Category Archives: Perkhidmatan Awam

200 Orang Penjawat Awam Jaga Najib Seorang

Dua hari lalu, Dato’ Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada sekitar 5,000 pimpinan perkhidmatan awam dan penjawat awam di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) kononnya masa depan penjawat awam akan gelap jika Pakatan Harapan menang dalam PRU14.

Kandungan ucapan Dato’ Seri Najib yang dilaporkan media antara lainnya membuat beberapa dakwaan (atau memberi makna):

i. Kakitangan kerajaan dan Barisan Nasional tidak dapat dipisahkan
ii. Sebarang kritikan ke atas Dato’ Seri Najib adalah kritikan ke atas kakitangan kerajaan
iii. Pakatan Harapan akan memecat separuh dari kakitangan kerajaan kerana beranggapan jumlah kakitangan kerajaan adalah terlalu ramai
iv. Pembangkang menuduh kakitangan kerajaan sebagai tidak cekap dan makan gaji buta
v. Ada pembangkang yang menghina kakitangan awam sebagai kucing kurap
vi. Jika kakitangan awam mengundi Pakatan Harapan, itu samalah seperti menggadaikan masa depan mereka

Walaupun dakwaan-dakwaan itu kasar, tidak benar dan murahan (maka tidak wajar ia datang dari seorang Perdana Menteri dalam satu majlis rasmi), saya tidaklah terkejut kerana saya tahu Dato’ Seri Najib semakin terdesak. Beliau tahu bahawa sokongan kakitangan awam kepada Umno/Barisan Nasional tidak lagi jitu dan ada risiko besar sejumlah kakitangan awam akan mengundi Pakatan Harapan dalam PRU14 akan datang.

Saya tidak berhajat untuk bersaing menghamburkan retorik politik seperti mana beliau. Pun begitu, saya ambil tanggungjawab untuk berhujah secara fakta dan telus mengenai tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Dato’ Seri Najib itu kerana kakitangan awam adalah nadi pentadbiran negara ini. Kalau pun Pakatan Harapan menang PRU14 dan membentuk Kerajaan Persekutuan, tanpa sokongan padu dan kebersamaan dari kakitangan awam untuk menjalankan semua reformasi yang perlu dijalankan segera, Pakatan Harapan akan menghadapi masalah membantu rakyat seperti niat kami sebelum membentuk kerajaan.

Bermula hari ini, saya akan menghuraikan secara berterusan isu-isu bersabit masa depan dan kebajikan perkhidmatan awam dan kakitangan awam di negara ini dengan menyentuh secara khusus perkara-perkara berikut:

i. Kelangsungan (sustainability) perkhidmatan awam dari aspek kewangan negara, termasuk persoalan pakej penggajian, kos kepada pembayar cukai dan kemampuan kerajaan menjaga kebajikan kakitangan awam selepas bersara

ii. Reformasi organisasi dan perjawatan kakitangan awam untuk memastikan strukturnya berada pada tahap optimum untuk memacu kemajuan negara dan menjaga kebajikan rakyat

iii. Fungsi dan peranan perkhidmatan awam dalam masa 15 tahun akan datang untuk menyesuaikannya dengan zaman dan masyarakat yang sangat berbeza

Hari ini, saya akan mula mengulas mengenai persoalan jumlah kakitangan awam yang ada untuk menjawab tuduhan Dato’ Seri Najib kononnya Pakatan Harapan akan memecat separuh dari kakitangan awam sedia ada.

Saya tidak bersetuju dengan pandangan mudah yang membandingkan kesemua penjawat awam yang menerima gaji dari badan kerajaan dengan jumlah rakyat Malaysia untuk membuat kesimpulan jumlah kakitangan awam adalah terlalu ramai di negara ini.

Setakat ini, kajian saya mendapati takrifan kakitangan awam adalah berbeza-beza mengikut negara. Laporan-laporan antarabangsa yang menyiarkan angka nisbah kakitangan awam berbanding jumlah rakyat juga tidak memberi perincian kakitangan awam mana yang dikategorikan sebagai penjawat awam.

Oleh itu, satu-satunya jalan yang saya ada ialah membandingkan mengikut jumlah kakitangan awam bagi kategori utama iaitu pentadbir dan perkhidmatan rakyat, pertahanan (jumlah angkatan tentera), keselamatan (jumlah polis), pendidikan (jumlah guru dan pensyarah) dan kesihatan (jumlah doktor dan jururawat).

Saya sedang menyiapkan angka-angka ini yang akan diterbitkan minggu depan dalam siri sidang media secara langsung yang saya adakan setiap hari.

Setakat ini, kesimpulan bahawa jumlah kakitangan awam adalah terlalu ramai berbanding dengan jumlah rakyat adalah tidak tepat (dan saya akan tunjukkan angkanya minggu depan).

Pun begitu, itu tidak bermakna jumlah kakitangan awam dalam bentuk organisasi dan perjawatan sedia ada di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib adalah baik dan tidak perlu dibaiki. Masalah sebenar ialah terlalu banyak kakitangan awam yang ditanggung oleh rakyat yang sebenarnya tidak berkhidmat untuk rakyat, tetapi berkhidmat untuk ahli politik yang menjadi menteri atau menguasai badan kerajaan atas lantikan politik.

Sebelum ini saya telah timbulkan perkara ini secara khusus, iaitu jumlah kakitangan awam yang berkhidmat di bawah Pejabat Perdana Menteri. Saya juga telah tunjukkan secara khusus jumlah tukang masak, pembantu rumah dan lain-lain yang ditanggung oleh rakyat untuk berkhidmat di kediaman Perdana Menteri.

Malah, saya telah fokuskan juga mengenai seorang Ketua Penolong Pengarah (KPP) yang mengetuai satu unit yang dipanggil Bahagian Khas, Jabatan Perdana Menteri yang diwujudkan khusus untuk menjadi pejabat Datin Seri Rosmah Mansor dan kerjanya menjadi kaki pukul politik untuk membidas mana-mana pihak yang berani mengkritik Datin Seri Rosmah.

Saya sertakan jadual yang menunjukkan jumlah penjawat awam yang diperuntukkan kepada 6 menteri-menteri kanan (iaitu Presiden, Naib-naib Presiden & Ketua Pemuda Umno, Presiden MCA dan Presiden MIC):

(Rujuk petikan-petikan dari laporan Senarai Perjawatan Kerajaan Malaysia 2017. Laporan penuh di http://rafiziramli.com/2016/12/selaraskan-kadar-kenaikan-gaji-di-antara-penjawat-awam-berpangkat-tinggi-dan-remdah/)

Download (PDF, 14KB)

 

Download (PDF, 4KB)

 

Download (PDF, 102KB)

 

Download (PDF, 43KB)

 

Download (PDF, 44KB)

 

Download (PDF, 83KB)

 

Download (PDF, 80KB)

 

Download (PDF, 4KB)

 

Download (PDF, 122KB)

 

Jumlah penjawat awam termasuk lantikan politik untuk 6 orang pemimpin kanan Umno/Barisan Nasional ialah 335 orang. Ini adalah jumlah yang paling konservatif kerana saya tidak mengambil kira jumlah unit-unit lain di luar pejabat menteri.

Dengan jumlah purata 10 kakitangan awam yang dibayar rakyat yang diberikan kepada seorang menteri dan jumlah 33 orang menteri (selain Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri), jumlah kakitangan awam untuk Jemaah Menteri sahaja adalah 330 orang (pada anggaran purata).

Bila dicampur dengan 200 orang yang berkhidmat khusus untuk Perdana Menteri (dan isteri) dan 77 orang yang berkhidmat khusus untuk Timbalan Perdana Menteri, rakyat menanggung gaji 607 pegawai dan pembantu menteri-menteri setiap bulan.

Analisa awal ini secara jelas menunjukkan bahawa masalah sebenar perkhidmatan awam di Malaysia ialah pengaruh politik yang keterlaluan sehinggakan sumbernya juga diherotkan untuk memenuhi keperluan menteri-menteri dan orang politik. Jemaah Menteri misalnya, tidak memerlukan sehingga 607 orang pegawai dan pembantu seperti sekarang. Sebahagian besar dari mereka (yang bukan lantikan politik) seharusnya ditugaskan untuk berurusan dengan rakyat melalui perkhidmatan-perkhidmatan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Sebab itu, untuk menjawab tuduhan Dato’ Seri Najib bahawa Pakatan Harapan akan membuang sehingga separuh dari kakitangan awam yang ada sekarang, saya percaya langkah-langkah Pakatan Harapan untuk memperbetulkan herotan sumber perkhidmatan awam adalah seperti berikut:

1. Mengecilkan saiz Jemaah Menteri kepada sekitar 20 orang sahaja dengan menstrukturkan kembali kementerian-kementerian supaya tidak bertindih. Secara langsung, ini akan mengurang jumlah gaji yang perlu dibayar dan jumlah kakitangan awam yang diperuntukkan kepada menteri

2. Mengurangkan jumlah kakitangan awam (baik lantikan politik atau yang dalam perkhidmatan) yang diperuntukkan untuk berkhidmat dengan menteri dan timbalan-timbalan menteri. Saya percaya kakitangan awam untuk Perdana Menteri mestilah dikurangkan kepada 70 orang sahaja dari jumlah 200 sekarang, Timbalan Perdana Menteri dikurangkan kepada 30 orang sahaja dari jumlah 77 sekarang, dan menteri-menteri dikurangkan kepada 6 orang sahaja dari purata 10 orang sekarang

3. Memberi tugasan baru kepada kakitangan awam dalam perkhidmatan yang kini berkhidmat dengan menteri-menteri dan ahli politik. Tugasan baru itu mestilah perkhidmatan yang berurusan secara langsung dengan rakyat

Konsep yang sama hendaklah digunakan untuk menyusun kembali agihan sumber manusia di dalam perkhidmatan awam untuk menghapuskan herotan sumber akibat campur tangan politik yang keterlaluan.

Saya akan membentangkan angka-angka mengikut kementerian yang boleh menunjukkan secara khusus bagaimana herotan ini berlaku dan bagaimana agihan sumber manusia boleh membantu memastikan jumlah kakitangan perkhidmatan awam yang optimum. Saya akan berusaha supaya sekurang-kurangnya setiap satu minggu, saya boleh membentangkan satu laporan yang terperinci seperti ini untuk makluman rakyat.

Saya yakin kakitangan awam pun secara keseluruhannya tahu apa yang berlaku dan bersetuju dengan pandangan saya ini. Dalam minggu-minggu seterusnya, saya akan tunjukkan juga bagaimana manfaat kewangan dan perkhidmatan yang diberikan kepada penjawat awam semakin berkurangan sejak di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib.

Jika Dato’ Seri Najib mahu menggunakan retorik lama menakut-nakutkan kakitangan awam, saya rasa kali ini beliau akan bertemu buku dengan ruas kerana saya telah lama menunggu peluang ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Apa Tugas 272 Kakitangan JASA? Adakah Lantikan Kontrak Diisi Oleh Ahli UMNO?

Saranan saya supaya Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dimansuhkan untuk menjimatkan RM22 juta setahun yang kini digunakan untuk mempertahankan Dato’ Seri Najib Tun Razak telah mendapat reaksi Lokman Noor Adam, yang sebelum ini berjawatan Panel Pemikir JASA. Menurut beliau, jika KEADILAN dan Pakatan Harapan memenangi tampuk pentadbiran Kerajaan Persekutuan, JASA akan mempertahankan KEADILAN dan Kerajaan Persekutuan pada ketika itu kerana JASA bertanggungjawab mempertahankan kerajaan.

Pertamanya, jika pun Kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh Pakatan Harapan memerlukan satu kumpulan untuk menjawab isu-isu yang mengkritiknya, kumpulan itu bukanlah dari kalangan pegawai-pegawai tinggi (termasuk bekas pegawai tinggi) seperti Lokman Noor Adam dan Tun Faisal Ismail Aziz kerana rekod buruk mereka mempertahankan dasar-dasar Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Mereka akan terus diingati sebagai individu-individu yang bermati-matian mempertahankan bahawa GST itu baik untuk rakyat, juga bermati-matian mempertahankan 1MDB walaupun seluruh dunia tahu wang rakyat telah lesap.

Malah, berani saya katakan bahawa akibat Umno menyerahkan tugas propaganda kepada mereka inilah juga, kedudukan sokongan Umno di kalangan orang Melayu pun sudah jatuh menjunam sehingga hanya 40% pengundi Melayu yang akan mengundi Umno dalam PRU14 mengikut Kajiselidik PRU14 yang disertai 104,000 pengundi baru-baru ini.

Keduanya, saya yakin Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan tidak memerlukan sebarang jabatan propaganda berdasarkan prinsip-prinsip berikut:

1. Tugas menjawab kritikan dan serangan ke atas sebarang dasar Kerajaan Persekutuan adalah tugas menteri yang bertanggungjawab. Beliau perlu mempertahankan dasar yang diperkenalkan partinya semasa memerintah dan jika beliau tidak mampu, maka beliau sewajarnya dipecat oleh Perdana Menteri atau tidak diundi rakyat dalam pilihanraya

2. Sebarang sebaran maklumat yang bukan menghebahkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tidak boleh dibuat oleh jabatan kerajaan yang ditanggung rakyat, apatah lagi propaganda yang mempertahankan pemimpin dan parti politik yang dituduh terlibat di dalam penyelewengan wang rakyat

Maka, saya yakin Pakatan Harapan akan memansuhkan JASA dan kakitangannya berkemungkinan akan diagihkan seperti berikut:

i. Kakitangan tetap yang telah menjadi sebahagian dari perkhidmatan awam akan dipindahkan ke jabatan atau kementerian yang memberikan khidmat terus kepad rakyat seperti pendidikan, kebajikan dan kesihatan

ii. Semua lantikan politik di peringkat tertinggi JASA akan ditamatkan perkhidmatan

iii. Semua lantikan kontrak yang melibatkan ahli Umno yang didapati dilantik khusus bagi tujuan propaganda akan ditamatkan perkhidmatan

Saya menyemak senarai jawatan JASA di seluruh negara yang mempunyai 272 kakitangan (rujuk Buku Senarai Perjawatan yang dilampirkan). Pecahan 272 kakitangan itu adalah seperti berikut:

Pejabat Ketua Pengarah – 6 orang
Bahagian Gerak Saraf dan Perancangan Dasar – 3 orang
Bahagian Pembangunan Insan – 4 orang
Bahagian Khidmat Pengurusan – 36 orang
Jawatan Sementara Lantikan Kontrak – 127 orang
Pembantu tadbir, penolong akauntan, juruaudio, pemandu – 96 orang

Download (PDF, 2.44MB)

Ini bermakna, 47% dari keseluruhan kakitangan JASA di seluruh negara adalah Jawatan Sementara Lantikan Kontrak (dengan kod JSKT). Jika dicampur dengan pegawai-pegawai tinggi yang juga adalah lantikan politik, maka saya anggarkan 50% dari kakitangan JASA adalah lantikan kontrak yang selalunya adalah lantikan politik untuk ahli-ahli atau pemimpin Umno mendapat imbuhan.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Ketua Pengarah JASA menyiarkan nama setiap penjawat Jawatan Sementara Lantikan Kontrak (JSKT) di ibu pejabat JASA dan pejabat JASA negeri-negeri agar orang ramai dapat mengesahkan sama ada benar JASA digunakan untuk menempatkan aktivis Umno menjalankan kerja propaganda dengan dibayar oleh rakyat.

Jika Ketua Pengarah JASA enggan berbuat demikian, ia akan terus mengukuhkan dakwaan bahawa aktivis Umno dilantik ke jawatan kerajaan melalui kaedah JSKT untuk menjalankan kerja propaganda mempertahankan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia

Selaraskan Kadar Kenaikan Gaji Di Antara Penjawat Awam Berpangkat Tinggi Dan Remdah

Setiap tahun semasa pembentangan Belanjawan, kerajaan wajib membentangkan senarai penuh perjawatan bagi semua kakitangan awam di bawah Kerajaan Persekutuan. Buku ini dinamakan “Senarai Perjawatan Di Kementerian-Kementerian Dan Jabatan-Jabatan Dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan” seperti yang saya tunjukkan di bawah:

Walaupun laporan ini selalunya tidak diendahkan, saya mengambil kesempatan untuk “mempopularkan” laporan ini yang saya sertakan sepenuhnya di bawah ini untuk diteliti oleh orang ramai:

Senarai Perjawatan Perkhidmatan Awam: Jilid I
https://drive.google.com/open?id=0B-KS2an8wNoESGtidzBnYzVVU1E

Senarai Perjawatan Perkhidmatan Awam: Jilid II
https://drive.google.com/open?id=0B-KS2an8wNoEcWxGdUdmMEdwWDg

Senarai Perjawatan Perkhidmatan Awam: Jilid III
https://drive.google.com/open?id=0B-KS2an8wNoERWpxTHRkeklZckk

Senarai Perjawatan Perkhidmatan Awam: Jilid IV
https://drive.google.com/open?id=0B-KS2an8wNoET3ZBREZQOTRaaGc

Senarai Perjawatan Perkhidmatan Awam: Jilid V
https://drive.google.com/open?id=0B-KS2an8wNoET0tWNlhmWTV6ZWc

Senarai Perjawatan Perkhidmatan Awam: Jilid VI
https://drive.google.com/open?id=0B-KS2an8wNoEQk9FM0FqUDNSTVk

Senarai Perjawatan Perkhidmatan Awam: Jilid VII
https://drive.google.com/open?id=0B-KS2an8wNoERVlmYTg3cFBIaDA

Bermula dari hari ini, saya juga akan memberi tumpuan kepada isu-isu bersabit kebajikan dan masa perkhidmatan awam yang mungkin tidak diketengahkan. Sedang saya bersetuju bahawa ada banyak penambahbaikan yang perlu dibuat untuk menaiktaraf mutu dan keberkesanan perkhidmatan awam, saya bimbang jika masyarakat tidak berlaku adil kepada penjawat awam apabila fokus diberikan kepada persoalan prestasi perkhidmatan awam tanpa memberi perhatian yang sewajarnya kepada isu kebajikan mereka.

Maka, perkara pertama yang ingin saya dedahkan kepada rakyat Malaysia ialah perbezaan ketara di antara kenaikan gaji penjawat awam pangkat tertinggi dengan jutaan kakitangan awam yang lain.

Saya rujuk mukasurat 1161 dalam Jilid 1 yang mengandungi Lampiran A iaitu jadual kod gaji minimum dan maksimum bagi jawatan-jawatan tertinggi kerajaan, seperti berikut:


Gred jawatan utama yang paling rendah ialah gred khas C berkod VK7 yang lebih dikenali sebagai Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C). Jadual di atas menunjukkan gred dari JUSA C ke atas sehingga ke gred tertinggi iaitu VU1 bagi Ketua Setiausaha Negara. Gred VU2 (Gred Utama Turus I) pula adalah untuk pimpinan tertinggi pegawai kerajaan seperti Peguam Negara, Ketua-ketua Setiausaha (KSU) bagi kementerian besar dan begitulah seterusnya.

Senarai gaji yang ditunjukkan di atas adalah bagi gaji pokok semata-mata dan belum termasuk elaun. Antara elaun yang dibayar adalah (contohnya):

1. JUSA C – Elaun Keraian: RM2,500, Elaun Perumahan: RM1,300, Elaun Insentif Khas: RM500, Elaun Pembantu Rumah: RM500, Elaun Tetap Jawatan JUSA: RM1,000 dan Elaun Penyelenggaraan Rumah: RM166. Semua elaun berjumlah RM5,966 sebulan

2. Turus I – Elaun Keraian: RM5,200, Elaun Perumahan: RM2,500, Elaun Insentif Khas: RM2,000, Elaun Pembantu Rumah: RM1,000, Elaun Tetap Jawatan TURUS: RM4,000 dan Elaun Penyelenggaraan Rumah: RM250. Semua elaun berjumlah RM14,950 sebulan

3. Ketua Setiausaha Negara – Elaun Keraian: RM5,300, Elaun Perumahan: RM3,000, Elaun Insentif Khas: RM2500, Elaun Pembantu Rumah: RM2,000, Elaun Tetap Jawatan KSN: RM4,500 dan Elaun Penyelenggaraan Rumah: RM333. Semua elaun berjumlah RM17,633 sebulan.

Jika secara purata, seorang penjawat utama kakitangan awam seperti yang berjawatan di atas telah mencapai skala gaji 4/5 dari tangga gaji mati, maka anggaran pendapatan sebulan (contohnya) bagi pangkat-pangkat yang ditunjukkan di atas adalah seperti berikut:


Gaji penuh di atas tidak termasuk sebarang elaun lain dari jawatan mereka di dalam agensi kerajaan seperti ahli Lembaga Pengarah dan lain-lain.

Oleh sebab itu, saya berpandangan kenaikan gaji tahunan sebanyak 9% itu adalah terlalu tinggi memandangkan gaji dan imbuhan setakat ini sudah memadai.

Saya juga membantah pendekatan yang berbeza untuk penjawat awam berpangkat tertinggi ini berbanding kakitangan awam biasa dari segi kenaikan gaji tahunan. Sedang mereka (penjawat awam pangkat tertinggi) diberi kenaikan gaji mengikut peratusan pada kadar yang tinggi (iaitu 9%), kakitangan awam yang lain hanya diberikan kenaikan gaji mutlak (bukan peratusan).

Contohnya bagi perkhidmatan pendidikan, jadual kenaikan gaji guru-guru adalah seperti berikut:


Dengan menggunakan kaedah yang sama iaitu penjawat telah mencapai tangga gaji 4/5 dari gaji mati, peratusan kenaikan gaji bagi guru-guru setiap tahun adalah seperti berikut:


Di mana kewajaran memberi kenaikan gaji yang lebih rendah dari kadar GST kepada kakitangan biasa yang gaji pokoknya memang sudah rendah, sedangkan ketua-ketua jabatan dan kementerian yang gaji dan elaunnya besar diberikan kenaikan mengikut peratusan sehingga 9%?

Kakitangan awam yang mempunyai keluarga besar terbeban dengan gaji yang sedia rendah sedang pembaziran berlaku berleluasa. Tanggungjawab memastikan perbelanjaan kerajaan tidak diselewengkan oleh menteri dan ahli politik ialah tanggungjawab penjawat awam berpangkat tertinggi ini dan rakyat perlu menghantar isyarat bahawa imbuhan gaji yang tinggi tidak berpadanan dengan tindakan mereka tidak bersuara dalam keadaan pembaziran dan penyelewengan wang rakyat berleluasa.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN