Category Archives: Kebajikan Rakyat

Sekat Kakitangan Dan Pengurusan PETRONAS Dari Semenanjung Bukan Jawapan Kepada Barisan Nasional Mungkir Janji

Saya membaca laporan-laporan mengenai tuntutan supaya lebih ramai kakitangan PETRONAS yang berasal dari Sarawak diberikan tempat dalam pengurusan dan lebih banyak jawatan dikhaskan secara kuota kepada penduduk Sarawak. Saya juga sedia maklum dengan cadangan YB Chong Chin Jien, Ahli Parlimen Kuching yang mencadangkan supaya Kerajaan Sarawak menggunakan kuasa imigresennya untuk menyekat kakitangan dan pengurusan PETRONAS yang bukan dari Sarawak dari masuk ke negeri itu.

Saya adalah sebahagian dari keluarga PETRONAS sejak berumur 17 tahun hinggalah saya meninggalkan syarikat kebanggaan negara itu hampir 10 tahun yang lalu bila mana kontrak perkhidmatan seperti perjanjian penajaan pendidikan hampir tamat. Sepanjang perkhidmatan saya dengan PETRONAS, saya pernah terlibat dengan pengurusan Perniagaan Petrokimia (yang mempunyai anak syarikat di Sarawak) dan pengurusan PETRONAS Carigali (yang mempunyai operasi yang besar di Sarawak).

Sedang saya memahami sentimen sebahagian besar rakyat Sarawak yang merasakan bahawa kekayaan negeri mereka tidak dikongsi sama rata, saya juga ingin mengajak ahli-ahli politik dan rakyat Sarawak untuk memfokuskan bantahan dan kritikan kepada punca sebenar masalah ini iaitu Kerajaan Persekutuan. Tindakan menyalahkan PETRONAS bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah malah pada pendapat saya bertentangan dengan kebajikan kakitangan eksekutif PETRONAS yang berasal dari Sarawak sendiri.

Kakitangan eksekutif PETRONAS diambil bekerja oleh ibupejabat PETRONAS dan kemudiannya ditugaskan ke unit-unit dan anak-anak syarikat di seluruh dunia. PETRONAS mempunyai operasi besar yang meliputi huluan (upstream), gas dan LNG, loji penapisan dan petrokimia, operasi hiliran (downstream) yang lain, pemasaran, perdagangan antarabangsa dan sebagainya. Operasi yang besar dan kejayaan PETRONAS sebagai satu-satunya syarikat Fortune500 (500 syarikat terbesar di dunia) dari Malaysia membolehkan kakitangan PETRONAS dibentuk dan dilatih melalui pelbagai pengalaman dan kemahiran dari pelbagai operasi. Itu menjadi keistimewaan yang hanya dinikmati oleh kakitangan PETRONAS dan menjadikan mereka mempunyai daya bolehpasar (“marketability”) yang lebih baik berbanding syarikat lain.

Dari pelbagai operasi yang saya sebutkan di atas, bukan semuanya ada di Sarawak. Operasi PETRONAS di Sarawam hanya meliputi operasi huluan (upstream) di luar pantai dan berpusat di Miri serta kompleks LNG dan loji urea di Bintulu.

Sebab itu pada pendapat saya, mengenakan kuota agar jawatan pengurusan bagi operasi PETRONAS di Sarawak dikhususkan hanya untuk orang Sarawak sebenarnya tidak baik untuk kakitangan tersebut kerana perkembangan dan kemajuan kerjaya mereka akan terbantut di situ. Apabila mereka naik pangkat kerana kuota dan bertumpu kepada operasi di Sarawak sahaja, mereka akan menghadapi kesukaran untuk beralih jawatan dan pengalaman pada peringkat pengurusan yang sama di bidang-bidang lain.

Kesan ialah kakitangan PETRONAS dari Sarawak mendapat insentif jangka pendek untuk naik pangkat cepat dengan berebut jawatan pengurusan di Sarawak tetapi rugi jangka panjang kerana tidak cukup luas pengalaman untuk menaiki tangga kerjaya di peringkat kumpulan PETRONAS yang lebih besar dan mencabar. Akhirnya, kita bakal berhadapan dengan satu lagi masalah baru iaitu rungutan pengurusan peringkat tertinggi kumpulan PETRONAS ketandusan kakitangan yang berasal dari Sarawak.

Sebab itu pada pendapat saya, konglomerat bertaraf dunia seperti PETRONAS yang telah terbukti menjadi tulang belakang negara perlu dilindungi dari campur tangan politik dan menjadi bola sepak permainan politik. Mandat yang diberikan kepada PETRONAS ialah untuk mendapatkan nilai yang terbaik dari setiap molekul hidrokarbon yang ada di negara ini dan itu hanya boleh dicapai sekiranya PETRONAS beroperasi sepenuhnya mengikut pertimbangan komersil dan profesional.

Soal ketidakadilan perkongsian hasil minyak Sarawak sewajarnya dirundingkan dengan Kerajaan Persekutuan yang diketuai Dato’ Seri Najib Tun Razak.

PETRONAS tertakluk kepada undang-undang dan jumlah royalti serta syarat-syarat lain yang ditetapkan dan digubal Kerajaan Persekutuan. Tugas PETRONAS ialah memulangkan hasil minyak negara pada nilai keuntungan yang terbauk kepada Kerajaan Persekutuan. Keputusan membelanjakannya secara adil adalah keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebab itu juga saya telah berkali-kali mencadangkan supaya Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak masing-masing menubuhkan PetroSabah dan PetroSarawak untuk menjadi dua syarikat minyak yang boleh dibantu oleh PETRONAS untuk membangun bertaraf dunia. Rakyat Sarawak dan rakyat Sabah akan lebih beruntung jika mereka dibantu oleh PETRONAS dari segi kepakaran dan kemahiran supaya PetroSarawak dan PetroSabah boleh bersaing di luar negara. Keputusan pengurusan dan pengambilan pekerja PetroSarawak dan PetroSabah adalah keputusan komersil pengurusannya yang dilantik oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah.

Tetapi idea saya ini tidak pun dipandang oleh mana-mana pimpinan Sarawak dan Sabah baik dari Barisan Nasional atau Pakatan Harapan. Sebaliknya kadang-kadang saya melihat mereka berlumba-lumba memukul institusi lain yang dilihat dari Semenanjung, sedangkan yang sepatutnya dipukul ialah Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menabur janji mengenai autonomi tetapi nampaknya enggan ditunaikan.

Adalah lebih baik menyekat Dato’ Seri Najib Tun Razak dari masuk Sarawak dari menyalahkan PETRONAS. Ia juga satu langkah menyelamatkan rakyat Sarawak dari pelbagai janji-janji pilihanraya yang tidak ikhlas seperti yang berlaku baru-baru ini.

Rafizi Ramli adalah pengurus termuda pernah dilantik di PETRONAS pada umur 25 tahun. Beliau juga adalah pengurus kanan termuda pernah dilantik pada umur 27 tahun. Berkelulusan kejuruteraan elektrik dan elektronik serta ditauliahkan sebagai akauntan bertauliah oleh Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), beliau pernah bertugas di loji petrokimia, ibupejabat korporat dan Carigali.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Tanggungan Hutang 1MDB Sebanyak RM27.8 Bilion: Rakyat Terpaksa Korbankan 2 Universiti Awam Dan 3 Hospital Setiap Tahun Selama 15 Tahun

Saya agak terkejut dengan kenyataan Gabenor Bank Negara yang baru Datuk Muhammad Ibrahim yang dipetik berkata bahawa beliau yakin kerajaan akan memastikan semua hutang 1MDB akan dibayar. Walaupun saya faham amaran tersirat beliau kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa kedudukan ekonomi dan kewangan negara hanya boleh pulih sekiranya beban kewangan akibat 1MDB diselesaikan segera, ia seolah-olah melupakan bahawa sebarang hutang 1MDB yang diselesaikan kepada kerajaan sebenarnya mendera rakyat lebih teruk dari sekarang.

Hakikat bahawa hutang-hutang 1MDB akhirnya akan ditanggung oleh rakyat bukanlah satu perkara yang baru diketahui. Rakyat sudah tahu bahawa jika pun hutang-hutang ini tidak dibayar terus oleh Kerajaan Persekutuan melalui pengambilalihan anak syarikat 1MDB seperti yang berlaku dengan SRC International Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd, hutang-hutang itu akan ditampung oleh suntikan aset negara, kontrak-kontrak besar, pemberian geran dan lain-lain oleh Kerajaan Persekutuan.

Jumlah hutang 1MDB yang kini telah dan berkemungkinan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan adalah terlalu besar, seperti berikut:

HUTANG YANG TELAH DIAMBILALIH

i. Hutang SRC sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) melalui pemindahmilikan SRC dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)

ii. Hutang Bandar Malaysia sebanyak RM2.4 bilion dari Tabung Haji melalui pemindahmilikan Bandar Malaysia dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)

HUTANG YANG BERKEMUNGKINAN TERPAKSA DIAMBILALIH

i. Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang dijamin IPIC tetapi telah melanggar syarat pinjaman apabila 1MDB gagal membayar faedah bulan lalu

ii. Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang juga dijamin IPIC dan faedah perlu dibayar hari ini. Jika tidak dibayar oleh 1MDB, sekali lagi ia melanggar syarat pinjaman

iii. Hutang dalam bentuk terbitan sukuk/bon patuh shariah berjumlah US$1.83 bilion (bersamaan RM7.4 bilion) yang boleh dituntut serta merta akibat pelanggaran syarat pinjaman hutang-hutang (i) dan (ii) akibat dari “cross defaults”

Ini bermakna, jumlah hutang-hutang 1MDB yang telah dan berkemungkinan besar akan diambilalih oleh Kerajaan Persekutuan adalah RM27.8 bilion. Hutang-hutang ini juga menyebabkan Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar faedah tahunan (dipanggil bayaran kupon) sepanjang tempoh hutang itu belum dilangsaikan.

Untuk membuat anggaran tanggungan hutang 1MDB yang rakyat sedang berdepan, saya menganggarkan kadar faedah 5% bagi kesemua hutang-hutang itu dan tempoh matang purata 15 tahun. Maka jumlah tanggungan sebenar hutang-hutang 1MDB yang berkemungkinan dibayar oleh rakyat Malaysia adalah:

Hutang pokok yang telah diambilalih dan
berkemungkinan diambilalih (seperti di atas) RM27.8 bilion

Bayaran faedah pada 5% setiap tahun bagi 15 tahun RM20.85 bilion

JUMLAH KESELURUHAN RM48.65 bilion

Untuk mengenalpasti kesan tanggungan hutang sebanyak ini kepada kehidupan harian rakyat Malaysia, kita perlu pecahkan tanggungan ini kepada peruntukan tahunan yang terpaksa dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menanggung hutang ini seperti berikut:

Bayaran faedah tahun pada kadar 5% RM1.4 bilion
Simpanan tahunan untuk bayaran pokok dalam 15 tahun RM1.9 bilion
PERUNTUKAN TAHUNAN DIPERLUKAN RM3.3 BILION

Maknanya, rakyat Malaysia mesti menyedari bahawa setakat ini, jumlah peruntukan tahunan yang terpaksa dipotong atau tidak dibelanjakan bagi tujuan rakyat akibat hutang 1MDB (yang kita ketahui setakat ini) adalah dianggarkan RM3.3 bilion.

Saya cuba membayangkan kesan ini kepada rakyat dengan menterjemahkannya kepada 2 perkara yang kosnya cukup membebankan setiap keluarga di Malaysia: kos menanggung pendidikan tinggi dan kos kesihatan/perubatan.

Sebuah universiti awam yang baik dan mampu menawarkan pendidikan pada kos yang berkali ganda lebih murah dari IPTS kepada sekitar 5,000 pelajar pada satu-satu masa dianggarkan memerlukan pelaburan awam sebanyak RM750 juta (mengambil kira pembinaan IPTS seperti Kampus Lakeside Taylor’s University yang jauh lebih murah dari itu).

Pada masa yang sama, sebuah hospital besar di peringkat daerah yang boleh memberi perkhidmatan kesihatan/perubatan yang baik kepada sekitar 100,000 orang penduduk dianggarkan berjumlah RM500 juta (mengambil kira kos hospital sedia ada).

Ini bermakna, apabila peruntukan sebanyak RM3.3 bilion terpaksa dilencongkan setiap tahun untuk membayar hutang 1MDB, jumlah itu bersamaan dengan pembinaan dan operasi 2 universiti awam (IPTA) dan 3 hospital awam SETIAP TAHUN. Bagi tempoh matang purata selama 15 tahun, ini bermakna rakyat Malaysia akan kerugian 30 universiti awam (IPTA) dan 45 hospital awam akibat menanggung hutang 1MDB setakat ini.

Sebab itu, skandal 1MDB ini tidak boleh dilupakan begitu sahaja dan rakyat berputus asa hanya kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak masih kekal sebagai Perdana Menteri. Pimpinan politik dan masyarakat turut sama perlu memikirkan langkah mengelakkan tanggungan hutang ini dan mengambil tindakan secepat mungkin (bukan hanya tertumpu kepada persoalan menjatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti mana fokus Deklarasi Rakyat akhir-akhir ini).

Saya akan berbincang dengan rakan-rakan pimpinan Pakatan Harapan dan ahli-ahli Parlimen untuk mencari jalan mengelakkan hutang-hutang ini diambilalih oleh rakyat.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Campur Tangan Perdana Menteri Dalam Urusan Pentadbiran Malaysia Building Society Berhad

Saya telah mendapat satu salinan surat dari Tan Sri Haji Shukry Mohd Salleh, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri kepada Dato’ Ahmad Zaini Othman, CEO Malaysia Building Society Berhad (MBSB) bertarikh 20 Oktober 2015 yang disertakan bersama.

mbsbkumnokepong

Surat tersebut mengarahkan supaya MBSB mengenepikan notis kebankrapan terhadap Datuk Rizuan Abdul Hamid, Ketua Umno Kepong berhubung pembangunan 10 unit banglo di Bukit Tunku. Selain itu, surat itu secara jelas menyatakan arahan agar MBSB menyelesaikan tuntutan pinjamannya terhadap Datuk Rizuan Abdul Hamid di luar mahkamah.

Datuk Rizuan Abdul Hamid adalah salah seorang Ketua Bahagian Umno yang paling lantang membela Dato’ Seri Najib Tun Razak. Beliau menjadi popular apabila mengikrarkan beliau berani mati untuk Dato’ Seri Najib Tun Razak semasa Mesyuarat UMNO Bahagian Kepong tahun lalu seperti dilaporkan Awani http://www.astroawani.com/berita-politik/saya-berani-mati-untuk-najib-ketua-umno-kepong-70947

MBSB pula adalah sebuah anak syarikat Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) yang memiliki 65% saham di dalam MBSB. Oleh itu, MBSB adalah pembiaya rumah milik rakyat yang perlu dilindungi dari campur tangan politik.

Saya telah membuat semakan awal dan berpendapat surat ini adalah benar dan tulen berdasarkan maklumat yang saya perolehi setakat ini.

Oleh yang demikian, saya mengingatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak supaya berhenti campur tangan di dalam urusan mana-mana badan atau syarikat berkepentingan awam sama ada campur tangan itu secara langsung atau tidak langsung. Beliau juga perlulah mengeluarkan arahan kepada semua anggota Jemaah Menteri supaya tidak mengeluarkan surat-surat arahan seperti ini dan menghentikan segala campur tangan di dalam mana-mana badan atau syarikat berkepentingan awam.

Saya kesal kerana seolah-olah Perdana Menteri masih belum belajar dari skandal 1MDB yang telah menjejaskan nama baik dan kedudukan kewangan negara kerana suburnya budaya ahli politik campur tangan di dalam pengurusan syarikat atau badan berkepentingan awam.

Paling dikesali adalah apabila Perdana Menteri boleh mengarahkan sebuah bank mengenepikan tindakan kebankrapan ke atas seorang Ketua Bahagian Umno pada ketika beribu-ribu rumah rakyat miskin disita dan dilelong setiap minggu sementara pemiliknya jatuh muflis hanya kerana gagal membayar beberapa ribu.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Bayaran Gratuiti Pesara Angkatan Tentera Lewat; LTAT Perlu Dedahkan Risiko Kewangan Akibat 1MDB

Saya telah menerima banyak aduan bahawa bayaran gratuiti kepada pesara-pesara angkatan tentera yang tidak layak menerima pencen telah mengalami kelewatan yang serius berbanding sebelum ini.

Semakan saya menunjukkan bahawa ada pesara tentera yang terpaksa menunggu sehingga 6 bulan selepas tarikh persaraan sebelum mendapat bayaran gratuiti dari Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sedangkan sebelum ini proses menguruskan pembayaran hanya mengambil masa 1 bulan sahaja.

Selain dari berlaku tidak adil kepada pesara-pesara ini yang terpaksa mengalami tekanan kewangan, saya bimbang keterlibatan LTAT dengan 1MDB boleh mendedahkan LTAT kepada risiko kewangan yang membawa kesan kepada tempoh pembayaran gratuiti kepada pesara-pesara tentera.

Seperti yang kita sedia maklum, LTAT melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) adalah kontraktor “turnkey” yang bertanggungjawab memindahkan dan menaiktaraf 8 pengkalan udara yang sepatutnya dilaksanakan oleh 1MDB. Kerajaan Persekutuan melantik 1MDB bagi kerja-kerja tersebut sebagai syarat 1MDB mendapat tanah-tanah di Pengkalan TUDM Sg Besi. 1MDB pula menganugerahkan kerja-kerja tersebut kepada PPHM dengan kontrak bernilai RM2.1 bilion seperti diumumkan 1MDB sendiri pada 3 April 2013.

Malangnya, kita sedia maklum bahawa 1MDB mengalami masalah kewangan yang teruk sehingga bermasalah untuk membayar hutangnya sendiri. Kita tidak tahu sama ada 1MDB telah melangsaikan sepenuhnya bayaran kepada PPHM yang terpaksa pula membayar sub-kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf tersebut.

Jika 1MDB lewat membayar jumlah yang besar kepada PPHM, saya khuatir LTAT terpaksa mendahulukan dananya terlebih dahulu kepada sub-kontraktornya. Jika ini berlaku bagi jumlah kontrak yang besar iaitu RM2.1 bilion, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan LTAT dan boleh menjejaskan kemampuannya membayar gratuiti kepada pesara tepat pada masanya.

Oleh itu, saya menyeru supaya 1MDB dan PPHM mendedahkan rekod keseluruhan kerja-kerja yang telah disiapkan dan berapa bayaran tertunggak kepada PPHM. Saya juga menyeru supaya PPHM mengumumkan berapa bayaran kepada sub-kontraktor yang telah didahulukan oleh LTAT.

Saya akan menunggu jawapan rasmi LTAT kenapa bayaran gratuiti kepada pesara –pesara tentera adalah lewat dan mendesak supaya masalah ini diselesaikan secepat mungkin.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kembalikan Peruntukan Biasiswa JPA, MARA Dan Lain-Lain: Kutip Kembali Geran RM1.1 Bilion Dari 1MDB

Rakyat Malaysia hanya mendapat tahu mengenai pemberhentian biasiswa pendidikan JPA bagi 700 orang pelajar untuk ijazah pertama dari petikan berita yang hanya disiarkan oleh akhbar berbahasa Cina. Maknanya, Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak berani berdepan dengan rakyat untuk menerangkan sendiri keputusan-keputusan beliau yang menekan rakyat seperti ini.

Masalah kerajaan memotong peruntukan biasiswa dan peruntukan pendidikan ini bukan perkara baru. Saya telah mengemukakan soalan-soalan mengenai jumlah biasiswa dan peruntukan pendidikan yang disediakan oleh MARA sejak Jun 2015 lalu tetapi tidak pernah dijawab.

Hakikatnya, sebelum pun isu pemotongan biasiswa JPA ini timbul, beribu-ribu pelajar yang cuba mendapatkan biasiswa atau pinjaman dari MARA telah ditolak. Sehingga kini, saya difahamkan MARA masih belum membuka sistem permohonan penajaan pendidikannya. Saya juga dimaklumkan kini MARA terpaksa menjadi orang tengah kepada bank-bank yang menawarkan pinjaman kepada pelajar pada kadar komersil.

Dalam Bajet 2016, Dato’ Seri Najib Tun Razak juga telah memotong peruntukan biasiswa dan dermasiswa sebanyak sekitar RM800 juta, sementara peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dipotong dari RM200 juta menjadi RM10 juta sahaja.

Kegilaan itu kini diteruskan dengan pemberhentian penajaan pelajar-pelajar JPA seramai 700 yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama.

Pendekatan yang diambil oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam semakan Bajet 2016 ini adalah jelas: beliau memotong perbelanjaan rakyat terlebih dahulu sebelum perbelanjaan atau projek-projek yang melibatkan kepentingan kroni. Contohnya, saya berminat untuk mengetahui sama ada kerajaan akan meneruskan pemberian pinjaman mudah (“soft loan”) kepada syarikat-syarikat yang telah dianugerahkan konsesi pembinaan lebuhraya-lebuhraya. Saya pernah dimaklumkan bahawa pinjaman mudah (“soft loan”) kepada Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) untuk membina Lebuhraya EKVE adalah bernilai RM900 juta. Kita tidak tahu berapa banyak lagi projek-projek yang kononnya diswastakan tetapi dibiayai oleh pinjaman mudah (“soft loan”) yang ditanggung oleh kerajaan seperti ini.

Oleh itu, saya ingin menasihati Dato’ Seri Najib Tun Razak kaedah terbaik mengembalikan pembiayaan biasiswa dan dermasiswa seperti ini.

Saya gesa Dato’ Seri Najib Tun Razak mengarahkan 1MDB membayar kembali geran Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM1.1 bilion yang telah diambil oleh 1MDB bagi kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan tentera bersabit Bandar Malaysia. Projek tersebut adalah tanggungjawab 1MDB dan tidak sewajarnya melibatkan dana rakyat.

Jumlah RM1.1 bilion ini lebih dari cukup untuk membiayai biasiswa-biasiswa yang saya sebut di atas.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN