Category Archives: Kos Sara Hidup @ Barang Naik

Pindaan Akta Cukai 1967 Menekan Rakyat, Sikap “Double Standard” Barisan Nasional

Tindakan Barisan Nasional membentangkan pindaan-pindaan kepada Akta Cukai 1967 jelas menunjukkan sikap “double standard” mereka. Di kala pelbagai pindaan dibuat untuk mengetatkan lagi undang-undang percukaian dan memberi lebih kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengutip cukai, kesungguhan yang sama tidak pula ditunjukkan dalam kes-kes penyelewengan dan skandal kewangan yang merugikan negara melibatkan pimpinan Barisan Nasional.

Ada dua pindaan yang saya kira memangsakan rakyat kebanyakan terutamanya peniaga kecil.

Pertama, pindaan Akta Cukai 1967 menetapkan bahawa sebarang pengeluaran simpanan dari Skim Persaraan Swasta sebelum umur 55 tahun (kecuali atas sebab-sebab kemalangan dan hilang upaya) akan dikenakan cukai penuh. Ini bertentangan dengan janji Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak semasa melancarkan inisiatif kerajaan menggalakkan Skim Persaraan Swasta pada Julai 2012 bahawa keuntungan dan pendapatan dari Skim Persaraan Swasta dikecualikan dari cukai untuk menggalakkan lebih ramai pekerja swasta mempunyai simpanan persaraan.

Perkara ini sudah menjadi amalan Barisan Nasional sejak kempen PRU13 lalu, iaitu mengumumkan janji manis yang akhirnya dimungkari selepas keputusan PRU13.

Jawapan Timbalan Menteri Kewangan bahawa kerajaan berhak mengenakan cukai kerana penabung dalam Skim Persaraan Swasta mendapat pelepasan cukai adalah tidak tepat. Pembayar cukai hanya mendapat pelepasan cukai sehingga maksima RM3,000 setahun (pada kadar cukai yang dibayar) sedangkan tabungan di dalam Skim Persaraan Swasta kebanyakannya melebihi RM3,000 setahun. Dengan pindaan ini, penabung terpaksa membayar cukai tambahan melebihi dari pelepasan cukai yang diberikan sebelum itu.

Kedua, pindaan Akta Cukai 1967 juga meluaskan kuasa kerajaan untuk mengutip cukai syarikat dari mana-mana pemegang saham yang pegangan saham melebihi 20% atau pengarah atau mana-mana individu yang ditaksirkan mempunyai kawalan terhadap pengurusan sebuah syarikat. Ini bermakna pemegang saham kini terpaksa berhadapan risiko menanggung cukai syarikat walaupun pemegang saham itu tidak terlibat di dalam apa-apa pengurusan sekali pun.

Pindaan ini samalah seperti menghapuskan pemisahan (“corporate veil”) di antara liabiliti syarikat dan individu/pemegang saham yang menjadi asas persyarikatan.

Pindaan-pindaan ini sudah tentu bertujuan untuk membolehkan kerajaan mengutip lebih banyak cukai dari rakyat dan syarikat; walaupun kutipan cukai meningkat secara purata 10% setiap tahun sejak 3 tahun kebelakangan ini.

Saya mencabar Menteri Kewangan di dalam Dewan Rakyat semalam bahawa jika kerajaan mahu menghapuskan pemisahan di antara individu dan syarikat dalam hal kutipan cukai, maka pendekatan yang sama perlu digunakan dalam soal mengutip hutang dari individu yang terlibat di dalam skandal kewangan harta negara.

Ini termasuklah menghapuskan pemisahan di antara pengarah-pengarah NFC dari syarikat NFC dalam soal hutang RM250 juta yang diambil oleh NFC dari kerajaan. Oleh kerana pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967 telah menghapuskan “corporate veil” itu, maka pengarah-pengarah NFC dari keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil tidak lagi boleh berselindung di sebalik alasan hutang diambil syarikat dan perlu membayar segera RM250 juta itu.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

5 DISEMBER 2013

Hapuskan Monopoli Gula Dan Benarkan Import Gula Untuk Turunkan Harga Gula

YB Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) telah mengesahkan di dalam Dewan Rakyat pada sidang hari Khamis (21 November 2013) bahawa Kerajaan Malaysia telah memeterai kontrak jangka panjang untuk membeli gula mentah pada harga yang kini lebih tinggi dari harga pasaran (rujuk Hansard Parlimen).

Keadaan ini menimbulkan beberapa tanda tanya seperti berikut:

1. Kenapa Kerajaan Malaysia memasuki kontrak pembelian gula mentah jangka panjang bagi pihak syarikat swasta sedangkan segala keuntungan adalah milik hak swasta?

2. Siapakah yang bertanggungjawab meluluskan kontrak pembelian gula mentah jangka panjang yang tidak dirunding dengan baik sehingga harganya lebih rendah dari harga pasaran semasa di dunia yang mempunyai kesan terus kepada harga gula bertapis di Malaysia?

Saya telah pun menanyakan kedua-dua soalan ini kepada YB Timbalan Menteri dalam sidang hari Khamis lalu tetapi tidak pun berjawab.

Umum mengetahui bahawa industri gula di Malaysia dimonopoli oleh beberapa syarikat sejak berdekad-dekad. Dulunya oleh syarikat yang dikuasai Tan Sri Robert Kuok, kini ia dikuasai pula oleh syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary dan Felda. Monopoli gula ini diberikan kepada syarikat-syarikat ini melalui satu sistem permit import (approved permit) gula mentah yang hanya diberikan kepada syarikat-syarikat ini. Dalam keadaan Malaysia langsung tidak mempunyai ladang atau perusahaan yang mengeluarkan gula mentah, industri gula di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada import gula mentah dari pasaran antarabangsa. Oleh itu, hanya syarikat yang diberikan permit import atau AP yang boleh mengimport gula mentah dan memonopoli pengilangan dan pembekalan gula bertapis.

Monopoli industri gula yang kini dipegang oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary sudah tentu satu perniagaan yang cukup menguntungkan. Sudah menjadi lumrah perniagaan bahawa harga bekalan turun naik. Bagi industri gula, apabila harga bekalan gula mentah naik, keuntungan syarikat pengilang gula bertapis akan turun dan sebaliknya apabila harga bekalan gula mentah turun, keuntungan syarikat pengilang gula bertapis akan meningkat.

Oleh sebab itulah, saya mempersoalkan kenapakah dalam keadaan harga bekalan gula mentah tidak menguntungkan syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary akibat rundingan kontrak jangka panjang yang tidak sempurna, kerajaan juga dilibatkan kerana kontrak itu dimeterai oleh kerajaan. Risiko untung rugi pembelian gula mentah perlulah ditanggung oleh syarikat pemegang AP gula mentah yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary kerana mereka diberikan monopoli industri gula di Malaysia.

Oleh kerana Kerajaan Malaysia terus mahu menanggung kerugian hasil dari kontrak pembelian gula mentah jangka panjang ini, maka monopoli gula yang diberikan kepada syarikat yang dikuasai Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary perlulah ditarik balik kerana syarikat itu tidak menanggung risiko untung rugi pembelian gula mentah.

Untuk menurunkan harga gula dengan serta merta supaya meringankan bebanan rakyat, saya mencadangkan supaya permit import (AP) untuk membeli gula mentah pada harga yang lebih rendah dibuka dan permit import (AP) untuk membeli gula bertapis juga dibuka untuk mewujudkan persaingan harga. Dalam keadaan harga gula mentah pasaran dunia adalah lebih rendah, dengan lebih banyak syarikat diberi peluang untuk membawa masuk gula mentah dan gula bertapis sudah tentu ia lebih murah dari harga yang ditentukan oleh syarikat monopoli.

Keengganan Barisan Nasional melunturkan monopoli gula yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary mengesahkan mereka lebih mementingkan beberapa kroni berbanding rakyat terbanyak.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

25 NOVEMBER 2013

Senaraikan Langkah-Langkah Khusus Penjimatan Kerajaan, Khairy Jamaluddin Perlu Kemuka Usul Minyak Di Parlimen

Saya mengambil maklum keresahan pimpinan Barisan Nasional yang tidak berani berdepan dalam forum atau debat terbuka mengenai kemelut kenaikan harga minyak yang menimbulkan kemarahan rakyat.

Reaksi Menteri Belia dan Sukan, Saudara Khairy Jamaluddin bahawa beliau tidak sudi berdebat kerana ia boleh dibahaskan di Parlimen adalah jalan mudah yang diambil untuk mengelak. Sebagai seorang Ahli Parlimen penggal kedua, sewajarnya beliau sedia maklum bahawa perbahasan di Parlimen mestilah mengikut urusan perjalanan Dewan yang ditetapkan oleh Kerajaan. Tambahan pula, masanya terhad dan terdedah kepada segala gangguan terutamanya dari Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional.

Oleh itu, sekiranya Saudara Khairy Jamaluddin ikhlas untuk berbahas mengenai permasalahan rakyat akibat kenaikan harga minyak, sebagai Ketua Pemuda Umno wajiblah beliau sendiri yang mengemukakan usul tergempar untuk membahaskan tindakan Barisan Nasional menaikkan harga minyak dan kesannya kepada rakyat.

Beliau juga wajib memastikan dan mengarahkan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional supaya menyokong usul itu dibahaskan di Parlimen untuk mengotakan janji beliau membahaskan isu itu di Parlimen.

Saya menunggu tindakan selanjutnya dari Saudara Khairy Jamaluddin untuk mengemukakan usul di Parlimen untuk membuktikan bahawa tindakan beliau menolak jemputan berdebat bukanlah kerana beliau tidak berani berhadapan dengan suara rakyat. Jika tidak ada apa-apa tindakan di pihak beliau, ternyatalah bahawa beliau hanya memberi alasan kerana tidak berani untuk berdebat.

Saya juga masih menanti pengumuman oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai langkah-langkah penjimatan khusus yang akan diambil oleh Barisan Nasional untuk mengurangkan keborosan kerajaan. Sewajarnya Barisan Nasional membentangkan perincian program-program yang akan dihentikan, perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak lagi dibenarkan serta amalan kerajaan yang ditukar untuk menjimatkan wang. Setiap langkah ini perlulah diperincikan sasaran penjimatan yang akan dicapai dan penjimatannya dilapor di Parlimen setiap 3 bulan, seperti mana organisasi korporat menjalankan program penjimatan kos.

Sebagai permulaan, saya mencadangkan Dato’ Seri Najib Tun Razak mengeluarkan arahan-arahan penjimatan berikut:

1. Belanja petrol bagi kereta rasmi Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai mereka dibayar sendiri oleh mereka seperti yang saya telah suarakan sebelum ini. Apatah lagi saranan ini turut disokong Tun Mahathir Mohamad dan Dato’ Seri Hishamuddin Hussein

2. Memotong peruntukan perjalanan dalam dan luar negeru Menteri, Timbalan Menteri, pegawai-pegawai mereka dan penjawat awam teratas sebanyak 25% berkuatkuasa serta merta untuk mengelakkan perjalanan yang tidak membawa hasil kepada kerajaan

3. Menghentikan serta-merta amalan mencetak kad-kad jemputan yang mahal dan dihantar secara Poslaju kepada Ahli-ahli Parlimen, penjawat awam dan jemputan bagi setiap program kerajaan (seperti Lampiran 1 yang disertakan bersama) kerana ini boleh dibuat secara percuma melalui email dan laman sosial

 

jemputanrasmikerajaan

Ketiga-tiga langkah ini boleh menjimatkan jutaan wang rakyat setiap tahun jika dilaksanakan serta-merta. Saya menunggu arahan-arahan ini dikeluarkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak jika benar beliau mengambil berat kepayahan yang ditanggung oleh rakyat akibat keputusannya menaikkan harga minyak.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

9 SEPTEMBER 2013

Harga Minyak Naik: Dato’ Seri Najib Bebankan Rakyat Atas Kegagalan Sendiri

Pengumuman kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen bagi RON95 dan diesel sewajarnya ditolak oleh rakyat seperti yang banyak disuarakan di laman-laman sosial dan media. Kenaikan ini membebankan rakyat terbanyak dan dijadikan alasan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menutup kegagalannya mentadbir ekonomi negara dengan baik.

Perkembangan-perkembangan terbaru ekonomi serantau dan kedudukan kewangan negara yang semakin lemah telah menimbulkan pelbagai keraguan yang negatif terhadap kemampuan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Ini termasuklah:

1. Laporan Fitch yang menuruntarafkan prospek ekonomi negara menjadi negatif, iaitu kali pertama ia berlaku dalam sejarah negara melihatkan kadar keberhutangan negara yang semakin tinggi tanpa ada jalan penyelesaian dari Dato’ Seri Najib Tun Razak

2. Matwang ringgit telah hilang nilainya dan susut secara mendadak dalam tempoh sebulan yang lepas

3. Pertumbuhan ekonomi yang tidak mencapai sasaran sejak 15 tahun berturut-turut

Apa yang dituntut oleh rakyat, pasaran, pelabur dan juru analisa adalah satu pelan ekonomi yang menyeluruh yang menangani tiga masalah utama ekonomi negara iaitu:

1. Keberhutangan kerajaan yang melampau sehingga menjejaskan masa depan kewangan negara

2. Keborosan kerajaan yang tidak kenal penghujung sehingga berbelanja melebihi pendapatan (belanjawan defisit) selama 15 tahun berturut-turut

3. Daya saing ekonomi negara yang semakin malap kerana dasar-dasar kerajaan yang menggalakkan rasuah, penyelewengan, kurang daya kreativiti dan tiada tambah nilai

Sebaliknya, Dato’ Seri Najib Tun Razak hanya mengambil jalan pintas dengan memotong subsidi rakyat yang kesannya kepada ekonomi negara tidak seberapa berbanding dengan perbelanjaan yang lain termasuklah subsidi korporat yang lebih besar nilainya.

Fakta-fakta ekonomi membuktikan bahawa tindakan menaikkan harga minyak tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi negara yang kian parah di bawah pentadbiran beliau dan tidak adil kepada rakyat:

1. Belanja subsidi lain lebih besar dan subsidi korporat wajar dipotong dahulu sebelum subsidi rakyat

Seperti yang diumumkan Dato’ Seri Najib Tun Razak, kenaikan harga minyak akan menjimatkan subsidi minyak tahunan sebanyak RM3.3 bilion dalam tahun 2014 ke atas. Beliau juga mengumumkan bahawa anggaran jumlah subsidi yang ditanggung tahun depan (berikutan kenaikan harga minyak ini) adalah RM24.8 bilion.

Setiap tahun, anggaran jumlah penggunaan petrol dan diesel adalah sebanyak 10 bilion liter (petrol) dan 6.5 bilion liter (diesel) . Pada kadar subsidi sebanyak 83 sen bagi seliter petrol dan RM1 bagi seliter diesel, jumlah subsidi petrol dan diesel adalah sebanyak RM14.8 bilion setiap tahun, iaitu hanya 59% dari jumlah subsidi bahan api yang dibelanjakan kerajaan.

Sejumlah RM10 bilion subsidi (atau 41% peratus) setiap tahun adalah subsidi gas dan LPG yang ditanggung oleh kerajaan. Ini tidak termasuk anggaran subsidi gas kepada penjana bebas (IPP) sebanyak sekitar RM8 bilion setiap tahun.

Ini bermakna, subsidi korporat yang diberikan melalui subsidi gas kepada industri dan penjana bebas (dianggarkan sekitar RM13 bilion setiap tahun) adalah hamper sama dengan subsidi petrol dan diesel yang diberikan kepada rakyat.

Sebab itu, KEADILAN bertegas bahawa kita menentang sebarang kenaikan harga minyak selagi subsidi korporat (dalam bentuk subsidi gas kepada industri dan penjana bebas) tidak distrukturkan semula kerana adalah tidak adil menghukum rakyat kebiasaan yang sudah pun bergelut dengan kesempitan kewangan sedangkan kroni dan sektor korporat tidak disentuh langsung.

Tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen adalah bersamaan memotong subsidi minyak rakyat sebanyak 22% setahun, sedangkan penjana bebas yang kaya terus menikmati subsidi korporat.

2. Rakyat golongan sederhana dan miskin paling terkesan dengan kenaikan harga minyak

Pendapatan dan perbelanjaan setiap isirumah adalah berbeza-beza mengikut taraf sosioekonomi keluarga. Mengikut kajian yang dibuat oleh MIER dan berdasarkan Kajiselidik Belanja Isirumah 2009/10, anggaran perbelanjaan untuk petrol dan diesel mengikut kategori pendapatan keluarga adalah seperti berikut:

Pendapatan bulanan isirumah (RM)

% belanja isirumah membiayai petrol dan diesel

<500

35

500 – 1,000

27

1,000 – 2,000

25

2,000 – 3,000

22

3,000 – 4,000

20

> 4,000

10

Ini bermakna, keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana secara puratanya membelanjakan lebih banyak pendapatan mereka setiap bulan untuk membiayai petrol dan diesel (oleh kerana pendapatan mereka lebih rendah dan bahan api adalah keperluan). Oleh itu, kenaikan harga minyak sudah tentu menekan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana kerana jumlah tanggungan tambahan setiap bulan adalah besar berbanding pendapatan bulanan mereka.

KEADILAN menganggarkan secara purata sebuah isirumah yang mempunyai sebuah kereta menggunakan sebanyak 313 liter petrol atau diesel setiap bulan . Kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen sudah tentu akan menambah secara purata perbelanjaan tambahan sebanyak RM63 sebulan atau RM752 setahun.

Jumlah ini adalah besar dan benar-benar akan membebankan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

3. Bantuan BR1M tidak memadai dengan kenaikan belanja dan tidak menyelesaikan kepincangan ekonomi negara

Janji Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa penjimatan dari kenaikan harga minyak ini akan digunakan untuk menyalurkan BR1M yang lebih tinggi adalah tidak bertanggungjawab.

Pertamanya, jumlah BR1M (kalau pun dinaikkan nilainya) tidak berpadanan dengan tanggungan belanja setiap isirumah. Selain dari belanja petrol dan diesel yang meningkat sebanyak RM752 setahun (yang nilainya lebih tinggi dari BR1M), setiap isirumah juga terpaksa berhadapan dengan masalah kenaikan harga barang secara keseluruhannya akibat inflasi. Jumlah tanggungan adalah jauh lebih tinggi dari nilai RM500 BR1M yang ditawarkan.

Keduanya, hanya sebahagian rakyat Malaysia yang menerima BR1M iaitu sekitar 40% isirumah, sedangkan 40% lagi golongan sederhana yang turut terkesan tidak mendapat sebarang bantuan.

Lebih membimbangkan, pendekatan mengagihkan bantuan melalui BR1M bersifat politik yang boleh mewujudkan budaya pergantungan di kalangan rakyat termiskin sedangkan yang mereka perlukan adalah subsidi yang menurunkan kos sara hidup, pendidikan dan peluang pekerjaan yang baik yang membebaskan mereka dari perangkap kemiskinan.

4. Harga minyak mentah secara puratanya menunjukkan pola penurunan sejak kenaikan minyak kali terakhir (Disember 2010)

Kenaikan harga petrol dan diesel pada kali ini adalah pertama kalinya dibuat pada masa harga minyak mentah secara puratanya menunjukkan pola penurunan.

brentcrude

Harga minyak mentah Brent (dalam USD setiap tong)

Sebelum ini, Barisan Nasional sering memberi alasan bahawa harga petrol dan diesel terpaksa dinaikkan oleh kerana harga minyak mentah yang meningkat membebankan negara. Namun, sejak April 2011, sebenarnya harga minyak mentah telah mencatatkan pola penurunan dalam tempoh dua tahun.

Tidak pernah sekali pun harga petrol dan diesel diturunkan apabila harga minyak mentah ini menurun di pasaran dunia. Sepatutnya pola penurunan itu memungkin kerajaan berjimat kerana belanja subsidi petrol dan diesel stabil. Peluang itu disia-siakan dan sebaliknya akibat keborosan, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel pada ketika harga minyak mentah dunia menunjukkan penurunan dalam tempoh 2 tahun yang lepas.

Berdasarkan 4 fakta-fakta ekonomi di atas, KEADILAN percaya bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak telah membelakangkan kepentingan rakyat.

Oleh kerana beliau bertanggungjawab di atas keputusan ini, maka wajarlah beliau jua meredakan kemarahan rakyat dengan mengambil tindakan-tindakan berikut:

1. Mengumumkan kepada rakyat bahawa tidak ada lagi sebarang kenaikan harga atau tariff yang lain dalam tempoh satu tahun bermula dari hari ini

2. Mengarahkan bahawa semua Menteri dan Timbalan Menteri membayar sendiri petrol dan diesel yang selama ini ditanggung oleh kerajaan dengan memansuhkan kemudahan petrol dan diesel berbayar

3. Membenarkan YB Khairy Jamaluddin berdebat dengan wakil KEADILAN mengenai isu ini kerana sudah pasti YB Khairy Jamaluddin sedia berdepan sekiranya tidak disekat oleh UMNO, sepertimana kesudian beliau dalam isu PTPTN dulu

DATO’ SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Setiausaha Agong

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

3 SEPTEMBER 2013

SYABAS Perlu Memberi Pampasan Kepada Pengguna, PKR Mula Bawa Kes Ke Tribunal Pengguna

Kegagalan SYABAS menyelia dan menyenggara rumah pam di Wangsa Maju sehingga menyebabkan gangguan bekalan air yang semakin meruncing di sekitar Selangor Timur (meliputi Parlimen Pandan, Ampang, Gombak, Wangsa Maju dan Setiawangsa) benar-benar mengecewakan rakyat dan tidak boleh diterima sama sekali. Selepas kejadian yang menyebabkan gangguan bekalan air selama tiga minggu dalam bulan Disember 2012, kegagalan yang sama berulang melibatkan rumah pam yang sama.

Ini memburukkan lagi keadaan di seluruh Selangor apabila kawasan-kawasan lain seperti Puchong dan Kelana Jaya turut terjejas. SYABAS seringkali hanya memberi kenyataan mudah menyalahkan kadar penggunaan air yang kian bertambah yang menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan-kawasan terbabit.

Kegagalan SYABAS untuk menyelia/menyenggara rumah pam Wangsa Maju dengan baik (untuk mengelakkan kerosakan yang berlaku dalam bulan Disember 2012 berulang) dan merancang untuk memastikan bekalan air sentiasa bertepatan dengan kadar penggunaan air semasa membayangkan kelemahan-kelemahan ketara dalam pengurusan dan operasi SYABAS.

Sebagai pemegang konsesi yang memonopoli bekalan air di Lembah Klang, kelemahan-kelemahan ini tidak boleh diterima sama sekali oleh pengguna. SYABAS mempunyai tanggungjawab untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan ini dan selagi gangguan berterusan akibat kelemahan-kelemahan ini, perlulah memberi pampasan kepada pengguna yang terkesan dari gangguan bekalan air.

Oleh yang demikian, sebagai Ahli Parlimen di salah sebuah kawasan yang paling terkesan dengan gangguan bekalan ini, saya telah membuat keputusan untuk memfailkan seberapa banyak kes tuntutan terhadap SYABAS di Tribunal Tuntutan Pengguna mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Mengikut Seksyen 53, Akta Perlindungan Pengguna 1999, “Jika perkhidmatan dibekalkan kepada pengguna, maka hendaklah tersirat suatu gerenti bahawa perkhidmatan itu akan dijalankan dengan ketelitian dan kemahiran yang munasabah.” Jika SYABAS mempunyai ketelitian dan kemahiran yang munasabah, kelemahan-kelemahan yang menyebabkan gangguan bekalan air berulang telah lama dapat diatasi.

Pusat Khidmat Parlimen Pandan akan menghubungi seberapa banyak isirumah yang terjejas dengan gangguan bekalan air dan akan memfailkan kes terhadap SYABAS untuk menuntut pampasan di Tribunal Tuntutan Pengguna. Pengguna juga boleh mengisi sendiri maklumat di blog saya www.rafiziramli.com/tribunalpengguna. Saya mensasarkan sekurang-kurangnya 1,000 kes untuk difailkan terhadap SYABAS bermula minggu depan.

Langkah untuk memaksa SYABAS bertanggungjawab kepada rakyat perlu bermula dengan memastikan SYABAS memberi pampasan kepada pengguna yang terjejas setiap kali ada gangguan bekalan air. Selagi tidak ada kempen tersusun untuk memaksa SYABAS memberi pampasan kepada rakyat, selagi itulah SYABAS tidak menghiraukan kesusahan yang dihadapi rakyat setiap kali gangguan bekalan air berlaku.

Saya telah menghubungi YB Azmin Ali (Gombak), YB Zuraida Kamaruddin (Ampang), YB Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju), YB Hannah Yeoh (Subang Jaya), YB Tiew Way Keng (Teratai), YB Iskandar Abdul Samad (Cempaka), YB Wong Chen (Kelana Jaya) dan YB Gobind Singh Deo (Puchong) untuk memulakan kempen tersusun memaksa SYABAS memberikan pampasan kepada pengguna yang terjejas setiap kali ada gangguan bekalan air.

Saya juga telah menulis secara rasmi kepada Tan Sri Rozalli Ismail, Pengerusi SYABAS untuk beliau turun sendiri ke Pandan menerangkan kepada penduduk sebab-sebab kegagalan SYABAS membekalkan air dengan baik seperti yang diamanahkan mengikut perjanjian konsesi.

 

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

29 OGOS 2013