Category Archives: Ekonomi & Kewangan

Subsidi Bersasar: Kaji Balik Klasifikasi B40 M40 T20

Ekoran kenaikan kos sara hidup dan beban inflasi yang semakin tinggi, pentadbiran UBP (UMNO-BERSATU-PAS) dijangka akan mempercepatkan penyelarasan subsidi untuk mengurangkan peruntukan subsidi kepada rakyat. Kenyataan-kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kebelakangan ini konsisten menyatakan usaha ke arah pendekatan subsidi bersasar (“targeted subsidy”) sedang giat diusahakan.

Sementara pendekatan subsidi bersasar secara konsepnya dilihat lebih masuk akal sekiranya diuruskan dengan baik, ia juga mendatangkan risiko keciciran (“exclusion risk”) dan ketirisan (“leakage risk”).

Risiko keciciran merujuk kepada kebarangkalian ada kumpulan yang sepatutnya mendapat manfaat subsidi terkeluar dari kumpulan sasaran. Ini sering berlaku setiap kali bantuan-bantuan tunai diumumkan apabila ramai yang status sosial ekonominya rendah tidak mendapat bantuan berbanding penerima-penerima yang datang dengan kereta besar untuk menerima bantuan.

Risiko ketirisan sedang menjadi perbincangan hangat kebelakangan ini, terutamanya berhubung minyak masak bersubsidi yang diselewengkan kepada golongan tertentu sehingga rakyat biasa sukar mencari bekalan minyak masak bersubsidi.

Sebab itu selama ini saya sering mengingatkan kerajaan supaya mengatasi masalah-masalah berkait risiko keciciran dan ketirisan sebelum melaksanakan subsidi bersasar kerana sekarang pun, sudah ramai golongan yang sepatutnya menerima bantuan putih mata akibat kelemahan-kelemahan pentadbiran.

Namun, kecenderungan kerajaan UBP jelas condong ke arah melaksanakan subsidi bersasar secepat mungkin.

Oleh itu, adalah sangat penting untuk rakyat memainkan peranan bersama-sama memberi pandangan untuk menentukan kayu ukur kelayakan (untuk menerima subsidi) ditetapkan dengan seadil mungkin.

Kayu ukur yang dipakai sekarang ialah mengikut klasifikasi pendapatan isi rumah, iaitu B40 (40% keluarga yang pendapatan isi rumahnya terbawah), M40 (40% keluarga yang pendapatan isi rumahnya berada selepas B40), dan T20 (20% keluarga yang pendapatan isi rumahnya teratas).

Kaedah ini diperkenalkan semasa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Ia telah menjadi kayu ukur kelayakan yang digunakan dalam penggubalan dasar-dasar ekonomi dan kebajikan rakyat sejak beliau menjadi Perdana Menteri.

Klasifikasi B40, M40 dan T20 ditetapkan melalui Kaji Selidik Pendapatan Isi Rumah (“Household Income Survey”) yang dijalankan Jabatan Statistik setiap 2-3 tahun. Data terkini klasifikasi B40, M40 dan T20 adalah berdasarkan dapatan Kaji Selidik Pendapatan Isi Rumah 2019.

Berikut adalah dapatan-dapatan utama:

Had pendapatan:

  • Pendapatan isi rumah berjumlah RM4,850 ke bawah diklasifikasikan sebagai B40
  • Pendapatan isi rumah antara RM4,851 ke RM10,959 diklasifikasikan sebagai M40
  • Pendapatan isi rumah melebihi RM10,960 diklasifikasikan sebagai T20

Jumlah individu yang berpendapatan (“penerima pendapatan”) bagi setiap isi rumah

  • Seorang penerima pendapatan: 46%
  • Dua penerima pendapatan: 38%
  • Tiga penerima pendapatan: 11%
  • Empat (dan lebih) penerima pendapatan: 5%

Kenaikan pendapatan dari 2016 ke 2019

  • B40: Pendapatan hanya naik 1.8% setiap tahun dari 2016 ke 2019
  • M40: Pendapatan naik 4.1% setiap tahun dari 2016 ke 2019
  • T20: Pendapatan naik 4.5% setiap tahun dari 2016 ke 2019

Agihan pendapatan

  • B40: Hanya 16% dari keseluruhan pendapatan rakyat
  • M40: 37.2% dari keseluruhan pendapatan rakyat
  • T20: 46.8% dari keseluruhan pendapatan rakyat

Walaupun kaedah menentukan penerima subsidi dan bantuan kebajikan berdasarkan klasifikasi B40, M40 dan T20 ini ringkas dan membolehkan pelaksanaan dengan cepat, ia mempunyai beberapa kelemahan utama:

Pertama:

Ia berasaskan kepada pendapatan semata-mata dan tidak mengambil kira faktor perbelanjaan sara hidup dalam menentukan kedudukan ekonomi sesebuah isi rumah. Faktor perbelanjaan sara hidup melibatkan jumlah isi rumah.

Misalnya, sebuah isi rumah yang mempunyai dua penerima pendapatan (suami dan isteri) yang dikategorikan sebagai B40 (setiap orang berpendapatan RM2,000) dan mempunyai seorang anak, tinggal di kawasan separa bandar, sudah tentu mempunyai pendapatan boleh belanja (“disposable income”) yang lebih tinggi berbanding satu lagi isi rumah yang mempunyai seorang penerima pendapatan (suami) yang dikategorikan sebagai M40 (pendapatan RM4,860), mempunyai lima orang anak dan tinggal di kawasan bandar besar.

Kedua:

Had pendapatan yang ditentukan secara statistik semata-mata iaitu mengikut bilangan isi rumah 40% terbawah, 40% pertengahan dan 20% teratas tidak menterjemahkan situasi sebenar kesukaran ekonomi setiap keluarga.

Malah, ia memanjangkan lagi ketidakadilan agihan pendapatan yang berlaku (akibat kegagalan kerajaan memastikan agihan gaji yang adil kepada pekerja-pekerja bawahan) kepada sistem kebajikan negara.

Contohnya, hanya kerana had atas (“upper cut-off point”) B40 adalah RM4,850 sebulan, semua keluarga yang berpendapatan RM4,851 ke atas dikategorikan sebagai tidak layak untuk menerima subsidi sedangkan kepayahan yang dialami sama dengan keluarga berpendapatan RM4,850 sebulan.

Begitu juga dengan “cut off point” yang lain, iaitu had M40 pada RM10,959. Bagi keluarga yang berpendapatan RM11,000 sebulan, tiba-tiba mereka dikira sebagai orang kaya (yang datang dengan konotasi merekalah yang mengambil subsidi dari orang yang layak menerima) sedangkan kedudukan ekonomi mereka sama dengan mereka yang berpendapatan RM10,959 sebulan.

Oleh itu, saya menyarankan supaya Menteri Kewangan tampil lebih awal untuk menerangkan apakah pendekatan yang sama (menggunakan B40, M40 dan 20) akan dipakai dalam menentukan kumpulan penerima sasaran apabila subsidi bersasar dilaksanakan kelak.

Keputusan untuk menetapkan kriteria kelayakan penerimaan subsidi (petrol bersubsidi, bantuan tunai, subsidi makanan dan lain-lain) adalah keputusan nasional yang perlu dibahaskan dan dikupas supaya diterima rakyat keseluruhan, bukannya keputusan beberapa pegawai di dalam bilik mesyuarat.

Saya berpandangan kita perlu memansuhkan pendekatan menggunakan had pendapatan B40, M40 dan T20, sebaliknya memperkenalkan pendekatan berasaskan pendapatan boleh belanja (“disposable income”) dengan mengambil kira pendapatan, kos perbelanjaan dan jumlah tanggungan setiap isi rumah.

Saya akan menghuraikan cadangan ini dengan lebih terperinci dalam kenyataan-kenyataan media yang akan datang.

RAFIZI RAMLI

DIA YANG HAPUS SUBSIDI, DIA YANG NAK JADI JUARA SUBSIDI

Malaysia memang negara yang berbakat. Hampir semua bakat yang rakyat kita ada menambah seri kepada negara kita.

Tapi ada satu bakat yang buat kita tidak kering gusi. Bakat unik ini lebih lucu dari bakat pelawak agung. Bakat ini selalunya ada di kalangan pak dan mak menteri. Dari semua pak dan mak menteri yang ada, yang paling berbakat ialah Najib Razak, bekas Perdana Menteri.

Bakat unik ini ialah bakat belit dan putar sehingga terbelit diri sendiri.

Baru-baru ini, Najib menulis untuk membentangkan formula beliau kononnya untuk menyelamatkan rakyat dari inflasi. Formula itu boleh dibaca di sini https://www.malaysiakini.com/news/623297

Antara lain, Najib berhujah:

  1. Mencukai PETRONAS dan syarikat-syarikat perladangan (contohnya Felda dan FGV) supaya dana lebih kerajaan dapat diagihkan kepada rakyat
  2. Program penanaman makanan berskala besar dimulakan
  3. Subsidi bahan makanan ditingkatkan

Sekilas pandang, jika ada yang tidak prihatin dengan fakta dan sejarah, boleh juga terbelit dengan putaran Najib.

Cadangan-cadangan itu masuk akal, malah telah disuarakan jauh lebih awal sebelum krisis kenaikan kos sara hidup meruncing seperti sekarang. Dasar-dasar yang bertujuan menggunakan dana awam secekapnya untuk membina jaringan keselamatan sosial kepada rakyat ini telah lama dibawa oleh KEADILAN.

Ucapan-ucapan saya di Dewan Rakyat semasa saya Ahli Parlimen dahulu hampir semuanya berkisar mengenai subsidi untuk rakyat dan mempertahankan PETRONAS demi rakyat.

Putar belit Najib ini mungkin ditelan hidup-hidup oleh pengikutnya tetapi majoriti rakyat masih ingat kebencian Najib terhadap subsidi.

Sebaik menjadi Perdana Menteri dalam tahun 2009, antara dasar pertama yang dilaksanakan ialah memotong subsidi dengan sasaran menghapuskan terus subsidi.

Oleh kerana ini zaman internet, semua putar belit Najib boleh sahaja dibongkar dengan bantuan Pak Cik Google. Untuk adik-adik yang masih di sekolah semasa Najib mula-mula jadi Perdana Menteri, berikut ialah bukti-bukti bencinya Najib kepada subsidi untuk rakyat:

22 Oktober 2009:

Malaysia akan potong subsidi minyak, potong perbelanjaan untuk kurangkan defisit

https://www.theedgemarkets.com/article/malaysia-may-revamp-fuel-subsidy-cut-spending-trim-deficit

2 September 2013:

Malaysia potong subsidi minyak untuk biayai perbelanjaan

https://finance.yahoo.com/news/malaysia-cuts-fuel-subsidies-fund-112911241.html

31 Disember 2013:

Najib potong subsidi untuk kurangkan defisit

https://www.ft.com/content/e6f8458e-7204-11e3-bff7-00144feabdc0

4 Oktober 2014:

Potongan subsidi satu keperluan: Najib

https://www.thestar.com.my/news/nation/2014/10/04/najib-subsidy-cut-necessary-move-was-for-economic-wellbeing-of-country-says-pm

Sebab itu, tugas saya di Dewan Rakyat dahulu ialah bergaduh dengan Najib demi mengekalkan bantuan kepada rakyat dalam bentuk subsidi.

Pada 31 Mac 2017, saya membidas Najib kerana ada tanda-tanda kerajaan BN ketika itu mengekalkan harga minyak lebih tinggi dari harga yang sepatutnya dan secara tidak langsung mengutip cukai dari rakyat (baca: https://themalaysianreserve.com/2017/03/31/najib-urged-to-break-silence-over-fuel-subsidy/amp/)

Malah, setelah kalah dalam PRU14, Najib mula cuba untuk putar belit memberi alasan kenapa dia memansuhkan subsidi.

1 Ogos 2018:

Pemansuhan subsidi minyak untuk membantu rakyat: Najib

https://www.nst.com.my/news/nation/2018/08/396915/removing-fuel-subsidy-helps-poor-says-najib

Semakin kita menghampiri PRU15, semakin banyaklah putar belit dari Najib. Dia lupa kita simpan setiap satu rekodnya sebelum ini.

Dia ingat mudah untuk membentangkan formula-formula untuk rakyat sedangkan rekodnya yang menyusahkan rakyat sudah disimpan di mana-mana.

Dia mahu mencukai PETRONAS dengan lebih tinggi untuk rakyat, padahal dia mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri yang paling banyak mengambil duit PETRONAS sepanjang tempoh berkuasa.

Dia mahu mengusahakan pertanian dan penanaman makanan, padahal dia juga yang terus membuang dasar Tun Abdullah Badawi yang mahu memberi tumpuan kepada makanan. Najib gemarkan projek besar, tidak suka projek pertanian.

Dia mahu syarikat perladangan dicukai lebih, padahal dia juga yang menggadai Felda dan FGV sehingga hampir muflis.

Dia mahu menambah subsidi kepada rakyat.

Tak payahlah saya ber-padahal lagi, sebab rakyat tahu ini semua putar belit Najib.

Kalau Najib masuk Roda Impian, dialah yang paling kuat menjerit “wang besar, wang besar” sambil memekik #SayaPutarJib

Saman Shahril Shamsuddin: Ayuh Ke Mahkamah

Saya telah menerima writ saman dari Tan Sri Shahril Shamsuddin, bekas Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Sapura Energy Berhad (SEB) sekitar jam 1130 malam semasa saya dalam satu majlis di Kuantan pada 11 Mei 2022.

Writ itu adalah untuk mengesahkan bahawa Tetuan Zul Rafique & Partners, peguam kepada Shahril Shamsuddin telah memfailkan saman terhadap saya di mahkamah berhubung kenyataan-kenyataan saya ekoran desakan Dato’ Seri Najib Tun Razak agar kerajaan menyuntik wang untuk menyelamatkan SEB.

Saya telah mengambil pendirian untuk mempertahankan kenyataan-kenyataan saya di mahkamah kerana kenyataan-kenyataan tersebut adalah untuk melindungi kepentingan awam.

Sejak 2010, saya telah melalui 14 kes di mahkamah (dari Mahkamah Sesyen hingga ke Mahkamah Persekutuan) demi mempertahankan wang rakyat. Sebahagian besar dari kes-kes itu bersabit skandal kewangan besar negara seperti National Feedlot Corporation (NFC), 1MDB, Majlis Amanah Rakyat, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Setakat ini, saya menang kesemua kes saman yang dibawa terhadap saya di mahkamah. Dalam proses mahkamah itu, rakyat dapat menilai sendiri butiran terperinci yang menjadi latar belakang setiap skandal kewangan tersebut.

Saya akan diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Ranjit Singh dari Tetuan Ranjit Singh & Yeoh. Beliau adalah peguam yang mewakili saya selama 11 tahun sepanjang perbicaraan kes NFC dari 2011 hingga ke keputusan akhir Mahkamah Persekutuan yang berpihak kepada kami baru-baru ini.

Perbicaraan kes saman Shahril Shamsuddin adalah titik mula yang penting dalam usaha kita memastikan pelaburan rakyat melalui institusi pelaburan awam (seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung Haji (TH) dan lain-lain) memenuhi mutu piawai urus tadbir untuk pelaburan awam (required governance for public investments).

Dalam struktur ekonomi yang melibatkan banyak pelaburan dana rakyat yang besar di dalam syarikat-syarikat swasta senarai awam (public listed companies), kerangka urus tadbir pelaburan awam mestilah lebih ketat untuk mengelakkan dana simpanan rakyat kerugian apabila syarikat-syarikat ini mengalami kerugian besar.

Kebelakangan ini, pelaburan rakyat mengalami kerugian besar akibat masalah kewangan yang dihadapi oleh syarikat-syarikat seperti Serba Dinamik Berhad dan Sapura Energy Berhad. Walaupun syarikat-syarikat ini secara rasminya adalah syarikat swasta yang dikawal secara majoriti oleh pemegang-pemegang saham individu, kerugian mendadak yang dialami telah menyebabkan kerugian besar kepada rakyat.

Pulangnya saya ke arena politik tanah air disambut dengan kes mahkamah yang pertama yang dibawa oleh Shahril Shamsuddin. Insya Allah saya akan terus bersuara untuk melindungi dana rakyat seperti sebelum ini biar pun terpaksa berdepan dengan lebih banyak kes mahkamah yang akan dibawa.

RAFIZI RAMLI

1 Jun 2022

Auta Najib: PH ‘Bailout’ 2019 Salah, Dia ‘Bailout’ OK

Selepas saya membantah gesaan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mahukan Kerajaan Persekutuan menggunakan wang rakyat  (melalui institusi milik rakyat seperti PETRONAS, Khazanah atau Permodalan Nasional Berhad) untuk menyelamatkan Sapura Energy Berhad (“Sapura”), jawapan yang biasa dimainkan Najib ialah dengan menuding jari terhadap pentadbiran Pakatan Harapan di bawah Tun Mahathir Mohamad.

Semua “Bailout” Salah

Di awal pentadbiran PH dalam tahun 2018, Permodalan Nasional Berhad telah bersetuju menyuntik sejumlah RM4 bilion untuk memperbaiki aliran tunai Sapura dengan melanggan terbitan saham baru syarikat itu. Langganan ini berbentuk RM3 bilion saham biasa (“ordinary shares”) dan RM1 bilion saham saham terpilih (“preference shares”). Urusniaga ini disempurnakan dalam tahun 2019 lalu menjadikan PNB pemegang saham terbesar Sapura dengan 40% milikan saham biasa.

Pandangan saya ialah semua bentuk “bailout” yang melibatkan suntikan dana awam untuk menyelamatkan syarikat korporat adalah buruk dan wajar ditolak. Prinsip ini terpakai kepada semua syarikat korporat, tidak kiralah syarikat korporat itu milik kerajaan (“state-owned enterprise” atau SOEs), syarikat berkaitan kerajaan (“GLC”), syarikat awam yang sahamnya dimiliki dana awam (“public listed companies with substantial public fund’s ownership”), apatah lagi syarikat korporat biasa.

Pendekatan “bailout” adalah buruk atas sebab-sebab berikut:

  • Ia menggalakkan usahawan korporat untuk mencari jalan singkat mengaut keuntungan dengan mendadak tanpa mengambil kira langkah membina syarikat yang berdaya saing dan kental menghadapi cabaran naik turun perniagaan.
  • Ia sama dengan menswastakan keuntungan dan memiliknegarakan kerugian. Semasa perniagaan untung, keuntungan diambil oleh pemilik tetapi apabila perniagaan rugi, kerugian dialihkan kepada orang ramai.
  • Dana awam digunakan secara terpilih yang hanya menguntungkan segelintir golongan masyarakat sahaja sedangkan jumlah besar itu boleh dimanfaatkan kepada golongan yang lebih besar.
  • Syarikat yang diambil alih selepas “bailout” selalunya mewarisi pelbagai masalah kewangan kronik (akibat dari keborosan pengurusan sebelumnya) yang tidak dapat diselamatkan walaupun ada suntikan dana awam. Masalah selalunya berulang yang memerlukan lebih banyak dana awam disuntik selepas itu.

Saya tidak ada pengaruh, jawatan atau kedudukan di dalam Kerajaan Pakatan Harapan ketika itu. Saya juga lantang mengkritik beberapa keputusan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketika itu dan langkah menyuntik dana PNB untuk menyelamatkan Sapura ketika itu adalah satu lagi keputusan pentadbiran Tun Mahathir Mohamad yang saya tidak bersetuju.

Tetapi saya konsisten dengan pendirian ini tidak kira pihak mana yang mengutarakannya, bukannya seperti Najib yang autanya mengikut rasa pengendali laman sosialnya (“Admin FB”). Sedang dia mengkritik tindakan PH “bailout” Sapura dalam tahun 2018, kini dia pula perasan cerdik dan berlakon prihatin apabila menggesa perkara yang sama dalam tahun 2022.

Ia seperti perumpamaan “orang lain mencuri tidak boleh, dia mencuri boleh pula”.

Akta Kawal Selia “Bailout”

Saya memberi tumpuan kepada isu Sapura dan gesaan Najib supaya ada suntikan dana awam kerana saya percaya rakyat Malaysia perlu menghentikan amalan “bailout” ini yang telah berlaku sekian lama dalam negara kita.

Jika perniagaan yang dimiliki rakyat biasa menghadapi kesukaran, tidak ada sebarang bentuk kelonggaran atau bantuan yang akan diberikan. Malah, usahawan biasa terpaksa mengambil wang sendiri membayar cukai atau denda yang dikenakan.

Jika perniagaan itu milik individu bernama besar yang rapat dengan golongan bangsawan masyarakat (selalunya pemimpin politik besar), perniagaan itu boleh mendapat bantuan pihak berkuasa, sama ada dalam bentuk geran, suntikan dana, pinjaman mudah atau kelonggaran. Kroni-kroni ini tidak pula perlu menjual harta peribadi mereka untuk disuntik ke dalam perniagaan yang bermasalah.

Perkara ini berlaku dalam setiap dekad di bawah semua Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang pernah ada. Ia perlu dihentikan segera.

Saya mencadangkan Ahli-ahli Parlimen KEADILAN untuk mula menggubal satu rang undang-undang yang mengawal selia sebarang suntikan dana awam berbentuk “bailout” untuk dibentangkan di Parlimen (secara rang undang-undang persendirian).

Fasal utama di dalam rang undang-undang tersebut bolehlah menyentuh perkara-perkara berikut:

  • Sebarang bentuk “bailout” perlulah dibuat menggunakan akta yang diluluskan di Parlimen. Contohnya, jika “bailout” itu melibatkan Syarikat Najib, maka satu akta bernama “Akta Pendanaan Awam Ambil Alih Syarikat Najib” perlu dibentangkan dan diluluskan.
  • Akta itu perlu menetapkan syarat-syarat yang jelas mengenai peranan, hukuman dan imbuhan kepada pemilik asal dan eksekutif kanan syarikat. Contohnya, akta boleh menetapkan bahawa eksekutif kanan syarikat tidak boleh mendapat kenaikan gaji atau bonus dalam tempoh tiga tahun, atau pemilik asal tidak layak mendapat dividen untuk tempoh tertentu.
  • Sebarang “bailout” (jika terdesak dan tiada pilihan lain) seboleh-bolehnya melibatkan industri (yang perlu diselamatkan atau dipertahankan) bukannya syarikat tertentu.

Penggubalan akta seperti ini adalah perlu untuk mengekang amalan kroni kapitalisme (“crony capitalism”) yang telah lama berakar tunjang di negara ini sehinggakan setiap generasi terpaksa berdepan dengan siri “bailouts” tersendiri yang hutang dan kerugiannya ditanggung rakyat untuk beberapa generasi akan datang.

RAFIZI RAMLI

Najib Cuai Menjaga Pelaburan Rakyat Semasa Menjadi Menteri Kewangan

Selepas saya mendedahkan bagaimana Sapura membayar RM983 juta kepada pengarah eksekutif sepanjang tempoh Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, dia cuba mencuci tangan dengan memberi alasan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan tidak ada kuasa dalam urusan syarikat swasta.

Katanya, Sapura hanya menjadi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada tahun 2019, oleh itu dia tidak berkuasa untuk campur tangan walaupun keputusan-keputusan Sapura membayar sedemikian rupa kepada pengarah eksekutif merugikan pelaburan PNB sebagai pemegang saham minoriti.

Sebagai Menteri Kewangan ketika itu, berhubung isu kewangan Sapura secara keseluruhannya, Najib mempunyai dua tanggungjawab dan tugasan yang jelas:

  • Pertama – untuk memastikan pasaran modal negara (iaitu pasaran saham) berkembang sihat dan berupaya menarik minat pelaburan dalam dan luar negara, baik dari kalangan pelabur institusi atau pelabur perseorangan.
  • Kedua – untuk memastikan pelaburan PNB di dalam Sapura dan transaksi kewangan Sapura dengan badan korporat lain yang berkepentingan rakyat (seperti bank-bank, PETRONAS dan lain-lain) memberikan nilai pulangan terbaik kepada rakyat.

TUGAS MENGAWAL SELIA PASARAN MODAL

Keupayaan pasaran modal negara (seperti yang dikendalikan Bursa Malaysia) menarik pelabur bergantung kepada kepercayaan pelabur bahawa hak dan kepentingan mereka akan dilindungi. Sebahagian besar pelabur (dari dalam dan luar negara) akan menjadi pemegang saham minoriti dalam syarikat-syarikat di pasaran saham negara.

Sekiranya kerajaan dan badan yang mengawal selia pasaran modal tidak memastikan hak pemegang saham minoriti dijaga, mudahlah syarikat-syarikat mengambil wang dari pelabur awam dan seterusnya membelanjakan wang itu seolah-olah keseluruhan dana itu dari poket mereka (sedangkan hanya ~40% dari pemegang saham majoriti, selebihnya dari pemegang-pemegang saham minoriti).

Untuk memastikan pemegang saham majoriti tidak boleh membelanjakan wang syarikat sehingga berlaku tidak adil kepada pemegang saham minoriti, ada dua peruntukan undang-undang yang digubal, iaitu:

  • Akta Syarikat 2016
  • Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007

Dalam kedua-dua akta ini, kuasa dan tanggungjawab diperuntukkan khusus kepada Menteri Kewangan untuk memastikan hak pemegang saham minoriti terjaga demi menjamin perkembangan sihat pasaran modal negara.

Selain dari kuasa khusus kepada Menteri Kewangan untuk melindungi hak pemegang saham minoriti, akta-akta ini juga memperuntukkan keadaan-keadaan seorang pemegang saham minoriti dikira telah dianiayai oleh pemegang saham majoriti, contohnya:

  • Penyalahgunaan harta syarikat oleh pemegang saham majoriti
  • Keuntungan dialihkan dan dibayar kepada pemegang saham majoriti sehingga menidakkan bayaran dividen kepada pemegang saham minoriti
  • Kegagalan membayar dividen yang secukupnya kepada pemegang saham minoriti

Dalam isu pembayaran RM983 juta kepada pengarah eksekutif yang mewakili pemegang saham majoriti dalam keadaan kepentingan pemegang saham minoriti terabai, alasan bahawa keputusan-keputusan itu adalah hak syarikat swasta semata-mata adalah alasan kurang cerdik dari Najib.

Sapura bukanlah syarikat swasta biasa, ia adalah syarikat awam yang mengambil wang dari rakyat biasa yang menjadi pemegang saham minoriti. Tindak-tanduknya tertakluk kepada akta-akta tertentu untuk menjaga kepentingan awam yang menjadi pemegang saham minoriti.

Sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab mengawal selia pasaran modal dan melindungi hak rakyat biasa yang menjadi pemegang saham minoriti, Najib cuai sehingga menyebabkan sedemikian bayaran kepada pengarah eksekutif sedangkan dia ada kuasa untuk memperbetulkan keadaan di bawah akta-akta tertentu.

AMANAH MENJAGA PELABURAN PNB

Selain dari tugas am sebagai Menteri Kewangan untuk mengawal selia pasaran modal, Najib juga bertanggungjawab memastikan pelaburan PNB di dalam Sapura memberi pulangan terbaik kepada rakyat.

Tanggungjawab itu datang dari dua perspektif:

  • Pertama – sebagai Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra yang memiliki PNB. Dia bertanggungjawab memastikan portfolio pelaburan PNB memberi pulangan yang terbaik kepada rakyat.
  • Kedua – sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab memastikan pelaburan GLIC (seperti PNB) dan GLC mengikut Program Transformasi GLC 2005-2015.

Secara khusus, Perkara 3.2.4 dalam Manual Transformasi GLC 2005-2015 menetapkan bahawa GLIC (termasuk PNB) perlu menghantar laporan setiap tiga bulan kepada Jawatankuasa Transformasi GLC (PCG) yang dipengerusikan Najib sendiri untuk menilai portfolio pelaburan mereka. Ini bermakna, walaupun Sapura bukan dikira GLC semasa Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dia bertanggungjawab sebagai pemegang amanah PNB untuk membantah sebarang urusan yang merugikan PNB. Lebih dari itu, kawal selia portfolio pelaburan PNB (termasuk pelaburan bukan majoriti seperti pelaburan di dalam Sapura) tertakluk pula kepada Program Transformasi GLC yang dipengerusikan beliau sendiri.

Najib boleh cuba menipu rakyat dengan alasan-asalan mudah yang diberikan oleh admin media sosialnya, tetapi dia tidak boleh lari dari rekod cuainya yang diketahui dunia. Sebab itu, gesaan Najib supaya Kerajaan Persekutuan menyelamatkan Sapura menggunakan wang rakyat perlu disanggah untuk menunjukkan wajah sebenarnya Najib kepada pengundi atas pagar.

RAFIZI RAMLI