Category Archives: 1MDB

KWSP Minta Dato’ Seri Najib Runding Pelepasan Cukai Dari Presiden Trump, Pelaburan Luar Negara KWSP Sudah Tahap Maksima Ikut Peraturan Kementerian Kewangan

Akhirnya Timbalan Menteri Luar, Datuk Reezal Merican Neena Merican tidak ada pilihan kecuali cuba menjawab segala kontroversi berhubung lawatan Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk bertemu Presiden Trump yang saya timbulkan sejak awal minggu ini.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau akhirnya terpaksa mengaku perkara-perkara berikut:
(Rujuk kenyataan penuh di https://www.malaysiakini.com/news/395211 )

1. Perenggan 4: mengakui bahawa memang benar ada 5 kategori jenis lawatan mengikut protokol diplomatik yang diguna pakai Amerika Syarikat dan Malaysia

2. Perenggan 5: mengakui bahawa lawatan Dato’ Seri Najib ke Amerika Syarikat adalah lawatan kerja atas jemputan Presiden Trump

3. Perenggan 15: mengakui bahawa ketibaan Dato’ Seri Najib di Pengkalan Udara Andrews tidak disambut dengan sambutan protokol yang diberikan kepada lawatan-lawatan rasmi

4. Perenggan 17 dan 18: menyatakan bahawa pertemuan Dato’ Seri Najib dengan Presiden Trump di Oval Office adalah 20 minit dan pertemuan delegasi bersama adalah 40 minit

5. Perenggan 24 dan 25: mengakui bahawa jika jemputan dari Presiden Trump adalah untuk lawatan rasmi (sama ada “State Visit” atau “Official Visit” atau “Official Working Visit”), maka Presiden Trump akan menawarkan rumah tetamu rasmi iaitu Blair House

Saya berterima kasih kepada Dato’ Reezal Merican Neena Merican kerana berjaya mengimbangi keperluan beliau menjalankan tugas kepada partinya dan tanggungjawab beliau sebagai menteri yang perlu menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat.

Kenyataan beliau mengesahkan kesemua perkara yang saya timbulkan sejak beberapa hari iaitu lawatan Dato’ Seri Najib bukanlah satu lawatan rasmi atas jemputan kehormat seperti yang diwar-warkan. Sebaliknya ia lebih bersifat lawatan atas inisiatif beliau sendiri dan berkemungkinan besar melalui lobi berbayar yang dijalankan oleh Healy Baumgardner, bekas pembantu Presiden Trump seperti yang saya telah nyatakan sebelum ini.

Perbezaan lain adalah kecil: Beliau menyatakan lawatan itu adalah lawatan kerja dan bukannya lawatan peribadi. Beliau juga cuba menjelaskan bahawa tempoh pertemuan adalah 60 minit dan bukannya 30 minit.

Saya tahu beliau cuba untuk bermain dengan perbezaan maklumat yang sangat kecil tetapi itu tidak menyanggah kesemua yang saya nyatakan sebelum ini. Sama ada lawatan itu satu lawatan kerja atau lawatan peribadi, Datuk Reezal Merican Neena Merican mengakui ia bukan lawatan rasmi dan sebab itulah Dato’ Seri Najib tidak disambut dengan upacara perbarisan dan lain-lain mengikut protokol.

Begitu juga mengenai tempoh masa. Pada pandangan saya, masa 60 minit Dato’ Seri Najib berada di dalam White House mungkin benar jika dikira setiap minit termasuk masa yang diambil untuk berjalan dari satu bilik ke satu bilik, tetapi orang ramai boleh faham jika keseluruhan masanya adalah 60 minit, itu bermakna benarlah Dato’ Seri Najib hanya berjumpa dengan Presiden Trump selama 10 minit sahaja.

Kenyataan Timbalan Menteri Luar itu sebenarnya pengakuan kerajaan sendiri bahawa isu-isu yang saya timbulkan sejak beberapa hari ini adalah benar.

Oleh itu, saya akan menumpukan kepada isu yang lebih penting iaitu komitmen yang diberikan kepada Presiden Trump untuk membawa masuk wang rakyat Malaysia melalui pelaburan KWSP di dalam projek-projek infrastruktur seperti yang dirakamkan di dalam video mesyuarat bilateral kedua-dua delegasi.

Saya telah menyemak dengan sumber-sumber saya di dalam kerajaan dan saya dimaklumkan perkara-perkara berikut telah berlaku semasa Pejabat Perdana Menteri (PMO) merancang lawatan Dato’ Seri Najib itu:

i. Pejabat Perdana Menteri meminta KWSP untuk menyediakan senarai perkara-perkara yang perlu dibawa ke perhatian Presiden Trump untuk dibincangkan di dalam pertemuan tersebut

ii. KWSP telah memaklumkan secara rasmi kepada Pejabat Perdana Menteri bahawa KWSP memohon supaya Dato’ Seri Najib membincangkan untuk mendapatkan persetujuan Presiden Trump agar KWSP diberi status “Tabung Pencen Luar Negara Berkelayakan” atau QFPF (“Qualified Foreign Pension Fund”)

iii. KWSP telah bekerjasama dengan Pejabat Perdana Menteri untuk menyediakan draf kenyataan media Dato’ Seri Najib mengenai perkara ini

Untuk pengetahuan orang ramai, pada tahun 2015 pentadbiran Presiden Obama telah menguatkuasakan satu undang-undang yang diberi nama PATH Act yang memberi kesan kepada perubahan peraturan percukaian kepada banyak badan korporat dan bukan korporat. Salah satu badan yang mendapat kesan baik dari akta ini ialah tabung pencen yang ditubuhkan di luar negara Amerika Syarikat melalui pengenalan satu status istimewa yang diberi nama “Tabung Pencen Luar Negara Berkelayakan” atau QFPF (“Qualified Foreign Pension Fund”).

Mana-mana tabung pencen luar negara yang membuat permohonan dan memenuhi syarat akan diberi status QFPF yang membolehkan tabung pencen itu diberi pelepasan cukai dalam banyak perkara bertujuan untuk menggalakkan tabung-tabung pencen luar negara melabur di Amerika Syarikat terutamanya di dalam bidang hartanah.

Maklumat lanjut mengenai PATH Act, QFPF dan insentif percukaian kepada tabung pencen berstatus QFPF boleh dibaca di https://home.kpmg.com/content/dam/kpmg/pdf/2016/02/tnf-foreign-pension-feb29-2016.pdf

Bukan sahaja Dato’ Seri Najib mengambil keputusan untuk tidak membawa isu ini kepada Presiden Trump, sebaliknya yang berlaku beliau pandai-pandai pula mengumumkan keputusan agar KWSP melabur sehingga RM16 bilion tambahan di Amerika Syarikat.

Apa yang beliau tidak sedar ialah pengumuman itu bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan yang menghadkan pelaburan luar negara KWSP kepada 30% sahaja dari jumlah pelaburan keseluruhan.

Saya telah menyemak rekod dan telah menemui satu laporan yang memetik temuramah dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Dato’ Shahril Ridza Ridzuan yang mengesahkan bahawa setakat 22 Februari 2017, KWSP telah hampir mencecah had maksima 30% pelaburan luar negara yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Temuramah ini disiarkan oleh akhbar The Nation (akhbar utama Bangkok) yang boleh dibaca di http://www.nationmultimedia.com/news/business/aec/30306866

Berdasarkan temuramah dengan Dato’ Shahril Ridza Ridzuan pada akhir Februari 2017 itu, kita boleh sahkan bahawa:

i. Pelaburan luar negara KWSP terhad kepada had maksima 30% yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan

ii. Had maksima 30% itu ditetapkan bagi setiap tiga tahun

iii. Pelaburan luar negara KWSP setakat Februari 2017 sudah pun hampir mencecah had maksima 30%

Saya tidak perlu menyebut kebodohan tahap maksima yang ditunjukkan oleh Dato’ Seri Najib sebagai Menteri Kewangan yang bukan sahaja tidak menjalankan tugas seperti yang sepatutnya (dalam mendapatkan status QFPF bagi pihak KWSP), tetapi mengumumkan kepada dunia pelaburan tambahan KWSP di Amerika Syarikat yang melanggar peraturan yang ditetapkan kementerian beliau sendiri.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Skandal Lawatan Najib Bertemu Trump: Individu Yang Memasukkan RM2 Juta Wang Ke Dalam Akaun Datin Seri Rosmah Mansur Sertai Delegasi

Setakat ini, reaksi rakyat kepada tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak menggunakan harta rakyat seperti dana KWSP, Khazanah dan MAS untuk membodek Presiden Trump adalah sangat negatif. Komen-komen di media sosial sejak semalam dengan jelas menunjukkan kemarahan rakyat apabila video Dato’ Seri Najib menawarkan dana awam ini untuk membantu ekonomi Amerika Syarikat mula tular.

Saya pasti Dato’ Seri Najib bimbang dengan kemarahan yang memuncak ini sehingga beliau terpaksa mempertahankan diri beliau sendiri di media sosial. Saya perhatikan beliau jarang menjawab sendiri serangan-serangan ke atas beliau dalam isu-isu lain sebelum ini.

Walau bagaimana pun, saya boleh maklumkan kepada Dato’ Seri Najib bahawa kemarahan itu tidak akan reda apabila lebih banyak maklumat terperinci mengenai lawatan tersebut mula sampai ke pengetahuan rakyat.

Hari ini, saya ingin membawa satu perkara yang perlu dijelaskan oleh Dato’ Seri Najib iaitu penglibatan Datin Seri Rosmah Mansor dan ahli keluarga beliau di dalam delegasi ini.

Saya telah mendedahkan butiran terperinci mengenai lawatan ke Amerika Syarikat, termasuk mengenai satu pertemuan berasingan di antara keluarga Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump di Trump Tower, New York. Setakat ini, semua butiran terperinci yang diberikan oleh sumber sulit ini adalah tepat seperti berlaku termasuklah masa perjumpaan selama 30 minit sahaja, penginapan di Trump Internasional Hotel dan tiadanya sidang media bersama. Oleh itu, saya yakin maklumat yang diberikan oleh sumber sulit ini adalah benar.

Saya membuat semakan untuk mengenal pasti sama ada Trump Tower di New York benar-benar wujud seperti yang dimaklumkan oleh sumber sulit itu; serta perkara-perkara yang boleh menguatkan lagi kredibiliti maklumat yang diberikan oleh sumber sulit tadi.

Semakan di internet mengesahkan kewujudan sebuah bangunan bernama Trump Tower di New York seperti yang disebut. Ia bukan sebuah hotel dan menawarkan kondominium mewah yang boleh disewa atau dibeli. Saya sertakan capaian dan gambar-gambar untuk dikongsi dengan orang ramai.

(Rujuk https://www.cityrealty.com/nyc/midtown-east/trump-tower-721-fifth-avenue/3531)

 

Sewa kondominium mewah di Trump Tower ini bermula pada harga USD6,000 (atau RM25,000) semalam bagi kondominium satu katil dan USD9,000 (atau RM37,000) semalam bagi kondominium dua katil. Trump Tower juga diberitakan terletak berhampiran dengan gedung-gedung membeli belah mewah yang terkenal di New York seperti Bergdorf Goodman dan Tiffany’s.

Sejak saya mula-mula berkongsi maklumat ini pada hari Isnin, sehingga sekarang tidak ada satu penafian pun dari mana-mana pihak. Sekiranya pertemuan di antara keluarga Dato’ Seri Najib – Datin Seri Rosmah dan Presiden Trump di Trump Tower ini tidak benar, sudah tentu saya ditahan polis serta merta dan paling kurang pun saya disaman serta merta.

Dalam keadaan Trump Tower menawarkan kondominium mewah yang sesuai bagi keluarga dan membolehkan apa-apa pertemuan berlaku tanpa tumpuan media Amerika Syarikat, tiadanya penafian atau kenyataan menguatkan lagi kredibiliti maklumat yang diberikan oleh sumber sulit itu mengenai pertemuan di antara keluarga Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump itu.

Kalau kehadiran ahli keluarga Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah serta pertemuan peribadi di Trump Tower itu sudah mengundang kemarahan rakyat, kehadiran seorang individu yang pernah dikenal pasti bertanggungjawab memasukkan sejumlah RM2 juta ke akaun peribadi Datin Seri Rosmah di dalam delegasi Malaysia perlu disiasat segera.

Saya mengikuti seberapa banyak liputan mengenai lawatan Dato’ Seri Najib itu dan terjumpa satu laporan yang mengejutkan.

Satu laman bernama Thinkprogress.org menyiarkan satu berita berikut:
(Rujuk laporan di https://thinkprogress.org/scandal-plagued-malaysian-prime-minister-sets-up-camp-at-trumps-d-c-hotel-7e33424093a1/)

1. Thinkprogress.org mempunyai seorang wartawan yang mengikuti lawatan delegasi Malaysia dan berada di Trump International Hotel (iaitu penginapan Dato’ Seri Najib dan delegasi Malaysia)

2. Wartawan itu melaporkan dari Trump International Hotel sejak jam 530 petang hari Isnin, ada satu konvoi sebanyak 15 kenderaan termasuk bas-bas kecil dan kenderaan pacuan 4-roda (SUV) yang mempamerkan bendera Malaysia diletakkan di luar hotel itu. Keesokan harinya sekitar jam 8 pagi hari Selasa, konvoi kenderaan itu masih lagi berada di situ

3. Salah satu kenderaan dalam konvoi delegasi Malaysia itu adalah sebuah limosin yang mempunyai nama-nama ahli delegasi Malaysia, termasuklah seorang yang bernama Roslan Sohari

(Sebahagian paparan laporan tersebut dan bukti limosin delegasi Malaysia di atas nama Roslan Sohari ditunjukkan di bawah)

Berdasarkan laporan tersebut, saya telah membuat semakan untuk mengesahkan dakwaan Thinkprogress.org itu adalah tepat.

Berdasarkan laporan-laporan oleh media antarabangsa, individu bernama Roslan Sohari memang dikaitkan dengan siasatan oleh JK Khas Siasatan 1MDB (yang melibatkan SPRM, PDRM, Bank Negara dan Peguam Negara) dalam tahun 2015 kerana memasukkan RM2 juta wang tunai ke akaun Datin Seri Rosmah Mansor.

Berita-berita berikut memetik kenyataan rasmi JK Siasatan 1MDB yang mengesahkan bahawa RM2 juta wang yang dimasukkan ke akaun Datin Seri Rosmah Mansor oleh seorang yang bernama Roslan Sohari memang merupakan satu aspek siasatan JK tersebut.

(Rujuk laporan-laporan:

http://www.straitstimes.com/asia/se-asia/task-force-reveals-rosmahs-bank-account-also-under-investigation

http://stomp.straitstimes.com/singapore-seen/from-around-the-world/task-force-investigating-bank-account-of-malaysian-pm-najibs

http://www.businesstimes.com.sg/government-economy/najibs-wife-denies-1mdb-funds-went-into-her-account

http://af.reuters.com/article/worldNews/idAFKCN0PK19W20150710)

Oleh yang demikian, tidak syak lagi bahawa individu yang bernama Roslan Sohari ini benar-benar wujud dan mempunyai kaitan rapat dengan Datin Seri Rosmah. Malah, beliau pernah disiasat sebagai sebahagian dari siasatan ke atas wang 1MDB yang hilang dalam tahun 2015 lalu.

Saya pasti rakyat mahu Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah menjawab sendiri perkara-perkara berikut:

i. Mengesahkan mengenai pertemuan peribadi di antara keluarga Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah dengan Presiden Trump di Trump Tower seperti maklumat yang diberikan sumber sulit

ii. Mengesahkan sama ada satu kondominium mewah telah disewa di Trump Tower bagi tujuan (i); berapa kos sewaan keseluruhannya dan siapa yang menanggung kos itu?

iii. Mengesahkan siapa lagi ahli keluarga Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah yang ikut serta dan akan menyertai pertemuan peribadi dengan Presiden Trump seperti (i)

iv. Siapa yang menanggung keseluruhan kos bagi ahli keluarga lain Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah seperti (iii); dan

v. Kenapa Roslan Sohari menyertai delegasi ini sehingga sebuah limosin ditempah khusus untuk beliau?

Saya pasti timbulnya kembali individu bernama Roslan Sohari ini membolehkan rakyat membuka kembali kes bagaimana RM2 juta wang tunai dimasukkan ke akaun Datin Seri Rosmah yang belum mendapat sebarang penjelasan memuaskan dari Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Berapa Patah Perkataan Najib Sempat Sebut Mengenai Rohingya Dalam Masa 10 Minit?

Semalam, saya mempersoalkan kenapa pertemuan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Presiden Trump tidak menyentuh mengenai nasib umat Islam Rohingya yang berdepan penghapusan etnik sedangkan isu itu dihebohkan oleh pimpinan Umno sebagai isu utama yang akan dibincangkan.

Kenyataan saya itu dibuat setakat jam 12 tengahari waktu Malaysia semalam (13 September 2017) atau 12 tengah malam 12 September 2017 waktu Washington, iaitu 12 jam selepas pertemuan 30 minit di antara Dato’ Seri Najib/delegasi Malaysia dan Presiden Trump berakhir. Setakat waktu itu, tidak ada sebarang kenyataan atau video atau bukti-bukti lain dari pertemuan 30 minit itu yang menunjukkan isu umat Islam Rohingya disentuh langsung.

Sehingga 12 tengah malam 12 September 2017, hanya ada 2 laporan rasmi yang boleh dirujuk yang melaporkan kandungan perbincangan, iaitu:

i. Video mesyuarat bilateral di antara delegasi Malaysia dan delegasi Amerika Syarikat – keseluruhan kandungan langsung tidak menyentuh mengenai nasib umat Islam Rohingya

ii. Transkrip perbincangan di antara Presiden Trump dan Dato’ Seri Najib di dalam mesyuarat bilateral delegasi Amerika Syarikat-Malaysia yang juga langsung tidak menyentuh nasib umat Islam Rohingya

Saya juga ingin menekankan bahawa sehingga kini, Dato’ Seri Najib atau Wisma Putra atau pihak Amerika Syarikat atau White House tidak menafikan bahawa keseluruhan lawatan dan perjumpaan yang melibatkan Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump hanya mengambil masa 30 minit. Berdasarkan garis masa dan maklumat-maklumat yang ada setakat ini, saya telah menyatakan bahawa tempoh masa pertemuan empat mata di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump besar kemungkinan mengambil masa 10 minit sahaja (kerana lebih banyak masa iaitu sekitar 20 minit dihabiskan untuk mesyuarat bilateral yang dirakamkan itu).

Oleh yang demikian, kenyataan saya bahawa isu nasib umat Islam Rohingya tidak dibangkitkan di dalam pertemuan Najib-Trump itu adalah benar setakat maklumat yang ada semasa saya membuat sidang media semalam.

Hari ini, barulah ada satu kenyataan media bersama yang rasmi dari White House yang menyenaraikan perkara-perkara yang ditimbulkan secara rasmi di dalam pertemuan di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump.

Saya sertakan kenyataan media rasmi tersebut yang boleh diperolehi dari capaian https://www.whitehouse.gov/the-press-office/2017/09/13/joint-statement-enhancing-comprehensive-partnership-between-united

Download (PDF, 151KB)

 

Sebahagian besar dari perkara-perkara yang disentuh di dalam kenyataan media bersama ini tidak disentuh di dalam mesyuarat bilateral yang videonya dirakamkan dan transkripnya telah disiarkan semalam. Ini bermakna jika ia dibincangkan di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump, besar kemungkinan ia dibincangkan di dalam pertemuan empat mata di antara mereka yang saya telah nyatakan sebelum ini besar kemungkinan hanya memakan masa 10 minit sahaja.

Oleh itu, berdasarkan maklumat-maklumat ini, saya boleh simpulkan bahawa kesemua perkara-perkara yang paling penting yang telah disentuh secara terbuka di dalam video mesyuarat bilateral (iaitu isu Korea Utara, isu melawan Daesh dan keganasan serta tawaran pelaburan-pelaburan dari Malaysia untuk membantu ekonomi Amerika Syarikat) serta perkara-perkara yang hanya disentuh di dalam pertemuan empat mata dibincangkan di dalam tempoh 10 minit itu.

Saya senaraikan isu-isu yang hanya disentuh di dalam pertemuan empat mata itu mengikut senarai pentingnya isu ini (berdasarkan panjang mana kenyataan bersama menyentuh isu tersebut dan perenggan ke berapa isu ini dimasukkan di dalam kenyataan bersama) seperti berikut:

i. Tindakan China meluaskan pengaruhnya di Laut Cina Selatan yang ditentang oleh Amerika Syarikat

ii. Kerjasama ASEAN dan kedudukan ASEAN sebagai sekutu Amerika Syarikat

iii. Bantuan dari Malaysia berjumlah RM4 juta untuk diagihkan di kawasan-kawasan yang dirampas dari Daesh bagi tujuan kemanusiaan

iv. Permohonan Malaysia agar diberi keistimewaan untuk pengecualian visa

v. Persetujuan Malaysia untuk berkongsi data dan maklumat dengan Amerika Syarikat bagi tujuan anti-keganasan antarabangsa

vi. Persetujuan Malaysia untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dengan Amerika Syarikat termasuk pembelian RM250 juta persenjataan baru dari Amerika Syarikat

vii. Isu nasib umat Islam Rohingya

viii. Meningkatkan tata kelola perdagangan dan membanteras pemerdagangan manusia

ix. Menyambung kerjasama pendidikan melalui program Fulbright

Ini bermakna, selain dari isu-isu terpenting yang telah disentuh dan diumumkan secara terbuka, ada 9 lagi isu yang dibincangkan di dalam 10 minit pertemuan tertutup empat mata di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump. Dari 9 isu itu, isu nasib umat Islam Rohingya adalah isu yang ketiga paling tidak penting seperti yang disenaraikan di dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan White House sehari kemudian selepas pertemuan pada 12 September yang lalu.

Oleh yang demikian, bagi mereka yang memahami protokol diplomatik yang digunapakai di dalam pertemuan-pertemuan begini, adalah perkara biasa bahawa kedua-dua pihak delegasi membincangkan secara mendalam apa yang ingin dimasukkan di dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan.

Walau bagaimana pun, secara logiknya, saya percaya ramai rakyat Malaysia bersetuju dengan saya bahawa kemungkinan Dato’ Seri Najib membawa isu umat Islam Rohingya dalam pertemuan empat mata sesingkat 10 minit itu adalah terlalu kecil memandangkan pelbagai isu-isu yang dikira lebih penting kepada Amerika Syarikat.

Sama ada Dato’ Seri Najib benar-benar membawa isu itu dalam pertemuan sesingkat 10 minit itu tidak akan dapat disahkan sampai bila-bila kerana ia pertemuan tertutup empat mata dan kita bergantung sepenuhnya kepada versi yang disebut Dato’ Seri Najib.

Oleh itulah, di antara kesimpulan logik bahawa isu umat Islam Rohingya hanya dimasukkan di dalam kenyataan bersama dan diletakkan sebagai isu ketiga paling corot dan mempercayai bahawa Dato’ Seri Najib membawa isu itu di dalam pertemuan sesingkat 10 minit sedangkan banyak lagi isu lain yang lebih penting kepada Amerika Syarikat, saya yakin majoriti rakyat Malaysia boleh membuat kesimpulan yang logik.

Apatah lagi Dato’ Seri Najib juga pernah mengaku beliau mendapat derma RM2.6 bilion dari keluarga diraja Arab Saudi – maka sudah tentu lebih ramai yang mempercayai kesimpulan yang lebih logik berbanding versi yang bukan sahaja tidak logik tetapi datang dari seorang seperti Dato’ Seri Najib.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Pendedahan Semalam Tepat: Najib Jumpa Trump 30 Minit, Tidak Bincang Isu Rohingya Sebaliknya Gadai Kepentingan Negara

Sejak saya mendedahkan bahawa perjumpaan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bukanlah satu rangka lawatan rasmi (“official visit” atau “official working visit”) atas jemputan Presiden Trump seperti yang mahu digambarkan oleh media propaganda Barisan Nasional, jentera propaganda Barisan Nasional bekerja keras untuk menenggelamkan perkara itu sebelum Dato’ Seri Najib tiba di White House.

Alasan yang digunapakai ialah kononnya perjumpaan itu disenaraikan di laman rasmi White House dan dimasukkan di dalam jadual harian Presiden Trump di Twitter beliau.

Malangnya, tidak ada seorang pun yang menafikan atau mengemukakan fakta yang menidakkan perkara pokok yang saya timbulkan semalam: berdasarkan senarai protokol untuk lawatan rasmi Ketua Negara (“State Visit”) atau Ketua Kerajaan (“Official Visit” termasuk “Official Working Visit”) untuk menentukan sambutan serta kemudahan meraikan tetamu rasmi Presiden Amerika Syarikat, lawatan Dato’ Seri Najib kali ini dikategorikan sebagai lawatan persendirian (“private visit”) oleh seorang Perdana Menteri ke White House.

Oleh sebab itu, satu lagi isu utama yang saya timbulkan ialah kemungkinan besar jemputan dari Presiden Trump kepada Dato’ Seri Najib untuk mengadakan satu pertemuan singkat (yang dikira lawatan persendirian ini) diusahakan oleh khidmat lobi yang dibayar oleh Godfrey Group Limited yang mewakili Pejabat Perdana Menteri, seperti yang saya pernah dedahkan sebelum ini.

Saya yakin perjumpaan yang berlaku semalam (waktu Malaysia) mengesahkan bahawa kedua-dua perkara pokok yang saya timbulkan adalah benar berdasarkan bukti-bukti yang dihuraikan selepas ini.

Bukti Perjumpaan Adalah Lawatan Persendirian (“Private Visit”)

Setakat ini, liputan yang dibuat media rasmi Barisan Nasional seperti yang dilaporkan New Straits Times dan RTM mengesahkan bahawa:

i. Ketibaan Dato’ Seri Najib di Joint Base Andrews in Maryland dengan pesawat rasmi negara tidak disambut dengan satu acara rasmi yang dipanggil “flight line ceremony” yang hanya diberikan kepada lawatan-lawatan rasmi
ii. Delegasi Dato’ Seri Najib menginap di Trump International Hotel dan bukannya Blair House, iaitu rumah tetamu Presiden Amerika Syarikat yang disediakan bagi lawatan rasmi ketua kerajaan

Kedua-dua perkara ini kini sahih dan mengesahkan bahawa maklumat-maklumat yang diberikan oleh sumber rahsia saya seperti yang saya dedahkan semalam adalah tepat.

Perjalanan mesyuarat yang berlaku semalam di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump juga mengesahkan bahawa keseluruhan lawatan ke White House itu, dari pertemuan empat mata di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump sehinggalah mesyuarat di antara pegawai tertinggi Malaysia dan Amerika Syarikat (yang sebelum ini dirujuk sebagai “expanded meeting”), memakan masa hanyalah sekitar 30 minit sahaja.

Ini bertepatan dengan maklumat sulit yang diberikan kepada saya oleh sumber yang boleh dipercayai dan boleh disahkan berdasarkan garis masa dari ketibaan Dato’ Seri Najib di White House sehinggalah berakhirnya “expanded meeting” tersebut, seperti berikut:

i. Dato’ Seri Najib tiba jam 1149 pagi waktu Washington (dirujuk sebagai EDT dan 12 jam lambat berbanding waktu Malaysia, maka 1149 PM di Malaysia adalah 1149 pagi di Washington) seperti yang dilaporkan oleh MSNBC melalui tweet di bawah:

 

ii. Dato’ Seri Najib kemudiannya ada pertemuan empat mata di Oval Office dengan Presiden Trump. Tiada wartawan atau media dibenarkan, malah sesi bergambar di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump pun dibatalkan di saat-saat akhir. Oleh itu, satu-satunya cara untuk menentukan lama mana pertemuan itu ialah dengan melihat garis masa selepas pertemuan empat mata ini

iii. Selepas itu, Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump menyertai pegawai tertinggi dari delegasi kedua-dua negara untuk mesyuarat dua hala yang dirujuk sebagai “expanded meeting” di dalam jadual Presiden Trump sebelum itu

iv. Transkrip mesyuarat itu yang meliputi ucapan Presiden Trump dan ucapan balas dari Dato’ Seri Najib disiarkan secara penuh di laman White House https://www.whitehouse.gov/the-press-office/2017/09/12/remarks-president-trump-and-prime-minister-najib-abdul-razak-malaysia

v. Transkrip mesyuarat itu menunjukkan ucapan Presiden Trump bermula pada jam 12:11 tengahari dan ucapan balas Dato’ Seri Najib berakhir pada jam 12:18 tengahari

Mengambil kira ketepatan masa yang diuruskan di White House dan berdasarkan garis masa di atas, saya boleh menyimpulkan bahawa Dato’ Seri Najib mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Trump selama lebih kurang 10 minit sahaja dan 20 minit lagi dihabiskan di dalam “expanded meeting” yang videonya disiarkan.

Ini mengesahkan maklumat yang saya dapati dari sumber rahsia yang saya dedahkan semalam bahawa perjumpaan ini hanya memakan masa 30 minit sahaja.

Bukti terakhir bahawa maklumat yang diberikan kepada saya semalam adalah sahih ialah tiadanya sidang media bersama di antara Presiden Trump dan Dato’ Seri Najib seperti lazimnya apabila ada satu lawatan rasmi.

Perkara Dibincangkan Mengukuhkan Dakwaan Perjumpaan Adalah Hasil Kerja Melobi oleh Firma Bekas Pembantu Trump

Saya yakin seluruh rakyat Malaysia terkejut mendengar sendiri perbincangan yang berlaku dalam masa 7 minit di antara delegasi Malaysia dan Presiden Trump itu, seperti yang disiarkan di dalam video rasmi dan transkrip rasmi mesyuarat.

Kesemua perkara-perkara bersabit kepentingan negara dan kebajikan umat Islam Rohingya yang digembar gemburkan akan dibawa oleh Dato’ Seri Najib di dalam pertemuan itu langsung tidak disentuh. Sebelum ini, pentadbiran Dato’ Seri Najib memaklumkan perkara-perkara yang menjadikan pertemuan dengan Presiden Trump ini penting untuk negara adalah:

i. Mendapatkan pelepasan visa bagi rakyat Malaysia (rujuk http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/09/10/pm-expected-to-raise-us-visa-waiver-programme-in-meeting-with-trump/)
ii. Membincangkan nasib umat Islam Rohingya (rujuk https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/09/323286/rakyat-perlu-bersatu-bantah-penindasan-etnik-rohingya)

Sebaliknya yang berlaku ialah Dato’ Seri Najib seolah-olah membawa ufti untuk dipersembahkan kerana kesemua perkara yang dibincangkan melibatkan wang rakyat Malaysia yang akan dibawa dan dilabur untuk membeli kapal terbang buatan Amerika Syarikat dan membiayai projek-projek infrastruktur di Amerika Syarikat.

Saya nyaris termuntah melihat Dato’ Seri Najib menjatuhkan martabat rakyat Malaysia dengan membodek Presiden Trump apabila beliau berkata “Number one, we want to help you in terms of strengthening the U.S. economy. I come with three specific proposals.

Dalam keadaan rakyat Malaysia menanggung beban percukaian yang tinggi baik dari GST atau cukai pendapatan yang mengejar ramai rakyat Malaysia serta suasana ekonomi yang menekan rakyat akibat kenaikan harga barang, Dato’ Seri Najib ada hati ingin membantu Amerika Syarikat mengukuhkan ekonomi negara itu dengan membawa wang rakyat Malaysia membiayai ekonomi negara tersebut.

Tiga perkara yang dijanjikan oleh Dato’ Seri Najib ialah (i) pembelian pesawat-pesawat baru Boeing oleh MAS dan memujuk AirAsia membeli enjin GE untuk pesawat AirAsia, (ii) mengarahkan KWSP membawa masuk wang sehingga RM16 bilion untuk membiayai pembangunan infrastruktur di Amerika Syarikat dan (iii) menambah lagi pelaburan Khazanah di Amerika Syarikat dari jumlah RM1.6 bilion yang sedia ada.

Saya akan menumpukan usaha saya dan rakan-rakan Pakatan Harapan untuk memastikan ketiga-tiga tindakan bacul Dato’ Seri Najib yang menggunakan wang rakyat ini tidak akan berjaya.

Sebab itu saya mengulangi bahawa keseluruhan perbincangan semalam adalah berkisar kepada “bayaran ufti” yang perlu dibuat oleh Dato’ Seri Najib demi untuk mendapatkan masa 30 minit untuk bergambar dengan Presiden Trump.

Ini bukanlah satu jemputan hasil dari pengiktirafan Presiden Trump kepada kecekapan dan kehebatan Dato’ Seri Najib, saya melihatnya sebagai satu jemputan yang diaturkan melalui lobi kerana ia hanyalah menguntungkan pihak Amerika Syarikat semata-mata.

Saya akan meneruskan siri pendedahan mengenai lawatan “membayar ufti” yang menggadaikan kepentingan negara ini selepas ini setiap hari.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Perjumpaan Najib-Trump Hanya 30 Minit, Bukan Lawatan Rasmi Ketua Negara: Adakah Perjumpaan Hasil Lobi Syarikat Florence Goh?

Hari ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak akan berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Media propaganda Barisan Nasional menggambarkan pertemuan pada hari adalah satu pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat kepada kejayaan Malaysia sebagai sebuah “kuasa baru” di dunia yang berhasrat menyertai kumpulan 20 negara paling maju dan berkuasa di dunia menjelang 2050 (rujuk laporan NST https://www.nst.com.my/news/nation/2017/09/278870/najib-malaysia-us-meeting-will-benefit-both-countries).

Sabtu lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula mengaku bahawa pertemuan Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump pada hari ini akan membincangkan kezaliman yang berlaku kepada rakyat Myanmar berbangsa Rohingya, untuk memberi gambaran kononnya Dato’ Seri Najib ke Amerika Syarikat untuk memperjuangkan nasib rakyat Myanmar berbangsa Rohingya yang menjadi mangsa pembersihan etnik. (Rujuk laporan Berita Harian https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/09/323286/rakyat-perlu-bersatu-bantah-penindasan-etnik-rohingya)

Kebetulan saya mendapat maklumat dari sumber yang boleh dipercayai yang mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Lawatan Dato’ Seri Najib berjumpa Presiden Trump pada hari ini bukanlah satu lawatan rasmi Ketua Kerajaan (“official visit”) seperti kebiasaannya (atau yang digambarkan oleh propaganda BN). Sebaliknya ia satu perjumpaan singkat selama 30 minit sahaja dan oleh itu tidak banyak isu yang boleh dibincangkan. Maklumat lanjut mengenai jenis-jenis jemputan dari Presiden Amerika Syarikat boleh diperolehi di https://en.wikipedia.org/wiki/State_visits_to_the_United_States)

2. Untuk membezakan sama ada sesuatu jemputan dari Presiden Amerika Syarikat itu adalah jemputan berbentuk lawatan rasmi Ketua Kerajaan atau tidak, kita boleh melihat layanan dan kemudahan yang diberikan oleh Kerajaan Amerika Syarikat kepada pemimpin asing yang diberi peluang berjumpa Presiden Amerika Syarikat.

Jemputan yang bertaraf lawatan rasmi Ketua Kerajaan melibatkan (antara lainnya) sambutan rasmi semasa pesawat mendarat, majlis sambutan rasmi di White House dan penginapan yang disediakan di Blair House (iaitu rumah untuk tetamu negara).

Perbezaan layanan dan kemudahan mengikut protokol jenis lawatan seorang pemimpin asing ke Amerika Syarikat ditunjukkan di bawah:

Protokol sambutan mengikut jenis lawatan 

Sambutan “flight line ceremony” setiba mendarat

Sambutan rasmi di White House

Sidang media bersama di White House

Blair House, kediaman rasmi untuk tetamu Presiden

3. Maklumat saya mengesahkan bahawa Dato’ Seri Najib menginap di sebuah hotel milik keluarga Presiden Trump dan segala perbelanjaan tidak ditanggung oleh Kerajaan Amerika Syarikat. Ini mengesahkan bahawa lawatan beliau bukanlah satu lawatan rasmi Ketua Kerajaan dan saya merasakan segala perbelanjaan sebenarnya ditanggung oleh rakyat Malaysia.

4. Maklumat saya mengesahkan bahawa ahli keluarga Dato’ Seri Najib (selain dari Datin Seri Rosmah) juga menyertai lawatan ini. Selepas pertemuan 30 minit di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump pada hari ini, saya dimaklumkan akan ada satu lagi pertemuan di antara Presiden Trump dan ahli keluarga Dato’ Seri Najib di satu lokasi persendirian iaitu Menara Trump di New York, milik keluarga Presiden Trump.

5. Maklumat saya mengesahkan bahawa pejabat Presiden Trump menawarkan untuk diadakan satu sidang media bersama selepas perjumpaan dan Dato’ Seri Najib boleh memilih sama ada sidang media itu membenarkan soalan ditanya wartawan atau tiada soalan dibenarkan. Saya dimaklumkan Dato’ Seri Najib memilih untuk langsung tidak mengadakan sidang media bersama dan hanya satu kenyataan akan diedarkan selepas pertemuan tersebut.

(Saya menyemak laporan TV1 yang mengesahkan bahawa Dato’ Seri Najib tidak mendapat sambutan “flight line ceremony” semasa mendarat dan menginap di Trump International Hotel, bukannya Blair House)

 

Saya yakin, berdasarkan maklumat-maklumat sulit ini, bahawa pertemuan Dato’ Seri Najib dengan Presiden Trump pada hari ini bukanlah satu jemputan biasa kepada seorang Ketua Kerajaan. Saya percaya ia satu pertemuan yang diusahakan untuk melonjakkan imej Dato’ Seri Najib di kalangan rakyat Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Sebab itu sebelum ini saya telah mendedahkan bagaimana sebuah syarikat swasta telah mewakili Pejabat Perdana Menteri yang membayar seorang bekas pembantu Presiden Trump sebagai seorang pelobi.

Kenyataan-kenyataan sebelum saya sebelum ini mengenai pembabitan seorang wanita bernama Florence Goh yang memiliki sebuah syarikat yang ditubuhkan di pusat pesisir pantai (“offshore”) iaitu Godfrey Group Limited, tidak pernah dinafikan oleh Dato’ Seri Najib dan tiada sebarang tindakan (saman atau tangkapan) setakat ini diambil oleh pihak berkuasa.

Sebab itu pendedahan saya sebelum ini mengesahkan bahawa:

1. Godfrey Group Limited yang dimiliki Florence Goh telah mewakili Pejabat Perdana Menteri untuk melantik dan membayar sejumlah RM1.125 juta kepada bekas pembantu kempen Presiden Donald Trump yang bernama Healy Baumgardner-Nardone untuk menjalankan kerja-kerja melobi bagi pihak Pejabat Perdana Menteri

2. Perjanjian lantikan untuk melobi pentadbiran Presiden Trump itu diisytiharkan dan difailkan dengan Kerajaan Amerika Syarikat pada 19 Mei 2017, iaitu beberapa bulan lalu sahaja

3. Tan Sri Shahrir Samad dan Dato’ Nurjazlan Mohamad pernah terlibat di dalam beberapa program yang melibatkan individu bernama Florence Goh ini

(Rujuk kenyataan-kenyataan saya mengenai perkara ini di:

i. http://rafiziramli.com/2017/05/pentadbiran-dato-seri-najib-bayar-rm1-juta-kepada-bekas-pembantu-kempen-presiden-trump-untuk-melobi-kerajaan-amerika-syarikat/

ii. http://rafiziramli.com/2017/05/pmo-menggunakan-pelobi-di-amerika-syarikat-pengisytiharan-tambahan-menamakan-dato-seri-najib-razak-kenyataan-media-pejabat-perdana-menteri-berbohong/

iii. http://rafiziramli.com/2017/05/shahrir-samad-adalah-penasihat-kepada-ngo-yang-diketuai-oleh-florence-goh-pengarah-godfrey-group-yang-terlibat-dalam-kontrak-melobi-kerajaan-amerika-syarikat/)

Oleh yang demikian, saya berpandangan lawatan Dato’ Seri Najib untuk bertemu Presiden Trump ini menimbulkan banyak syak wasangka yang memerlukan penjelasan daripada beliau.

Saya yakin keseluruhan perbelanjaan delegasi beliau dan keluarga beliau ditanggung oleh Kerajaan Malaysia yang melibatkan penggunaan wang rakyat yang besar dalam keadaan banyak peruntukan dipotong dan harga barang/harga minyak terus naik akibat GST dan penghapusan subsidi. Dato’ Seri Najib perlu menjawab berapa jumlah wang rakyat yang digunakan untuk membiayai keseluruhan kos lawatan ini?

Maklumat-maklumat yang menunjukkan jemputan untuk bertemu Presiden Trump bukanlah satu lawatan rasmi seperti kebiasaannya mengukuhkan pandangan bahawa Pejabat Perdana Menteri membayar pelobi untuk mengaturkan perjumpaan pada kali ini. Saya mendesak supaya Dato’ Seri Najib berterus terang siapa yang membayar RM1.125 juta kepada bekas pembantu kempen Presiden Trump itu dan adakah pertemuan dengan Presiden Trump adalah hasil dari kerja-kerja lobi yang menelan belanja RM1.125 juta itu?

Akhir sekali, jika maklumat dari sumber saya adalah benar, Dato’ Seri Najib perlu menjawab kenapa beliau memilih untuk tidak berhadapan dengan pihak media di dalam satu sidang media bersama dengan Presiden Trump, sedangkan itu satu kebiasaan selepas pertemuan seorang Presiden Amerika Syarikat dengan ketua kerajaan lain. Adakah Dato’ Seri Najib takut ditanya dengan soalan-soalan mengenai skandal 1MDB memandangkan ada kes-kes mahkamah berkaitan penyelewengan wang 1MDB di Amerika Syarikat.

Tempoh 30 minit pertemuan adalah terlalu singkat dan saya berani mengatakan nasib rakyat Myanmar berbangsa Rohingya tidak pun sempat dibincangkan secara mendalam. Cuma saya berharap Dato’ Seri Najib tidak mengambil kesempatan di atas penderitaan saudara Rohingya kita demi kepentingan peribadi beliau.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg