Menteri Pendidikan Tinggi Perlu Umumkan Jumlah Hutang PTPTN Menjelang 2020

Saya merujuk kepada rekod pemberian pinjaman PTPTN sejak tahun 1997 hingga 2010 seperti yang diterbitkan oleh PTPTN.

Di antara tahun 2005 hingga 2010, berlaku peningkatan ketara jumlah pinjaman yang diberikan kepada pelajar di IPTA dan IPTS seperti yang ditunjukkan di bawah (dalam RM juta):

 Pinjaman kepada pelajar IPTA

 Pinjaman kepada pelajar IPTS

 Jumlah pinjaman

1997

                                                           212

                                                                7

                               219

1998

                                                           369

                                                             29

                               398

1999

                                                        1,465

                                                           337

                           1,802

2000

                                                        1,445

                                                           312

                           1,757

2001

                                                        1,448

                                                           671

                           2,119

2002

                                                        1,531

                                                           429

                           1,960

2003

                                                        1,365

                                                           488

                           1,853

2004

                                                        1,567

                                                           670

                           2,237

2005

                                                        1,574

                                                       1,189

                           2,763

2006

                                                        1,795

                                                       1,426

                           3,221

2007

                                                        1,693

                                                       2,245

                           3,938

2008

                                                        1,791

                                                       2,245

                           4,036

2009

                                                        2,046

                                                       3,063

                           5,109

2010

                                                        2,583

                                                       3,511

                           6,094

Kadar peningkatan jumlah hutang yang diluluskan di antara tahun 2005 hingga 2010 bagi pelajar IPTA dan IPTS adalah masing-masing 10% dan 17% setiap tahun.

Jika ini diunjurkan bagi tahun-tahun mendatang sehingga 2020, jumlah pinjaman terkumpul yang akan diluluskan menjelang 2020 adalah RM177 bilion, seperti yang ditunjukkan di bawah (dalam RM juta):

 Pinjaman kepada pelajar IPTA

 Pinjaman kepada pelajar IPTS

 Jumlah pinjaman

2011

                                                        2,852

                                                       4,113

                           6,965

2012

                                                        3,149

                                                       4,818

                           7,967

2013

                                                        3,477

                                                       5,643

                           9,120

2014

                                                        3,839

                                                       6,611

                        10,450

2015

                                                        4,239

                                                       7,744

                        11,983

2016

                                                        4,680

                                                       9,071

                        13,751

2017

                                                        5,168

                                                    10,626

                        15,793

2018

                                                        5,706

                                                    12,447

                        18,153

2019

                                                        6,300

                                                    14,580

                        20,880

2020

                                                        6,956

                                                    17,079

                        24,036

 

Dengan kutipan hutang sebanyak RM2.22 bilion sahaja bagi tempoh 1997 hingga 2010, ini menimbulkan pertanyaan besar sama ada jumlah hutang ini akan dapat dikutip pada suatu hari nanti.

Persoalan jumlah hutang yang bakal ditanggung PTPTN ini juga membawa dimensi baru dalam polemik model pendidikan tinggi negara. Jika model yang mendepankan pendidikan tinggi swasta yang bakal menelan belanja RM24 bilion setahun menjelang 2020 tidak mampu dibayar balik oleh rakyat seperti mana rekod setakat ini, siapakah yang akan menanggung hutang PTPTN ini suatu hari kelak?

Saya kira persoalan jumlah hutang ini sangat penting untuk membolehkan rakyat menilai bagaimanakah bentuk pendidikan tinggi yang mampan untuk negara.

Oleh yang demikian, saya mendesak supaya Menteri Pendidikan Tinggi menjelaskan kepada rakyat berapakah jumlah hutang PTPTN yang diunjurkan dan berapakah unjuran kutipannya kelak?

Beliau juga harus menyenaraikan langkah-langkah yang sedang diatur oleh Barisan Nasional untuk memastikan kutipan hutang PTPTN adalah lebih tinggi dari rekod setakat ini.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

30 MEI 2012

Perintah Soalsiasat Di Bawah Akta Bank Dan Institusi Kewangan (BAFIA) Berkenaan Kes NFC

Saya menerima notis yang diserahkan secara peribadi untuk hadir memberi keterangan di Bank Negara di bawah Seksyen 87 (1)(a), Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989.

Saya telah bersetuju untuk hadir memberi keterangan pada hari ini jam 230 petang di Bank Negara.

Sementara saya menghormati tanggungjawab Bank Negara dan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan, saya juga khuatir jika tekanan yang berterusan yang cuba dikenakan terhadap saya dan En Johari Mohamad bertujuan untuk menutup skandal NFC.

Saya juga hairan kenapa Bank Negara tidak pula menyiasat hatta mengambil tindakan terhadap Dato’ Seri Salleh Ismail dan keluarga beliau yang secara terang-terangan memindahkan wang rakyat secara tidak sah ke syarikat-syarikat milik keluarga beliau di Singapura dan Kazakhstan. Perkara ini diakui oleh mereka dan bukankah ini perlu disiasat juga oleh Bank Negara di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act)?

Tindakan memanggil saya untuk soalsiasat memberi gambaran seolah-olah pihak berkuasa seperti SPRM dan Bank Negara tidak mengalu-alukan tindakan proaktif rakyat biasa seperti saya untuk mendedahkan penyelewengan dan rasuah yang berleluasa di Malaysia. Kenyataan kepimpinan SPRM kebelakangan ini contohnya, secara jelas memusuhi rakyat kebiasaan yang mengambil tindakan berani mendedahkan perlakuan rasuah.

Fenomena ini membimbangkan saya kerana ia boleh mewujudkan suasana takut di kalangan rakyat Malaysia dan menghalang mereka dari tampil membuat pendedahan.

Saya mendesak satu kenyataan dari Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri untuk menafikan bahawa pentadbiran beliau tidak memangsakan pemberi maklumat dan melindungi perasuah. Apatah lagi apabila SPRM sehingga kini tidak mengambil sebarang tindakan ke atas seorang pun yang menganggotai jawatankuasa tender yang menganugerahkan kontrak RM250 juta kepada keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, sedangkan jelas NFC yang dikuasai keluarga beliau langsung tidak ada pengalaman untuk mengendalikan projek tersebut.

Walaupun umum mengetahui bahawa saya berhadapan dengan tekanan dari pihak berkuasa, sehingga kini masih ramai individu dan kumpulan yang tampil untuk memberikan maklumat mengenai penyelewengan dan rasuah.

Saya akan terus membuat siasatan dan pendedahan sehinggalah kredibiliti pihak berkuasa yang bertanggungjawab terutamanya SPRM dipulihkan di mata rakyat.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

30 MEI 2012

Barisan Nasional Memajakkan Tanah Rezab Melayu Ke Pasaran Saham

Perjanjian pajakan tanah di antara Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) dan FELDA bertarikh 1 November 2011 memberikan kuasa dan hak milik kepada FGV untuk mengusahakan tanah-tanah yang kini dimiliki oleh FELDA mengikut syarat-syarat perjanjian.

Sejumlah 847,362 ekar tanah yang kini diuruskan oleh Felda Plantations Sdn Bhd terlibat di dalam urusan pajakan ini, yang menjadi syarat utama proses penyenaraian FGV ke Bursa. Tanpa tanah-tanah ini, penyenaraian tersebut akan gagal.

KEADILAN boleh mengesahkan bahawa kami telah mendapat salinan penuh perjanjian dan senarai tanah-tanah yang terlibat. Semakan kami menunjukkan bahawa dari sejumlah 847,362 ekar tanah yang dipajakkan ini, sejumlah 105,382 ekar adalah tanah-tanah yang telah diwartakan sebagai Tanah Rezab Melayu di seluruh negara.

Ini menimbulkan persoalan serius mengenai status tanah-tanah ini kerana tindakan memajakkan tanah-tanah ini kepada FGV boleh melanggar matlamat pewartaan Tanah Rezab Melayu. Kedudukan FGV selepas ini tidaklah boleh dikira sebagai sebuah syarikat yang berstatus Bumiputra kerana jumlah pegangan saham Bumiputra tidak dapat disahkan. Setakat ini, peneroka Felda hanya diperuntukkan 2.5% dari jumlah pegangan saham sementara kakitangan Felda pula hanyalah 3%. Selebihnya melibatkan badan-badan lain yang dijemput masuk oleh Tan Sri Isa Samad, termasuklah Louis Dreyfus sebuah syarikat antarabangsa yang dikuasai keluarga Yahudi terkenal dari Perancis.

Oleh yang demikian, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad wajar menjelaskan kepada rakyat kenapakah tanah-tanah berstatus rezab Melayu ini turut dipajakkan ke FGV yang disenaraikan di pasaran saham? Apakah jaminan bahawa tanah-tanah ini akhirnya tidak bertukar tangan atau pembangunannya tidak bertentangan dengan semangat pewartaan Tanah Rezab Melayu yang digubal hampir 100 tahun yang lalu?

KEADILAN juga menyeru supaya setiap Kerajaan Negeri di Semenanjung yang terbabit menolak sebarang usaha untuk membatalkan status Tanah Rezab Melayu yang melibatkan tanah 105,382 ekar ini.

Kami menunggu maklumbalas Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad sebelum memberikan lebih banyak maklumat mengenai Tanah Rezab Melayu seluas 105,382 ekar ini.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
28 MEI 2012

Asas FGVH Lemah, IPO Didorong Politik Bukan Ekonomi

KEADILAN mengulangi pendirian kami bahawa FELDA kini adalah terlalu dipolitikkan. Berdasarkan analisis terkini, kami percaya bahawa IPO ini didorong oleh politik dan bukannya berdasarkan kekukuhan kewangan FGVH. Kami merujuk kepada laporan semalam dari Wall Street Journal mengenai IPO FGVH, di mana kebimbangan telah dibangkitkan mengenai keuntungan FGVH kerana profil pokok kelapa sawit yang tersangat teruk.

Pada amnya, sesuatu syarikat akan cuba IPO di bursa apabila ia berada dalam kedudukan yang kukuh (untuk mendapatkan penilaian maksimum) atau apabila masa hadapan kewangan syarikat tersebut adalah ternampak sangat cemerlang. Bisnes FGVH bukanlah berada didalam kedudukan yang kukuh dan masa hadapan untuk pertumbuhan yang tinggi adalah sangat terhad. Prospektus IPO mendedahkan bahawa kedudukan sebenar FGVH di dalam pengurusan perladangan adalah memang lemah.

Pada asasnya, profil umur pokok sawit FGVH mendedahkan bahawa lembaga pengarah FELDA tidak memberi tumpuan sewajarnya kepada pengurusan penanaman pokok. Sangat mengejutkan adalah 53% daripada pokok-pokok sudah tua, 31% muda dan tidak matang dan hanya 16% pokok sawit pada tahap matang perdana. Bayangkan sebuah syarikat yang berprestasi hanya pada tahap 16% daripada potensi sebenarnya membuat percubaan IPO.

Sebagai perbandingan am, sebuah ladang yang sihat diurus dengan baik akan mempunyai profil pokok berusia 7% pokok tua, dan 15% muda dan belum matang dan 78% matang perdana.

FGVH perlu menanam balik dan menunggu selama sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum majoriti pokok pokok sawitnya menjadi matang perdana. Jadi jika anda membeli saham FGVH pada hari ini, kemungkinan besar anda perlu menunggu sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum FGVH pulih ke tahap pengurusan perladangan yang baik.

Oleh demikian, jika pada asasnya FGVH memang tidak bersedia untuk IPO kerana pengurusan ladang yang lemah, mengapa pula Kerajaan dan FELDA tergesa-gesa untuk menyenaraikan?

FELDA dan kerajaan perlu menjawab mengapa mereka begitu gila sangat mengejar IPO ini. Adakah IPO ini sebenarnya satu corporate exercise yang didorong politik dan disokong oleh lembaga pengarah yang kual berpolitik? Adakah dorongan utama bertujuan untuk memperkayakan bank, dan penasihat, pengarah-pengarah FELDA dan juga untuk menyediakan pembayaran durian runtuh kepada peneroka untuk membeli sokongan politik di dalam pilihan raya yang akan datang? IPO FGVH adalah satu IPO yang sebesar RM10.2 billion, ianya yang kedua di dunia tahun ini dan pihak bank dan penasihat kepada IPO ini akan untung yuran berpuluh-puluh juta ringgit.

KEADILAN menuntut dari FELDA dan kerajaan satu pendedahan yang terperinci mengenai yuran-yuran yang bakal diterima oleh pihak bank dan penasihat, hasil daripada IPO ini yang tidak masuk akal.

WONG CHEN,
PENGERUSI BIRO PELABURAN DAN PERDAGANGAN

16 MEI 2012

Hanya 20% Pengurusan Tertinggi Felda Menyokong Penyenaraian

Pada 18 Oktober 2011 jam 11 pagi, pengurusan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Penyenaraian FGV yang ketiga dipengerusikan oleh Tan Sri Isa Samad. Antara lainnya, mesyuarat tersebut membincangkan kesediaan pengurusan Felda dan pandangan mereka mengenai penyenaraian FGV dan penstrukturan korporat yang akan berlaku berikutan penyenaraian tersebut.

Boston Consulting Group (BCG) adalah salah satu daripada juru runding yang dilantik untuk menerajui proses penyenaraian ini. Selain menyediakan pelan langkah-langkah penyenaraian, BCG juga bertanggungjawab menilai kesediaan dan pandangan pengurusan Felda mengenai tindakan Barisan Nasional menyenaraikan FGV dan aset-aset berkaitan Felda.

KEADILAN telah berjaya mendapatkan salinan laporan yang dibentangkan oleh BCG kepada pengurusan Felda dan FGV di dalam mesyuarat tersebut.
Mukasurat 4 dari laporan tersebut yang menyentuh mengenai kesediaan dan pandangan pengurusan Felda ada disertakan bersama.

Kesimpulan yang dibuat oleh BCG setelah menemuramah dan mengadakan kajiselidik melibatkan 30 orang pengurusan tertinggi Felda dalam bulan Oktober 2011 adalah seperti berikut:

1. Cabaran terbesar untuk menjayakan proses penyenaraian ini adalah pandangan pengurusan tertinggi Felda sendiri yang menentang keputusan tersebut;

2. Lebih separuh dari pengurusan Felda (55%) tidak bersedia untuk melalui proses penyenaraian ini;

3. Hanya 20% dari pengurusan tertinggi Felda yang benar-benar menyokong proses penyenaraian; dan

4. 65% dari pengurusan tertinggi Felda percaya proses penyenaraian ini akan gagal kerana Felda masih belum bersedia.

Pendedahan ini mengesahkan bahawa proses penyenaraian yang cuba dilakukan Barisan Nasional mendapat tentangan hebat dari kalangan pimpinan tertinggi Felda sendiri. Ini memberi gambaran bahawa mereka yang lebih arif dan mengikuti proses dalaman sepanjang keputusan menyenaraikan Felda berpandangan penyenaraian ini lebih membawa keburukan daripada kebaikan kepada Felda dan peneroka.

Tentangan pengurusan tertinggi Felda ini akan menyulitkan proses penyenaraian dan membawa risiko bahawa ia akan gagal kerana tidak mendapat kerjasama kakitangan Felda.

Makanya, adalah menjadi tanggungjawab Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad untuk memberikan penjelasan kenapa pandangan dan tentangan pengurusan tertinggi Felda ini tidak diambil kira dan penyenaraian Felda diteruskan jua.

Mereka juga perlu memberi jaminan bahawa pengurusan Felda sedia ada tidak diketepikan dan muka-muka baru yang lebih akur dengan kehendak Barisan Nasional akan dilantik mengisi sebahagian besar jawatan baru di dalam Felda.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

16 MEI 2012

%d bloggers like this: