Category Archives: Kebajikan Rakyat

Harga Barang: Naik Atau Turun Selepas GST Dimansuh?

06 - 19 - 1

 

Antara isu yang paling penting untuk rakyat biasa adalah harga barang. Saya juga sangat berminat dengan kesan pemansuhan GST ke atas harga barang kerana jika harga barang turun, itu akan banyak membantu rakyat biasa.

Apa faktor-faktor yang mempengaruhi harga barang?

Ada 3 perkara besar yang mempengaruhi harga barang:

(i) kerajaan yang menetapkan dasar-dasar dan peraturan yang perlu dipatuhi dan diterjemahkan menjadi harga barang – contohnya harga kawalan, harga siling, harga minyak, tarif elektrik, subsidi yang diberikan, kadar cukai dan lain-lain

(ii) peniaga yang mengambil kira semua kehendak undang-undang dan dicampur pula dengan margin keuntungan dalam menetapkan harga barang

(iii) pengguna (orang ramai) yang menentukan permintaan dan kesanggupan membeli barang dan perkhidmatan pada harga yang ditetapkan oleh peniaga (yang tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan kerajaan)

Apabila Kerajaan Persekutuan menghapuskan GST, itu menyelesaikan sebahagian dari perkara yang menyebabkan harga barang yang berada di dalam kawalan kerajaan. Pada dasarnya, apabila Kerajaan Persekutuan tidak lagi mengutip 6% ke atas setiap pembelian, harganya sepatutnya turun sekurang-kurangnya 6% ke atas setiap harga.

Tetapi ada peniaga yang akur, ada peniaga yang mengambil pendirian berlainan. Ada yang mengatakan selama ini harga dengan GST itu bermakna mereka menanggung GST, jadi bila GST dihapuskan, mereka enggan menurunkan harga barang kerana mereka beranggapan merekalah yang menanggung GST selama ini, bukannya pengguna.

Keputusan menetapkan harga mengikut undang-undang itu masih lagi keputusan peniaga. Peniaga juga adalah rakyat – selagi mereka menetapkan harga mengikut undang-undang, mereka bergantung kepada pengguna untuk membeli atau tidak.

Ada banyak peruntukan undang-undang yang boleh digunapakai untuk memastikan peniaga menetapkan harga mengikut peraturan dan tidak mengambil keuntungan yang melampaui batas atau mengambil kesempatan. Antaranya:

(i) Peniaga yang masih mengutip GST boleh dikenakan tindakan serta merta kerana GST telah dihapuskan

(ii) Peniaga yang menaikkan harga dengan tidak munasabah boleh dikenakan tindakan oleh KPDNKK di bawah Akta Anti Pencatutan 2011

(iii) Peniaga yang tidak mempamerkan harga boleh dikenakan tindakan di bawah pelbagai akta sedia ada; dan lain-lain

Saya akan terus memantau kedudukan harga barang setakat yang termampu, dengan keterbatasan saya sebagai rakyat biasa, seperti anda.

Namun, pengalaman saya menguruskan sukarelawan melalui INVOKE juga meyakinkan saya bahawa ada banyak perkara yang kita dapat capai bersama sebagai rakyat.

Pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNKK ada kekangan untuk bertindak dengan berkesan kerana saya pasti ada ribuan laporan mengenai kenaikan harga setiap minggu. Orang ramai pula mungkin tidak tahu bahawa harga yang mereka bayar itu sebenarnya tinggi, kerana mereka tidak boleh membandingkannya dengan harga di kedai atau tempat lain.

Lebih penting, saya pasti bila ada pendedahan kedai mana dan peruncit mana yang mengenakan harga yang tidak berpatutan atau terlalu tinggi, orang ramai tidak akan membeli di kedai itu dan akan memaksa peniaga menurunkan harganya.

Masalahnya, bagaimana kita boleh mengetahui sama ada harga yang dikenakan itu berpatutan, atau terlebih tinggi? Bagaimana kita mendapatkan kepastian bahawa laporan kita kepada KPDNKK akan diambil tindakan segera?

Saya bernasib baik kerana bidang yang saya ceburi sekarang adalah analisa data menggunakan kaedah-kaedah statistik yang boleh menjawab soalan-soalan ini.

Sejak seminggu yang lalu, kami di INVOKE telah mengambil keputusan untuk mencuba menggunakan kuasa sukarela rakyat Malaysia untuk mengawal harga barang. Usaha ini tidak memerlukan peruntukan, tidak memerlukan kuasa atau jawatan.

Ia hanya memerlukan maklumat dari seberapa ramai pengguna untuk melaporkan peniaga yang masih mengutip GST, atau peniaga yang menaikkan harga barang. Malah, kita boleh kawal harga barang jika seberapa banyak harga barang dipantau kerana pengguna menghantar maklumat harga barang dari semasa ke semasa.

Pengkalan data #hargabarang yang INVOKE usahakan akan dapat menganalisa dari ribuan data harga barang yang dihantar oleh rakyat untuk mengenal pasti barang mana yang harganya naik melambung, apa inflasi sebenar, peniaga mana yang sering dilaporkan menaikkan harga barang (maka penguatkuasa perlu memberi keutamaan mengambil tindakan ke atas peniaga ini) dan lain-lain.

Saya mohon kerjasama seramai mungkin rakyat Malaysia untuk menyertai usaha akar umbi memantau harga barang ini supaya kita boleh ambil tindakan yang sewajarnya sebagai pengguna dan rakyat biasa, sementara menunggu tindakan penguatkuasaan.

Lawati https://hargabarang.invokemalaysia.org atau bit.ly/laporhargabarang untuk menyertai rakyat Malaysia yang secara sukarela memantau harga barang.

Setiap bulan, saya akan membentangkan kedudukan harga barang dan mendedahkan peniaga-peniaga yang paling banyak dilaporkan berhubung aduan harga barang. Senarai ini saya akan hantar kepada KDNKK untuk mereka mengambil tindakan penguatkuasaan secara segera.

Saya tetap yakin dengan kuasa rakyat. Kuasa rakyat juga boleh kita gembleng untuk memantau dan mengawal harga barang.

Sebarkan kepada seramai mungkin, kami sedang membangunkan sistem pemantauan itu agar dapat memberi mata kepada setiap laporan harga barang selepas ini.

Akhir sekali, ucapan selamat hari raya Aidilfitri dari kami di INVOKE Malaysia.

Rafizi Ramli
12 Jun 2018

Subsidi Minyak: Najib Buli Rakyat

Harga minyak RON95 yang tidak naik sejak sebulan lalu menimbulkan banyak tanda tanya di kalangan orang ramai, terutamanya dalam keadaan harga minyak mentah dunia telah naik melambung.

Harga minyak mentah telah melonjak naik dari USD67.64 setiap tong pada 2 April iaitu sebelum parlimen dibubarkan, kepada USD75.17 setiap tong semalam (iaitu peningkatan 11% dalam tempoh sebulan).

5 - 01 - 1

Anehnya, harga RON95 yang ditetapkan secara mingguan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak tidak pula menunjukkan perubahan dan kekal pada harga RM2.20 seliter untuk RON95 bagi empat minggu berturut. Itu memberi gambaran bahawa Dato’ Seri Najib secara senyap-senyap telah memperkenalkan kembali subsidi minyak semata-mata untuk menang dalam pilihanraya ini sedangkan beliau juga yang cukup memusuhi subsidi minyak sebelum ini.

Saya telah membuat kiraan berdasarkan formula penetapan harga yang digunakan kerajaan sendiri untuk melihat berapa harga minyak yang sebenarnya sejak 4 minggu yang lalu. Harga minyak mentah dan kadar tukaran wang diperolehi dari sumber Bloomberg, sementara harga rujukan MOPS95 yang digunakan kerajaan diambil dari penerbitan Australian Institute of Petroleum.

Kiraan itu ditunjukkan di dalam jadual seperti berikut:

5 - 01 - 2

Harga-harga RON95 yang sepatutnya ditetapkan berdasarkan dasar pentadbiran Dato’ Seri Najib sendiri adalah seperti berikut:

Minggu 5 April ke 11 April: sepatutnya RM2.29 seliter, iaitu naik 9 sen berbanding RM2.20
Minggu 12 April ke 18 April: sepatutnya RM2.25 seliter, iaitu naik 5 sen berbanding RM2.20
Minggu 19 April ke 25 April: sepatutnya RM2.29 seliter, iaitu naik 9 sen berbanding RM2.20
Minggu 26 April ke 2 Mei: sepatutnya RM2.31 seliter, iaitu naik 11 sen berbanding RM2.20

Berdasarkan formula yang digunakan kerajaan sendiri, harga RON95 esok sepatutnya RM2.38 seliter iaitu naik 18 sen dari harga yang ditetapkan kerajaan.

Sementara saya mengalu-alukan keputusan mengembalikan subsidi untuk mengelakkan kenaikan mendadak harga petrol dan diesel, tindakan memanipulasi penetapan harga minyak mingguan demi meraih undi ini adalah satu tindakan membuli rakyat.

Selama ini, Dato’ Seri Najib membohongi rakyat apabila beliau berdegil mahu menghapuskan subsidi minyak atas alasan kerajaan tidak berkemampuan untuk menanggung lagi subsidi petrol dan diesel. Beliau juga mencanang kononnya menaikkan harga minyak apabila subsidi dihapuskan adalah satu tindakan yang bertanggungjawab.

Apabila Dato’ Seri Najib sendiri yang menggunakan kaedah subsidi untuk menstabilkan harga minyak sepanjang musim pilihanraya ini walaupun harga minyak mentah dunia naik melambung, itu mengesahkan kebenaran pendirian Pakatan Harapan bahawa harga minyak boleh diturunkan dan distabilkan melalui subsidi.

Tindakan menarik balik dan memberikan kembali subsidi minyak sesuka hati ikut kemahuan Perdana Menteri adalah satu tindakan yang membuli rakyat. Apabila rakyat tidak lagi boleh bergantung kepada satu peraturan yang tetap kerana ia diubah-ubah mengikut kepentingan Dato’ Seri Najib, ia samalah seperti rakyat dibuli oleh kerajaan kerana nasib rakyat bergantung kepada cita rasa kerajaan pada ketika itu.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Berapa Peruntukan Tambahan Kepada PERMATA Di Bawah Manifesto BN?

Manifesto Barisan Nasional yang diumumkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak pada hari Sabtu lalu memberi gambaran skop penglibatan PERMATA dalam pentadbiran negara diluaskan lagi. Melalui pengumuman-pengumuman yang dibuat di dalam manifesto tersebut, jelas peruntukan-peruntukan baru yang lebih besar akan diberikan kepada PERMATA jika Najib kembali berkuasa.

Skop peluasan penglibatan PERMATA itu disebut 3 kali di dalam manifesto penuh setebal 219 muka surat itu, seperti berikut:

i. Muka surat 109 – Menambah pendapatan ibu-ibu tunggal B40 melalui latihan tertentu di bawah Kursus Asuhan PERMATA

ii. Muka surat 137 – Akses pelajar kelainan upaya kepada sistem pendidikan seperti Permata Kurnia akan diperluas ke seluruh negara.

iii. Muka surat 142 – Menyediakan modul khusus untuk intervensi awal keluarga yang mempunyai anak autisme dengan kerjasama pusat PERMATA.

Pengumuman di dalam Manifesto BN itu memberi gambaran skop PERMATA diluaskan untuk kini turut terlibat di dalam program kerajaan untuk ibu-ibu tunggal, sistem pendidikan keluarga dan khidmat keluarga. Kedua-dua fungsi ini kini dikendalikan oleh dua kementerian iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut laman web rasmi PERMATA, program-program yang kini berjalan di bawah kendalian PERMATA adalah PERMATA Negara, PERMATApintar, PERMATA Seni, PERMATA Insan dan PERKASA@remaja. Laman itu juga menyatakan beliau kini sedang memulakan program baru bernama PERMATA Kurnia.

(Rujuk http://www.programpermata.my/en/about )

Pengumuman di dalam Manifesto BN menunjukkan peruntukan baru kepada program yang baru dimulakan oleh PERMATA iaitu PERMATA Kurnia dan peruntukan kepada skop baru PERMATA yang melibatkan ibu tunggal yang akan dilatih oleh Pusat Asuhan PERMATA.

Saya suka mengingatkan pengundi-pengundi bahawa peruntukan kepada PERMATA bagi program-program sedia ada pun sudah mencecah belanja yang tinggi setiap tahun. Saya sertakan petikan peruntukan bagi tahun 2018 untuk program-program sedia ada yang dikendalikan PERMATA dan jumlah kakitangan yang digaji di bawah program-program PERMATA; seperti terkandung di dalam penyata peruntukan mengikut jabatan yang dibentangkan di Parlimen:

4 - 09 - 1

Peruntukan untuk “Dasar Baru” sebanyak RM8,190,100

4 - 09 - 2

Peruntukan “ONE OFF” kepada PERMATA sebanyak RM12.7 juta

 

4 - 09 - 3

Jumlah kakitangan yang digaji oleh PERMATA adalah 586 orang dan melibatkan belanja sebanyak RM54.3 juta

 

Jumlah yang diperuntukkan kepada program sedia ada PERMATA bagi tahun 2018 adalah RM75.19 juta.

Dengan janji baru Manifesto BN untuk meluaskan skop penglibatan PERMATA untuk turut membabitkan ibu-ibu tunggal di dalam kumpulan B40, ini sudah tentu akan meningkatkan lagi peruntukan kepada PERMATA.

Semakan saya menunjukkan jumlah ibu tunggal di Malaysia setakat 2016 adalah 235,240 orang (rujuk laporan berita http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/02/11/ibu-tunggal-berdaftar/ ):

4 - 09 - 4

Jika 70% dari ibu-ibu tunggal ini tergolong di dalam kumpulan B40, program PERMATA yang baru itu akan melibatkan sekitar 165,000 orang ibu tunggal. Jika kos yang diperuntukkan kepada PERMATA untuk melatih setiap ibu-ibu tunggal ini di Pusat Asuhan PERMATA adalah RM1,000 setahun, itu akan melibatkan peruntukan tambahan kepada PERMATA sebanyak RM165 juta setahun.

Jika ini dicampurkan dengan peruntukan sedia ada yang diberikan kepada PERMATA, jumlah peruntukan yang bakal diperuntukkan kepada PERMATA di bawah Manifesto BN boleh mencecah RM250 juta setahun.

Saya mahu pengesahan berapa peruntukan yang dianggarkan oleh Dato’ Seri Najib untuk membiayai program-program di bawah PERMATA ini kerana setiap sen yang baru yang diperuntukkan kepada PERMATA, itu menambahkan penglibatan Datin Seri Rosmah Mansor dalam perjalanan kerajaan melalui PERMATA.

Memandangkan ini satu-satunya program besar yang dijanjikan di dalam Manifesto BN mengenai kebajikan wanita yang terbanyak, rakyat berhak tahu jumlah peruntukan yang akan diberikan kepada program ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Kenapa Pentadbiran Dato’ Seri Najib Denda Pegawai Kerajaan Yang Cukainya Dikira Oleh Kerajaan?

HANTAR ADUAN LDHN KE
bit.ly/aduanlhdn

Saya telah membawa isu taksiran tambahan yang dikenakan oleh LHDN kepada segenap lapisan masyarakat ekoran tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak memperkenalkan sistem komisen yang mengikat LHDN kepada sasaran kutipan cukai tertentu yang perlu dikutip setiap tahun. Saya sendiri pernah melalui perkara ini.

Saya sertakan dokumen-dokumen taksiran dari LDHN dan segala surat menyurat seperti di bawah:

1. Makluman dari LHDN kepada Parlimen mengenai taksiran tambahan dan denda ke atas saya

12 - 18 - 2a

2. Saya hanya disalinkan sahaja

12 - 18 - 2b

3. Saya didenda kerana kononnya tidak mengisytiharkan pendapatan secukupnya, sedangkan pengisytiharan pendapatan dan taksiran dikira di antara LHDN dan Parlimen

12 - 18 - 2c

4. Tidak ada satu pun angka pengisytiharan dari saya, semuanya dari LHDN. Malah, saya tidak menuntut apa-apa pelepasan sedangkan saya juga ada membeli buku, membayar insurans dan lain-lain

12 - 18 - 2d

5. Perincian oleh LHDN yang menunjukkan saya didenda dua kali di bawah Seksyen 112(3) iaitu kelewatan mengemukakan Borang Nyata dalam tempoh yang ditetapkan. Saya telah membayar denda ini dalam tahun 2015 dan kini membayar sekali lagi kerana LHDN yang membuat taksiran dalam tahun 2015 tersalah buat taksiran!

12 - 18 - 2e

6. Jenis-jenis denda dan juga penalti tambahan akibat kelewatan membayar denda. Penalti tambahan seperti ini sama seperti faedah ke atas denda

12 - 18 - 2f

7. Sebenarnya LHDN sendiri yang mengirakan cukai untuk saya dalam tahun 2015 kerana taksiran tahun 2014 adalah tahun pertama saya menjadi Ahli Parlimen dan saya tidak tahu pendapatan mana yang dicukai dan mana yang tidak dicukai. Maka, LHDN salah kira dan mendenda saya atas kesilapan LHDN dan mendenda saya lewat memfail Borang Nyata sedangkan ia dibuka semula oleh LHDN.

12 - 18 - 2g

 

Sebab itu saya menyuarakan berkali-kali mengenai perkara ini kerana saya bimbang berlaku banyak penganiayaan kepad rakyat biasa, walaupun jumlahnya mungkin kecil.

Apatah lagi dalam kes pegawai-pegawai kerajaan, yang menentukan jumlah yang dipotong berkala melalui Potongan Cukai Berkala (PCB) adalah kerajaan sendiri.

Dalam kes saya, LHDN sendiri yang membuat kiraan dalam tahun 2015 dan telah mendenda saya. Kemudian dalam tahun 2017, LHDN membuka kembali fail itu dan mendakwa saya tidak mengisytiharkan pendapatan sedangkan pengisytiharan itu dibuat oleh LHDN sendiri.

Oleh kerana LHDN telah membuka kembali fail saya yang telah saya selesaikan sebelum ini, LHDN mengenakan denda lewat kemuka Borang Nyata buat kali kedua dan mendenda saya lagi atas tindakan LHDN membuka kembali fail saya.

Jelas bahawa proses ini menganiaya orang biasa terutamanya yang kurang mahir dengan hal ehwal percukaian.

Sebab itu saya telah menyediakan satu laman di alamat bit.ly/aduanldhn untuk membolehkan orang ramai mengemukakan dokumen kes mereka sekiranya mereka merasakan berlaku ketidakadilan dalam proses taksiran semula dan denda oleh LHDN.

12 - 18 - 2h

 

Saya akan berusaha membela kes-kes yang jelas menganiaya orang ramai agar LHDN juga tertakluk kepada pertimbangan atas neraca keadilan sosial, bukannya tunduk kepada tuntutan Putrajaya untuk mendapatkan cukai lebih tinggi setiap tahun.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Najib Enggan Dedahkan Pecahan Kutipan LHDN, Sembunyikan Jumlah Kutipan Denda Dan Faedah Yang Ditanggung Rakyat

Selain dari cukai GST, golongan berpendapatan sederhana kini ditekan pula dengan cukai pendapatan tambahan yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Saya telah membawa perkara ini sejak pertengahan tahun ini tetapi kurang dihiraukan oleh pihak kerajaan.

Kebimbangan saya ialah keputusan Dato’ Seri Najib mengkorporatkan LHDN akan menyebabkan LHDN terpaksa memenuhi sasaran kutipan tertentu kerana pendapatan (dirujuk di dalam dokumen bajet sebagai fii) LHDN tertakluk kepada berapa jumlah cukai yang dikutip oleh LHDN. Contohnya, bagi 2018 pentadbiran Dato’ Seri Najib telah memperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion sebagai fii atas khidmat LHDN mengutip cukai dari orang ramai, seperti helaian bajet yang berikut:

12-06-2017-6.png

Baru-baru ini pada 27 November 2017, akhbar perniagaan The Edge melaporkan (capaian di http://www.theedgemarkets.com/article/irb-launches-operasi-mega-reach-higher-tax-target-rm1347b-2018) bahawa LHDN telah melancarkan Ops Mega untuk mengutip cukai dari orang ramai dan syarikat bagi tujuan memenuhi sasaran kutipan cukai sebanyak RM134.7 bilion bagi 2018. Ini bermakna, LHDB dibayar sebanyak 1.63% dari jumlah kutipan cukai yang dipungut bagi pihak kerajaan.

12-06-2017-7

Sebab itu saya telah melahirkan kebimbangan sebelum ini mengenai keputusan dan tindakan Dato’ Seri Najib mengkorporatkan LHDN dengan mengambil kaedah memberi insentif kewangan sebagai komisen kepada jumlah cukai yang dikutip. Lebih-lebih lagi apabila keperluan kewangan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib adalah jauh lebih tinggi yang menyebabkan LHDN terpaksa berusaha mengutip sasaran cukai yang bertambah tinggi setiap tahun.

Dalam keadaan ekonomi tidak berkembang pada kadar yang sepadan dengan kekayaan Malaysia dan gaji pekerja tidak naik, saya telah suarakan sebelum ini kebimbangan sekiranya LHDN lebih cenderung untuk mengenakan denda dan mengutip faedah atas cukai-cukai yang didakwa tidak dibayar di tahun-tahun lepas. Sementara syarikat besar mempunyai wang untuk membayar peguam dan akauntan, rakyat biasa tiada pilihan kecuali membayar sahaja jika tidak mahu faedah dan denda terus meningkat setiap tahun.

Saya telah mengemukakan satu soalan di Parlimen baru-baru ini untuk mengenal pasti sama ada peningkatan kutipan cukai oleh LHDN adalah disumbangkan oleh keuntungan syarikat/gaji pekerja yang lebih tinggi atau disebabkan lebih banyak denda atau faedah yang dikenakan kepada rakyat.

Sepatutnya soalan saya ini dapat dijawab dengan mudah, tetapi jawapan yang diberikan oleh Dato’ Seri Najib adalah panjang berjela tanpa sedikit pun menjawab soalan tersebut:

12-06-2017-2

12-06-2017-3

12-06-2017-4

Akhirnya, Dato’ Seri Najib tidak mahu mendedahkan pecahan mengikut cukai sebenar yang dikutip, denda yang dikenakan dan faedah yang dikutip atas denda dan cukai yang lewat dibayar. Saya yakin ini berpunca kebimbangan Dato’ Seri Najib bahawa rakyat akan menjadi bertambah marah sekiranya peningkatan kutipan cukai oleh LHDN sebenarnya bukan disebabkan oleh pertambahan pendapatan rakyat/keuntungan syarikat sebaliknya denda dan faedah yang dikenakan untuk memenuhi sasaran kutipan cukai rakyat.

Saya akan melancarkan satu laman online untuk membolehkan orang ramai yang merasa dianiaya dengan tuntutan denda dan faedah yang tidak berpatutan dari LHDN untuk mendapatkan khidmat akauntan sukarela membantu rakyat biasa yang tidak mampu membayar peguam atau akauntan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

 Facebook | Rafizi Ramli

https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

 Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg