Category Archives: Skandal @ NFC

Skandal Projek Lembu: Bukti Seluruh Keluarga Menteri Terlibat

Sehingga kini Dato’ Seri Shahrizat Jalil masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai desakan KEADILAN agar beliau menjelaskan kegagalan projek ternakan lembu nasional setelah menelan peruntukan yang besar dan mendapat kurniaan tanah kerajaan yang luas.

Malah, syarikat tersebut kini memulangkan soalan untuk dijawab oleh Menteri Pertanian dan Agro-Industri, Dato’ Noh Omar seolah-olah mereka mencuci tangan.

Sementara kita menunggu siasatan dan penjelasan dari menteri yang diarahkan, rakyat Malaysia jangan ragu-ragu bahawa National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd dimiliki dan ditadbir sepenuhnya oleh suami dan anak-anak Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Perkara ini sebenarnya lebih besar dari persoalan lembu yang hilang atau kemewahan lembu-lembu ternakan yang dipelihara di ladang yang terlalu besar berbanding saiz ternakan.

Soalan-soalan yang perlu dijawab oleh kerajaan dan semua menteri terlibat:

1) Bagaimana sebuah syarikat yang baru ditubuhkan dan diuruskan oleh seorang anak muda di awal 20an diberikan tanggungjawab besar mengendalikan projek berimpak tinggi di bawah RMK9?

2) Berapakah hasil dari kayu kayan yang ditebang untuk membuka ladang sedia ada di atas tanah seluas beribu ekar dan siapakah yang mendapat keuntungan dari urusniaga kayu kayan tersebut?

3) Apakah proses bidaan dan penilaian yang dibuat sebelum syarikat milik anak beranak menteri ini dilantik mengendalikan projek lembu terbesar ini.

Sementara kita menunggu jawapan, saya sertakan bukti bahawa syarikat NFC ini benar-benar dimiliki dan diuruskan oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil:

20111027-180228.jpg

Skandal Projek Lembu: Dato’ Seri Shahrizat Jalil Perlu Jawab Segera

KEADILAN menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) untuk memulakan siasatan ke atas National Feedlot Corporation Sdn Bhd yang dimiliki oleh suami dan anak-anak kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil, seorang menteri kanan dan Ketua Wanita Umno.

KEADILAN telah membawa isu ini ke perhatian rakyat sejak awal tahun 2010 lagi memandangkan kedudukan strategik projek seperti yang didakwa oleh kerajaan dan peruntukan besar yang terlibat.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, Pusat Feedlot Kebangsaan yang dimiliki dan dikendalikan oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd diberi status Projek Berimpak Tinggi dengan sasaran memenuhi 40% permintaan dan pengeluaran daging lembu untuk pasaran tempatan.

Pada hari Khamis, 20 Oktober 2011 satu pasukan peninjau KEADILAN yang diketuai oleh Saudara Mohd Rafizi Ramli (Pengarah Strategi) dan YB Aminuddin Harun (ADUN Sikamat) telah membuat kunjungan tidak rasmi ke Pusat Feedlot Kebangsaan seluas 5,000 ekar di Gemas untuk menentukan prestasi pencapaian pusat tersebut memenuhi sasaran yang ditetapkan.

Hasil dari temuramah dengan pekerja-pekerja, maklumat yang diperolehi adalah seperti berikut:

Jumlah lembu yang dipelihari pada satu-satu masa: Sekitar 1,000 ekor

Asal-usul lembu: Diimport dari luar negara

Anggaran sembelihan setiap hari: Sekitar 20 ekor

Pasaran: Hypermarket seperti Giant, Carrefour dan lain-lain

Anggaran daging lembu yang dikeluarkan sehari (dikira): 3,000 kg

Anggaran daging lembu yang dikeluarkan setahun (dikira): 900,000 kg atau 900 tan

Prestasi operasi ini perlu dibandingkan dengan sasaran yang ditetapkan memandangkan projek tersebut dikurniakan tanah kerajaan seluas 5,000 ekar di Gemas dan mendapat bantuan kewangan kerajaan berjumlah RM250 juta. Oleh itu, prestasi Pusat Feedlot Kebangsaan:

Jumlah penggunaan daging lembu Malaysia[1] setahun: 162,357 tan

% permintaan yang dicapai oleh Pusat Feedlot (dikira): 0.6%

Sasaran % permintaan yang perlu dicapai ditetapkan RMK9: 40%

Jumlah lembu yang perlu disembelih untuk mencapai sasaran: 1,500 ekor sehari

Jumlah lembu yang kini disembelih: 20 ekor sehari

Kajian awal oleh KEADILAN ini jelas menunjukkan bahawa projek ini telah gagal walaupun menelan jumlah wang rakyat yang besar dan kurniaan tanah seluas 5,000 ekar. Malah, ada petani dan penternak kecil yang mempunyai operasi yang lebih besar dan berkesan walaupun tidak mendapat apa-apa bantuan kerajaan.

Penyelidikan KEADILAN juga menunjukkan bahawa sehingga kini, komponen-komponen operasi yang lain yang diamanahkan kepada syarikat milik suami dan anak-anak Dato’ Seri Shahrizat Jalil masih belum dilaksanakan walaupun mendapat peruntukan besar. Selain dari aktiviti mengimport lembu, syarikat ini juga dilantik oleh kerajaan untuk:

  1. Membangunkan penternak kecil melalui konsep “penternakan satelit” untuk menggandakan pengeluaran lembu
  2. Membangunkan makanan lembu berkualiti
  3. Membangunkan baja dari operasi penternakan lembu

KEADILAN berpendapat bahawa isu ini perlu diberi perhatian serius kerana ia salah satu contoh utama bagaimana penyelewengan wang rakyat akibat ketirisan mempunyai kesan mendalam kepada kenaikan harga barang yang menekan rakyat.

Projek ini dilancarkan oleh kerajaan bertujuan untuk mengurangkan import makanan yang memainkan peranan utama kepada kenaikan harga barang makanan yang terpaksa ditanggung rakyat. Walau bagaimana pun, sebahagian besar dari peruntukan kepada projek-projek pertanian dan makanan untuk mengurangkan pergantungan kepada import tidak sampai dan diselewengkan sehingga mengakibatkan import makanan mencecah RM30 bilion setahun sehingga akhir 2010.

Dato’ Seri Shahrizat Jalil sebagai menteri yang berkepentingan dalam projek ini dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bekas Menteri Pertanian dan Agro Industri yang terlibat menganugerahkan projek ini kepada rakan menteri beliau tidak boleh lagi terus berdiam diri. Rakyat memerlukan penjelasan segera mengenai kegagalan projek nasional yang menelan belanja besar ini.

Sekiranya kedua-dua mereka masih berdiam diri sehingga Isnin minggu depan, KEADILAN dan Wanita KEADILAN akan menganjurkan satu lawatan menjejaki lembu ke Pusat Feedlot Kebangsaan di Gemas untuk mendedahkan perkara ini dengan luas kepada rakyat.

YB ZURAIDA KAMARUDDIN, KETUA WANITA KEADILAN/AHLI PARLIMEN AMPANG

RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI KEADILAN

YB AMINUDDIN HARUN, ADUN SIKAMAT, SEREMBAN

25 OKTOBER 2011


[1] Statistik rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi 2010