Category Archives: Kos Sara Hidup @ Barang Naik

Kerajaan Mempunyai Kuasa Dan Pengaruh Untuk Tidak Menaikkan Tol

Saya merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdul Wahid Omar yang dilaporkan mengesahkan kenaikan tol yang akan berlaku dalam tahun 2014 kerana ia sebahagian dari perjanjian konsesi yang dimeterai oleh kerajaan.

Alasan yang diberikan oleh beliau itu dangkal terutamanya apabila sebahagian besar dari pemegang konsesi lebuhraya utama di negara ini dikuasai oleh anak-anak syarikat milik kerajaan. Oleh kerana pemegang konsesi adalah anak-anak syarikat milik kerajaan, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dan pengaruh untuk merundingkan semula terma-terma perjanjian untuk tidak menaikkan tol.

3 kumpulan terbesar pemegang konsesi lebuhraya adalah seperti berikut:

1. Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang mengendalikan Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya NKVE, Lebuhraya Elite, Lebuhraya Linkedua, Lebuhraya Butterworth Kulim dan Jambatan Pulau Pinang

2. Prolintas yang mengendalikan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Guthrie Corridor Expressway, Lebuhraya Kemuning Shah Alam dan bakal membina Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Kelang dan Lebuhraya Damansara – Shah Alam

3. Gamuda (melalui anak syarikat usahasamanya) yang mengendalikan Lebuhraya Damansara Puchong, Lebuhraya KESAS dan Lebuhraya SPRINT

PLUS dikuasai sepenuhnya oleh agensi-agensi kerajaan iaitu Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Prolintas adalah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu agensi amanah saham milik kerajaan.

Hanya Gamuda yang merupakan syarikat swasta tetapi agensi-agensi kerajaan seperti KWSP, Tabung Haji, KWAP, unit-unit Amanah Saham dan lain-lain mempunyai sekurang-kurangnya 22.59% pegangan (berdasarkan pemilikan saham akhir tahun 2010) di dalam Gamuda yang menjadikan Kerajaan Persekutuan sebagai salah satu pemegang saham terbesar Gamuda melalui pelbagai agensinya.

Tambahan pula, sebahagian besar dari konsesi tol di negara ini mendapat bantuan kewangan penuh kerajaan semasa pembinaan. Kerajaan Persekutuan memberikan bantuan-bantuan seperti subsidi kewangan untuk pengambilan tanah, pembiayaan mudah melalui Bank Pembangunan atau pun geran kewangan kepada pemegang-pemegang konsesi untuk membina lebuhraya. Contohnya, Lebuhraya Maju Expressway dibina hampir sepenuhnya menggunakan geran kewangan kerajaan berjumlah RM976.7 juta hingga membolehkan pemegang konsesinya membuat pinjaman kecil sahaja untuk menyiapkan lebuhraya tersebut.

Sebab itu saya menyanggah kenyataan Dato’ Seri Abdul Wahid Omar yang memberi gambaran salah bahawa kenaikan tol tidak dapat dielakkan kerana perjanjian konsesi dimeterai dengan syarikat swasta.

Hakikatnya, sebahagian besar perjanjian konsesi melibatkan anak syarikat kerajaan. Bagi perjanjian konsesi yang lain, syarikat-syarikat swasta seperti Gamuda dan Maju Holdings telah mendapat pelbagai kemudahan kewangan dari kerajaan atau pun projek-projek besar kerajaan. Pemegang konsesi yang lain pula mendapat pembiayaan mudah kerajaan.

Ini bermakna, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dan pengaruh untuk duduk berbincang dengan pemegang-pemegang konsesi sama ada melalui pemilikan saham pemegang konsesi ini atau bantuan kewangan yang telah pun diberikan kepada syarikat pemegang konsesi. Alasan bahawa kenaikan tol tidak dapat dielakkan kerana perjanjian yang dimeterai dengan swasta tidak dapat diterima kerana sebahagian besar konsesi tol dikuasai oleh kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

16 DISEMBER 2013

Bekukan Sebarang Kenaikan Tambang Pengangkutan Awam Sehingga 2017

Kenyataan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) seperti yang dilaporkan media bahawa kerajaan sedang menimbang untuk menaikkan tambang pengangkutan awam mengesahkan lagi dakwaan saya sebelum ini bahawa tahun 2014 bakal diingati sebagai Tahun Barang Naik (BN) 2014.

Saya pernah memberi amaran bahawa Barisan Nasional merancang untuk menaikkan satu persatu harga perkhidmatan dan barang keperluan sepanjang tahun 2014 untuk memastikan kenaikan harga ini berlaku sebelum GST dilaksanakan menjelang Mac 2015. Barisan Nasional tahu bahawa pelaksanaan GST akan melonjakkan kadar inflasi, maka sukar untuk mereka menaikkan harga barang keperluan selepas pelaksanaan GST memandangkan pilihanraya umum perlu dipanggil sekitar 2017 atau 2018.

Keputusan untuk menaikkan harga barang telah pun dibuat seawal tahun pertama Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam tahun 2009 lagi. Malah sejak 2009, PEMANDU dan menteri yang bertanggungjawab, Dato’ Seri Idris Jala secara terbuka membincangkan rancangan penarikan balik subsidi dari pelbagai sektor termasuk kadar pengurangannya sekali. Ini melibatkan kadar tol, harga gula dan makan, tarif elektrik dan lain-lain.

Kenaikan-kenaikan hanya tidak dilaksanakan kerana Barisan Nasional takutkan kemarahan rakyat mempengaruhi tahap sokongan PRU13. Namun kini, selepas penyelewengan PRU13 yang mengembalikan Barisan Nasional ke Putrajaya, mereka mengambil kesempatan untuk mula melaksanakan keputusan-keputusan menaikkan harga barang yang telah dirancang selama ini. Pengumuman berturut-turut melibatkan kenaikan harga petrol/diesel, harga gula dan harga elektrik mengesahkan bahawa akan ada lagi kenaikan lain yang bakal diumumkan.

Malangnya, kenaikan-kenaikan ini melibatkan barang dan perkhidmatan ruji (essential goods and services) yang membawa kesan berganda kepada harga-harga barang yang lain. Peningkatan kos tenaga dan makanan utama bermakna kos pelbagai barang dan perkhidmatan lain yang berkait dengannya akan turut naik. Kesan berganda ini sudah tentu mempengaruhi kadar inflasi yang akhirnya menaikkan harga barang secara keseluruhan.

Lebih memualkan ialah apabila sebarang penjimatan yang diperolehi Kerajaan Persekutuan dari kenaikan harga barang ini akan dibazirkan melalui pembaziran projek-projek besar dan pemberian BR1M yang tidak mengubah kedudukan sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah. Jumlah bantuan yang diberikan melalui BR1M, walaupun menelan hingga RM7 billion, tidak pun dapat membantu rakyat berhadapan dengan kenaikan harga yang berturut-turut ini.

Oleh yang demikian, jika Barisan Nasional ingin membuktikan bahawa mereka tidak merancang untuk menaikkan harga barang satu persatu sepanjang tahun 2014 sebelum pelaksanaan GST seperti yang saya dakwa, saya mendesak Barisan Nasional membuat akujanji dengan rakyat bahawa tidak akan ada sebarang kenaikan tambang pengangkutan awam sehingga tahun 2017.

Jika akujanji ini dibuat, saya bersedia memohon maaf secara terbuka kepada Barisan Nasional kerana konsisten mengkritik cadangan mereka memotong subsidi dan menaikkan harga barang satu persatu dalam tahun 2014 ini.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

12 DISEMBER 2013

Pindaan Akta Cukai 1967 Menekan Rakyat, Sikap “Double Standard” Barisan Nasional

Tindakan Barisan Nasional membentangkan pindaan-pindaan kepada Akta Cukai 1967 jelas menunjukkan sikap “double standard” mereka. Di kala pelbagai pindaan dibuat untuk mengetatkan lagi undang-undang percukaian dan memberi lebih kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengutip cukai, kesungguhan yang sama tidak pula ditunjukkan dalam kes-kes penyelewengan dan skandal kewangan yang merugikan negara melibatkan pimpinan Barisan Nasional.

Ada dua pindaan yang saya kira memangsakan rakyat kebanyakan terutamanya peniaga kecil.

Pertama, pindaan Akta Cukai 1967 menetapkan bahawa sebarang pengeluaran simpanan dari Skim Persaraan Swasta sebelum umur 55 tahun (kecuali atas sebab-sebab kemalangan dan hilang upaya) akan dikenakan cukai penuh. Ini bertentangan dengan janji Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak semasa melancarkan inisiatif kerajaan menggalakkan Skim Persaraan Swasta pada Julai 2012 bahawa keuntungan dan pendapatan dari Skim Persaraan Swasta dikecualikan dari cukai untuk menggalakkan lebih ramai pekerja swasta mempunyai simpanan persaraan.

Perkara ini sudah menjadi amalan Barisan Nasional sejak kempen PRU13 lalu, iaitu mengumumkan janji manis yang akhirnya dimungkari selepas keputusan PRU13.

Jawapan Timbalan Menteri Kewangan bahawa kerajaan berhak mengenakan cukai kerana penabung dalam Skim Persaraan Swasta mendapat pelepasan cukai adalah tidak tepat. Pembayar cukai hanya mendapat pelepasan cukai sehingga maksima RM3,000 setahun (pada kadar cukai yang dibayar) sedangkan tabungan di dalam Skim Persaraan Swasta kebanyakannya melebihi RM3,000 setahun. Dengan pindaan ini, penabung terpaksa membayar cukai tambahan melebihi dari pelepasan cukai yang diberikan sebelum itu.

Kedua, pindaan Akta Cukai 1967 juga meluaskan kuasa kerajaan untuk mengutip cukai syarikat dari mana-mana pemegang saham yang pegangan saham melebihi 20% atau pengarah atau mana-mana individu yang ditaksirkan mempunyai kawalan terhadap pengurusan sebuah syarikat. Ini bermakna pemegang saham kini terpaksa berhadapan risiko menanggung cukai syarikat walaupun pemegang saham itu tidak terlibat di dalam apa-apa pengurusan sekali pun.

Pindaan ini samalah seperti menghapuskan pemisahan (“corporate veil”) di antara liabiliti syarikat dan individu/pemegang saham yang menjadi asas persyarikatan.

Pindaan-pindaan ini sudah tentu bertujuan untuk membolehkan kerajaan mengutip lebih banyak cukai dari rakyat dan syarikat; walaupun kutipan cukai meningkat secara purata 10% setiap tahun sejak 3 tahun kebelakangan ini.

Saya mencabar Menteri Kewangan di dalam Dewan Rakyat semalam bahawa jika kerajaan mahu menghapuskan pemisahan di antara individu dan syarikat dalam hal kutipan cukai, maka pendekatan yang sama perlu digunakan dalam soal mengutip hutang dari individu yang terlibat di dalam skandal kewangan harta negara.

Ini termasuklah menghapuskan pemisahan di antara pengarah-pengarah NFC dari syarikat NFC dalam soal hutang RM250 juta yang diambil oleh NFC dari kerajaan. Oleh kerana pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967 telah menghapuskan “corporate veil” itu, maka pengarah-pengarah NFC dari keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil tidak lagi boleh berselindung di sebalik alasan hutang diambil syarikat dan perlu membayar segera RM250 juta itu.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

5 DISEMBER 2013

Hapuskan Monopoli Gula Dan Benarkan Import Gula Untuk Turunkan Harga Gula

YB Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) telah mengesahkan di dalam Dewan Rakyat pada sidang hari Khamis (21 November 2013) bahawa Kerajaan Malaysia telah memeterai kontrak jangka panjang untuk membeli gula mentah pada harga yang kini lebih tinggi dari harga pasaran (rujuk Hansard Parlimen).

Keadaan ini menimbulkan beberapa tanda tanya seperti berikut:

1. Kenapa Kerajaan Malaysia memasuki kontrak pembelian gula mentah jangka panjang bagi pihak syarikat swasta sedangkan segala keuntungan adalah milik hak swasta?

2. Siapakah yang bertanggungjawab meluluskan kontrak pembelian gula mentah jangka panjang yang tidak dirunding dengan baik sehingga harganya lebih rendah dari harga pasaran semasa di dunia yang mempunyai kesan terus kepada harga gula bertapis di Malaysia?

Saya telah pun menanyakan kedua-dua soalan ini kepada YB Timbalan Menteri dalam sidang hari Khamis lalu tetapi tidak pun berjawab.

Umum mengetahui bahawa industri gula di Malaysia dimonopoli oleh beberapa syarikat sejak berdekad-dekad. Dulunya oleh syarikat yang dikuasai Tan Sri Robert Kuok, kini ia dikuasai pula oleh syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary dan Felda. Monopoli gula ini diberikan kepada syarikat-syarikat ini melalui satu sistem permit import (approved permit) gula mentah yang hanya diberikan kepada syarikat-syarikat ini. Dalam keadaan Malaysia langsung tidak mempunyai ladang atau perusahaan yang mengeluarkan gula mentah, industri gula di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada import gula mentah dari pasaran antarabangsa. Oleh itu, hanya syarikat yang diberikan permit import atau AP yang boleh mengimport gula mentah dan memonopoli pengilangan dan pembekalan gula bertapis.

Monopoli industri gula yang kini dipegang oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary sudah tentu satu perniagaan yang cukup menguntungkan. Sudah menjadi lumrah perniagaan bahawa harga bekalan turun naik. Bagi industri gula, apabila harga bekalan gula mentah naik, keuntungan syarikat pengilang gula bertapis akan turun dan sebaliknya apabila harga bekalan gula mentah turun, keuntungan syarikat pengilang gula bertapis akan meningkat.

Oleh sebab itulah, saya mempersoalkan kenapakah dalam keadaan harga bekalan gula mentah tidak menguntungkan syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary akibat rundingan kontrak jangka panjang yang tidak sempurna, kerajaan juga dilibatkan kerana kontrak itu dimeterai oleh kerajaan. Risiko untung rugi pembelian gula mentah perlulah ditanggung oleh syarikat pemegang AP gula mentah yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary kerana mereka diberikan monopoli industri gula di Malaysia.

Oleh kerana Kerajaan Malaysia terus mahu menanggung kerugian hasil dari kontrak pembelian gula mentah jangka panjang ini, maka monopoli gula yang diberikan kepada syarikat yang dikuasai Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary perlulah ditarik balik kerana syarikat itu tidak menanggung risiko untung rugi pembelian gula mentah.

Untuk menurunkan harga gula dengan serta merta supaya meringankan bebanan rakyat, saya mencadangkan supaya permit import (AP) untuk membeli gula mentah pada harga yang lebih rendah dibuka dan permit import (AP) untuk membeli gula bertapis juga dibuka untuk mewujudkan persaingan harga. Dalam keadaan harga gula mentah pasaran dunia adalah lebih rendah, dengan lebih banyak syarikat diberi peluang untuk membawa masuk gula mentah dan gula bertapis sudah tentu ia lebih murah dari harga yang ditentukan oleh syarikat monopoli.

Keengganan Barisan Nasional melunturkan monopoli gula yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary mengesahkan mereka lebih mementingkan beberapa kroni berbanding rakyat terbanyak.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

25 NOVEMBER 2013

Senaraikan Langkah-Langkah Khusus Penjimatan Kerajaan, Khairy Jamaluddin Perlu Kemuka Usul Minyak Di Parlimen

Saya mengambil maklum keresahan pimpinan Barisan Nasional yang tidak berani berdepan dalam forum atau debat terbuka mengenai kemelut kenaikan harga minyak yang menimbulkan kemarahan rakyat.

Reaksi Menteri Belia dan Sukan, Saudara Khairy Jamaluddin bahawa beliau tidak sudi berdebat kerana ia boleh dibahaskan di Parlimen adalah jalan mudah yang diambil untuk mengelak. Sebagai seorang Ahli Parlimen penggal kedua, sewajarnya beliau sedia maklum bahawa perbahasan di Parlimen mestilah mengikut urusan perjalanan Dewan yang ditetapkan oleh Kerajaan. Tambahan pula, masanya terhad dan terdedah kepada segala gangguan terutamanya dari Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional.

Oleh itu, sekiranya Saudara Khairy Jamaluddin ikhlas untuk berbahas mengenai permasalahan rakyat akibat kenaikan harga minyak, sebagai Ketua Pemuda Umno wajiblah beliau sendiri yang mengemukakan usul tergempar untuk membahaskan tindakan Barisan Nasional menaikkan harga minyak dan kesannya kepada rakyat.

Beliau juga wajib memastikan dan mengarahkan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional supaya menyokong usul itu dibahaskan di Parlimen untuk mengotakan janji beliau membahaskan isu itu di Parlimen.

Saya menunggu tindakan selanjutnya dari Saudara Khairy Jamaluddin untuk mengemukakan usul di Parlimen untuk membuktikan bahawa tindakan beliau menolak jemputan berdebat bukanlah kerana beliau tidak berani berhadapan dengan suara rakyat. Jika tidak ada apa-apa tindakan di pihak beliau, ternyatalah bahawa beliau hanya memberi alasan kerana tidak berani untuk berdebat.

Saya juga masih menanti pengumuman oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai langkah-langkah penjimatan khusus yang akan diambil oleh Barisan Nasional untuk mengurangkan keborosan kerajaan. Sewajarnya Barisan Nasional membentangkan perincian program-program yang akan dihentikan, perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak lagi dibenarkan serta amalan kerajaan yang ditukar untuk menjimatkan wang. Setiap langkah ini perlulah diperincikan sasaran penjimatan yang akan dicapai dan penjimatannya dilapor di Parlimen setiap 3 bulan, seperti mana organisasi korporat menjalankan program penjimatan kos.

Sebagai permulaan, saya mencadangkan Dato’ Seri Najib Tun Razak mengeluarkan arahan-arahan penjimatan berikut:

1. Belanja petrol bagi kereta rasmi Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai mereka dibayar sendiri oleh mereka seperti yang saya telah suarakan sebelum ini. Apatah lagi saranan ini turut disokong Tun Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Hishamuddin Hussein

2. Memotong peruntukan perjalanan dalam dan luar negeru Menteri, Timbalan Menteri, pegawai-pegawai mereka dan penjawat awam teratas sebanyak 25% berkuatkuasa serta merta untuk mengelakkan perjalanan yang tidak membawa hasil kepada kerajaan

3. Menghentikan serta-merta amalan mencetak kad-kad jemputan yang mahal dan dihantar secara Poslaju kepada Ahli-ahli Parlimen, penjawat awam dan jemputan bagi setiap program kerajaan (seperti Lampiran 1 yang disertakan bersama) kerana ini boleh dibuat secara percuma melalui email dan laman sosial

 

jemputanrasmikerajaan

Ketiga-tiga langkah ini boleh menjimatkan jutaan wang rakyat setiap tahun jika dilaksanakan serta-merta. Saya menunggu arahan-arahan ini dikeluarkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak jika benar beliau mengambil berat kepayahan yang ditanggung oleh rakyat akibat keputusannya menaikkan harga minyak.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

9 SEPTEMBER 2013