Category Archives: Felda

Pembelian PT Eagle High Plantations: Deposit RM654 Juta Yang Dibayar FGV Mesti Dikembalikan

Walaupun berita pembelian PT Eagle High Plantations oleh Felda telah menjadi pengetahuan umum, ada beberapa perkara yang mungkin rakyat terlepas pandang dan perlu diberi perhatian segera.

Rancangan asal pembelian saham-saham milik sahabat baik Dato’ Seri Najib ini sebenarnya bukanlah melibatkan Felda tetapi syarikat senaraian Felda Global Ventures Berhad (FGV). Felda digunakan setelah pembelian oleh FGV gagal atas sebab-sebab yang masih belum diketahui sehingga kini.

Oleh itu, pada 12 Jun 2015, FGV telah mengumumkan kepada Bursa bahawa ia (melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu FGV Kalimantan Sdn Bhd) telah menandatangani satu Perjanjian Awal (atau “Heads of Agreement”) dengan PT Rajawali Capital International dan PT Rajawali Copora (iaitu syarikat-syarikat milik Tan Sri Peter Sondakh) bagi pembelian 37% saham milik PT Rajawali di dalam PT Eagle High Plantations.

Saya sertakan salinan Perjanjian Awal itu yang mengandungi syarat-syarat jual beli saham tersebut.

Download (PDF, 41KB)

Selain dari harga yang dilihat terlalu tinggi, cadangan pembelian saham PT Eagle High Plantations ini juga mendapat kritikan hebat kerana syarat pembayaran deposit yang terlalu tinggi.

Rujuk mukasurat 2 Perjanjian Awal, di bawah Perkara 2.2 bertajuk “Deposit”.

Perjanjian Awal mensyaratkan FGV membayar deposit sebanyak RM654 juta kepada PT Rajawali milik Tan Sri Peter Sondakh sebagai cengkeram sementara rundingan-rundingan lain untuk memuktamadkan perjanjian ini berjalan.

Syarat pembayaran deposit yang terlalu tinggi pada nilai RM654 juta ini telah mengundang maklumbalas dari Bursa Malaysia yang mengeluarkan notis rasmi bertarikh 15 Jun 2015 kepada FGV untuk menerangkan sebab deposit sedemikian tinggi diperlukan. Saya sertakan notis rasmi pertanyaan-pertanyaan Bursa Malaysia kepada FGV mengenai perkara ini.

Maka, pada 17 Jun 2015, FGV telah memberikan jawapan-jawapan kepada pertanyaan Bursa Malaysia itu termasuk mengenai pembayaran deposit yang tinggi itu.

Saya sertakan jawapan FGV mengenai deposit (merujuk kepada mukasurat dua di bawah tajuk “Query 2”) yang menyatakan bahawa sekiranya perjanjian jual beli saham di antara FGV dan PT Rajawali milik Tan Sri Peter Sondakh ini tidak dapat dimuktamadkan atas apa-apa sebab sekali pun, kesemua deposit berjumlah RM654 juta bersama-sama keuntungan faedah wang itu disimpan di dalam bank sementara ia dipegang oleh PT Rajawali, mestilah dikembalikan kepada FGV.

Download (PDF, 103KB)

Pengesahan bahawa rancangan jual beli saham itu ditamatkan dibuat oleh FGV dalam satu notis kepada Bursa Malaysia bertarikh 23 Disember 2016, iaitu hari yang sama Felda mengumumkan ia telah menandatangani perjanjian membeli saham-saham PT Eagle High Plantations dari PT Rajawali.

Download (PDF, 60KB)

Oleh kerana perkara ini berlaku dihujung tahun 2016 dan laporan keputusan kewangan FGV bagi suku keempat 2016 belum dikeluarkan, sehingga kini tidak ada maklumat mengenai deposit berjumlah RM654 juta ini. Semakan notis-notis yang difailkan di Bursa Malaysia juga tidak menunjukkan sebarang notis berkenaan perkara ini.

Oleh itu, saya mengambil langkah awal untuk memastikan deposit itu dipulangkan kepada FGV mengikut syarat Perjanjian Awal dengan bertanyakan soalan-soalan ini:

1. Adakah FGV membayar deposit berjumlah RM654 juta itu kepada PT Rajawali dalam bulan Jun 2015 seperti kehendak Perjanjian Awal?

2. Jika ya, sudahkan PT Rajawali telah memulangkan kembali deposit RM654 juta itu bersama dengan keuntungan faedah simpanan dan bilakah deposit dan keuntungan itu dipulangkan kepada FGV?

3. Jika belum dipulangkan, bilakah akan dipulangkan?

4. Jika belum ada tarikh tetap jumlah itu dipulangkan, adakah deposit RM654 juta itu akan digunapakai sebagai sebahagian dari urusniaga pembelian saham-saham PT Eagle High Plantations yang kini telah dibeli oleh Felda?

Saya mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan tidak ada cubaan untuk menggunakan wang deposit RM654 juta itu untuk digunakan pula untuk membayar saham-saham PT Eagle High Plantations dalam keadaan Felda menghadapi masalah kewangan untuk membayarnya.

Jika syarat Perjanjian Awal dipatuhi dan wang deposit RM654 juta ini telah dikembalikan kepada FGV, FGV sepatutnya tidak ada masalah untuk menjawab soalan-soalan saya di atas.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN


Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

 

Pembelian Eagle High Plantations Oleh FELDA: Dedahkan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA Berkenaan Had Pelaburan Dana FELDA

Sejak isu pembelian saham 37% di dalam PT Eagle High Plantations didedahkan, sehingga kini tidak ada sebarang kenyataan dari Lembaga Pengarah Felda yang menjawab pelbagai isu kewangan yang ditimbulkan. Malah, pengerusi Felda yang baru, Tan Sri Shahrir Samad lebih selesa mempertahankan pembelian itu walaupun Felda terpaksa menjual harta dan meminjam wang untuk membiayai pembelian berjumlah RM2.263 bilion itu.

Sehingga sekarang, saya menunggu maklumbalas dari mana-mana ahli Lembaga Pengarah Felda memandangkan merekalah yang akan didakwa di mahkamah satu hari nanti sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau dasar Felda bersabit pembelian tersebut.

Saya merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2010: Pengurusan Kewangan Dan Aktiviti Serta Pengurusan Syarikat Subsidiari Badan Berkanun Persekutuan yang boleh dimuat turun dari laman Jabatan Audit Negara www.audit.gov.my (muka surat pertama ditunjukkan di bawah):

 

Dalam laporan tersebut, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang telah membuat satu laporan khusus mengenai pelanggaran peraturan dan dasar pelaburan yang ditetapkan sendiri oleh Lembaga Pengarah Felda yang telah pun berlaku dalam tempoh auditan iaitu Oktober hingga Disember 2010.

Saya sertakan muka surat khusus dari laporan tersebut mengenai pelanggaran tersebut iaitu di muka surat 313 dan 314 seperti berikut:

 

 

Perkara 23.2.1 di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 secara jelas menyebut bahawa “Manual Dasar dan Strategi Pelaburan Kumpulan FELDA yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah telah menetapkan peratusan pengagihan sumber dana untuk pelaburan portfolio oleh FELDA.” Ini adalah perkara biasa supaya pengurusan kanan sesebuah syarikat (apatah lagi sebuah badan berkanun milik rakyat seperti Felda) tidak berbuat sesuka hati untuk melaburkan dana syarikat dan terikat kepada langkah-langkah berhati-hati di dalam pelaburan.

Mengikut laporan Tan Sri Ambrin Buang itu, pelaburan dari dana Felda di dalam syarikat (melalui pembelian saham sama ada harga yang disiar/quoted atau harga tidak disiar/unquoted) tidak boleh melebihi 24% dari keseluruhan dana dari akaun Felda (akaun yang tidak melibatkan dana peneroka).

Laporan tersebut juga telah mendapati pelaburan Felda di dalam syarikat telah pun melanggar Dasar dan Strategi Pelaburan Kumpulan Felda sejak tahun 2008 lagi dan memuncak dalam tahun 2010.

Dalam tahun 2010, Felda masih mempunyai simpanan wang yang besar dan jumlah pelaburannya ketika itu pun (tanpa menggunakan dana dari hutang) telah didapati melanggar Dasar dan Strategi Pelaburan Kumpulan Felda oleh Ketua Audit Negara.

Berbalik kepada pembelian PT Eagle High Plantations oleh Felda baru-baru ini, Felda terpaksa berhutang bagi membayar pembelian tersebut. Saya menjangkakan pembelian itu melanggar Dasar dan Strategi Pelaburan Kumplan Felda kerana jika pelaburan yang menggunakan lebihan simpanan wang Felda pun dihadkan kepada 24% sahaja (dari jumlah baki simpanan wang) untuk mengurangkan risiko, pelaburan yang menggunakan hutang pada harga yang lebih tinggi sudah tentu membawa risiko yang lebih besar.

Pembelian PT Eagle High Plantations bolehlah dikira melanggar dasar dan peraturan yang ditetapkan oleh Felda sendiri. Mana-mana ahli Lembaga Pengarah yang bersekongkol meluluskan pembelian itu (bertentangan dengan dasar pelaburan); atau yang bersetuju memansuhkan had itu; suatu hari nanti boleh disiasat dan didakwa sekiranya keputusan itu menjejaskan kepentingan Felda.

Oleh yang demikian, saya mencabar Tan Sri Shahrir Samad sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Felda untuk menjelaskan kepada rakyat kenapa Felda melanggar peraturan dan dasar yang mengawalselia pelaburannya yang ditetapkan sendiri oleh Lembaga Pengarah Felda?

Jika Tan Sri Shahrir Samad percaya keputusan membeli PT Eagle High Plantations itu tidak melanggar peraturan dan dasar pelaburan Felda, saya cabar beliau mendedahkan minit-minit mesyuarat Lembaga Pengarah untuk menunjukkan bahawa peraturan dan dasar Felda yang menghadkan jumlah pelaburan di dalam syarikat (melalui pembelian saham-saham) telah dimansuhkan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/watch?v=V04XJSXtW0s

Setuju Dengan Cadangan Persatuan Ekonomi Malaysia, Gesa Perdana Menteri Gantikan Semua Lantikan Politik Di Tabung Haji Dan Felda

Saya mengalu-alukan kenyataan Dato’ Latifah Merican Cheong, mantan Penolong Bank Negara Malaysia dan Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (PEM) mengenai keperluan meletakkan kawal selia prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Parlimen.

Pandangan beliau itu selari dengan pendirian saya dan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan selama ini, iaitu:

1. Jawatankuasa Terpilih (Select Committee) yang khusus untuk mengawal selia prestasi kewangan sektor-sektor penting yang melibatkan wang rakyat perlu diwujudkan;

2. Jawatankuasa Terpilih ini perlu dianggotai oleh ahli-ahli parlimen yang berkelayakan dan padan dengan kepakaran dari kerajaan dan pembangkang;

3. Kakitangan dan sumber yang khusus diberikan kepada Jawatankuasa-jawatankuasa Terpilih ini untuk meneliti dan mengawal selia prestasi dan perjalanan sektor-sektor penting yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Susulan dari kenyataan Dato’ Latifah Merican Cheong itu, saya mencadangkan supaya sekurang-kurangnya ada dua Jawatankuasa Terpilih yang baru iaitu Jawatankuasa Terpilih yang mengawal selia perbelanjaan dan prestasi kementerian serta agensi-agensi kerajaan; dan Jawatankuasa Terpilih yang mengawal selia perbelanjaan dan prestasi badan pelaburan kerajaan, PETRONAS dan GLC. Selain dari tanggungjawab mengawal selia perbelanjaan dan prestasi badan/syarikat, Jawatankuasa Terpilih juga diberi kuasa menjalankan proses pengesahan pencalonan (“confirmation hearing”) untuk mengesahkan calon-calon CEO/Pengarah Urusan/Pengerusi yang dicadangkan oleh Perdana Menteri.

Saya ingin mengingatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa desakan untuk memisahkan kawal selia dan pertanggungjawaban badan/syarikat milik kerajaan kepada Perdana Menteri adalah semakin memuncak. Malah, sentimen rakyat telah bertukar menjadi penolakan kepada penglibatan ahli politik di dalam badan-badan ini disebabkan pelbagai skandal yang berlaku di bawah pentadbiran beliau yang melibatkan kepimpinan ahli politik di badan/syarikat milik kerajaan.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Dato’ Seri Najib mendengar suara rakyat itu dengan menukar ahli-ahli lembaga pengarah di dua badan kerajaan yang menduduki kerusi tersebut atas dasar ahli politik/lantikan politik; seperti yang disenaraikan dibawah:

 

TABUNG HAJI

1. YB Dato’ Seri Azeez Abdul Aziz (Pengerusi)
2. Tan Sri Othman Mahmood
3. Tan Sri Badruddin Amiruldin
4. Tan Sri Mohamed Apandi Ali
5. YB Tan Sri Mohamad Aziz
6. Tan Sri Shukry Salleh
7. YB Dato’ Rosni Sohar

iaitu 7 dari 10 ahli Lembaga Pengarah; mereka wajar digantikan oleh pakar-pakar perniagaan dan pelaburan

FELDA

1. YB Tan Sri Shahrir Samad (Pengerusi)
2. YB Datuk Mohd. Suhaili Bin Said
3. YB Datuk Noor Ehsanuddin Bin Mohd Harun Narrashid
4. YB Dato’ Abu Bakar Bin Haji Harun
5. YB Dato’ Mohd. Khusairi Bin Haji Abdul Talib
6. Dato’ Mohd Isa Bin Abu Kasim

iaitu 6 dari 11 ahli Lembaga Pengarah; mereka wajar digantikan oleh pakar-pakar perladangan, perniagaan dan pelaburan

Saya sedia maklum bahawa amalan melantik ahli politik ke kerusi Lembaga Pengarah dan badan-badan kerajaan masih diamalkan oleh kerajaan negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan.

Oleh kerana pendirian bahawa ahli politik sewajarnya tidak dilantik ke jawatan-jawatan tersebut dan kawal selia dijalankan melalui mekanisme badan perundangan (iaitu melalui Jawatankuasa Terpilih di dewan perundangan) adalah pendirian saya secara peribadi, saya akan menulis secara rasmi sebagai Ahli Parlimen kepada YAB Dato’ Seri Azmin Ali dan YAB Saudara Lim Guan Eng agar pandangan saya ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Selangor dan Pulau Pinang.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di:

Facebook | https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/videos/vb.145165568851292/1415580235143146/?type=3&theater

Youtube |
https://www.youtube.com/watch?v=fIJMoV7DISs

Anak Syarikat Milik Penuh Felda (Felda Wellness Corporation) Rugi RM155 Juta, Berhutang RM154 Juta Dan Didakwa Guna Wang Rakyat Tanggung Perbelanjaan Keluarga

Penyelewengan wang Felda yang dikumpul hasil dari titik peluh peneroka dan rakyat biasa sebenarnya lebih besar dari yang dilaporkan setakat ini. Sebab itu, saya telah menyatakan bahawa saya tidak akan berhenti sehingga individu-individu yang terbabit dari yang paling atas hingga ke bawah di bawa ke muka pengadilan kerana mereka memakan wang rakyat.

Sikap acuh tidak acuh Tan Sri Shahrir Samad setakat ini menunjukkan beliau tidak serius untuk menyelamatkan Felda. Saya masih berpegang kepada pendirian bahawa pelantikan Tan Sri Shahrir Samad hanya untuk meredakan kemarahan peneroka Felda kerana PRU14 bakal berlaku dalam tempoh yang dekat.

Salah satu dari kerugian yang paling memualkan ialah melibatkan sebuah syarikat yang bernama Felda Wellness Corporation Sdn Bhd. Ia anak syarikat milik penuh Felda yang menyuntik RM5 juta tunai sebagai modal awal syarikat ini (rujuk carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang saya sertakan). Felda Wellness Corporation Sdn Bhd ditubuhkan pada 17 Julai 2013 iaitu selepas kemenangan Barisan Nasional dalam PRU13.

Download (PDF, 221KB)

Maka, sejak ditubuhkan ia hanya beroperasi sekitar dua tahun setengah sebelum ia diisytiharkan muflis pada awal Mac 2016 setelah Mahkamah Tinggi membenarkan saman tuntutan hutang oleh sebuah syarikat farmaseutikal dari Australia bernama Gordagen Pharmaceuticals Pty Ltd.

Gordagen Pharmaceuticals telah menuntut hutangnya sebanyak AUD$652,083.60 (bersamaan RM2.1 juta) dari Felda Wellness Corporation yang tidak dibayar. Setelah Berjaya mendapat arahan memufliskan Felda Wellness Corporation, Gordagen Pharmaceuticals mengeluarkan kenyataan di laman webnya (http://www.gordagen.com/index.php/27-home/news/156-gordagen-successful-in-securing-winding-up-order-against-felda-wellness-corporation) yang saya rumuskan di sini:

i. Gordagen telah berkali-kali menuntut hutangnya selama 14 bulan tetapi tidak dihiraukan oleh pengurusan Felda Wellness Corporation

ii. Hutang Felda Wellness Corporation kepada Gordagen adalah bagi perkhidmatan yang termaktub di dalam perjanjian-perjanjian yang dimeterai atas persetujuan dan arahan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Wellness Corporation, Mohd Nasir bin Shafion dan bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda Wellness Corporation, Muhammad Sufi Mahbub yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Felda

iii. Salah satu dari perjanjian itu menetapkan bahawa dana dari Felda Wellness Corporation digunakan untuk membayar gaji dan kos sara hidup anak kepada Muhammad Sufi Mahbub (iaitu Athirah Sufi) di Australia

(Saya sertakan kenyataan penuh Gordagen di sini).

Download (PDF, 642KB)

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan rekod kewangan terkini Felda Wellness Corporation seperti berikut:

i. Setelah beroperasi selama dua tahun setengah, jumlah kerugian terkumpul adalah RM155 juta, iaitu RM74 juta dalam tempoh kewangan pertama dan RM81 juta dalam tahun kedua

ii. Jualan oleh syarikat ini hanyalah RM2 juta bagi tahun berakhir 31 Disember 2015, sedangkan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nasir bin Shafion pernah mendabik dada dalam satu kempen yang dilancarkan sendiri oleh Tan Sri Isa Samad pada 13 November 2015 bahawa Felda Wellness Corporation mensasarkan hasil jualan RM100 juta dalam tempoh tiga tahun dan bakal menjadi penyumbang terbesar kepada pelaburan Felda agar ia tidak lagi bergantung kepada hasil kelapa sawit semata-mata (rujuk laporan The Star http://www.thestar.com.my/business/business-news/2015/11/13/felda-wellness-targets-rm100mil-sales-in-three-years/ yang dilampirkan)

iii. Jumlah hutang pada ketika syarikat ini diisytiharkan muflis adalah RM154,098,296 yang saya syaki sebahagian besarnya hutang kepada anak-anak syarikat Felda yang lain

Saya tahu satu laporan polis telah dibuat terhadap individu tertentu yang dinamakan di atas tetapi sehingga kini semakan saya menunjukkan tidak ada satu keputusan atau hukuman telah dibuat.

Apa perasaan peneroka-peneroka apabila mereka tahu segelintir pegawai kanan Felda membelanjakan RM155 juta wang mereka dalam tempoh 2 tahun setengah, termasuk untuk membiayai kehidupan selesa anak kepada bekas Timbalan Ketua Pengarah Felda?

Budaya ini akan terus berlaku kerana pegawai-pegawai akan melihat ke atas dan jika mereka merasakan kepimpinan kerajaan dan orang politik di dalam Felda tidak telus dan tidak membanteras rasuah, mereka juga akan terikut-ikut kerana “bapak borek, anak rintik”.

Saya akan menunggu helah baru Tan Sri Shahrir Samad untuk mengelak dari berdepan dengan isu ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Kondo Mewah FGV: Tan Sri Shahrir Samad Perlu Buktikan Serius Mencegah Ketirisan, Hentikan Pembaziran Di Felda Global Ventures (FGV)

Tan Sri Shahrir Samad semalam memperlekehkan gesaan yang dibuat Saudara Akmal Nasir (Pengarah Eksekutif, National Oversight & Whistleblowers) agar beliau mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terbabit dengan ketirisan dan penyelewengan dalam kumpulan Felda.

Saya telah nyatakan pendapat sebelum ini bahawa pelantikan Tan Sri Shahrir Samad tidak lebih hanya untuk meredakan kemarahan rakyat terutamanya peneroka Felda menjelang PRU14 yang boleh dipanggil beberapa bulan dari sekarang. Oleh itu, keikhlasan beliau (dan Umno) untuk menyelamatkan Felda dinilai dari kesungguhan beliau membersihkan Felda dari penyelewengan, pembaziran dan ketirisan; termasuklah mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.

Kalau pun beliau tidak berani mengheret mereka ini ke muka keadilan, sekurang-kurangnya beliau perlu menunjukkan kesungguhan untuk menghentikan amalan boros dan pembaziran di dalam kumpulan Felda.

Pada 18 Mei 2016, saya telah mendedahkan bagaimana FGV membeli dua buah kondominium mewah di The Troika yang masing-masing berharga RM5,143,902 (Unit A-20-2) dan RM3,283,770 (Unit B-10-3) yang gambarnya ditunjukkan di bawah. The Troika adalah sebuah bangunan kondominium mewah berdekatan dengan KLCC dan berada setentang dengan ibupejabat Felda yang baru.

Saya sertakan juga perjanjian-perjanjian pembelian kedua-dua kondominium yang berharga RM8.4 juta ini di capaian berikut:

https://drive.google.com/open?id=0B-KS2an8wNoEVURDNWpsTEozMms

https://drive.google.com/open?id=0B-KS2an8wNoEandSb3c0VzBib0k

Saya tidak mengambil sebarang tindakan lanjut mengenai perkara itu kerana beranggapan pihak pengurusan Felda dan FGV telah melupuskan kondominium-kondominium mewah ini kerana ia jelas tidak memanfaatkan sesiapa kecuali pengurusan terkanan FGV.

Semakan saya di dalam Laporan Kewangan FGV yang diaudit yang terkini iaitu bagi tahun berakhir 31 Disember 2015 menunjukkan bahawa kedua-dua kondominium ini masih lagi belum dijual.

Oleh kerana Laporan Kewangan FGV 31 Disember 2016 masih belum disiapkan dan laporan terkini diedarkan sebulan sebelum saya membongkarkan mengenai dua buah kondominium ini, saya menggesa Tan Sri Isa Samad (Pengerusi FGV) dan Tan Sri Shahril Samad (Pengerusi Felda) mengesahkan sama ada kedua-dua buah kondominium itu telah dijual.

Jika telah dijual, berapa pula kos yang ditanggung setiap tahun kerana setakat 31 Disember 2015 sahaja (rujuk Nota 20, mukasurat 251 Laporan Kewangan FGV 2015), kedua-dua buah kondominium itu tidak menjana apa-apa hasil kepada FGV dan memakan kos penyelenggaraan RM66,000 setahun.

Jika FGV masih belum menjual kedua-dua kondominium mewah ini, kesungguhan Tan Sri Shahrir Samad mengarahkan agar ia dilupuskan akan diperhatikan rakyat.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN