Category Archives: Kos Sara Hidup @ Barang Naik

SYABAS/Puncak Niaga Wajar Belanjakan Wang Selesai Masalah Air, Bukan Saman

Saya dimaklumkan bahawa SYABAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap saya di atas kenyataan yang saya buat pada hari Isnin mengenai masalah bekalan air yang terganggu melibatkan lebih 100,000 pintu rumah di sekitar Lembah Klang.

Sudah menjadi kebiasaan SYABAS atau Puncak Niaga mengambil pendekatan saman setiap kali ada kritikan mengenai prestasinya sebagai syarikat yang memonopoli bekalan air di Lembah Klang.

Sebagai wakil rakyat, saya telah mengambil pelbagai jalan untuk membawa rasa tidak puas hati penduduk yang sering menjadi mangsa gangguan bekalan air terutamanya di kawasan Pandan. Ini termasuklah:

1. Mengumpul tanda tangan bantahan
2. Membawa kes kegagalan SYABAS ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia
3. Membawa isu ini untuk dibahaskan di Parlimen
4. Mengusulkan kepada Kerajaan Negeri supaya menyediakan bekalan air kecemasan apabila berlaku gangguan
5. Berbincang dengan kakitangan SYABAS sendiri untuk membantu penduduk

Malangnya, semua langkah-langkah ini baik yang bekerjasama atau berdepan dengan SYABAS tidak sedikit pun membaiki prestasi bekalan air kepada penduduk. Gangguan terus berlaku dan setiap kali gangguan bekalan air berlaku, jumlah lori air untuk menghantar bekalan kecemasan tidak pernah mencukupi.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab saya terus mengkritik prestasi SYABAS kerana kelemahan perancangan dan operasi SYABAS dan syarikat loji pembersihan air (LPA) yang turut dikuasai oleh kepentingan yang sama (melalui Puncak Niaga) terus menyebabkan kesukaran kepada penduduk di Lembah Klang.

Dalam gangguan terbaru, saya tidak dapat menerima alasan bahawa dua LPA iaitu Batu 11 Cheras dan Bukit Tampoi ditutup kerana kandungan ammonia di dalam air sungai melebihi kapasiti pemprosesan yang dibenarkan di dua LPA itu sedangkan sekiranya LPA itu dinaiktaraf lebih awal, ia boleh menangani air sungai yang mempunyai kandungan ammonia lebih tinggi.

Melalui semakan awam, saya mendapati bahawa kedua-dua LPA itu hanya boleh memproses air sungai yang mempunyai kandungan ammonia maksima sebanyak 1.5 mg/liter. Pada masa yang sama, sisa air rawatan dari sistem kumbahan yang dilepaskan ke sungai-sungai oleh Indah Water Konsortium (IWK) mempunyai kandungan ammonia lebih tinggi kerana piawai yang dibenarkan adalah maksima 15 mg/liter atau 25 mg/liter (bergantung lokasi sungai).

Ini bermakna pengendali LPA seperti Puncak Niaga sememangnya tahu bahawa wujud kemungkinan bahawa kandungan ammonia di dalam air sungai yang tinggi terutamanya apabila musim panas kerana kekurangan hujan. Dalam keadaan kita boleh merujuk kepada ramalan cuaca, bermakna pengendali LPA seperti Puncak Niaga sepatutnya boleh menduga tempoh tertentu yang mana kadar kandungan ammonia di dalam air sungai lebih tinggi yang boleh menjejaskan bekalan air.

Persoalan yang saya timbulkan ialah kenapa tidak ada tindakan proaktif sebelum ini di pihak Puncak Niaga (dan SYABAS kerana kedua-duanya dikawal oleh kepentingan yang sama) untuk menaiktaraf LPA sedia ada agar LPA-LPA ini boleh mengambil air sungai berkandungan ammonia yang lebih tinggi dari 1.5 mg/liter kerana perkara ini boleh dibuat.

Saya difahamkan Puncak Niaga sudah pun bersetuju untuk memasang sistem penapis (filtering system) yang menggunakan Sodium Aluminosilicate yang menelan belanja RM5 juta yang dijangkakan akan meningkatkan keupayaan kedua-dua LPA itu memproses air berkandungan ammnoia yang lebih tinggi dari 1.5 mg/liter.

Masalahnya, pemasangan sistem penapis baru ini akan mengambil masa lebih enam bulan dari sekarang dan tidak akan menyelesaikan masalah bekalan air sekarang.

Bukankah jika tindakan ini diambil lebih awal, dengan mengambil kira ramalan cuaca, masalah gangguan bekalan air yang kini menyusahkan rakyat di seluruh Selangor dapat dielakkan?
Sebab itu saya mengkritik kelemahan perancangan SYABAS dan Puncak Niaga yang tidak menduga lebih awal keperluan menggantikan sistem penapis kepada Sodium Aluminosilicate yang jika dibuat lebih awal telah dapat mengelakkan masalah bekalan air sekarang.

Tindakan jangka pendek iaitu menggunakan kolam-kolam air berdekatan dengan hilir Sungai Langat untuk mencairkan air sungai yang digunakan oleh LPA Bukit Tampoi perlulah dilaksanakan segera kerana kosnya hanyalah sekitar RM360,000 sebulan.

Saya akan terus menyuarakan bantahan kepada mana-mana pihak yang saya fikir tidak meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan nombor satu dalam memastikan bekalan air yang baik kepada penduduk di kawasan saya iaitu Pandan dan rakyat Selangor amnya.

Jika ini bermakna saya akan berdepan dengan tindakan undang-undang, ini bukan kali pertama saya diheret ke mahkamah apabila bersuara di dalam isu berkepentingan awam.

Cuma SYABAS dan Puncak Niaga (serta tuan punyanya) nampak dangkal apabila ia sanggup membazirkan wang membayar peguam menyaman wakil rakyat seperti saya, sedangkan wang itu lebih baik digunakan untuk menukar sistem penapis di loji-lojinya supaya kegagalan yang menyebabkan penutupan dua LPA di Batu 11 Cheras dan Bukit Tampoi dapat dielakkan di masa akan datang.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

21 Februari 2014

Rundingan Semula Perjanjian Tol Perlu Kurangkan Keuntungan Berlipat Kali Ganda

Keputusan kabinet Kerajaan Persekutuan untuk tidak menaikkan tol tahun ini merupakan satu kejayaan kepada suara rakyat dan gerakan protes yang terus membantah sebarang kenaikan harga.

Keputusan itu juga membuktikan bahawa pendirian KEADILAN selama ini bahawa perjanjian konsesi yang telah memberi keuntungan besar kepada pemegang konsesi wajar disemak semula berasaskan perkara-perkara berikut:

1. Pemegang konsesi yang telah mendapat pulangan modal sepenuhnya dari pelaburan tidak wajar terus mengenakan tol pada kadar yang tinggi atas alasan ingin mendapat pulangan pelaburan

2. Perjanjian konsesi perlu dikemaskini dengan angka terbaru kadar kenderaan yang menggunakan dan perbelanjaan pengurusan dan penyenggaraan yang terkini supaya kadar tol yang disemak nanti bukanlah untuk memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada pemegang konsesi

Sekiranya kedua-dua konsep mudah ini dilaksanakan di dalam rundingan semula konsesi tol, sudah tentu tidak ada syarikat pemegang konsesi yang mendapat kadar keuntungan sehingga 50% hingga 60% seperti sekarang. Keuntungan yang berlipat kali ganda dari pelaburan dan kos ini menunjukkan bahawa perjanjian konsesi sekarang benar-benar berat sebelah.

Atas arahan kabinet sendiri agar rundingan semula perjanjian konsesi dipertimbangkan, saya menyeru supaya matlamat rundingan semula itu adalah untuk melaksanakan kedua-dua konsep di atas, bukannya untuk memanjangkan lagi tempoh konsesi sebagai pampasan kepada arahan tidak menaikkan tol.

Sekiranya perjanjian konsesi terus berat sebelah dan tidak mengambil kira dua perkara di atas, saya yakin kita akan berdepan dengan kenaikan tol dalam tahun 2015 pula.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

6 Februari 2014

Barisan Nasional Perlu Hentikan Kenaikan Insuran Kereta Tahunan

Saya merujuk kepada keputusan kerajaan Barisan Nasional yang dibuat dalam tahun 2012 untuk membenarkan kenaikan premium kereta setiap tahun sehingga tahun 2016. Kadar baru premium insuran kereta akan dikuatkuasakan bermula 15 Februari 2014 ekoran dari keputusan menaikkan kadar premium insuran tahunan itu.

Kenaikan premium insuran adalah satu lagi bebanan kepada rakyat yang meningkatkan kos pemilikan kereta yang sudah pun tinggi akibat keengganan Barisan Nasional menghapuskan duti eksais ke atas kenderaan.

Kadar premium insuran kereta adalah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia dan berada sepenuhnya di dalam kawalan kerajaan persekutuan. Kenaikan kadar premium insuran tidak boleh disalahkan kepada mana-mana pihak lain kecualilah Barisan Nasional kerana kelulusan kenaikan premium insuran itu diberikan oleh Barisan Nasional.

Dalam keadaan Barisan Nasional terus gagal untuk menunaikan janji menurunkan harga kereta yang dibuat di dalam Pilihanraya Umum 13 yang lepas setelah isu ini dikupas oleh Pakatan Rakyat, keputusan Barisan Nasional untuk terus membenarkan kenaikan premium insuran ini mempermainkan harapan rakyat yang mahukan kos pemilikan kereta di Malaysia diturunkan.

Saya menyeru supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak mengeluarkan arahan segera supaya kenaikan kadar premium insuran kereta dibekukan serta merta mengambil kira kesusahan rakyat sekarang dan kegagalan beliau mengotakan janji untuk menurunkan harga kereta.

Sudah tentu jika kenaikan premium insuran kereta ini diteruskan juga, ia akan menjadi salah satu dari isu yang akan dibawa di Plihanraya Kecil Kajang kelak.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

6 Februari 2014

KEADILAN Akan Pertahan Hak Rakyat Selangor Dalam Penstrukturan Air

Keputusan Kerajaan Persekutuan yang mahu menggunakan peruntukan undang-undang Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 mengikut Fasal 114 adalah mengecewakan dan membawa risiko besar yang boleh memangsakan rakyat Selangor.

Fasal 114 Akta membolehkan Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengambil alih sepenuhnya harta, perniagaan dan perjalanan harian sesuatu pemegang konsesi atas kepentingan negara. Ini memberi kuasa yang sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan dalam hal ehwal pengurusan pembekalan air di Lembah Kelang.

Hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan kuasa di bawah Fasal 114 Akta telah dimaklumkan kepada Menteri Besar Selangor melalui satu surat bertarikh 9 September 2013. Jika hasrat ini diteruskan, maka seluruh kuasa dan keputusan mengenai pembekalan air di Selangor dan Lembah Kelang kini dikuasai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, saya ingin menggariskan beberapa perkara khusus yang harus dipertahankan oleh Kerajaan Selangor sekiranya tindakan Kerajaan Persekutuan mengambilalih pengurusan air ini diteruskan melalui kuasa Menteri.

Kerajaan Persekutuan pula perlu memberi komitmen yang ditandatangani secara rasmi dengan Kerajaan Selangor untuk memastikan hal ehwal kebajikan rakyat Selangor akan dipertahankan, seperti berikut:

1. Pengurusan air hendaklah kekal di bawah pentadbiran Kerajaan Selangor melalui anak syarikat yang dipilih oleh Kerajaan Selangor. Fasal 114 memberi kuasa penuh kepada Menteri dan SPA untuk menguruskan hal ehwal air, termasuklah soal memilih badan atau syarikat yang dipertanggungjawabkan menguasai keseluruhan aset air di Lembah Kelang. Saya khuatir jika tidak berhati-hati, Kerajaan Persekutuan akan memilih Puncak Niaga dan Syabas sebagai syarikat induk yang diberi kuasa untuk mengambil alih aset semua pemegang konsesi lain dan menjadikannya monopoli air yang terbesar di Malaysia.

2. Harga yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi setiap pengambilalihan syarikat pemegang konsesi air hendaklah telus dan adil kepada rakyat Selangor. Melalui Fasal 114, Kerajaan Persekutuan berkuasa penuh untuk menetapkan harga pampasan aset yang diambil alih melalui kuasa Menteri. Saya khuatir Kerajaan Persekutuan akan berlaku tidak adil dan memberi harga pampasan yang tinggi kepada pemegang konsesi yang rapat dengan Barisan Nasional (seperti Puncak Niaga dan Syabas) dan menghukum pemegang konsesi milik anak syarikat Kerajaan Selangor seperti ABASS. Ini menyebabkan rakyat Selangor terpaksa menanggung kerugian dan membayar pula pampasan kepada Kerajaan Persekutuan.

3. Kontrak dan kos pelaksanaan Projek Langat 2 mestilah telus dan adil kepada rakyat Selangor. Kos pelaksanaan Projek Langat 2 akan menjadi kos tambahan kepada pembekalan air di Selangor dan Lembah Kelang. Saya khuatir harganya akan melambung kerana kuasa melaksana adalah sepenuhnya di tangan Kerajaan Persekutuan. Kos yang melambung ini sudah tentu aka nada kesan kepada tarif air di Selangor kelak.

4. Jaminan bahawa tiada kenaikan tarif air dalam tempoh enam tahun sehingga 2020 dengan memberi tumpuan kepada masalah air bocor (non-revenue water). Melalui Fasal 114, Kerajaan Persekutuan berkuasa penuh memeterai kembali apa-apa perjanjian dan kadar baru tarif air di Selangor dan Lembah Kelang. Saya khuatir keadaan ini dimanipulasi untuk menghukum rakyat Selangor dan kenaikan tarif air yang selama ini ditolak oleh Kerajaan Selangor akan dilaksanakan.

Saya mengajukan kepada Kerajaan Selangor supaya terus berhati-hati dan waspada dengan permainan politik Barisan Nasional melalui pengambilalihan paksa menggunakan Fasal 114 Akta ini.

Saya dan Ahli Parlimen KEADILAN dan Pakatan Rakyat di Selangor akan mengikuti setiap perkembangan dengan teliti dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan politik atau mahkamah untuk memastikan perkara-perkara (1) hingga (4) tidak berlaku.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

14 JANUARI 2014

Potong Projek Besar Yang Membazir, Jangan Tekan Kakitangan Awam

Sementara saya mengalu-alukan pengumuman Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai langkah-langkah untuk mengurangkan belanja kerajaan, pengumuman itu berat sebelah dan tidak menyentuh perkara-perkara besar yang menjadi punca bebaban kewangan yang ditanggung rakyat.

Walaupun pemotongan elaun keraian sebanyak 10 peratus adalah satu isyarat bahawa pentadbiran beliau tahu kemarahan rakyat mengenai kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang diumumkan Barisan Nasional akhir-akhir ini, ia sedikit pun tidak akan membantu menghentikan pembaziran dan keborosan sedia ada.

Jadual berikut menunjukkan jumlah penjimatan dari pemotongan 10% elaun keraian bulanan ini (berdasarkan laporan akhbar sebelum ini):

Jawatan

Elaun Sekarang

Potongan 10%

Jumlah Penjawat

Penjimatan Sebulan

Penjimatan Setahun

Perdana Menteri

RM16,979

RM1,698

1

RM1,698

RM20,374

Tim. Perdana Menteri

RM13,514

RM1,351

1

RM1,351

RM16,216

Menteri

RM11,088

RM1,109

30

RM33,264

RM399,168

Tim. Menteri

RM5,400

RM540

26

RM14,040

RM168,480

 

RM50,353

RM604,238

Ini bermakna, Dato’ Seri Najib hanya memotong sebanyak RM1,698 sebulan dari peruntukannya yang berjumlah berbilion ringgit. Daripada sejumlah RM6.8 bilion yang diperuntukkan kepada beliau untuk projek-projek berbentuk kempen politik (melalui dana fasilitasi sebanyak RM4 bilion, penyusunan masyarakat sebanyak RM900 juta, program mesra rakyat sebanyak RM665 juta, program pembangunan RM1.1 bilion dan projek khas RM202 juta), satu sen pun tidak dipotong sedangkan perbelanjaan sebeginilah yang menyebabkan wang rakyat dibazirkan dengan sewenang-wenangnya.

Saya juga ingin menegur Dato’ Seri Najib kerana langkah-langkah penjimatan yang diumumkan beliau banyak melibatkan kakitangan awam di bawah, seolah-olah memberi gambaran bahawa kakitangan kerajaan adalah punca utama pembaziran pentadbiran beliau. Langkah-langkah seperti menjimatkan elektrik, mengurangkan penggunaan kain rentang dan lain-lain memberi gambaran seolah-olah beliau menyalahkan kakitangan kerajaan di atas kegagalan beliau sendiri mentadbir kewangan dengan baik.

Punca utama masalah kewangan negara adalah pucuk pimpinan pentadbiran yang tidak serius membanteras rasuah, malah juga dilihat terpalit dengan rasuah. Akibat amalan rasuah inilah banyak projek-projek yang ditanggung kerajaan dibayar pada harga berkali ganda mahal atau pun menjadi pembaziran kerana tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Tindakan Dato’ Seri Najib ini tidak ubah seperti pengumuman Tun Abdullah Badawi dalam tahun 2008 dahulu yang turut mengumumkan pemotongan elaun keraian menteri sebanyak 10%. Langkah itu tidak sedikit pun menghentikan pembaziran dan keborosan Barisan Nasional sehinggalah defisit berpanjangan selama 16 tahun berturut-turut.

Kalau benar Dato’ Seri Najib bersama-sama rakyat mahu menangani krisis kenaikan kos sara hidup ini, beliau perlu mengambil tindakan secepat mungkin menghentikan perjanjian-perjanjian berat sebelah dan dasar kerajaan yang membebankan rakyat seperti berikut:

1. Menurunkan cukai eksais kereta serta-merta sebanyak 30% ke arah menghapuskan cukai eksais kereta sepenuhnya. Hutang kereta adalah salah satu bebanan utama rakyat dan penurunan cukai eksais kereta akan mengurangkan tanggungan hutang bulanan

2. Menghentikan kenaikan tol seperti yang dirancang dan merundingkan kembali perjanjian-perjanjian konsesi tol supaya lebuhraya yang sudah mendapat kembali modal pelaburan dikembalikan kepada rakyat

3. Membatalkan peruntukan untuk projek yang bertujuan memberi ruang berbelanja kepada menteri-menteri tanpa matlamat yang jelas, contohnya peruntukan untuk National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang berjumlah RM278 juta seperti yang diumumkan di dalam Belanjawan 2014

4. Membekukan kesemua program penswastaan yang diusahakan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) terutamanya penswastaan kampus-kampus UiTM di seluruh negara yang dijangka membebankan rakyat dan kerajaan dengan berbilion ringgit yang perlu dibayar sebagai sewa kepada pemegang konsesi di masa hadapan

Perkara-perkara yang saya senaraikan di atas adalah contoh-contoh langkah mudah yang boleh diambil sekiranya Dato’ Seri Najib benar-benar prihatin dengan kepayahan rakyat. Pengumuman beliau setakat ini hanyalah reaksi gentar kepada suara kemarahan rakyat yang semakin dizahirkan akhir-akhir ini, bukanlah satu langkah penyelesaian yang berkesan.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

31 DISEMBER 2013