Category Archives: Alam Sekitar

Jawapan Kepada Penafian Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia:  Laporan Perunding Bebas Antarabangsa Dedahkan Pencerobohan Berleluasa Di Hutan Simpan Kekal (HSK) Pahang 


Setelah hampir 3 minggu, akhirnya pihak berkuasa memberi reaksi kepada pendedahan awal saya dan YB Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan mengenai pencerobohan yang berlaku ke atas kawasan hutan yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) termasuk di dalam kawasan Parlimen Pekan yang diwakili Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Walaupun saya mendesak reaksi dari Dato’ Seri Najib dan Dato’ Seri Adnan Yaakob (Menteri Besar Pahang), saya tidak terkejut langsung apabila reaksi tunggal hanya datang dari Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Abdul Rahim, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), seperti kenyataan beliau yang dihantar kepada Suara Keadilan (yang saya sertakan di bawah):

“ Berhubung dakwaan Buletin “Suara Keadilan” tersebut, JPSM melalui JPN Pahang telah mengesahkan dakwaan tersebut adalah tidak berasas.

Semakan di lapangan menunjukkan kelapan-lapan HSK yang maksudkan dlm dakwaan “Suara Keadilan” adalah Hutan Paya Gambut (Peat Swamp Forest) yang terdapat penerokaan haram yg telah lama berlaku.

Ianya dipantau rapi oleh JPN Pahang.

Kawasan “gondol” yg dilihat melalui imej satelit/GIS yg didakwa oleh “Suara Keadilan” adalah kawasan- kawasan berair Hutan Paya Gambut, kawasan hutan terosot yg ditumbuhi paku-pakis dan lalang serta kawasan penerokaan Orang Asli.

Semakan di lapangan juga didapati tiada berlakunya pencerobohan baru di kawasan-kawasan tersebut.

Disamping itu, terdapat juga kawasan-kawasan Hutan Tanah Kerajaan (HTK) yg diceroboh & didiami oleh orang asli tempatan berhampiran semenjak berpuluh-puluh tahun dulu. Kawasan ini ditanam dengan tanaman kelapa sawit dan tanaman pertanian lain. Ianya juga berdekatan dengan perkampungan Orang Asli RPS Runchang dan kawasan ini turut pmerupakan hutan miskin dan terosot.

JPN Pahang terus memantau secara rapi kawasan-kawasan ini. Kerajaan Negeri Pahang telah mewartakan kawasan ini sebagai Hutan Simpan Pekan (Tambahan) pada tahun 2007/2008.

JPSM sebagai agensi kerajaan yang komited melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga telah mengambil inisiatif utk memulihkan kawasan ini dgn projek penanaman pokok-pokok hutan dari spesies terpilih di kawasan terosot Hutan Paya Gambut.”

Sementara saya menghargai usaha beliau memberi maklumbalas (berbanding Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang yang membisu), jawapan Dato’ Sri Dr Abdul Rahman itu yang memberi gambaran bahawa aktiviti pencerobohan tidak berleluasa dan seperti menyalahkan Orang Asli bertentangan dengan laporan-laporan lain mengenai keadaan hutan di Pahang. Malah, maklumbalas seperti itu mendedahkan pula Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (terutamanya Jabatan Perhutanan Negeri Pahang) kepada lebih banyak kritikan kerana fungsinya adalah mencegah aktiviti pencerobohan dan penerokaan haram.

Gambaran bahawa pendedahan saya dan YB Fuziah hampir tiga minggu lalu adalah tidak benar bertentangan dengan satu laporan oleh Aidenvironment (http://www.aidenvironment.org/), sebuah firma perunding antarabangsa yang mengkhususkan kepakaran di dalam bidang kelestarian alam sekitar (“environmental sustainability”).

Di antara tahun 2015 dan 2016, Aidenvironment telah menerbitkan dua laporan yang memberi tumpuan kepada pencerobohan yang berlaku secara berleluasa di hutan-hutan simpan kekal Malaysia sehingga menjejaskan kredibiliti Sistem Pensijilan Balak Malaysia (atau “Malaysian Timber Certification Scheme MTCS”).

Untuk pengetahuan umum, MTCS adalah satu kaedah pensijilan yang mengesahkan bahawa kayu balak atau produk dari kayu kayan yang mendapat pensijilan MTCS adalah berasal dari aktiviti pembalakan yang bertanggungjawab dan mematuhi peraturan demi mengekalkan kelestarian hutan simpan. Di negara-negara Eropah, hanya kayu balak atau produk dari kayu kayan yang mempunyai pensijilan MTCS atau yang disahkan berasal dari hutan lestari yang boleh didagangkan.

Kerajaan Belanda misalnya telah menetapkan bahawa hanya kayu balak atau produk dari kayu kayan yang datang dari hutan simpan yang aktiviti penebangan balak tidak melebihi 5% dari jumlah hutan simpan pada satu-satu masa yang boleh diperdagangkan. Untuk mengesahkan sama ada hutan-hutan di Malaysia tidak melebihi aktiviti penebangan 5% seperti yang ditetapkan, Aidenvironment menjalankan kajian yang laporannya saya sertakan di sini.

https://drive.google.com/open?id=0B2GRLI8QVQQgeEx5U1VWOXFUd00

Dalam laporan bertajuk “MTCS Certified Deforestation” bertarikh Oktober 2015 itu, pada mukasurat 36 hingga 52, jelas didedahkan satu persatu bagaimana pencerobohan hutan simpan kekal di Pahang berlaku walaupun ia diaudit dan diwartakan oleh Jabatan Perhutanan Pahang kononnya kawasan itu adalah hutan simpan kekal.

Laporan itu menamakan 14 kawasan hutan simpan kekal yang dicerobohi terutamanya bagi tujuan perladangan. Kawasan terbabit adalah besar dan menurut laporan melibatkan anggaran keluasan sekitar 30,000 yang tidak mematuhi pensijilan MTCS (bersamaan 75,614 ekar). Oleh itu, tidak hairanlah laporan itu tidak pula mengesahkan bahawa pencerobohan hutan bagi tujuan pembalakan haram ini dilakukan oleh Orang Asli seperti yang digambarkan oleh Ketua Pengarah JPSM.

Oleh sebab itulah, saya dan YB Fuziah Salleh mengambil keputusan mendedahkan perkara ini kerana satu siasatan besar-besaran perlu dibuat untuk memastikan siapa dalang di belakang pembalakan haram dan pencerobohan bagi tujuan perladangan ini; dan kenapa pihak Jabatan Perhutanan Pahang tidak mengambil langkah yang sewajarnya untuk membendungnya?

Saya dan YB Fuziah Salleh akan terus mendedahkan perkara ini. Imej satelit bagi setiap daerah di Pahang akan dikongsi dengan orang ramai dari satu minggu ke satu minggu. Selain itu, isu-isu kelestarian hutan yang memburukkan nama Malaysia di mata dunia juga akan saya bawakan selagi Dato’ Seri Najib mendiamkan diri mengenai isu ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Kerosakan Hutan Simpan Di Pekan: Dato’ Seri Najib Wajar Jawab Bagaimana 4,829 Hektar Hutan Simpan Boleh Diterokai

Minggu lepas, saya telah duduk berbincang dengan seorang pemberi maklumat mengenai kerosakan hutan simpan di Pahang yang beliau minta saya dan Ahli Parlimen Kuantan, Hajjah Fuziah Salleh sama-sama bongkarkan kepada orang ramai demi mengelakkan pelbagai malapetaka yang boleh berlaku akibat kerosakn tersebut.

Beliau telah menunjukkan secara terperinci peta-peta yang diperolehi dari gambar-gambar satelit yang kemudiannya dipadankan dengan peta perhutanan dari Jabatan Perhutanan dan maklumat persempadanan dan pewartaan tanah dari pejabat-pejabat tanah. Hasilnya ialah sebuah peta yang menunjukkan:

1. Sempadan hutan simpan yang diwartakan mengikut setiap daerah di Pahang

2. Keadaan sebenar muka bumi hutan simpan tersebut mengikut jalur warna: merah bermakna pokok telah ditebang dan diterokai sementara hijau bermakna hutan simpan masih dikekalkan

Saya telah menyemak peta-peta ini dengan peta yang diperolehi dari industri pembalakan melalui beberapa orang individu yang saya kenali dan ada asas yang kukuh bahawa peta-peta dari gambar-gambar satelit yang dibekalkan oleh pemberi maklumat ini adalah benar.

Saya telah berbincang dengan YB Fuziah Salleh dan bersetuju bahawa isu pembalakan atau pencerobohan hutan yang berlaku di Pahang perlu dibawa ke pengetahuan umum. Bukan sahaja ia satu aktiviti jenayah yang mencuri harta rakyat, ia mendatangkan kesan kepada alam sekitar yang menyumbang kepada fenomena banjir pada skala besar yang belum pernah dilihat sebelum ini.

Saya sertakan peta kawasan-kawasan hutan simpan di daerah Pekan yang diwakili oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia. Di dalam daerah Pekan, mengikut maklumat dari Jabatan Perhutanan Pahang dan maklumat-maklumat lain, terdapat 8 hutan simpan yang diwartakan seperti berikut:

1. Kedondong
2. Pekan
3. Pekan (Tambahan)
4. Sg. Miang (Paya Laut)
5. Bebar (Paya Laut)
6. Nenasi
7. Resak
8. Resak (Tambahan)

Rujuk kepada peta di atas dari imej satelit, saya telah tandakan kawasan-kawasan yang telah diwartakan sebagai hutan-hutan simpan Pekan (Tambahan) dan Kedondong tetapi imej satelit menunjukkan kawasan hutan ini telah diterokai (ditandakan dengan warna merah berbanding hijau yang belum diterokai.

Malah, keadaan yang sama berlaku di kawasan hutan simpan yang lain di Pekan. Maklumat dari kajian pemetaan yang telah diserahkan kepada saya menunjukkan pencerobohan dan penerokaan berlaku di kesemua 8 hutan simpang di daerah Pekan yang melibatkan anggaran keluasaan 4,829 hektar hutan simpan.

Saya menunggu maklumbalas peribadi dari Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana ini adalah di dalam parlimen beliau sendiri dan berlaku di bawah pengawasan beliau.

Saya juga ada maklumat lanjut mengenai perkara yang sama di seluruh negeri Pahang dan akan mendedahkan satu persatu bagi setiap daerah di Pahang sehinggalah ada maklumbalas yang kukuh dan tindakan diambil untuk menghentikan pencerobohan ini.

Saya juga akan terus menyiasat untuk menentukan siapakah sebenarnya dalang di belakang kegiatan pencerobohan ini dan meneliti segala kelemahan pengurusan hutan sehingga menyebabkan berleluasanya aktiviti pencerobohan sebegini.

Paling penting, inilah sebenarnya tugas seorang ahli parlimen seperti saya dan Dato’ Seri Najib Tun Razak iaitu menjaga khazanah rakyat. Hakikat bahawa perkara ini berlaku di dalam kawasan parlimen beliau sendiri menimbulkan tanda tanya sama ada beliau mengambil berat perkara-perkara seperti ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN