Category Archives: Kos Sara Hidup @ Barang Naik

Ramalan Harga RON95 Minggu Bermula 18 Januari 2018

Berdasarkan harga MOPS95, kadar tukaran matawang antara Australian Dollar (AUD) dan Ringgit Malaysia (MYR), saya jangka harga RON95 naik antara 1 hingga 2 sen.

Harga pasaran MOPS95 diperolehi dari laporan mingguan Australian Institute of Petroleum (AIP). Setakat ini hanya AIP yang menerbitkan MOPS95 secara percuma, tetapi di dalam AUD. Oleh sebab itu, harga dalam AUD perlu diterjemah ke dalam MYR.

Harga minyak mentah dunia kekal tinggi sekitar USD68 ke USD69 se-tong.

Kiraan berikut adalah berdasarkan formula yang ditetapkan sendiri oleh Kerajaan Persekutuan.

01 - 17 - 2

01 - 17 - 1

Weekly Petrol Prices Report – 14 January 2018

Kenapa Pentadbiran Dato’ Seri Najib Denda Pegawai Kerajaan Yang Cukainya Dikira Oleh Kerajaan?

HANTAR ADUAN LDHN KE
bit.ly/aduanlhdn

Saya telah membawa isu taksiran tambahan yang dikenakan oleh LHDN kepada segenap lapisan masyarakat ekoran tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak memperkenalkan sistem komisen yang mengikat LHDN kepada sasaran kutipan cukai tertentu yang perlu dikutip setiap tahun. Saya sendiri pernah melalui perkara ini.

Saya sertakan dokumen-dokumen taksiran dari LDHN dan segala surat menyurat seperti di bawah:

1. Makluman dari LHDN kepada Parlimen mengenai taksiran tambahan dan denda ke atas saya

12 - 18 - 2a

2. Saya hanya disalinkan sahaja

12 - 18 - 2b

3. Saya didenda kerana kononnya tidak mengisytiharkan pendapatan secukupnya, sedangkan pengisytiharan pendapatan dan taksiran dikira di antara LHDN dan Parlimen

12 - 18 - 2c

4. Tidak ada satu pun angka pengisytiharan dari saya, semuanya dari LHDN. Malah, saya tidak menuntut apa-apa pelepasan sedangkan saya juga ada membeli buku, membayar insurans dan lain-lain

12 - 18 - 2d

5. Perincian oleh LHDN yang menunjukkan saya didenda dua kali di bawah Seksyen 112(3) iaitu kelewatan mengemukakan Borang Nyata dalam tempoh yang ditetapkan. Saya telah membayar denda ini dalam tahun 2015 dan kini membayar sekali lagi kerana LHDN yang membuat taksiran dalam tahun 2015 tersalah buat taksiran!

12 - 18 - 2e

6. Jenis-jenis denda dan juga penalti tambahan akibat kelewatan membayar denda. Penalti tambahan seperti ini sama seperti faedah ke atas denda

12 - 18 - 2f

7. Sebenarnya LHDN sendiri yang mengirakan cukai untuk saya dalam tahun 2015 kerana taksiran tahun 2014 adalah tahun pertama saya menjadi Ahli Parlimen dan saya tidak tahu pendapatan mana yang dicukai dan mana yang tidak dicukai. Maka, LHDN salah kira dan mendenda saya atas kesilapan LHDN dan mendenda saya lewat memfail Borang Nyata sedangkan ia dibuka semula oleh LHDN.

12 - 18 - 2g

 

Sebab itu saya menyuarakan berkali-kali mengenai perkara ini kerana saya bimbang berlaku banyak penganiayaan kepad rakyat biasa, walaupun jumlahnya mungkin kecil.

Apatah lagi dalam kes pegawai-pegawai kerajaan, yang menentukan jumlah yang dipotong berkala melalui Potongan Cukai Berkala (PCB) adalah kerajaan sendiri.

Dalam kes saya, LHDN sendiri yang membuat kiraan dalam tahun 2015 dan telah mendenda saya. Kemudian dalam tahun 2017, LHDN membuka kembali fail itu dan mendakwa saya tidak mengisytiharkan pendapatan sedangkan pengisytiharan itu dibuat oleh LHDN sendiri.

Oleh kerana LHDN telah membuka kembali fail saya yang telah saya selesaikan sebelum ini, LHDN mengenakan denda lewat kemuka Borang Nyata buat kali kedua dan mendenda saya lagi atas tindakan LHDN membuka kembali fail saya.

Jelas bahawa proses ini menganiaya orang biasa terutamanya yang kurang mahir dengan hal ehwal percukaian.

Sebab itu saya telah menyediakan satu laman di alamat bit.ly/aduanldhn untuk membolehkan orang ramai mengemukakan dokumen kes mereka sekiranya mereka merasakan berlaku ketidakadilan dalam proses taksiran semula dan denda oleh LHDN.

12 - 18 - 2h

 

Saya akan berusaha membela kes-kes yang jelas menganiaya orang ramai agar LHDN juga tertakluk kepada pertimbangan atas neraca keadilan sosial, bukannya tunduk kepada tuntutan Putrajaya untuk mendapatkan cukai lebih tinggi setiap tahun.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Najib Perlu Hentikan Kutip Cukai Tersembunyi Seperti IMAMS Dan Cukai Penumpang

Dua kontroversi terkini yang memalukan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah berpunca dari keghairahan Kerajaan Persekutuan mengutip cukai-cukai tersembunyi untuk membiayai program yang sememangnya tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

Pengenalan IMAMS yang terpaksa dibatalkan dalam tempoh kurang 48 jam sebenarnya berpunca dari kegagalan pihak berkuasa mengawal selia ejen-ejen pakej umrah sehingga menyebabkan ada orang ramai yang tertipu. Lebih teruk lagi, ada juga penipuan pakej umrah ini yang melibatkan pertubuhan yang ada kaitan dengan pentadbiran Umno sendiri.

Sepatutnya ini merangsang pentadbiran Dato’ Seri Najib untuk segera mengambil tindakan melalui jabatan-jabatan sedia ada di bawah bidang kuasa beliau sendiri seperti JAKIM dan Tabung Haji untuk mengelakkan penipuan pakej umrah.

Namun yang berlalu adalah sebaliknya – Kerajaan Persekutuan melantik sebuah syarikat swasta melalui sistem konsesi dengan memberi anugerah untuk mengutip cukai tersembunyi dari orang ramai yang ingin menjalankan ibadah umrah. Bayaran RM90 yang dikatakan untuk menampung caj perkhidmatan penyediaan sistem untuk memantau pakej umrah serta insuran yang dikenakan (ditambah pula dengan GST ke atas kedua-dua bayaran tadi) sebenarnya adalah cukai tersembunyi yang dikutip oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib.

Sedangkan tugas untuk memastikan tidak berlaku penipuan di dalam tawaran pakej umrah itu memang tugas Kerajaan Persekutuan. Ada beratus-ratus kakitangan Kerajaan Persekutuan di bawah JAKIM dan Jabatan Perdana Menteri yang boleh sahaja diarahkan oleh Dato’ Seri Najib untuk memantau dan menguatkuasakan undang-undang terhadap operator umrah yang menipu.

Kalau pun perlu ada sistem perisian baru yang dibangunkan khusus bagi tujuan memantau, peruntukan ribuan bilion kepada Jabatan Perdana Menteri sepatutnya cukup untuk menampung perbelanjaan itu tanpa perlu mengutip cukai tersembunyi dari rakyat.

Begitu juga dengan kontroversi mengenai cukai penumpang (“passenger service charge” atau PSC) yang lebih mahal yang mahu dikenakan ke atas pengguna KLIA2 walaupun lapangan terbang itu sepatutnya adalah untuk penerbangan kos rendah.

Saya terkejut membaca laporan mengenai kenyataan Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (MAVCOM) bahawa Kerajaan Persekutuan terpaksa menaikkan cukai penumpang di KLIA2 dari RM50 setiap orang kepada RM73 setiap orang (bagi setiap penerbangan antarabangsa) untuk mengelakkan Kerajaan Persekutuan membiayai sekitar RM60 juta kos “subsidi”.

(Baca laporan BERNAMA di https://www.malaysiakini.com/news/405729)

Saya bersuara pada hari ini untuk menghalang Kerajaan Persekutuan menambah satu lagi bentuk cukai tersembunyi yang boleh dikenakan ke atas penumpang berikutan ura-ura penumpang akan dikenakan RM35 seorang bagi pelaksanaan Advance Passenger Screening System (APSS) bertujuan mengurangkan risiko serangan keganasan dengan memantau pergerakan keluar-masuk di lapangan terbang.

Sama seperti tanggungjawab menghalang berlaku penipuan dalam pakej umrah yang ditawarkan kepada orang ramai, tanggungjawab menjaga keselamatan di lapangan terbang juga adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

Dato’ Seri Najib sudah mencapai tahap kegilaan baru jika setiap tanggungjawab yang memang perlu dipikul oleh Kerajaan Persekutuan hanya mahu dilaksanakan dengan mengutip cukai tersembunyi, seperti cukai melalui IMAMS, cukai penumpang dan selepas ini mungkin cukai APSS.

Lebih teruk lagi apabila menteri kesayangan Dato’ Seri Najib iaitu Dato’ Seri Rahman Dahlan membelanjakan RM37 juta untuk menganjurkan pameran di Dataran Merdeka yang membodek dan mengagung-agungkan Perdana Menteri?

Jika Putrajaya ada RM37 juta untuk menganjurkan pameran, kenapa pula Putrajaya perlu mengutip cukai tersembunyi melalui IMAMS, PSC dan selepas ini cukai APSS untuk menjalankan tugas yang memang tugas Kerajaan Persekutuan?

Saya suka mengingatkan rakyat Malaysia bahawa jika BN menang sekali lagi dalam PRU14, bukan sahaja GST akan naik dan lebih banyak denda cukai pendapatan akan dikenakan, ada kemungkinan besar cukai-cukai seperti IMAMS, PSC, APSS dan segala jenis cukai tersembunyi akan terus diperkenalkan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Harga RON95 Sepatutnya Turun 5 Sen Malam Ini, Kerajaan Jangan Cukai Untuk Minggu Depan

Berdasarkan angka-angka mengenai harga MOPS95 (sumber: laporan mingguan dari Australian Institute of Petroleum http://www.aip.com.au/), tukaran mata wang dan harga minyak mentah dunia (sumber: https://www.bloomberg.com/), harga RON95 mengikut formula yang ditetapkan sendiri oleh Kerajaan Persekutuan sepatutnya RM2.24 seliter, iaitu turun sebanyak 5 sen malam ini.

Saya sertakan jadual kiraan harga mingguan mengikut formula seperti berikut:

13-12-1

Kebelakangan ini, saya jarang mengeluarkan kenyataan media mengenai harga mingguan RON95 kerana saya yakin banyak pihak yang melaporkannya dengan tepat.

Walau bagaimana pun, harga minyak mentah Brent naik melonjak melepasi paras USD65 setong minggu ini sebelum turun ke paras sekitar USD63 setong, seperti yang ditunjukkan carta harga dari Bloomberg seperti di bawah:

13-12-2

Oleh itu, walaupun kenaikan yang berlaku pada 2 hari pertama minggu ini tidak akan mempengaruhi harga yang ditetapkan dan akan diumumkan malam ini (kerana itu merujuk kepada harga minggu lepas setakat 8 Disember 2017 sebelum harga minyak mentah naik melonjak), KPDNKK boleh saja mengumumkan penurunan harga RON95 yang tidak mengikut formula untuk memastikan kenaikan minggu depan tidak terlalu tinggi.

Sebab itu saya meminta KPDNKK yang menetapkan harga minyak RON95 untuk tetap menurunkan harga RON95 sebanyak 5 sen mengikut formula walaupun pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak berhadapan risiko kemarahan rakyat apabila harga RON95 boleh naik lebih tinggi dari itu minggu depan.

Jika penurunan harga RON95 malam ini kurang dari 5 sen, menteri berkenaan sepatutnya mendedahkan senarai harga dan formula yang digunakan.

 

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

 

Najib Enggan Dedahkan Pecahan Kutipan LHDN, Sembunyikan Jumlah Kutipan Denda Dan Faedah Yang Ditanggung Rakyat

Selain dari cukai GST, golongan berpendapatan sederhana kini ditekan pula dengan cukai pendapatan tambahan yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Saya telah membawa perkara ini sejak pertengahan tahun ini tetapi kurang dihiraukan oleh pihak kerajaan.

Kebimbangan saya ialah keputusan Dato’ Seri Najib mengkorporatkan LHDN akan menyebabkan LHDN terpaksa memenuhi sasaran kutipan tertentu kerana pendapatan (dirujuk di dalam dokumen bajet sebagai fii) LHDN tertakluk kepada berapa jumlah cukai yang dikutip oleh LHDN. Contohnya, bagi 2018 pentadbiran Dato’ Seri Najib telah memperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion sebagai fii atas khidmat LHDN mengutip cukai dari orang ramai, seperti helaian bajet yang berikut:

12-06-2017-6.png

Baru-baru ini pada 27 November 2017, akhbar perniagaan The Edge melaporkan (capaian di http://www.theedgemarkets.com/article/irb-launches-operasi-mega-reach-higher-tax-target-rm1347b-2018) bahawa LHDN telah melancarkan Ops Mega untuk mengutip cukai dari orang ramai dan syarikat bagi tujuan memenuhi sasaran kutipan cukai sebanyak RM134.7 bilion bagi 2018. Ini bermakna, LHDB dibayar sebanyak 1.63% dari jumlah kutipan cukai yang dipungut bagi pihak kerajaan.

12-06-2017-7

Sebab itu saya telah melahirkan kebimbangan sebelum ini mengenai keputusan dan tindakan Dato’ Seri Najib mengkorporatkan LHDN dengan mengambil kaedah memberi insentif kewangan sebagai komisen kepada jumlah cukai yang dikutip. Lebih-lebih lagi apabila keperluan kewangan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib adalah jauh lebih tinggi yang menyebabkan LHDN terpaksa berusaha mengutip sasaran cukai yang bertambah tinggi setiap tahun.

Dalam keadaan ekonomi tidak berkembang pada kadar yang sepadan dengan kekayaan Malaysia dan gaji pekerja tidak naik, saya telah suarakan sebelum ini kebimbangan sekiranya LHDN lebih cenderung untuk mengenakan denda dan mengutip faedah atas cukai-cukai yang didakwa tidak dibayar di tahun-tahun lepas. Sementara syarikat besar mempunyai wang untuk membayar peguam dan akauntan, rakyat biasa tiada pilihan kecuali membayar sahaja jika tidak mahu faedah dan denda terus meningkat setiap tahun.

Saya telah mengemukakan satu soalan di Parlimen baru-baru ini untuk mengenal pasti sama ada peningkatan kutipan cukai oleh LHDN adalah disumbangkan oleh keuntungan syarikat/gaji pekerja yang lebih tinggi atau disebabkan lebih banyak denda atau faedah yang dikenakan kepada rakyat.

Sepatutnya soalan saya ini dapat dijawab dengan mudah, tetapi jawapan yang diberikan oleh Dato’ Seri Najib adalah panjang berjela tanpa sedikit pun menjawab soalan tersebut:

12-06-2017-2

12-06-2017-3

12-06-2017-4

Akhirnya, Dato’ Seri Najib tidak mahu mendedahkan pecahan mengikut cukai sebenar yang dikutip, denda yang dikenakan dan faedah yang dikutip atas denda dan cukai yang lewat dibayar. Saya yakin ini berpunca kebimbangan Dato’ Seri Najib bahawa rakyat akan menjadi bertambah marah sekiranya peningkatan kutipan cukai oleh LHDN sebenarnya bukan disebabkan oleh pertambahan pendapatan rakyat/keuntungan syarikat sebaliknya denda dan faedah yang dikenakan untuk memenuhi sasaran kutipan cukai rakyat.

Saya akan melancarkan satu laman online untuk membolehkan orang ramai yang merasa dianiaya dengan tuntutan denda dan faedah yang tidak berpatutan dari LHDN untuk mendapatkan khidmat akauntan sukarela membantu rakyat biasa yang tidak mampu membayar peguam atau akauntan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

 Facebook | Rafizi Ramli

https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

 Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg