Category Archives: Kos Sara Hidup @ Barang Naik

Panduan Bina Semula Negara: Menaikkan Gaji, Mengurangkan Pekerja Asing, Reformasi Pasaran Kerja & Langkah Mengurangkan Beban Rakyat

PENGENALAN

INI CERPEN ATAU KERTAS DASAR?

Saya pernah menulis pelbagai kertas dasar untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau pakatan pembangkang sebelum ini. Di antara tahun 2010 hingga 2015, saya menulis Buku Jingga yang menjadi rujukan pelan peralihan kuasa Pakatan Rakyat ketika itu dan belanjawan-belanjawan bayangan (atau shadow budget) untuk mempamerkan kaedah pengurusan kewangan yang berbeza sekiranya pakatan pembangkang menerajui pentadbiran Malaysia. Saya juga menulis manifesto pakatan pembangkang yang bertajuk Pakatan Harapan Rakyat bagi pilihanraya umum 2013.

Pelbagai pengalaman tersebut meyakinkan saya bahawa banyak ketikanya ahli politik, pemikir dan pembuat dasar (baik di sebelah kerajaan atau pembangkang) terperangkap dengan penyakit syok sendiri. Kita menulis pelbagai idea dalam kerangka pendekatan dan bahasa yang hanya difahami oleh beberapa kerat orang yang bergelumang dengan maklumat-maklumat ekonomi.

Akhirnya kertas dasar itu hanya berlegar di kalangan beberapa kerat yang merasakan diri mereka “pakar”. Idea yang baik untuk rakyat tidak ditularkan dan pentadbiran negara dikekalkan di kalangan golongan elit.

Sebab itu kita terperangkap dengan budaya tidak ambil kisah kerana sebahagian besar proses menggubal dasar negara diterajui dari atas dan dipusatkan di kalangan golongan elit di dalam masyarakat. Apabila rakyat yang terbanyak tidak digalakkan mengambil tahu dan tidak dilibatkan di dalam proses menggubal dasar, maka mereka pun tidak ambil kisah dan terus terperangkap dengan beban kehidupan yang sudah pun cukup merimaskan mereka.

Kali ini saya ingin mengubah keseluruhan pendekatan kepada penggubalan dasar kerajaan yang membawa kesan besar kepada rakyat setiap hari.

Saya mahu mencuba melontarkan idea-idea reformasi kerajaan, ekonomi, pendidikan dan sosial yang radikal dari bawah ke atas: daripada dasar-dasar dipersembahkan oleh parti-parti politik kepada rakyat di bawah, saya berpendapat lebih baik rakyat memberi senarai dasar dan reformasi yang perlu dibuat oleh mana-mana parti politik yang mahu menguasai tampuk kerajaan persekutuan di Putrajaya.

Jika idea-idea reformasi kerajaan, ekonomi, pendidikan dan sosial yang radikal itu mendapat sokongan hebat di kalangan rakyat sehingga ia menjadi tular, ahli-ahli politik tidak ada pilihan lain kecuali untuk turut serta menjaguhi idea-idea itu.

Justeru saya dan adik-adik muda di Pusat Inisiatif Dasar INVOKE (selalu disebut dengan nama Inggerisnya INVOKE Centre for Policy Initiatives atau I-CPI) membukukan idea-idea kami untuk dibaca oleh rakyat keseluruhannya.

Saya dan Eric (ketua penyelidik di I-CPI) berbeza pendapat tentang bagaimana buku ini perlu ditampilkan kepada rakyat. Kebimbangan Eric adalah jika ia nampak tidak serius, ia akan hilang wibawanya dan akan diperlekehkan.

Saya ambil pandangan yang sedikit berlainan. Saya bosan dengan bahasa-bahasa yang hanya orang berdarjat tertentu yang memahaminya. Saya mahu buku ini menjadi penyebar idea di kalangan anak muda dan rakyat terbanyak.

Lalu saya memutuskan (dan Eric terpaksa bersetuju) bahawa buku ini perlu ditampilkan dalam bentuk yang disenangi rakyat terbanyak.

Ia mengandungi idea dasar-dasar radikal yang memberi makna kepada matlamat reformasi (yang saya serta sebilangan besar rakyat Malaysia usahakan sejak sekian lama) tetapi kandungannya, jalan ceritanya dan sasarannya didemokrasikan agar seberapa rakyat Malaysia boleh turut serta mengikutinya.

Sebabnya negara kita telah semakin rosak dan proses untuk membinanya tidak lagi boleh dibolot oleh golongan-golongan tertentu sahaja. Membina kembali negara ini memerlukan penglibatan dan suara setiap rakyatnya tidak kira darjat atau latar belakang.

Saya berkemungkinan besar akan direhatkan dari arena politik tanahair buat masa yang agak panjang. Setakat ini saya tidak boleh bertanding dalam pilihanraya akan datang dan tidak ada jaminan saya akan kembali ke arena politik selepas tempoh halangan berpolitik saya tamat.

Sebab itu saya berharap buku cerpen-yang-bukan-cerpen ini menjadi tempat yang molek untuk saya dan rakan-rakan merakamkan idea-idea kami tentang bagaimana Malaysia boleh dibina kembali untuk generasi akan datang.

Kalau pun saya sendiri bukan lagi di dalam arus politik negara tanahair, sekurang-kurangnya beberapa idea saya dan rakan-rakan yang menjadi teras kepada penglibatan kami di dalam politik sejak sedekad lalu dapat dipertimbangkan oleh rakyat dan penguasa di Putrajaya.

Nantikan Jilid II yang akan menghuraikan pula beberapa bab penting yang menyentuh reformasi-reformasi lain yang belum dihuraikan dalam jilid ini. Saya, Eric dan keseluruhan pasukan di I-CPI mengambil pendekatan untuk belajar dari maklumbalas dan pandangan rakyat bagi PBSN Jilid I ini dahulu; agar PBSN Jilid II yang akan diterbitkan dalam masa beberapa bulan akan datang adalah lebih baik.

Rafizi Ramli
Mei 2017

Download (PDF, 1.5MB)

Komitmen Mengurangkan Pekerja Asing Mengikut Fasa Menjelang 2030

Saya dan pasukan penyelidik yang membantu telah mengkaji masalah kebanjiran dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing sejak beberapa bulan yang lalu. Saya percaya isu reformasi tenaga kerja (“labour reform”) adalah salah satu isu yang paling penting kerana melibatkan jumlah rakyat yang terbanyak.

Pengakuan Encik Chua Choon Hwa, Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bahawa jumlah pekerja asing telah pun melebihi jumlah rakyat Malaysia berbangsa India tahun lepas bukan lagi satu perkara yang mengejutkan.

Unjuran beliau bahawa menjelang tahun 2034, jumlah pekerja asing akan mencecah 7.5 juta orang dan menjadi kumpulan kedua terbesar selepas Melayu/Bumiputra menjelang 2040 mengatasi rakyat Malaysia berbangsa Cina, India, Iban, Kadazan dan kumpulan Bumiputra yang lain; memberi gambaran hala tuju negara ini di bawah Umno/Barisan Nasional.

Lebih merumitkan, sebarang perbincangan jujur mengenai reformasi tenaga kerja di negara ini akan menjadi caca merba kerana pertembungan pihak-pihak berkepentingan seperti berikut:

1. Proses membawa masuk, mengawalselia dan menguruskan pekerja asing telah menjadi industri besar di negara ini. Konsesi bernilai berbilion ringgit diberikan kepada syarikat-syarikat tertentu yang mendapat untung besar untuk melakukan saringan kesihatan, membayar kos permit yang tinggi, ejen-ejen dan pelbagai karenah birokrasi lain. Akibatnya, sebarang keputusan untuk mengurangkan kemasukan pekerja asing sudah tentu akan mengganggu periuk nasi golongan berkepentingan ini yang selalunya rapat dengan pimpinan Umno/Barisan Nasional;

2. Ada beberapa industri yang tidak sepatutnya menggunakan pekerja asing tetapi telah selesa dengan lambakan pekerja asing yang dianggap lebih rendah kos buruhnya dan lebih sedang diurus kerana mereka tidak bertukar-tukar kerja. Sebarang usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing akan mendapat bantahan kuat dari pelobi industri-industri ini.

Masalahnya bebanan dan kesan buruk dari lambakan dan kebergantungan kepada pekerja asing ini benar-benar telah mengatasi kebaikan kos buruh yang lebih rendah yang sering diwar-war sebagai sebab kenapa Malaysia tidak boleh mengurangkan pekerja asing.

Lambakan dan kebergantungan tersebut adalah salah satu punca utama pengangguran di kalangan rakyat Malaysia apabila tenaga kerja Malaysia yang tidak berpendidikan tinggi dikira tidak sesuai (atau tidak mampu bersaing) untuk kerja-kerja yang tidak memerlukan kemahiran teknikal.

Apa perlunya restoran-restoran dan kedai-kedai menggaji pekerja asing sebagai pelayan sedangkan kerja-kerja tersebut boleh dibuat dengan baik (dengan latihan) oleh pekerja tempatan? Apa perlunya kilang-kilang yang tidak memerlukan kemahiran teknikal dan khusus menggaji pekerja asing sedangkan kerja-kerja tersebut sepatutnya diisi oleh rakyat tempatan.

Jika pun ada isu mengenai kesesuaian dan sikap pekerja tempatan yang suka bertukar kerja (seperti yang selalu juga disebut sebagai punca majikan lebih gemarkan pekerja asing), ini adalah isu-isu yang perlu ditangani bersama dengan cara membudayakan perspektif kerja yang lebih baik di kalangan pekerja tempatan.

Sebab itu saya menyeru supaya Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia membentangkan senarai industri-industri yang dibenarkan membawa masuk pekerja asing dan industri-industri yang menggunakan pekerja asing walaupun sebenarnya tidak termasuk di dalam senarai yang diluluskan. Saya yakin ada banyak industri yang tidak dibenarkan membawa masuk pekerja asing tetapi oleh kerana kelompongan dasar dan prosedur di pihak kerajaan, industri-industri ini secara berterusan menggunakan pekerja asing dan menafikan hak pekerja rakyat Malaysia.

Saya menyeru supaya semua pihak memberi fokus kepada usaha-usaha untuk mencapai konsensus nasional agar ada komitmen dan rancangan di peringkat tertinggi kerajaan untuk mengurangkan lambakan dan kebergantungan kepada pekerja asing menjelang tahun 2030.

Saya kini sedang menyiapkan satu kertas dasar mengenai reformasi tenaga kerja yang akan memperincikan sasaran peratusan pekerja asing berbanding pekerja rakyat Malaysia menjelang 2030 serta langkah-langkah ke arah mencapai sasaran itu.

Kertas dasar itu akan dibentangkan di dalam satu wacana dasar yang dianjurkan oleh I-CPI (INVOKE Centre for Policy Initiatives) pada 14 Mei 2017 bermula jam 1 petang di Hotel Empire, Subang.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Harga RON95 Patut Kekal Pada RM2.24 Seliter, Apa Sudah Jadi Dengan Wang RM1.6 Bilion Pendapatan Luar Jangka

Saya sertakan laporan harga minyak mentah Brent mengikut laporan Bloomberg bagi tempoh seminggu sehingga hari ini:

Menggunakan semua data-data harga minyak mentah dan kadar tukaran wang asing berbanding dengan harga minyak mentah Brent, saya telah mengusahakan satu model matematik yang boleh meramalkan harga RON95 dengan berpandukan harga minyak mentah Brent (tanpa perlu menyemak harga MOPS95 yang diterbitkan Platts kerana laporan itu mahal dan tidak boleh disemak orang ramai).

Harga bagi minggu lepas adalah seperti yang ditunjukkan di dalam jadual berikut:

Oleh yang demikian, harga RON95 yang akan disemak esok sepatutnya dikekalkan pada harga RM2.24 seliter.

Memandangkan harga minyak mentah terus kekal pada paras yang jauh lebih tinggi (iaitu ~USD55 setong) berbanding harga yang digunakan untuk Bajet 2017 (iaitu USD45 setong), saya mengunjurkan Kerajaan Persekutuan telah mengumpul RM1.6 bilion pendapatan luar jangka dari kenaikan harga minyak mentah ini.

Oleh yang demikian, saya mengulangi desakan saya supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak membentangkan bagaimana jumlah ini diagihkan secepat mungkin untuk mengelakkan ia digunakan bagi perbelanjaan yang membazir dan tidak menguntungkan rakyat.

Saya mengutuk perangai beliau yang berterusan berdiam diri mengenai perkara ini sedangkan harga minyak RON95, RON97 dan diesel terus kekal pada harga yang tinggi dan membebankan rakyat.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN


Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Harga RON95 Boleh Naik Sehingga 20 Sen Seliter Minggu Ini, Pengguna Perlu Bijak Memantau Harga

Keengganan Dato’ Seri Najib Tun Razak mengembalikan subsidi apabila pentadbiran beliau melaksanakan semakan harga minyak mingguan telah menjerumuskan rakyat kepada turun naik harga minyak yang tidak menentu setiap minggu.

Minggu ini, harga RON95 dijangka akan naik di antara 10 sen hingga 20 sen seliter bergantung kepada reaksi pasaran dunia kepada ketegangan geopolitik yang berlaku di Timur Tengah ekoran serangan roket Amerika Syarikat ke atas lapangan tentera udara Syria semalam.

Saya sertakan carta harga minyak rujukan dunia iaitu Brent (dalam USD setong) yang dikeluarkan Bloomberg:

Harga minyak mentah dunia melonjak dari USD53.12 setong pada permulaan minggu ini (3 April 2017) dan ditutup pada USD55.12 semalam (7 April 2017), iaitu peningkatan mendadak sebanyak 4% dalam masa seminggu. Bergantung kepada tindakbalas Russia (sekutu kuat rejim Assad) dan tentera rejim Assad, jika ketegangan geopolitik itu tidak reda, minggu depan boleh menyaksikan peningkatan mendadak harga minyak mentah.

Jika harga minyak mentah naik pada kadar yang sama iaitu 4% seperti minggu ini, harga Brent boleh mencecah USD57.20 setong. Saya lebih bimbang jika ia naik lebih tinggi dari itu dan melonjakkan harga minyak mentah melepasi USD58 setong.

Oleh kerana harga minyak di stesen minyak berubah setiap minggu, saya menyeru pengguna supaya memantau harga RON95 setiap minggu untuk membolehkan mereka mengatur pembelian minyak pada hari/minggu yang harganya lebih murah sebelum harga dinaikkan pada minggu seterusnya.

Untuk membantu pengguna, saya memutuskan untuk menerbitkan ramalan harga mingguan apabila berlaku kenaikan atau penurunan harga mendadak di pasaran dunia (atau faktor-faktor lain seperti perubahan nilai matawang Ringgit) yang membawa kesan besar kepada harga petrol dan diesel.

Bagi tujuan itu, saya menggunakan kaedah-kaedah berikut:

i. Membina pengkalan data harga minyak mentah Brent, kadar pertukaran matawang, harga RON95 dan harga mengikut kiraan formula yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan

ii. Menggunakan kaedah statistik mudah untuk menentukan perkaitan harga RON95 dengan harga minyak mentah Brent serta kadar pertukaran matawang

iii. Menggunakan perkaitan itu untuk meramalkan harga RON95 bagi minggu seterusnya

Dengan menggunakan data mingguan seperti (i) hingga (iii) bagi bulan Februari dan Mac; plot perkaitan harga RON95 dengan harga minyak mentah Brent adalah seperti berikut:

Oleh yang demikian, saya meramalkan harga RON95 mengikut harga Brent bagi minggu depan seperti berikut, iaitu:

i. Memandangkan harga Brent sudah pun mencecah USD55.12 semalam, ada kemungkinan ia akan terus naik melepas paras USD56 apabila pasaran dibuka pada hari Isnin

ii. Maka, harga RON95 minggu depan akan naik di antara 10 sen ke 20 sen seliter dari harga sekarang

Oleh itu, saya menasihati pengguna supaya bijak mengatur pembelian harga minyak mengikut harga yang diramalkan. Saya juga menyeru supaya Kerajaan Persekutuan campur tangan di dalam rundingan di antara pengendali stesen minyak dan syarikat-syarikat minyak supaya keputusan penghantaran stok tidak merugikan pengendali stesen minyak yang berkemungkinan terpaksa membeli stok pada harga yang lebih tinggi tetapi dijual pada harga yang lebih rendah.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Kenyataan Menteri Mengenai Inflasi Memandang Rendah Masalah Harga Barang Naik

Setakat ini tidak ada apa-apa pengumuman khusus yang menghuraikan langkah-langkah segera yang akan diambil Kerajaan Persekutuan untuk menangani peningkatan mendadak kadar inflasi yang mencatatkan kadar kenaikan harga barang paling tinggi di luar kegawatan ekonomi bulan lepas.

Satu-satunya kenyataan Menteri Kewangan II adalah pendapat beliau bahawa kenaikan itu hanya sementara kerana ia dipacu oleh kenaikan harga minyak yang berlaku beberapa bulan kebelakangan ini.

Namun kenyataan itu bukan sahaja tidak tepat dalam menerangkan faktor-faktor yang mendorong kenaikan mendadak harga barang, ia juga membayangkan seolah-olah Dato’ Seri Johari Ghani tidak faham perkaitan di antara kadar inflasi (iaitu kadar betapa cepat harga barang naik dari setahun ke setahun, atau dari sebulan ke sebulan) dan harga barang yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Apabila beliau dengan secara mudah membuat andaian seolah-olah kadar inflasi tertinggi 4.5% itu akan selesai dengan sendiri, beliau lupa bahawa sedang kadar inflasi boleh turun naik dari satu masa ke satu masa, di Malaysia kebiasaannya apabila harga barang telah naik maka adalah terlalu sukar untuk ia turun.

Keadaan ini digambarkan di dalam graf Indeks Harga Pengguna terkini yang diterbitkan Jabatan Perangkaan bagi menerangkan kadar inflasi dalam bulan Februari 2017, seperti berikut:

 

 

Cara membaca dan memahami graf Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menentukan kadar inflasi adalah:

1. Harga pada tahun rujukan (iaitu tahun 2010) dijadikan harga asas pada indeks 100

2. Harga tahunan kemudian dibandingkan dengan harga setahun (atau sebulan, jika ia kadar inflasi bulanan) sebelum itu. Ini dipersembahkan dalam bentuk indeks dengan harga tahun 2010 sebagai indeks rujukan pada nilai = 100.

3. Kadar inflasi dikira dengan membandingkan indeks harga pada bulan itu berbanding dengan indeks harga setahun sebelum itu untuk memberikan kadar inflasi bagi barang itu.

Merujuk kepada graf di atas, ini bermakna (misalnya):

1. Makanan dan minuman bukan beralkohol (jalur kuning) adalah 28.4% lebih mahal dalam bulan Januari 2017 berbanding harga tahun 2010 (dikira = 128.4% – 100%)

2. Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (jalur biru muda) adalah 16% lebih mahal dalam bulan Januari 2017 berbanding harga tahun 2010

Oleh itu, Dato’ Seri Johari Ghani sepatutnya sedar bahawa walaupun beliau meramalkan kadar kenaikan harga barang adalah lebih perlahan selepas ini kerana harga minyak mentah dunia mungkin tidak meningkat secepat yang dijangka, itu tidak membantu rakyat kerana harga barang kekal mahal setelah ia dinaikkan.

Keadaan ini menjadi lebih parah apabila gaji rakyat tidak meningkat pada kadar yang sama dengan kenaikan harga barang. Contohnya, menggunakan indeks harga dengan membandingkan 2010 dan 2017, sepatutnya gaji rakyat juga meningkat pada kadar yang sekurang-kurangnya sama dengan inflasi iaitu 20% dalam tempoh 7 tahun. Seorang pekerja yang bergaji RM2,000 dalam tahun 2010 sepatutnya mendapat gaji RM2,400 dalam tahun 2017 untuk memastikan sekurang-kurangnya gaji yang diperolehi dapat menampung kenaikan harga barang (jika pun tidak ada kenaikan gaji).

Graf Indeks Harga Pengguna yang kekal menokok dari tahun ke tahun walaupun harga minyak turun naik menunjukkan bahawa harga barang keperluan utama adalah tidak anjal berbanding harga minyak. Ini memberi gambaran ada faktor-faktor lain yang menyebabkan harga barang kekal tinggi dan sangkaan saya faktor-faktor itu termasuklah pengenalan GST, penghapusan subsidi, dasar perniagaan yang menjurus kepada monopoli yang digalakkan kerajaan, kos perniagaan yang tidak dapat dielakkan seperti kenaikan tol dan sebagainya.

Ini bermakna dasar pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang anti-subsidi dan terlalu pro-perniagaan besar adalah punca utama kepada kenaikan harga barang yang berlaku sejak beliau menjadi Perdana Menteri. Oleh itu, tidak memadai bagi beliau dan menteri-menteri terbabit yang secara berterusan menyalahkan rakyat dan peniaga (yang juga rakyat) tanpa ada sebarang langkah berkesan setakat ini untuk menangani kenaikan harga barang.

Jika kenaikan harga barang adalah masalah nombor satu negara yang membebankan paling ramai rakyat, tidakkah penyelesaian masalah ini perlu diberi keutamaan? Sebaliknya kita jarang mendengar Dato’ Seri Najib bercakap mengenai kenaikan harga barang dan lebih banyak menghabiskan masa mengusahakan projek-projek besar yang melibatkan hutang-hutang baru yang ditanggung rakyat dari negara asing seperti China.

Saya sedang mengusahakan satu kertas dasar yang menyeluruh mengenai cadangan-cadangan yang boleh dilaksanakan Pakatan Harapan untuk menangani kenaikan harga barang. Saya menyeru rakan-rakan politik supaya memberi sepenuh perhatian kepada usaha-usaha menurunkan harga barang kerana ini kehendak paling mendesak rakyat.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN