Category Archives: Felda

Apa Kegunaan Dua Kondominium Mewah Milik FGV Berharga RM8.4 Juta Pada Masa Prestasi FGV Masih Mengecewakan?

Umum mengetahui bahawa Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) tidak mencapai prestasi yang baik sejak mula-mula disenaraikan. Harga sahamnya terus merosot sejak disenaraikan dalam bulan Julai 2012 hingga sekarang (seperti di bawah):

fgvshareprice

Prestasi FGV sudah tentu menjadi perhatian rakyat kerana sahamnya banyak dipegang oleh institusi awam. Enam pemegang saham terbesar adalah institusi awam yang melibatkan rakyat terbanyak melibatkan wang rakyat sekitar RM10 bilion (mengambil kira harga semasa diterbitkan) seperti berikut:

holdingfgv

Hari ini, NOW mengesahkan bahawa pada tarikh 29 September 2014, FGV telah memuktamadkan pembelian dua buah kondominium mewah di The Troika (berdekatan KLCC dan Menara Felda yang baru) pada harga berikut:

1. Unit A-20-2 berharga RM5,143,902

troika

troika-A

2. Unit B-10-3 berharga RM3,283,770

troika-B

troika-B1

troika-B2

*gambar dari laman promosi Troika dan tidak semestinya unit sebenar

Kedua-dua unit kondominium ini dibeli pada harga RM8,427,672 dan saya difahami FGV juga turut berbelanja untuk menaiktaraf dua unit kondominium mewah ini.

Saya telah menyemak Penyata Kewangan FGV yang terkini setakat 31 Disember 2015 dan boleh mengesahkan bahawa FGV telah merekodkan kondominium ini di dalam Penyata Kewangan dan tidak menerima sebarang sewaan dari unit-unit kondominium ini, seperti di bawah:

notesfgv

Bersama-sama ini disertakan salinan mukasurat utama dari perjanjian jual beli kedua-dua unit kondominium itu sebagai bukti pembelian tersebut.

Download (PDF, 3.56MB)

https://drive.google.com/open?id=0B-KS2an8wNoEVURDNWpsTEozMms

Download (PDF, 3.59MB)

https://drive.google.com/open?id=0B-KS2an8wNoEandSb3c0VzBib0k

Saya menyeru supaya kepimpinan baru FGV memberi kenyataan secepat mungkin menerangkan kewajaran pembelian ini dan tujuan FGV mempunyai dua unit kondominium mewah seperti ini dalam tahun 2014. FGV juga perlu mengesahkan sama ada kedua-dua unit ini masih lagi dimiliki oleh FGV setakat ini.

Kenyataan saya yang seterusnya adalah selepas FGV memberi maklumbalas mengenai pendedahan ini.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH EKSEKUTIF
AHLI PARLIMEN PANDAN

KEADILAN Dedah Senarai Tanah Rezab Melayu, Tanah Lapang Di Perancangan Felda Yang Dipajakkan

Pada 28 Mei 2012, KEADILAN telah mendedahkan bagaimana Barisan Nasional telah memajakkan Tanah-tanah Rezab Melayu (TRM) yang dianggarkan seluas 105,382 ekar kepada Felda Global Ventures (FGV) yang disenaraikan.

Ini menimbulkan persoalan penting status tanah-tanah ini kerana ia kini dimiliki dan dikuasai oleh sebuah syarikat yang tidak dikuasai oleh Bumiputra, lalu bertentangan dengan undang-undang TRM yang mengekalkan hakmilik di tangan Melayu/Bumiputra.

Prospektus penyenaraian FGV dengan jelas menunjukkan bahawa pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam syarikat tersebut hanyalah 5.5% sedangkan sejumlah besar saham diperuntukkan kepada syarikat asing dan individu bukan Bumiputra.

Sehingga kini, KEADILAN tidak mendapat apa-apa jawapan dari Dato’ Seri Najib Tun Razak atau pun Tan Sri Isa Samad.

Hari ini, KEADILAN mendedahkan senarai setiap Tanah Rezab Melayu yang telah dipajakkan selama 99 tahun kepada FGV; bermakna hakmilik dan hasil ekonomi dari tanah-tanah ini dipindahkan kepada sebuah syarikat yang status Bumiputranya dipersoalkan.

(Sila rujuk senarai Tanah-tanah Rezab Melayu yang digadaikan seperti yang diedarkan)

Senarai ini adalah lampiran perjanjian pajakan tanah yang ditandatangani di antara FELDA dan FGV bertarikh 1 November 2011.

Saya juga ingin menampilkan satu peruntukan penting di dalam perjanjian tersebut yang menjejaskan pegangan tanah di penempatan FELDA seluruh negara dan mempunyai kesan besar kepada kebajikan peneroka FELDA.

Bersama-sama ini saya lampirkan muka surat 8 dari perjanjian tersebut yang menyenaraikan kumpulan tanah-tanah yang telah dipajakkan ke pasaran saham, seperti berikut:

1. Tanah Sedia Ada (dirujuk sebagai Existing Lands) iaitu 343,484.46 hektar tanah Felda Plantations Sdn Bhd yang dipajakkan, termasuklah Tanah-tanah Rezab Melayu seperti yang saya terangkan di atas;

2. Tanah Sedia Ada Tambahan (dirujuk sebagai Additional Existing Lands) iaitu semua tanah-tanah tidak bergeran yang kini dimiliki oleh FELDA. Ini merujuk kepada semua tanah lapang yang kini dimanfaatkan bagi tujuan kemasyarakatan di penempatan FELDA seperti tapak kedai, padang, surau, jalan dan lain-lain; dan

3. Tanah Akan Datang (dirujuk sebagai Future Lands) iaitu semua tanah yang FELDA bakal perolehi di masa hadapan.
Pendedahan perjanjian ini mengesahkan dakwaan KEADILAN selama ini bahawa semua tanah-tanah tidak bergeran di dalam penempatan FELDA di seluruh negara telah pun dipajakkan ke sebuah syarikat yang dimiliki secara majoriti oleh pelabur swasta, sedangkan tanah-tanah ini menjadi nadi aktiviti kemasyarakatan ekonomi warga FELDA.

Apakah jaminan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad bahawa tanah-tanah ini tidak dijual satu masa kelak; atau kegunaannya diubah dan tidak lagi mengutamakan kebajikan warga FELDA? Apakah jaminan bahawa kedai-kedai runcit kecil yang didirikan di atas tanah-tanah tidak bergeran ini suatu hari nanti tidak akan dirobohkan oleh FGV?

Pendedahan ini juga jelas membuktikan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad telah berbohong apabila mereka menyatakan tanah-tanah yang melibatkan warga FELDA tidak dipajakkan dalam proses penyenaraian FGV.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

6 JUN 2012

Barisan Nasional Memajakkan Tanah Rezab Melayu Ke Pasaran Saham

Perjanjian pajakan tanah di antara Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) dan FELDA bertarikh 1 November 2011 memberikan kuasa dan hak milik kepada FGV untuk mengusahakan tanah-tanah yang kini dimiliki oleh FELDA mengikut syarat-syarat perjanjian.

Sejumlah 847,362 ekar tanah yang kini diuruskan oleh Felda Plantations Sdn Bhd terlibat di dalam urusan pajakan ini, yang menjadi syarat utama proses penyenaraian FGV ke Bursa. Tanpa tanah-tanah ini, penyenaraian tersebut akan gagal.

KEADILAN boleh mengesahkan bahawa kami telah mendapat salinan penuh perjanjian dan senarai tanah-tanah yang terlibat. Semakan kami menunjukkan bahawa dari sejumlah 847,362 ekar tanah yang dipajakkan ini, sejumlah 105,382 ekar adalah tanah-tanah yang telah diwartakan sebagai Tanah Rezab Melayu di seluruh negara.

Ini menimbulkan persoalan serius mengenai status tanah-tanah ini kerana tindakan memajakkan tanah-tanah ini kepada FGV boleh melanggar matlamat pewartaan Tanah Rezab Melayu. Kedudukan FGV selepas ini tidaklah boleh dikira sebagai sebuah syarikat yang berstatus Bumiputra kerana jumlah pegangan saham Bumiputra tidak dapat disahkan. Setakat ini, peneroka Felda hanya diperuntukkan 2.5% dari jumlah pegangan saham sementara kakitangan Felda pula hanyalah 3%. Selebihnya melibatkan badan-badan lain yang dijemput masuk oleh Tan Sri Isa Samad, termasuklah Louis Dreyfus sebuah syarikat antarabangsa yang dikuasai keluarga Yahudi terkenal dari Perancis.

Oleh yang demikian, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad wajar menjelaskan kepada rakyat kenapakah tanah-tanah berstatus rezab Melayu ini turut dipajakkan ke FGV yang disenaraikan di pasaran saham? Apakah jaminan bahawa tanah-tanah ini akhirnya tidak bertukar tangan atau pembangunannya tidak bertentangan dengan semangat pewartaan Tanah Rezab Melayu yang digubal hampir 100 tahun yang lalu?

KEADILAN juga menyeru supaya setiap Kerajaan Negeri di Semenanjung yang terbabit menolak sebarang usaha untuk membatalkan status Tanah Rezab Melayu yang melibatkan tanah 105,382 ekar ini.

Kami menunggu maklumbalas Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad sebelum memberikan lebih banyak maklumat mengenai Tanah Rezab Melayu seluas 105,382 ekar ini.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
28 MEI 2012

Asas FGVH Lemah, IPO Didorong Politik Bukan Ekonomi

KEADILAN mengulangi pendirian kami bahawa FELDA kini adalah terlalu dipolitikkan. Berdasarkan analisis terkini, kami percaya bahawa IPO ini didorong oleh politik dan bukannya berdasarkan kekukuhan kewangan FGVH. Kami merujuk kepada laporan semalam dari Wall Street Journal mengenai IPO FGVH, di mana kebimbangan telah dibangkitkan mengenai keuntungan FGVH kerana profil pokok kelapa sawit yang tersangat teruk.

Pada amnya, sesuatu syarikat akan cuba IPO di bursa apabila ia berada dalam kedudukan yang kukuh (untuk mendapatkan penilaian maksimum) atau apabila masa hadapan kewangan syarikat tersebut adalah ternampak sangat cemerlang. Bisnes FGVH bukanlah berada didalam kedudukan yang kukuh dan masa hadapan untuk pertumbuhan yang tinggi adalah sangat terhad. Prospektus IPO mendedahkan bahawa kedudukan sebenar FGVH di dalam pengurusan perladangan adalah memang lemah.

Pada asasnya, profil umur pokok sawit FGVH mendedahkan bahawa lembaga pengarah FELDA tidak memberi tumpuan sewajarnya kepada pengurusan penanaman pokok. Sangat mengejutkan adalah 53% daripada pokok-pokok sudah tua, 31% muda dan tidak matang dan hanya 16% pokok sawit pada tahap matang perdana. Bayangkan sebuah syarikat yang berprestasi hanya pada tahap 16% daripada potensi sebenarnya membuat percubaan IPO.

Sebagai perbandingan am, sebuah ladang yang sihat diurus dengan baik akan mempunyai profil pokok berusia 7% pokok tua, dan 15% muda dan belum matang dan 78% matang perdana.

FGVH perlu menanam balik dan menunggu selama sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum majoriti pokok pokok sawitnya menjadi matang perdana. Jadi jika anda membeli saham FGVH pada hari ini, kemungkinan besar anda perlu menunggu sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum FGVH pulih ke tahap pengurusan perladangan yang baik.

Oleh demikian, jika pada asasnya FGVH memang tidak bersedia untuk IPO kerana pengurusan ladang yang lemah, mengapa pula Kerajaan dan FELDA tergesa-gesa untuk menyenaraikan?

FELDA dan kerajaan perlu menjawab mengapa mereka begitu gila sangat mengejar IPO ini. Adakah IPO ini sebenarnya satu corporate exercise yang didorong politik dan disokong oleh lembaga pengarah yang kual berpolitik? Adakah dorongan utama bertujuan untuk memperkayakan bank, dan penasihat, pengarah-pengarah FELDA dan juga untuk menyediakan pembayaran durian runtuh kepada peneroka untuk membeli sokongan politik di dalam pilihan raya yang akan datang? IPO FGVH adalah satu IPO yang sebesar RM10.2 billion, ianya yang kedua di dunia tahun ini dan pihak bank dan penasihat kepada IPO ini akan untung yuran berpuluh-puluh juta ringgit.

KEADILAN menuntut dari FELDA dan kerajaan satu pendedahan yang terperinci mengenai yuran-yuran yang bakal diterima oleh pihak bank dan penasihat, hasil daripada IPO ini yang tidak masuk akal.

WONG CHEN,
PENGERUSI BIRO PELABURAN DAN PERDAGANGAN

16 MEI 2012

Hanya 20% Pengurusan Tertinggi Felda Menyokong Penyenaraian

Pada 18 Oktober 2011 jam 11 pagi, pengurusan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Penyenaraian FGV yang ketiga dipengerusikan oleh Tan Sri Isa Samad. Antara lainnya, mesyuarat tersebut membincangkan kesediaan pengurusan Felda dan pandangan mereka mengenai penyenaraian FGV dan penstrukturan korporat yang akan berlaku berikutan penyenaraian tersebut.

Boston Consulting Group (BCG) adalah salah satu daripada juru runding yang dilantik untuk menerajui proses penyenaraian ini. Selain menyediakan pelan langkah-langkah penyenaraian, BCG juga bertanggungjawab menilai kesediaan dan pandangan pengurusan Felda mengenai tindakan Barisan Nasional menyenaraikan FGV dan aset-aset berkaitan Felda.

KEADILAN telah berjaya mendapatkan salinan laporan yang dibentangkan oleh BCG kepada pengurusan Felda dan FGV di dalam mesyuarat tersebut.
Mukasurat 4 dari laporan tersebut yang menyentuh mengenai kesediaan dan pandangan pengurusan Felda ada disertakan bersama.

Kesimpulan yang dibuat oleh BCG setelah menemuramah dan mengadakan kajiselidik melibatkan 30 orang pengurusan tertinggi Felda dalam bulan Oktober 2011 adalah seperti berikut:

1. Cabaran terbesar untuk menjayakan proses penyenaraian ini adalah pandangan pengurusan tertinggi Felda sendiri yang menentang keputusan tersebut;

2. Lebih separuh dari pengurusan Felda (55%) tidak bersedia untuk melalui proses penyenaraian ini;

3. Hanya 20% dari pengurusan tertinggi Felda yang benar-benar menyokong proses penyenaraian; dan

4. 65% dari pengurusan tertinggi Felda percaya proses penyenaraian ini akan gagal kerana Felda masih belum bersedia.

Pendedahan ini mengesahkan bahawa proses penyenaraian yang cuba dilakukan Barisan Nasional mendapat tentangan hebat dari kalangan pimpinan tertinggi Felda sendiri. Ini memberi gambaran bahawa mereka yang lebih arif dan mengikuti proses dalaman sepanjang keputusan menyenaraikan Felda berpandangan penyenaraian ini lebih membawa keburukan daripada kebaikan kepada Felda dan peneroka.

Tentangan pengurusan tertinggi Felda ini akan menyulitkan proses penyenaraian dan membawa risiko bahawa ia akan gagal kerana tidak mendapat kerjasama kakitangan Felda.

Makanya, adalah menjadi tanggungjawab Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad untuk memberikan penjelasan kenapa pandangan dan tentangan pengurusan tertinggi Felda ini tidak diambil kira dan penyenaraian Felda diteruskan jua.

Mereka juga perlu memberi jaminan bahawa pengurusan Felda sedia ada tidak diketepikan dan muka-muka baru yang lebih akur dengan kehendak Barisan Nasional akan dilantik mengisi sebahagian besar jawatan baru di dalam Felda.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

16 MEI 2012