Category Archives: Jet PM

Jet Sedia Ada ACJ319 9M-NAA Boleh Digunakan Untuk Penerbangan Datin Seri Rosmah Mansor Ke Istanbul Tanpa Perlu Menyewa Jet Emirates A6-CJE

Saya telah menunjukkan bagaimana kini Kerajaan Persekutuan ada 3 jet peribadi bersaiz besar yang digunakan secara aktif oleh pembesar negara seperti berikut:

1. ACJ319 9M-NAA – dibeli beberapa tahun lalu dan aktif beroperasi
2. ACJ320 9M-NAB – dibeli tahun lalu dan dimaklumkan kini sedang disenggara untuk beberapa bulan
3. BBJ737-700 M53-01 – dibeli 10 tahun lalu, dilaporkan akan dijual tetapi masih digunakan secara aktif mengikut rekod penerbangan

Oleh kerana Kerajaan Persekutuan sudah pun mempunyai 3 jet peribadi yang hanya digunakan oleh beberapa orang sahaja pun, sudah tentu perkara yang paling penting yang perlu ditanya ialah kewajaran membelanjakan sehingga RM86 juta (mengikut anggaran saya yang belum disangkal dengan angka oleh kerajaan) untuk menyewa satu lagi jet peribadi mewah milik Emirates dengan nombor pendaftaran A6-CJE?

Tidakkah boleh sahaja digunakan jet-jet sedia ada untuk penerbangan ke Istanbul yang sudah tentu menjimatkan wang rakyat?

Bagi tujuan itu, saya telah menyemak dan membandingkan rekod penerbangan kedua-dua jet sedia ada yang aktif beroperasi iaitu ACJ319 9M-NAA dan BBJ373-700 M53-01. Rekod bagi bulan Mei (iaitu tarikh penerbangan Datin Seri Rosmah Mansor pada 25 Mei 2016 hingga 27 Mei 2016) bagi kedua-dua jet adalah seperti dipaparkan di bawah:

putra1

Rekod penerbangan BBJ737-700 M53-01

Rekod bagi BBJ737-700 M53-01 mengesahkan bahawa ia tidak digunakan di antara 17 Mei 2016 hingga 30 Mei 2016.

9MNAA 25 May

9mnaa-1

9mnaa-2

9mnaa-3

9mnaa-4

9mnaa-5

Rekod penerbangan ACJ319 9M-NAA

Saya telah menyemak satu persatu setiap penerbangan yang disenaraikan di dalam rekod penerbangan ACJ319 9M-NAA bagi tempoh 24 Mei 2016 hingga 29 Mei 2016. Saya boleh mengesahkan kesemua penerbangan itu adalah penerbangan domestik iaitu di antara Subang ke Aor Setar atau Subang ke Kuantan/Pahang dan pergi balik.

Ini bermakna kesemua penerbangan yang menggunakan ACJ319 9M-NAA di antara 24 Mei 2016 hingga 29 Mei 2016 boleh sahaja dibuat menggunakan jet BBJ737-700 M53-01 yang langsung tidak digunakan pada tarikh itu.

Ini akan membolehkan jet ACJ319 9M-NAA yang lebih baru dan memang pun digunakan untuk penerbangan antarabangsa Perdana Menteri sebelum ini digunakan bagi tujuan penerbangan khusus Datin Seri Rosmah Mansor ke Istanbul di antara 25 Mei 2016 hingga 27 Mei 2016.

Jika ini dibuat, ia akan menyelematkan berjuta-juta wang rakyat yang kini dibazirkan untuk menyewa satu lagi jet mewah ACJ319 A6-CJE dari Emirates.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Jet BBJ (Boeing Business Jet) 737-700 M53-01 Masih Beroperasi Seperti Biasa

Semasa saya mendedahkan pembelian jet baru ACJ320 (kini bernombor pendaftaran 9M-NAB) sekitar Mac 2015 yang menimbulkan kemarahan rakyat kerana dikira membazir, alasan utama kerajaan pada ketika itu ialah jet baru tersebut dibeli untuk menggantikan satu lagi jet sedia ada iaitu BBJ 737-700 (bernombor pendaftaran M53-01) yang dikatakan telah berusia dan tidak lagi sesuai digunakan.

Pimpinan Umno/Barisan Nasional pada ketika itu mempertahankan pembelian jet baru sebagai tidak membazir kerana kononnya jet BBJ 737-700 akan dijual dan jumlah jet yang digunakan pimpinan negara kekal sama.

Seterusnya sekitar Ogos 2015, Bahagian Kewangan Kementerian Pertahanan mengeluarkan satu iklan menjemput bidaan untuk membeli jet BBJ 737-700 itu, seperti dilaporkan oleh The MalayMail Online seperti berikut:

iklanBBJ

Untuk pengetahuan umum, jet ini sememangnya dikendalikan oleh TUDM untuk kegunaan Yang Dipertuan Agong dan Perdana Menteri dengan nombor pendaftaran M53-01 seperti maklumat di bawah:

BBJM53

Sejak dari iklan dalam bulan Ogos 2015 itu, sehingga kini tidak ada berita atau pengesahan sama ada jet BBJ737-700 itu telah dijual bagi mengesahkan kewajaran membeli sebuah jet baru ACJ320.

Untuk mendapat pengesahan, saya telah membuat semakan terhadap rekod penerbangan BBJ737-700 dari awal tahun ini dan mendapati perkara-perkara berikut (rujuk rekod penerbangan di bawah):

putra1

1. Jet BBJ 737-700 masih lagi menggunakan nombor pendaftaran M53-01 yang memberi gambaran bahawa ia masih dimiliki Kerajaan Persekutuan (apabila hakmilik sesebuah jet bertukar tangan, nombor pendaftaran baru akan digunakan)
2. Jet BBJ 737-700 masih digunakan secara aktif dengan pengenalan penerbangan PUTRA

Oleh yang demikian, saya menggesa Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai menteri yang bertanggungjawab menguruskan semua jet-jet kerajaan yang digunakan oleh DYMM Yang DiPertuan Agong dan Perdana Menteri memberi penjelasan kenapa jet BB&737.700 masih belum dijual dan kenapa ia masih digunakan secara meluas kerana ini melibatkan lebih banyak wang rakyat bagi tujuan jet peribadi yang digunakan beliau sendiri.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pendirian Calon Umno/Barisan Nasional Kuala Kangsar Mengenai Perbelanjaan Datin Seri Rosmah Mansor Yang Ditanggung Rakyat

Saya merujuk kepada lapporan muka depan Sinar Harian bertarikh 14 Jun 2016 (Selasa) yang bertajuk “Tak Merajuk Cuma Terkilan”. Paparan muka depan dan berita selanjutnya di mukasurat 35 menyentuh komentar Datuk Ramly Zahari (mantan Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar) mengenai desas-desus beliau tidak begitu gembira dengan pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Umno/Barisan Nasional di Kuala Kangsar.

Berita yang panjang lebar di mukasurat 35 itu mengesahkan desas-desus bahawa pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Umno bukanlah satu keputusan yang disokong mutlak oleh pelbagai peringkat dan sayap di dalam Umno sendiri. Sepanjang tempoh berkempen, banyak spekulasi dan desas-desus mengenai jentera Umno yang tidak bekerja sepenuh hati menyokong beliau sehinggakan ada beberapa penafian khusus yang terpaksa dibuat oleh pimpinan Umno.

Selain dari Datuk Ramly Zahari yang mewakili kumpulan penting akar umbi Umno Kuala Kangsar, sebelum ini Tan Sri Shahrizat Jalil terpaksa membuat penafian terbuka bahawa Wanita Umno kecewa dengan pemilihan Datin Mastura sebagai calon.

Oleh yang demikian, bukanlah mudah untuk Umno menafikan desas-desus bahawa pemilihan Datin Mastura sebagai calon bukanlah satu keputusan yang mendapat sokongan mutlak; lebih-lebih lagi beliau bukanlah anak tempatan.

Persoalan seterusnya ialah: jika ada tanda-tanda bahawa pemilihan beliau sebagai calon tidak didokong oleh sesetengah peringkat dan sayap di dalam Umno; siapa atau kumpulan mana sebenarnya yang menjadi tenaga utama yang mempengaruhi keputusan pimpinan tertinggi Umno sehinggakan beliau yang tidak mempunyai apa-apa jawatan tinggi di dalam Umno diberi laluan untuk bertanding?

Salah satu dari pelbagai desas desus dan spekulasi yang berlegar sekarang di kalangan pengundi dan jentera Umno dan pembangkang adalah Datin Mastura merupakan calon yang mendapat sokongan padu dari Datin Seri Rosmah Mansor kerana mereka dikatakan sama-sama berasal dari Negeri Sembilan.

Saya tidak ada maklumat lanjut mengenai perkara ini dan ingin mengambil kesempatan untuk menanyakan soalan tersebut kepada kepimpinan Umno/Barisan Nasional sendiri:

Apakah benar pencalonan Datin Mastura untuk menjadi calon Umno/Barisan Nasional di Kuala Kangsar mendapat dokongan kuat dari Datin Seri Rosmah Mansor berbanding calon-calon lain sehinggakan akhirkan menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak di dalam Umno sendiri terutamanya di peringkat akar umbi Umno Kuala Kangsar?

Mengambil kira isu penggunaan dana rakyat untuk menanggung perbelanjaan yang melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor yang kini menjadi isu nasional dan bakal mempengaruhi pilihan pengundi Kuala Kangsar, maka saya juga wajar bertanya:

Apakah pendirian Datin Mastura mengenai amalan memberi peruntukan yang besar untuk menanggung perbelanjaan yang melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor sebagai isteri Perdana Menteri? Jika ada usul dari Pakatan Harapan di Parlimen untuk memotong dan menghadkan perbelanjaan Datin Seri Rosmah Mansor yang menggunakan wang rakyat, adakah Datin Mastura (sekiranya terpilih sebagai Ahli Parlimen) akan menyokong usul itu atau tidak?

Saya menggesa supaya Datin Mastura berlaku adil kepada pengundi dengan memberi pendirian yang jelas mengenai perkara ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Sewa Jet dan Jumlah Beg: Alasan Pegawai Datin Seri Rosmah Mansor Tidak Masuk Akal


Saya memberi masa sehingga empat hari bagi pimpinan Umno/Barisan Nasional dan pihak Datin Seri Rosmah Mansor menjawab pelbagai persoalan yang timbul ekoran pendedahan saya mengenai tindakan Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan sebuah jet peribadi mewah yang disewa khas (ACJ319 A6-CJE) dari Emirates dan dibayar oleh rakyat bagi tujuan menghadiri sebuah majlis di Istanbul.
Malangnya tidak ada seorang pun pimpinan Umno/Barisan Nasional yang berjaya memberi penjelasan yang memuaskan. Malah kenyataan Tan Sri Annuar Musa, Ketua Penerangan Umno dan Dato’ Rizal Mansor, Pegawai Khas Datin Seri Rosmah Mansor mengeruhkan lagi keadaan kerana cuba memutar belitkan fakta.

Saya tidak terkejut bila Tan Sri Annuar Musa menyerang peribadi saya (kononnya rakyat mentertawakan saya) apabila ditanya media mengenai pendedahan ini. Dalam Parlimen pun beliau pernah menggunakan kata-kata yang tidak sopan untuk menyerang peribadi saya. Cuma saya ingin mengingatkan Tan Sri Annuar Musa dan pimpinan Umno bahawa dari jumlah rakyat Malaysia yang menonton video yang saya dedahkan dan reaksi mereka, jelas bahawa yang ditertawakan adalah Datin Seri Rosmah Mansor, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Umno sendiri.

Setakat jam 730 pagi ini (sejak dimuatnaik pada hari Jumaat, 10 Jun 2016 jam 1250 tengahari), video Datin Seri Rosmah Mansor menaiki jet dengan beg-beg yang diangkut telah ditonton oleh 1,049,309 penonton di Facebook saya, dikongsi sebanyak 16,800 kali dan telah muncul di “timeline” 2,260,537 akaun (sila lihat dibawah). 



Ini tidak termasuk capaian di laman-laman lain seperti Malaysiakini, Youtube dan sebaran melalui whatsapp. Jumlah tontonan melebihi 1 juta orang dalam tempoh kurang 4 hari jelas menunjukkan isu ini benar-benar menimbulkan kemarahan rakyat.

Oleh itu terpulanglah kepada pimpinan Umno untuk memperlekehkan pendedahan ini atau mengambil tindakan segera untuk menangani kemarahan rakyat itu.

Saya juga ingin membetulkan pembohongan-pembohongan berikut yang dibuat oleh Dato’ Rizal Mansor apabila beliau tidak ada jawapan kepada pendedahan saya:

PERTAMA: ANGGARAN RM86 JUTA TIDAK BETUL

Sehingga kini, pihak Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menguruskan tempahan jet-jet peribadi milik Kerajaan Persekutuan masih belum memberikan angka sebenar kos yang ditanggung rakyat untuk menyewa jet ACJ319 A6-CJE selama 2 bulan.

Dato’ Rizal dan pemuka-pemuka Umno cuba menjadi suara rasmi Kerajaan Persekutuan dengan memperkenalkan terma-terma seperti “dry lease” bertujuan mengelirukan rakyat agar menolak angka RM86 juta yang saya kemukakan sebagai anggaran.

Konsep “dry lease” atau “wet lease” hanya terpakai sekiranya Kerajaan Persekutuan hanya menyewa jet sahaja tetapi keseluruhan operasi (dari juruterbang, pramugara, kos minyak dan lain-lain) dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan. “Dry lease” bermaksud sewaan jet semata-mata tanpa melibatkan kos minyak sementara “wet lease” bermaksud sewaan jet bersama-sama kos minyak yang dimasukkan sekali di dalam nilai keseluruhan sewaan.

Pun begitu, sewaan secara “dry lease” atau “wet lease” ini lebih terpakai bagi pesawat-pesawat biasa (contohnya pesawat kargo, pesawat ambulan udara, pesawat penumpan pukal dan lain-lain) dan bukannya jet peribadi mewah seperti ACJ319 A6-CJE yang dimiliki oleh Emirates ini. Semakan saya menunjukkan setakat ini Emirates adalah satu-satunya syarikat penerbangan komersil di rantau Asia (dari kalangan syarikat penerbangan terbesar Asia) yang menawarkan khidmat jet peribadi lengkap dengan pramugara sendiri. Syarikat penerbangan komersil lain seperti Etihad masih menawarkan khidmat mewah melalui tiket kelas satu.

Ini bermakna, apabila pelanggan menempah pesawat ACJ319 A6-CJE ini, pelanggan itu membayar keseluruhan khidmat penerbangan mewah yang ditawarkan oleh Emirates melalui jet tersebut. Maka konsep tempahan ini bukanlah sewaan secara “dry/wet lease” seperti yang digembar-gemburkan Dato’ Rizal. Pesawat mewah seperti ACJ319 A6-CJE ini ditawarkan secara pakej iaitu “air charter” merangkumi keseluruhan khidmat mewah yang datang dengan pesawat tersebut.

Oleh itu, anggaran kadar RM60,000 sejam penerbangan itu adalah tepat. Mengambil kira kadar tersebut, penerbangan pergi balik dari Subang ke Istanbul yang diambil oleh Datin Seri Rosmah mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam – maka kos bagi penerbangan itu sahaja yang ditanggung rakyat adalah RM1.44 juta.

Jika yang dipertikaikan ialah jumlah jam penerbangan yang ditempah, maka Jabatan Perdana Menteri wajar berterus terang dan memberikan angka sebenar yang ditanggung oleh rakyat. Saya khuatir sewaan secara “air charter” ini dibuat mengikut kadar bulanan tanpa mengira perjalanan sebenar, justeru anggaran saya bahawa ia boleh mencecah sehingga RM86 juta.

Selagi Dato’ Seri Najib Tun Razak enggan menunjukkan dokumen perjanjian sewaan “air charter” yang dimeterai dengan Emirates, ia membangkitkan kecurigaan bahawa jumlah yang ditanggung rakyat adalah tinggi.

KEDUA: BEG-BEG BESAR DIANGKAT KE RUANG MEWAH PESAWAT KERANA RUANG LETAK BEG/KARGO ADALAH SEMPIT/PENUH DENGAN BARANG PASUKAN PERSEMBAHAN PERMATA SENI

Saya pertikaikan kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Rizal Mansor, Pegawai Khas Datin Seri Rosmah Mansor ialah kononnya ruang letak beg/kargo bagi jet ACJ319 A6-CJE ini adalah sempit kerana telah diubahsuai. Menurut beliau lagi, oleh kerana jet itu juga membawa barang untuk persembahan pasukan Permata Seni, ruang letak beg/kargo tidak mencukupi hinggakan beg-beg penumpang dan krew terpaksa diangkat naik ke ruang mewah pesawat.

Saya telah menyemak spesifikasi keluasan ruang letak beg/kargo bagi jet ACJ319 A6-CJE ini di laman rasmi Emirates Executives di http://www.emirates-executive.com/en/the-aircraft/specifications

Berdasarkan maklumat rasmi Emirates itu sendiri, ruang letak beg/kargo boleh memuatkan di antara 30 hingga 50 beg biasa atau berat muatan 1,200 kg. Ruang ini lebih dari cukup untuk menyimpan anggaran 12 hingga 15 beg-beg besar yang dibawa naik ke ruang pesawat.

Saya juga telah menyemak garis masa persembahan yang dibuat oleh kumpulan Permata Seni dan ketibaan Datin Seri Rosmah Mansor di Istanbul untuk menentukan sama ada alasan bahawa ruang letak beg/kargo digunakan untuk membawa barang persembahan itu benar atau tidak.

Dari maklumat penerbangan yang saya perolehi bagi ACJ319 A6-CJE (yang boleh didapati menggunakan aplikasi Plane Finder), jadual penerbangan dan ketibaan Datin Seri Rosmah Mansor adalah seperti berikut:


Nota:

1) Maklumat dari Plane Finder telah disiarkan dalam kenyataan media 8 Jun 2016. Masa Plane Finder adalah masa mengikut zon masa Dubai iaitu pengkalan bagi Emirates

2) Perbezaan masa ditentukan menggunakan aplikasi Travelmath seperti di dalam Lampiran A



3) Tempoh perjalanan udara ke destinasi ditentukan menggunakan aplikasi Travelmath seperti di dalam Lampiran A

4) Masa adalah mengikut zon masa destinasi

Berdasarkan kiraan di atas, Datin Seri Rosmah Mansor hanya tiba lewat petang sedangkan persembahan oleh kumpulan Permata Seni dilaporkan berlaku petang Rabu itu juga (rujuk laman http://www.gpsbestari.com/berita/permata-terima-anugerah-kebajikan-kanak-kanak-3g-1.525586 serta laporan-laporan media perdana di http://www.thestar.com.my/news/nation/2016/05/27/permata-to-receive-global-award-for-its-achievements/ dan http://www.utusan.com.my/rencana/istanbul-26-mei-isteri-perdana-menteri-datin-seri-rosmah-1.335104 ).

Maka adalah tidak masuk akal barang-barang persembahan untuk Permata Seni dibawa di dalam jet ACJ319 A6-CJE yang disewa itu kerana tempoh masanya adalah terlalu singkat di antara jet itu mendarat dan peserta-peserta perlu bersiap sedia untuk membuat persembahan. Saya berpendapat sebenarnya barang-barang persembahan bukanlah sebab ruang kargo menjadi sempit seperti yang didakwa oleh Dato’ Rizal Mansor.

Berdasarkan fakta-fakta di atas, sehingga kini pimpinan Umno dan pihak Datin Seri Rosmah Mansor masih belum menjelaskan berapa jumlah kos yang ditanggung rakyat dan apa kandungan beg-beg yang sehingga ia dibawa naik ke ruang mewah pesawat?

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Jika Kerajaan Belanja RM86 Juta (Anggaran) Sewa Jet Peribadi Untuk VVIP Dan Tugas Rasmi, Kenapa Anak Perempuan Datin Seri Rosmah Turut Sama Guna ACJ319?

Alasan-alasan yang diberikan oleh Datuk Rizal Mansor, Pegawai Khas kepada Datin Seri Rosmah Mansor bahawa jet peribadi ACJ319 A6-CJE disewa oleh Kerajaan Malaysia bagi tempoh 2 bulan untuk kegunaan pembesar negara (VVIP) bukanlah perkara baru. Setiap kali saya mendedahkan pembaziran akibat dari kos menggunakan jet peribadi, alasan-alasan inilah yang akan digunakan dengan mengheret nama DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Kalau pun jet-jet peribadi ini adalah satu keperluan kepada pembesar-pembesar, siapa yang secara rasminya diiktiraf sebagai pembesar VVIP yang boleh menggunakan jet peribadi ini? Urusan bagaimana yang membolehkan mereka menggunakan jet peribadi ini? Tidakkah ada panduan dan had penggunaan supaya wang rakyat tidak dibazirkan?

Jika itu alasan kenapa Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan jet peribadi ACJ319 A6-CJE, atas alasan apa anak kepada Datin Seri Rosmah Mansor iaitu Nooryana Najwa Najib turut sama di dalam penerbangan itu? Adakah anak kepada menteri-menteri juga dikira sebagai VVIP?

Saya boleh sahkan bahawa anak Datin Seri Rosmah Mansor turut sama menaiki pesawat tersebut dan saya sertakan gambar-gambar berikut sebagai bukti:

anakrosmah1

anakrosmah2

Malah, alasan yang diberikan bahawa jadual Datin Seri Rosmah Mansor adalah ketat dan tidak sesuai untuk menggunakan penerbangan komersil adalah dangkal dan menghina rakyat. Rakyat masih belum lupa bahawa semasa Kelantan dilanda banjir teruk di akhir 2014, Dato’ Seri Najib lewat pulang dan menggunakan penerbangan lain untuk pulang ke Malaysia dari Hawaii. Sebaliknya, jet peribadi rasmi kerajaan yang digunakan Perdana Menteri melencong ke arah yang bertentangan iaitu singgah di Los Angeles dan kemudiannya di Indianapolis. Sehingga sekarang Datin Seri Rosmah Mansor tidak menjawab soalan saya sama ada jet itu singgah untuk memantau kerja-kerja naiktaraf jet peribadi yang baru dibeli ketika itu.

Untuk menguji calon-calon BN dan PAS sama ada mereka akan berani menegur Dato’ Seri Najib Tun Razak apabila berlaku pembaziran yang besar seperti ini, saya cabar calon-calon BN dan PAS serta pimpinan teratas parti-parti mereka mendesak supaya Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menyiarkan secara terbuka senarai penuh perjalanan dan kos terlibat bagi semua jet-jet peribadi yang ditanggung oleh rakyat bagi tahun 2015 dan 2016.

Kegagalan mereka berbuat demikian memberi makna mereka juga bakal gagal menegur pembaziran kerajaan jika dipilih ke Parlimen kelak.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN