Di Belakang Tabir Pejabat Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Saya membaca dengan sedih perkembangan terbaru seorang yang bernama Rahimi tampil membuat beberapa kenyataan yang meneruskan fitnah kepada YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kedudukan pemilihan sekarang terutamanya apabila isu saya adalah salah seorang kakitangan Dato’ Seri Anwar dijadikan isu pemilihan yang besar, kadang-kadang rasa serba salah untuk memberi komentar.

Tindakan Rahimi itu patut dikecam, tetapi saya juga kesal dengan cakap-cakap orang parti sendiri (malah yang berjawatan dan beraspirasi tinggi) yang sewenang-wenangnya menuduh dan memperlekehkan keupayaan Dato’ Seri Anwar membuat keputusan berhubung kakitangannya. Pun begitu, saya tidak menyalahkan rakan-rakan kerana pernah suatu ketika dahulu, saya pun mempunyai persoalan yang sama – kenapakah Dato’ Seri Anwar Ibrahim “terjebak” dengan personaliti yang membawa padah seperti Saiful Bukhari (dan kini Rahimi).

Persoalan itu terungkai sedikit demi sedikit apabila saya mula bertugas di pejabat beliau. Bersama-sama kakitangan yang lain, saya mula melihat dan menyedari kekangan yang wujud dan akhirnya faham apakah yang berlaku di sebalik tabir, hingga wujud peluang untuk memfitnah beliau buat kesekian kalinya.

Tidak kiralah apa tanggapan rakan-rakan di luar, saya rasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman tersebut dalam masa terdekat, supaya kita semua faham dan ambil iktibar sedikit sebanyak.

Buat masa ini masa saya agak terhad dengan beberapa persediaan penting, Insya Allah minggu depan saya akan menulis mengenai pengalaman saya sendiri dan pendapat saya kenapa beberapa perkara berlaku; yang saya harap membantu rakan-rakan memahami keadaan dan menghentikan tindakan tidak pintar menghentam pemimpin sendiri tanpa bertempat atau tahu hujung pangkal.

Insya Allah.

Roadshow di Sabah 9 – 10 Oktober

Kami terpaksa menangguhkan roadshow pada awal minggu ini untuk menumpukan perhatian kepada tugasan-tugasan rasmi yang perlu diselesaikan segera. Dewan Rakyat akan bersidang minggu depan untuk pembentangan belanjawan 2011, maka kami di pejabat YB Ketua Pembangkang perlu menumpukan masa yang secukupnya untuk menyiapkan persediaan menghadapi sidang tersebut.

Pun begitu, rancangan menjelajah Malaysia diteruskan.

Hujung minggu ini, saya, YB Nik Nazmi, YB Amirudin, YB Sim, Sdr Emmiza (EXCO AMK Perak), Sdr Shamsul (SU AMK Perak), Sdr Saifullah (calon EXCO AMK Pusat) dan Sdr Akmal akan berada di Sabah untuk memenuhi program di samping bertemu dengan rakan-rakan AMK di Sabah.

Antara lain, kami akan mengunjungi program ceramah anjuran PKR Penampang dan bertandang ke cabang-cabang sekitar Kota Kinabalu.

Program dialog dan pembentangan manifesto akan diadakan seperti berikut:

Tarikh : 9 Oktober (Sabtu)

Tempat: Marina Court Kota Kinabalu

Masa: 830 malam

Teman-teman AMK di sekitar Kota Kinabalu telah pun dimaklumkan mengenai lawatan dan program ini melalui SMS.

Saluran Generasi Reformasi di Youtube

Selepas sebulan, telah banyak pertemuan, debat, diskusi dan kempen yang berjalan melibatkan calon-calon Generasi Reformasi. Kami mengambil keputusan untuk membuat satu saluran khas Generasi Reformasi di Youtube untuk memuatkan pembentangan manifesto, perdebatan dan pelbagai video yang lain.

Memandangkan kita berdepan dengan sebahagian besar anggota AMK yang agak kurang aktif, walaupun jumlah keahlian adalah ramai – kami cuba sedaya upaya untuk menghubungi kumpulan ini untuk membawa mereka bersama-sama ke arus perdana parti.

Salah satu caranya adalah dengan berhubung secara terus dan menghantar klip-klip video untuk mereka teliti, tanpa perlu hadir ke majlis ceramah atau penerangan parti.

Cara ini agak eksperimental dan belum tentu dapat menjamin undi (ha ha), tetapi paling kurang kami menyumbang untuk membawa lebih ramai aktivis ke pangkuan parti.

Setakat ini hasilnya agak membanggakan apabila di beberapa tempat yang kami lawati, ada sekumpulan ahli parti yang turun menyertai roadshow kami walaupun tidak pernah melibatkan diri dengan aktiviti parti sebelum ini.

Saya mohon kerjasama Saudara-saudari untuk terus mengikuti saluran Generasi Reformasi di Youtube, apabila lebih banyak video dan klip akan disajikan untuk kebaikan bersama.

Jelajah Malaysia: Malam Ini Shah Alam, Esok Melaka

Program roadshow turun padang untuk menyampaikan manifesto diteruskan minggu ini.

Malam ini, kami akan bertemu rakan-rakan dari sekitar Shah Alam, Kota Raja, Kelang dan Kapar di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri, Seksyen 7, Shah Alam.

Esok kami akan berada di Melaka, bertempat di Hotel Grand Continental, Bandar Hilir bermula jam 830 malam.

Minggu depan pada 5 Oktober (Selasa) kami bergerak ke Subang (Hotel Empire) untuk bertemu rakan-rakan dari sekitar Subang, Kelana Jaya dan Petaling Jaya, sebelum ke Seremban (Hotel Seri Malaysia) pada keesokan harinya (6 Oktober, Rabu).

Semua program bermula jam 830 malam.

Saya jemput seramai mana ahli dan calon-calon yang ingin bertanding untuk hadir, bertemu muka dan membentangkan visi dan misi masing-masing.

Manifesto Generasi Reformasi: Kebersamaan, Keberkesanan, Ketrampilan

Reformasi adalah satu proses. Dizaman yang berbeza ia mengambil nama dan bentuk yang berbeza. Reformasi adalah satu kelangsungan, sudah menjadi resam manusia mencari yang benar, menolak yang batil dan berusaha mencari penambaikan.

1998 akan tetap kekal sebagai batu surat utama dalam sejarah moden Malaysia meledaknya semangat rakyat menuntut keadilan dan menolak penyelewengan penguasa. Ratusan ribu rakyat Malaysia yang turun membanjiri jalan-jalan pada tahun itu membuka mata masyarakat keseluruhannya bahawa sudah terlalu lama penyelewengan dan pembodohan rakyat dibenarkan berleluasa.

Reformasi 1998 menjunjung kebersamaan. Dalam ratusan ribu yang setia dengan rapat umum, si penjaja duduk di sebelah jurutera, guru memimpin pesara, adik didokong surirumah, pegawai bank bersalaman dengan si penghutang tegar disebelah! Roh reformasi yang meruntuhkan strata kaum, agama dan duniawi sesama kita membawa kita bersama-sama menuntut yang adil, menolak yang zalim.

Proses reformasi berterusan dengan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional. Jiwa reformasi yang membuak-buak disusun melalui struktur hingga ke ceruk desa dan pinggir bandar. Reformis kini sudah berjawatan politik, maka semangat tidak gentar dijalan diterjemahkan untuk membina organisasi politik dan sosial di desa dan pinggir bandar. Roh reformasi yang menyuntik kebersamaan sesama kita, mengajar kita keberkesanan organisasi dalam meneruskan proses reformasi. Hanya organisasi yang berkesan dapat membawa mesej pembaharuan kepada rakyat.

Sedekad berlalu dan gelombang kedua sekali lagi mengingatkan massa bahawa reformasi itu satu proses. Kekecewaan 1999, keperitan 2004 dijawab dengan kejutan 2008. Roh reformasi yang meniupkan kebersamaan, membina keberkesanan organisasi akhirnya berjaya menonjolkan satu barisan kepimpinan yang berketrampilan yang diterima rakyat.

Reformasi adalah satu proses. Satu generasi telah hidup dengan suka duka dan roh reformasi. Generasi reformasi ini pelbagai latar belakangnya, umurnya, gayanya, miripnya. Berbeza semuanya tetapi disatukan oleh satu roh yang akan terus kekal, untuk mencari yang benar dan menolak yang zalim.

Kini kita diambang peringkat yang seterusnya. Cabarannya lain dan bentuknya berbeza – tetapi jangan kita tinggalkan roh reformasi yang menjunjung kebersamaan, menekankan keberkesanan dan menampilkan ketrampilan kepada rakyat!

Cabaran Kita Generasi Reformasi

  • Menggamit imaginasi dan kepercayaan 4.6 juta pengundi muda yang akan menentukan kerusi Putrajaya dalam PRU13
  • Meneruskan idealisme anak muda yang menjadi tulang belakang tercetusnya reformasi 1998 walaupun dalam suasana, bentuk dan gaya yang berbeza
  • Membina kekuatan moral dan ketrampilan, yang berpaksikan ilmu untuk menjadi generasi yang layak mewarisi tampuk pemerintahan negara ini
  • Mengukuhkan organisasi parti supaya keseluruhan 160,000 kekuatan AMK dapat digemblengkan untuk menterjemahkan perjuangan dan idealisme

Landasan Kita Ke Putrajaya

  • Imej dan pendekatan AMK perlu berorientasikan kehendak pengundi muda di luar, maka AMK perlu mengangkat isu-isu mendesak anak muda ke peringkat nasional, supaya kita bercakap bahasa mereka. Isu-isu ini termasuklah kos sara hidup yang melambung, gaji dan kerjaya yang tidak berkualiti, kaedah pembiayaan pendidikan PTPTN yang menekan orang muda, perumahan berkualiti, keterbukaan politik dan budaya serta kebebasan internet.
  • Mengukuhkan organisasi dengan membina kekuatan dari bawah ke atas supaya kita dapat bergerak dan menyampaikan mesej dengan berkesan kepada rakyat. Tumpuan khusus kepada melengkapkan jentera di semua medan tempur supaya kekuatan organisasi menggunakan keseluruhan keahlian parti.
  • Membina barisan pimpinan pelapis yang teguh dengan idealisme perjuangan, mahir dengan ilmu politik dan siasah supaya tanggungjawab membawa perubahan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

7 Program Strategik Menyuntik Dinamism

1)      Penubuhan Koperasi AMK sebagai tapak kewangan, sasaran modal awal RM200,000

2)      Jentera PRU13 di 100 kerusi sasaran digerakkan menjelang Februari 2011

3)      Penubuhan Skuad Komunikasi AMK, sasaran 1,000 orang untuk menang perang media baru

4)      Penubuhan Biro Mobilisasi untuk meningkatkan keberkesanan mobilisasi anggota

5)      Kenalpasti dan latih 200 pimpinan AMK bertaraf nasional

6)      Mengakar-umbikan gerak kerja AMK melalui konsep inkubator program

7)      Memutihkan dan melengkapkan senarai keahlian

Ahli Parlimen Pandan dan Naib Presiden/Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat || Member of Parliament for Pandan, Vice President/Secretary General of Justice Party