Category Archives: MARA

MARA Tidak Mengambil Tindakan Terhadap Individu-Individu Yang Mendapat Laba Dari Pembelian Hartanah Di Australia

Saya dan Saudara Akmal Nasir (melalui National Oversight and Whistleblowers) telah mendedahkan skandal pembelian hartanah di Australia oleh MARA yang melibatkan penyelewengan berjumlah RM129 juta pada akhir Jun dan awal Julai 2015 lalu. Sehingga kini, 8 bulan kemudiannya, tidak ada seorang pun yang dihadapkan ke muka pengadilan dan MARA masih belum mendapatkan kembali jumlah “terlebih bayar” walaupun ada bukti-bukti kukuh untuk tindakan diambil.

Dengan permasalahan pembiayaan yang dihadapi oleh ribuan pelajar Melayu/Bumiputra yang terkandas kerana kedudukan kewangan MARA yang tidak mengizinkan, saya tertanya-tanya kenapa tidak ada tindakan diambil untuk mendapatkan kembali dana awam. Jumlah RM129 juta adalah jumlah yang besar dan boleh membiayai pendidikan ribuan pelajar Melayu/Bumiputra.

Oleh kerana kegagalan Tan Sri Annuar Musa bertindak mendapatkan kembali dana ini, saya dengan ini mengemukakan bukti dan dokumen yang menunjukkan perkara-perkara berikut:

Download (PDF, 360KB)

1. Individu-individu yang menjadi dalang dan dinamakan di dalam dokumen yang difailkan di mahkamah Australia

2. Cara individu-individu ini menyalurkan dana rakyat dari MARA kepada syarikat-syarikat yang mereka mempunyai kepentingan

3. Hubungkait individu-individu ini dengan EXCO Pemuda Umno

 

INDIVIDU-INDIVIDU YANG DINAMAKAN DI DALAM DOKUMEN MAHKAMAH AUSTRALIA

  • Rujuk dokumen “Statement of Claim” yang difailkan oleh Trubuilt Projects Pty Ltd terhadap Wanissa Properties Pty Ltd yang disertakan bersama
  • Dokumen ini memperincikan bagaimana Wanissa Properties Pty Ltd yang mengusahakan Dudley House (iaitu hartanah yang akhirnya dibeli oleh MARA pada harga yang lebih tinggi) di alamat 7-13 Dudley Street, Melbourne telah gagal membayar hutangnya kepada Trubuilt Projects Pty Ltd iaitu kontraktor yang dilantik bagi menyiapkan Dudley House.
  • Mukasurat 9 pada perenggan 19(x) memperincikan bagaimana MARA melalui anak syarikatnya Thrushcross Land Holdings Limited telah membeli Dudley House pada harga AUD22.6 juta (iaitu AUD4.75 juta lebih mahal dari harga pasaran yang dilaporkan).
  • Mukasurat 9 dan 10 pada perenggan 19(x) memperincikan bagaimana AUD4.75 juta (bersamaan RM14 juta pada kadar tukaran semasa) telah dibayar oleh Wanissa Properties Pty Ltd kepada 3 syarikat iaitu Leuven Capital Sdn Bhd, Optimus Capital Group of Companies Sdn Bhd dan TRR Heritage Sdn Bhd; iaitu syarikat-syarikat yang berkait secara langsung atau tidak langsung dengan Ahmad Nazim Abdul Rahman (CEO Pelaburan MARA Berhad), Mazrul Haizad Marof (dinamakan sebagai kakitangan MARA) dan Izadden Daud (Pengarah Urusan MARA Inc dari tahun 2008 hingga 2010).
  • Mukasurat 10 pada perenggan 19(xi) memperincikan hubungan Ahmad Nazim Abdul Rahman dengan syarikat-syarikat itu melalui satu email yang dihantar bertarikh 4 Julai 2013 mengandungi invois dari syarikat-syarikat tersebut.

CARA DANA DISALURKAN DARI MARA KEPADA SYARIKAT-SYARIKAT YANG BERKEPENTINGAN

  • Saya sertakan salinan-salinan invois (yang turut difailkan di Mahkamah Australia) seperti berikut:

Download (PDF, 301KB)

TARIKH SYARIKAT/BUTIRAN INVOIS JUMLAH INVOIS
24 Julai 2013 “Letter of Indemnity” dari Mazrul Haizad Marof bagi pihak Leuven Capital, Optimus Capital dan TRR Heritage berkenaan tanggungan cukai kepada pihak berkuasa Australia  

 

AUD3,350,000

17 Januari 2013 TRR Heritage: Khidmat rundingan (TRR/2013-003) AUD700,000
17 Januari 2013 TRR Heritage: Yuran professional (TRR/2013-003) AUD1,090,500
26 April 2013 FRP Prestige: Yuran professional (001042013) AUD1,210,000
5 Februari 2013 TRR Heritage: Komisyen (dudley-feb-01) AUD725,000
26 April 2013 Leuven Capital: Komisyen penjualan Dudley (001042013) AUD1,350,000
31 Mac 2013 Leuven Capital: Yuran rundingan dan nasihat – Dudley (001032013) AUD2,000,000
5 Februari 2013 Optimus Capital: Yuran promosi/iklan (dudley-feb-01) AUD675,000
  • Walaupun pelbagai invois yang berlainan dikeluarkan dan bertindih, semakan dengan pihak berkuasa percukaian Australia (seperti yang ditunjukkan di dalam dokumen mahkamah) menunjukkan bahawa jumlah akhir yang dibayar kepada syarikat-syarikat adalah AUD4.75 juta (iaitu jumlah komisyen yang disebut di dalam “Statement of Claim”) seperti berikut:
  1. Leuven Capital – AUD3,350,000 seperti surat bertarikh 24 Julai 2013
  2. Optimus Capital Group – AUD675,000 invois bertarikh 5 Februari 2013
  3. TRR Heritage – AUD725,000 invois bertarikh 17 Januari 2013
  • Maka, jumlah yang MARA “terlebih bayar” sebanyak AUD4.75 juta itu kemudiannya dibayar kepada syarikat-syarikat yang berkait/dikuasai oleh seorang individu bernama Mazrul Haizad Marof.

HUBUNGKAIT DENGAN EXCO PEMUDA UMNO

  • Mazrul Haizad Marof adalah abang ipar kepada Dazma Daud, iaitu EXCO Pemuda Umno di bawah YB Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno.
  • Dazma Daud juga pernah terlibat dengan syarikat-syarikat yang dinamakan di dalam dokumen mahkamah ini iaitu Optimus Capital dan Leuven.
  • Ahmad Nazim Abdul Rahman sebagai seorang pegawai tinggi MARA bukan sahaja dinamakan di dalam dokumen mahkamah bertanggungjawab menghantar invois-invois ini, beliau juga pernah terlibat di dalam satu syarikat lagi yang berkait dengan urusniaga pembelian Dudley House oleh MARA.

Dokumen-dokumen ini adalah satu maklumat umum yang boleh diperolehi dengan mudah dari mahkamah Australia, seperti mana diperolehi oleh MARA. Bukti keterlibatan individu-individu terbabit juga adalah sangat jelas dan sepatutnya tindakan telah diambil oleh Tan Sri Annuar Musa sejak dari tahun lepas.

Dalam kemelut masalah kewangan MARA sehingga menyebabkan ramai lagi pelajar Melayu/Bumiputra menghadapi kesempitan, jumlah RM14 juta ini sepatutnya dituntut dengan segera dari individu-individu terbabit.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pembiayaan MARA Bagi Pelajar UniKL: Jangan Jadikan Pelajar Melayu/Bumiputra Komoditi Politik

Saya telah meneliti kenyataan media yang dikeluarkan Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi MARA yang dipaparkan di laman Facebook beliau bertarikh 13 Februari 2016 mengenai isu pembiayaan pelajar-pelajar MARA terutamanya di Universiti Kuala Lumpur dan institusi pengajian MARA (IPMA) yang lain.

Saya juga mendapat kemaskini perkembangan yang berterusan dari pelajar-pelajar terbabit termasuklah satu arahan yang dikeluarkan oleh pengurusan UniKL/MARA agar pelajar-pelajar terbabit hadir untuk satu majlis pada hari ini. Malah saya dimaklumkan bas-bas juga disediakan untuk mengangkut pelajar-pelajar ini ke satu majlis yang dijangka bertujuan menunjukkan keprihatinan MARA dan penyelesaian pantas masalah ini.

Saya mengeluarkan kenyataan rasmi mendesak MARA berterus terang mengenai kemampuannya membiayai program pendidikan Melayu/Bumiputra (terutamanya yang melibatkan pelajar-pelajar Universiti Kuala Lumpur dan IPMA yang lain) pada 10 Februari 2016. Pada hari itu juga saya telah menjemput semua yang menghadapi masalah dengan pembiayaan MARA memberikan maklumat kepada saya.

Kenyataan Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi MARA mengumumkan bahawa semua pelajar di Universiti Kuala Lumpur dan IPMA akan diberikan pembiayaan mengikut 3 kategori mula disebarkan pada malam 12 Februari 2016. Ini bermakna dalam tempoh 2 hari sahaja keputusan pembiayaan oleh MARA boleh dibuat.

Tan Sri Annuar Musa kemudiannya dengan bermegah menaikkan status di Facebooknya menempelak dakwaan bahawa ada anak-anak Melayu/Bumiputra yang terpaksa menghentikan pengajian kerana tidak mampu, seperti berikut:

anuarmusafb

Saya mengutuk sekeras-kerasnya sikap dan keangkuhan Pengerusi MARA ini dalam menangani kesusahan pelajar-pelajar yang telah berlanjutan bertahun-tahun.

Daripada kajiselidik yang saya telah kumpul mengenai permasalahan pembiayaan pendidikan oleh MARA, setakat ini seramai 468 pelajar telah tampil ke hadapan memberi maklumat. Daripada jumlah ini, 298 iaitu 64% adalah pelajar-pelajar dari Universiti Kuala Lumpur (selebihnya adalah dari IPMA yang lain atau institusi lain dalam dan luar negara).

Paling mengejutkan, apabila ditanya tempoh masa mereka telah berhadapan dengan masalah pembiayaan begini, jawapan responden adalah seperti berikut:

• Kurang dari 6 bulan: 66 orang atau 22%
• 6 bulan hingga setahun: 185 orang atau 62%
• 1 tahun hingga 2 tahun: 14 orang atau 5%
• Lebih dari 2 tahun: 28 orang atau 9%
• Tidak memberi jawapan: 5 orang atau 2%

Saya juga menanyakan sama ada mereka telah menghentikan pengajian atau tindakan mereka jika terus tidak mendapat pembiayaan. Daripada 298 orang pelajar UniKL yang tampil ke hadapan, 30 orang telah pun menghentikan pengajian dan 181 bercadang akan menghentikan pengajian jika terus tidak mendapat pembiayaan menjelang pertengahan tahun 2016 ini.

Semakan saya menunjukkan Tan Sri Annuar Musa telah dilantik menjadi Pengerusi MARA sejak 2013 selepas Pilihanraya Umum 13 (PRU13). Malah, beliau juga adalah Pro-Canselor II Universiti Kuala Lumpur sejak tempoh yang sama iaitu dari 2013 lagi.

Maknanya, sepanjang beliau menjadi Pengerusi MARA dan Pro-Canselor II Universiti Kuala Lumpur sejak 2013 beliau tidak mampu menyelesaikan masalah pembiayaan pelajar-pelajar Universiti Kuala Lumpur di bawah pengurusan MARA sendiri sedangkan masalah ini telah wujud sejak tahun 2013 lagi.

Lebih menjengkelkan, apabila saya mula membawa isu ini, dalam tempoh 2 hari beliau boleh pula menyelesaikan masalah ini. Jika peruntukan kewangan dari MARA dapat diputuskan dalam masa 2 hari sahaja sejak saya menimbulkan perkara ini, maknanya peruntukan itu wujud selama ini tetapi keputusan tidak diambil.

Sebab itu saya memberi amaran kepada Tan Sri Annuar Musa supaya tidak menjadikan nasib pelajar-pelajar Melayu/Bumiputra ini sebagai komoditi politik untuk dijaja di dalam majlis-majlis sedangkan selama ini rintihan mereka tidak didengari. Beliau juga perlu ingat bahawa ada banyak lagi masalah pembiayaan pelajar-pelajar Melayu/Bumiputra yang perlu diselesaikan segera dan bukannya menunggu seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan bersuara.

Oleh itu, saya akan memulakan kembali siri sidang media menumpukan kepada dua perkara utama melibatkan MARA iaitu maklumat-maklumat lanjut pembelian hartanah MARA di Australia dan dapatan kajiselidik masalah pembiayaan MARA yang saya usahakan. Sidang media pertama akan bermula esok 16 Februari 2016 jam 1130 pagi di NOW Centre, Sungai Besi.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Masalah Pembiayaan Di Universiti Kuala Lumpur Dan Lain-Lain: MARA Perlu Senaraikan Semua Pembiayaan Pendidikan Yang Disediakan

Saya sering dihubungi oleh ibu bapa dan pelajar-pelajar yang memohon atau ditawarkan skim pembiayaan pendidikan oleh MARA mengenai masalah-masalah yang mereka hadapi. Gambaran yang saya dapati dari aduan-aduan ini menunjukkan MARA menghadapi masalah dalam melaksanakan tanggungjawabnya membiayai pendidikan pelajar Bumiputra walaupun Pengerusi MARA memberikan gambaran sebaliknya.

Majlis_Amanah_Rakyat_logo

Salah satu aduan yang paling tinggi ialah masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar di Universiti Kuala Lumpur berkenaan pembiayaan pendidikan mereka yang boleh disimpulkan seperti berikut:

1. Mereka asalnya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Universiti Kuala Lumpur dengan persetujuan bahawa yuran kursus dan elaun sara hidup akan disediakan melalui pinjaman MARA

2. Setelah mereka memulakan pengajian, mereka belum mendapat sebarang tawaran pembiayaan oleh MARA. Apabila mereka menghubungi pihak MARA, mereka dimaklumkan bahawa permohonan belum dibuka

3. Mereka dimaklumkan oleh pihak universiti bahawa mereka perlu mendapatkan pembiayaan lain

4. Pihak MARA menawarkan menjadi orang tengah untuk memudahcara pelajar-pelajar ini mendapatkan pinjaman pendidikan dari institusi pendidikan swasta yang kadar faedahnya tinggi dan tidak mampu ditanggung oleh pelajar

5. Mereka dimaklumkan mereka perlu meminjam dari PTPTN yang tidak menyediakan pinjaman sara hidup yang mencukupi

Perkara-perkara ini terus diadukan kepada saya sehingga kini.

Semakan di laman MARA menunjukkan tidak ada satu skim pembiayaan pendidikan pun yang dibuka setakat ini:

1. Sistem Pinjaman Pelajaran MARA di eduloan.mara.gov.my masih ditutup

2. Sistem MyEduloan di https://myeduloan.mara.gov.my masih ditutup dan menyatakan tidak ada sebarang permohonan yang dibuka

3. Sistem e-Pendahuluan di http://online06.mara.gov.my/ependahuluan/index.php?method=ShowHome yang memberikan pendahuluan RM2,000 untuk membayar belanja masuk universiti juga masih ditutup

Keadaan ini menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan di kalangan ibu bapa dan pelajar terutamanya ekoran dari keputusan kerajaan memotong pelbagai peruntukan pendidikan termasuklah biasiswa JPA. Apabila pihak MARA tidak berterus terang timbul kebimbangan mengenai kedudukan sebenar kesediaan dan kemampuan MARA membiayai pendidikan Bumiputra seperti yang dimandatkan.

Saya menyeru supaya Tan Sri Anuar Musa memberikan penjelasan segera mengenai kedudukan pelajar-pelajar di Universiti Kuala Lumpur. Setakat ini beliau enggan mengulas dan menguatkan lagi spekulasi bahawa MARA tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk membiayai pendidikan Bumiputra.

Oleh itu, saya menyeru Tan Sri Anuar Musa memberikan jawapan-jawapan berikut:

1. Senaraikan semua skim pembiayaan pendidikan yang ditawarkan oleh MARA sekarang yang dibuka kepada permohonan

2. Nyatakan sama ada pelajar-pelajar Universiti Kuala Lumpur akan diberikan pembiayaan pendidikan oleh MARA seperti yang mula-mula dijanjikan kepada mereka

3. Nyatakan peruntukan yang diberikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada MARA bagi tujuan pembiayaan pendidikan bagi setiap tahun dari tahun 2009 hingga 2016

Untuk membantu ramai pelajar-pelajar dan ibubapa yang menghadapi kesukaran kerana masalah pembiayaan pendidikan MARA, saya juga telah melancarkan satu aduan dan kajiselidik mengenai pembiayaan MARA di bit.ly/AduanMARA

Saya jemput semua yang menghadapi masalah mengenai pembiayaan pendidikan MARA untuk mengisi maklumat di bit.ly/AduanMARA supaya saya dapat menganggarkan sejauh mana seriusnya masalah pembiayaan pendidikan MARA seperti yang diadukan sebelum ini.

Saya akan memberi tumpuan kepada isu-isu bersabit MARA termasuklah isu pembiayaan ini selain dari maklumat lanjut skandal pembelian hartanah MARA di Australia dalam tempoh seminggu dua ini. Saya cadangkan Tan Sri Anuar Musa supaya tidak mengelak dan segera memberi jawapan kerana lebih banyak perkara akan ditimbulkan selepas ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kontrak Tan Sri Annuar Musa Sebagai Pengerusi MARA Tetap Disambung Dan Tiada Sebarang Penjelasan Dari Pengerusi MARA Terdahulu

visit5

Saya mengambil maklum kenyataan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kontrak perkhidmatan dua pegawai tinggi MARA iaitu Dato’ Abdul Halim Rahim (CEO MARA Inc) dan Dato’ Mohammad Lan Allani (Pengerusi MARA Inc) telah ditamatkan ekoran pendedahan skandal pembelian hartanah melibatkan dana MARA di Australia.

Sementara tindakan tidak menyambung perkhidmatan kedua-dua mereka itu tepat, itu adalah tindakan yang paling ringan yang diambil oleh MARA dan tidak menyelesaikan apa-apa. Perkara yang paling penting ialah memastikan mereka yang bertanggungjawab di kedua-dua belah pihak (iaitu kepimpinan/pengurusan MARA yang meluluskan pembelian dan ahli politik/ahli perniagaan yang menjadi broker kepada pembelian) perlulah dibawa ke muka pengadilan supaya mereka dihukum kerana terlibat di dalam urusniaga yang menyelewengkan dana rakyat.

Oleh yang demikian, selagi soalan-soalan berikut tidak terjawab:

1. Siapa di kalangan kepimpinan dan pengurusan MARA yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan MARA meluluskan pembelian hartanah-hartanah ini yang sekarang jelas ada unsur penyelewengan?

2. Siapa di kalangan ahli politik dan ahli perniagaan yang menjadi broker kepada pembelian-pembelian ini dan apa kaitan mereka dengan MARA sehingga mereka menjadi begitu berpengaruh?

3. Siapa yang mendapat keuntungan dari urusniaga yang melebihi harga pasaran sehingga RM129 juta dan apakah ada di kalangan kepimpinan dan pengurusan MARA yang mempunyai kepentingan bersama yang turut mendapat laba dari keuntungan ini?

Rakyat akan terus beranggapan bahawa skandal ini ditutup begitu sahaja dan mereka yang bertanggungjawab tidak pun dihadapkan ke muka pengadilan.

Dato’ Ismail Sabri Yaakob sebagai menteri yang bertanggungjawab juga perlu menjelaskan kepada rakyat kenapa Tan Sri Annuar Musa masih dilantik sebagai Pengerusi MARA bagi penggal yang baru sedangkan pendedahan setakat ini menunjukkan beliau tahu mengenai pembelian-pembelian ini tetapi tidak mengambil sebarang tindakan segera untuk merungkainya, sehinggalah perkara ini didedahkan oleh saya dan media Australia pertengahan tahun ini.

Dato’ Ismail Sabri Yaakob juga perlu menjawab kenapa sehingga kini mantan Pengerusi MARA pada ketika pembelian-pembelian ini berlaku iaitu Dato’ Seri Idris Jusoh sehingga sekarang masih belum dipanggil atau disiasat kerana semua ini berlaku di bawah pengawasan beliau.

Saya akan terus memberi fokus kepada isu ini dan kepincangan MARA dalam menjaga kebajikan anak-anak Melayu/Bumiputra. Skandal ini tidak boleh ditutup dengan penamatan kontrak dua orang pegawai tinggi MARA.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pegawai Tinggi MARA Yang Dinamakan Di Australia Masih Belum Diambil Tindakan Sejak Skandal MARA Didedahkan

Skandal pembelian hartanah oleh MARA yang melibatkan MARA terlebih bayar sehingga RM129 juta pada kala biasiswa dan pinjaman pendidikan MARA dipotong telah didedahkan dalam bulan Jun 2015. Selain dari beberapa pengumuman pendek mengenai perlantikan juru audit bebas untuk menyemak urusniaga-urusniaga itu, sehingga kini rakyat masih belum mendapat maklumat mengenai tindakan yang telah dan akan diambil terhadap pegawai-pegawai tinggi MARA yang terbabit/disyaki terbabit di dalam skandal ini.

Walaupun jumlah RM129 juta yang disyaki diselewengkan dalam bentuk bayaran melebihi harga pasaran tidaklah setinggi skandal 1MDB yang mencecah dana sehingga RM50 bilion, nilainya tetap besar kerana itu jumlah yang boleh dilaburkan kembali kepada rakyat dalam bentuk biasiswa dan pinjaman pendidikan seperti mandat asal MARA.

Rakan saya di National Oversight & Whistleblowers (NOW), Saudara Akmal Nasir telah ke Melbourne dalam bulan Julai 2015 untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai urusniaga dan siapa yang terbabit. Selain dari nama-nama yang telah diketahui umum, saya terkejut kerana nampaknya tiada sebarang tindakan diambil terhadap seorang pegawai tinggi MARA yang pernah mempunyai kepentingan perniagaan bersama dengan individu-individu yang memiliki syarikat-syarikat yang terbabit dengan pembelian hartanah ini.

Semakan saya di laman Pelaburan MARA Berhad, syarikat pelaburan induk yang menguruskan pelaburan dan aset MARA dan dimiliki sepenuhnya oleh MARA masih menunjukkan seorang yang bernama sebagai Nazim Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Kumpulan Pelaburan MARA Berhad.

Jika siasatan dalaman oleh MARA di bawah kepimpinan Tan Sri Anuar Musa dibuat dengan teliti, siasatan itu sudah tentu akan menunjukkan bahawa Nazim Rahman pernah mempunyai kepentingan perniagaan bersama di dalam syarikat yang terbabit di dalam urusniaga hartanah MARA di Australia. Malah, siasatan ringkas juga akan menunjukkan bahawa Nazim Rahman kenal rapat dan mempunyai kepentingan perniagaan bersama dengan individu-individu yang lain dalam syarikat-syarikat lain selain dari syarikat yang terbabit dalam urusniaga hartanah MARA.

Ini menimbulkan satu percanggahan kepentingan (“conflict of interest”) apabila Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan MARA yang menguruskan pelaburan aset MARA mempunyai kepentingan perniagaan di dalam syarikat yang berurusan dengan MARA dalam pembelian hartanah di Australia.

Malangnya, skandal ini nampaknya cuba didiamkan begitu sahaja dan sehingga kini tidak ada seorang pun yang dihadapkan ke mahkamah atau diambil tindakan oleh mana-mana pihak berkuasa baik MARA sendiri atau SPRM.

Oleh yang demikian, saya akan mendedahkan dokumen-dokumen yang diperolehi dari Australia termasuklah dokumen mahkamah di sana yang secara jelas menamakan individu-individu yang terbabit . Saya berharap tindakan diambil terhadap mereka ini termasuklah seorang EXCO Pemuda Umno yang dinamakan secara jelas di dalam dokumen-dokumen tersebut.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN