Category Archives: 1MDB

Isu Hutang RM2 Bilion 1MDB: Kerajaan “Bailout” 1MDB Sekali Lagi?

Kegagalan 1MDB menjelaskan bayaran hutang RM2 bilion kepada Maybank dan RHB sebanyak dua kali berturut-turut menjejaskan kestabilan sistem perbankan negara. Ia juga menimbulkan risiko kepada pasaran saham dan bon Malaysia yang jika tidak ditangani dengan baik boleh membawa kesan buruk kepada negara.

Oleh yang demikian, semua pihak yang arif mengenai sistem kewangan negara tahu bahawa 1MDB tidak boleh dibiarkan terus gagal membayar hutang tersebut.

Laporan berita sejak sebulan lalu memetik sumber dalaman bahawa 1MDB berunding dengan Ananda Krishnan untuk meminjam dana dari hartawan itu. Rundingan dilaporkan berkisar tentang imbuhan yang bakal diperolehi Ananda Krishnan sekiranya menyelamatkan 1MDB.

Namun, baru-baru ini CEO 1MDB menyebut bahawa pinjaman RM2 bilion dari Ananda Krishnan itu hanyalah “spekulasi” semata-mata. Itu menimbulkan tanda tanya dari manakah 1MDB mendapat dana untuk membayar hutang, sedangkan selama berbulan-bulan ia tiada dana bagi tujuan tersebut. Sudah tentu dana itu bukan dana dalaman 1MDB kerana jika 1MDB mempunyai wang, ia sudah tentu mampu membayar hutang itu terlebih dahulu.

Saya meneliti siri hutang kertas baru yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Semua hutang bon yang diterbitkan disiarkan di dalam web Bank Negara Malaysia melalui “Fully Automated System for Tendering/Issuing” atau FAST di laman http://fast.bnm.gov.my

Dalam tempoh dua minggu yang lepas, Kerajaan Malaysia telah menerbitkan dua siri hutang Malaysian Treasury Bill (MTB) atau Kertas Perbendaharaan Malaysia pada jumlah yang besar dan diluar amalan biasa.

Pada 11 Februari 2015, MTB bernombor 201500000242 berjumlah RM1 bilion. Kertas hutang ini berjangka pendek dan perlu dibayar pada 13 Mei 2015, maka faedah yang perlu dibayar pada kadar 3.2% bagi tiga bulan adalah setanding dengan kadar “overdraft”.

fastbnm1

Pada 13 Februari 2015, MTB bernombor 201500000264 berjumlah RM1.1 bilion dengan tarikh matang (perlu dibayar balik) pada 14 Ogos 2015 telah diterbitkan, juga dengan kadar faedah sekitar 3.2% bagi tempoh itu.

fastbnm3

Maknanya, minggu lepas Kerajaan Malaysia telah menerbitkan hutang jangka pendek sebanyak RM2.1 bilion dalam keadaan luar biasa. Jumlah itu hampir sama dengan hutang yang perlu dibayar 1MDB iaitu sebanyak RM2 bilion.

Saya menyifatkan masa dan jumlah kertas hutang yang diterbitkan itu luar biasa atas faktor-faktor berikut:

1) Jumlahnya hampir sama dengan jumlah yang diperlukan untuk membayar hutang tertunggak 1MDB berjumlah RM2 bilion itu

2) Masanya juga dekat dengan tempoh tamat tarikh 1MDB perlu membayar RM2 bilion itu

3) Jika rundingan dengan Ananda Krishnan melibatkan syarat-syarat pemilikan ekuiti dalam syarikat tenaga 1MDB yang hendak disenaraikan, rundingan itu mungkin gagal apabila 1MDB berhadapan masalah menyenaraikan syarikat tersebut

4) Penerbitan hutang dalam bentuk MTB berjangka pendek sebelum ini adalah dalam jumlah yang kecil kerana ia bagi keperluan aliran tunai bersifat sementara. Semakan di laman FAST BNM menunjukkan penerbitan lalu adalah pada jumlah yang kecil iaitu 201500000215(RM80 juta diterbitkan 6 Februari 2015), 201500000174 (RM100 juta diterbitkan 30 Januari 2015), 201500000114 (RM100 juta diterbitkan 23 Januari 2015), 201500000113 (RM80 juta diterbitkan 23 Januari 2015) dan lain-lain. Semakan terhadap penerbitan dalam bentuk MTB menunjukkan semuanya dalam jumlah yang kecil sekitar RM80 juta hingga RM100+ juta bukannya dalam jumlah bilion.

fastbnm2

Mengambil kira perkara-perkara ini, timbul persoalan sama ada Kerajaan Malaysia telah meminjam wang dari pasaran hutang sebanyak RM2.1 bilion untuk dipinjamkan kembali kepada 1MDB bagi membayar hutang tertunggak RM2 bilion itu. Sebagai Ahli Parlimen, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menanyakan soalan ini memandangkan kesan besarnya kepada tata kelola kewangan negara.

Jika benar Kerajaan Malaysia telah membuat hutang jangka pendek untuk menyelamatkan 1MDB (“bail out”), ini merupakan satu skandal besar memandangkan Kerajaan Malaysia telah pun menjamin berbilion hutang sedia ada 1MDB. Satu “bail out” seperti ini adalah isyarat nyata bahawa 1MDB akan membawa kesan buruk kepada kewangan negara dan perlu dihentikan serta merta.

Tindakan paling wajar yang perlu diambil oleh 1MDB adalah menjelaskan kepada orang ramai dari manakah sumber RM2 bilion itu dan apakah benar ia dari sumber MTB yang diterbitkan Kerajaan Malaysia minggu lalu.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung
17 Februari 2015

Dana 1MDB Di Pulau Cayman Tidak Dibawa Pulang

Hari ini akhbar Singapura, The Business Times melaporkan bahawa CEO 1MDB, Arulkanda Kandasamy mengesahkan wang berjumlah RM3 bilion dari Pulau Cayman tidak akan dibawa balik.

(null)

Ini bertentangan dengan kenyataan awal 1MDB yang mengesahkan bahawa wang tersebut telah dibawa balik setelah 1MDB dikecam kerana terlibat dalam urusniaga yang tidak telus di Pulau Cayman.

Tindakan 1MDB itu perlu diambil tindakan yang serius oleh Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.

Saya sudah berkali-kali mendesak Bank Negara Malaysia mengesahkan sama ada dana itu betul-betul telah dibawa pulang atau tidak.

Kenyataan CEO 1MDB hari ini bukan sahaja menunjukkan pelaburannya bermasalah, lebih teruk ia memberi gambaran bahawa pengurusan 1MDB tidak telus dan menyembunyikan perkara dari rakyat.

Saya mendesak supaya satu siasatan segera dibuat oleh Bank Negara Malaysia berikutan pengesahan bahawa dana dari Pulau Cayman tidak kembali ke Malaysia.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN

7 Februari 2015

1MDB Mungkin Gagal Membayar Satu Lagi Hutang Jangka Pendek USD1 Bilion

Laporan Reuters bahawa 1MDB terpaksa mengambil hutang baru dari hartawan T Ananda Krishnan untuk membayar hutang RM2 bilion kepada Maybank dan RHB yang sudah dua kali tertangguh mengesahkan bahawa 1MDB berhadapan dengan masalah aliran tunai.

Masalah ini akan menjadi lebih parah dalam tahun 2015 kerana 1MDB telah mengambil beberapa hutang jangka pendek (bridging loan) untuk memenuhi komitmen bayaran hutang-hutang lain. Salah satu dari hutang jangka pendek (bridging loan) ini adalah sebanyak USD1 bilion (bersamaan RM3.6 bilion) yang diambil dari 6 buah bank yang diketuai oleh Deutsche Bank seperti yang dilaporkan oleh majalah kewangan antarabangsa International Financing Review (IFR).

(Rujuk laman International Financing Review http://www.ifre.com/another-mystery-around-1mdb/21180223.article )

Dalam laporan terbaru IFR mengenai 1MDB, kolumnis Jonathan Rogers mengesahkan bahawa 1MDB telah mengambil satu lagi hutang jangka pendek (bridging loan) berjumlah USD1 bilion dari konsortium 6 bank yang diketuai oleh Deutsche Bank yang perlu dibayar balik menjelang September 2015. Hutang USD1 bilion ini dilaporkan diambil oleh 1MDB dalam bulan Oktober 2014 iaitu ditengah-tengah kemelut hutang 1MDB mula mendapat perhatian umum.

Lebih membimbangkan, hutang USD1 bilion (yang nilai dalam ringgit terus meningkat melebihi RM3.6 bilion kerana kejatuhan matawang ringgit) ini diambil dengan syarat ia akan dibayar dalam bulan September 2015 menggunakan dana yang dikumpul dari penyenaraian aset penjana bebas (IPP) 1MDB yang sehingga sekarang terus bermasalah.

Proses penyenaraian tersebut kini terus tertangguh dan dijangka akan menghadapi masalah berterusan kerana kelewatan projek IPP Jimah Timur dan kredibiliti kewangan 1MDB yang terus merudum. Tanpa projek IPP Jimah Timur dan dengan masalah keberhutangan 1MDB, dijangka sebarang penyenaraian melibatkan 1MDB tidak akan menarik minat pelabur-pelabur.

Oleh yang demikian, adalah jelas bahawa 1MDB bukan sahaja berhadapan masalah membayar hutang RM2 bilion dari Maybank dan RHB, ia juga akan menghadapi masalah untuk membayar hutang USD1 bilion dari konsortium 6 bank yang diketuai oleh Duestsche Bank ini.

Jika hutang RM2 bilion kepada Maybank dan RHB telah menyebabkan 1MDB terpaksa menjual aset dan kepentingan kepada Ananda Krishnan, aset mana pula yang akan dijual untuk membayar hutang USD1 bilion ini menjelang September 2015?

Pendedahan ini juga menimbulkan persoalan jika benar dana dari Pulau Cayman benar-benar telah dibawa pulang ke Malaysia, kenapa 1MDB tidak mempunyai dana untuk membayar hutang-hutang ini?

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

31 Januari 2015

Krisis Hutang 1MDB: Bank Negara Malaysia Perlu Bertindak Tegas

Laporan terbaru Bloomberg bahawa 1MDB sekali lagi memohon menanggungkan pembayaran hutang RM2 bilion kepada bank-bank Malaysia mengesahkan bahawa syarikat itu sedang berhadapan dengan masalah aliran tunai. Ini adalah kali ketiga 1MDB memohon penangguhan pembayaran.

Perkembangan ini juga menimbulkan tanda tanya ke manakah wang yang kononnya telah dibawa balik dari Pulau Cayman seperti yang dinyatakan oleh CEO baru 1MDB iaitu Arulkanda Kandasamy. Jika benar semua dana yang berjumlah sekitar RM7 bilion itu telah dibawa pulang, seharusnya 1MDB tiada masalah untuk membayar tunggakan hutang RM2 bilion kepada Maybank dan RHB itu.

Saya kira rakyat Malaysia keseluruhannya menerima hakikat bahawa 1MDB adalah satu syarikat yang mempunyai masalah kewangan dan membawa risiko tinggi kepada sistem kewangan negara dan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

Yang lebih penting, hakikat ini perlu juga diterima oleh badan-badan kerajaan yang bertanggungjawab menyelia sistem kewangan negara dan sistem perbankan iaitu Bank Negara Malaysia. Saya faham bahawa Gabenor Bank Negara Malaysia iaitu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mungkin berada dalam keadaan serba salah kerana 1MDB dinaungi dan didokong hebat oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak, tetapi sudah sampai masanya beliau bertindak bebas demi menjaga kepentingan rakyat.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Bank Negara Malaysia tidak membenarkan penangguhan pembayaran tunggakan RM2 bilion sekali lagi kerana ia memberi isyarat yang berbahaya kepada pasaran di saat matawang Malaysia terus jatuh. Penangguhan pembayaran RM2 bilion oleh 1MDB ini akan memberi isyarat bahawa risiko keberhutangan 1MDB kepada kestabilan sistem kewangan dan perbankan negara adalah tinggi dan menyebabkan pelabur asing terus menarik balik pelaburan mereka dari sistem kewangan dan perbankan kita. Ini akan menjatuhkan lagi nilai matawang ringgit.

Tanggungjawab Bank Negara Malaysia yang paling utama adalah untuk mempastikan nilai terbaik bagai matawang ringgit dan menjaga kestabilan sistem kewangan dan perbankan negara; bukannya melindungi sebuah syarikat bermasalah seperti 1MDB. Selama ini saya cuba sedaya upaya untuk tidak melibatkan Bank Negara Malaysia kerana saya sedia maklum kesulitan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang menghadapi tekanan akibat masalah 1MDB; tetapi masanya sudah tiba untuk beliau membuat keputusan yang tegas.

Dengan kuasa yang ada pada Bank Negara Malaysia di bawah Akta Anti Penggubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act), saya juga menyeru supaya Tan Sri Zeti Akhtar Aziz secara terbuka mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Bahawa dana yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion yang dilaporkan sudah dibawa balik dari Pulau Cayman oleh 1MDB benar-benar telah kembali dan telah memasuki sistem perbankan Malaysia;

2. Nyatakan di institusi kewangan mana wang berjumlah RM7 bilion itu dipegang untuk membuktikan bahawa dana RM7 bilion itu benar-benar telah dibawa pulang;

3. Bahawa 1MDB mempunyai dana yang cukup untuk melangsaikan tunggakan hutang sebanyak RM2 bilion kepada Maybank dan RHB yang telah dua kali tertangguh.

Jika Bank Negara Malaysia tidak mampu mengesahkan soalan-soalan mudah ini, ia menguatkan spekulasi bahawa dana RM7 bilion dari Pulau Cayman itu mungkin tidak pernah dibawa pulang ke Malaysia.

Jika penarafan negara (sovereign rating) jatuh akibat 1MDB, Bank Negara Malaysia perlu mengambil tanggungjawab juga kerana tidak tegas dan telus dalam menyelesaikan risiko yang dibawa 1MDB kepada sistem perbankan dan kewangan negara.

Memandangkan keadaan ini menjadi lebih rumit dengan permohonan penangguhan yang terbaru ini, saya memohon agar Tan Sri Zeti Akhtar meluangkan masa dalam tempoh dua minggu akan datang untuk bertemu dengan delegasi Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat bagi mendengar sendiri pandangan kami mengenai 1MDB.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

28 Januari 2015

S

Kumpulan Syarikat “SRC International” Ditubuhkan Sebagai Anak Syarikat 1MDB

Ekoran dari kenyataan media saya mengenai hutang RM4 bilion yang diambil oleh sebuah anak syarikat 1MDB, saya telah menjangkakan bahawa 1MDB akan membuat kenyataan bahawa SRC International tidak ada kena mengena dengan 1MDB kerana ia (SRC International) kini adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Kenyataan itu mengesahkan pandangan saya sebelum ini bahawa 1MDB di bawah kepimpinan baru Arulkanda Kandasamy tidak ada bezanya dengan 1MDB sebelum ini dari aspek ketelusan dan tata kelola. Saya membawa isu SRC International ini untuk menguji sama ada Arulkanda Kandasamy akan berlaku telus dan menerangkan secara terperinci latar belakang dan keterlibatan 1MDB dalam SRC International.

Kenyataan 1MDB bahawa SRC International tidak ada kena mengena dengannya cuba menyembunyikan satu fakta yang sangat penting: SRC International pada mulanya ditubuhkan sebagai anak syarikat 1MDB dan kemudiannya dipindahkan kepada MOF Inc.

Sebab itu, 1MDB sewajarnya menjawab persoalan-persoalan ini:

1. Kenapa SRC International ditubuhkan dan mengambil hutang RM4 bilion dari dana pencen rakyat?

2. Kenapa selepas mendapat dana RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), tiba-tiba 1MDB memindahkan SRC International kepada kerajaan melalui MOF Inc?

3. Pada ketika SRC International dipindahkan kepada MOF Inc, syarikat itu telah mencatat kedudukan kewangan yang mana hutangnya telah melebihi dari aset. Adakah tindakan 1MDB memindahkan SRC International kepada MOF Inc disebabkan SRC International ini telah diketahui dari awal akan mengalami masalah kewangan?

4. Ke manakah wang RM4 bilion yang diambil dari duit pencen rakyat itu dibelanjakan?

Ini adalah soalan-soalan pokok yang wajib dijawab oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana beliau bertanggungjawab bagi 1MDB dan Kementerian Kewangan. Pada pengetahuan saya, tidak pernah sebuah syarikat yang berhutang sebegini rupa dipindahkan sewenang-wenangnya kepada kerajaan dan menyebabkan hutang kerajaan bertambah sebanyak RM4 bilion secara serta merta.

Saya sertakan bukti-bukti berikut dari laporan kewangan yang diaudit bagi tahun berakhir 31 Mac 2012 yang mengesahkan bahawa SRC International adalah anak syarikat 1MDB sebelum ia dipindahkan kepada MOF Inc:

Download (PDF, 173KB)

Mukasurat 1:
“Principal Activities” mengesahkan bahawa SRC International ditubuhkan untuk terlibat di dalam aktiviti perlombongan dan tenaga seperti mana yang saya sebut sebelum ini. Ia selari dengan laporan akhbar antarabangsa bahawa SRC International merancang untuk melabor dalam lombong arang batu di Mongolia.

Mukarusat 3:
“Other Statutory Information” mengesahkan bahawa jumlah hutang syarikat ini telah melebihi jumlah aset dan lazimnya syarikat sebegini dikira menghadapi risiko muflis.

Mukasurat 4:
“Directors” mengesahkan bahawa ahli-ahli Lembaga Pengarah 1MDB juga dilantik sebagai Pengarah di dalam SRC International. Datuk Paduka Ismee adalah ahli Lembaga Pengarah 1MDB. Datuk Shahrol Azral adalah bekas CEO 1MDB dan kini ahli Lembaga Pengarah 1MDB. Vincet Koh adalah Ketua Pegawai Pelaburan (Chief Investment Officer) 1MDB. Nik Faisal Nik Ariff yang dilantik menjadi CEO SRC International adalah kenalan Jho Low dari UBG Berhad. Jawatan-jawatan penting di dalam SRC International semuanya dipegang oleh pegawai-pegawai 1MDB atau mereka yang rapat dengan Jho Low atau individu berpengaruh dalam 1MDB.

Mukasurat 10:
“Statements of Comprehensive Income” menunjukkan syarikat ini tidak mempunyai sebarang aktiviti dan menanggung kerugian walaupun telah mengambil hutang RM4 bilion dari dana pencen rakyat.

Mukarusat 11:
“Statements of Financial Position” mengesahkan bahawa jumlah hutang syarikat ini melebihi jumlah aset sebanyak RM77 juta. Lazimnya, syarikat begini dikategorikan sebagai mempunyai risiko muflis yang tinggi.

Mukasurat 12:
“Non-current liability” mengesahkan SRC International telah mengambil hutang RM4 bilion.

Mukasurat 32:
“Investment in subsidiary company” mengesahkan bahawa syarikat lain dari kumpulan ini yang mempunyai nama yang sama (SRC International Malaysia Limited) adalah pada asalnya milik 1MDB melaui 1MDB Real Estate Sdn Bhd. Ia telah dijual oleh 1MDB kepada SRC International pada 2 September 2011.

Mukasurat 37:
“Islamic term financing” mengesahkan bahawa 1MDB melalui SRC International telah mengambil hutang RM4 bilion dari dana pencen awam yang dijamin oleh kerajaan.

Maklumat-maklumat ini secara jelas menunjukkan bahawa 1MDB adalah dalang di belakang SRC International yang telah mengambil dana pencen sebanyak RM4 bilion. Sehingga kini, 1MDB telah gagal memberikan penjelasan ke manakah wang RM4 bilion itu telah dibelanjakan dan saya akan terus bertanya kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak dan 1MDB sehingga ia dijelaskan dengan baik.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

20 Januari 2015