Category Archives: Felda

Siasatan Ke Atas Pembelian Hotel Di London: Bukankah Pelaburan Di Luar Negara Mesti Diluluskan Majlis Ekonomi Yang Dipengerusikan Perdana Menteri?

Saya adalah ahli parlimen pertama yang menyatakan bahawa Tan Sri Isa Samad akan dijadikan “kambing hitam” untuk dikorbankan bagi menyelamatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak, seawal 17 Februari 2017 seperti yang dilaporkan Malaysiakini https://www.malaysiakini.com/news/372808#8S8OqMvHCWxQPA2l.97

Oleh itu, sementara saya lega kerana akhirnya ada siasatan ke atas penyelewengan wang Felda yang akan membebankan rakyat Malaysia untuk berpuluh tahun akan datang, saya juga tidak mudah terpedaya bahawa siasatan ini adalah ikhlas dan menyeluruh. Saya sudah dapat menghidu seawal Februari 2017 lagi bahawa ini akan berlaku kerana memang perkiraan itu telah dibuat lebih awal.

Sebab itu, saya menyeru rakyat Malaysia dan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan agar tidak ghairah bertepuk tangan dengan penahanan Tan Sri Isa Samad kerana itu belum tentu akan dapat merungkai kesemuanya sekiranya penyelewengan ini tidak disiasat secara menyeluruh.

Satu perkara yang membimbangkan saya ialah bagaimana budaya pertanggungjawaban di Malaysia ini (baik dalam politik, di tempat kerja, di jabatan kerajaan dan lain-lain) hanya memberi tumpuan kepada “kambing hitam” yang menjadi korban. Jika ada sesuatu penyelewengan atau pelaburan yang merugikan, hanya “kambing hitam” itu yang disiasat dan dihukum. Ketua atau badan yang bertanggungjawab mengawal selia dan meluluskan tindakan-tindakan “kambing hitam” itu yang akhirnya menyebabkan kerugian tidak disentuh langsung dan mereka kekal di jawatan mereka.

Sebab itu apabila sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) rugi besar, yang dihukum hanyalah Ketua Pegawai Eksekutifnya sedangkan Lembaga Pengarah yang turut bertanggungjawab membuat kesemua keputusan besar yang dilaksanakan oleh CEO tidak dikenakan tindakan.

Dalam kes pembelian hotel-hotel mewah di Kuching dan London oleh Felda yang menjadi tumpuan siasatan SPRM dan punca Tan Sri Isa Samad ditahan, beliau bukanlah individu yang tertinggi yang membuat keputusan pembelian. Ada lagi badan yang lebih tinggi yang sepatutnya telah lebih awal menolak dan membatalkan hasrat Felda untuk membeli hotel-hotel ini.

Saya merujuk pengalaman saya mengendalikan skandal pembelian tiga unit hartanah di Australia oleh MARA yang harganya dinaikkan hampir dua kali ganda. Kes itu sekarang sudah menjadi siasatan pihak berkuasa (walaupun belum ada seorang pun yang didapati bertanggungjawab) dan saya sudah pun menang saman dengan Timbalan Ketua Pemuda Umno yang menuduh saya memfitnah dalam kes itu.

Dalam kes tersebut, menteri yang bertanggungjawab ketika itu (Dato’ Seri Shafie Afdal) dan pengerusi MARA ketika itu (Tan Sri Anuar Musa) dengan secara jelas mengesahkan bahawa cadangan pembelian hartanah luar negara oleh MARA itu telah dibentangkan dan diluluskan oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Berita-berita yang melaporkan perkara ini boleh dibaca di capaian berikut:

Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/node/60550
Astro Awani: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pembelian-hartanah-di-australia-patuhi-tatacara-perolehan-kementerian-kewangan-pengerusi-mara-63518
Malaysiakini: https://www.malaysiakini.com/news/303181#pgsM5TCP9Vo3us8x.97

Malah, laporan Astro Awani dengan secara jelas juga memetik Tan Sri Anuar Musa sebagai mengesahkan bahawa “kelulusan dari Perdana Menteri (melalui Majlis Ekonomi) adalah sebahagian dari prosedurnya”.

Saya telah menyemak laman web Majlis Ekonomi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keanggotaannya, fungsinya dan terma rujukannya di capaian http://www.epu.gov.my/ms/seksyen/urus-setia-majlis-ekonomi

Dato’ Seri Najib telah menetapkan bahawa Majlis Ekonomi mengambil alih tugas Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal pelaburan negara. Ini disahkan juga oleh laporan Malaysiakini https://www.malaysiakini.com/news/303195#hwqo8VG5ys2PCYEG.97
yang memetik penerangan Tan Sri Anuar Musa bagaimana pembelian di luar negara (atau) yang melibatkan pinjaman luar negara perlu dibawa ke Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Oleh yang demikian, pembelian hotel di London oleh Felda sudah tentu perlu melalui proses kelulusan yang sama iaitu perlu dibawa dan diluluskan oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri di samping menteri kanan yang lain.

Jika Tan Sri Isa Samad direman dan disiasat atas dakwaan menerima suapan dari pembelian hotel tersebut yang menyeleweng duit Felda, maka Dato’ Seri Najib Razak dan anggota Majlis Ekonomi yang lain juga perlu disiasat untuk menentukan sama ada mereka juga menerima habuan/suapan kerana merekalah (Perdana Menteri dan anggota Majlis Ekonomi) yang turut meluluskan pembelian hotel di London (yang perlu dibawa ke Majlis Ekonomi kerana ia melibatkan pelaburan luar negara).

Jika ada bukti mereka tahu bahawa pembelian itu ada unsur penyelewengan kerana harganya lebih mahal tetapi mereka tetap meluluskannya, mereka perlu disiasat pula sama ada mereka mendapat habuan. Jika ada bukti mereka mendapat habuan, mereka juga perlu ditahan seperti Tan Sri Isa Samad.

Jika mereka tidak tahu ada unsur penyelewengan dalam pembelian itu tetapi gagal mengenal pasti risiko pelaburan dan gagal menyemak bahawa harga yang perlu dibayar Felda adalah terlalu tinggi, maknanya mereka tunggul yang makan gaji buta kerana gagal/cuai menjalankan amanah sebagai anggota Majlis Ekonomi. Mereka perlu dipecat atau jika mereka bermaruah, mereka perlu meletakkan jawatan.

Budaya rasuah menjadi begitu mendalam dan parah di negara kita bukan disebabkan dua tiga orang yang ditangkap terlibat di dalam penyelewengan. Mereka sebenarnya hanyalah sebahagian kecil dari satu ekosistem pentadbiran negara yang mendokong dan membenarkan rasuah berleluasa. Jika kita benar-benar mahu membanteras rasuah, kita perlu memerangi keseluruhan ekosistem rasuah ini termasuklah dengan menuntut satu teladan pertanggungjawaban yang tertinggi di kalangan menteri dan pegawai kanan kerajaan yang menduduki kerusi-kerusi penting seperti Majlis Ekonomi.

Oleh itu, walaupun Tan Sri Isa Samad telah dikambing hitamkan, itu tidak bermakna Dato’ Seri Najib boleh mencuci tangan. Beliau perlu dipanggil SPRM untuk disiasat untuk menentukan sama ada sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi, beliau telah meluluskan pembelian ini (jika dibawa) dan sebab musabab beliau berbuat demikian sedangkan jelas harga yang dibayar Felda adalah jauh lebih tinggi dari yang sepatutnya.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Kerosakan Di Felda Juga Dari Keputusan Perniagaan Yang Merugikan, Bukan Sahaja Rasuah Semata-Mata

Laporan media hari ini memetik kenyataan Tan Sri Shahrir Samad, Pengerusi Felda yang dilaporkan berjanji untuk tidak melindungi sesiapa pun dari kalangan kakitangan dan pengurusan Felda sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada bukti telah berlaku rasuah di dalam pengurusan Felda. Kenyataan itu dibuat ekoran kenyataan SPRM bahawa satu kertas siasatan baru telah dibuka setelah beberapa maklumat baru diperolehi.

Sementara saya sentiasa mengalu-alukan apa-apa siasatan ke atas dakwaan salah laku, saya berpendapat prestasi Tan Sri Shahrir Samad setakat ini tidak banyak berbeza dari sahabatnya, Tan Sri Isa Samad. Walaupun Tan Sri Shahrir nampak lebih terbuka setakat ini, beliau menutup mulut dan tidak memberi reaksi berkenaan urusniaga besar yang diketahui akan merugikan Felda.

Pandangan rakyat bahawa kedudukan Felda sekarang adalah ekoran urustadbir yang lemah dan telah berlaku salah laku penyelewengan dan rasuah, adalah berasas. Sejak setahun lalu, pelbagai laporan dari Ketua Audit Negara dan penahanan pegawai tinggi oleh SPRM telah mengesahkan pandangan rakyat itu tidak tersasar dari keadaan sebenar.

Pun begitu, masalah paling utama yang berlaku semasa Tan Sri Isa Samad menjadi pengerusi Felda ialah satu urusniaga perniagaan yang buruk sehingga menyebabkan Felda menanggung hutang berbilion ringgit, iaitu penyenaraian FGV yang melibatkan juga “wang pengeras” kepada peneroka Felda sebelum PRU13.

Berbanding dengan pelbagai rasuah di peringkat bawah yang berlaku, kesan terbesar kepada kedudukan kewangan Felda ialah penyenaraian FGV yang kemudiannya menyaksikan harga sahamnya jatuh merudum, sekaligus mengheret Felda bersama-samanya.

Sebab itu saya ingin mengingatkan Tan Sri Shahrir Samad bahawa risiko terbesar kepada kelangsungan Felda bukanlah rasuah yang melibatkan pegawai-pegawainya di bawah tetapi satu atau dua keputusan perniagaan besar yang membabitkan urusniaga sehingga berbilion ringgit kerana itu akan memburukkan lagi kedudukan kewangan Felda.

Dalam bab ini, saya meletakkan prestasi Tan Sri Shahrir Samad sama sahaja dengan Tan Sri Isa Samad kerana beliau (Tan Sri Shahrir) yang mengetuai Felda ketika Felda membelanjakan sehingga RM2.2 bilion untuk membeli saham majoriti di dalam syarikat perladangan milik sahabat Dato’ Seri Najib Tun Razak iaitu PT Eagle High Plantations.

Hampir sebulan lalu, saya telah bertanyakan sendiri melalui satu kenyataan media kepada Tan Sri Shahrir Samad, mengenai laporan media di Indonesia bahawa Felda telah pun memuktamadkan pembelian saham-saham PT Eagle High Plantations dalam bulan April 2017. Malah, menurut laporan itu lagi, Felda berhasrat untuk membeli lagi saham-saham dengan menawarkan harga belian kepada pemegang saham lain.

Antara rumusan urusniaga yang dilaporkan di http://m.kontan.co.id/news/felda-dikabarkan-incar-porsi-mayoritas-bwpt

i. Felda telah pun membeli 37% pegangan di dalam PT Eagle High
ii. Urusniaga itu dimuktamadkan dalam bulan April 2017 dengan Kumpulan Rajawali milik Tan Sri Peter Sondakh
iii. Anak syarikat Felda, FIC Properties Sdn Bhd membayar sehingga USD 505.4 juta bersamaan sekitar RM2.12 bilion bagi saham-saham itu
iv. Felda dilaporkan akan membuat satu “tawaran umum” atau “general offer” bagi membeli saham-saham PT Eagle High yang belum dimilikinya

Saya pernah mendedahkan kedudukan kewangan Felda setakat 2013 dan 2014 berpandukan penyata kewangan yang diaudit (kerana laporan kewangan Felda bagi 2015 dan 2016 belum lagi keluar walaupun kini sudah melepasi separuh tahun 2017):

i. Mukasurat 168: Pendapatan di peringkat Felda hanyalah RM87 juta setahun. Jika diambil kira pendapatan di peringkat kumpulan yang disatukan, pendapatan tahunan kumpulan Felda hanyalah RM420 juta setahun.

ii. Mukasurat 168: Rugi bersih Felda adalah RM1 bilion (2014) dan RM2.3 (2013)

iii. Mukasurat 185: Perbelanjaan kasar untuk melaksanakan rancangan tanam semula untuk peneroka ialah RM2.5 bilion (2014) dan RM2.4 bilion (2013)

iv. Mukasurat 187: Baki tunai yang ada di akaun Felda hanyalah RM291 juta (2014) dan RM685 juta (2015)

v. Mukasurat 271: Jumlah hutang Felda adalah RM6.1 bilion (2014) dan RM5.7 bilion (2013)

Ini bermakna, sudah hampir pasti Felda telah mengambil hutang baru sebanyak RM2.12 bilion untuk membiayai pembelian saham-saham PT Eagle High itu kerana Felda tidak mempunyai sumber kewangan dalam yang mencukupi.

Keputusan untuk terus berhutang dalam keadaan kedudukan kewangan Felda sudah pun parah itu tidak sekali-kali disiasat oleh SPRM kerana ia tidak dikira sebagai rasuah; sebaliknya hanyalah satu keputusan pengurusan yang merugikan.

Sebab itu saya ingin menasihati Tan Sri Shahrir Samad supaya menginsafi hakikat bahawa beliaulah yang memimpin Felda tatkala Felda membayar sejumlah harga yang begitu tinggi untuk membeli saham-saham syarikat perladangan milik sahabat Dato’ Seri Najib.

Jangan dengan hanya mengalu-alukan siasatan ke atas ikan-ikan bilis di kalangan kakitangan Felda; itu dikira cukup untuk menutup peninggalan beliau yang sewajarnya diingati seperti mana rakyat mengingati peninggalan Tan Sri Isa Samad kepada Felda juga: kedua-dua mereka bertanggungjawab membiarkan Felda terjebak di dalam urusniaga berbilion ringgit yang menyebabkan hutang Felda mula membawa kesan kepada peneroka Felda.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

RM305 Juta Wang Rakyat Membiayai Projek Hotel Mewah Dan Pusat Persidangan Antarabangsa Langkawi (LICC) Milik Tan Sri Peter Sondakh

Awal minggu ini, saya telah mengajukan satu soalan kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai jumlah wang rakyat yang telah dibelanjakan untuk membina hotel mewah St Regis Langkawi dan Pusat Persidangan Antarabangsa Langkawi (LICC) milik Tan Sri Peter Sondakh.

Saya telah menunjukkan bagaimana Dato’ Seri Najib sendiri yang menyempurnakan upacara pecah tanah hotel mewah St Regis dan Pusat Persidangan Antarabangsa Langkawi (LICC) itu sebagai persediaan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2015.

Perkara ini dilaporkan oleh Bernama yang turut disiarkan oleh The Malaymail Online di capaian berikut:
http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/langkawi-to-have-two-new-landmarks

Merujuk kepada laporan Bernama mengenai perkara ini, butiran mengenai kedua-dua projek itu adalah seperti berikut:

1. Dato’ Seri Najib mengumumkan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN yang dijangka diadakan pada April 2015 akan diadakan di LICC

2. Pembinaan Hotel St Regis dan LICC (bagi tujuan Sidang Kemuncak ASEAN 2015) dikendalikan oleh Kumpulan Rajawali milik Tan Sri Peter Sondakh dan bakal disiapkan dalam tempoh 15 bulan dari tarikh pecah tanah

3. Tan Sri Peter Sondakh menyatakan bahawa pihaknya memerlukan bantuan dari Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat, Lembaga Pembangunan Langkawi dan Kementerian Kewangan

4. Projek untuk membina Hotel St Regis dan LICC itu dianggarkan menelan belanja RM400 juta

Hari ini, saya ingin membongkarkan lagi beberapa fakta penting yang menunjukkan bagaimana hotel mewah St Regis Hotel dan Pusat Persidangan Antarabangsa Langkawi (LICC) ini dibiayai oleh rakyat walaupun ia dimiliki oleh Tan Sri Peter Sondakh, sahabat Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya sertakan laporan Bernama yang bertarikh 30 Mei 2016 bertajuk “St Regis Langkawi seen as a boost” yang turut disiarkan oleh The Edge Property di capaian http://www.theedgeproperty.com.my/content/st-regis-langkawi-seen-boost

Berita itu melaporkan temuramah ringkas Bernama dengan Dato’ Seri Najib selepas beliau sendiri melawat persiapan Hotel St Regis Langkawi sebelum ia dibuka secara rasmi oleh DYMM SBP Agong. Ia menunjukkan bagaimana projek hotel mewah milik Tan Sri Peter Sondakh ini cukup istimewa kepada Dato’ Seri Najib sehingga beliau sendiri yang menyemak persiapan perasmian hotel tersebut.

Laporan Bernama itu juga melaporkan bahawa Hotel St Regis Langkawi ini ialah satu projek usahasama di antara Kementerian Kewangan dan Kumpulan Rajawali (yang dimiliki Tan Sri Peter Sondakh).

Sementara laporan itu mengesahkan kenyataan saya sebelum ini mengenai penglibatan kerajaan dalam projek swasta milik Tan Sri Peter Sondakh, saya yakin rakyat akan lebih terkejut apabila mengetahui jumlah wang rakyat yang terlibat membiayai projek swasta ini.

Projek St Regis Hotel Langkawi dan Pusat Persidangan Antarabangsa Langkawi (LICC) dibangunkan dan dimiliki melalui dua syarikat swasta yang berbeza, seperti berikut:

i. Hotel St Regis Langkawi – dimiliki oleh syarikat Integrated Nautical Resort Sdn Bhd yang ditubuhkan khusus untuk membina, memiliki dan menjalankan perniagaan Hotel St Regis seperti terkandung di dalam penyata maklumat korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Download (PDF, 249KB)

 

ii. Pusat Persidangan Antarabangsa Langkawi (LICC) – dimiliki oleh syarikat Garuda Suci Sdn Bhd yang ditubuhkan khusus untuk membina, memiliki dan menjalankan perniagaan Pusat Persidangan Antabangsa Langkawi (LICC) seperti terkandung di dalam penyata maklumat korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Download (PDF, 253KB)

 

Dari kedua-dua penyata SSM ini, kita boleh menentukan berapa pinjaman yang telah diambil atau dana yang telah disuntik untuk membiayai projek-projek ini kerana maklumat-maklumat hutang dan cagaran disenaraikan di bahagian “Cagaran” (atau “Company Charges”).

Saya simpulkan maklumat-maklumat berkaitan jumlah modal yang disuntik, anggaran kos pembinaan dan hutang-hutang yang diambil untuk membiayai kedua-dua projek ini seperti berikut:

 

Bagaimana sebuah hotel mewah seperti St Regis yang dimiliki oleh Tan Sri Peter Sondakh, milik ahli perniagaan besar yang bukan rakyat Malaysia pun boleh dibiayai oleh wang rakyat melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB)? Malah, pentadbiran Dato’ Seri Najib memberikan pula geran untuk Tan Sri Peter Sondakh membina dan memiliki hotel mewah ini.

Apa alasan Dato’ Seri Najib membenarkan sejumlah RM267 juta wang rakyat disalurkan kepada Tan Sri Peter Sondakh sehingga jumlah itu bersamaan dengan 92% dari keperluan pembiayaan projek membina hotel mewah St Regis Langkawi, yang sebahagian besar rakyat Malaysia tidak akan ada peluang untuk mendapat manfaat daripadanya.

Begitu juga jumlah wang rakyat sebanyak RM73 juta dalam bentuk pinjaman dari Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan geran kerajaan yang disalurkan kepada Tan Sri Peter Sondakh untuk membina dan memiliki Pusat Persidangan Antarabangsa Langkawi (LICC). Bukan sahaja pembinaan sebuah lagi Pusat Persidangan Antarabangsa Langkawi (LICC) semata-mata untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2015 adalah satu pembaziran, tetapi pembiayaannya melalui wang rakyat adalah satu penghinaan kepada rakyat dalam keadaan cukai GST dikutip dari rakyat.

Sebab itu saya mempertahankan kenyataan saya bahawa persahabatan karib di antara Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Peter Sondakh tidak lagi boleh disembunyikan dan ini menimbulkan tanda tanya penting sama ada persahabatan ini mendorong pembelian saham-saham dalam syarikat perladangan Indonesia milik Tan Sri Peter Sondakh yang merugikan Felda.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Berapa Wang Rakyat Yang Disalurkan Kepada Tan Sri Peter Sondakh, Pemilik PT Rajawali Untuk Membina Hotel Dan Pusat Persidangan Antarabangsa Di Langkawi?

Sejak tercetusnya kontroversi pembelian saham PT Eagle High Plantations oleh Felda pada harga yang 3 kali lebih tinggi dari harga pasaran oleh Felda, saya telah berkali-kali menanyakan sama ada Dato’ Seri Najib Tun Razak ada mengeluarkan arahan (rasmi atau tidak rasmi) agar urusniaga itu diteruskan.

Saya juga secara konsisten menyebut bahawa Dato’ Seri Najib ada hubungan persabahatan yang baik dengan Tan Sri Peter Sondakh, pemilik kumpulan PT Rajawali yang menjual saham di dalam PT Eagle High Plantations kepada Felda. Kenyataan-kenyataan saya itu tidak pun dijawab di dalam media atau melalui saman, walaupun ia memberi gambaran ada pertembungan kepentingan (“conflict of interest”) yang mempersoalkan kewajaran pembelian oleh Felda.

Saya yakin membuat kenyataan-kenyataan itu kerana hubungan baik di antara Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Peter Sondakh telah pun dipamerkan sebelum ini.

Pada 10 November 2013, Dato’ Seri Najib sendiri yang menyempurnakan upacara pecah tanah hotel mewah St Regis dan Pusat Persidangan Antarabangsa Langkawi (LICC) yang dikendalikan syarikat yang dikawal oleh Tan Sri Peter Sondakh.

Perkara ini dilaporkan oleh Bernama yang turut disiarkan oleh The Malaymail Online di capaian berikut:
http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/langkawi-to-have-two-new-landmarks

Laporan Bernama itu menyebut:

1. Dato’ Seri Najib mengumumkan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN yang dijangka diadakan pada April 2015 akan diadakan di LICC

2. Pembinaan Hotel St Regis dan LICC (bagi tujuan Sidang Kemuncak ASEAN 2015) dikendalikan oleh Kumpulan Rajawali milik Tan Sri Peter Sondakh dan bakal disiapkan dalam tempoh 15 bulan dari tarikh pecah tanah

3. Tan Sri Peter Sondakh menyatakan bahawa pihaknya memerlukan bantuan dari Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat, Lembaga Pembangunan Langkawi dan Kementerian Kewangan

4. Projek untuk membina Hotel St Regis dan LICC itu dianggarkan menelan belanja RM400 juta

Saya tahu bahawa kedua-dua projek itu dibina menggunakan juga wang rakyat dalam keadaan rakyat membayar cukai GST. Sebarang bantuan kewangan yang diberikan kepada Tan Sri Peter Sondakh samalah seperti mengutip cukai GST dari orang miskin untuk diberikan kepada hartawan asing yang merupakan sahabat Perdana Menteri.

Sebab itu saya mahu memulakan isu ini dengan mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak memaklumkan kepada orang ramai dari jumlah RM400 juta yang dianggarkan dibelanjakan, berapa yang dibiayai oleh wang rakyat?

Saya akan menyambung isu ini esok untuk menunjukkan bagaimana wang rakyat telah digunakan untuk projek ini semasa kerajaan mengutip cukai GST dan kenaikan kos sara hidup rakyat makin membebankan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

“Mana Wang Felda RM4.3 Billion?”: Tan Sri Shahrir Samad Sepatutnya Cari RM11.4 Bilion Wang Felda, Bukan RM4.3 Billion

Lebih kurang 2 minggu lalu, pada 11 Februari 2017, Tan Sri Shahrir Samad dalam satu temuramah eksklusif dengan Sinar Harian telah bertanyakan mengenai RM4.3 bilion yang seolah-olah beliau tidak pasti ke mana perginya wang itu hasil dari penyenaraian Felda Global Ventures Berhad (FGV). Kenyataan beliau itu menimbulkan kontroversi besar kerana ia seolah-olah pengesahan utama ada masalah kewangan yang meruncing di Felda.

Walaupun saya ingin memberi reaksi segera, saya juga ingin bersangka baik bahawa Tan Sri Shahrir Samad memang ikhlas untuk menyelesaikan penyelewengan yang berlaku di Felda. Saya berharap beberapa hari selepas itu, beliau sendiri akan membongkarkan ke mana sebenarnya wang RM4.3 bilion ini dibelanjakan supaya rakyat dapat menilai apakah ia berbaloi dengan hasilnya.

Namun itu tidak berlaku. Sebaliknya beliau mengubah kenyataan beliau beberapa hari selepas itu dengan menuduh ia telah diputarbelitkan.

Setelah lebih dua minggu menunggu, saya mengambil keputusan untuk menegur Tan Sri Shahrir Samad kerana penilaian beliau mengenai jumlah wang Felda yang telah dibelanjakan (apabila beliau bertanya “mana wang Felda RM4.3 bilion”) bukan sahaja tidak tepat, malah menyembunyikan angka yang sebenar.

Jumlah RM4.3 bilion yang beliau sebut hanya menyentuh hasil dari penjualan saham FGV kepada rakyat. Jumlah itu adalah sebahagian sahaja dari keseluruhan wang rakyat yang telah dikendalikan dan dibelanjakan Kumpulan Felda (baik sebagai pelaburan yang merugikan, projek yang terbengkalai, rasuah, ketirisan, perbelanjaan berboros, rasuah politik, perbelanjaan yang tinggi melebihi kos sebenarnya dan lain-lain) sejak tahun 2010 iaitu sejak Tan Sri Isa Samad mengambil alih kepimpinan Felda.

Oleh itu, saya bentangkan kira-kira yang lebih tepat yang menunjukkan bahawa jumlah sebenar yang sepatutnya dibentangkan kepada rakyat (wang rakyat yang telah dibelanjakan oleh kepimpinan dan pengurusan Felda sejak 2010) bukanlah RM4.3 bilion, tetapi berjumlah RM11.4 bilion seperti yang saya tunjukkan di bawah.

Rujuk Lampiran kira-kira yang disertakan bersama.

Download (PDF, 36KB)

 

Jumlah wang rakyat yang dikendalikan oleh Kumpulan Felda sejak 2010 adalah jumlah keseluruhan dari bentuk sumber wang seperti berikut:

1. Baki wang yang ada ditangan Felda semasa Tan Sri Isa Samad mula-mula mengambil alih kepimpinan Felda pada hujung tahun 2010. Baki ini dilaburkan dalam bentuk pembelian saham, bon dan disimpan di bank

2. Pinjaman yang telah dibuat oleh Kumpulan Felda sejak tahun 2010 selepas Tan Sri Isa Samad mengambil alih

(Wang yang dijana dari hasil perniagaan akan ditunjukkan dalam bentuk baki akhir tunai iaitu wang terkini yang ada di tangan. Jika perniagaan untung, baki wang akan menjadi lebih tinggi. Jika baki wang lebih rendah, bermakna operasi perniagaan tidak menguntungkan atau banyak dalam bentuk hutang.)

Baki wang yang ada ditangan Felda pada hujung tahun 2010 boleh dikira berdasarkan angka-angka yang dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 mengenai pelanggaran had pelaburan Felda.

 

Baki wang di dalam akaun Felda dilaporkan terus di dalam laporan itu di dalam Jadual 23.2 (mukasurat 314) iaitu berjumlah RM4.584 bilion di akhir 2010. Baki wang di dalam akaun peneroka boleh dianggarkan dengan membuat andaian bahawa kesemua pelaburan Felda di dalam saham berjumlah RM536 juta bagi tahun 2010 (seperti yang ditunjukkan di Jadual 23.3 mukasurat 315) adalah di dalam saham siar harga kerana itu paling konservatif dan tidak melanggar peraturan Felda yang menghadkan pelaburan kepada 68% dari jumlah baki tunai. Itu membolehkan saya mengira bahawa baki tunai di akaun peneroka pada akhir 2010 ialah RM788 juta.

Ini menjadikan baki tunai yang diwarisi oleh Tan Sri Isa Samad semasa beliau mengambilalih kepimpinan Felda adalah RM5.372 bilion (iaitu RM4.584 bilion dicampur RM788 juta).

Sejak 2010, Felda juga mengambil pelbagai hutang terutamanya dengan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP). Sebahagian dari pinjamin ini diberikan pula kepada anak-anak syarikat seperti FGV, sebahagiannya digunakan oleh Felda sendiri. Semakan penyata kewangan terakhir yang dimuktamadkan iaitu tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 menunjukkan jumlah hutang kumpulan Felda (sebahagian besarnya dengan KWSP) telah mencecah RM7.769 bilion.

Jumlah baki tunai terkumpul bagi kumpulan Felda bagi tempoh yang sama ialah RM1.706 bilion.

Maka, jumlah wang rakyat yang telah dikendalikan dan dibelanjakan oleh Kumpulan Felda adalah RM11.354 bilion (iaitu Baki di tangan @ 2010 + Pinjaman 2010 ke 2014 – Baki di tangan @ 2014).

Sebab itu saya menegaskan berkali-kali bahawa masalah kewangan Felda adalah lebih meruncing dan jumlah wang yang berkemungkinan besar telah lesap adalah lebih tinggi dari RM4.3 bilion yang disebut.

Malah, beberapa siri penangkapan oleh SPRM setakat ini hanya melibatkan pengurusan kanan berpangkat pertengahan dan jumlah penyelewengan yang terbabit iaitu beberapa ratus juta adalah terlalu sedikit berbanding jumlah RM11.354 bilion yang perlu dijawab oleh Tan Sri Shahrir Samad.

Saya akan terus menunggu untuk memberi peluang kepada Tan Sri Shahrir Samad menjawab soalan cepumas ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg