuk mendapatkan kepastian mengenai perkara-perkara ini:

i. Hakmilik tanah yang diperolehi oleh Felda yang diwar-warkan sejak minggu lepas sebenarnya tidak bermakna kerana dengan pembangunan KLVC yang diteruskan, hakmilik strata akan dikeluarkan kepada pembeli lot-lot bangunan dan ruang pejabat/kediaman. Merekalah pemilik sebenar hartanah itu kelak, bukannya lagi Felda

ii. Episod Felda mendapatkan kembali tanah adalah satu sandiwara kerana keadaan sekarang (walaupun Felda dilaporkan mendapat balik hakmilik ke atas plot tanah tersebut) tidak berbeza dengan keadaan sebelumnya; iaitu tanah-tanah tersebut telah diserahkan kepada pemaju swasta untuk dijual sebagai lot ruang pejabat/kediaman

Saya sudah mendapat beberapa dokumen yang saya akan tunjukkan esok dan lusa untuk menguatkan lagi hujah saya bahawa tanah Felda itu telah hilang selama-lamanya.

Episod tanah Felda diperolehi kembali hanyalah sandiwara politik yang dimainkan oleh Tan Sri Shahrir Samad.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Ramalan Harga RON95 Minggu Bermula 18 Januari 2018

Berdasarkan harga MOPS95, kadar tukaran matawang antara Australian Dollar (AUD) dan Ringgit Malaysia (MYR), saya jangka harga RON95 naik antara 1 hingga 2 sen.

Harga pasaran MOPS95 diperolehi dari laporan mingguan Australian Institute of Petroleum (AIP). Setakat ini hanya AIP yang menerbitkan MOPS95 secara percuma, tetapi di dalam AUD. Oleh sebab itu, harga dalam AUD perlu diterjemah ke dalam MYR.

Harga minyak mentah dunia kekal tinggi sekitar USD68 ke USD69 se-tong.

Kiraan berikut adalah berdasarkan formula yang ditetapkan sendiri oleh Kerajaan Persekutuan.

01 - 17 - 2

01 - 17 - 1

Weekly Petrol Prices Report – 14 January 2018

Audit Forensik Perlu Sahkan Menteri Luluskan KLVC

Saya mengalu-alukan audit forensik oleh sebuah firma bebas untuk menjejaki sebarang kelemahan tata kelola yang menyebabkan Felda hilang hakmilik ke atas tanah-tanahnya di Jalan Semarak yang kini dibangunkan sebagai KL Vertical City (KLVC).

Saya tidak mencampuri isu tanah Felda yang hilang ini untuk memberi ruang sepenuhnya kepada Tan Sri Shahrir Samad, Pengerusi Felda mengendalikannya demi kepentingan rakyat dan negara. Sebab itu saya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sejak kehilangan tanah itu diakui sendiri oleh Tan Sri Shahrir Samad.

Dengan bermulanya proses audit forensik pada hari ini, saya merasa terpanggil untuk membawa kepada pengetahuan awam beberapa perkara penting, iaitu:

1.   Perjanjian yang memberi kuasa kepada pemaju (Synergy Promenade Sdn Bhd) untuk menukar hakmilik tanah dengan sendirinya terbatal (“null and void”) jika pihak yang menandatangani bagi pihak Felda sebenarnya tidak ada kuasa untuk berbuat demikian;

2.   Jika perjanjian itu terbatal, maka tidak timbul hakmilik tanah ditukar dari Felda kepada pemaju (walaupun pemaju ada kuasa berbuat demikian mengikut perjanjian) kerana penukaran hakmilik itu tidak dibuat secara sah (kuasa melalui “power of attorney” yang diberikan oleh perjanjian adalah tidak sah);

3.   Akibat (1) dan (2), tanah-tanah tersebut kekal menjadi hakmilik Felda.

Sebab itu saya agak khuatir apabila sehingga kini perkara ini tidak diulas langsung oleh Tan Sri Shahrir Samad – iaitu sama ada perjanjian itu sah atau tidak di sisi undang-undang.

Proses audit forensik boleh menentukan dengan jelas siapa sebenarnya yang mempunyai kuasa untuk mewakili Felda menandatangani perjanjian-perjanjian bersabit pembangunan tanah-tanah Felda. Dengan mengetahui siapa yang mempunyai kuasa, bolehlah disahkan sama ada perjanjian itu ditandatangani oleh pihak yang ada kuasa atau tidak.

Saya sertakan Akta 474 iaitu Akta Pembangunan Tanah 1956 yang menubuhkan Felda. Segala kuasa dan peraturan Felda adalah tertakluk kepada fasal-fasal akta ini.

Saya tunjukkan juga fasal-fasal penting yang menjawab siapa sebenarnya yang mempunyai kuasa untuk mewakili Felda menandatangani perjanjian projek pembangunan seperti berikut:

Fasal 2 dengan secara jelas menunjukkan Felda ditubuhkan dibawah akta ini iaitu di dalam Fasal 3.

Fasal 3(2)(a) hingga 3(2)(e) menerangkan fungsi dan tanggungjawab Felda.

Fasal 3(3)(a) ke atas hingga 3(3)(e) menghuraikan apa kuasa yang ada pada Felda dalam menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya.

Secara jelas, Fasal 3(3)(c) dan 3(3)(ca) menunjukkan kuasa untuk meluluskan sebarang perjanjian yang membenarkan Felda memasuki sebarang projek, usaha sama, perniagaan dengan mana-mana pihak dan yang berkaitan dengannya adalah kuasa Menteri. Kuasa menubuhkan syarikat juga kuasa menteri, seperti berikut:

Fasal 3(3)(c) dan 3(3)(ca) di atas menunjukkan hanya dengan kelulusan Menteri barulah Felda boleh memasuki apa-apa perjanjian dengan pemaju, termasuklah yang melibatkan pembangunan KLVC.

Oleh itu, saya mendesak Tan Sri Shahrir Samad mengesahkan perkara-perkara berikut:

1.   Adakah Dato’ Seri Najib meluluskan pembabitan Felda dengan pembangunan KLVC?

2.   Jika tidak diluluskan, sewajarnya pemindahan tanah itu terbatal begitu sahaja dan harta rakyat diselamatkan

3.   Jika pelbagai usaha sedang dibuat pentadbiran Dato’ Seri Najib untuk mendapatkan balik tanah itu sedangkan Felda tidak pula mengisytiharkan perjanjian itu tidak sah (“null and void”), itu ada kemungkinan besar Menteri telah meluluskan perjanjian tersebut

Soalan-soalan ini sewajarnya dijawab dengan terbuka dan saya mencabar Tan Sri Shahrir untuk mendedahkan minit-minit mesyuarat dan surat kelulusan (jika ada) untuk tidak melengahkan perkara ini dengan lebih panjang lebar.

 

RAFIZI RAMLI

AHLI PARLIMEN PANDAN

NAIB PRESIDEN KEADILAN

Masih Menunggu Saman Dari Rahman Dahlan

Sebulan yang lalu, saya telah mendedahkan bagaimana Jabatan Perdana Menteri di bawah seliaan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan telah membelanjakan sekitar RM34 juta untuk menganjurkan Ekspo Negaraku selama sebulan di Dataran Merdeka.

Saya juga mempersoalkan kenapa lantikan sebuah syarikat yang dikawal oleh seorang bernama Raslan Dahlan tidak melalui apa-apa proses perolehan kerajaan (tidak secara tender terbuka, tidak secara tender terhad dan tidak ada rekod rundingan terus); dan adakah Raslan Dahlan itu abang kepada Datuk Seri Rahman Dahlan sendiri?

Saya mendapat maklumat bahawa Raslan Dahlan tidak ada pertalian darah dengan Menteri di Jabatan Perdana itu dan telah meminta maaf kepada Raslan Dahlan.

Datuk Seri Rahman pula telah mengakui bahawa kos sebenar penganjuran ekspo selama sebulan itu adalah RM37 juta; lebih tinggi dari yang saya anggarkan.

Malah, kira-kira tiga minggu yang lalu iaitu 14 Disember 2017, Datuk Seri Rahman dengan gahnya mengeluarkan kenyataan telah memulakan proses saman terhadap saya berhubung kenyataan-kenyataan saya mengenai Ekspo Negaraku.

Ia mendapat liputan meluas seperti yang dilaporkan Malaysiakini di bawah:

Saya telah menyatakan kesediaan saya berjumpa beliau di mahkamah dan meminta beliau menyaman juga kenyataan-kenyataan pimpinan PH Sabah yang mendakwa beliau tidak melawat kawasan parlimen Kota Belud yang diwakilinya yang dilanda banjir ketika itu.

Saya ingin memaklumkan bahawa saya masih menunggu surat saman dari Datuk Seri Rahman Dahlan sehingga sekarang. Esok akan memasuki Selasa yang keempat sejak beliau mengumumkan mahu menyaman saya dan saya berharap ia bukan gimik seperti gimik ketuanya, Datuk Seri Najib Razak yang ingin menyaman Wall Street Journal tetapi belum disaman sehingga ini.

Sementara beliau menyiapkan saman beliau, saya mahu beliau menjawab soalan-soalan yang langsung tidak dijawab beliau selama ini:

1.   Sehingga sekarang beliau belum menjawab kenapa Unit Perancang Ekonomi di bawah pimpinan beliau membelanjakan sehingga RM37 juta dalam keadaan Kerajaan Persekutuan mengutip cukai GST, mengejar orang perseorangan dan syarikat untuk mengutip cukai pendapatan dari tahun-tahun yang lalu dan harga barang terus kekal mahal.

2.   Sehingga sekarang beliau tidak menjawab langsung kenapa kontrak berjumlah RM37 juta itu langsung tidak ada rekod di dalam sistem perolehan kerajaan? Ia tidak dianugerahkan melalui tender terbuka, tender terhad atau rundingan terus. Tidak ada rekod perolehan kerajaan dari Perbendaharaan yang menunjukkan syarikat “event manager” itu pernah melalui apa-apa proses perolehan seperti penganjuran acara-acara lain.

Saya akan tetap menunggu surat saman dari beliau dengan setia. Saya juga akan tetap setia mengejar beliau untuk mendapatkan dua jawapan kepada soalan-soalan di atas selagi beliau tidak menjelaskannya dengan baik kepada rakyat.

 

RAFIZI RAMLI

AHLI PARLIMEN PANDAN

NAIB PRESIDEN KEADILAN

Muafakat Pakatan Harapan: Catatan Perunding

Dengan berlangsungnya Konvensyen PH hari ini, maka selesailah beberapa perkara yang selama ini sering menjadi punca perselisihan faham sesama rakan dalam pakatan-pakatan pembangkang sebelum ini.

Dua perkara utama yang menjadi risiko terbesar kesepaduan Pakatan (PH sekarang dan PR sebelum ini) adalah:

(i) agihan kerusi antara parti-parti

(ii) barisan kepimpinan jika menang PRU

Kedua-duanya saling berkait. Parti yang mendapat kerusi yang senang dimenangi dijangka akan lebih berpengaruh di dalam kerajaan yang dibentuk jika menang.

Sudah tentu isu yang paling besar juga ialah soal kepimpinan. Siapa yang akan jadi Perdana Menteri kerana budaya dan sistem kerajaan kita memusatkan terlalu banyak kuasa kepada Perdana Menteri. Maka, siapa yang dinamakan Perdana Menteri dilihat menjadi pemenang sebenar dalam PRU.

Akibatnya, mudah ada adu domba yang akhirnya memulakan bibit-bibit hasad dengki, tidak berpuas hati dan lain-lain.

Akan ada yang mahukan semua kerusi agar peluang parti itu untuk menentukan Perdana Menteri lebih tinggi. Lebih banyak kerusi, lebih banyak ahli parlimen, lebih tinggi peluang tentukan Perdana Menteri.

Akan ada yang tidak berpuas hati kerana mereka merasakan merekalah sumber sokongan rakyat kepada pakatan pembangkang. Ada yang merungut merekalah tulang belakang jentera, tanpa mereka parti rakan adalah parti nyamuk.

Maka, dua isu utama ini menjadi sumber kegagalan pakatan-pakatan pembangkang sebelum ini.

Apabila dua isu ini tidak diselesaikan hingga ke saat terakhir, tembak menembak di kalangan pimpinan dan penyokong parti-parti di dalam pakatan berterusan sehingga ke saat akhir.

Ini memualkan rakyat. Belum pun menang, sudah bergaduh mengenai ghanimah, kata mereka. Sudah tentu itu tidak adil (jika perselisihan di kalangan parti pembangkang dijadikan alasan untuk membenarkan rasuah, penyelewengan dan rompakan wang rakyat yang berlaku di bawah parti pemerintah ketika itu), tetapi rakyat adalah tuan. Mereka berhak memilih.

Di saat-saat akhir menjelang penamaan calon, ada parti mengumumkan sendiri bertanding di kerusi yang masih dirundingkan. Atau meletakkan calon mereka di kerusi yang dipersetujui telah diagihkan kepada parti rakan.

Dalam PRU13 semasa harapan rakyat menggunung, kedua-dua kelemahan ini menyebabkan kempen Pakatan Rakyat bermula dengan episod pil kuda, tembak menembak sesama rakan.

Semua ini pengalaman pahit. Kita sewajarnya belajar dari semua ini.

Rundingan yang memuktamadkan Muafakat Harapan pada hari ini berlangsung beberapa bulan dengan azam mengelakkan perkara ini berulang.

Rundingan akhir bermula sejurus selepas Majlis Presiden pada hari Khamis, 4 Januari 2018 bersetuju bahawa calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana boleh diumumkan semasa Konvensyen Pakatan Harapan pada hari ini, dengan syarat rundingan kerusi di peringkat Parlimen untuk Semenanjung selesai.

Ini bukan kerana KEADILAN atau PPBM atau DAP atau AMANAH mahu membolot kerusi, tetapi kita telah belajar dari kesilapan lalu.

Kalau mahu menang, kita kena kurangkan risiko kita menembak sesama sendiri agar peluru semuanya ditembak ke arah Najib dan Umno.

Rundingan bermula pada pagi hari Jumaat dan berterusan sehingga ke saat terakhir perjanjian dicapai, iaitu sekitar jam 8 malam semalam.

Rundingan pada hari pertama disertai oleh saya dan Sdri Nurul Izzah Anwar bagi pihak KEADILAN. Di hari kedua (Sabtu), rundingan kerusi yang bersambung disertai juga oleh Sdr Shamsul Iskandar Mat Akin.

Akhirnya persetujuan agihan kerusi Semenanjung iaitu 52 PPBM, 51 KEADILAN, 35 DAP dan 27 AMANAH dicapai sekitar jam 7 malam.

Menepati janji seperti yang diputuskan di dalam mesyuarat Majlis Presiden, keempat-empat presiden parti dan pengerusi Pakatan Harapan menandatangani perjanjian Muafakat Harapan sekitar jam 8 malam.

Saya berdoa supaya muafakat ini akan dapat membantu kita menewaskan Najib dalam beberapa bulan akan datang.

Rafizi Ramli

————————————————————————

Berikut adalah muafakat yang dirundingkan dan dipersetujui bersama:

MUAFAKAT PAKATAN HARAPAN

Rakyat Malaysia berhasrat menjadikan tanah air ini sebuah negara yang maju, stabil dan sejahtera. Mereka mengimpikan negara yang gemilang, utuh dan dihormati seantero dunia. Sejak Merdeka dan penubuhan Malaysia, pendiri bangsa telah mewariskan pedoman dan gagasan besarnya agar kita tidak tergelincir dari landasan tersebut.

Namun, mutakhir ini Malaysia berada dalam bahaya dan dilingkungi kebejatan tidak berkesudahan. Rasuah bermaharajalela, hutang negara menggunung, nilai ringgit susut dan hilang daya-saing, sedangkan rakyat terbeban dan menderita kerana harga barang serta kos perkhidmatan terus meningkat dalam keadaan pendapatan tidak mencukupi.

Justeru, menjadi keutamaan Pakatan Harapan menawarkan harapan baharu buat seluruh warganegara demi perjuangan membela rakyat dan membina semula Malaysia yang lebih baik.

MAKA, Pakatan Harapan bermuafakat dan bertekad untuk melaksanakan janji-janji berikut apabila Pakatan Harapan mendapat mandat rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihanraya Umum ke-14:

1. Membentuk sebuah kabinet berwibawa; gandingan yang berpengalaman, berkelayakan dan berkemampuan;

2. Menjadikan Parlimen sebagai sebuah institusi yang kukuh dan bebas; dan dipimpin oleh Yang di-Pertua yang adil dan berwibawa.

3. Mengambil langkah-langkah segera memulihkan ekonomi negara dan meringankan beban kos sara hidup rakyat. Antaranya menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menstabilkan harga petrol dan memberikan fokus utama kepada usaha menambah pendapatan rakyat;

4. Melaksanakan reformasi menyeluruh demi mengembalikan maruah dan jatidiri negara dan Bangsa Malaysia, meliputi reformasi institusi, reformasi pendidikan, reformasi ekonomi dan reformasi sosial seperti yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan;

5. Menghadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal pilihanraya untuk memugar dan menyihatkan amalan demokrasi terbaik serta mempertegas prinsip kebertanggungjawaban dalam urustadbir negara;

6. Memastikan ketua-ketua institusi penting negara termasuk Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dan Ketua Audit Negara bebas daripada pengaruh penguasa politik. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat menerusi institusi parlimen, di mana mereka akan melalui proses pengesahan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (Parlimentary Select Committee) dan akhirnya dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong;

7. Membersihkan Malaysia dari najis rasuah dengan mendakwa pelaku rasuah di mahkamah, dan jika disabit bersalah maka akan dikenakan hukuman setimpal;

8. Memastikan institusi-institusi awam seperti FELDA, Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Majlis Amanah Rakyat diurus secara cekap, telus dan beramanah;

9. Membela kebajikan rakyat terutamanya golongan miskin, ibu tunggal, orang berkelainan upaya dan kumpulan berpendapatan rendah;

10. Merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan desa, serta antara wilayah dengan tumpuan khusus kepada hak rakyat Sabah dan Sarawak sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963;

11. Mengkaji semula sistem percukaian negara untuk memastikan pembayar cukai, terutamanya golongan kelas menengah, tidak tertekan dengan bebanan cukai yang berganda;

12. Menghormati prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang; dan

13. Menjunjung prinsip-prinsip utama Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, hak setiap individu untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah untuk semua kaum, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu.

MENGHARGAI bahawa Pakatan Harapan adalah sebuah gabungan besar (grand coalition) parti-parti politik yang menggandingkan dua tokoh negarawan ulung, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum dalam rangka menyempurnakan legasi misi tertangguh, maka Pakatan Harapan dengan penuh sukacita dan ta’zimnya mengumumkan:

1. Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dan Yang Berhormat Datuk Seri Dr Wan Azizah binti Datuk Dr Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri apabila Pakatan Harapan mendapat mandat rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihanraya Umum ke-14;

2. Untuk memperkukuh kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan dan memperteguh muafakat antara parti-parti anggota, proses undang-undang untuk mendapatkan Pengampunan Diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan segera, selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara, agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8;

3. Sebagai persiapan Pakatan Harapan menghadapi dan memenangi PRU14, kami telah memutuskan pengagihan kerusi-kerusi kawasan Parlimen bagi Semenanjung iaitu yang melibatkan 165 kerusi, seperti berikut:

a. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) – 52 kerusi

b. Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) – 51 kerusi

c. Parti Tindakan Demokratik Malaysia (DAP) – 35 kerusi

d. Parti Amanah Negara (AMANAH) – 27 kerusi

MAKA dengan ini kami bersepakat dan bersetuju dengan muafakat bersama ini sebagai perjanjian yang mengikat parti-parti kami.

Tun Dr Mahathir Mohamad

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Presiden Parti Keadilan Rakyat

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia

Tuan Tan Kok Wai

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik Malaysia

Tuan Hj Mohamad Sabu

Presiden Parti Amanah Negara

Bertarikh: 6 Januari 2018

Ahli Parlimen Pandan dan Naib Presiden/Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat || Member of Parliament for Pandan, Vice President/Secretary General of Justice Party