Category Archives: Pilihanraya

Apps “PRU13 PKR” Senjata Kempen Media Sosial

Mengambil kira ruang maklumat yang disekat akibat media perdana yang tidak bebas, KEADILAN menumpukan usaha untuk menggunakan sepenuhnya gabungan telefon pintar (smartphone) dan media social seperti Facebook dan Twitter. Oleh itu, KEADILAN menjadi parti politik pertama yang membangunkan Apps bersepadu untuk menyebarkan maklumat sepanjang kempen Pilihanraya Umum ke-13 melalui media sosial.

Apps ini mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Membawa berita terkini
2. Kemudahan semakan daftar pengundi di hujung jari
3. Bank infografik yang penuh dengan data mengenai isu-isu besar
4. Video ceramah, sidang media dan aktiviti kempen
5. Twitter pimpinan utama
6. Jadual aktiviti dan ceramah Dato’ Seri Anwar Ibrahim
7. Bank profail calon-calon KEADILAN (selepas penamaan calon)

Apps yang dinamakan “PKR” ini dibangunkan untuk platform Apple dan Android buat masa ini. Ia boleh mula dimuat turun di iTunes dan Market Place dari minggu bermula 25 Mac 2013 dengan jangkaan Dewan Rakyat dibubarkan selewat-lewatnya dalam minggu tersebut.

KEADILAN akan mempromosikan Apps ini bermula dari hari ini melalui preview video yang boleh didapati di Youtube.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

20 MAC 2013

UMNO Menjadi Dalang Menggalakkan Keganasan, Ambil Kesempatan Dari Peristiwa Lahad Datu

Mewakili kepimpinan KEADILAN, saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas Umno dalam beberapa insiden terkini yang mengancam keselamatan orang ramai dan pimpinan KEADILAN.

Rusuhan yang diadakan oleh pengikut-pengikut Umno berniat jahat dan berunsur ganas dari awal, apabila mereka membaling telur, kayu dan kon lalulintas ke arah ibupejabat KEADILAN yang turut mengenai beberapa anggota KEADILAN yang berada di tempat yang sama. Keganasan ini adalah terancang kerana mereka membawa telur, kayu dan kon lalulintas semata-mata bagi tujuan ini.

Selain bertindak ganas, pengikut-pengikut Umno ini juga mengugut untuk membakar bangunan yang merupakan satu ancaman jenayah.

Sepanjang kejadian ini berlaku, tidak ada seorang anggota polis pun yang campur tangan untuk menghentikan perlakuan ganas yang melanggar undang-undang. Sangatlah memalukan apabila Balai Polis Tropicana hanyalah terletak dua pintu dari ibupejabat KEADILAN dan anggota polis hanya berpeluk tubuh sahaja.

Perkara yang sama berlaku di Melaka (yang melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim) dan di depan pejabat Saudara Tian Chua di Jalan Ipoh (termasuk ugutan untuk mencederakan Saudara Tian Chua); kedua-duanya berlaku minggu lepas. Dengan perlakuan ganas yang mencederakan orang ramai, anggota polis tidak pun diberi arahan oleh ketua mereka untuk bertindak menahan pengikut-pengikut Umno yang biadap, melanggar undang-undang dan menjejaskan keselamatan awam.

Sebab itu KEADILAN meletakkan sepenuh tanggungjawab ekoran insiden-insiden keganasan ini di atas bahu Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Umno/Barisan Nasional kerana ia sudah tentu mendapat restu dari pimpinan Umno/Barisan Nasional. Sehingga kini tidak ada seorang pun pimpinan Umno/Barisan Nasional yang tampil mengutuk kejadian keganasan ini.

Siri keganasan ini dipertingkatkan kebelakangan ini bersempena kempen fitnah yang cuba mengaitkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan KEADILAN yang lain kononnya sebagai dalang peristiwa pencerobohan di Lahad Datu. Selain propaganda di media perdana yang dimainkan saban hari, kumpulan-kumpulan samseng Umno digerakkan untuk mengugut dan menimbulkan kebencian melalui cara keganasan.

Saya yakin ini adalah perancangan tersusun Umno/Barisan Nasional yang mengambil kesempatan dari peristiwa pencerobohan di Lahad Datu sebagai modal politik untuk menimbulkan kebencian terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Politik kebencian yang dimainkan Umno/Barisan Nasional ini dijadikan alasan untuk mengancam keselamatan pimpinan KEADILAN melalui siri keganasan yang berterusan.

Malah, saya tidak menolak kemungkinan politik kebencian atas kesempatan peristiwa pencerobohan di Lahad Datu mungkin digunakan oleh anasir tertentu di dalam Umno untuk memastikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri ditahan, disiasat dan seterusnya didakwa di bawah undang-undang keselamatan.

Saya menasihati pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil berat kejadian-kejadian keganasan yang makin meningkat dan mengenakan tindakan keras terhadap mereka yang terlibat dan menjadi dalang. Pimpinan tertinggi PDRM juga wajiblah menolak sebarang anasir yang cuba mengambil kesempatan dari peristiwa pencerobohan di Lahad Datu untuk menekan lawan politik seperti yang berlaku sekarang.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI

12 MAC 2013

Tindakan Dan Keputusan Pentadbiran Dato’ Seri Najib Menjejaskan Operasi & Kedaulatan Negara

Saya merujuk kepada dua laporan dan kenyataan berasingan yang dilaporkan di Malaysia dan Filipina semalam yang memberi kesan besar kepada kedaulatan negara, disamping memberi gambaran beberapa tindakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam menangani pencerobohan di Sabah telah memburukkan keadaan.

Kenyataan Dato’ Seri Najib yang mengakui bahawa pentadbiran beliau hanya mula bertindak mengambil jalan ketenteraan apabila lapan orang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbunuh mengesahkan keraguan di banyak pihak sebelum ini bahawa beliau mengambil masa yang terlalu lama untuk berunding dengan penceroboh Sulu.

Kenyataan beliau itu disiarkan semalam (7 Mac 2013) di dalam Buletin Utama di saluran TV3. Beliau secara jelas mengakui bahawa tindakan ketenteraan hanya diambil setelah anggota keselamatan kita terkorban.

Sebab itu, KEADILAN berpendapat adalah wajar sekiranya seluruh operasi keselamatan di Sabah kini diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa campur tangan dari pimpinan politik. Ini untuk mengelakkan berulangnya salah pertimbangan di peringkat awal pencerobohan apabila tindakan ketenteraan hanya dibuat apabila nyawa anggota keselamatan terkorban setelah rundingan yang berpanjangan tidak membuahkan hasil.

Untuk menjaga keselamatan anggota tentera dan polis yang melaksanakan operasi di Sabah, wajarlah keputusan diserahkan kepada kepimpinan ATM dan PDRM yang lebih arif, supaya mereka dapat membuat keputusan dengan cepat dan tepat tanpa terlalu terikat dengan keputusan politik.

Saya juga benar-benar khuatir dengan kenyataan yang dibuat oleh Rene Almendras, Setiausaha Kabinet Filipina yang dipetik oleh Philippine Daily Enquirer (yang kemudiannya turut dilaporkan oleh laman The Malaysian Insider bertarikh 7 Mac 2013 bertajuk “Putrajaya, Manila Offered Sulu Gunmen Exit Passes”).

Laporan itu memetik pengakuan Setiausaha Almendras bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib telah bersetuju untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap penceroboh Sulu dengan syarat mereka hanya perlu meninggalkan atau menyembunyikan senjata dan meninggalkan Sabah.

Lebih membimbangkan, laporan itu turut menyebut persetujuan pentadbiran Dato’ Seri Najib untuk membuka kembali soal tuntutan terhadap Sabah yang dibawa oleh penceroboh Sulu.

Kedua-dua keputusan itu, jika benar, menjejaskan kedaulatan negara.

Bukanlah hak Dato’ Seri Najib untuk membuat keputusan sewenang-wenangnya untuk merundingkan kembali kedudukan Sabah di dalam Malaysia dan tuntutan yang dibuat oleh penceroboh. Hak itu adalah hak rakyat dan tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri adalah untuk mempertahankan kedaulatan negara sekeras-kerasnya, apatah lagi dalam kes yang melibatkan pencerobohan terang-terangan seperti yang berlaku.

Malah, tawaran untuk penceroboh Sulu meninggalkan atau menyembunyikan senjata tanpa dikenakan apa-apa tindakan memberi isyarat yang buruk bahawa kerajaan Malaysia boleh bertolak ansur dengan pencerobohan sedemikian rupa. Ini akan menjemput lebih banyak pencerobohan di masa hadapan, apabila penceroboh boleh menyusup masuk dan mengambil semula senjata-senjata yang disembunyikan.

Perkembangan-perkembangan ini memberi gambaran bercelarunya tindak balas dan keputusan yang dibuat oleh Dato’ Seri Najib dalam menangani peristiwa pencerobohan ini. Masa yang terlalu lama diambil untuk berunding, ditambah pula dengan terma rundingan yang menjejaskan kedaulatan negara, sedikit sebanyak menjejaskan keberkesanan operasi menggempur penceroboh apabila pihak keselamatan diarahkan mengambil tindakan setelah rundingan gagal.

Sebagai Perdana Menteri, beliau tidak ada pilihan kecuali menjawab persoalan ini di dalam satu siding khas Parlimen mengenai pencerobohan di Sabah. Jika beliau terus mengelak, maka keraguan di pihak rakyat yang tertanya-tanya kenapakah krisis ini tidak ditangani dengan lebih tegas dan cepat akan terus berlegar.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI

8 MAC 2013

Kos Manifesto Rakyat

Download (PDF, 2.18MB)

Tawaran Pakatan Rakyat demi menjamin keadilan, kesejahteraan dan kesaksamaan rakyat jelas pendekatannya dan kukuh pelaksanaannya. Kita adalah sebuah kerajaan yang amanah. Tunjang pentadbiran kita adalah tata kelola yang baik berteraskan prinsip moral dan nilai sejagat. Hasilnya limpahan kekayaan negara dapat diagih dengan lebih adil dan berkesan. Mutu dan taraf hidup rakyat terbanyak akan dipertingkat.

Malaysia yang ditadbir secara amanah dan rakyat yang makmur kehidupannya akan melahirkan sebuah masyarakat yang bermaruah. Masyarakat bermaruah adalah sebuah masyarakat yang yakin dengan asal-usulnya, berpegang dengan prinsip agama dan nilai sejagat yang membela yang benar dan menentang yang zalim, saling percaya akan hubungan persaudaraan setiap insan, gigih berusaha memperbaiki diri, yang kuat membantu yang lemah tiada yang terpinggir, berlumba-lumba mengagungkan budaya ilmu dan istiqamah pada usaha amar ma’aruf nahi munkar.

Rekod pentadbiran kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat menjadi bukti iltizam kita terus membina kerajaan yang amanah demi memakmurkan rakyat. Pakatan Rakyat telah merakyatkan ekonomi. Jutaan penduduk Malaysia menikmati agihan kekayaan negara pada kala kekuatan kewangan negeri-negeri yang ditadbir terus digandakan. Pakatan Rakyat telah membudayakan amanah di dalam pentadbiran. Amalan rasuah dicegah dan laba dari pentadbiran beramanah ini disalurkan kembali untuk menjana kemakmuran rakyat.

Pakatan Rakyat telah mendepankan rakyat. Dasar-dasar yang diperjuangkan menjunjung aspirasi rakyat terbanyak dan menentang kepentingan penguasa elit dan kroni mereka. Pakatan Rakyat telah menobatkan rakyat sebagai tuan tanah air pusaka ini. Ruang kebebasan dan suara rakyat dihormati. Hak rakyat tidak kira latar belakang dan miskin kaya diambil kira dalam setiap pertimbangan. Penghapusan undang-undang zalim yang memijak ketuanan rakyat menjadi darah daging perjuangan.

Tawaran Pakatan Rakyat demi menjamin keadilan, kesejahteraan dan kesaksamaan rakyat adalah mudah.

Manifesto Rakyat digubal berdasarkan empat tonggak utama – Rakyat Bersaudara, Ekonomi
Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat.

Manifesto Rakyat menggariskan program dan dasar khusus yang akan dilaksanakan Pakatan Rakyat di tampuk pemerintahan Putrajaya kelak. Manifesto Rakyat melakarkan masa depan yang lebih cerah, penuh dengan harapan dan aspirasi rakyat. Manifesto Rakyat adalah cernaan dan hasil rundingan dengan segenap lapisan masyarakat. Kita yakin Malaysia berhak melakar masa depan yang lebih baik. Kita yakin rakyat Malaysia mampu pergi lebih jauh dari imaginasi sekarang. Kita yakin rakyat Malaysia wajib mendapat yang terbaik dari kerajaannya.

Pertelingkahan Calon Barisan Nasional Pandan Gambarkan UMNO Monopoli Keputusan Dalam Barisan Nasional

Perkembangan terkini yang menyaksikan pertelingkahan terbuka di antara Dato’ Seri Chua Soi Lek dan Dato’ Seri Ong Tee Kiat mengenai pencalonan wakil Barisan Nasional di Parlimen Pandan mempunyai implikasi besar kepada senario politik negara.

Walaupun awalnya saya tidak mahu memberikan sebarang reaksi, perkembangan itu bukan sahaja mempunyai kesan di Pandan sahaja. Ia menggambarkan bentuk kerjasama dan autonomi yang wujud di dalam Barisan Nasional dan sikap Umno (sebagai parti yang terbesar) terhadap parti-parti komponennya yang lain seperti MCA.

Sudah menjadi amalan di dalam mana-mana pakatan politik bahawa keputusan meletakkan calon itu adalah keputusan parti yang diberi tanggungjawab bertanding di parlimen itu. Sejak sekian lamanya, Barisan Nasional memberi hak dan autonomi kepada Umno, MCA atau mana-mana parti komponennya menilai calon terbaik untuk bertanding di kawasan yang diwakili. Kalau ada perselisihan faham pun mengenai pencalonan seseorang, keputusan dan pendapat parti komponen yang mewakili kerusi itu diberi keutamaan.

Itu amalan dulu-dulu di dalam Barisan Nasional, sekurang-kurangnya autonomi untuk menentukan calon dikekalkan di tangan presiden parti komponen di kerusi yang diwakili partinya.

Keadaan itu berubah kali ini apabila Dato’ Seri Najib Tun Razak memohon agar mandat menentukan calon bagi semua calon Barisan Nasional diserahkan ke tangan beliau. Calon-calon dari parti komponen tidak lagi ditentukan oleh parti komponen, sebaliknya beliaulah yang akan membuat keputusan.

Sudah tentu ini satu perubahan besar dalam lanskap politik negara. Barisan Nasional yang sebelum ini menjaja dirinya sebagai satu persefahaman politik pelbagai bangsa yang adil kini tidak lebih dari monopoli Umno. Parti-parti komponennya tidak lebih dari pengemis.

Oleh sebab itulah, presiden parti komponen seperti Dato’ Seri Chua Soi Lek sendiri sehingga kini masih belum disahkan pencalonannya. Presiden parti komponen yang lebih kecil di Sabah dan Sarawak masih berdebar-debar menunggu sama ada nama mereka dicalonkan atau senarai mereke diterima oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Keadaan ini bukan sahaja memperlekehkan kedudukan parti komponen di dalam Barisan Nasional – ia merampas kuasa politik yang ada di tangan pimpinan parti komponen untuk menentukan calon.

Sebab itulah, pertelingkahan terbuka di antara Dato’ Seri Chua Soi Lek dan Dato’ Seri Ong Tee Kiat bermakna keresahan di kalangan pimpinan pusat MCA bahawa kuasa mereka untuk menentukan calon sudah terhakis ada benarnya. Mungkin sebab itu, Dato’ Seri Chua Soi Lek mengambil keputusan untuk menghantar isyarat awal kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak supaya tidak memperlekehkan parti-parti komponen Barisan Nasional di mata pengundi.

Apabila pertelingkahan ini sudah menjadi perang terbuka, maka penilaian pengundi Pandan mengenai calon Barisan Nasional dari MCA adalah jelas:

1. 1) Jika calon MCA adalah Dato’ Seri Ong Tee Kiat pada masa presiden MCA secara terbuka menggugurkan beliau, bermakna Dato’ Seri Ong Tee Kiat menjadi calon atas ehsan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Umno.

2. 2) Jika calon MCA bukanlah Dato’ Seri Ong Tee Kiat, bermakna akhirnya Dato’ Seri Najib Tun Razak tunduk kepada tuntutan MCA agar autonomi memilih calon dikekalkan di tangan parti masing-masing.

Saya cukup memahami dilemma Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam memilih calon. Bukan sahaja beliau perlu memilih calon yang boleh menang, beliau juga perlu memilih calon yang setia kepadanya.

Beliau tahu kalau pun Barisan Nasional menang dalam PRU13, majoritinya lebih rendah dan beliau tidak akan berjaya mendapatkan kedudukan dua pertiga di Dewan Rakyat. Ini akan memberi ruang kepada pimpinan Umno yang kurang senang dengan prestasi beliau untuk menuntut beliau meletak jawatan, seperti mana yang pernah dilakukan kepada Tun Abdullah Badawi.

Oleh itu, satu-satunya cara untuk beliau kekal berkuasa sebagai Perdana Menteri walaupun ditolak Umno selepas PRU13, adalah dengan memilih sendiri setiap calon di Parlimen yang kesetiaannya tidak berbelah bahagi kepada beliau supaya jika ada undi tidak percaya terhadap beliau di Parlimen, beliau boleh menang walaupun tidak mendapat sokongan majoriti dari Umno sendiri.

Sebab ini jugalah, pilihanraya tidak boleh dipanggil sehinggalah Dato’ Seri Najib telah berjaya meletakkan semua calon-calon dari Umno dan parti komponen yang setia kepada beliau walaupun ditolak oleh parti masing-masing.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
23 FEBRUARI 2013