Category Archives: Reformasi

Rundingan Jemaah Menteri Masih Berjalan Dan Belum Dimuktamadkan

Saya merujuk kepada pengumuman yang dibuat YAB Tun Mahathir Mohamad sebentar tadi mengenai perlantikan tiga portfolio kanan dalam kerajaan iaitu Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan.

Saya telah ditanya mengenai ketiadaan wakil KEADILAN di dalam mesyuarat dan semasa pengumuman perlantikan.

Saya ingin menjelaskan beberapa perkara yang menjadi latar belakang kepada pengumuman tersebut:

1. KEADILAN beranggapan perbincangan masih berjalan dan pengumuman yang dibuat tidak muktamad; dan

2. Sebarang keputusan mengenai apa-apa perlantikan mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti di dalam Pakatan Harapan.

YAB Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sedang dalam perjalanan untuk berbincang dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilisasi Cheras mengenai perlantikan-perlantikan ini.

KEADILAN yakin proses rundingan yang mengikuti semangat muafakat akan membantu mengukuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rundingan Jemaah Menteri Masih Berjalan Dan Belum Dimuktamadkan

Saya merujuk kepada pengumuman yang dibuat YAB Tun Mahathir Mohamad sebentar tadi mengenai perlantikan tiga portfolio kanan dalam kerajaan iaitu Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan.

Saya telah ditanya mengenai ketiadaan wakil KEADILAN di dalam mesyuarat dan semasa pengumuman perlantikan.

Saya ingin menjelaskan beberapa perkara yang menjadi latar belakang kepada pengumuman tersebut:

1. KEADILAN beranggapan perbincangan masih berjalan dan pengumuman yang dibuat tidak muktamad; dan

2. Sebarang keputusan mengenai apa-apa perlantikan mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti di dalam Pakatan Harapan.

YAB Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sedang dalam perjalanan untuk berbincang dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilisasi Cheras mengenai perlantikan-perlantikan ini.

KEADILAN yakin proses rundingan yang mengikuti semangat muafakat akan membantu mengukuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Muafakat Pakatan Harapan: Catatan Perunding

Dengan berlangsungnya Konvensyen PH hari ini, maka selesailah beberapa perkara yang selama ini sering menjadi punca perselisihan faham sesama rakan dalam pakatan-pakatan pembangkang sebelum ini.

Dua perkara utama yang menjadi risiko terbesar kesepaduan Pakatan (PH sekarang dan PR sebelum ini) adalah:

(i) agihan kerusi antara parti-parti

(ii) barisan kepimpinan jika menang PRU

Kedua-duanya saling berkait. Parti yang mendapat kerusi yang senang dimenangi dijangka akan lebih berpengaruh di dalam kerajaan yang dibentuk jika menang.

Sudah tentu isu yang paling besar juga ialah soal kepimpinan. Siapa yang akan jadi Perdana Menteri kerana budaya dan sistem kerajaan kita memusatkan terlalu banyak kuasa kepada Perdana Menteri. Maka, siapa yang dinamakan Perdana Menteri dilihat menjadi pemenang sebenar dalam PRU.

Akibatnya, mudah ada adu domba yang akhirnya memulakan bibit-bibit hasad dengki, tidak berpuas hati dan lain-lain.

Akan ada yang mahukan semua kerusi agar peluang parti itu untuk menentukan Perdana Menteri lebih tinggi. Lebih banyak kerusi, lebih banyak ahli parlimen, lebih tinggi peluang tentukan Perdana Menteri.

Akan ada yang tidak berpuas hati kerana mereka merasakan merekalah sumber sokongan rakyat kepada pakatan pembangkang. Ada yang merungut merekalah tulang belakang jentera, tanpa mereka parti rakan adalah parti nyamuk.

Maka, dua isu utama ini menjadi sumber kegagalan pakatan-pakatan pembangkang sebelum ini.

Apabila dua isu ini tidak diselesaikan hingga ke saat terakhir, tembak menembak di kalangan pimpinan dan penyokong parti-parti di dalam pakatan berterusan sehingga ke saat akhir.

Ini memualkan rakyat. Belum pun menang, sudah bergaduh mengenai ghanimah, kata mereka. Sudah tentu itu tidak adil (jika perselisihan di kalangan parti pembangkang dijadikan alasan untuk membenarkan rasuah, penyelewengan dan rompakan wang rakyat yang berlaku di bawah parti pemerintah ketika itu), tetapi rakyat adalah tuan. Mereka berhak memilih.

Di saat-saat akhir menjelang penamaan calon, ada parti mengumumkan sendiri bertanding di kerusi yang masih dirundingkan. Atau meletakkan calon mereka di kerusi yang dipersetujui telah diagihkan kepada parti rakan.

Dalam PRU13 semasa harapan rakyat menggunung, kedua-dua kelemahan ini menyebabkan kempen Pakatan Rakyat bermula dengan episod pil kuda, tembak menembak sesama rakan.

Semua ini pengalaman pahit. Kita sewajarnya belajar dari semua ini.

Rundingan yang memuktamadkan Muafakat Harapan pada hari ini berlangsung beberapa bulan dengan azam mengelakkan perkara ini berulang.

Rundingan akhir bermula sejurus selepas Majlis Presiden pada hari Khamis, 4 Januari 2018 bersetuju bahawa calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana boleh diumumkan semasa Konvensyen Pakatan Harapan pada hari ini, dengan syarat rundingan kerusi di peringkat Parlimen untuk Semenanjung selesai.

Ini bukan kerana KEADILAN atau PPBM atau DAP atau AMANAH mahu membolot kerusi, tetapi kita telah belajar dari kesilapan lalu.

Kalau mahu menang, kita kena kurangkan risiko kita menembak sesama sendiri agar peluru semuanya ditembak ke arah Najib dan Umno.

Rundingan bermula pada pagi hari Jumaat dan berterusan sehingga ke saat terakhir perjanjian dicapai, iaitu sekitar jam 8 malam semalam.

Rundingan pada hari pertama disertai oleh saya dan Sdri Nurul Izzah Anwar bagi pihak KEADILAN. Di hari kedua (Sabtu), rundingan kerusi yang bersambung disertai juga oleh Sdr Shamsul Iskandar Mat Akin.

Akhirnya persetujuan agihan kerusi Semenanjung iaitu 52 PPBM, 51 KEADILAN, 35 DAP dan 27 AMANAH dicapai sekitar jam 7 malam.

Menepati janji seperti yang diputuskan di dalam mesyuarat Majlis Presiden, keempat-empat presiden parti dan pengerusi Pakatan Harapan menandatangani perjanjian Muafakat Harapan sekitar jam 8 malam.

Saya berdoa supaya muafakat ini akan dapat membantu kita menewaskan Najib dalam beberapa bulan akan datang.

Rafizi Ramli

————————————————————————

Berikut adalah muafakat yang dirundingkan dan dipersetujui bersama:

MUAFAKAT PAKATAN HARAPAN

Rakyat Malaysia berhasrat menjadikan tanah air ini sebuah negara yang maju, stabil dan sejahtera. Mereka mengimpikan negara yang gemilang, utuh dan dihormati seantero dunia. Sejak Merdeka dan penubuhan Malaysia, pendiri bangsa telah mewariskan pedoman dan gagasan besarnya agar kita tidak tergelincir dari landasan tersebut.

Namun, mutakhir ini Malaysia berada dalam bahaya dan dilingkungi kebejatan tidak berkesudahan. Rasuah bermaharajalela, hutang negara menggunung, nilai ringgit susut dan hilang daya-saing, sedangkan rakyat terbeban dan menderita kerana harga barang serta kos perkhidmatan terus meningkat dalam keadaan pendapatan tidak mencukupi.

Justeru, menjadi keutamaan Pakatan Harapan menawarkan harapan baharu buat seluruh warganegara demi perjuangan membela rakyat dan membina semula Malaysia yang lebih baik.

MAKA, Pakatan Harapan bermuafakat dan bertekad untuk melaksanakan janji-janji berikut apabila Pakatan Harapan mendapat mandat rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihanraya Umum ke-14:

1. Membentuk sebuah kabinet berwibawa; gandingan yang berpengalaman, berkelayakan dan berkemampuan;

2. Menjadikan Parlimen sebagai sebuah institusi yang kukuh dan bebas; dan dipimpin oleh Yang di-Pertua yang adil dan berwibawa.

3. Mengambil langkah-langkah segera memulihkan ekonomi negara dan meringankan beban kos sara hidup rakyat. Antaranya menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menstabilkan harga petrol dan memberikan fokus utama kepada usaha menambah pendapatan rakyat;

4. Melaksanakan reformasi menyeluruh demi mengembalikan maruah dan jatidiri negara dan Bangsa Malaysia, meliputi reformasi institusi, reformasi pendidikan, reformasi ekonomi dan reformasi sosial seperti yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan;

5. Menghadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal pilihanraya untuk memugar dan menyihatkan amalan demokrasi terbaik serta mempertegas prinsip kebertanggungjawaban dalam urustadbir negara;

6. Memastikan ketua-ketua institusi penting negara termasuk Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dan Ketua Audit Negara bebas daripada pengaruh penguasa politik. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat menerusi institusi parlimen, di mana mereka akan melalui proses pengesahan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (Parlimentary Select Committee) dan akhirnya dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong;

7. Membersihkan Malaysia dari najis rasuah dengan mendakwa pelaku rasuah di mahkamah, dan jika disabit bersalah maka akan dikenakan hukuman setimpal;

8. Memastikan institusi-institusi awam seperti FELDA, Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Majlis Amanah Rakyat diurus secara cekap, telus dan beramanah;

9. Membela kebajikan rakyat terutamanya golongan miskin, ibu tunggal, orang berkelainan upaya dan kumpulan berpendapatan rendah;

10. Merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan desa, serta antara wilayah dengan tumpuan khusus kepada hak rakyat Sabah dan Sarawak sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963;

11. Mengkaji semula sistem percukaian negara untuk memastikan pembayar cukai, terutamanya golongan kelas menengah, tidak tertekan dengan bebanan cukai yang berganda;

12. Menghormati prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang; dan

13. Menjunjung prinsip-prinsip utama Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, hak setiap individu untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah untuk semua kaum, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu.

MENGHARGAI bahawa Pakatan Harapan adalah sebuah gabungan besar (grand coalition) parti-parti politik yang menggandingkan dua tokoh negarawan ulung, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum dalam rangka menyempurnakan legasi misi tertangguh, maka Pakatan Harapan dengan penuh sukacita dan ta’zimnya mengumumkan:

1. Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dan Yang Berhormat Datuk Seri Dr Wan Azizah binti Datuk Dr Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri apabila Pakatan Harapan mendapat mandat rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihanraya Umum ke-14;

2. Untuk memperkukuh kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan dan memperteguh muafakat antara parti-parti anggota, proses undang-undang untuk mendapatkan Pengampunan Diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan segera, selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara, agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8;

3. Sebagai persiapan Pakatan Harapan menghadapi dan memenangi PRU14, kami telah memutuskan pengagihan kerusi-kerusi kawasan Parlimen bagi Semenanjung iaitu yang melibatkan 165 kerusi, seperti berikut:

a. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) – 52 kerusi

b. Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) – 51 kerusi

c. Parti Tindakan Demokratik Malaysia (DAP) – 35 kerusi

d. Parti Amanah Negara (AMANAH) – 27 kerusi

MAKA dengan ini kami bersepakat dan bersetuju dengan muafakat bersama ini sebagai perjanjian yang mengikat parti-parti kami.

Tun Dr Mahathir Mohamad

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Presiden Parti Keadilan Rakyat

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia

Tuan Tan Kok Wai

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik Malaysia

Tuan Hj Mohamad Sabu

Presiden Parti Amanah Negara

Bertarikh: 6 Januari 2018

Larangan Tidak Boleh Pakai Tudung Tidak Berlaku Jika Ada Akta Peluang Pekerjaan Adil (“Fair Work Act”)

Saya merujuk kepada kontroversi terkini melibatkan sebuah hotel yang tidak membenarkan kakitangan di kaunter depan memakai tudung.

Saya yakin majoriti rakyat Malaysia dan rakyat dunia amnya tidak menilai khidmat sesebuah hotel semata-mata berdasarkan sama ada kakitangan di kaunter depan hotel itu memakai tudung atau pun tidak. Soal boleh memakai tudung atau tidak ini tidak ada kena mengena dengan prestasi kerja, tetapi masih wujud di kalangan segelintir manusia. Prejudis sebegini wujud dalam mana-mana agama, mana-mana masyarakat, mana-mana negara.

Oleh kerana manusia yang ada prejudis sebegini memang wujud dalam mana-mana masyarakat, maka akan ada alasan yang diberikan oleh majikan, persatuan atau kumpulan yang benar-benar percaya pemakaian tudung boleh menjejaskan perniagaan mereka. Kenyataan balas oleh Persatuan Hotel Malaysia yang mempertahankan tindakan hotel tersebut, walaupun mengecewakan, tidak melanggar undang-undang kerana tiada undang-undang mengenai perkara ini.

Sebab itu isu ini akan terus wujud. Selang beberapa bulan, akan timbul isu bagaimana satu majikan tidak membenarkan seorang yang memakai tudung bekerja atau tidak akan mengambil seorang pemohon kerja hanya kerana dia memakai tudung.

Sementara saya faham kekecewaan Ahli Parlimen Temerloh, YB Nasruddin Hassan mengenai perkara ini, saya pula kecewa apabila beliau begitu pantas mengheret sentimen agama dan kaum dalam perkara ini seolah-olah umat Islam telah hilang haknya untuk mengamalkan Islam di negara sendiri (rujuk kenyataan beliau yang dilaporkan Sinar Harian bertarikh 13 November 2017 di capaian http://www.sinarharian.com.my/nasional/larangan-bertudung-cabar-sensitiviti-umat-islam-1.756315)

Sebenarnya isu ini boleh dihentikan dengan berkesan sekiranya ada satu akta yang mengharamkan apa-apa dasar, peraturan atau amalan yang boleh mendiskriminasikan mana-mana individu atau kumpulan atas dasar jantina, kaum, agama atau kelainan upaya.

Saya telah menulis buku bernama “Panduan Bina Semula Negara” yang memperincikan kenapa negara memerlukan satu undang-undang yang menjamin setiap rakyat Malaysia akan mendapat peluang yang adil dan bersesuaian dengan kemahiran serta kerja yang dibuat (baik dari segi mendapat kerja, gaji dan kenaikan pangkat). Keseluruhan muka surat 48 hingga 54 dalam buku itu dikhususkan untuk menerangkan kenapa dan bagaimana undang-undang ini boleh dilaksanakan.

Saya perincikan kembali cadangan-cadangan utama saya dalam buku itu untuk dipertimbangkan rakyat Malaysia:

i.   Menggubal dan menguatkuasa satu akta yang menjamin peluang kerja dan kerjaya yang adil kepada setiap rakyat Malaysia, sekaligus menjadikan sebarang diskriminasi berdasarkan agama, kaum, jantina dan kelainan upaya (contohnya larangan memakai tudung) menyalahi undang-undang yang akan dikenakan hukuman

ii.   Akta itu boleh dinamakan “Akta Keadilan Peluang Kerja dan Kerjaya” atau “Fair Work and Career Opportunity Act”

iii.   Semua diskriminasi secara langsung atau tidak langsung diharamkan dan dikenakan hukuman

iv.   Diskriminasi secara langsung merujuk kepada sebarang perlakuan, amalan, dasar atau peraturan yang dibuat oleh majikan yang menyebabkan seorang pemohon kerja atau pekerja diberi layanan berbeza atau mendapat kelebihan berbanding pemohon atau pekerja lain atas sebab kaum, agama, jantina atau kelainan upaya

v.   Diskriminasi secara tidak langsung merujuk kepada sebarang perlakuan, amalan, dasar atau peraturan yang nampak sama kepada semua pekerja tetapi mendatangkan kesan yang lebih negatif kepada seseorang atas sebab kaum, agama, jantina atau kelainan upaya. Contoh: seorang pekerja dipecat atas alasan selalu lewat ke mesyuarat tetapi mesyuarat dijadualkan semasa berlangsungnya tanggungjawab agama (seperti sembahyang Jumaat atau waktu ke gereja), sedangkan mesyuarat boleh sahaja dijadualkan di masa yang lain yang tidak bertembung dengan tanggungjawab agama tersebut

vi.   Kaedah melaksanakan dan menguatkuasakan peruntukan undang-undang di dalam akta ini adalah melalui penubuhan sebuah Suruhanjaya Keadilan dan Kepelbagaian Peluang Kerjaya (SKKPK) atau Equal Opportunity and Diversity Commission (EODC)

vii.   Suruhanjaya ini diberikan kuasa untuk menggubal undang-undang dan peraturan, mengawal selia dan menjadi timbang tara (melalui kaedah tribunal) untuk memastikan semua majikan di negara ini tidak mengamalkan diskriminasi terhadap mana-mana individua tau kumpulan atas sebab-sebab kaum, agama, jantina atau kelainan upaya

Saya menghormati pilihan YB Nasruddin Hassan untuk menggunakan kaedah yang sesuai dengan cara beliau untuk mengatasi masalah diskriminasi di tempat kerja, cuma saya berharap ia tidak diberikan dimensi agama dan kaum.

Saya akan terus berkempen supaya satu undang-undang yang menjamin keadilan kepada semua pekerja dikuatkuasakan dengan harapan sebarang tindakan yang tidak membenarkan seorang pekerja memakai tudung dikenakan hukuman yang setimpal kerana telah mendiskriminasi seorang pekerja atas sebab agama.

Saya akan mengedarkan kertas cadangan akta ini kepada ahli-ahli Parlimen yang sedang bersidang dari semua parti untuk mendapat sokongan mereka dalam tempoh seminggu. Jika ada sokongan ramai ahli Parlimen yang merentasi parti dan kaum, saya percaya ia perlu diangkat oleh Menteri Sumber Manusia untuk dijadikan asas sebuah undang-undang dan dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.

RAFIZI RAMLI

AHLI PARLIMEN PANDAN

NAIB PRESIDEN KEADILAN

 

 

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

 

Facebook | Rafizi Ramli

https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Siapa Sotong Sekarang?

Eric See To (yang dipercayai berselindung di belakang nama pena Lim Sian See selama ini) memberi alasan hanya akan berdebat dengan saya jika saya boleh bawa YB Tony Pua berdebat dengannya.

Ada yang hubungi saya supaya jangan melayan macaimaya beryuran mahal seperti Lim Sian See ini.

Jangan bimbang, saya ada sebab kenapa saya melayan orang begini.

Lim Sian See diagung-agungkan oleh orang-orang Melayu yang masih menyokong Najib Razak. Pembohongannya disebarkan sesama mereka, dosa pahala ditolak ke tepi. Mereka menunggu skrip dari Lim Sian See untuk putar belit bagi menutup salah laku pentadbiran Dato’ Seri Najib.

Akhirnya Lim Sian See ini menjadi sangat angkuh. Dengan berselindung di belakang nama pena dan identiti palsu, dia memaki hamun dan menghina sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan Dato’ Seri Najib. Dia boleh memperlekehkan mantan Perdana Menteri seperti Tun Mahathir dengan pelbagai panggilan tetapi dia tetap diagungkan oleh Melayu yang menjadi macaimaya untuk mempertahankan Dato’ Seri Najib.

Selama ini, Lim Sian See ini memanggil saya sotong untuk mengulangi fitnah-fitnah bahawa saya seorang homoseksual, saya penakut, saya pondan dan lain-lain. Beliau boleh berbuat begitu kerana orang yang difitnah tidak boleh mengambil tindakan saman kerana dia dilindungi oleh identiti yang tidak wujud itu.
Maka saya pun ajak dia untuk berdebat dalam isu yang dia sering perlekehkan orang lain – iaitu ekonomi dan percukaian.

Dia ambil masa sebulan untuk beri jawapan. Itu pun jawapan putar belit iaitu beliau bersetuju tetapi dengan syarat saya bawa YB Tony Pua sekali untuk berdebat juga dengannya. Dia ingat itu kemuncak kepandaiannya – untuk lari dari berdebat dengan saya, dia membelit orang lain. Dia mahu tunjuk dia berani kerana berani berdebat dengan dua orang sekali.

Dia mungkin diagung-agungkan oleh beberapa kerat Melayu yang mendapat beberapa ratus sebulan sahaja untuk menjadi macaimaya (sedangkan dia dapat lantikan tinggi yang imbuhannya tinggi), tetapi rakyat Malaysia yang lain bukanlah bodoh.

Pendeta kepada macaimaya Dato’ Seri Najib ini akhirnya sama sahaja dengan ketua-ketuanya dari Umno: kuat berkokok di belakang, tetapi takut berdepan untuk diadili oleh rakyat.

Saya pernah menjemput kesemua pimpinan Umno di dalam gambar ini untuk berdebat – Dato’ Seri Najib sendiri, Khairy Jamaluddin (isu fitnah Liwat2.0 ke atas Anwar Ibrahim), Rahman Dahlan (isu dakwaan beliau rakyat Malaysia dapat untung dari 1MDB melalui IPP) dan Khairul Azwan Haron (isu skandal MARA beli hartanah mahal di Australia).

Kesemua memberi pelbagai dalih, seperi mana Lim Sian See memberi alasan sekarang.

Sebab itu saya langsung tidak terasa marah atau terkesan bila macaimaya Umno dan pendeta mereka seperti Lim Sian See ini terus mengejek saya dengan panggilan sotong.
Rakyat Malaysia tahu kalaulah kita perlu memilih ahli-ahli politik yang penakut dan lari dari cabaran, kita tahu siapa mereka ini.