Tiga Tumpuan Khusus Memenangi Pilihanraya Umum 14

Kempen pemilihan parti sewajarnya tidak berkisar kepada persoalan calon dan isu dalaman parti semata-mata. Pemilihan parti yang bermakna adalah pemilihan parti yang berjaya menampilkan pimpinan yang diyakini oleh pengundi di samping berjaya mengemukakan gagasan untuk memenangkan KEADILAN dan PR dalam pilihanraya umum akan datang.

Gagasan yang dibentangkan perlulah praktikal dan tidak bukan retorik politik tentang siapa yang lebih setia atau siapa yang lebih bersih. Oleh yag demikian, saya mengambil peluang untuk menjadi calon yang pertama yang membentangkan pelan khusus memenangi pilihanraya untuk dinilai oleh anggota parti dan pengundi.

Mengambil kira pengajaran dari pilihanraya-pilihanraya yang lepas, saya dan rakan-rakan iaitu Saudari Nurul Izzah Anwar dan Saudara Rafizi Ramli menggariskan tiga tumpuan khusus memenangi PRU14 seperti berikut:

Pertama: Menarik Pimpinan Muda Baru Pelbagai Latar Belakang dan Kepakaran
Memandangkan majoriti pengundi di dalam PRU14 adalah pengundi muda (dianggarkan 60% adalah di bawah 30 tahun), kunci kejayaan KEADILAN kelak ialah barisan kepimpinan yang boleh mendekati dan menjiwai kumpulan pengundi muda ini.

Ini termasuklah membawa isu-isu yang dekat dengan mereka, mengurangkan jurang di antara pemimpin dan golongan pengundi muda ini serta mempelbagaikan pendekatan dalam mendekati golongan pengundi muda ini.

Walaupun KEADILAN sering berada di hadapan berbanding parti-parti lain dalam agenda mendepankan pemimpin muda, saya berpendapat usaha ini perlu lebih kencang dan tersusun. Bakat-bakat sedia ada di dalam parti dari kalangan ADUN dan Ahli Parlimen muda perlu diberi peluang menguruskan fungsi penting di dalam parti dan berada dalam kepimpinan parti, bukan lagi kepimpinan Angkatan Muda.

Lebih utama, bakat kepimpinan dari golongan muda yang belum menyertai KEADILAN perlu dibawa masuk. Satu program khusus untuk merekrut pimpinan muda dari golongan professional melalui program mentor dengan pimpinan kanan parti perlu diadakan segera supaya jumlah kepimpinan muda di dalam parti naik mendadak.

Kedua: Rundingan kerusi dan calon bagi setiap kerusi dimuktamadkan selewat-lewatnya Mac 2015
Rata-rata merasakan proses rundingan kerusi dan penentuan calon dalam PRU13 boleh diuruskan dengan lebih baik sekiranya dimuktamadkan lebih awal. Ketidaktentuan kerusi dan calon telah menyebabkan persediaan terbantut di banyak kerusi. Malah berlaku kekecewaan yang menjejaskan persediaan kerusi kerana calon yang ditentukan di saat akhir menimbulkan kontroversi.

Saya akan terus bersuara untuk memastikan bahawa sistem itu diubah sepenuhnya. Rundingan kerusi dengan DAP dan PAS perlu dimulakan segera dan dimuktamadkan dalam tahun 2014 ini. Ini memberi ruang kepada KEADILAN untuk mula memilih dan menyaring calon seawal Ogos 2014 dan mula diberikan tauliah untuk berkhidmat di kerusi masing-masing.

Kaedah ini akan memberi ruang kepada calon-calon yang telah ditauliahkan lebih awal untuk membina nama baik di kalangan pengundi dan membina jentera dalam menghadapi PRU14.

Ketiga: Berdepan dengan isu perkauman yang dimainkan oleh Umno yang menakutkan pengundi Melayu
Punca utama defisit undi dari pengundi Melayu kepada Pakatan Rakyat adalah kegagalan berdepan dengan isu perkauman yang dimainkan oleh Umno yang menakutkan pengundi Melayu. Propaganda Umno memberi gambaran bahawa jika Pakatan Rakyat menang, kedudukan orang Melayu dan agama Islam akan terjejas.

Serangan ini perlu dijawab dengan tersusun. Ia perlu dijawab oleh pimpinan Melayu dari KEADILAN (dan rakan PAS dan DAP) yang berdaya intelek tinggi dan berkeyakinan untuk menunjukkan bahawa Melayu yang adil akan menjadi yakin dan tidak takut untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain. KEADILAN juga perlu mengukuhkan kempen secara dakwah mengenai kedudukan Islam supaya orang Melayu yakin bahawa membenarkan orang bukan Islam mengamalkan agama mereka tidak pun menjejaskan kedudukan Islam di negara ini.

Berdepan dengan isu perkauman yang dimainkan Umno perlu menjadi ideologi KEADILAN yang dipimpin secara tersusun dan konsisten.

Saya yakin jika ketiga-tiga perkara ini dapat dilaksanakan dengan baik, peluang untuk menumpaskan Umno/Barisan Nasional adalah lebih cerah dalam PRU14. Tumpuan ini memerlukan pimpinan muda sedia ada di dalam KEADILAN diberikan tanggungjawab besar memimpin program-program dan fungsi parti.

Oleh sebab itu, saya yakin tema “Masa Depan Bersama” yang memberi penekanan kepada pembinaan pimpinan masa depan adalah satu strategi ke arah memenangi PRU14.


SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Calon Timbalan Presiden

15 April 2014

Tiada Seliaan Ketat Dan Pertanggungjawaban Dalam Geran Mosti

Sementara sepenuh perhatian diberikan kepada projek-projek besar yang dikendalikan Umno/Barisan untuk memastikan ketirisan dan rasuah tidak berlaku, sejumlah dana yang besar telah dibelanjakan setiap tahun melalui geran-geran yang dikendalikan oleh Kementerian Sains, Teknolgi dan Inovasi (MOSTI).

Ekoran dari Laporan Ketua Audit Negara 2013 yang memberi tumpuan kepada prestasi pengurusan Skim Jaminan Dana Pembiayaan Teknologi Hijau, saya telah mengambil langkah untuk menyemak prestasi dan seliaan yang terbabit ke atas geran-geran yang dikendalikan oleh MOSTI kerana ia melibatkan kementerian yang sama.

Hasil semakan ke atas laporan-laporan tahunan MOSTI, pewartaan dan berita, jumlah dana kerajaan seperti berikut telah diagihkan sebagai geran Penyelidikan & Pembangunan (R&D):

 Mengikut Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9), RM1.7 bilion telah diperuntukkan bagi tahun 2006 hingga 2010 bagi tujuan R&D

 Di antara tahun 2009 hingga 2013, sejumlah RM1.152 bilion telah dibelanjakan sebagai geran R&D iaitu sebanyak RM900 juta kepada Tabung STI (ScienceFund, Technofund, Innofund, Human Capital Development Fund), sebanyak RM246 juta kepada Tabung CRDF (Commercialization of R&D Fund) dan sebanyak RM6 juta kepada Tabung TAF (Technology Acquisition Fund)

Jumlah RM1.152 bilion bagi tempoh terkini bukanlah satu jumlah yang kecil. Jumlah ini sudah tentu menimbulkan kontroversi jika tidak memberikan pulangan yang sewajarnya bila mana kerajaan Barisan Nasional terus memotong subsidi untuk menjimatkan perbelanjaan, sedangkan jumlah yang dijimatkan itu dibelanjakan pula kepada geran-geran R&D seperti ini.

Semasa meluncurkan MOSTI Commercialisation Year 2014, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin mengakui bahawa hanya 20 hasil kajian R&D yang dikomersilkan setiap tahun. Beliau juga mengakui kadar itu rendah dan mensasarkan supaya ia ditingkatkan 3 kali ganda iaitu 60 hasil kajian yang dikomersilkan setiap tahun.

Kenyataan menteri itu membayangkan bahawa walaupun kerajaan membelanjakan lebih RM1 bilion dalam tempoh 5 tahun, hanya 20 hasil kajian R&D yang berjaya dikomersilkan setiap tahun. Ini adalah satu jumlah pengkomersilan yang cukup rendah jika dibandingkan dengan jumlah dana awam yang dibelanjakan kerajaan.

Ia menimbulkan persoalan – ke manakah sebenarnya dana ini digunakan? Benarkah ia digunakan sepenuhnya bagi tujuan pengkomersilan R&D atau ia digunakan bagi tujuan-tujuan lain?

Dalam dua minggu ini, saya akan mendedahkan beberapa penyalahgunaan dana R&D MOSTI yang menunjukkan bagaimana dana awam digunakan bagi tujuan selain dari R&D. Ia juga akan menunjukkan bagaimana kaedah geran (memberi wang tanpa perlu dibayar balik) digunakan sewenang-wenangnya untuk membantu individu tertentu sedangkan rakyat biasa berdepan kesukaran untuk mendapatkan pinjaman, apatah lagi geran.

Malah, salah satu dari keputusan yang memberi geran MOSTI pada jumlah yang sangat besar dan menimbulkan tanda tanya melibatkan campur tangan Dato’ Seri Najib Razak sendiri.

Pendedahan-pendedahan ini saya harap dapat membuka mata rakyat agar kaedah pemberian geran dan peruntukan dana yang berbilion ringgit yang tidak telus dikaji kembali dalam keadaan rakyat menghadapi kesukaran harga barang naik kerana potongan subsidi.

Sidang media yang seterusnya adalah pada hari Jumaat, 18 Mei jam 10 pagi mengenai penyalahgunaan dana MOSTI.


RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

15 April 2014

Usul Parlimen Mengikut Perkara 127 Perlembagaan Menegur Kelakuan Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan

Keputusan-keputusan mahkamah yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat kebelakangan ini menimbulkan keresahan di kalangan rakyat. Persoalan bahawa institusi kehakiman dicemari bagi tujuan politik Barisan Nasional kembali menjadi isu hangat.

Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah membuat satu usul di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 36(8) [Standing Order 36(8)] untuk membincangkan dan mengambil tindakan ke atas Hakim-hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Aziah Ali, Datuk Balia Yusuf Wahi dan Datuk Mohd Zawawi Salleh atas perilaku mereka semasa menghakimi kes terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Download (PDF, 1.71MB)

Ini dibuat mengikut Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Parlimen membincangkan kelakuan hakim-hakim. Sebarang usul untuk membincangkan kelakuan hakim di bawah Perkara 127 memerlukan sekurang-kurangnya satu perempat dari ahli Parlimen.

Usul yang difailkan pada 26 Mac 2014 di pejabat Tuan Yang diPertua Dewan Rakyat itu mendapat sokongan 63 ahli Parlimen pada tarikh itu. Ia juga menepati syarat-syarat pemberian notis selama 14 hari seperti yang ditetapkan oleh Peraturan Majlis Mesyuarat.

Oleh yang demikian, usul ini sewajarnya dimasukkan di dalam Aturan Urusan Mesyuarat untuk dibahaskan pada hari Khamis, 10 April 2014 kerana telah menepati semua syarat-syarat.

Tindakan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat ini menjadi peringatan penting kepada seluruh rakyat dan hakim-hakim bahawa kelakuan hakim-hakim akan terus diperhatikan oleh rakyat. Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan terus menggunakan sepenuh peruntukan Perlembagaan untuk menegur kelakuan dan tindakan hakim-hakim yang dilihat mencemar kredibiliti dan kebebasan institusi kehakiman.

DATO JOHARI ABDUL
Ahli Parlimen Sungai Petani

SIVARASA RASIAH
Ahli Parlimen Subang

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

SIM TZE TZIN
Ahli Parlimen Bayan Baru

9 April 2014

Menteri Pertahanan Sahkan Identiti Papagomo: Saman & Laporan Polis Baru Terhadap Papagomo

Menteri Pertahanan dalam jawapan kepada soalan lisan saya mengesahkan bahawa seorang yang bernama Wan Muhammad Azri Wan Deris (KP: 830121-03-5019) telah menaiki kapal selam Scorpene pada 9 Disember 2011. Individu tersebut telah bersama-sama wakil media menaiki kapal selam Scorpene bagi tujuan perkongsian maklumat.

Saya bertanyakan soalan itu untuk mendapatkan pengesahan identiti Papagomo kerana umum mengetahui bahawa Papagomo telah menaiki Scorpene atas jemputan menteri. Perkara ini telah disebarluas melalui blog-blog Umno sendiri yang mengesahkan bahawa Papagomo telah berada di dalam Scorpene, malah gambar-gambar tersebut tersebar luas.

Setakat ini, Wan Muhammad Azri Wan Deris telah menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia adalah Papagomo. Jawapan Menteri Pertahanan kepada saya mengesahkan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris adalah Papagomo kerana umum mengetahui bahawa Papagomo berada di dalam kapal selam Scorpene.

Pengesahan ini mempunyai beberapa implikasi undang-undang terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Semasa memberi keterangan di dalam kes saman Dato’ Seri Anwar Ibrahim terhadapnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris telah menyatakan bahawa dia tidak pernah berada di dalam kapal selam Scorpene. Jawapan Menteri Pertahanan telah mengesahkan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris telah berbohong kepada mahkamah.

Ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan memberi keterangan palsu kepada mahkamah. Kesalahan ini boleh dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun dan merupakan satu kesalahan yang boleh ditahan (arrestable offence).

Oleh itu, saya dan YB Surendran akan membuat laporan polis terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atas kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan pada hari Selasa 8 April 2014 supaya tindakan segera diambil terhadap Papagomo.

Saya ingin melihat sama ada pihak polis akan mengambil tindakan menahan Papagomo serta merta di bawah Seksyen 193 dan mahkamah mengenakan hukuman penjara yang sewajarnya terhadap Papagomo.

Saya juga akan memfailkan satu saman terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atas fitnah di blognya yang mendakwa saya dipecat dari Petronas kerana pecah amanah.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan

3 April 2014

Memorandum Persefahaman (MOU) Penstrukturan Air Selangor

Penstrukturan industri air di Selangor dan Lembah Klang bakal menjadi salah satu dari projek yang ditanggung dana awam yang terbesar dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sebagai seorang yang sebelum ini paling lantang mengkritik apabila perjanjian konsesi dan perjanjian kerajaan dirahsiakan, saya berhadapan dilemma besar apabila Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai penstrukturan air yang isi kandungannya dirahsiakan dari rakyat.

Pada masa yang sama, saya telah mendapat satu salinan softcopy MOU itu pada hari Khamis 27 Februari 2014. Salinan itu diperolehi melalui Puan Arfaezah Aziz, Setiausaha Akhbar Menteri Besar. Melalui beberapa sumber, saya telah mengesahkan bahawa MOU yang ditandatangani adalah MOU yang sama dengan salinan softcopy yang saya perolehi.

Oleh itu, atas dasar prinsip ketelusan dan kesedaran (a matter of conscience) saya telah membuat keputusan untuk mendedahkan MOU ini. Ada beberapa persoalan besar yang perlu diperjelaskan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang bersabit dengan kepentingan awam.

Adalah menjadi harapan saya MOU dan komitmen yang dimeterai oleh Tan Sri Khalid Ibrahim ini bolehlah dibahaskan dengan seobjektif mungkin demi menjamin kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia amnya.

Urusniaga Dibiayai Rakyat

Keseluruhan urusniaga jual beli aset air dan pajakan aset air yang terlibat di dalam penstrukturan ini akan dibiayai sepenuhnya oleh dana rakyat.

Kerajaan Persekutuan melalui Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) akan membeli aset air ini dari Kerajaan Negeri dan pemegang konsesi sedia ada. Pembelian oleh agensi Kerajaan Persekutuan ini akan dibiayai melalui penerbitan bon yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan. Dalam erti kata lain, ia samalah dengan Kerajaan Persekutuan berhutang untuk membayar pemegang konsesi sedia ada.

Oleh sebab itulah, harga pampasan dan pembelian yang dibayar kepada pemegang konsesi adalah cukup sensitif kerana ia bersamaan dengan tanggungan hutang baru yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan. Lebih tinggi harga pampasan dan pembelian itu, maka lebih untunglah pemegang konsesi dan lebih tinggi hutang negara yang ditanggung rakyat.

PAAB kemudiannya akan memajak pula aset air ini (empangan, loji rawatan, sistem paip dan lain-lain) kepada syarikat baru yang dilantik sebagai operator selepas penstrukturan. PAAB akan mengenakan bayaran pajakan tahunan (annual lease charges) ke atas operator ini. Lebih tinggi pinjaman yang ditanggung PAAB (dijamin Kerajaan Persekutuan), maka lebih tinggilah bayaran pajakan tahunan yang dikenakan ke atas operator kerana PAAB perlu mengumpul dana untuk membayar balik hutang.

Lebih tinggi bayaran pajakan tahunan, maka lebih tinggi kos yang ditanggung operator. Ini bermakna operator tiada pilihan lain kecuali menaikkan tarif air di Selangor untuk menanggung kosnya termasuk bayaran pajakan tahunan kepada PAAB.

Kerajaan Persekutuan juga akan menanggung kos pembinaan Projek Langat 2 melalui kaedah yang sama dan melibatkan dana awam, maka lebih tinggi kos Projek Langat 2 makin tinggilah hutang negara dan tarif air yang ditanggung rakyat.

Oleh itu, harga pampasan kepada pemegang konsesi sedia ada akan membawa kesan yang besar kepada rakyat melalui:

1. Hutang negara yang diambil oleh PAAB dan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan (ditanggung oleh rakyat)
2. Kenaikan tarif air akibat bayaran pajakan tahunan yang lebih tinggi (ditanggung oleh rakyat)

Kesan isi kandungan MOU

Saya khuatir isi kandungan MOU adalah berat sebelah yang berpihak kepada Kerajaan Persekutuan dalam beberapa aspek.

Projek Langat 2: Mengikat hanya di pihak Kerajaan Negeri

Pertama, keseluruhan dokumen itu adalah satu memorandum persefahaman sahaja yang tidak mengikat, kecualilah yang bersabit dengan kelulusan serta merta Projek Langat 2.

Rujuk Artikel 5(b) di dalam MOU yang secara jelas menyebut bahawa tanggungjawab Kerajaan Selangor ialah “memastikan bahawa semua kelulusan serta kebenaran yang berkaitan atau perlu (sama ada sedia ada dikenal pasti atau yang berbangkit atau susulan) berhubung pelaksanaan LRAL2 daripada Kerajaan Negeri Selangor atau pihak-pihak berkuasa yang berkenaan hendaklah bersifat mengikat dan tidak boleh batal(binding and irrevocable) dan berkuat kuasa sepenuhnya dalam apa jua keadaan dan tidak boleh ditarik balik, dibatalkan, digantung atau diubahsuai melainkan atas permohonan atau permintaan Kerajaan Persekutuan.

Pada masa yang sama, semua tanggungjawab Kerajaan Persekutuan mengenai penstrukturan air hanyalah satu persefahaman yang tidak mengikat di sisi undang-undang. Tidak ada satu artikel lain pun di dalam MOU itu yang dirujuk sebagai mengikat (binding and irrevocable) kecualilah Artikel 5(b) bersabit kelulusan Projek Langat 2. Malah Artikel 5(b) ditulis khusus dalam konteks kelulusan Projek Langat 2.

Dari MOU itu, jelas bahawa Kerajaan Negeri telah pun memberi Kebenaran Merancang secara serta merta (rujuk Artikel 5(a)) dan semua kebenaran lain termasuklah pengambilan dan pendaftaran tanah dalam tempoh 30 hari dari tarikh MOU.

Ini bermakna, Kerajaan Selangor seolah-olah melepaskan satu-satunya senjata yang ada untuk berdepan dengan Kerajaan Persekutuan iaitu Projek Langat 2 tanpa mendapat apa-apa komitmen yang mengikat dari Kerajaan Persekutuan.

Dengan lulusnya Projek Langat 2, kedudukan Kerajaan Selangor untuk berunding dengan Kerajaan Persekutuan dalam isu penstrukturan air adalah tempang.

Tidak menyentuh mengenai pemegang konsesi sedia ada

Kedua, MOU itu langsung tidak merungkai masalah terbesar yang selama ini membantutkan rundingan penstrukturan air iaitu keengganan pemegang konsesi sedia ada terutamanya Puncak Niaga dan Syabas menerima harga tawaran yang dibuat oleh Kerajaan Selangor.

Di dalam MOU, tidak ada satu artikel pun yang merujuk kepada persoalan ini. Ia hanya disebut secara tidak langsung di dalam Artikel 3 iaitu tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memudahcara (facilitate) penstrukturan melalui peruntukan undang-undang, itu pun tidak mengikat kerana ia hanya satu persefahaman.

Ini bermakna, walaupun Projek Langat 2 telah diluluskan, status rundingan dengan pemegang konsesi adalah di takuk lama iaitu belum selesai. Tawaran yang dibuat Kerajaan Selangor perlu dijawab oleh pemegang konsesi menjelang 10 Mac 2013.

Jika pemegang konsesi bersetuju, rakyat perlu tahu secara terperinci harga tawaran akhir da nisi kandungan perjanjian untuk menilai kenapakah pemegang-pemegang konsesi ini tiba-tiba bersetuju kalau harga tawaran tetap sama, sedangkan mereka menentang selama ini.

Jika pemegang konsesi tidak bersetuju, maknanya Kerajaan Selangor terpaksa berunding dan mencari jalan baru kerana tidak ada komitmen yang mengikat di pihak Kerajaan Persekutuan untuk menyempurnakan penstrukturan ini.

RM2 bilion tambahan untuk ambil alih ekuiti pemegang konsesi sedia ada

Ketiga, Artikel 4(iii) menyebut bahawa “ selain daripada tawaran KDEB, Kerajaan Persekutuan melalui PAAB akan menyediakan peruntukan sejumlah RM2 billion untuk membantu Kerajaan Negeri Selangor dalam urusan pengambilalihan ekuiti Syarikat-Syarikat Konsesi Air.”

Saya menafsirkan ini sebagai bayaran tambahan yang akan dibuat kepada pemegang konsesi selain dari tawaran sedia ada Kerajaan Selangor (melalui KDEB) yang berjumlah RM9.65 bilion itu. Artikel 4(iii) juga perlu dibaca bersama dengan Artikel 4(i) yang menyentuh mengenai tawaran asal dari KDEB berjumlah RM9.65 bilion.

Ringkasnya, Kerajaan Persekutuan memberi persefahaman bahawa untuk mendapatkan persetujuan dari pemegang konsesi sedia ada, peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion akan digunakan untuk mengambilalih ekuiti pemegang konsesi. Saya menafsirkan ini sebagai bayaran tambahan yang akan dibuat kepada pemegang konsesi, menjadikan jumlah bayaran pampasan kepada pemegang konsesi bukanlah RM9.65 bilion tetapi RM11.65 bilion (termasuk RM2 bilion tambahan).

Proses kelulusan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Keempat, kuasa yang ada mengikut Perlembagaan Negeri adalah dimandatkan melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (EXCO). Oleh kerana MOU ini tidak dibentangkan di EXCO kerana hanya diketahui dan dimuktamadkan kandungannya hanya satu jam sebelum tandatangan (seperti kenyataan Puan Faekah Hussin yang merundingkan MOU ini), maka ia sudah tentu tidak melalui Mesyuarat EXCO.

Tanpa kelulusan Mesyuarat EXCO, kesahihan MOU ini boleh dipersoalkan.

Empat perkara di atas adalah maklumbalas yang boleh menimbulkan spekulasi dan perlu diperjelaskan secepat mungkin oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tanggungjawab saya adalah untuk memastikan rakyat tahu, seperti mana saya akan terus mendedahkan perjanjian-perjanjian lain yang melibatkan rakyat baik di pihak PR atau BN.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

3 Mac 2014

 

MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA KERAJAAN MALAYSIA DAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR BERHUBUNG PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI BEKALAN AIR SELANGOR

MEMORANDUM PERSEFAHAMAN INI bertarikh hari bulan Februari 2014 antara KERAJAAN MALAYSIA (yang diwakili oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dan KERAJAAN NEGERI SELANGOR.

A. MENGAMBIL MAKLUM akan pelaksanaan penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai suatu keperluan yang berterusan bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan bekalan air di Negeri Selangor, serta mengambil kira perkhidmatan bekalan air yang lebih mampan dan efisyen bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

B. MENGAMBIL MAKLUM bahawa Kerajaan Persekutuan sedang melaksanakan Skim Bekalan Air dari Pahang ke Selangor yang mempunyai dua komponen iaitu Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor, mengambil kira Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor mengenai pembekalan air mentah bertarikh 27 Mac 2001 dan Perjanjian Jual Beli Air Mentah antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 22 November 2007 dan lanjutan dari itu, Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (selepas ini dikenali sebagai “LRAL2”) merupakan satu langkah jangka panjang untuk menjamin bekalan air yang berterusan di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

TERMA-TERMA MEMORANDUM PERSEFAHAMAN INI ADALAH SEPERTI BERIKUT:

1. Dasar Kerajaan Persekutuan adalah bagi penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air seluruh negara dilaksanakan melalui pengambilalihan pinjaman berkaitan bekalan air yang dibuat oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri dan/atau syarikat-syarikat konsesi daripada Kerajaan Persekutuan dan institusi-institusi kewangan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (“PAAB”), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan. Sebagai balasan Kerajaan-Kerajaan Negeri akan menyerahkan aset dan tanah berkaitan dengan perkhidmatan air kepada PAAB yang akan membiayai kos modal pembiayaan bagi pembinaan aset air yang baru, membaik pulih dan menaik taraf aset air sedia ada. PAAB akan memajak semula tanah dan aset air kepada operator bekalan air negeri dengan sewa pajakan yang akan ditentukan antara Kerajaan-Kerajaan Negeri dan PAAB.

2. Kerajaan Persekutuan bersetuju membenarkan Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan penstrukturan semula industri bekalan air Selangor melalui penggabungan (consolidation) di bawah suatu syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor Kumpulan Darul Ehsan Berhad (“KDEB”). Syarikat-syarikat yang terlibat yang pada masa ini mengendalikan perkhidmatan bekalan air secara konsesi (“Syarikat-Syarikat Konsesi Air”) adalah seperti berikut:

(i) Syarikat Bekalan Air Selangor (M) Sdn. Bhd. (“SYABAS” atau “Syarikat Pengagihan Air”); dan

(ii) Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (“SPLASH”), Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. (“PNSB”) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd. (“ABASS”) (“Syarikat-Syarikat Rawatan Air”).

Terdapat juga sebuah lagi syarikat rawatan air iaitu Konsortium Air Selangor Berhad (“KASB”) yang berlesen di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].

3. Kerajaan Persekutuan akan memudah cara (facilitate) penstrukturan semula tersebut melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Akta 655 dan mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa dan berkaitan.

4. Pelaksanaan penstrukturan semula industri air dan urusan pengambilalihan Syarikat-Syarikat Konsesi Air akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui—

(i) Kumpulan Darul Ehsan Berhad (“KDEB”) membuat tawaran kepada pemegang-pemegang saham Syarikat-Syarikat Konsesi Air pada harga indikatif sebanyak RM9.65 bilion. Pemegang-pemegang saham Syarikat-Syarikat Konsesi Air akan diberi tarikh akhir sehingga 10 Mac 2014 untuk menerima tawaran KDEB;

(ii) harga indikatif KDEB berjumlah RM9.65 bilion adalah terdiri daripada komponen yang berikut:

(a) nilai ekuiti ditambah dengan pulangan sebanyak 12% setahun, menyamai jumlah RM1.972 bilion pada 31 Disember 2012; dan

(b) pinjaman dan bon sedia-ada di bawah Syarikat-Syarikat Konsesi Air yang dianggarkan sebanyak RM7.68 bilion pada 31 Disember 2012;

(iii) selain daripada tawaran KDEB, Kerajaan Persekutuan melalui PAAB akan menyediakan peruntukan sejumlah RM2 billion untuk membantu Kerajaan Negeri Selangor dalam urusan pengambilalihan ekuiti Syarikat-Syarikat Konsesi Air. Sebagai balasan, Kerajaan Negeri Selangor akan menyerahkan kepada PAAB “unencumbered” aset-aset air, atau ekuiti dalam Water SPV milik KDEB,(tertakluk kepada peratus ekuiti maksimum 30%), atas opsyen PAAB, pada nilai RM2 billion;

(iv) serentak dengan pengambilalihan Syarikat-Syarikat Konsesi Air oleh KDEB, jumlah pinjaman dan bon sebanyak RM7.68 bilion akan diambilalih oleh PAAB sebagai bayaran (consideration) untuk pemindahan “unencumbered” aset-aset air,atau ekuiti dalam Water SPV milik KDEB (tertakluk kepada peratus ekuiti maksimum 30%), atas opsyen PAAB, pada nilai yang sama di bawah Syarikat-Syarikat Konsesi Air;

(v) Apa-apa isu yang berbangkit dalam menentukan nilai aset di bawah perenggan (iii) dan (iv) yang tidak dipersetujui antara Kerajaan Negeri Selangor, KDEB dan PAAB hendaklah dirujuk kepada penimbangtara bebas yang bakal ditentukan secara bersama di antara semua pihak;

(vi) Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan memberi kebenaran dan kelulusan berkenaan pengeluaran lesen perkhidmatan serta mana-mana kelulusan yang berkaitan dengan industri air di bawah Akta 655 kepada Kerajaan Negeri atau KDEB;

(vii) pihak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan dan sebagaimana amalan penstrukturan semula air di negeri-negeri yang terdahulu akan memberikan pelepasan ke atas duti setem yang berkaitan dengan sebarang perjanjian dan pemindahan aset-aset yang timbul daripada pelaksanaan penstrukturan semula industri bekalan air;

(viii) Kerajaan Persekutuan akan menubuhkan suatu jawatankuasa yang akan turut dianggotai oleh wakil Kerajaan Negeri Selangor bagi tujuan pelaksanaan pembangunan LRAL2; dan

(ix) Kerajaan Persekutuan telah mengenal pasti dan sedang melaksanakan projek-projek mitigasi yang bersesuaian bagi membantu menangani masalah bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sehingga LRAL2 beroperasi. Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan amaun sebanyak RM909 juta bagi maksud tersebut.

5. Sebagai balasan dan bagi maksud melaksanakan Perjanjian Jual Beli Air Mentah antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Negeri Selangor hendaklah—

(a) memastikan semua kelulusan dan kebenaran yang berkaitan atau perlu berhubung pembangunan LRAL2, termasuk kemudahan berkaitan sistem pengagihan bekalan air terawat dan kemudahan lain yang berkaitan, hendaklah diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan. Kelulusan dan kebenaran yang dimaksudkan yang hendaklah termasuk dan tidak terhad kepada pengambilan dan pendaftaran tanah, permit penggunaan tanah rizab hutan diproses dan diluluskan dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh Memorandum Persefahaman ini dan kebenaran merancang hendaklah dikeluarkan dan mula berkuat kuasa selewat-lewatnya pada tarikh Memorandum Persefahaman ini; dan

(b) memastikan bahawa semua kelulusan serta kebenaran yang berkaitan atau perlu (sama ada sedia ada dikenal pasti atau yang berbangkit atau susulan) berhubung pelaksanaan LRAL2 daripada Kerajaan Negeri Selangor atau pihak-pihak berkuasa yang berkenaan hendaklah bersifat mengikat dan tidak boleh batal(binding and irrevocable) dan berkuat kuasa sepenuhnya dalam apa jua keadaan dan tidak boleh ditarik balik, dibatalkan, digantung atau diubahsuai melainkan atas permohonan atau permintaan Kerajaan Persekutuan.

6. Tiada apa-apa dalam Memorandum Persefahaman ini boleh menjejaskan hak mana-mana pihak kepada Memorandum Persefahaman ini untuk mengambil tindakan yang perlu yang sewajarnya demi untuk melindungi kepentingannya menurut Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang yang berkaitan.

UNTUK DAN BAGI PIHAK KERAJAAN MALAYSIA

………………………………………….…………….
YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus
Johnity Ongkili
MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR UNTUK DAN BAGI PIHAK KERAJAAN NEGERI SELANGOR

……………………………….………..………….
YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Download (PDF, 318KB)

%d bloggers like this: