Category Archives: Skandal @ LRT George Kent

Skandal George Kent – LRT Ampang: Hentikan Ugutan Dan Serangan Terhadap Pegawai Kanan Kerajaan

Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan blogger-blogger Umno yang menyerang dan memfitnah Dato’ Fauziah Yaacob, seorang pegawai tinggi Kementerian Kewangan yang berjawatan Setiausaha Bahagian Perolehan, Kementerian Kewangan atas dakwaan beliau membocorkan dokumen-dokumen sulit berhubung pendedahan skandal anugerah kontrak LRT Ampang kepada George Kent. Penulisan salah seorang blogger tersebut ada disertakan bersama.

Tindakan blogger-blogger Umno yang umumnya diketahui mendapat dokongan penuh pimpinan Umno membuktikan Umno tidak ada rasa hormat langsung kepada penjawat awam yang hanya menjalankan tugas mereka. Saya boleh mengesahkan bahawa Dato’ Fauziah Yaacob bukanlah individu yang bertanggungjawab menyerahkan dokumen-dokumen terbabit kepada KEADILAN.

Oleh yang demikian, tindakan blogger-blogger Umno memfitnah beliau adalah bertujuan untuk menakut-nakutkan pegawai-pegawai kerajaan agar tidak membantah sebarang keputusan melibatkan kerajaan yang diambil oleh ahli politik Umno. Mereka berharap dengan tekanan yang diberikan bertujuan mengaib dan mengasingkan Dato’ Fauziah Yaacob, ia menghantar amaran yang keras kepada semua kakitangan awam supaya hanya menurut telunjuk Umno/Barisan Nasional.

Saya merasa terpanggil untuk mengutarakan perkara ini kerana tindakan blogger-blogger Umno itu menghina kaum wanita di negara ini, apabila serangan ditujukan terhadap seorang penjawat awam wanita yang dihormati dan dikenali ramai seperti Dato’ Fauziah Yaacob. Serangan terhadap beliau samalah juga dengan serangan kepada pimpinan wanita lain di dalam perkhidmatan awam yang kini semakin ramai diketuai oleh pegawai-pegawai wanita.

Oleh itulah, saya mencabar pimpinan-pimpinan wanita di dalam Umno, termasuklah Menteri Wanita Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Ketua Wanita Dato’ Seri Shahrizat Jalil untuk tampil membela Dato’ Fauziah Yaacob dengan mengambil tindakan keras terhadap blogger-blogger Umno dan dalang yang menggunakan taktik “character assasination” seperti ini terhadap pimpinan kanan perkhidmatan awam, terutamanya dari kalangan wanita seperti yang menimpa Dato’ Fauziah Yaacob.

Sewajarnya pimpinan kanan perkhidmatan awam diberi kebebasan supaya bertindak mengikut undang-undang demi menjaga kepentingan negara. Jika benar Dato’ Fauziah Yaacob telah bertegas mempertahankan keputusan awal Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan yang menganugerahkan kontrak LRT Ampang kepada sebuah konsortium yang mendahului keputusan penilaian, maka sepatutnya beliau dinaikkan pangkat dan diberikan penghormatan kerana keberanian menentang campur tangan Perdana Menteri sendiri.

Inilah jenis kepimpinan dan integriti yang sewajarnya dipamerkan oleh pimpinan wanita di negara ini, bukanlah seperti seorang bekas Menteri Keluarga yang tidak tahu pekerjaan anaknya sendiri.

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
KETUA WANITA KEADILAN

15 OGOS 2012

Kenyataan George Kent Menghina Proses Bidaan Dan Perolehan Negara

Saya memandang berat kenyataan En Cheong Thiam Fook, Pengarah Eksekutif George Kent yang mendakwa konsortium tersebut lulus penilaian teknikal dan kewangan dalam bidaannya.

Kenyataan itu terang-terang membelakangkan laporan penilaian rasmi yang digunapakai oleh kerajaan dalam menentukan kontraktor bagi kerja-kerja tambahan sistem LRT Laluan Ampang.

Malah, En Cheong Thiam Fook dan George Kent telah berbohong apabila beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan berikut:

1. Bahawa Konsortium George Kent – Lion Pacific telah LULUS penilaian kewangan

2. Bahawa Konsortium George Kent – Lion Pacific telah MEMATUHI semua syarat-syarat kontrak

3. Bahawa Konsortium George Kent – Lion Pacific telah LULUS semua syarat teknikal

Pembohongan ini dibuat dengan tujuan untuk mengabui mata rakyat Malaysia. Konsortium George Kent dan rakan-rakan karib mereka dalam pentadbiran Umno/Barisan Nasional percaya dengan propaganda media yang berterusan, mereka dapat meyakinkan rakyat bahawa tidak ada unsur rasuah dan penyelewengan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam memastikan konsortium itu mendapat kontrak.

Saya sertakan fakta-fakta dan susur galur yang membuktikan bahawa Konsortium George Kent telah berbohong:

 Dalam satu surat bertarikh 20 Januari 2012, Dato’ Shahril Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana telah mengemukakan ringkasan penilaian keseluruhan bidaan (penilaian teknikal, penilaian kewangan dan pematuhan kepada syarat-syarat kontrak) kepada Kementerian Kewangan bersama-sama cadangan lantikan untuk diluluskan Kementerian Kewangan;

 Bidaan oleh George Kent dibuat melalui Konsortium George Kent-Lion Pacific yang turut melibatkan syarikat-syarikat Wijet dan Thales dari luar negara. Bidaan ini dilabelkan sebagai bidaan 3 dari 8 pembida (3/8);

 Ringkasan penilaian keseluruhan bidaan (Prasarana – Summary of Evaluation) dengan secara jelas menunjukkan bahawa Konsortium George Kent hanya mendapat markah 8.7 daripada 30 markah keseluruhan bagi penilaian kewangan. Oleh itu, Prasarana telah memutuskan bahawa George Kent GAGAL dalam penilaian kewangan;

 Ringkasan penilaian keseluruhan bidaan juga menyatakan bahawa George Kent TIDAK MEMATUHI syarat-syarat kontrak. Malah, ia membuat permohonan agar beberapa syarat seperti “bayaran ganti rugi kerosakan akibat gangguan” (atau Agreed Disruption Damages) disemak kembali;

 Pada markah teknikal 38.62 dari 70 markah keseluruhan, George Kent berada di tempat ketiga tercorot dalam penilaian teknikal. Malah, di dalam laporan penuhnya, Perunding Halcrow dengan secara jelas menyatakan bahawa ia tidak yakin Konsortium George Kent boleh melaksanakan projek itu.

Kesemua fakta ini adalah fakta yang sah dan diangkat ke peringkat tertinggi Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan yang dipengerusikan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri. Saya telah disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan dokumen yang sah ini.

Oleh itu, pembohongan yang dibuat oleh George Kent bahawa ia telah lulus semua penilaian dan mematuhi syarata-syarat menghina semua proses dan prosedur yang digunapakai di dalam sistem perolehan negara. Ia juga membayangkan bahawa proses dan prosedur ini tidaklah berfungsi dan berkesan sehingga ia langsung tidak dihormati oleh pembida.

Lebih merunsingkan, ia membayangkan ‘lesen besar’ yang dipunyai oleh George Kent untuk membuat kenyataan yang sewenang-wenangnya membelakangkan keputusan Kumpulan Prasarana. Ini menimbulkan persoalan dimanakah kemampuan Prasarana kelak untuk memantau dan memastikan George Kent akan mematuhi semua syarat dan jadual kerja seperti yang dipersetujui, apabila belum pun kerja-kerja bermula George Kent dengan bongkaknya membohongi keputusan bidaan yang diangkat oleh Prasarana.

Saya yakin kebongkakan George Kent ini berpunca dari sokongan padu Dato’ Seri Najib kepada syarikat itu. George Kent tahu mereka kini sudah kebal dari undang-undang kerana dilindungi sepenuhnya oleh Perdana Menteri, sebab itulah mereka tidak segan silu berbohong walaupun ada fakta dan bukti yang sahih.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
3 OGOS 2012

Skandal George Kent-LRT Ampang: Suruhanjaya Diraja Untuk Menyiasat Salahguna Kuasa Perdana Menteri

Anugerah kontrak bernilai RM1.1 bilion kepada Konsortium George Kent bagi pembinaan tambahan laluan LRT Ampang mengesahkan campur tangan dan salahguna kuasa Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti yang didedahkan sebelum ini.

Sehingga kini, beliau tidak menafikan bahawa:

1. Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan dalam mesyuarat bilangan 1/2012 telah memutuskan bahawa Konsortium Balfour-Beatty adalah pembida terbaik dari segi harga dan kepakaran teknikal;

2. Jawatankuasa yang sama dan dipengerusikan beliau dalam mesyuarat bilangan 5/2012 telah membatalkan keputusan tersebut dan melantik Konsortium George Kent, walaupun pembida itu diputuskan tidak layak oleh penilai pakar kerana markah penilaian teknikal antara yang tercorot;

3. Daripada 8 pembida, 3 pembida adalah syarikat yang ditunjangi oleh Thales, sebuah syarikat besar dari Perancis yang sebelum ini dikaitkan dengan dakwaan merasuah Dato’ Seri Najib dan sekutu kanan beliau; dan

4. Pemilik George Kent dilaporkan sebagai seorang kenalan rapat Dato’ Seri Najib.

Fakta-fakta yang tidak dinafikan ini secara jelas menunjukkan ada unsur-unsur salahguna kuasa dan penyelewengan apabila syarikat milik rakan karib Dato’ Seri Najib dianugerahkan kontrak besar walaupun tidak mempunyai pengalaman atau kepakaran.

Walaupun saya telah membuat laporan polis dan saya sendiri telah disiasat polis, itu tidak mempunyai apa-apa kesan kepada keputusan yang akan melibatkan nyawa jutaan rakyat dan berbilion ringgit wang rakyat. Jelas sekali bahawa pihak polis dan SPRM tidak berkuasa untuk menyiasat Dato’ Seri Najib sehinggakan anugerah kontrak tersebut terus dibuat tanpa mengira kemarahan rakyat.

Mengambil kira kegagalan pihak polis menyekat perlakuan salahguna kuasa di peringkat tertinggi kerajaan ini, saya mendesak supaya sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat peranan dan campur tangan Dato’ Seri Najib di dalam penganugerahan kontrak tersebut kepada rakan karibnya.

Lebih-lebih lagi apabila ada beberapa persoalan besar mengenai kepentingan awam yang berkait dengan kes ini:

1. Campur tangan Dato’ Seri Najib di dalam proses perolehan projek-projek negara menggambarkan kroniknya amalan rasuah dan salah gunakuasa di peringkat tertinggi negara;

2. Kemungkinan wujudnya campur tangan Dato’ Seri Najib di dalam institusi-institusi negara seperti Kamar Peguam Negara, Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia apabila individu yang terlibat mendedahkan skandal beliau terus dihadapkan ke mahkamah kurang 24 jam dari pengumuman anugerah kontrak kepada George Kent;

3. Persoalan mengenai hubungan Dato’ Seri Najib dengan Thales yang didakwa terlibat dengan penjualan dokumen sulit pertahanan negara membayangkan penglubatan pimpinan tertinggi negara dalam kegiatan yang mengkhianati negara.

Persoalan dan tuduhan-tuduhan ini hanya boleh dirungkai melalui sebuah Suruhanjaya Diraja yang mempunyai kuasa penuh menyiasat seorang Perdana Menteri.

Jika Dato’ Seri Najib yakin beliau tidak bersalah, beliau tidak perlu gentar untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat semua dakwaan ini.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
2 OGOS 2012

‘Letter Of Intent’ Telah Dikeluarkan Oleh Prasarana

Saya merujuk kepada cubaan Dato’ Shahril Mokhtar untuk menimbulkan keraguan atas kesahihan dokumen-dokumen rasmi Kementerian Kewangan yang membuktikan bahawa George Kent telah dianugerahkan projek tambahan LRT Ampang yang bernilai lebih RM1 bilion.

Beliau membuat kenyataan kepada media yang mempersoalkan kesahihan dokumen-dokumen itu, atas alasan surat lantikan (“letter of award”) masih belum dikeluarkan oleh Prasarana.

Kenyataan beliau itu sudah tentu bercanggah dengan pendirian dan tindakan Kementerian Kewangan yang membuat laporan polis berikutan pendedahan dokumen-dokumen tersebut, agar ia disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Malah, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah pun menubuhkan pasukan siasatan di peringkat tertinggi untuk menyiasat kebocoran dokumen-dokumen rasmi tersebut.

Ekoran laporan polis oleh Kementerian Kewangan dan tindak serta-merta polis, pada petang ini saya telah diarahkan untuk memberi keterangan dalam siasatan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Kenyataan saya akan direkodkan di Balai Polis Tropicana pada jam 3 petang ini gara-gara tindakan saya mendedahkan dokumen-dokumen tersebut.

Jika betul dokumen tersebut adalah palsu seperti yang didakwa oleh Dato’ Shahril Mokhtar, adalah satu pembaziran wang rakyat dan masa saya jika siasatan ini diteruskan.

Hakikatnya, dokumen-dokumen tersebut adalah benar dan sehingga kini tidak dinafikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak atau mana-mana pegawai tinggi kerajaan.

Jawatankuasa tertinggi perolehan kerajaan yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak telah bersetuju menganugerahkan projek tersebut kepada George Kent dan telah mengarahkan Prasarana melaksanakan dokumen penganugerahan kontrak kepada George Kent.

Oleh sebab itu, saya berani menyatakan berdasarkan maklumat dalaman yang dimaklumkan kepada saya bahawa surat menyatakan hasrat untuk menganugerahkan kontrak kepada George Kent (“letter of intent” atau LOI) telah pun dikeluarkan oleh Prasarana.

Maka, kenyataan Dato’ Shahril Mokhtar itu adalah cubaan mengabui rakyat dengan berselindung di sebalik proses anugerah tender dengan menyebut surat lantikan (“letter of award”) belum dikeluarkan.

Saya mempunyai dokumen yang boleh membuktikan bahawa George Kent sedang ligat menyusun sub-kontraktor dan berunding dengan pelbagai pihak untuk melaksanakan projek tersebut atas dasar LOI yang telah dikeluarkan Prasarana kepadanya.

Saya juga dimaklumkan oleh sumber dalaman bahawa Prasarana tetap mengeluarkan LOI walaupun tindakan itu melanggar syarat-syarat bidaan kontrak yang ditetapkan pada awalnya.

Semua ini adalah dakwaan yang berat terhadap Prasarana di bawah kepimpinan Dato’ Shahril Mokhtar.

Oleh itu, saya menyeru supaya beliau menumpukan kepada usaha mentadbir projek-projek dan operasi Prasarana dengan lebih berkesan, bukannya menjadi jurucakap kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak yang sehingga kini masih membisu.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
13 JULAI 2012

Pembabitan Thales Dalam 3 Bidaan Membayangkan Tangan Perdana Menteri

Projek tambahan LRT Ampang yang bernilai lebih RM1 bilion menyenaraipendek 8 pembida yang dinilai dari segi keupayaan teknikal dan kewangannya.

Hari ini, KEADILAN mendedahkan kelapan-lapan pembida tersebut berdasarkan laporan penuh penilaian teknikal yang dibuat oleh perunding Halcrow yang dilantik oleh kerajaan, seperti berikut:

1. Balfour Beatty-Invensys
2. Emrail/Leighton/Ansaldo
3. Siemens
4. Samsung-LG-Thales
5. George Kent-Wijet-Thales
6. Colas-CMC-Thales
7. Posco-Sojits-Daewoo
8. SNC-WW-Bombardier

(muka surat 1 dan 2 dari laporan penuh itu disertakan bersama)

Thales adalah syarikat Perancis yang kini disiasat oleh pihak berkuasa negara tersebut atas tuduhan membayar rasuah kepada pihak-pihak tertentu yang rapat dengan Kerajaan Malaysia dan bekas Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam urusan pembelian dua buah kapal selam Scorpene.

Setakat ini, dokumen-dokumen yang dikemukakan di mahkamah Perancis menunjukkan bahawa syarikat itu telah membuat sekurang-kurangnya satu pembayaran berjumlah Euro 32 juta (bersamaan RM144 juta) kepada Terasasi, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Abdul Razak Baginda, iaitu penasihat kanan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Kehadiran Thales sebagai syarikat utama dalam 3 konsortium pembida bagi projek tambahan LRT Ampang ini sudah tentu menimbulkan pelbagai persoalan baru mengenai hubungan rapatnya dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Daripada senarai pembida, tidak ada satu syarikat pembekal teknologi pengangkutan lain yang dibenarkan menghantar lebih dari satu bidaan, kecualilah Thales. Ini adalah perkara lazim di dalam amalan kontrak yang baik untuk memastikan setiap pembida mempunyai peluang yang sama rata.

Oleh sebab itu, keputusan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak membenarkan Thales menyertai 3 bidaan, sekaligus memberikannya 3 kali ganda peluang untuk mendapatkan kontrak ini, membayangkan hubungan yang rapat di antara Dato’ Seri Najib Tun Razak dan syarikat ini yang terjalin sejak pembelian Scorpene lagi.

Maka tidak hairanlah jika konsortium George Kent-Wijet-Thales diberikan kontrak ini walaupun penilaian bidaan meletakkan mereka antara yang tercorot kerana sejarah hubungan rapat di antara Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan mereka. Pemilik George Kent adalah rakan karib Dato’ Seri Najib Tun Razak yang sering menghabiskan masa bermain golf bersama; sementara Thales pula adalah syarikat yang disabitkan dengan pembayaran komisen kepada pihak-pihak yang rapat dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Saya menganggap campur tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang membenarkan Thales menjadi pembida dalam 3 konsortium, termasuk arahan Prasarana bertarikh 17 Jun 2011 yang mengarahkan penilaian tetap dibuat terhadap semua pembida walaupun Konsortium George Kent-Wijet-Thales telah jelas gagal (rujuk perenggan 3 mukasurat 1 laporan teknikal), adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
13 JULAI 2012