Pinjaman Bank Dunia Yang Dinafikan Tun Mahathir Sah Diterima Kerajaan Malaysia, Tersenarai Dalam Penyata Akaun Negara

Saya merujuk kepada penafian Tun Mahathir Mohamad bahawa pentadbiran beliau mengambil bantuan kewangan dari Bank Dunia dalam tahun 1999, seperti yang dilaporkan BERNAMA pada 19 Disember 2011. Beliau juga mempersoalkan kesahihan dokumen-dokumen perjanjian pinjaman di antara Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia yang dikemukakan KEADILAN.

Saya telah menulis secara rasmi kepada Bank Dunia untuk mendapatkan pengesahan mereka bahawa semua dokumen yang dipaparkan di laman web mereka adalah sahih. Saya yakin bahawa kesemua itu adalah dokumen sah.

Kalau pun Tun Mahathir meragui dokumen-dokumen rasmi dari Bank Dunia, beliau tidak boleh menafikan dokumen rasmi kewangan negara yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia dan diluluskan di Parlimen. Saya lampirkan Penyata Akaun Memorandum Hutang Awam Luar Negeri Kerajaan Malaysia seperti pada 31 Disember 2008 yang terkandung di dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2010. Dokumen ini dibentangkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober 2009.

Penyata tersebut mengesahkan bahawa Kerajaan Malaysia telah mengambil pinjaman dari Bank Dunia dalam tahun 1999 dengan rujukan “4452 MA Projek Sokongan Sektor Sosial” dari Bank Dunia (dikenali sebagai Bank Antarabangsa bagi Pemulihan dan Pembangunan). Kadar faedahnya adalah 7.47% bagi tahun 2008 dan sehingga 31 Disember 2008, Kerajaan Malaysia masih berhutang sebanyak RM701,040.14 daripada keseluruhan pinjaman berjumlah USD60 juta yang diambil dalam tahun 1999.

KEADILAN tidak mahu memanjangkan isu ini. Kami hanya mengemukakan fakta untuk membetulkan kenyataan Tun Mahathir Mohamad sebelum itu yang jelas satu pembohongan.

Penggunaan teknologi maklumat yang semakin meluas sekarang berbanding sedekad lalu memungkinkan pelbagai dokumen rasmi Bank Dunia dipamerkan kepada umum kerana mereka mengamalkan dasar terbuka, bukannya seperti pentadbiran Barisan Nasional yang menggunakan Akta Rahsia Rasmi untuk menyekat pelbagai dokumen daripada diteliti rakyat.

Sewajarnya Tun Mahathir Mohamad perlu menerima hakikat bahawa beliau telah tersilap dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana berbohong mengenai bantuan Bank Dunia kepada Malaysia dalam tahun 1999.

 

MOHD RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI KEADILAN

20 DISEMBER 2011

 

Skandal NFC: Keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil Beli Kondominium Mewah Berharga RM9.9 Juta Di Singapura

Memandangkan UMNO dan Dato’ Seri Shahrizat Jalil belum memberi tanda-tanda akan ada pertanggungjawaban kepada penyelewengan dana rakyat melalui NFC seperti yang dituntut rakyat, KEADILAN akan terus membongkar penyalahgunaan dana awam bagi kepentingan peribadi keluarga menteri berkenaan.

KEADILAN boleh mengesahkan kami ada bukti-bukti pembelian sebuah kondominium mewah beralamat 7 Anthony Road, #14-24, Orchard Scotts, Singapore 229955 oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil pada 27 Januari 2010 (rujuk dokumen rasmi Singapore Land Authority yang disertakan bersama).

Kondominium ini dibeli pada harga S$4,107,600 dan luasnya adalah 2,282 kaki persegi, iaitu salah satu unit yang terbesar di bangunan kondominium mewah di tengah-tengah kota Singapura itu. Harga itu dianggarkan bersamaan dengan RM9.9 juta pada kadar tukaran wang semasa urusniaga berlaku (rujuk dokumen rasmiSingapore Urban Redevelopment Authority rekod no 44 yang disertakan bersama).

Pembelian harta mewah oleh keluarga menteri ini lebih memualkan bila mana ia didaftarkan terus di atas nama mereka, berbanding dengan pembelian dua buah kondominium mewah di One Menerung yang didaftarkan di atas nama syarikat National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd.

Carian rasmi menunjukkan ia didaftarkan secara bersama di atas nama Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh.

Pendedahan ini melengkapkan dakwaan KEADILAN sebelum ini bahawa dana dari NFC yang sepatutnya digunakan untuk membina industri daging negara telah disalurkan kepada syarikat-syarikat peribadi milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil seperti NMLC dan RFC.

Lebih teruk lagi, wang dari syarikat-syarikat seperti NMLC dan RFC kemudiannya disalurkan pula ke syarikat-syarikat milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di Singapura iaitu Meatworks (Singapore) Pte Ltd dan Global Biofuture Pte Ltd yang menjalankan operasi perniagaan yang tidak ada kena mengena dengan tujuan bantuan dana kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC.

Meatworks (Singapore) Pte Ltd dilaporkan menjalankan perniagaan restoran mewah di Singapura, sementara Global Biofuture Pte Ltd pula menjalankan perniagaan perdagangan minyak dan ternakan.

Pada hari ini, KEADILAN boleh mendedahkan satu komunikasi (dalam bentuk email) di antara Saudara Wan Shahinur Izran dengan Saudari Donna Yong yang menguruskan perniagaan restoran di Singapura bagi pihak keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil (sila rujuk dokumen email yang disertakan bersama).

Email ini membincangkan pemindahan wang yang diperlukan untuk membiayai perniagaan restoran mewah di Singapura. Bagi tempoh 3 bulan di antara Oktober 2010 dan Disember 2010, keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil dianggarkan memindahkan sejumlah S$530,000; bersamaan RM1.3 juta dari dana milik kerajaan untuk membiayai perniagaan peribadi di Singapura. Jika ini berlaku sepanjang tahun 2010 dan 2011, kemungkinan jumlah wang yang telah dilarikan mencecah RM10 juta hanya untuk satu perniagaan di Singapura.

Amalan ini sudah tentu turut berleluasa dengan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh mereka di Singapura. Oleh kerana syarikat-syarikat ini adalah milik penuh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, wang dari NFC boleh sahaja dipindahkan terus ke akaun syarikat-syarikat ini, kemudiannya dikeluarkan oleh keluarga menteri untuk membiayai pembelian peribadi seperti kondominium mewah di Orchard Scotts.

Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak boleh berdiam diri lagi kerana pendedahan demi pendedahan membuktikan berlaku penyelewengan berleluasa dalam penggunaan dana rakyat berjumlah RM250 juta itu.

Kami mendesak beliau mengambil tindakan segera membekukan kesemua akaun bank dan perbelanjaan NFC serta syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, sementara siasatan yang lebih telus dan serius dijalankan secepat mungkin.

 

 

MOHD RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI KEADILAN

YB SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL, SETIAUSAHA AGONG KEADILAN

YB ZURAIDA KAMARUDDIN, KETUA WANITA KEADILAN

 

20 DISEMBER 2011 

Tun Mahathir Berbohong, Dokumen Bank Dunia Buktikan Beliau Bertanggungjawab Ambil Pinjaman Bank Dunia Tahun 1999

KEADILAN merujuk kepada 3 dokumen rasmi Bank Dunia yang diedarkan kepada pihak media pada hari ini. Ketiga-tiga dokumen rasmi ini adalah bersabit dengan salah satu dari empat pinjaman dari Bank Dunia berjumlah US$704 juta yang diambil oleh Kerajaan Malaysia dalam tahun 1999.

KEADILAN mengemukakan ketiga-tiga dokumen ini sebagai bukti bahawa Tun Mahathir telah berbohong apabila beliau mengaku “menolak tawaran bantuan dari Bank Dunia (ketika itu) kerana jika Malaysia berbuat demikian, ia akan menjadi hamba kepada Bank Dunia[1]”.

Ketiga-tiga dokumen rasmi Bank Dunia ini berhubung pinjaman US$60 juta ini secara jelas membuktikan perkara-perkara berikut:

 

PERTAMA: RUNDINGAN PINJAMAN BERLAKU SELEPAS DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM DIPENJARAKAN

Rujuk Kertas Maklumat Projek (Project Information Document) bernombor PID6999 yang bertarikh 23 Oktober 1998. Laporan ini disediakan sebagai laporan awal oleh Bank Dunia untuk menilai permohonan pinjaman sesebuah negara. Ia adalah dokumen pertama yang disediakan sebelum pun rundingan bermula.

Tarikh 23 Oktober 1998 membuktikan bahawa proses rundingan pinjaman tersebut bermula selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjarakan. Ia mustahil melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim seperti yang selalu didakwa Tun Mahathir Mohamad dan UMNO.

 

KEDUA: TUN MAHATHIR MOHAMAD MENGARAHKAN KERAJAAN MEMOHON PINJAMAN BANK DUNIA

Rujuk Laporan Penilaian Permohonan Pinjaman (Project Appraisal Document) bernombor 18855-MA yang bertarikh 3 Mac 1999. Laporan ini disediakan untuk makluman pimpinan Bank Dunia dalam membuat keputusan sama ada mahu meluluskan permohonan pinjaman yang dibuat Kerajaan Malaysia.

Rujuk muka surat 29 (Lampiran 6) yang menunjukkan jadual kerja dan rundingan yang melibatkan Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia. Ia secara jelas menunjukkan bahawa agensi bertanggungjawab yang berunding dengan Bank Dunia untuk mendapatkan pinjaman ini adalah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Permohonan pertama dibuat pada 26 Julai 1998. Laporan dan rundingan berikutnya (yang hanya bermula selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan) ditangani sepenuhnya oleh Unit Perancang Ekonomi, yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad.

Dokumen ini membuktikan bahawa permohonan untuk mendapatkan pinjaman dibuat oleh Tun Mahathir Mohamad melalui Unit Perancang Ekonomi.

 

KETIGA: PERJANJIAN DITANDANGANI PADA 31 MAC 1999 DIBAWAH PERSETUJUAN TUN MAHATHIR MOHAMAD

Rujuk Perjanjian Pinjaman antara Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia (Loan Agreement) bernombor 4452-MA yang bertarikh 31 Mac 1999.

Perjanjian ini ditandatangani dibawah arahan dan persetujuan Tun Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

 

Jelas sekali bahawa Tun Mahathir Mohamad telah berbohong apabila beliau mengaku tidak mahu menerima bantuan kewangan dari institusi antarabangsa seperti Bank Dunia. Malah, pentadbiran beliau dibawah arahan dan seliaan beliau bertanggungjawab membuat permohonan mendapatkan bantuan kewangan Bank Dunia.

Oleh yang demikian, KEADILAN ingin menegaskan bahawa fitnah beliau terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam hal ini tidak lebih dari usaha beliau memadamkan rekod pentadbiran kewangan yang baik dibawah Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Malaysia berjaya mencapai lebihan belanjawan ketika beliau memegang portfolio Menteri Kewangan sehingga berjaya melangsaikan hutang dengan lebih awal dalam tahun-tahun 1993 hingga 1996, berbanding dengan defisit belanjawan yang berpanjangan sejak Tun Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan itu dalam tahun 1998.

Beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Negara dan Kumpulan Wang Amanah Pencen, bertujuan menjaga kepentingan rakyat melalui dana amanah yang dikawal ketat dan bebas dari salahguna kerajaan. Malangnya, dana ini turut disalahgunakan dan menyimpang dari niat asal penubuhannya.

Tun Mahathir sewajarnya membersihkan imej beliau di mata rakyat dengan menjawab dua isu melibatkan keluarga beliau. Adalah lebih baik beliau menerangkan mengenai penglibatan beliau dalam urusan menyelamatkan perniagaan anak beliau, Mirzan Mahathir yang melibatkan wang rakyat berjumlah RM2 billion dalam tahun 1998 daripada cuba menegakkan benang basah bahawa beliau menolak bantuan kewangan Bank Dunia.

Apatah lagi apabila Mirzan Mahathir mempunyai dana yang cukup besar kebelakangan ini untuk membeli konglomerat arak terbesar di Filipina iaitu San Miguel yang dilaporkan berharga sekitar RM2.9 bilion.

 

MOHD RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI

 YB NIK NAZMI NIK AHMAD, PENGARAH KOMUNIKASI

 WONG CHEN, PENGERUSI BIRO PERDAGANGAN KEADILAN

 

19 DISEMBER 2011 

  



[1] Seperti dilaporkan BERNAMA bertarikh 17 Disember 2011

Skandal NFC: KEADILAN Bersedia Debat Di PWTC Bila-Bila Masa

Saya menerima sepucuk surat dari Pergerakan Pemuda UMNO bertarikh 6 Disember 2011 yang memaklumkan Saudara Khairy Jamaluddin tidak dapat menerima jemputan berdebat mengenai NFC pada tarikh asal 12 Disember 2011 kerana bertembung dengan program beliau yang lain.

Sedang saya berterima kasih kerana beliau akhirnya menjawab jemputan debat yang dibuat pada 18 November 2011, saya kesal kerana beliau mengambil masa tiga minggu untuk memaklumkan perkara tersebut seolah-olah beliau cuba melengah-lengahkan debat ini yang telah pun dipersetujui beliau.

Oleh yang demikian, saya telah mengutus jawapan balas bertarikh 8 Disember 2011 memaklumkan perkara-perkara berikut:

  1. Saya sudi meluangkan masa pada mana-mana tarikh dalam tahun 2011 dan 2012 untuk memastikan debat tersebut dapat diadakan. Saudara Khairy hanya perlu memilih satu tarikh yang sesuai untuk beliau.
  2. Saya mencadangkan supaya debat tersebut diadakan di PWTC untuk memberi keselesaan dan ketenangan kepada Saudara Khairy apabila dilangsungkan di ibu pejabat UMNO sendiri.
  3. Sekiranya setelah kesemua kelonggaran ini beliau masih berdolak dalih dan tidak memberikan satu tarikh menjelang 12 tengahari 12 Disember 2011, saya menyimpulkan beliau tidak berani untuk berdebat dalam hal ini.
  4. Jika ini berlaku, KEADILAN akan meneruskan juga sebuah debat membongkar penyelewengan NFC pada 19 Disember 2011. Sekiranya Saudara Khairy tiba-tiba berubah fikiran menjelang tarikh tersebut, penyertaan beliau di dalam debat tersebut dialu-alukan.

 

Sebagai pemimpin UMNO yang paling lantang mempertahankan NFC, wajarlah Saudara Khairy meluangkan sedikit masa untuk menerangkan kepada rakyat beberapa keputusan pelaburan yang dibuat NFC yang menimbulkan kemarahan rakyat, termasuklah penjelasan beliau sebelum itu bahawa pembelian 2 kondominium mewah adalah pelaburan bijak yang dibuat NFC.

Saya menunggu jawapan dari Saudara Khairy dan yakin beliau tidak akan menghampakan harapan rakyat.

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

8 DISEMBER 2011 

Pengarah Strategi – Surat Jawapan Debat NFC 081211

 

 

%d bloggers like this: