Category Archives: Skandal @ Macam-macam Skandal

Skandal Pengurusan Tanah Negeri Sembilan: Hutan Simpan Jeram Padang Dirampas Dan Dibangunkan Secara Haram

KEADILAN mengambil pendirian bahawa isu-isu alam sekitar adalah isu besar negara yang perlu diketengahkan, walaupun sukar mendapat perhatian rakyat pada awalnya. Hasil gigih Naib Presiden KEADILAN, YB Fuziah Salleh terus menerus memperjuangkan pembatalan projek Lynas di Kuantan telah memberi nafas baru kepada usaha mengenengahkan isu alam sekitar sebagai isu besar negara.

Bertitik tolak dari situ, pasukan KEADILAN telah menumpukan perhatian kepada pencabulan hutan simpan dan kegiatan pembalakan yang tidak terkawal di seluruh negara. Sikap tidak bertanggungjawab Umno/Barisan Nasional ini mempunyai kesan yang serius kepada negara seperti berikut:

  • Peratusan hutan simpan tetap di seluruh Malaysia semakin berkurangan dan dijangkakan jika tidak ada perubahan dasar bersabit pembalakan dan pengekalan hutan simpan, Malaysia akan berdepan dengan kepupusan hutan dalam dua generasi
  • Kegiatan pembalakan dan rampasan hutan simpan telah menjadi punca utama rasuah hasil dari persekongkolan di antara ahli politik dan ahli perniagaan yang menjadi proksi atau pembiaya kepada ahli politik. Tanah-tanah rakyat yang luasnya berpuluh ribu ekar hilang tanpa pengetahuan rakyat kerana dipindahmilikkan kepada syarikat-syarikat kroni sedang hasilnya tidak masuk ke Perbendaharaan Negeri
  • Tanah-tanah hutan simpan yang diterokai untuk pembalakan, kemudiannya dijadikan pula ladang untuk penanaman kelapa sawit dan akhirnya dibangunkan menjadi kawasan perumahan. Keuntungan beratus juta ringgit yang sepatutnya milik rakyat akhirnya menjadi kekayaan peribadi tokoh-tokoh Umno/Barisan Nasional dan kroni mereka
  • Pembalakan dan penerokaan yang berleluasa itu sering tidak mengendahkan kesan alam sekitar yang mengundang bencana alam seperti tanah runtuh, banjir dan hakisan. Akibat ketamakan Umno/Barisan Nasional, puluhan ribu penduduk di sesuatu tempat yang terkesan dari aktiviti penghapusan hutan simpan akibat pembalakan ini berhadapan dengan bencana alam.

Saya dan Timbalan Setiausaha Agong KEADILAN, Saudara T Kumar telah diberi amanah oleh pimpinan KEADILAN untuk mengkaji, menyelidik dan membongkarkan kegiatan penghapusan hutan simpan bagi tujuan pembalakan dan segala perlakuan rasuah yang membabitkan pelbagai pimpinan Umno/Barisan Nasional dan kroni mereka. Siasatan dan kajian kami tertumpu kepada Negeri Sembilan sebagai negeri di Semenanjung Malaysia yang paling banyak menghapuskan hutan simpan bagi tujuan pembalakan.

Di antara tahun 2005 hingga 2011, Umno/Barisan Nasional di bawah pimpinan Dato’ Seri Utama Mohamad Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan telah menghapuskan hutan simpan seluas 8,616 hektar melalui pewartaan membatalkan status hutan simpan kekal yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengeruskan beliau.

Statistik rasmi terkini[1] keluasan hutan simpan kekal Negeri Sembilan adalah seperti berikut:

 

 

2005

2007

2011

Keluasan hutan simpan kekal yang dibatalkan

% penurunan

Keluasan hutan simpan kekal (hektar)

162,075

154,185

153,459

8,616

5.3%

KEADILAN seterusnya menyemak keputusan-keputusan pembatalan status tanah hutan simpan bagi memastikan ia tidak bertentangan dengan undang-undang. Seperti yang dijangkakan, keputusan-keputusan ini sebenarnya tidak sah kerana melanggar undang-undang yang diperuntukan.

Kajian KEADILAN tertumpu kepada Hutan Simpan Tetap Jeram Padang Selatan yang diwartakan sebagai hutan simpan tetap sejak 30 Ogos 1918[2]. Status ini telah dibatalkan melalui Pewartaan No (Gazette Plan No) 1933 bertarikh 11 Mac 2004 yang membatalkan status hutan simpan tetap bagi membolehkan pembalakan berlaku di kawasan seluas 487.3 hektar[3].

Pembatalan tersebut bertentangan dengan Seksyen 18(1) Akta Perancangan Bandar Dan Desa (Akta 172) yang menyebut:

 

BAHAGIAN IV

KAWALAN PERANCANGAN

Penggunaan tanah dan bangunan

 

18. (1) Tiada seorang pun boleh menggunakan atau membenarkan digunakan mana-mana tanah atau bangunan melainkan menurut rancangan tempatan.

 

KEADILAN menyemak Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2001 – 2020 yang disediakan Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Sembilan[4]. Mukasurat 53 Bahagian (i) Zon Pengekalan (Zon Tidak Sesuai Untuk Pembangunan) seksyen (b) Zon Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tinggi secara jelas menyebut:

Zon KSAS pada tahap tinggi ini adalah kritikal untuk dipelihara supaya tidak membawa bencana alam seperti tanah runtuh yang akan mengancam nyawa dan harta benda masyarakat.

Semakan terhadap dokumen-dokumen rancangan tempatan, iaitu Rancangan Tempatan Daerah Jempol 2002 – 2015 yang diperolehi dari pihak berkuasa tempatan secara jelas menunjukkan bahawa Hutan Simpan Tetap Jeram Padang Selatan dikategorikan sebagai Zon KSAS Tahap 1, iaitu “KSAS Tahap 1 yang mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap pembangunan dan memerlukan kawalan ketat. Kawasan ini perlu dipelihara sepenuhnya dan tidak dibenarkan untuk sebarang pembangunan[5].

Mukasurat 5-77[6] Rancangan Tempatan Daerah Jempol 2002 – 2015 secara jelas menunjukkan bahawa Hutan Simpan Tetap Jeram Padang Selatan adalah berkategori KSAS Tahap 1 dan tidak boleh dibangunkan.

Oleh yang demikian, pewartaan membatalkan status hutan simpan tetap bertarikh 11 Mac 2004 adalah tidak sah disisi undang-undang kerana bertentangan dengan rancangan tempatan sedia ada, lalu melanggar Seksyen 18(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa.

Malangnya, Kerajaan Umno/Barisan Nasional di bawah pentadbiran 2 orang Menteri Besar (Tan Sri Isa Samad dan Dato’ Seri Utama Mohamad Hassan) tidak menghiraukan undang-undang dan membenarkan penerokaan berlaku. Balak di kawasan hutan ini telah ditebang sepenuhnya dan kini ia telah diusahakan pula sebagai kawasan penanaman kelapa sawit.

KEADILAN mempunyai bukti bahawa pimpinan Umno/Barisan Nasional mendapat keuntungan dari tindakan yang melanggar undang-undang ini hasil dari kegiatan pembalakan dan penanaman kelapa sawit.

Ini adalah kenyataan pertama KEADILAN yang akan disusuli dengan lebih banyak pembongkaran dalam minggu-minggu akan datang.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

T KUMAR
TIMBALAN SETIAUSAHA AGONG KEADILAN

23 OKTOBER 2012

 


[1] Sumber kajian: Lim & Susukwan (2007), Laporan Tahunan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia 2007, Laporan Tahunan Semenanjung Malaysia 2010

[2] Sumber: Laman web Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan

[3] Sumber: WWF-Malaysia Discussion Paper 2007 on deforestation, disertakan bersama

[4] Disertakan bersama

[5] Mukasurat 5-74, Rancangan Tempatan Daerah Jempol

[6] Disertakan bersama

 

Dokumen-dokumen bukti

Dato’ Seri Shahrizat Jalil Salahguna Dana Rakyat Biayai Program Wanita Umno Melalui Majlis Pembangunan Wanita Dan Keluarga (MPWK)

Dato’ Seri Shahrizat Jalil bertanggungjawab menubuhkan Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) sebaik sahaja beliau mula-mula dilantik menjadi menteri penuh. Pengumuman mengenai penubuhan majlis ini dibuat pada 29 Jun 2001.

Pada asalnya, keanggotaan MPWK adalah terdiri dari EXCO wanita dari kerajaan-kerajaan negeri di seluruh Malaysia. Malangnya, sejak penubuhan hingga ke hari ini, ia telah disalahgunakan sebagai sebuah organisasi haram yang dianggotai oleh Ketua-ketua Wanita Umno dan pimpinan Wanita Umno di setiap kawasan parlimen dan diberikan peruntukan yang besar oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diketuai Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Semakan dengan Pendaftar Pertubuhan mengesahkan bahawa MPWK tidak berdaftar dan dikategorikan sebagai pertubuhan haram.

MPWK mempunyai anggota di peringkat negeri dan parlimen. Ketua MPWK di peringkat negeri adalah Ketua Wanita Umno Negeri, manakala di peringkat parlimen adalah Ketua Wanita Umno Bahagian.

KEADILAN mempunyai bukti mengenai perbelanjaan dan peruntukan yang telah disalurkan kepada kesemua bahagian Wanita Umno di seluruh negara dengan berselindung di sebalik pertubuhan haram yang diberi nama MPWK ini.

Hari ini, Wanita KEADILAN menampilkan bukti bagaimana kerajaan menanggung perbelanjaan yang tinggi untuk program mewah di hotel mahal yang dihadiri oleh keseluruhan jentera kepimpinan Wanita Umno seluruh Malaysia, atas nama MPWK. Surat jemputan yang dilampirkan bersama dialamatkan kepada Puan Normah Mohd Saman iaitu Ketua Wanita Umno Wangsa Maju.

Pembiayaan aktiviti parti dan perbelanjaan yang memberi manfaat kewangan kepada pimpinan parti dengan menggunakan wang rakyat dan dana kerajaan adalah satu kesalahan besar di sisi undang-undang. Ini adalah penyelewengan dan salahguna kuasa yang nyata yang telah dilakukan oleh Wanita Umno di bawah kepimpinan Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Oleh itu, Wanita KEADILAN mendesak:

1. Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membubarkan serta merta MPWK ini dan menghentikan semua perbelanjaan dan dana yang disalurkan kepada MPWK;

2. Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu mengarahkan siasatan dalaman di peringkat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan serta merta bagi mengenalpasti sejauh mana penyelewengan telah berlaku sejak 2001;

3. Dato’ Seri Shahrizat Jalil meletak jawatan serta merta sebagai Ketua Wanita Umno kerana telah terbukti beliau terbabit di dalam penyalagunaan wang rakyat; dan

4. SPRM menjalankan penyiasatan serta merta untuk menentukan sejauh mana salahguna kuasa telah berlaku sejak 2001.

Wanita KEADILAn akan terus mengemukakan bukti sekiranya tidak ada maklumbalas dari Dato’ Seri Najib Tun Razak, Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan SPRM.

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
KETUA WANITA KEADILAN

2 MEI 2012

Konvensyen MPWK 2012

Keterlibatan Kerajaan Malaysia Merayu Kepada Badan Israel Untuk Mendapatkan Sokongan Penganjuran Persidangan Gas Dunia

KEADILAN mempunyai bukti kukuh termasuklah laporan, surat menyurat dan dokumen-dokumen lain yang mengesahkan sikap talam dua muka Umno yang secara diam-diam merestui hubungan dua hala di antara Malaysia dan Israel sedang ia menyerang Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Hubungan tidak rasmi di antara Umno dan kerajaan atau badan-badan Israel bukanlah perkara baru. Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menulis surat kepada 3 orang Perdana Menteri Israel yang berasingan menyatakan hasrat beliau yang mewakili Umno untuk menjalin hubungan diplomatik yang normal dengan Israel. Tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang melantik APCO yang diketuai tokoh-tokoh yang rapat dengan Israel mengesahkan lagi wujudnya hubungan baik di antara Umno dan Israel.

Malah, sikap ini turut menular di dalam dasar luar negara seperti yang ditentukan oleh Wisma Putra.

Hari ini, KEADILAN akan membongkarkan bagaimana Umno dan pimpinannya mengambil sikap berbaik-baik malah memohon bantuan dari Israel, walaupun secara rasminya Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara tersebut.

Bermula 4 hingga 8 Jun 2012, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Gas Sedunia (World Gas Conference) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur. Persidangan ini adalah persidangan terbesar yang akan mengumpulkan syarikat-syarikat minyak dan gas dari seluruh dunia.

Penganjuran Persidangan Gas Sedunia dipilih melalui undi oleh anggota Pertubuhan Gas Antarabangsa (International Gas Union) yang turut dianggotai oleh negara-negara seperti Malaysia, Israel, Russia, Brunei, Indonesia dan banyak negara lain.

KEADILAN boleh mengesahkan bahawa semasa Malaysia melobi untuk mendapatkan hak menganjurkan persidangan ini dalam tahun 2005, Malaysia telah merayu bantuan Israel untuk menyokong cadangan Malaysia menjadi tuan rumah. Malah, Malaysia turut menawarkan secara tidak langsung untuk menguruskan penginapan dan pendaftaran wakil-wakil Israel ke Persidangan IGU di Tianjin, China.

Pendekatan merayu bantuan Israel ini mendapat restu dan atas nasihat Wisma Putra. Penganjurannya pula dikendalikan oleh Persatuan Gas Malaysia yang diwakili oleh PETRONAS dan dinasihati oleh Tun Mahathir. Malah, KEADILAN mempunyai bukti bahawa Tun Mahathir dan Wisma Putra sedia maklum mengenai pendekatan Malaysia merayu sokongan dari Israel untuk mendapatkan hak penganjuran tetapi merestui sahaja pendekatan ini.

Bersama-sama ini disertakan satu surat dari wakil Malaysia kepada wakil Israel yang mengesahkan bahawa Wisma Putra telah merestui pendekatan merayu bantuan dan sokongan Israel demi mendapatkan hak penganjuran sebuah persidangan antarabangsa.

Sikap Umno dan pimpinan mereka yang menentukan dasar Wisma Putra adalah bertentangan dengan keinginan rakyat Malaysia yang tidak mahu ada sebarang hubungan diplomatik sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan Israel. Malah, pendedahan kali ini membongkarkan hipokrasi tertinggi Umno dan pimpinan mereka dalam isu hubungan dengan Israel kerana bukan sahaja mereka menyatakan hasrat untuk mengadakan hubungan diplomatik, malah terbukti mereka pernah melutut merayu sokongan dari Israel.

KEADILAN mendesak penjelasan dari Wisma Putra dan Tun Mahathir Mohamad mengenai pendirian yang telah diambil sehingga merestui pendekatan pihak penganjur Persidangan Gas Sedunia yang merayu bantuan dan sokongan Israel, kerana ini bertentangan dengan solidariti rakyat Malaysia dengan perjuangan rakyat Palestin.

KEADILAN akan terus menyiarkan dokumen-dokumen dan surat-menyurat bagi membuktikan bagaimana pimpinan Umno terlibat secara langsung di dalam perkara ini.

 

DATO’ SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL, SETIAUSAHA AGONG KEADILAN

MOHD RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 29 MAC 2012 

 

 

Penjualan Lebuhraya Maju Expressway: Dana Rakyat RM976.7 Juta Perlu Dipulangkan Segera

Saya mengikuti dengan rapat penjualan konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya oleh Maju Holdings Sdn Bhd kepada EP Manufacturing Berhad dalam urusniaga yang dilaporkan bernilai RM1.7 bilion.

Ini menimbulkan keraguan serta merta memandangkan pembinaan lebuhraya
tersebut menggunakan dana awam yang besar melalui geran kerajaan
bernilai RM976.7 juta. Kos keseluruhan lebuhraya tersebut dianggarkan bernilai RM1.32 bilion dan sebahagian besarnya dibiayai oleh rakyat melalui geran RM976.7 juta yang diberikan kerajaan kepada Maju Holdings Sdn Bhd. Selain geran tersebut, saya menganggarkan suntikan dana yang dibuat oleh Maju Holdings Sdn Bhd hanyalah sekitar RM60 juta (iaitu 4.5% dari kos keseluruhan) kerana ia turut meminjam RM370 juta dari institusi kewangan.

Oleh yang demikian, penjualan berjumlah RM1.7 bilion ini akan memberi durian runtuh kepada Maju Holdings Sdn Bhd sekiranya geran oleh
kerajaan berjumlah RM976.6 juta tidak dikembalikan. Jika ini berlaku,
selepas membayar hutang institusi kewangan berjumlah RM370 juta,
bermakna Maju Holdings Sdn Bhd bakal membuat keuntungan berjumlah
sekitar RM1.33 bilion sedangkan modal pelaburannya dianggarkan RM60
juta sahaja.

Saya mendesak Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan mengesahkan sama
ada Maju Holdings Sdn Bhd akan mengembalikan dana rakyat sejumlah
RM976.7 juta itu, kerana jika tidak ia menimbulkan lebih banyak
persoalan yang akan terus menaikkan kemarahan rakyat.

Jika keuntungan RM1.33 bilion itu disimpan oleh Maju Holdings Sdn Bhd, apakah perjanjian di antara Perdana Menteri dengan pemilik Maju Holdings Sdn Bhd yang diketahui umum penyokong kuat UMNO? Adakah wujud
persefahaman agar keuntungan atas angin yang merampas dana rakyat itu
akan disalurkan kembali kepada UMNO sebagai dana pilihanraya?

Sejak akhir-akhir ini, keghairahan Perdana Menteri meluluskan
urusniaga melibatkan kroni UMNO/Barisan Nasional bernilai berbilion ringgit menguatkan syak wasangka rakyat bahawa harga yang tinggi yang dikenakan kroni merugikan rakyat. Tambahan pula, urusniaga dalam serba kerahsiaan dan tiadanya ketelusan boleh menguatkan lagi wasangka rakyat itu.

Penjualan konsesi lebuhraya ini adalah urusniaga yang kedua dalam masa sebulan yang membelakangkan kepentingan rakyat, selepas pembelian aset dan perniagaan Ananda Krishnan oleh dana 1MDB yang dikawal sepenuhnya Perdana Menteri berjumlah RM8 bilion, walaupun 1MDB tidak pernah ada sebarang pengalaman di dalam industri penjanaan tenaga.

Jumlah dana rakyat yang terlibat sebanyak RM976.6 juta itu adalah
empat kali ganda lebih tinggi dari dana yang membabitkan NFC. Perdana
Menteri mungkin berfikiran beliau boleh mendiamkan diri mengenai NFC,
tetapi sudah tentu jumlah dana rakyat sebesar RM976.6 juta ini memerlukan jawapan dari beliau memandangkan urusniaga tersebut tidak boleh berlaku tanpa kelulusan beliau sendiri sebagai Menteri Kewangan.

MOHD RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
18 Mac 2012 (dikeluarkan di Batu Pahat)

Kenyataan Penafian Tidak Menjernihkan Pelbagai Persoalan Mengenai Integriti Dan Ketelusan Perdana Menteri

 

Saya memandang serius kenyataan-kenyataan penafian yang dibuat tanpa disertakan bukti berhubung dakwaan salah guna kuasa Perdana Menteri yang ditimbulkan mutakhir ini. Walaupun saya mengalu-alukan kenyataan yang dibuat oleh Shangrila Hotel, ada dua aspek yang mempersoalkan ketelusan Perdana Menteri dalam berdepan dengan rakyat:

1) Sehingga sekarang, tidak ada sebarang maklumbalas dari Perdana Menteri mengenai 8 bukti yang sewajarnya diberikan kepada rakyat agar sebarang keraguan dapat dirungkai secepat mungkin, seperti yang disyorkan KEADILAN; dan

2) Perdana Menteri seolah-olah merasakan kenyataan penafian oleh pejabat beliau dan Shangrila Hotel sudah memadai untuk memadamkan isu ini.

Persoalan yang dibawa bukanlah semata-mata siapa yang menanggung kos majlis pertunangan tersebut, tetapi ketelusan dan operasi Pejabat Perdana Menteri yang sewajarnya mengasingkan di antara kepentingan peribadi dan tugasan umum. Perdana Menteri menjanjikan transformasi politik, ekonomi dan sosial sebagai jawapan kepada tuntutan rakyat agar rasuah dan salahguna kuasa pimpinan diperangi sehabis-habisnya; maka Perdana Menteri perlulah memberikan teladan yang baik bahawa segala urusan Pejabat Perdana Menteri bebas dari sebarang unsur salah guna kuasa dan pecah amanah.

Ini adalah piawaian integriti baru yang dituntut rakyat Malaysia. Mungkin Perdana Menteri merasakan isu ini remeh, tetapi sikap Perdana Menteri menangani isu ini membayangkan sama ada beliau betul-betul ikhlas dalam menjalankan transformasi politik, ekonomi dan sosial negara.

Sebab itu KEADILAN berpendapat masih banyak persoalan yang belum dijawab dalam hal ini, terutamanya apabila dibandingkan dengan satu lagi majlis peribadi yang menggunapakai khidmat Shangrila Hotel.

Pada hari Ahad 24 Julai 2011, Perdana Menteri telah mengadakan satu jamuan meraikan hari lahir beliau di Sri Perdana. Banquet Event Order (BEO) majlis tersebut diedarkan bersama-sama dengan kenyataan akhbar ini.

Berdasarkan BEO tersebut, fakta-fakta berikut adalah tepat:

1) Tempahan turut dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, walaupun ia jelas adalah majlis peribadi Perdana Menteri;

2) Berbanding dengan majlis pertunangan anak beliau, majlis ini dengan jelas menyatakan bahawa ia majlis peribadi Perdana Menteri. Ini menimbulkan persoalan kenapa majlis pertunangan anak Perdana Menteri tidak dinyatakan secara jelas sebagai majlis peribadi, sebaliknya disebut sebagai “majlis Pejabat Perdana Menteri”?

3) Perdana Menteri membelanjakan sekitar RM79,053 untuk satu majlis meraikan hari lahir beliau; pecahannya seperti berikut:

Buffet untuk 100 tetamu @ RM207 setiap seorang

RM20,700

Band Syed Sobri @ RM7,300 + 6% cukai

RM7,738

Band Batak @ RM5,000 + 6% cukai

RM5,300

Minuman 5 gallons @ RM750 + 6% cukai

RM795

Gubahan bunga @ RM30,000 + 6% cukai

RM31,800

Caj pengendalian @ RM12,000 + 6% cukai

RM12,720

JUMLAH

RM79,053

4) Majlis tersebut menyajikan 47 juadah antarabangsa termasuklah daging panggang yang diimport dari New Zealand, makanan Jepun, makanan Barat dan lain-lain.

Oleh yang demikian, saya ingin mengajukan soalan-soalan berikut kepada Perdana Menteri jika beliau benar-benar telus dan ikhlas untuk menjadi teladan kepada seluruh rakyat Malaysia:

1) Bilakah beliau akan mengemukakan 8 bukti yang disyorkan KEADILAN agar nama beliau dapat dibersihkan?

2) Dalam masa lebih kurang satu bulan, Perdana Menteri membelanjakan setengah juta ringgit untuk dua majlis mewah di Sri Perdana. Jika beliau bertegas ini dibayar oleh beliau sendiri, bagaimanakah beliau mampu berbelanja sedemikian rupa sedangkan pendapatan Perdana Menteri tidaklah seberapa?

3) Jika perbelanjaan mewah ini ditanggung oleh rakan taulan yang memberi tajaan, siapakah mereka ini dan apakah bukti Perdana Menteri bahawa sumbangan kepada majlis peribadi tidak mempengaruhi apa-apa keputusan beliau selama ini?

4) Wajarkah Perdana Menteri berbelanja besar sebegini untuk majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini? Kos hampir RM800 setiap tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat.

 

Perdana Menteri boleh sahaja tidak mengendahkan soalan-soalan ini, tetapi dengan bertanyakan soalan sebeginilah rakyat dapat membongkar pelbagai penyelewengan yang berlaku di dalam pengurusan dana awam NFC sehinggakan Barisan Nasional terpaksa tunduk kepada tekanan rakyat.

Perdana Menteri membuat keputusan tidak menyambung tempoh perkhidmatan Dato’ Seri Shahrizat Jalil apabila persoalan moral bersabit integriti sebegini diajukan kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Apabila soalan-soalan yang sama diajukan kepada beliau sekarang, wajarlah beliau juga membuat ‘pengorbanan’ seperti yang dilakukan oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil dengan menjawab satu persatu secara ikhlas dan telus, demi menjaga integriti kerajaan.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

14 MAC 2012 

 

BEO – Birthday NTR Page1

BEO – Birthday NTR Page2

BEO – Birthday NTR Page3