Belanjawan 2012 Sahkan GST Akan Dilaksanakan Jika BN Menang PRU13

Angka-angka unjuran ekonomi yang terkini semakin menunjukkan bahawa ramalan pertumbuhan ekonomi yang digunakan Perdana Menteri di dalam Belanjawan 2012 adalah tidak realistik. Terbaru adalah unjuran yang dibuat Malaysian Institute of Economics Research (MIER) yang menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 kepada 4.6%.

Berdasarkan realiti ekonomi global, sasaran pertumbuhan 5% – 6% yang digunapakai adalah sukar untuk dicapai. Ini akan memberi kesan kepada jumlah pendapatan negara bagi tahun 2012 akibat kutipan cukai dan hasil lain yang berkurangan berikutan pertumbuhan ekonomi 2012 yang lebih perlahan.

Barisan Nasional perlu meminjam sekurang-kurangnya RM46 bilion untuk membiayai defisit Belanjawan 2012; itu pun jika ekonomi tumbuh pada kadar 5% – 6% bagi tahun 2012. Pada masa yang sama, keupayaan kerajaan mengeluarkan terbitan bon dan instrumen hutang baru dalam tahun 2012 adalah terbatas akibat had keberhutangan negara (debt ceiling) yang dihadkan kepada 55% daripada KDNK di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983. Hutang negara sudah pun mencecah 53% dari KDNK berdasarkan angka rasmi Bank Negara Malaysia setakat Jun 2011, maka sebarang hutang baru sudah tentu bertentangan dengan undang-undang negara.

Saya berpendapat Perdana Menteri dan pentadbiran Barisan Nasional cukup arif dengan segala angka ekonomi dan had keberhutangan kerajaan di bawah kedua-dua akta tersebut. Saya juga yakin Perdana Menteri telah dinasihatkan bahawa ramalan pertumbuhan 5% – 6% yang digunapakai di dalam Belanjawan 2012 adalah tidak realistik.

Ini membawa kepada satu rumusan semata-mata.

Belanjawan 2012 yang berjumlah RM232 bilion pada ketika pendapatan negara tidak mampu menampungnya dan keupayaan berhutang kerajaan dihadkan mengesahkan niat Perdana Menteri untuk serta-merta melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya Barisan Nasional kekal berkuasa selepas PRU13.

Ini adalah satu pertaruhan yang diambil oleh Perdana Menteri, dengan niat mengabui mata rakyat dan menawarkan gula-gula bermula dengan bayaran dalam Januari 2012 kelak tetapi akan dicukai kembali melalui GST selepas PRU13 kelak.

Oleh yang demikian, Biro Politik KEADILAN telah memutuskan semalam untuk bersama-sama dengan Pakatan Rakyat membawa isu GST kepada rakyat sebagai isu utama PRU13 bertujuan memastikan rakyat memahami bahawa “undi kepada BN bermakna undi melaksanakan GST”.

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI

13 OKTOBER 2011

Ringkasan Belanjawan Pakatan Rakyat 2012: Maklumat Penting

KESEJAHTERAAN UNTUK SEMUA

Belanjawan Kesejahteraan 2012 yang diluncurkan Pakatan Rakyat merupakan suatu permuafakatan merangka masa depan baru bagi Malaysia selari dengan pengikraran Agenda Bersama Disember 2009 dan Buku Jingga, Disember 2010.

Kesejahteraan Untuk Semua hanya boleh dicapai dengan iltizam politik untuk membawa reformasi secara menyeluruh terhadap institusi-institusi negara dengan berpandukan prinsip ketelusan dan tata kelola yang baik. Kepelbagaian Malaysia adalah kekuatan kita. Pertumbuhan ekonomi kita bergantung kepada muafakat rakyat tanpa mengira jantina, kaum dan agama.

Potensi rakyat boleh disemarakkan melalui sebuah belanjawan yang prihatin kepada kaum hawa dan berpaksikan agenda untuk mengembalikan maruah rakyat biasa yang kini bergelumang dengan segala keperitan hidup. Belanjawan Kesejahteraan 2012 mengambil kira keperluan mendesak membantu rakyat mengharungi arus kenaikan harga barang. Seluruh tumpuan diberikan untuk menjamin agar pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati oleh semua golongan melalui dasar dan kerangka yang menekankan peningkatan pendapatan 60 peratus isi rumah di Malaysia yang  berpendapatan kurang daripada RM 3,000 sebulan.

Pengenalan gaji minima, pengurangan jumlah pekerja asing tidak terlatih, tumpuan untuk meningkatkan kemahiran dan produktiviti secara bersepadu akan memberi faedah kepada tenaga kerja rakyat tempatan. Perhatian khusus adalah untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja agar gaji, kemahiran dan produktiviti juga dapat ditingkatkan.

Penambahbaikan keupayaan pengangkutan awam, penyediaan perumahan awam dan penjagaan kesihatan yang memuaskan akan meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat. Pendapatan boleh guna yang tinggi akan mengukuhkan perbelanjaan dalam negara dan menjadi strategi ekonomi yang lunak untuk mendindingi negara dalam persekitaran ekonomi global yang semakin tidak stabil.

Monopoli dan oligopoli yang dipecahkan akan meningkatkan persaingan serta membantu ahli perniagaan Malaysia dengan mengurangkan kos operasi dan perniagaan. Persaingan akan meredakan tekanan inflasi dengan memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat.

NEGARA KAYA, RAKYAT MISKIN?

Malaysia adalah negara yang kaya dengan sumber. Malangnya, lambakan kekayaan hasil dari sumber alam semula jadi tidak diagihkan dengan baik kepada rakyat Malaysia. Hasil kekayaan negara dipusatkan di kalangan beberapa kerat golongan elit berkepentingan hingga mewujudkan golongan mahakaya (super rich) di Malaysia.

Pada masa ini, rakyat tidak menikmati pendapatan yang berpadanan dengan hasil kekayaan negara dan tekanan kos sara hidup. Kumpulan terbawah meliputi 40% dari jumlah isi rumah di seluruh negara hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan, manakala kumpulan pertengahan 40% peratus seterusnya hanya menikmati pendapatan purata RM3,500 sebulan.

Secara keseluruhan, 80% isi rumah keluarga di Malaysia hanya menikmati pendapatan purata RM2,500 sebulan.

Di sebalik pelbagai kemajuan fizikal yang dilihat di Malaysia, 70% rakyat Malaysia hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai kelayakan tertinggi. Lebih satu pertiga dari tenaga kerja rakyat Malaysia  mencari rezeki dalam sektor tidak rasmi seperti menjaja, bekerja sendiri, buruh dan lain-lain. Maka tidak hairanlah jurang di antara yang miskin dan kaya di Malaysia adalah sangat tinggi bila mana kumpulan rakyat yang berada di bawah seramai 40% hanya menikmati 15% kekayaan negara, berbanding kumpulan 20 peratus terkaya yang menikmati sehingga 49% kekayaan negara.

Dek kegilaan pemerintah yang mengutamakan kekayaan dan kepentingan sekumpulan individu sahaja, dasar-dasar ekonomi Malaysia di bawah Barisan Nasional adalah ketinggalan zaman hingga memerangkap Malaysia dalam kelembapan ekonomi yang dialami sekarang.

Realiti ekonomi rakyat Malaysia adalah dikelilingi:

  1. ketidakupayaan sekumpulan besar rakyat berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup
  2. jumlah pengangguran di kalangan graduan tempatan yang tinggi sedangkan pada yang sama majikan merungut mengenai kekurangan tenaga kerja mahir dan berbakat
  3. laungan Barisan Nasional untuk memotong subsidi kerana perbelanjaan subsidi telah melambung naik 10 kali ganda
  4. pelaburan tempatan dan asing yang berkurangan menyebabkan Malaysia satu-satunya negara di ASEAN yang mengalami pengaliran keluar pelaburan asing (FDI) kasar

Kelemahan-kelemahan dalaman akibat kepincangan pentadbiran ini dirumitkan lagi oleh suasana ekonomi global yang terus tidak menentu. Keupayaan Amerika Syarikat dan Eropah untuk menjana pertumbuhan adalah terhad menjadikan pendekatan mengeksport ke negara-negara Barat bukan lagi jaminan pertumbuhan ekonomi untuk Asia. Malaysia perlu mencari jalan baru untuk berdikari dengan pasaran-pasaran baru dan dalam negara yang memberikan kelebihan daya saing kepada kita.

BELANJAWAN KESEJAHTERAAN 2012

Belanjawan Kesejahteraan Pakatan Rakyat 2012 menekankan pemerkasaan, mewujudkan peluang ekonomi dan mengembalikan maruah kepada seluruh rakyat Malaysia dengan berteraskan kerangka kewangan dan jaringan perlindungan yang mampan.

Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 menumpukan usaha untuk membangunkan rakyat Malaysia, bukannya projek mega. Ia bukan untuk kroni dan mereka yang berkepentingan tetapi demi memperkukuhkan daya keusahawanan, produktiviti dan budaya kerja yang baik.

PERBELANJAAN BERHEMAH

Pakatan Rakyat akan memperuntukkan sejumlah RM220 billion untuk Belanjawan 2012 dan akan memastikan dana tersebut dibelanjakan secara berhemah, bertanggungjawab dan berkesan. Defisit akan dikurangkan kepada 4.4% dari KDNK berbanding 6% yang diunjurkan bagi tahun 2011. Pengurang defisit ini bersamaan dengan penjimatan wang rakyat ssebanyak RM 14 billion.

Pendapatan negara boleh ditingkatkan tanpa membebankan rakyat dengan memastikan konsesi kerajaan dan permit tidak disalahguna dan dihargakan dengan betul. Sebagai contoh, kita akan memperolehi pendapatan tambahan sekitar RM1.2 billion melelong Permit Import (AP) kepada pembida tertinggi.

Langkah-langkah khusus akan dilaksanakan untuk memastikan dana dibelanjakan secara berhemah dengan memastikan tiadanya ketirisan, pembaziran dan ketidakcekapan. Kita yakin ini akan membawa 20% nilai tambah bagi setiap satu ringgit wang rakyat yang dibelanjakan.

Sebagai contoh, Pakatan Rakyat mampu untuk memperuntukkan RM 4.4 billion untuk:

  1. Memperkukuhkan peningkatan mutu pendidikan dengan mengotakan janji di dalam Buku Jingga melalui pembayaran elaun khas pendidik sebanyak RM 500 sebulan
  2. Memperkenalkan dan menguatkuasakan gaji minima sebanyak RM1,100 sebulan yang akan memberi keuntungan serta merta kepada 300,000 penjawat awam, seterusnya turut melonjakkan penjawat awam yang lain melalui pelarasan skala gaji penjawat awam

Pun begitu, demi menjamin kelangsungan Petronas untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa, satu formula dividen yang munasabah akan menggantikan amalan sekarang yang menyedut hasil kekayaan negara tanpa had melalui desakan dividen yang besar jumlahnya dari Petronas setiap tahun. Sungguh pun harga petroleum dijangka kekal tinggi dan keuntungan Petronas dalam tahun 2012 adalah berganda, dividen untuk 2012 dihadkan kepada RM 26 billion, lebih rendah berbanding jumlah yang diambil Barisan Nasional dalam tahun 2011 berjumlah RM 30 billion.

MENINGKATAN PENDAPATAN

Pakatan Rakyat akan mengutamakan inisiatif polisi untuk meningkatkan tahap pendapatan keluarga dan kemahiran tenaga kerja.

Gaji pekerja Malaysia adalah rendah. Kumpulan terbawah meliputi 40% isi rumah hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan dan gaji yang rendah ini menyebabkan:

  1. Kecenderongan untuk bergantung kepada pekerja asing yang sanggup melakukan kerja-kerja tidak terlatih pada kadar upah yang cukup rendah
  2. Kekurangan tenaga kerja terlatih
  3. Syarikat swasta kekurangan tenaga kerja terlatih dan berbakat untuk meningkatkan produktiviti

Walaupun Pakatan Rakyat menyokong asas bahawa tahap gaji dan bayaran upah berhubung kait dengan kadar produktiviti, hakikatnya mekanisme penetapan gaji sedia ada tidak berfungsi sehingga menghasilkan herotan dalam pasaran tenaga kerja.

Oleh itu, Pakatan Rakyat mencadangkan:

  1. Dasar gaji minima dikuatkuasakan mengikut undang-undang untuk memastikan semua pekerja di peringkat terendah mendapat gaji yang berpadanan dengan keperluan asas untuk hidup dan secara langsung melonjakkan gaji pekerja-pekerja lain melalui pelarasan tangga gaji
  2. Peruntukan RM2 bilion sebagai Tabung Pemudahan (Facilitation Fund) untuk membantu usahawan, pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dan firma-firma kecil untuk memperbaharui peralatan, menjentera dan merubah operasi mereka untuk mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baru bergaji tinggi
  3. Peruntukan tambahan RM 1.6 bilion akan disalurkan untuk memperluas dan menambahbaik sistem latihan teknikal dan vokasional untuk mempertingkatkan kemahiran tenaga kerja
  4. 10,000 orang guru akan dilatih dan RM200 juta akan diperuntukkan untuk mengatasi kekurangan guru-guru bahasa Cina, Inggeris, Tamil dan guru-guru agama dan tambahan RM200 juta akan diberikan dengan untuk membaiki bangunan-bangunan sekolah terutamanya SRJK (C), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan SRJK (T).

MENAMATKAN MONOPOLI

Pakatan Rakyat akan merintis era baru ekonomi rakyat dengan melaksanakan reformasi dasar-dasar dan peraturan-peraturan sedia ada untuk mengurangkan kos sara hidup, menggalakkan usahawan kecil dan sederhana (IKS) serta meningkatkan pelaburan.

Dasar tender terbuka untuk perolehan kerajaan yang memberi ganjaran kepada mereka yang berkebolehan, bukannya kroni dan kaum kerabat orang berkepentingan.

Ini akan diadakan selari dengan pengenalan langkah-langkah sokongan bagi membantu golongan Melayu/Bumiputra dan kumpulan lain yang layak menerima sokongan ekonomi. Langkah-langkah sokongan yang dirangka akan berteraskan objektif untuk menambah daya saing usahawan baru Melayu/Bumiputra dan kumpulan sasaran lain melalui pendidikan, latihan dan bantuan kewangan.

Satu Akta Kontrak Awam Tidak Adil akan digubal untuk mengkaji semula konsesi-konsesi dan perjanjian-perjanjian yang dikenalpasti sebagai tidak adil dan bertentangan dengan kepentingan umum.

Pakatan Rakyat juga akan mengembalikan kemuliaan perkhidmatan melalui peningkatan profesionalisme dan memberi ruang memainkan semula peranan terpenting dalam pentadbiran negara, agar penjawat awam memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, tanpa mengira pangkat dan darjat.

Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan dibebaskan dari gangguan politik dan dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan keutamaan perniagaan. Di masa hadapan, sasaran Pakatan Rakyat adalah untuk menyaksikan kemunculan gergasi GLC yang cemerlang dalam bidang masing-masing dan hanya GLC dalam sektor strategik sahaja akan dikekalkan.

Akta Persaingan 2010 akan diperluaskan kepada semua sektor ekonomi termasulah syarikat telekomunikasi, perkhidmatan televisyen berbayar dan sektor tenaga yang paling banyak menyaksikan herotan harga akibat monopoli.

Monopoli-monopoli berikut yang menghakis pendapatan boleh guna rakyat Malaysia dan mengakibatkan kos perniagaan yang tinggi akan distruktur semula dalam tahun 2012:

  1. Memansuhkan monopoli Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) untuk mengimport beras. Sebaliknya, lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif, terbuka dan telus
  2. Telekom Malaysia (TM) akan diarahkan merombak model infrastruktur perkhidmatan internet jalur lebar untuk menggalakkan penyertaan penyedia perkhidmatan internet jalur lebar yang baru; seterusnya mengurangkan kos dan melonjakkan kadar penembusan internet jalur lebar melalui persaingan yang lebih dinamik
  3. Kartel syarikat telekomunikasi akan dihapuskan
  4. Kartel akhbar dan media akan dihapuskan
  5. Kartel perkhidmatan penerbangan akan dihapuskan
  6. Monopoli Astro ke atas perkhidmatan televisyen satelit siar terus berbayar akan dihapuskan
  7. Lesen teksi akan diberi terus kepada para pemandu teksi

MEMPERTAHAN MARTABAT DI WAKTU SUSAH

Pakatan Rakyat peka dan prihatin dengan kesusahan rakyat yang bergelumang dengan kemelut kenaikan harga barang. Sebelum dasar-dasar jangka sederhana dan panjang bertujuan mengubah struktur gaji dan ekonomi rakyat berkesan, keperluan mendesak membantu rakyat dalam suasana ekonomi yang perit perlu diberi perhatian.

Oleh yang demikian, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan untuk membantu rakyat dalam tahun 2012:

  1. Bonus RM1,000 setahun bagi setiap warga emas di Malaysia yang layak (berumur 60 tahun ke atas, pendapatan tahunan kurang dari RM18,000) melibatkan peruntukan RM1.7 bilion setahun
  2. Bayaran RM1,000 dalam tahun 2012 untuk suri rumah yang layak (pendapatan isi rumah kurang dari RM18,000 setahun dan sekurang-kurangnya mempunyai seorang anak di bawah umur 18 tahun) melibatkan peruntukan RM2 bilion setahun
  3. Menambah pendapatan isi rumah golongan miskin tegarkepada RM550 sebulan dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial dengan menyelaraskan bayaran kebajikan terus yang dikelolakan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada RM550 sebulan
  4. Elaun RM1,000 setahun bagi penjagaan anak berumur 12 tahun ke bawah bagi keluarga yang berpendapatan kurang dari RM1,000 sebulan dan penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak bertauliah melalui penyediaan pinjaman khas dan insentif cukai kepada pengusaha pusat dan majikan, bertujuan menggalakkan lebih ramai kaum wanita menyertai tenaga kerja dan meningkatkan peratusan penyertaan golongan wanita kepada 55% berbanding 46%.

Subsidi yang diperuntukkan untuk mengawal harga-harga barangan dan perkhidmatan akan dikekalkan pada jumlah RM22 bilion dalam tahun 2012 untuk mengekang kenaikan harga barangan keperluan. Dasar-dasar bersabit subsidi dan harga kawalan petrol akan dirombak seperti berikut:

  1. Subsidi kepada badan-badan dan syarikat yang bersifat monopolistik akan dihentikan
  2. Subsidi-subsidi umum akan distruktur semula untuk memastikan ia sampai terus kepada kumpulan-kumpulan sasaran yang memerlukan

MENGURANGKAN JURANG BANDAR-DESA

Pakatan Rakyat akan meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia yang menetap di desa.

Pembangunan serantau dan luar bandar akan digalakkan melalui desentralisasi pentadbiran.

Monopoli import beras yang dipegang BERNAS akan dihapuskan. Lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif dan terbuka. Subsidi akan diberi terus kepada para petani melalui institusi-institusi pertanian.

RM 100 juta akan diperuntukkan kepada peniaga-peniaga kecil untuk mempertingkatkan tahap kebersihan dan mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa.

MENINGKATKAN KUALITI KEHIDUPAN

Pakatan Rakyat akan meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih baik buat semua rakyat Malaysia.

Pasukan polis akan difokuskan semula kepada tugas utama mencegah jenayah dan meningkatkan keselamatan awam.

Dasar “Bina dan Jual” (“Build then Sell“) untuk projek perumahan kos rendah-sederhana akan dikuatkuasakan demi menjamin kepentingan pengguna. Peruntukan kos perumahan awam akan dinaikkan kepada RM1 bilion.

Dasar Pengangkutan Nasional akan diperkenalkan untuk memberi keutamaan kepada pengangkutan awam berasaskan prinsip “sistem pengakutan menggerakkan rakyat, bukan menambah kereta di jalanraya“. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Pengangkutan.

Peningkatan penggunaan teknologi hijau untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih baik, cekap dan mendatangkan kebaikan kepada rakyat melalui penjimatan kos kemudahan awam asas dan lain-lain perbelanjaan isi rumah dan industri.

REFORMASI POLITIK

Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan amalan demokrasi berparlimen dan Persekutuan.

Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan prinsip dan pelaksanaan sistem persekutuan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dengan memberi perkongsian sumber yang lebih adil dengan negeri-negeri. Pakatan Rakyat juga akan memperkenalkan refomasi-reformasi berikut:

  1. Memansuhkan semua perintah darurat dan menghapuskan semua undang-undang yang membabitkan  penahanan tanpa bicara seperti  yang terkandung di dalam Akta  Pemansuhan Darurat yang  dibentangkan oleh Pakatan Rakyat  pada sesi Parlimen Mac 2011
  2. Menstrukturkan semula Biro Pengaduan  Awam menjadi sebuah institusi  Ombudsman
  3. Meletakkan beberapa institusi  awam utama seperti Jabatan Audit  Negara, Jabatan Perangkaan,  Suruhanjaya Pelantikan Hakim,  Suruhanjaya,  Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM), Suruhanjaya  Pilihan Raya Malaysia (SPR)  Suruhanjaya Hak Asasi Manusia  (SUHAKAM) dan institusi Obudsman  dibawah bidang kuasa Parlimen
  4. Pemansuhan Akta Mesin  Cetak dan Penerbitan 1984 dan penubuhan Majlis Media yang bebas untuk beralih kepada amalan kawalan sendiri oleh pengamal media
  5. Memulihkan autonomi dan kebebasan  ahli-ahli akademik universiti- univesiti di Malaysia dengan  menghapuskan Akta Universiti dan  Kolej Universiti (AUKU) 1971 serta membebaskan pelajar-pelajar  daripadan cengkaman Jabatan Hal  Ehwal Pelajar (HEP). Kepimpinan  universiti-universiti awam akan dipilih secara demokratik dan berdasarkan merit
  6. Memansuhkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan memperkenalkan Akta  Kebebasan Maklumat di setiap  peringkat kerajaan dengan  dilengkapkan infrastruktur yang diperlukan untuk memastikan akses kepada maklumat berkepentingan awam, selain dari  perkara-perkara yang benar-benar berkait dengan keselamatan negara

Pakatan Rakyat berjanji untuk memperkukuhkan Parlimen sebagai sebuah institusi dan menolak amalan Perdana Menteri yang mentadbir bak seorang raja dan diktator:

  1. RM 10 bilion dari belanjawan Perdana Menteri yang selama ini digunakan dengan wewenang untuk memberi projek akan disalurkan kepada Kementerian-Kementerian berkenaan
  2. Cadangan-cadangan perbelanjaan akan diteliti dengan rapi di peringkat jawatankuasa parlimen. Sebagai langkah pertama, tujuh Jawatankuasa Belanjawan Parlimen akan ditubuhkan untuk meneliti belanjawan-belanjawan kementerian lalu membolehkan debat dan penilaian yang lebih berkualiti
  3. Ahli-ahli jawatankuasa dan Ahli-ahli Parlimen akan diberi peruntukan untuk menggaji pembantu penyelidik parlimen demi meningkatkan keberkesanan kajian belanjawan serta meneliti pelaksanaan dan hasil daripada perbelanjaan kerajaan

ANAK MUDA MENDEPANI PERUBAHAN

Satu kajian semula dan siasatan yang menyeluruh ke atas perbelanjaan dan struktur kurikulum Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dibuat dengan tujuan menggantikannya dengan program-program luar kurikulum atau program komuniti yang lebih bermanfaat dan membina kemahiran peribadi. RM747 juta yang diperuntukkan kepada PLKN tahun lepas akan disalurkan kepada inisiatif terbaru ini.

Sejumlah RM100 juta akan diperuntukkan kepada program Pilihan Anak Muda yang memberi peluang kepada anak muda Malaysia berumur bawah 30 tahun menjalankan projek-projek dan program-program pilihan mereka yang bersifat awam dan membawa kebaikan melalui sistem undian.

RM50 juta akan diperuntukkan kepada sebuah dana khas untuk meningkatkan penglibatan anak muda dalam aktiviti-aktiviti berdasar kreativiti dan mewujudkan lebih banyak ruang riadah dan rekreasi khusus untuk anak muda.

KESEJAHTERAAN RAKYAT, KESEJAHTERAAN BERSAMA

Pakatan Rakyat tidak mungkin akan berjaya melaksanakan dasar-dasar yang mustahak dan bakal merubah wajah negara ini dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan.

Rakyat Malaysia, sebagai majikan, pekerja, suri rumah, pengasuh, mahasiswa dan sebagai warga negara wajar memainkan peranan secara individu dan kolektif untuk menjayakan agenda yang berani ini demi menuju masa depan yang lebih cerah buat semua.

Muatturun versi PDF untuk cetakan:

RINGKASAN BELANJAWAN PAKATAN RAKYAT 2012

Ucapan Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 oleh YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim

MUQADDIMAH

1. Terima kasih dan tahniah kepada pasukan belanjawan Pakatan Rakyat yang berjaya menghasilkan sebuah dokumen yang lengkap dan menyeluruh, walaupun mereka tidak dibantu oleh perunding dan firma media antarabangsa yang mahal.

2. Keupayaan Pakatan Rakyat menghasilkan sebuah belanjawan menyeluruh yang berlandaskan semangat reformasi rakyat adalah satu mercu tanda kematangan dan kesediaan Pakatan Rakyat menjadi kerajaan persekutuan yang baru. Belanjawan yang bertemakan “Kesejahteraan Untuk Semua” ini lengkap mencerakinkan dengan terperinci unjuran pendapatan, perbelanjaan dan peruntukan untuk program-program nasional yang meniupkan roh kebajikan seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

3. Belanjawan ini akan menjadi penanda aras dan penimbal balik kepada belajawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober ini. Saya yakin rakyat yang serba matang dan mahir menilai akan membandingkan kedua-dua dokumen dan Insya Allah menguatkan lagi iltizam rakyat menuntut perubahan di negara yang kita cintai.

BAB 1: MAQASSID BELANJAWAN MENGANGKAT KEPERLUAN RAKYAT
4. Proses pembentangan dan meluluskan belanjawan setiap tahun hanya dijadikan rutin oleh Barisan Nasional hingga mengenepikan matlamat sebenar sebuah kerajaan merangka dan membentangkan belanjawan kepada rakyat.

5. Apakah wajar belanjawan hanya dilihat sebagai satu senarai gula-gula yang hendak ditawarkan kepada rakyat beberapa bulan sebelum pilihanraya umum, sedangkan bertahun-tahun sebelum itu rakyat ditindas? Di mana kewarasan sebuah kerajaan apabila fokus setiap belanjawan hanyalah kepada perkara-perkara yang penting kepada golongan kecil niagawan kaya dan kroni-kroni mereka, sedangkan kebajikan rakyat diketepikan?

6. Sebab itu Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mengambil pendekatan yang sangat berbeza. Sementara kita memberi perhatian kepada perkara-perkara makro ekonomi (baik persoalan defisit, pelaburan swasta, angka-angka pertumbuhan, keberdayasaingan ekonomi negara), kita jangan sekali-kali alpa bahawa maqassid perancangan belanjawan adalah untuk mengangkat keperluan rakyat mengatasi yang lain.

7. Makanya, prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:

a. Membantu rakyat dalam masa terdekat untuk mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit;

b. Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khusus untuk mengurangkan defisit;

c. Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan;

d. Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian yang memartabatkan rakyat; dan

e. Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang menjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.

8. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4% daripada KDNK. Walaupun jumlah ini melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM14 bilion dari kadar yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional, kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20% nilai tambah kepada rakyat, berbanding apa yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional selama ini.

9. Keseluruhan RM220 bilion ini akan digunakan sebaiknya untuk mengimbangi keperluan membaiki kerangka ekonomi negara yang kian punah di bawah Barisan Nasional dan membela rakyat dalam suasana yang semakin mendesak.

10. Defisit tahun 2011 yang diunjurkan mencecah 6% dari KDNK membayangkan kegagalan Barisan Nasional menghentikan langkauan defisit belanjawan selama 13 tahun berturut-turut akibat ketirisan, rasuah dan penyelewengan. Oleh itu, fokus untuk mengurangkan defisit kepada angka 4.4% telah menjadi satu keperluan mutakhir demi kelangsungan kewangan negara di masa akan datang.

BAB 2: KESEJAHTERAAN UNTUK SEMUA MELALUI PEMBELAAN RAKYAT TERBANYAK
11. Merujuk kepada angka-angka pendapat isi rumah yang terkini, seharusnya kita menginsafi ingatan Allah SWT yang cukup jelas di dalam Surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: “Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

12. Realitinya di Malaysia sudah jauh menyimpang dari ketetapan ini. Walaupun ada pihak yang mendakwa satu Malaysia ini serupa, hakikatnya negara kita adalah negara yang majmuk kelas ekonominya.

13. Golongan mahakaya (super rich) membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pencen dan pendapatan mereka semakin mengecil. Anak-anak muda yang memasuki alam pekerjaan terpaksa bertungkus lumus berkongsi rumah dan mengikat perut, sedang anak-anak golongan mahakaya ini seronok melancong dan berbeli belah beg-beg tangan mahal dan cincin permata.

14. Golongan pekerja masih memperjuangkan hak untuk dibayar upah yang bersesuaian dengan kos sara hidup kini dan masih ramai yang upahnya lebih kecil dari garis kemiskinan yang ditetapkan. 35% dari rakyat kita bekerja dalam sektor tidak formal seperti menjaja dan berniaga kecil-kecilan yang tidak mempunyai perlindungan kerja dan imbuhan sosial yang memadai.

15. Statistik-statistik rasmi dari Kerajaan sendiri jelas menunjukkan satu Malaysia yang caca merba dan tidak sekata agihan kekayaannya.

16. 40% dari rakyat Malaysia datang dari isi rumah yang pendapatannya kurang dari RM1,500 sebulan. ¾ dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh pemerintah. Lebih mendukacitakan, golongan 20% terkaya di dalam negara (termasuklah golongan mahakaya dan kaum kerabat mereka) membolot 50% kekayaan negara, sedang 40% golongan terbawah hanya menikmati 15% dari kekayaan negara.

17. Semua ini melambangkan kegagalan sebuah pentadbiran yang memusatkan kekayaan kepada segelintir kecil kroni dan kaum kerabat mereka, bertentangan dengan peringatan Allah SWT di dalam Surah Al-Hasyr tadi.

18. Kegilaan itu semakin menjadi-jadi. Terkini kita disajikan dengan berita-berita pengambilan aset-aset syarikat awam oleh entiti yang dikawal oleh beberapa kerat mahakaya dan kaum kerabat mereka, seolah-olah kekayaan sedia ada masih belum mencukupi. Jangan kita lupa bahawa senarai orang-orang terkaya di Malaysia dihiasi dengan kaum-kerabat pemerintah, baik anak-anak mantan mahupun adik kepada Perdana Menteri sedia ada.

19. Kalau anak mantan Perdana Menteri memiliki syarikat perkhidmatan petroleum yang kelima terbesar di dunia selepas penggabungan Kenchana Petroleum dan SapuraCrest yang melibatkan RM12 billion , apakah tiada anak Malaysia yang cemerlang di dalam bidang-bidang ini selain dari anak mantan Perdana Menteri?

20. Tidak cukup seorang anak mantan Perdana Menteri itu menguasai industri huluan petroleum, anaknya yang seorang lagi pula mahu menguasai industri hilirian petroleum melalui konglomerat San Miguel yang membina kekayaan hasil dari perniagaan arak .

21. Kebejatan ekonomi sebeginilah yang menyebabkan RM52 bilion saham yang diberikan kepada golongan-golongan atasan Melayu akhirnya hilang begitu sahaja. Sedang mereka bergembira dengan kekayaan mereka, rakyat di bawah merempat mencari sesuap rezeki.

22. Tatkala kadar inflasi terus kekal pada kadar sekitar 3% seperti sekarang, rakyat akan terus terbeban dengan harga barang yang menjadi jenama paling unggul Barisan Nasional.

23. Angka-angka ekonomi negara semuanya rendah-rendah belaka, kecualilah angka-angka kenaikan harga barang. Perbandingan harga barang di antara tahun 2008 dan 2011 menunjukkan bahawa harga gula telah melonjak sebanyak 66%, diikuti dengan harga 1 kilogram ayam bersih yang melonjak 37%, seterusnya harga susu bayi 1.8 kilogram mencecah kenaikan 26%, teh tarik mengalami kenaikan harga 25% dan sebungkus roti putih naik harganya sebanyak 20%.

24. Unjuran angka inflasi membayangkan sekiranya keadaan ini berterusan sehingga tahun 2015 akibat kegagalan Barisan Nasional mengawal harga barang, rakyat Malaysia akan menanggung kos barangan harian yang telah melonjak naik 50% lebih mahal dalam tahun 2015 berbanding tahun 2005, sedangkan purata kenaikan gaji dalam masa satu dekad hanyalah 2.6% .

25. Makanya, tema “Kesejahteraan Untuk Semua” adalah sangat bertepatan kerana Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan rakyat:

a. Peruntukan subsidi sebanyak RM22 bilion dikekalkan dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini. Ini dijangka akan mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012.

b. Tumpuan khusus akan diberikan untuk menambahbaik sistem penyampaian subsidi agar ia sampai terus kepada rakyat yang memerlukan, bukannya ditadbir dan tersekat di pertengahan akibat monopoli yang diberikan kepada syarikat tertentu. Ini termasuklah penghapusan subsidi korporat yang selama ini menguntungkan golongan mahakaya dan kroni mereka seperti pemilik-pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh BERNAS, monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan dan lain-lain.

c. Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas yang layak, berdasarkan pendapatan kurang dari RM18,000 setahun. Ia dijangka akan menelan belanja RM1.7 bilion setahun tetapi difikirkan perlu untuk membantu golongan warga emas dan pencen yang kuasa beli mereka semakin terhakis akibat kenaikan harga barang.

d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak RM1,000 dalam tahun 2012 kepada mereka yang layak, untuk mengurangkan bebanan keluarga dan menggalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Ini akan membabitkan peruntukan RM2 bilion.

e. Bayaran tambahan (top up payment) kepada isi rumah di dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550. Ini difikirkan wajar sebagai langkah segera membantu golongan terbawah di dalam ekonomi negara.

f. Pada masa yang sama, mengambil kira faktor semasa dan kenaikan harga mutakhir, bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diselaraskan kepada RM550 sebulan, dari kadar sedia ada sebanyak RM300 sebulan.

BAB 3: MENGEMBALIKAN MARTABAT RAKYAT
26. Pemerintah sedia ada sering berkelakuan angkuh apabila berhadapan dengan kesusahan rakyat. Apabila harga minyak naik mendadak, Perdana Menteri meminta rakyat mengubah gaya hidup sedangkan beliau dan keluarga menghabiskan lebih banyak masa di luar negara atas pelbagai urusan .

27. Barisan Nasional juga menyalahkan segala-galanya kepada rakyat. Hutang negara yang mencecah kadar tertinggi dalam sejarah pun dek kerana rakyat, ekonomi yang tidak dapat dipulihkan pun kerana rakyat yang kononnya mahu bertongkat. Malah, pengangguran anak-anak kita sekali pun ditohmahkan kepada sikap anak-anak muda yang kononnya terlalu memilih, sedangkan ramai pula yang tidak malu melakukan kerja-kerja bawahan walaupun berijazah.

28. Hubungan rakyat dengan pemerintah sedia ada umpama khadam dengan tuan. Kalau tidak kerana puluhan ribu rakyat turun membanjiri Kuala Lumpur bersama-sama BERSIH2.0, warna kuning sekali pun hendak diharamkan; apatah lagi menerima dengan terbuka tuntutan agar reformasi pilihanraya dijalankan.

29. Hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup umpama melukut di tepi gantang. Anggaran Bank Dunia meletakkan bahawa 34% daripada tenaga kerja masih dibayar di bawah kadar RM700 sebulan, bermakna satu pertiga daripada tenaga kerja Malaysia berada di bawah paras kemiskinan.

30. Persoalan gaji juga menjadi isu yang mahu dipadamkan oleh pemerintah sedia ada. Gaji yang bermaruah dan bertepatan dengan keperluan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa bukanlah keistimewaan atau kemewahan yang dituntut oleh rakyat. Ia adalah satu konsep hak asasi manusia yang diterima pakai di seluruh dunia; bahawa setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan.

31. Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah yang memandang rendah kepada rakyat, seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah. Kuasa untuk menentukan gaji minima terus dipusatkan di tangan Menteri, justeru Akta Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan yang dibentangkan baru-baru ini tidak lebih dari helah untuk menutup keengganan Barisan Nasional melaksanakan gaji minima.

32. Tabiat merendah-rendahkan martabat rakyat ini semakin berleluasa sehingga mengenepikan kakitangan perkhidmatan awam. Umum mengetahui bahawa pentadbiran Perdana Menteri lebih gemar menggunakan khidmat perunding luar atau mereka yang dibawa masuk dan dibayar gaji besar daripada tenaga pakar sedia ada di dalam perkhidmatan awam. Kerajaan mengeluh apabila berhadapan dengan masalah gaji perkhidmatan awam, tetapi kontrak ratusan juta kepada perunding asing diluluskan dengan sewenang-wenangnya.

33. Beberapa dasar pemerintah sekarang juga tidak membantu memperkasakan rakyat meningkatkan keupayaan ekonomi mereka. Kegagalan membina sistem latihan teknikal dan vokasional yang baik dan ketiadaan universiti-universiti berorientasikan teknikal yang menekankan kepada skim perintis dengan industri menyebabkan wujudnya jurang di antara kehendak industri dan kemahiran tenaga kerja.

34. Mengambil kira perkara-perkara ini, untuk mengembalikan martabat rakyat dan menghentikan pendekatan yang meremeh temehkan rakyat seperti yang diamalkan pemerintah sedia ada, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memperuntukkan perkara-perkara berikut:

a. Gaji minima akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Pakatan Rakyat akan menggunapakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada. Gaji minima sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan;

b. Pengenalan gaji minima dijangka akan memanfaatkan 300,000 orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100;

c. Tangga gaji kakitangan awam akan diselaraskan berikutan pengenalan gaji minima dan melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam yang lain mengikut tangga gaji masing-masing;

d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga;

e. Penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan pengenalan gaji minima dan janji Buku Jingga akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM5.9 bilion;

f. Pakatan Rakyat akan menghentikan serta-merta kecenderongan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan;

g. Peruntukan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik di semua peringkat termasuk naiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal;

h. Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam yang akan dipacu melalui perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan negeri;

i. Pelaksanaan skim “Bina dan Jual” secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai; dan

j. Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung dan konsesi yang digunapakai; bermula dengan pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu-pemandu teksi.

BAB 4: MENJAMIN KELANGSUNGAN KEWANGAN NEGARA
35. Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah mencecah RM437 bilion. Jika unjuran KDNK bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5%, maka kadar keberhutangan negara telah mencecah 53% dari KDNK negara. Pada tahun 2007, kadar ini hanyalah 42% dari KDNK negara.

36. Kadar keberhutangan rakyat Malaysia juga merunsingkan. Jumlah hutang oleh isi rumah Malaysia telah mencecah RM577 bilion pada akhir 2010, iaitu 77% dari KDNK sedangkan pada tahun 1997, ia hanyalah 33% dari KDNK. Maknanya, di bawah pentadbiran Menteri-menteri Kewangan yang kebetulannya semuanya Perdana Menteri sejak tahun 1998, rakyat Malaysia terpaksa berhutang lebih sehingga kadar keberhutangan meningkat sekali ganda dalam masa 13 tahun sahaja.

37. Keadaan diburukkan lagi dengan kadar defisit yang berpanjangan sejak mantan-mantan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang memegang tampuk perbendaharaan negara. Defisit negara diunjurkan mencecah 6% bagi tahun 2011, jauh tersimpang dari janji Perdana Menteri untuk mengurangkan defisit ke kadar 5.2% seperti yang dibentangkan di dalam belanjawan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh.

38. Malaysia tidak memerlukan perunding ekonomi antarabangsa yang mahal-mahal untuk memahami ancaman defisit dan hutang kepada kelangsungan kewangan dan kestabilan negara.

39. Rentetan krisis kewangan di Eropah dan Amerika Syarikat secara jelas mengajar kita bahawa negara-negara yang tata kelolanya lemah, berbelanja berlebihan melalui hutang dan disalahtadbir ekonominya adalah negara-negara yang paling terkesan apabila berlaku kejutan ekonomi dunia.

40. Malangnya, apabila ini berlaku, rakyatlah yang menjadi mangsa dan terpaksa menanggung beban pelbagai tindakan susulan yang diambil.

41. Oleh yang demikian, tumpuan untuk mengekang defisit sewajarnya menjadi tumpuan utama agar kita berjaya menghentikan kitaran memusnahkan akibat tabiat berhutang yang diamalkan Barisan Nasional selama ini.

42. Saya juga ingin menegaskan bahawa persoalan defisit bukanlah persoalan melebarkan jaringan percukaian agar lebih ramai rakyat membayar cukai. Usaha mengekang defisit perlu ditumpukan kepada usaha mengawal perbelanjaan dan mewujudkan tata kelola kewangan terlebih dahulu; berbanding sikap Barisan Nasional yang cepat melatah untuk mengenakan cukai baru seperti Cukai Barangan dan Jualan (GST).

43. Mengambil kira keperluan untuk memulihkan asas kewangan negara dan menjamin kelangsungan kewangan negara, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut:

a. Memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan mengembalikan peruntukan ini kepada kementerian-kementerian yang berkenaan dan mengurangkan kecenderongan berbelanja berlebihan oleh Perdana Menteri;

b. Sasaran mengekang defisit yang drastik iaitu pada kadar 4.4% bagi tahun 2012, berbanding sasaran-sasaran yang menyimpang sebelum ini;

c. Dividen dari PETRONAS diunjurkan pada kadar RM26 bilion sahaja, iaitu RM4 bilion lebih rendah dari amalan semasa Barisan Nasional walaupun keuntungan PETRONAS dijangka melonjak naik dalam tahun 2012 akibat harga minyak mentah yang tinggi. Ini bertujuan memastikan PETRONAS mempunyai sumber yang mencukupi untuk berkembang dan menjamin masa depan negara;

d. Penjualan lesen import (AP) akan dibuat melalui proses lelongan yang dijangka akan menambah pendapatan negara sebanyak RM1.2 bilion;

e. Pendekatan perolehan kerajaan akan dipinda untuk mengamalkan tender terbuka dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu/Bumiputra dan golongan-golongan yang memerlukan diperkenalkan bagi melatih usahawan-usahawan baru berteraskan kebolehan dan merit;

f. Menyemak kembali kontrak-kontrak pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara;

g. Tumpuan kepada memaksimakan pendapatan negara dengan mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara; dan

h. Mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang dibatalkan oleh Perdana Menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain atas pertimbangan kategori barangan ini hanya digunakan oleh golongan mewah. Maka sewajarnya cukai yang berpatutan disumbangkan untuk memperkemaskan kewangan negara.

BAB 5: MEMBINA KEANJALAN DAN DAYA SAING EKONOMI
44. Ekonomi negara perlu beralih kepada sektor bernilai tinggi untuk menambah pendapatan rakyat dan negara. Model ekonomi kos rendah yang banyak menggunapakai tenaga asing yang murah sebenarnya merompak rakyat Malaysia dari segi peluang ekonomi. Saban tahun, pekerja-pekerja asing juga menghantar puluhan bilion wang ringgit keluar dari Malaysia.

45. Niagawan-niagawan yang terlalu mempertahankan model ekonomi seperti ini sebenarnya mengambil subsidi dari rakyat Malaysia kerana keuntungan mereka adalah hasil dari menidakkan rakyat Malaysia dari peluang pekerjaan pada gaji yang munasabah.

46. Daya saing ekonomi negara juga memerlukan penglibatan lebih tinggi golongan wanita untuk merealisasikan potensi ekonomi mereka. Pakatan Rakyat mensasarkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja mencecah 55% menjelang 2015, berbanding kadar 43% sekarang.

47. Kita juga perlu merubah struktur ekonomi yang mempertahankan dan mengkayakan beberapa kerat mahakaya melalui konsesi-konsesi yang meningkatkan kos operasi dan perniagaan. Pertembungan di antara sektor swasta dan syarikat milik kerajaan juga perlu dikurangkan untuk mengembalikan kerancakan pelaburan swasta dalam ekonomi negara.

48. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mencadangkan perkara-perkara berikut:

a. Menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai kembali konsesi-konsesi yang tidak adil untuk menghentikan herotan kos operasi dan perniagaan yang ditanggung oleh rakyat dan niagawan;

b. Meminda Akta Persaingan 2011 supaya turut meliputi sektor-sektor penyiaran, telekomunikasi, tenaga dan sektor bermonopoli lain untuk memecahkan monopoli;

c. Sasaran pengurangan pekerja asing yang jelas menjelang 2015 mengikut sektor ekoran pengenalan gaji minima; dan

d. Elaun penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun kepada ibu-ibu yang layak untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita di dalam tenaga kerja; dipadankan dengan pelaburan kerajaan untuk membina pusat penjagaan kanak-kanak yang menepati piawaian.

BAB 6: KESEJAHTERAAN SEKATA DAN SEADILNYA
49. Pemusatan sumber dan kawalan kewangan yang keterlaluan kepada Kerajaan Pusat menindas kerajaan-kerajaan negeri sehingga mewujudkan jurang ekonomi yang luas di antara wilayah-wilayah, terutamanya di antara Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Pantai Barat.

50. Oleh yang demikian, tumpuan yang jelas perlu diberikan untuk mempercepatkan pembangunan di wilayah-wilayah ini terutamanya pembinaan infrastruktur termasuklah jaringan lebuhraya-lebuhraya yang menghubungi seluruh Sabah dan Sarawak.

51. Konsep perkongsian sumber dan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri-negeri juga perlu dikaji semula untuk memastikan kebertanggungjawaban dan kepakaran pentadbiran dipadankan dengan sumber kewangan yang bertepatan.

52. Mengambil kira perkara-perkara ini, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memutuskan perkara-perkara berikut:

a. Pindaan kepada Akta Geran Kapita 2002 untuk beralih dari mekanisme bayaran tetap seperti sekarang kepada prinsip formula berdasarkan faktor-faktor seperti sumbangan ekonomi, keperluan pembangunan, pendapatan rakyat dan kedudukan sosio ekonomi setiap negeri;

b. Peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar; dan

c. Peruntukan khas sebanyak RM100 juta untuk program-program pembersihan dan pengindahan desa di seluruh negara.

BAB 7: MENGUKUHKAN ARUS REFORMASI RAKYAT
53. Semua perancangan ekonomi yang dibuat hanyalah kekal menjadi diskusi akademik kecuali disertakan dengan iltizam untuk melaksanakan reformasi politik dan pentadbiran.

54. Suasana yang kondusif akan diwujudkan yang secara langsung membolehkan perubahan-perubahan ekonomi berlaku bila mana sistem pentadbiran dan dokongan adalah telus, amanah, bertanggungjawab dan berasaskan kerangka tata kelola yang baik.

55. Akhirnya, perbezaan ketara di antara Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat yang mengangkat Kesejahteraan Untuk Semua, dengan belanjawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri adalah dari segi siapa yang boleh melaksanakan reformasi-reformasi ekonomi ini dengan berkesan.

56. Sebab itu kita tidak boleh lari dari pengajaran Kitab al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun, yang antara lain menggambarkan kemusnahan apabila pimpinan kerajaan bergelumang dengan “salah laku, buruk akhlak, ketidakikhlasan dan tipu daya untuk mengaut kekayaan. Hati mereka memikirkan dan mencari jalan untuk menggunakan semua helah bagi tujuan itu. Akibatnya rakyat pun turut terheret dengan penipuan, perjudian, kecurian dan riba”.

57. Rakyat berhak mempersoalkan keikhlasan dan komitmen Barisan Nasional untuk menjalankan reformasi – baik reformasi politik, ekonomi atau sosial kerana rekod caca merba dan tipu daya mereka yang bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan mereka bahawa rakyat mudah lupa. Sebab itu Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri tetapi kemudiannya menyebut pula akta gantian – maknanya perkara yang sama, Cuma sanggul dan cincin yang berbeza sebagai hiasan.

58. Dalam kehangatan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13, rakyat juga tidak boleh alpa dengan pelbagai laporan dan bukti yang mempersoalkan ketulusan dan integriti daftar pemilih. Kalau selama ini kita percaya pelbagai helah digunakan untuk membenarkan pengundi hantu merosakkan amalan demokrasi di negara ini, pengesahan terbaru mengenai pemberian hak mengundi kepada warga negara Bangladesh mengukuhkan lagi persepsi rakyat bahawa Suruhanjaya Pilihanraya adalah tidak telus.

59. Oleh yang demikian, seluruh rancangan ekonomi perlu dijalankan seiringan dengan proses reformasi politik dan pentadbiran. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut untuk mengukuhkan lagi arus reformasi rakyat:

a. Melaksanakan sepenuhnya janji-janji di dalam Buku Jingga termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, akta-akta bersabit media dan percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti dan Kolej Universiti;

b. Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti yang dicadangkan Pakatan Rakyat dalam tahun 2011 untuk memansuhkan semua peruntukan undang-undang yang bertentangan dengan amalan demokratik;

c. Melaksanakan serta-merta semua tuntutak BERSIH2.0;

d. Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam dan lain-lain supaya bertanggungjawa terus kepada Parlimen;

e. Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara yang dibentangkan ke Parlimen bersama-sama dengan laporan Ketua Audit Negara; dan

f. Pembentukan tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahaskan belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.

PENUTUP
60. Malaysia adalah sebuah negara yang dirahmati dan diberkati. Rakyatnya telah membuktikan bahawa semua cabaran yang getir boleh diatasi bersama melalui muafakat, persefahaman dan hormat-menghormati.

61. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat melihat rakyat sebagai aset pertama negara dan sewajarnya diangkat martabat rakyat untuk sama-sama menyumbang kepada kesejahteraan semua. Rakyat adalah tuan punya negara ini, rakyat bukannya khadam atau pekerja yang membanting tulang menagih ehsan pemerintah atau golongan mahakaya.

62. Belanjawan 2012 ini juga memberi gambaran sebuah negara yang berbeza di bawah Pakatan Rakyat. Berbeza ekonominya, rancak proses demokrasinya dan telus pentadbirannya.

63. Saya memohon doa supaya Belanjawan 2012 ini memberi peluang untuk semua pihak memainkan peranan bersama-ama membawa Malaysia ke tempat yang lebih sejahtera, lebih aman dan lebih adil.

64. Sekian, terima kasih.

Muatturun ucapan dalam PDF

Ucapan Ketua Pembangkang – Belanjawan Pakatan 2012

Writer’s Block: Watch How It Should Have Ended – Harry Potter

Am in the middle of a write up (yet again) and it’s so difficult to move on when you have a block. Sometimes you have to do so many things just to get rid of the list of things you ought to do before you don’t have anything else to do but to write.

One of the things I do when I am stuck (literally and figuratively speaking) is to watch “How It Should Have Ended” – a series of spoofs of popular movies.

I put here two of the bests, in case there are others out there who need some company to untie your knotted minds!

%d bloggers like this: