Category Archives: Turun Harga Kereta

Turunkan Harga Kereta Dulu Sebelum Naikkan Harga Minyak

Laporan The Edge yang menyebut bahawa Malaysia mempunyai harga kereta yang kedua tertinggi di dunia tidaklah mengejutkan. Struktur cukai kereta yang melampau tingginya menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa membayar harga lebih kurang satu kali ganda lebih mahal berbanding rakyat negara lain.

Sebab itu rakyat tidak boleh berkompromi apabila Barisan Nasional menaikkan harga minyak kerana ia tidak adil di kala cukai yang dikenakan ke atas kereta adalah antara yang tertinggi di dunia.

Barisan Nasional sering mengungkit kononnya rakyat Malaysia tidak membayar harga pasaran bagi seliter petrol atau diesel, lalu dijadikan alasan untuk menaikkan harga minyak. Sebaliknya Barisan Nasional tidak pula mahu menurunkan harga kereta supaya rakyat Malaysia juga membayar harga pasaran bagi sebuah kereta, seperti mana rakyat negara lain.

Sebenarnya, sebuah isirumah purata rakyat Malaysia (keluarga berpendapatan bawah RM5,000 sebulan yang dianggarkan membentuk 70% dari keluarga Malaysia) membayar lebih banyak cukai dan tol berbanding
jumlah subsidi minyak yang diperolehi.

Secara purata sebuah isirumah menggunakan 300 liter petrol sebulan. Dengan subsidi sebanyak 63 sen setiap satu liter, ini bermakna sebuah isirumah menerima subsidi minyak sebanyak RM189 sebulan.

Bagi sebuah kereta berharga RM60,000 yang dibayar secara ansuran selama 7 tahun (seperti amalan biasa sebuah isirumah), duti eksais kereta dan bayaran faedah ke atas duti eksais kereta dianggarkan
sebanyak RM3,565 setahun, bersamaan sekitar RM300 sebulan.

Ini bermakna, Barisan Nasional mencukai rakyat Malaysia dalam bentuk duti eksais kereta sebanyak RM300 sebulan sedangkan subsidi minyak yang diterima hanyalah RM189 sahaja bagi setiap isirumah purata.

Ini adalah ketidakadilan yang nyata dan jelas menindas rakyat. Lebih teruk apabila Barisan Nasional enggan pula mengakui hakikat bahawa ia mencukai rakyat lebih banyak dari subsidi minyak yang diwar-warkan.

Saya akan terus bersuara menentang sebarang usaha menaikkan harga minyak selagi harga kereta tidak diturunkan, kalau benar Barisan Nasional mahu harga minyak mengikut pasaran dunia.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi PKR
Ahli Parlimen Pandan

Tan Sri Muhyiddin Yassin Tidak Faham Struktur Cukai Kereta

Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional bahawa harga kereta akan turun apabila Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dilaksanakan sepenuhnya membayangkan beliau tidak memahami struktur cukai kereta yang dilaksanakan sendiri oleh Barisan Nasional.

Sekarang pun, AFTA sudah pun dilaksanakan apabila pembelian kereta-kereta yang dikilang di ASEAN tidak dikenakan sebarang cukai import. AFTA dilaksanakan untuk menghapuskan halangan dagangan (trade barriers) dalam bentuk tarif import supaya barangan boleh bergerak bebas tanpa diskriminasi harga di dalam lingkungan pasaran besar ASEAN.

Yang menyebabkan harga kereta naik melambung adalah cukai eksais dan cukai jualan yang dikenakan dari kadar minima 85% hingga ke 115% ke atas harga asal kereta. Cukai eksais dan cukai jualan inilah yang menjadikan harga jualan kereta bertambah satu kali ganda, bukannya cukai import kerana AFTA telah pun menghapuskan cukai import ke atas kereta-kereta dari negara ASEAN.

Setiap tahun, 90% dari kereta yang dijual di Malaysia dikilang di Malaysia atau negara-negara ASEAN. Oleh yang demikian, untuk menurunkan harga kereta, dasar percukaian negara perlu ditukar dengan menghapuskan cukai eksais ke atas kereta seperti yang dicadangkan oleh KEADILAN.

Sebab itu, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tidak memahami faktor yang meningkatkan harga kereta sekali ganda, ini menimbulkan keraguan sama ada Barisan Nasional betul-betul ikhlas dengan janjinya untuk menurunkan harga kereta. Lebih membimbangkan, kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengaitkan penurunan harga kereta dengan pelaksanaan AFTA membayangkan bahawa janji itu hanya satu gimik politik yang tidak akan dilaksanakan oleh Barisan Nasional sekiranya menang nanti.

Makanya, saya menyeru supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi penjelasan sama ada:

1. Beliau tidak faham tentang struktur percukaian negara dan tersilap membuat kenyataan apabila menyebut pelaksanaan AFTA akan menurunkan harga kereta; atau
2. Beliau tahu rancangan Barisan Nasional untuk mengaitkan janji menurunkan harga kereta dengan AFTA tetapi bukan cukai eksais, sekaligus mengesahkan bahawa Barisan Nasional tidak ikhlas untuk melaksanakan penurunan harga kereta

Saya tidak pun akan memberi sebarang maklum balas terhadap kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Pakatan Rakyatlah yang menciplak Manifesto BN. Itu satu kenyataan bertaraf kebudak-budakan yang tidak selayaknya datang dari seorang bekas menteri kanan, maka ia tidak layak untuk diambil serius oleh rakyat Malaysia.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

10 APRIL 2013

Penghapusan Cukai Eksais Meliputi Cukai Eksais Ke Atas Motor, Aliran Tunai Kerajaan Tetap Berimbang

Komitmen Pakatan Rakyat untuk menghapuskan cukai eksais bertujuan mengurangkan bebanan hutang rakyat telah mendapat sambutan yang baik dari segenap lapisan masyarakat. Pakatan Rakyat berpegang kepada prinsip bahawa dasar percukaian perlulah bersifat progresif dan tidak mencukai rakyat terbawah.

Salah satu golongan yang paling terbeban dengan cukai-cukai ghaib seperti cukai eksais adalah golongan berpendapatan rendah yang tidak pun mampu membeli sebuah kereta. Kebanyakan dari mereka (baik yang sudah berkeluarga atau yang belum berkeluarga) terpaksa bergantung kepada motosikal sebagai kenderaan untuk menjalankan kegiatan harian.

Ramai yang tidak tahu bahawa Umno/Barisan Nasional juga mengenakan cukai eksais ke atas motosikal seperti jadual di bawah:

Saiz enjin

% cukai eksais

Di bawah 150 cc

20%

Melebihi 150 cc

30 %

Ini bermakna bagi model motosikal paling murah sekitar RM5,500 pun, jumlah cukai yang dikenakan adalah RM1,334 (cukai eksais dan cukai jualan).

Lebih membebankan apabila institusi kewangan tidak menawarkan pinjaman untuk membeli motosikal bersaiz enjin rendah kerana ia tidak mempunyai nilai pasaran kedua yang baik. Oleh itu, pembeli dari golongan berpendapatan rendah terpaksa meminjam dari kedai yang menjual motosikal dan menanggung kadar faedah yang tinggi sehingga ada yang mencecah 10%.

Demi menjamin keadilan kepada semua dan memastikan golongan yang paling memerlukan mendapat manfaat dari dasar yang digubal, penghapusan cukai eksais memang meliputi semua bentuk kenderaan termasuklah motosikal. Cadangan yang dikaji di peringkat Jawatankuasa Pakatan Rakyat adalah agar kadar penurunan cukai eksais bagi motosikal adalah sama seperti kadar penurunan cukai eksais bagi kereta, iaitu sebanyak 20% setahun.

Penghapusan cukai eksais ke atas motosikal tidak mempunyai kesan kewangan yang besar kepada negara dan sudah pun termasuk di dalam perkiraan RM7 bilion cukai eksais yang akan digantikan. Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk memperuntukkan RM2 bilion setahun (bagi tempoh 2013 – 2017) bagi memastikan aliran tunai negara tetap berimbang dengan penghapusan cukai eksais, seperti berikut:

Semua angka dalam RM Bilion

2013

2014

2015

2016

2017

Cukai eksais yang berkurangan akibat pemotongan cukai

(1.4)

(2.8)

(4.2)

(5.6)

(7.0)

Pendapatan tambahan negara apabila AP dijual pada harga pasaran melalui bidaan terbuka

2.0

2.0

2.0

Cukai pendapatan tambahan yang dikutip kerajaan apabila wang rakyat dibelanjakan

0.28

0.56

0.84

1.12

1.40

Peruntukan tahunan bagi tempoh 2013 – 2017 bagi membiayai dasar

2.0

2.0

2.0

2.0

2.0

Imbangan aliran tunai (lebihan aliran tunai bawa ke depan)

2.88

4.64

5.28

2.80

(0.80)

 

Oleh yang demikian, penghapusan cukai eksais secara berperingkat untuk menurunkan harga kereta dan motosikal dijangka membantu meningkatkan pendapatan bolehguna rakyat secara serta merta tanpa mempunyai kesan kewangan yang memudaratkan kepada negara.

 

RAFIZI RAMLI

Pengarah Strategi

1 APRIL 2013 

Aliran Tunai Selepas Cukai Eksais Dihapuskan Dalam Tempoh 5 Tahun

Ada segelintir yang terkeliru dengan kos untuk menurunkan harga kereta melalui penghapusan cukai eksais secara berperingkat. Kebanyakan mereka ini terpengaruh dengan beberap angka yang ditimbulkan oleh Umno, terutamanya setelah PR membentangkan bagaimana dasar ini akan dibiayai dan kesannya kepada rakyat.

Sebelum saya ulas lanjut, untuk memastikan pembaca benar-benar faham hubungkait di antara cukai eksais, cukai import, cukai jualan dan AP dengan harga kereta, wajarlah membaca panduan yang telah saya sediakan untuk menjawab kenyataan Dato’ Mukhriz Mahathir suatu ketika dahulu:

Panduan Harga Kereta Untuk Dato’ Mukhriz

Apabila pembaca menghadam panduan itu, barulah boleh memahami bahawa AP tidak mempengaruhi kereta terbanyak yang 90% tidak dikenakan AP kerana dipasang di Malaysia. AP ini adalah cukai untuk kereta mewah yang dibawa masuk ke Malaysia.

Sistem AP diteruskan oleh Barisan Nasional untuk memberi keuntungan kepada kroni tertentu walaupun bertentangan dengan peraturan perdagangan bebas yang ditandatangani dengan WTO dan AFTA. Sebab itu, AP hanya boleh dilaksanakan sehingga 2015 seperti yang dipersetujui oleh Barisan Nasional sendiri.

Bertitik tolak dari sinilah, maka kesempatan ini digunakan untuk memaksimakan pendapatan negara dalam tempoh tiga tahun, agar peruntukan tahunan untuk mengimbangi kekurangan hasil apabila cukai eksais dipotong adalah rendah.

Saya telah membentangkan kos program-program PR ini sejak setahun yang lepas dan menulis di pelbagai penerbitan. Contohnya, saya pernah membidas YB Khairy Jamaluddin dalam satu penulisan yang disiarkan oleh akhbar ekonomi The Edge lewat 2012 seperti berikut (petikan di bahagian yang membabitkan potongan cukai eksais):

I had also recently presented a cashflow breakdown of PR’s scheme to phase out hefty excise duty on cars in order to reduce car prices. If such a policy is carried out on a straight-line basis over 5 years and coupled with the extra revenue from the auction of APs, I anticipate the following cashflow:

2013

2014

2015

2016

2017

Loss of revenue from reduced excise duties on cars

(1.4)

(2.8)

(4.2)

(5.6)

(7.0)

Additional revenue from auctioned APs

2.0

2.0

2.0

Additional tax revenue from spurred domestic consumption

0.28

0.56

0.84

1.12

1.40

Average allocation reserved to cover for shortfall in 2016 onwards

2.0

2.0

1.0

1.0

1.0

Cashflow excess/shortfall c/f

2.88

5.20

5.68

3.32

0.12

A phased reduction in excise duty will gradually pump in extra cash into the economy in the form of higher public spending that translates to higher direct tax revenues for the government. The federal government only needs to set aside RM2 billion in 2013-2014 to fund the scheme. By 2017, PR’s economic policies to cut wastages and liberate the economy from the shackles of rent seeking and cronyism are expected to bear fruit with the economy growing at its potential of 6% annually. This will bring enough additional tax revenue to make up for the loss of RM7 billion annually from the phased out excise duties on cars.

 

Oleh yang demikian, rancangan PR adalah:

1) memotong cukai secara berperingkat 20% setiap tahun

2) menambah pendapatan antara tahun 2013-2015 dengan lelongan AP

3) memperuntukkan RM2 bilion antara tahun 2013-2014 dan RM1 bilion antara 2015-2017 agar aliran tunainya berimbang menjelang 2017, kerana menjelang 2017 ekonomi yang dijana akan berjaya mengatasi jumlah RM7 bilion cukai eksais yang dihapuskan

cashflowkereta
Perkara ini ditunjukkan dengan jelas dalam pembentangan kos program PR di dalam forum-forum dan pihak media.

Persoalannya: apakah kita tidak mampu menabung RM2 bilion setiap tahun bagi tahun 2013-2014 supaya aliran tunai berimbang apabila potongan cukai mencecah 60% dalam tahun 2015, sedangkan Barisan Nasional membelanjakan ratusan bilion untuk projek mega?

Itu pun kalau PR mahu memastikan pendapatan dari cukai eksais diganti agar aliran tunai kerajaan berimbang sepanjang masa. Barisan Nasional selalunya mengambil jalan yang lebih nakal – terus berhutang dan membiarkan aliran tunai negara defisit sepanjang masa, sejak zaman Tun Mahathir lagi!

Untuk memahami dengan menyeluruh aliran tunai dan kos program-program PR, boleh muat turun dan menghadam pembentangan berikut:

Download (PDF, 929KB)

Pengumuman MITI Tidak Membawa Kesan Kepada Harga Kereta, Menguntungkan Golongan Kaya

Pengumuman Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) bahawa cukai import bagi kereta-kereta import siap pasang (CBU) dari Jepun dan Australia akan dikurangkan secara berperingkat menjelang tahun 2016 adalah helah politik menjelang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13).

Ini bukanlah perkara baru dan adalah dasar sedia ada yang sudah pun diketahui umum. Malah, perkara ini diulas dengan panjang lebar di dalam Laporan Kesatuan Eropah Mengenai Industri Automotif Malaysia bagi Januari 2012 (yang disertakan bersama), menunjukkan bahawa perkara ini sudah pun wujud sejak tahun 2012 lagi.

Lebih teruk lagi, penghapusan cukai import untuk kereta-kereta mewah CBU yang diimport dari Jepun telah pun dilaksanakan oleh Umno/Barisan Nasional sekarang. Pada ketika ini pun, memang Umno/Barisan Nasional tidak mengenakan sebarang cukai import kepada kereta-kereta import dari Jepun di antara 2,500 hingga 3,000 cc.

Import komponen, pasang di Malaysia (CKD)

Kereta import siap pasang (CBU)

2013

2014

2015

2016

< 1,800 cc

0%

13.6%

9.1%

4.6%

0%

1,800 – 2,000 cc

0%

13.6%

9.1%

4.6%

0%

2,000 – 2,500 cc

0%

13.6%

9.1%

4.6%

0%

2,500 – 3,000 cc

0%

0%

0%

0%

0%

Struktur cukai import sedia ada bagi kereta-kereta keluaran Jepun, yang diumum semula oleh MITI hari ini

Sebab itu, KEADILAN beranggapan bahawa dasar sedia ada yang diamalkan oleh Umno/Barisan Nasional digubal untuk menguntungkan golongan kaya. Cukai import dihapuskan untuk kereta-kereta import besar dan mahal yang hanya mampu dibeli oleh orang kaya.

Dengan pengumuman yang dibuat oleh Dato’ Seri Mustapha Mohamad itu, ia hanya akan memberi kesan kepada sekitar 21,000 unit kereta setiap tahun kerana jumlah kereta import siap pasang (CBU) dari Jepun hanyalah sekitar 3.5% dari jumlah jualan keseluruhan kenderaan (Total Industry Volume atau TIV). Jumlah kereta import dari Australia pula adalah terlalu kecil dan langsung tidak akan memberi kesan kepada harga kereta di negara itu.

KEADILAN tetap dengan pendirian dan kempen kami bahawa struktur cukai eksais yang perlu dirombak untuk menurunkan harga kereta. Cukai eksais (dicampur dengan cukai jualan) yang bermula setinggi 85% bagi kereta bersaiz bawah 1,800 cc dan mencecah 115% bagi kereta bersaiz atas 3,000 cc dikenakan ke atas setiap kereta tanpa mengira asal pengeluaran.

Cukai inilah yang mencekik darah rakyat terutamanya golongan kelas bawahan yang membeli kereta-kereta keluaran tempatan. Mereka terpaksa membayar harga kereta sehingga dua kali ganda dari harga sebenar kerana cukai eksais yang dikenakan. Lebih penting, cukai eksais berada di dalam kawalan kerajaan persekutuan sepenuhnya tanpa perlu dirunding dengan mana-mana negara.

KEADILAN komited untuk menurunkan cukai eksais ini dalam tempoh lima tahun secara berperingkat dengan kadar penurunan 20% setiap tahun. Menjelang tahun 2018, tidak ada lagi cukai eksais yang akan dikenakan ke atas kereta.

Sekiranya Umno/Barisan Nasional juga prihatin dengan nasib rakyat, wajarlah ia juga menurunkan cukai eksais, bukannya bermain wayang seperti sekarang.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

28 FEBRUARI 2013

Muat Turun Laporan Kesatuan Eropah Mengenai Industri Automotif Malaysia bagi Januari 2012 – The Malaysian Automotive Sector (January 2012)