Category Archives: Reformasi

Sekat Kakitangan Dan Pengurusan PETRONAS Dari Semenanjung Bukan Jawapan Kepada Barisan Nasional Mungkir Janji

Saya membaca laporan-laporan mengenai tuntutan supaya lebih ramai kakitangan PETRONAS yang berasal dari Sarawak diberikan tempat dalam pengurusan dan lebih banyak jawatan dikhaskan secara kuota kepada penduduk Sarawak. Saya juga sedia maklum dengan cadangan YB Chong Chin Jien, Ahli Parlimen Kuching yang mencadangkan supaya Kerajaan Sarawak menggunakan kuasa imigresennya untuk menyekat kakitangan dan pengurusan PETRONAS yang bukan dari Sarawak dari masuk ke negeri itu.

Saya adalah sebahagian dari keluarga PETRONAS sejak berumur 17 tahun hinggalah saya meninggalkan syarikat kebanggaan negara itu hampir 10 tahun yang lalu bila mana kontrak perkhidmatan seperti perjanjian penajaan pendidikan hampir tamat. Sepanjang perkhidmatan saya dengan PETRONAS, saya pernah terlibat dengan pengurusan Perniagaan Petrokimia (yang mempunyai anak syarikat di Sarawak) dan pengurusan PETRONAS Carigali (yang mempunyai operasi yang besar di Sarawak).

Sedang saya memahami sentimen sebahagian besar rakyat Sarawak yang merasakan bahawa kekayaan negeri mereka tidak dikongsi sama rata, saya juga ingin mengajak ahli-ahli politik dan rakyat Sarawak untuk memfokuskan bantahan dan kritikan kepada punca sebenar masalah ini iaitu Kerajaan Persekutuan. Tindakan menyalahkan PETRONAS bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah malah pada pendapat saya bertentangan dengan kebajikan kakitangan eksekutif PETRONAS yang berasal dari Sarawak sendiri.

Kakitangan eksekutif PETRONAS diambil bekerja oleh ibupejabat PETRONAS dan kemudiannya ditugaskan ke unit-unit dan anak-anak syarikat di seluruh dunia. PETRONAS mempunyai operasi besar yang meliputi huluan (upstream), gas dan LNG, loji penapisan dan petrokimia, operasi hiliran (downstream) yang lain, pemasaran, perdagangan antarabangsa dan sebagainya. Operasi yang besar dan kejayaan PETRONAS sebagai satu-satunya syarikat Fortune500 (500 syarikat terbesar di dunia) dari Malaysia membolehkan kakitangan PETRONAS dibentuk dan dilatih melalui pelbagai pengalaman dan kemahiran dari pelbagai operasi. Itu menjadi keistimewaan yang hanya dinikmati oleh kakitangan PETRONAS dan menjadikan mereka mempunyai daya bolehpasar (“marketability”) yang lebih baik berbanding syarikat lain.

Dari pelbagai operasi yang saya sebutkan di atas, bukan semuanya ada di Sarawak. Operasi PETRONAS di Sarawam hanya meliputi operasi huluan (upstream) di luar pantai dan berpusat di Miri serta kompleks LNG dan loji urea di Bintulu.

Sebab itu pada pendapat saya, mengenakan kuota agar jawatan pengurusan bagi operasi PETRONAS di Sarawak dikhususkan hanya untuk orang Sarawak sebenarnya tidak baik untuk kakitangan tersebut kerana perkembangan dan kemajuan kerjaya mereka akan terbantut di situ. Apabila mereka naik pangkat kerana kuota dan bertumpu kepada operasi di Sarawak sahaja, mereka akan menghadapi kesukaran untuk beralih jawatan dan pengalaman pada peringkat pengurusan yang sama di bidang-bidang lain.

Kesan ialah kakitangan PETRONAS dari Sarawak mendapat insentif jangka pendek untuk naik pangkat cepat dengan berebut jawatan pengurusan di Sarawak tetapi rugi jangka panjang kerana tidak cukup luas pengalaman untuk menaiki tangga kerjaya di peringkat kumpulan PETRONAS yang lebih besar dan mencabar. Akhirnya, kita bakal berhadapan dengan satu lagi masalah baru iaitu rungutan pengurusan peringkat tertinggi kumpulan PETRONAS ketandusan kakitangan yang berasal dari Sarawak.

Sebab itu pada pendapat saya, konglomerat bertaraf dunia seperti PETRONAS yang telah terbukti menjadi tulang belakang negara perlu dilindungi dari campur tangan politik dan menjadi bola sepak permainan politik. Mandat yang diberikan kepada PETRONAS ialah untuk mendapatkan nilai yang terbaik dari setiap molekul hidrokarbon yang ada di negara ini dan itu hanya boleh dicapai sekiranya PETRONAS beroperasi sepenuhnya mengikut pertimbangan komersil dan profesional.

Soal ketidakadilan perkongsian hasil minyak Sarawak sewajarnya dirundingkan dengan Kerajaan Persekutuan yang diketuai Dato’ Seri Najib Tun Razak.

PETRONAS tertakluk kepada undang-undang dan jumlah royalti serta syarat-syarat lain yang ditetapkan dan digubal Kerajaan Persekutuan. Tugas PETRONAS ialah memulangkan hasil minyak negara pada nilai keuntungan yang terbauk kepada Kerajaan Persekutuan. Keputusan membelanjakannya secara adil adalah keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebab itu juga saya telah berkali-kali mencadangkan supaya Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak masing-masing menubuhkan PetroSabah dan PetroSarawak untuk menjadi dua syarikat minyak yang boleh dibantu oleh PETRONAS untuk membangun bertaraf dunia. Rakyat Sarawak dan rakyat Sabah akan lebih beruntung jika mereka dibantu oleh PETRONAS dari segi kepakaran dan kemahiran supaya PetroSarawak dan PetroSabah boleh bersaing di luar negara. Keputusan pengurusan dan pengambilan pekerja PetroSarawak dan PetroSabah adalah keputusan komersil pengurusannya yang dilantik oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah.

Tetapi idea saya ini tidak pun dipandang oleh mana-mana pimpinan Sarawak dan Sabah baik dari Barisan Nasional atau Pakatan Harapan. Sebaliknya kadang-kadang saya melihat mereka berlumba-lumba memukul institusi lain yang dilihat dari Semenanjung, sedangkan yang sepatutnya dipukul ialah Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menabur janji mengenai autonomi tetapi nampaknya enggan ditunaikan.

Adalah lebih baik menyekat Dato’ Seri Najib Tun Razak dari masuk Sarawak dari menyalahkan PETRONAS. Ia juga satu langkah menyelamatkan rakyat Sarawak dari pelbagai janji-janji pilihanraya yang tidak ikhlas seperti yang berlaku baru-baru ini.

Rafizi Ramli adalah pengurus termuda pernah dilantik di PETRONAS pada umur 25 tahun. Beliau juga adalah pengurus kanan termuda pernah dilantik pada umur 27 tahun. Berkelulusan kejuruteraan elektrik dan elektronik serta ditauliahkan sebagai akauntan bertauliah oleh Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), beliau pernah bertugas di loji petrokimia, ibupejabat korporat dan Carigali.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Laporan Kepada SPRM Dan Nasihat Anwar Ibrahim Supaya Kembali Kepada Matlamat Reformasi

052616 Reformasi-01

Saya ucapkan terima kasih atas maklumbalas yang diberikan oleh pelbagai pihak sejak teguran saya di dalam kumpulan whatsapp “Solidarity for Anwar” dibocorkan dan menjadi isu politik hangat. Ada yang mengkritik, ada yang menyokong, ada yang bimbang, ada yang memfitnah, ada yang ambil kesempatan. Saya terima semua maklumbalas ini dengan berlapang dada kerana ia gambaran masyarakat kita yang rencam.

Ada satu pandangan dari kalangan pendokong parti dan rakyat terbanyak yang bimbang bahawa perkara ini akan melemahkan parti. Ada yang lebih kasar dan menuduh saya sudah dibeli oleh Dato’ Seri Zahid Hamidi dan Umno untuk mensabotaj parti demi melepaskan diri dari pelbagai dakwaan di mahkamah yang saya sedang hadapi.

Oleh sebab itulah saya menyerahkan dulu kepada keputusan Presiden dan Biro Politik untuk menentukan sama ada saya boleh melaporkan aduan salahlaku terus kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Keputusan itu saya buat dengan mengambil kira rencam pandangan mengenai isu ini dan jika tidak berhati-hati, niat baik saya untuk saling ingat mengingati akan bertukar menjadi polemik politik yang boleh merenggangkan lagi kebersamaan di dalam parti.

Makanya saya berharap rakyat memahami bahawa sedang komitmen saya kepada pencegahan rasuah adalah tidak berbelah bagi baik di dalam atau luar parti; saya juga perlu sensitif kepada adu domba politik yang boleh mengeruhkan keadaan.

Alhamdulillah Presiden parti, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Biro Politik membuat keputusan yang tepat seperti yang saya yakini dari awal. Presiden bersama-sama Biro Politik mengarahkan bahawa saya membawa terus semua aduan yang saya perolehi sekarang ke SPRM agar siasatan telus boleh dimulakan. Saya memilih untuk tidak hadir dalam mesyuarat Selasa lepas kerana saya adalah pihak yang berkepentingan (“interested party”) dan lebih wajar sekiranya keputusan Biro Politik dibuat tanpa dipengaruhi oleh saya sendiri.

Saya bersyukur dan berbangga menjadi anggota KEADILAN sejak hari pertama parti ini ditubuhkan apabila saya dimaklumkan keputusan itu. Keputusan Presiden dan Biro Politik minggu ini akan menjadi satu rujukan (“precedent”) selepas ini bahawa mana-mana anggota parti yang mempunyai maklumat salah laku atau penyelewengan melibatkan anggota parti atau pentadbiran yang membabitkan anggota parti boleh melaporkan terus ke SPRM atau pihak berkuasa tanpa perlu khuatir ia bakal dilihat sebagai tindakan mensabotaj parti.

Keputusan itu adalah hadiah terbaik kepada peringatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini supaya pimpinan dan anggota parti tidak menyimpang dari niat dan matlamat asal perjuangan reformasi.

Semasa reformasi tercetus dalam tahun 1998, saya adalah Pengerusi Majlis Tertinggi Pelajar Malaysia di UK (UKEC) iaitu gabungan pelajar Malaysia luar negara yang terbesar di dunia. Sebagai pimpinan pelajar pada ketika itu, saya terjun menyertai anak muda lain di jalanraya dengan matlamat yang jelas: reformasi adalah perubahan sistem yang meletakkan rakyat di atas; reformasi bukan solekan kepada sistem sedia ada, reformasi bukan penambahbaikan kepada sistem yang diamalkan Barisan Nasional. Reformasi bukan transformasi dan bukan deklarasi.

Di awal tercetusnya reformasi, ia berjaya meledakkan idea-idea yang sebelum itu ditolak mentah-mentah dan dilihat tidak sesuai di negara ini. Hasil reformasi, citra politik tanahair bertukar menjadi lebih terangkum (“inclusive”) apabila KEADILAN menjadi parti politik pelbagai kaum yang paling berjaya dan paling lama bertahan lantas merintis kepada kemungkinan sistem dua parti bertapak di Malaysia.

Reformasi meyakinkan aktivis-aktivis bahawa segala kekangan yang sebelum itu melumpuhkan gerakan pembangkang (dari media perdana yang dihamba-abdikan kepada undang-undang zalim seperti ISA dan Akta Polis yang menyekat perhimpunan aman) boleh dihancurkan jika ada penentangan yang berterusan, lalu lahirlah semangat #lawantetaplawan (walaupun pada awalnya hanya sebilangan kecil yang melawan dan kebarangkalian usaha mereka membuahkan apa-apa hasil adalah tipis).

Reformasi mengajak masyarakat membuat anjakan berfikir supaya tidak terus kekal dalam sistem berteraskan ketuanan dan fuedalisme yang diwarisi beratus tahun dan diperturunkan penjajah. Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah ahli politik Melayu pertama yang menyatakan bahawa kesesuaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah berakhir dan satu pendekatan membasmi kemiskinan dan menghapuskan kesenjangan “intra-“ dan “inter-“ kaum berasaskan keperluan diperlukan – tidak ada ahli politik sebelum beliau berani mengungkapkan itu secara terbuka.

Kerana reformasi yang saya kenali pada tahun 1998 bermula dengan perkara asas “bercakap benar walaupun dihadapan seorang raja”. Reformasi yang itu tidak meletakkan perkiraan menang kalah atau untung rugi sebagai asas membuat keputusan. Ia mengajar saya menzahirkan yang benar walaupun dicemuh oleh semua orang kerana membohongi atau membodohkan rakyat (tidak kiralah sebaik mana matlamat dan niat berbohong) itulah yang telah melahirkan Umno/Barisan Nasional dan segala penyakitnya hari ini.

Justeru, warkah dari Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan supaya KEADILAN tidak tersasar dari niat dan matlamat reformasi datang pada masa yang tepat. Saya khuatir apabila ada segelintir di dalam parti yang membicarakan soal kewajaran bercakap mengenai aduan salah laku di dalam parti; bicara itu
lebih rancak
dari bicara keperluan memastikan tidak ada kelemahan yang menyebabkan salah laku berlaku.

Saya khuatir apabila segelintir rakyat mengeluh mengenai kemahuan mereka agar pembangkang nampak bersatu agar lebih diyakini berbanding Barisan Nasional; keluhan itu
lebih kuat
dari desakan mereka agar kerajaan-kerajaan Pakatan Harapan perlu lebih ke depan membawa tata kelola dan urus tadbir yang lebih telus dan berkesan.

Saya ingat di awal reformasi dahulu, saya mula memahami erti “kuasa itu membutakan” (“power corrupts”). Tidak ada sistem yang boleh menjamin tidak berlakunya penyelewengan dan salah laku tidak kira dari parti mana kerana bila berdepan dengan kuasa dan wang, nafsu manusia adalah berbeza.

Namun yang membezakan reformasi dari sistem kerajaan yang diamalkan oleh Barisan Nasional ialah bagaimana salah laku ditangani.

Barisan Nasional menyembunyikan salah laku, reformasi terbuka mendedahkan salah laku.

Barisan Nasional tidak peka kepada rasuah, reformasi cukup peka kepada bagaimana satu sen wang rakyat dibelanjakan.

Barisan Nasional menyalahgunakan institusi untuk melindungi penyelewengan, reformasi mempertahankan kebebasan institusi agar penyelewengan dapat dihentikan dan dihukum.

Barisan Nasional memberi dalih untuk tidak mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang kekayaannya tidak padan dengan gaji, reformasi meletakkan piawai yang lebih tinggi bahawa seorang penjawat awam itu perlu menjawab kepada rakyat walaupun beliau mungkin tidak dikira memakan rasuah di sisi undang-undang.

Saya menarik nafas lega kerana disebalik rebut-ribut di dalam cawan minggu ini, saya yakin semangat dan matlamat reformasi masih segar dan semakin kukuh di dalam KEADILAN. Kalau dulu kita diuji dengan susah payah dan tekanan untuk menilai kecekalan kita, kini kita diuji dengan harta dan kuasa untuk menilai keikhlasan kita.

Oleh yang demikian, suka saya memaklumkan kepada semua (termasuklah rakan-rakan Umno/Barisan Nasional yang seperti kadok naik junjung mendesak yang membuat laporan SPRM sedang mereka menikus mengenai 1MDB dan pelbagai skandal lain) bahawa saya akan membuat laporan SPRM mengenai aduan salah laku (yang saya rujuk di dalam whatsapp yang dibocorkan) pada hari Isnin 30 Mei 2016 jam 1130 pagi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Keputusan Mahkamah Rayuan Benarkan Kerajaan Saman Rakyat: Ketua Menteri Sarawak Perlu Tarik Balik Tindakan Undang-Undang Terhadap YB Chong Chien Jien, Pertimbang Pindaan Undang-Undang Sekat Kerajaan Saman Rakyat

Saman Rakyat-01

Saya merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu di dalam kes yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Sarawak terhadap Ahli Parlimen Bandar Kuching/ADUN Kota Sentosa YB Chong Chien Jien.

Keputusan majoriti dua orang hakim Mahkamah Rayuan iaitu Dato’ Abdul Rahman Sebli dan Dato’ Zamani Abdul Rahim (seorang lagi hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk David Wong Dak Wah tidak bersetuju dengan keputusan itu) telah membenarkan Kerajaan Negeri Sarawak mengambil tindakan saman malu (iaitu tindakan undang-undang sivil) terhadap YB Chong Chien Jien walaupun secara umumnya di seluruh dunia, prinsip undang-undang yang diamalkan tidak membenarkan kerajaan menyaman seorang rakyat.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu mengundang risiko besar kepada setiap rakyat Malaysia kerana ia memberi kuasa kepada kerajaan (sama ada kementerian, jabatan, agensi, menteri dalam kapasiti rasmi malah majlis-majlis daerah atau pihak berkuasa tempatan) untuk menggunakan wang rakyat yang dikutip melalui cukai untuk menyaman rakyat sendiri apabila ada perkara yang ditimbulkan oleh rakyat mengenai kerajaan yang tidak dipersetujui oleh kerajaan.

Secara umumnya, prinsip bahawa kerajaan tidak dibenarkan menyaman rakyat sendiri telah diputuskan melalui undang-undang “common law” yang diamalkan di United Kingdom. Ia bertepatan dengan prinsip keadilan sejagat (“universal justice values”) seperti berikut:

1. Rakyat memilih kerajaan dan membayar cukai untuk membolehkan kerajaan berfungsi. Rakyat adalah majikan kepada kerajaan;

2. Kerajaan menyediakan perkhidmatan kepada rakyat menggunakan cukai yang dikutip daripada rakyat. Maka sebagai majikan dan juga pelanggan kepada perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan, rakyat berhak untuk memberi maklumbalas (baik dalam bentuk pujian, kritikan, aduan, komen dan lain-lain) mengenai perkhidmatan yang disediakan kerajaan kerana perkhidmatan itu dibiayai oleh duit rakyat;

3. Jika rakyat tidak berpuas hati dan memberi kritikan atau aduan yang tidak disukai oleh kerajaan, adalah tidak adil untuk kerajaan menggunakan wang rakyat (apabila mengambil tindakan saman dalam kapasiti rasmi bukan kapasiti peribadi) untuk menyaman rakyat yang memberi kritikan.

Prinsip di atas ditegaskan di dalam keputusan House of Lords di United Kingdom di dalam kes ternama iaitu tindakan saman oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) Derbyshire County Council yang mengambil tindakan saman terhadap akhbar Times Newspapers. Dalam menegaskan bahawa kerajaan pusat atau mana-mana kerajaan tempatan tidak boleh menyaman rakyat yang mengkritik, House of Lords mengulangi kepentingan melindungi hak rakyat mengkritik kerajaan seperti berikut:

“It was of the highest public importance that a democratically-elected government body should be open to uninhibited public criticism, and since the threat of civil actions for defamation would place an undesirable fetter on the freedom to express such criticism, it would be contrary to the public for institutions of central or local government to have any right at common law to maintain an action for damages for defamation.”

“Adalah menjadi keutamaan terpenting bahawa sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik perlulah terbuka kepada kritikan awam yang tidak dihadkan; dan oleh kerana tindakan saman malu oleh kerajaan akan menyekat kebebasan mengkritik kerajaan, adalah bertentangan dengan kepentingan awam sekiranya badan-badan kerajaan pusat atau kerajaan tempatan diberikan hak di sisi undang-undang untuk mengambil tindakan saman malu terhadap orang awam.”

Jika keputusan Mahkamah Rayuan ini kekal dan tidak dicabar di Mahkamah Persekutuan, ia akan membawa kesan buruk kepada rakyat dan negara. Selain dari ahli-ahli parlimen, tokoh NGO dan akademik yang akan disaman menggunakan duit rakyat bila mana pendapat mereka tidak disenangi Umno/Barisan Nasional, rakyat biasa pun sebenarnya akan menjadi mangsa. Contohnya, jika seorang penduduk mengadu di media televisyen, internet atau mana-mana media bahawa khidmat kutipan sampah di kawasan perumahan beliau tidak memuaskan, majlis perbandaran di kawasan itu boleh menyaman penduduk tersebut.

Saya sangat-sangat bimbang jika perkara ini tidak diperbetulkan ia akan menjadi senjata menutup mulut rakyat keseluruhannya.

Oleh yang demikian, saya akan memantau kes ini dengan dekat untuk memastikan ia tidak kekal menjadi undang-undang yang akan disalahgunakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak. Saya akan mengambil tindakan-tindakan berikut:

i. Saya berharap YB Chong Chien Jien yang disaman dan menjadi defendan kes ini akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan minggu lepas

ii. Apabila kes ini sudah sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan, saya menyeru Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak membuktikan bahawa beliau berbeza dari pimpinan Umno/Barisan Nasional yang lain dengan mengarahkan supaya Kerajaan Sarawak menghentikan tindakan asal yang menyaman YB Chong Chien Jien. Ini membolehkan supaya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan

iii. Saya akan membawa perkara ini kepada panel ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan yang merupakan pengamal undang-undang seperti YB Sivarasa Rasiah (Subang), YB Hanipa Maidin (Sepang), YB Gobind Singh Deo (Puchong), YB Gooi Hsiao Leoung (Alor Setar), YB Manivannan Gowin (Kapar), YB Wong Chen (Kelana Jaya), YB Darell Leiking (Penampang) dan lain-lain untuk menyemak undang-undang sedia ada dan mempertimbangkan satu Rang Undang-undang Persendirian difailkan dalam sidang Mei 2016 khusus untuk menyekat kerajaan dari mendapat hak menyaman rakyat.

Saya menyeru semua rakyat Malaysia agar tidak mengambil mudah sebarang perubahan undang-undang, keputusan atau tindakan yang boleh disalahgunakan untuk menyekat hak kita mengkritik kerajaan terutamanya dalam keadaan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak terdesak menutup skandal 1MDB dengan apa cara sekalipun.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Muafakat Selamatkan Malaysia Di Padang MPAJ, Pandan Indah Pada Hari Isnin, 28 Mac 2016 8 Malam

Pakatan Harapan akan memulakan siri perhimpunan “Muafakat Selamatkan Malaysia” di setiap negeri bermula dengan Lembah Klang pada hari Isnin, 28 Mac 2016 bermula jam 8 malam di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah.

IMG_5355

Muafakat Selamatkan Malaysia pada 28 Mac 2016 ini adalah penting kerana ia adalah perhimpunan umum di luar dewan yang pertama sejak peristiwa Deklarasi Rakyat ditandatangani. Berbeza dengan acara Kongres Rakyat pada 27 Mac 2016 yang berbentuk tertutup dan hanya 1,500 orang jemputan dibenarkan hadir, Muafakat Selamatkan Malaysia mengumpulkan semua pimpinan dan aktivis pelbagai latar belakang dan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk turun menzahirkan desakan agar Dato’ Seri Najib Tun Razak berundur.

Jumlah kehadiran pada malam Isnin 28 Mac 2016 sudah tentu menjadi perhatian utama rakyat dan penganalisa politik tanahair. Jika kehadirannya adalah besar melebihi 5,000 orang (pada malam Isnin iaitu hari bekerja), ia mengesahkan bahawa kemarahan kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak boleh diterjemahkan kepada gerakan protes yang akan menjadi semakin besar dari sehari ke sehari. Sebaliknya jika jumlah kehadirannya kecil, ia mengesahkan bahawa rakyat umumnya letih (“political fatigue”) dengan segala isu politik yang berpanjangan.

Sekretariat Penganjur mengesahkan bahawa pihak polis (melalui Ibupejabat Polis Daerah Ampang Jaya) telah dimaklumkan mengikut kehendak Akta Perhimpunan Aman. Sebanyak 400 kain rentang telah dipasang di seluruh Lembah Klang dan 50,000 risalah dicetak untuk diedarkan.

Berikut ialah maklumat-maklumat penting yang perlu diketahui orang ramai yang ingin menyertai Muafakat Selamatkan Malaysia pada 28 Mac 2016 kelak:

i. Lokasi
Muafakat Selamatkan Malaysia akan diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jalan Pandan Utama, Pandan Indah 55100 Kuala Lumpur.

Orang ramai digalakkan menggunakan LRT. Stesen LRT terdekat ialah STAR LRT Pandan Indah. Petugas Sekretariat akan berada di sepanjang jalan di antara STAR LRT ke Padang MPAJ untuk memberikan panduan arah kepada orang ramai yang hadir.

Bagi orang ramai yang memandu, lebuhraya terdekat ialah Jalan Lingkaran Tengah II (Middle Ring Road II). Jika anda memandu dari arah utara (Gombak) ke selatan (Sungai Besi), ambil MRRII dan keluar di persimpangan Jalan Pandan Utama (papan tanda Mahkamah Ampang, Hospital Ampang dan Menara MPAJ). Jika anda memandu dari arah selatan (Sungai Besi) ke arah utara (Gombak), ambil MRRII dan buat satu pusingan-U selepas Tesco Ampang, kemudian keluar di persimpangan Jalan Pandan Utama.

Kawasan-kawasan yang disediakan untuk parkir akan diumumkan pada hari Sabtu, 26 Mac 2016. Sekretariat Penganjur menyediakan 50 orang pembantu trafik untuk membantu parkir.

Orang ramai digalakkan hadir seawal mungkin memandangkan kemungkinan trafik yang sesak.

ii. Masa dan Acara
Program akan dimulakan tepat jam 8 malam dan dihentikan selewat-lewatnya 1130 malam. Sekretariat Penganjur telah menghantar surat kepada Prasarana Malaysia untuk melanjutkan tempoh masa operasi keseluruhan LRT sehingga 1230 malam pada hari itu.

Acara akan diselang selikan dengan ucapan pendek pimpinan/tokoh/aktivis, nyanyian, sajak dan video ke arah kemuncak ucapan-ucapan pimpinan utama menjelang jam 1045 malam.

iii. Lagu Tema
Saudari Wan Aishah Wan Ariffin (Aishah) akan mendendangkan satu lagu patriotik yang disusun semula khas untuk Muafakat Selamatkan Malaysia. Satu lagu baru akan dilancarkan kemudian sebagai “single” bersama-sama dengan lagu patriotik ini dan dijual kepada orang ramai.

iv. Kehadiran pimpinan
Jemputan telah dihantar kepada pimpinan politik dari Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan PAS. Jemputan juga dihantar kepada aktivis reformasi, penggiat media, sasterawan, pimpinan NGO dan lain-lain. Senarai penuh kehadiran akan diedarkan kepada media dan orang ramai pada hari Ahad, 27 Mac 2016.

v. Keselamatan dan Petugas
Selain dari 50 pembantu trafik, kelancaran dan keselamatan program akan dibantu oleh 100 orang petugas dari Skuad AMK, ARIF dan sukarelawan dari Pandan.

Saya menyeru seberapa ramai rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan bersetuju dengan misi Selamatkan Malaysia untuk turun beramai-ramai menyertai Muafakat Selamatkan Malaysia di Padang MPAJ, Pandan Indah pada 28 Mac 2016 ini. Moga ia menjadi pencetus kepada gelombang kebangkitan rakyat yang boleh menyedarkan Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa masa untuk beliau berundur sudah sampai.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kempen Besar-Besaran Halang Cadangan Pindaan Akta Rahsia Rasmi Menutup Penyelewengan Kerajaan

Kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali yang berhasrat meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 dengan mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara seumur hidup dan sebatan sewajarnya dicemuh oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran. Satu lagi unsur penindasan yang dicadangkan oleh beliau ialah untuk mendakwa mana-mana wartawan dan editor berita yang menerbitkan berita berkenaan maklumat yang bocor.

Beliau mengusulkan pindaan ini pada ketika kredibiliti beliau sebagai Peguam Negara berada pada tahap yang paling rendah ekoran keputusannya menutup siasatan terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkenaan wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri. Sudah tentu cadangan pindaan itu dilihat sebagai usaha lanjut untuk menutup sebarang pendedahan mengenai salahlaku atau penyelewengan kerajaan Barisan Nasional.

Sejak tujuh tahun lalu, pelbagai salahlaku penyelewengan dan rasuah telah didedahkan kepada orang ramai berikutan dokumen-dokumen yang bocor. Saya sendiri banyak mengendalikan pendedahan-pendedahan ini termasuklah skandal NFC, skandal 1MDB, pembelian jet mewah, penganugerahan kontrak LRT kepada George Kent oleh Perdana Menteri yang tidak mengikut saranan Jawatankuasa Perolehan dan bermacam-macam lagi.

Saya tahu bahawa kebocoran maklumat merupakan salah satu sebab utama imej Barisan Nasional jatuh merudum kerana selalu disabitkan dengan salahlaku rasuah dan penyelewengan. Walau bagaimana pun, punca kepada kebocoran maklumat ini ialah kerana gejala rasuah dan penyelewengan di peringkat pimpinan kerajaan yang terlampau sehingga menyebabkan mereka yang mengetahuinya mengambil risiko membocorkannya demi kepentingan umum.

Fenomena meningkatnya maklumat yang diberikan oleh pemberi maklumat (whistleblowers) juga menunjukkan kurangnya keyakinan mereka kepada kemampuan badan-badan penguatkuasa berlaku adil menyiasat penyelewengan tersebut secara bebas.

Sudah tentu Tan Sri Mohamad Apandi Ali sepatutnya insaf bahawa tindak tanduk beliau kebelakangan ini yang menutup semua kes yang bersabit Perdana Menteri adalah salah satu punca yang mendorong lebih banyak kebocoran maklumat kerana orang ramai sudah hilang keyakinan dengan kebebasan beliau sebagai Peguam Negara. Maka sepatutnya tindakan beliau ialah membuktikan bahawa beliau berani bertindak bebas dan adil, bukannya mengugut untuk mengetatkan lagi Akta Rahsia Rasmi 1972.

Cadangan beliau itu menggambarkan kecenderongan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang akan mengambil jalan kekerasan untuk menutup mulut pengkritik beliau. Kecenderongan ini tidak boleh dibiarkan dan perlu ditentang dari awal supaya cadangan pindaan ini dibatalkan serta merta.

Saya akan memulakan satu kempen di media sosial untuk mendapatkan sokongan seberapa ramai rakyat Malaysia untuk menolak cadangan pindaan ini dan menuntut Peguam Negara bertindak secara bebas, telus dan adil. Memandangkan cadangan pindaan ini adalah satu bentuk penindasan terhadap wartawan dan kebebasan media, saya percaya perkara ini akan menjadi isu di peringkat antarabangsa yang akan memburukkan lagi imej Dato’ Seri Najib Tun Razak di mata dunia.

Saya mengesyorkan supaya Tan Sri Mohamad Apandi Ali membatalkan hasratnya meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 sebelum beliau sendiri terjebak di dalam kebangkitan kemarahan rakyat yang kini disasarkan kepada Perdana Menteri.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN