Category Archives: Parlimen

Keputusan Mahkamah Rayuan Benarkan Kerajaan Saman Rakyat: Ketua Menteri Sarawak Perlu Tarik Balik Tindakan Undang-Undang Terhadap YB Chong Chien Jien, Pertimbang Pindaan Undang-Undang Sekat Kerajaan Saman Rakyat

Saman Rakyat-01

Saya merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu di dalam kes yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Sarawak terhadap Ahli Parlimen Bandar Kuching/ADUN Kota Sentosa YB Chong Chien Jien.

Keputusan majoriti dua orang hakim Mahkamah Rayuan iaitu Dato’ Abdul Rahman Sebli dan Dato’ Zamani Abdul Rahim (seorang lagi hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk David Wong Dak Wah tidak bersetuju dengan keputusan itu) telah membenarkan Kerajaan Negeri Sarawak mengambil tindakan saman malu (iaitu tindakan undang-undang sivil) terhadap YB Chong Chien Jien walaupun secara umumnya di seluruh dunia, prinsip undang-undang yang diamalkan tidak membenarkan kerajaan menyaman seorang rakyat.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu mengundang risiko besar kepada setiap rakyat Malaysia kerana ia memberi kuasa kepada kerajaan (sama ada kementerian, jabatan, agensi, menteri dalam kapasiti rasmi malah majlis-majlis daerah atau pihak berkuasa tempatan) untuk menggunakan wang rakyat yang dikutip melalui cukai untuk menyaman rakyat sendiri apabila ada perkara yang ditimbulkan oleh rakyat mengenai kerajaan yang tidak dipersetujui oleh kerajaan.

Secara umumnya, prinsip bahawa kerajaan tidak dibenarkan menyaman rakyat sendiri telah diputuskan melalui undang-undang “common law” yang diamalkan di United Kingdom. Ia bertepatan dengan prinsip keadilan sejagat (“universal justice values”) seperti berikut:

1. Rakyat memilih kerajaan dan membayar cukai untuk membolehkan kerajaan berfungsi. Rakyat adalah majikan kepada kerajaan;

2. Kerajaan menyediakan perkhidmatan kepada rakyat menggunakan cukai yang dikutip daripada rakyat. Maka sebagai majikan dan juga pelanggan kepada perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan, rakyat berhak untuk memberi maklumbalas (baik dalam bentuk pujian, kritikan, aduan, komen dan lain-lain) mengenai perkhidmatan yang disediakan kerajaan kerana perkhidmatan itu dibiayai oleh duit rakyat;

3. Jika rakyat tidak berpuas hati dan memberi kritikan atau aduan yang tidak disukai oleh kerajaan, adalah tidak adil untuk kerajaan menggunakan wang rakyat (apabila mengambil tindakan saman dalam kapasiti rasmi bukan kapasiti peribadi) untuk menyaman rakyat yang memberi kritikan.

Prinsip di atas ditegaskan di dalam keputusan House of Lords di United Kingdom di dalam kes ternama iaitu tindakan saman oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) Derbyshire County Council yang mengambil tindakan saman terhadap akhbar Times Newspapers. Dalam menegaskan bahawa kerajaan pusat atau mana-mana kerajaan tempatan tidak boleh menyaman rakyat yang mengkritik, House of Lords mengulangi kepentingan melindungi hak rakyat mengkritik kerajaan seperti berikut:

“It was of the highest public importance that a democratically-elected government body should be open to uninhibited public criticism, and since the threat of civil actions for defamation would place an undesirable fetter on the freedom to express such criticism, it would be contrary to the public for institutions of central or local government to have any right at common law to maintain an action for damages for defamation.”

“Adalah menjadi keutamaan terpenting bahawa sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik perlulah terbuka kepada kritikan awam yang tidak dihadkan; dan oleh kerana tindakan saman malu oleh kerajaan akan menyekat kebebasan mengkritik kerajaan, adalah bertentangan dengan kepentingan awam sekiranya badan-badan kerajaan pusat atau kerajaan tempatan diberikan hak di sisi undang-undang untuk mengambil tindakan saman malu terhadap orang awam.”

Jika keputusan Mahkamah Rayuan ini kekal dan tidak dicabar di Mahkamah Persekutuan, ia akan membawa kesan buruk kepada rakyat dan negara. Selain dari ahli-ahli parlimen, tokoh NGO dan akademik yang akan disaman menggunakan duit rakyat bila mana pendapat mereka tidak disenangi Umno/Barisan Nasional, rakyat biasa pun sebenarnya akan menjadi mangsa. Contohnya, jika seorang penduduk mengadu di media televisyen, internet atau mana-mana media bahawa khidmat kutipan sampah di kawasan perumahan beliau tidak memuaskan, majlis perbandaran di kawasan itu boleh menyaman penduduk tersebut.

Saya sangat-sangat bimbang jika perkara ini tidak diperbetulkan ia akan menjadi senjata menutup mulut rakyat keseluruhannya.

Oleh yang demikian, saya akan memantau kes ini dengan dekat untuk memastikan ia tidak kekal menjadi undang-undang yang akan disalahgunakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak. Saya akan mengambil tindakan-tindakan berikut:

i. Saya berharap YB Chong Chien Jien yang disaman dan menjadi defendan kes ini akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan minggu lepas

ii. Apabila kes ini sudah sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan, saya menyeru Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak membuktikan bahawa beliau berbeza dari pimpinan Umno/Barisan Nasional yang lain dengan mengarahkan supaya Kerajaan Sarawak menghentikan tindakan asal yang menyaman YB Chong Chien Jien. Ini membolehkan supaya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan

iii. Saya akan membawa perkara ini kepada panel ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan yang merupakan pengamal undang-undang seperti YB Sivarasa Rasiah (Subang), YB Hanipa Maidin (Sepang), YB Gobind Singh Deo (Puchong), YB Gooi Hsiao Leoung (Alor Setar), YB Manivannan Gowin (Kapar), YB Wong Chen (Kelana Jaya), YB Darell Leiking (Penampang) dan lain-lain untuk menyemak undang-undang sedia ada dan mempertimbangkan satu Rang Undang-undang Persendirian difailkan dalam sidang Mei 2016 khusus untuk menyekat kerajaan dari mendapat hak menyaman rakyat.

Saya menyeru semua rakyat Malaysia agar tidak mengambil mudah sebarang perubahan undang-undang, keputusan atau tindakan yang boleh disalahgunakan untuk menyekat hak kita mengkritik kerajaan terutamanya dalam keadaan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak terdesak menutup skandal 1MDB dengan apa cara sekalipun.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Yang Dipertua Dewan Rakyat Menolak Rang Undang-Undang Persendirian Pemisahan Fungsi Perdana Menteri Dan Menteri Kewangan, Usul 1MDB Difailkan 2 November 2015

usul1mdb

Saya telah memfailkan satu Rang Undang-undang Persendirian untuk memisahkan fungsi Perdana Menteri dari Menteri Kewangan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat iaitu sebelum atau pada 23 September 2015. Rang Undang-undang Persendirian itu difailkan melalui emel kepada Setiausaha Dewan Rakyat seperti mana soalan-soalan Parlimen dan urusan lain difailkan.

Saya telah mendapat jawapan rasmi dari Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam (3 November 2015) yang menyatakan bahawa Dewan Rakyat menolak Rang Undang-undang Persendirian itu yang tidak akan disenaraikan di dalam Aturan Dewan atas alasan berikut:

Download (PDF, 974KB)

1. Tidak menepati Peraturan Mesyuarat 27 iaitu perlu dihantar secara bertulis – saya menghormati kuasa Yang Dipertua yang berhak menafsirkan Peraturan Mesyuarat. Walau bagaimana pun, selama ini sebarang pemberitahu termasuklah pemberitahu soalan-soalan diuruskan melalui emel dan telah diterima dengan baik oleh Setiausaha Dewan Rakyat

2. Bertentangan dengan Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 – alasan ini bermakna Dewan Rakyat tidak akan membenarkan apa-apa Rang Undang-undang Persendirian yang cuba memisahkan fungsi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan selagi Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 tidak dipinda. Ini juga bermakna selagi Barisan Nasional berkuasa, sebarang usaha untuk menggubal undang-undang untuk membina tata kelola yang lebih baik dengan memisahkan fungsi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak akan dibenarkan dibawa ke Dewan Rakyat

Saya berpendapat pendirian ini akan mengurangkan kebebasan Parlimen dan merendahkan kedudukan Parlimen yang sepatutnya setaraf dengan cabang eksekutif kerajaan dari segi bidang kuasanya.

Oleh yang demikian, saya akan memfailkan kembali Rang Undang-undang Persendirian ini secara surat bertulis mengikut Peraturan Mesyuarat 27 dan berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat mempertimbangkannya untuk dimasukkan di dalam Aturan Mesyuarat dalam sidang depan.

Download (PDF, 1.03MB)

Saya juga telah memfailkan usul untuk menghadkan harga yang akan dibayar oleh TNB terhadap aset-aset IPP milik 1MDB pada 2 November 2015 dan telah menerima pengesahan dari Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat. Saya percaya Dewan Rakyat mesti memberikan isyarat yang jelas bahawa ia akan campur tangan di dalam sebarang urusniaga besar yang melibatkan kepentingan dan dana awam seperti ini.

Oleh yang demikian, saya berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat mempertimbangkan agar usul ini dibenarkan untuk dibahaskan apabila ia dimasukkan di dalam Aturan Mesyuarat dalam tempoh 2 minggu dari sekarang.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Senarai Soalan Ahli Parlimen Pandan (Sessi Oktober – Disember 2015)

Soalan Lisan No (1)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyenaraikan semua projek pembinaan masjid di bawah MAIWP atau JAKIM sejak 2010 hingga kini berserta maklumat kontraktor dilantik, maklumat pembida lain dan nilai kontrak yang dianugerahkan bagi setiap projek.

Soalan Lisan No (2)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Luar Negeri menyenaraikan semua pembelian bangunan oleh Kerajaan Malaysia di luar negara sejak tahun 2010 hingga kini berserta maklumat alamat bangunan, penjual dan nilai yang dibayar kepada penjual.

Soalan Lisan No (3)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyenaraikan semua pembelian aset di luar negara oleh MARA dengan perincian alamat aset, jumlah dibayar untuk membeli aset dan maklumat penjual aset kepada MARA.

Soalan Lisan No (4)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Kewangan menyenaraikan dari mana ValueCap akan mendapat suntikan RM20 bilion bagi merangsang Bursa Malaysia mengikut pecahan suntikan ekuiti, bon, pinjaman dan lain-lain.

Soalan Lisan No (5)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Kewangan menyenaraikan perbandingan nilai (dalam RM) setiap bon hutang Kerajaan Malaysia pada 30 September 2015 berbanding 31 Disember 2014 dan nyatakan kenaikan bayaran faedah (“coupon”) bagi setiap bon hutang bagi tempoh perbandingan yang sama.

Soalan Lisan No (6)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyenaraikan peruntukan tahunan oleh MARA mengikut kategori biasiswa pendidikan dan pinjaman pendidikan (pecahan ikut dalam dan luar negara) bagi setiap peringkat pengajian dan kursus dari 2010 hingga 2015.

Soalan Lisan No (7)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Perdana Menteri menyenaraikan setiap perjalanan jet kerajaan ACJ320 sejak mula perkhidmatan hingga 31 Oktober 2015 dengan maklumat siapa yang menaiki, tujuan perjalanan dan kos yang ditanggung kerajaan bagi setiap perjalanan itu.

Soalan Lisan (8)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Pendidikan menyenaraikan maklumat kewangan PTPTN (pinjaman diberikan, jumlah peminjam, bayaran balik dikutip dan baki hutang PTPTN dengan pemiutang) bagi tahun 2010 hingga 2014 dan unjuran yang sama bagi tahun 2015 hingga 2025.

Soalan Lisan (9)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Luar menyatakan perincian bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Malaysia bagi membantu pelarian Syria dan masalah umat Islam di Syria mengikut tahun dari 2010 hingga 2015.

Soalan Lisan (10)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Perdana Menteri menyenaraikan semua skim perumahan yang telah dan akan diusahakan oleh Felda Global Ventures (FGV) atau Felda setakat Oktober 2015 dengan memperincikan jumlah unit, lokasi perumahan, harga jualan dan kontraktor dilantik bagi setiap projek perumahan.

Soalan Parlimen Sessi Oktober 2014

SENARAI SOALAN-SOALAN PARLIMEN
AHLI PARLIMEN PANDAN

SOALAN LISAN

Soalan Lisan No (1)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Kewangan menamakan semua syarikat-syarikat yang mana 1MDB telah melabur menggunakan dana yang dianggarkan USD$2.3 bilion yang disimpan di Pulau Cayman dan pelaburan itu diuruskan oleh Bridge Partners Hong Kong, bagi tempoh kewangan 1 Januari 2010 hingga 30 September 2014.

Soalan Lisan No (2)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Kewangan menyatakan apakah kriteria yang digunakan untuk melantik Bridge Partners Hong Kong menguruskan dana USD$2.3 bilion milik 1MDB dan bayaran tahunan yang dibayar kepada firma itu.

Soalan Lisan No (3)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Kewangan mengesahkan sama ada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan ke atas penjualan petrol dan diesel kepada orang ramai.

Soalan Lisan No (4)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Kewangan menyatakan kaedah bagaimanakah rasionalisasi subsidi minyak mengikut tahap pendapatan akan dilaksanakan, bilakah ia akan dilaksanakan dan berapa ramai rakyat Malaysia yang masih dapat membeli petrol dan diesel bersubsidi penuh apabila ia dilaksanakan.

Soalan Lisan No (5)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Perdana Menteri memberikan pecahan (breakdown) bayaran-bayaran (sewa pembangunan, penyenggaraan atau maintenance) daripada jumlah bayaran tahunan (RM56 juta – RM69 juta) kepada pemegang konsesi bagi setiap dari enam kampus UiTM yang dibina secara penswastaan (kaedah PPP).

Soalan Lisan No (6)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa menyatakan jumlah kutipan cukai eksais dan permit import (approved permit) yang dikutip dari penjualan kenderaan bagi tahun 2011, 2012 dan 2013 (ditunjukkan secara berasingan).

Soalan Lisan No (7)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah kutipan yuran/bayaran perkhidmatan yang dikenakan ke atas peminjam PTPTN setiap tahun bagi tahun 2010, 2011, 2012 dan 2013 serta bagaimana yuran/bayaran perkhidmatan ini digunakan untuk menampung kos operasi PTPTN.

Soalan Lisan (8)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan berapakah jumlah pendatang asing (sama ada tanpa izin, pelarian dan lain-lain) yang berdaftar dan tidak berdaftar di dalam rekod agensi kerajaan bagi Parlimen Pandan dan langkah yang diambil untuk mengurangkan kebanjiran pendatang asing di kawasan Pandan/Ampang?

Soalan Lisan (9)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Kewangan menyatakan berapakah jumlah yang telah dikutip balik dari keseluruhan pinjaman RM250 juta yang telah diberikan bagi projek National Feedlot Corporation (NFC) sehingga 30 September 2014?

Soalan Lisan (10)

Rafizi Ramli (Pandan) minta Menteri Kewangan menyatakan syarikat-syarikat yang telah disenaraipendek untuk mendapat tender melaksanakan pengubahsuaian sistem pam petrol di seluruh negara berikutan keputusan rasionalisasi subsidi minyak mengikut pendapatan dan jumlah bayaran kepada syarikat-syarikat ini serta siapa yang menanggung kos ini.

Peluang Kerjaya Di Pusat Khidmat Parlimen Pandan

Pusat Khidmat Parlimen Pandan mengalu-alukan permohonan untuk 2 kekosongan seperti berikut yang perlu diisi segera:

Kekosongan 1 – Jawatan:

Pegawai Pusat Khidmat

Tugasan:

1) Mengendalikan aduan harian di Pusat Khidmat Parlimen dengan bertemu penduduk di Pusat Khidmat, termasuk merekodkan aduan dan membuat semakan awal untuk dipertimbangkan Ahli Parlimen, mengambil tindakan dan memfailkan aduan/tindakan mengikut arahan Ahli Parlimen

2) Berhubung dengan jabatan kerajaan, swasta, persatuan orang ramai, NGO dan segala urusan rasmi dan tidak rasmi mengikut kesesuaian tindakan yang diperlukan untuk menyelesaikan aduan penduduk

3) Menyusun dan merekod program yang melibatkan Ahli Parlimen mengikut jemputan orang ramai dan yang disusun oleh Pusat Khidmat

4) Mengatur program-program dan menguruskan koordinasi dengan ahli parti dan petugas/pembantu lain bagi program anjuran Pusat Khidmat

5) Mewakili Ahli Parlimen ke majlis setempat, mesyuarat rasmi Kerajaan dan melawat aduan dan lain-lain bersama-sama wakil Ahli Parlimen yang lain

6) Menyediakan laporan dan dokumen yang sempurna untuk dihantar kepada Pejabat Daerah bagi tuntutan perbelanjaan bagi program dan belanja Pusat Khidmat mengikut peruntukan Kerajaan Negeri yang dibenarkan

7) Membayar semua tanggungan dan perbelanjaan Pusat Khidmat dan memastikan semua rekod bayaran (voucher bayaran, cek dan lain-lain) berada dalam keadaan yang tepat dan diluluskan

8) Merekodkan semua perbelanjaan dan penerimaan wang ke dalam akaun Pusat Khidmat secara lengkap dan teratur di dalam Rekod Kira-kira Pusat Khidmat

9) Menyediakan Laporan Kewangan Bulanan untuk dibentangkan dan diluluskan oleh Ahli Parlimen

Maklumat lanjut tugasan, KPI dan penilaian adalah seperti dokumen yang dilampirkan di bawah:

Download (PDF, 169KB)

Syarat permohonan

i. Mempunyai ijazah sarjana muda dalam apa-apa bidang. Graduan yang baru tamat pengajian turut digalakkan memohon

ii. Mesti mempunyai kenderaan sendiri

iii. Gaji bulanan adalah sebanyak RM2,500 sebulan dan dibayar caruman KWSP

iv. Kemahiran khusus yang diperlukan ialah kemahiran merangka surat menyurat dengan jabatan-jabatan kerajaan/swasta/NGO, kemahiran merancang dan melaksanakan program, kemahiran perakauan mudah untuk mengendalikan hal ehwal kira-kira Pusat Khidmat, kemahiran menyelesaikan masalah penduduk dari mengambil aduan hinggalah kepada melaksanakan tindakan

v. Sila hantar CV ke email [email protected] selewat-lewatnya 14 Julai 2014

vi. Calon yang disenarai pendek akan dihubungi untuk temuduga. Calon yang disenarai pendek selepas temuduga akan dipanggil ke Pusat Khidmat untuk ujian ringkas

vii. Calon yang boleh memulakan kerja secepat mungkin bermula 1 Ogos 2014 akan diberikan keutamaan

 

Kekosongan 2 – Jawatan:

Pembantu Pegawai Pusat Khidmat

Tugasan:

1) Mengendalikan aduan harian di Pusat Khidmat Parlimen dengan bertemu penduduk di Pusat Khidmat, termasuk merekodkan aduan dan membuat semakan awal untuk dipertimbangkan Ahli Parlimen, mengambil tindakan dan memfailkan aduan/tindakan mengikut arahan Ahli Parlimen

2) Berhubung dengan jabatan kerajaan, swasta, persatuan orang ramai, NGO dan segala urusan rasmi dan tidak rasmi mengikut kesesuaian tindakan yang diperlukan untuk menyelesaikan aduan penduduk

3) Menyusun dan merekod program yang melibatkan Ahli Parlimen mengikut jemputan orang ramai dan yang disusun oleh Pusat Khidmat

4) Mengatur program-program dan menguruskan koordinasi dengan ahli parti dan petugas/pembantu lain bagi program anjuran Pusat Khidmat

5) Mewakili Ahli Parlimen ke majlis setempat, mesyuarat rasmi Kerajaan dan melawat aduan dan lain-lain bersama-sama wakil Ahli Parlimen yang lain

Maklumat lanjut tugasan, KPI dan penilaian adalah seperti dokumen yang dilampirkan di bawah:

Download (PDF, 160KB)

Syarat permohonan

i. Mempunyai diploma dalam apa-apa bidang. Pemegang diploma yang baru tamat pengajian turut digalakkan memohon

ii. Mesti mempunyai kenderaan sendiri

iii. Gaji bulanan adalah sebanyak RM1,500 sebulan

iv. Kemahiran khusus yang diperlukan ialah kemahiran merangka surat menyurat dengan jabatan-jabatan kerajaan/swasta/NGO, kemahiran merancang dan melaksanakan program, kemahiran menyelesaikan masalah penduduk dari mengambil aduan hinggalah kepada melaksanakan tindakan

v. Sila hantar CV ke email [email protected] selewat-lewatnya 14 Julai 2014

vi. Calon yang disenarai pendek akan dihubungi untuk temuduga. Calon yang disenarai pendek selepas temuduga akan dipanggil ke Pusat Khidmat untuk ujian ringkas

vii. Calon yang boleh memulakan kerja secepat mungkin bermula 1 Ogos 2014 akan diberikan keutamaan