Category Archives: 1MDB

Kumpulan Syarikat “SRC International” Ditubuhkan Sebagai Anak Syarikat 1MDB

Ekoran dari kenyataan media saya mengenai hutang RM4 bilion yang diambil oleh sebuah anak syarikat 1MDB, saya telah menjangkakan bahawa 1MDB akan membuat kenyataan bahawa SRC International tidak ada kena mengena dengan 1MDB kerana ia (SRC International) kini adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Kenyataan itu mengesahkan pandangan saya sebelum ini bahawa 1MDB di bawah kepimpinan baru Arulkanda Kandasamy tidak ada bezanya dengan 1MDB sebelum ini dari aspek ketelusan dan tata kelola. Saya membawa isu SRC International ini untuk menguji sama ada Arulkanda Kandasamy akan berlaku telus dan menerangkan secara terperinci latar belakang dan keterlibatan 1MDB dalam SRC International.

Kenyataan 1MDB bahawa SRC International tidak ada kena mengena dengannya cuba menyembunyikan satu fakta yang sangat penting: SRC International pada mulanya ditubuhkan sebagai anak syarikat 1MDB dan kemudiannya dipindahkan kepada MOF Inc.

Sebab itu, 1MDB sewajarnya menjawab persoalan-persoalan ini:

1. Kenapa SRC International ditubuhkan dan mengambil hutang RM4 bilion dari dana pencen rakyat?

2. Kenapa selepas mendapat dana RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), tiba-tiba 1MDB memindahkan SRC International kepada kerajaan melalui MOF Inc?

3. Pada ketika SRC International dipindahkan kepada MOF Inc, syarikat itu telah mencatat kedudukan kewangan yang mana hutangnya telah melebihi dari aset. Adakah tindakan 1MDB memindahkan SRC International kepada MOF Inc disebabkan SRC International ini telah diketahui dari awal akan mengalami masalah kewangan?

4. Ke manakah wang RM4 bilion yang diambil dari duit pencen rakyat itu dibelanjakan?

Ini adalah soalan-soalan pokok yang wajib dijawab oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana beliau bertanggungjawab bagi 1MDB dan Kementerian Kewangan. Pada pengetahuan saya, tidak pernah sebuah syarikat yang berhutang sebegini rupa dipindahkan sewenang-wenangnya kepada kerajaan dan menyebabkan hutang kerajaan bertambah sebanyak RM4 bilion secara serta merta.

Saya sertakan bukti-bukti berikut dari laporan kewangan yang diaudit bagi tahun berakhir 31 Mac 2012 yang mengesahkan bahawa SRC International adalah anak syarikat 1MDB sebelum ia dipindahkan kepada MOF Inc:

Download (PDF, 173KB)

Mukasurat 1:
“Principal Activities” mengesahkan bahawa SRC International ditubuhkan untuk terlibat di dalam aktiviti perlombongan dan tenaga seperti mana yang saya sebut sebelum ini. Ia selari dengan laporan akhbar antarabangsa bahawa SRC International merancang untuk melabor dalam lombong arang batu di Mongolia.

Mukarusat 3:
“Other Statutory Information” mengesahkan bahawa jumlah hutang syarikat ini telah melebihi jumlah aset dan lazimnya syarikat sebegini dikira menghadapi risiko muflis.

Mukasurat 4:
“Directors” mengesahkan bahawa ahli-ahli Lembaga Pengarah 1MDB juga dilantik sebagai Pengarah di dalam SRC International. Datuk Paduka Ismee adalah ahli Lembaga Pengarah 1MDB. Datuk Shahrol Azral adalah bekas CEO 1MDB dan kini ahli Lembaga Pengarah 1MDB. Vincet Koh adalah Ketua Pegawai Pelaburan (Chief Investment Officer) 1MDB. Nik Faisal Nik Ariff yang dilantik menjadi CEO SRC International adalah kenalan Jho Low dari UBG Berhad. Jawatan-jawatan penting di dalam SRC International semuanya dipegang oleh pegawai-pegawai 1MDB atau mereka yang rapat dengan Jho Low atau individu berpengaruh dalam 1MDB.

Mukasurat 10:
“Statements of Comprehensive Income” menunjukkan syarikat ini tidak mempunyai sebarang aktiviti dan menanggung kerugian walaupun telah mengambil hutang RM4 bilion dari dana pencen rakyat.

Mukarusat 11:
“Statements of Financial Position” mengesahkan bahawa jumlah hutang syarikat ini melebihi jumlah aset sebanyak RM77 juta. Lazimnya, syarikat begini dikategorikan sebagai mempunyai risiko muflis yang tinggi.

Mukasurat 12:
“Non-current liability” mengesahkan SRC International telah mengambil hutang RM4 bilion.

Mukasurat 32:
“Investment in subsidiary company” mengesahkan bahawa syarikat lain dari kumpulan ini yang mempunyai nama yang sama (SRC International Malaysia Limited) adalah pada asalnya milik 1MDB melaui 1MDB Real Estate Sdn Bhd. Ia telah dijual oleh 1MDB kepada SRC International pada 2 September 2011.

Mukasurat 37:
“Islamic term financing” mengesahkan bahawa 1MDB melalui SRC International telah mengambil hutang RM4 bilion dari dana pencen awam yang dijamin oleh kerajaan.

Maklumat-maklumat ini secara jelas menunjukkan bahawa 1MDB adalah dalang di belakang SRC International yang telah mengambil dana pencen sebanyak RM4 bilion. Sehingga kini, 1MDB telah gagal memberikan penjelasan ke manakah wang RM4 bilion itu telah dibelanjakan dan saya akan terus bertanya kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak dan 1MDB sehingga ia dijelaskan dengan baik.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

20 Januari 2015

CEO 1MDB Wajib Terangkan Ke Mana Wang RM4 Bilion Dari Kumpulan Wang Amanah Pencen

Saya sedia maklum dengan reaksi Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB yang baru, Saudara Arulkanda Kandasamy yang menuduh kononnya pengkritik 1MDB hanya membuat spekulasi tanpa mengetahui fakta yang sebenarnya. Beliau juga dilaporkan berkata bahawa beliau telah benar-benar mengkaji pelaburan 1MDB dan yakin ia akan mendatangkan keuntungan.

Selama ini, masalah utama yang dihadapi oleh rakyat mengenai 1MDB adalah keengganan syarikat itu berterus terang dan melaporkan secara telus kepada Parlimen mengenai aktivitinya. Oleh kerana kurangnya maklumat mengenai pelaburan 1MDB itulah maka ahli-ahli Parlimen tidak ada pilihan lain kecuali membuat siasatan sendiri dan menanyakan soalan-soalan berkaitan di Parlimen dan media.

Apatah lagi hutang yang diambil oleh 1MDB sebahagiannya dijamin oleh kerajaan secara langsung atau tidak langsung. Keberhutangan 1MDB yang mencecah RM42 bilion (setakat laporan kewangan terakhir) akan mempunyai kesan besar kepada kedudukan kewangan negara dan industri kewangan/perbankan negara ini.

Oleh yang demikian, kenyataan Saudara Arulkanda itu adalah bongkak dan mengenepikan kebimbangan rakyat (termasuk dari kalangan pimpinan dan penyokong Barisan Nasional) yang munasabah mengenai 1MDB.

Memandangkan beliau begitu yakin dengan pelaburan 1MDB dan kononnya mempunyai fakta yang lengkap mengenainya, saya mendesak supaya CEO 1MDB ini mendedahkan semua maklumat dan fakta mengenai pinjaman RM4 bilion yang diambil oleh anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dalam tahun 2011.

Pinjaman RM4 bilion dari KWAP yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan pada awalnya bertujuan untuk membeli syarikat perlombongan dari Mongolia bernama Gobi Coal & Energy untuk melabur di Mongolia seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Business Times. Pelaburan itu dilaporkan tidak berlaku dan sehingga sekarang tidak diketahui bagi tujuan apakah RM4 bilion itu dibelanjakan.

Ini adalah ujian awal kepada kepimpinan Saudara Arulkanda di 1MDB untuk menilai apakah beliau akan berlaku telus dalam menangani soalan-soalan penting rakyat terhadap 1MDB. Jika beliau bersikap telus, beliau boleh menjelaskan bagaimanakah pinjaman RM4 bilion itu telah dibelanjakan setakat ini dan hasilnya kepada negara memandangkan itu adalah wang rakyat.

Jika tidak ada penjelasan yang memuaskan dari beliau dan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, saya akan mengatur supaya wakil-wakil pesara yang pencen mereka dicarum di dalam Kumpulan Wang Amanah Pekerja mengambil tindakan mahkamah terhadap 1MDB, KWAP dan Menteri Kewangan kerana dengan sewenang-wenangnya menggunakan wang pencen rakyat bagi pelaburan yang diragui.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

13 Januari 2015

Masalah Aliran Tunai 1MDB Melewatkan Projek Penjana Bebas Jimah East

Laporan bahawa 1MDB telah gagal sekali lagi untuk membayar hutang berjumlah RM2 bilion mengikut jadual pembayaran mengesahkan bahawa syarikat bermasalah itu berhadapan dengan masalah aliran tunai.

Keadaan ini menyulitkan lagi kedudukan kewangan 1MDB yang memberi kesan kepada keupayaannya melaksanakan kontrak-kontrak yang telah dianugerahkan kepadanya. Salah satu kontrak tersebut ialah pembinaan stesen janakuasa Jimah Timur dengan kapasiti 2,000MW (dua stesen setiap satu 1000MW) yang telah mengundang kontroversi sebelum ini.

Perjanjian jualbeli tenaga (PPA) di antara TNB dan 1MDB melalui stesen janakuasa Jimah Timur ini adalah salah satu strategi terpenting yang bakal menentukan sama ada kedudukan kewangan 1MDB terus menjunam. Stesen janakuasa Jimah Timur ini dilihat sebagai asset berharga di antara stesen-stesen janakuasa tenaga sedia ada yang dibeli 1MDB sebelum ini yang diharapkan dapat menarik minat pelabur membeli saham kumpulan tenaga 1MDB apabila disenaraikan di bursa kelak.

1MDB memerlukan suntikan kewangan dari penyenaraiaan aset-aset penjana bebasnya untuk mengimbangi hutangnya yang tinggi dan telah mencecah RM42 bilion setakat 2014.

Oleh itu, kelewatan pelaksanaan stesen janakuasa Jimah Timur dijangka akan melewatkan proses penyenaraian anak syarikat 1MDB di bursa dan melemahkan lagi kedudukan kewangannya.

Saya boleh mengesahkan bahawa 1MDB melalui anak syarikatnya Jimah East Power Sdn Bhd telah memohon secara rasmi kepada Suruhanjaya Tenaga untuk menangguhkan lagi jadual pembinaan dan pelaksanaan stesen janakuasa Jimah East yang akan membawa kesan kewangan besar kepada 1MDB dan rakyat Malaysia.

Saya dibekalkan dengan maklumat yang telah saya sahkan bahawa satu mesyuarat telah diadakan pada 4 Disember 2014 di antara Suruhanjaya Tenaga dan 1MDB (yang diwakili Jimah East Power Sdn Bhd) mengenai kelewatan ini.

Di dalam mesyuarat tersebut, 1MDB telah memohon kepada Suruhanjaya Tenaga untuk diberi kelonggaran melewatkan lagi projek tersebut selama 6 bulan walaupun itu telah melanggar perjanjian jualbeli tenaga (PPA). Ini bermakna projek tersebut dijangka hanya boleh disiapkan pada 15 Mei 2019 berbanding tarikh yang ditetapkan perjanjian iaitu 15 November 2018.

Dengan masalah aliran tunai yang dihadapi oleh 1MDB sekarang, saya ragu-ragu bahawa ia boleh menyiapkan stesen janakuasa Jimah Timur pada 15 Mei 2019.

Semakan dengan laporan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) bertarikh 10 Oktober 2014 (Pre-Sale Report: RM8.4 bilion Sukuk Murabahah Jimah East Power) khususnya mukasurat 5 mengenai tapak projek menjelaskan bahawa projek ini akan dibina di atas tanah paya dan kawasan berair yang perlu ditebus guna terlebih dahulu. Saya sertakan gambar yang menunjukkan bahawa tapak projek stesen janakuasa Jimah Timur pada masa ini adalah kawasan paya dan berair yang perlu ditebus guna terlebih dahulu.

Download (PDF, 224KB)

Download (PDF, 815KB)

Dalam keadaan 1MDB belum lagi mempunyai tapak projek yang ditebus guna dan masalah aliran tunai yang dihadapinya, ada kemungkinan projek Jimah Timur ini akan terus mengalami kelewatan. Ini akan melewatkan lagi proses penyenaraian aset-aset tenaga 1MDB yang sebelum ini disebut sebagai strategi penting meenyelamatkan 1MDB dari masalah kewangan yang kian meruncing.

Permohonan melewatkan projek Jimah Timur ini mengesahkan bukan sahaja 1MDB berhadapan dengan masalah aliran tunai, malah menunjukkan strategi yang diambilnya melalui penyenaraian juga masih gagal. Dalam keadaan ini, 1MDB akan terus berhutang untuk membayar bunga dan faedah (interest) di atas hutang-hutang sedia ada.


RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

7 Januari 2015

Tanggungan Kerajaan Berhubung Hutang 1MDB Sekurang-Kurangnya RM20 Bilion

Kenyataan-kenyataan Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan yang sehingga kini masih mempertahankan kononnya tanggungan Kerajaan Persekutuan hanyalah terhad kepada RM5.8 bilion hutang awal 1MDB yang dijamin secara nyata (explicit guarantee) adalah tidak bertanggungjawab.

Saya menganggarkan bahawa Kerajaan Persekutuan berdepan dengan tanggungan hutang 1MDB sekurang-kurangnya sebanyak RM20 bilion, iaitu:

1. Jaminan nyata (explicit guarantee) ke atas hutang terbitan pertama 1MDB yang bernilai RM5.8 bilion seperti yang diakui setakat ini

2. Tanggungan akibat surat sokongan yang menyatakan Kerajaan Persekutuan akan menanggung hutang 1MDB sebanyak RM9.7 bilion sekiranya 1MDB tidak mampu membayar

3. Tanggungan melalui hutang yang diberikan kepada anak syarikat 1MDB iaitu SRC International Sdn Bhd sebanyak RM4 bilion. Hutang ini diperolehi dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan

Daripada ketiga-tiga hutang yang diambil oleh 1MDB ini sahaja, jelas bahawa Kerajaan Persekutuan berdepan dengan tanggungan kewangan sebanyak RM19.5 bilion. Ini tidak termasuk baki hutang-hutang lain yang jumlah kesemuanya telah mencecah RM42 bilion bagi tahun berakhir 31 Mac 2014 yang maklumatnya belum diketahui umum.

Oleh sebab itu, rakyat perlu dimaklumkan akan risiko tanggungan kewangan yang dihadapi oleh Kerajaan Persekutuan yang kini telah mencecah sekurang-kurangnya RM20 bilion terutamanya mengambil kira prestasi operasi dan kewangan yang ditunjukkan 1MDB setakat ini.

Saya persoalkan prestasi 1MDB bagi ketiga-tiga pinjaman yang memberi tanggungan kepada Kerajaan Persekutuan ini seperti berikut:

1. Dana dari jaminan nyata sebanyak RM5.8 bilion dari hutang pertama 1MDB mulanya dilaburkan di dalam usahasama dengan PetroSaudi International (PSI), sebuah syarikat yang tidak dikenali kononnya untuk operasi carigali minyak mentah. Selepas 2 tahun, usahasama 1MDB-PSI itu tidak menunjukkan sebarang hasil dan pelaburan itu distrukturkan kembali. Hasil dari penstrukturan tersebut, dana 1MDB diletakkan di akaun-akaun rahsia di Pulau Cayman yang maklumatnya tidak diketahui sehingga sekarang

2. Dana RM9.7 bilion yang antara lain bertujuan mengurus dan membangunkan Tun Razak Exchange; sebahagiannya diserahkan pula kepada satu firma pelaburan kecil dari Hong Kong bernama Bridge Partners. Tenaga utama firma ini, seorang yang bernama Lobo Lee pernah disiasat kerana dituduh terlibat di dalam salahlaku kewangan. Sehingga kini prestasi pelaburan dana ini yang diuruskan oleh sebuah firma yang tidak diketahui

3. Pinjaman RM4 bilion dari KWAP yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan pada awalnya bertujuan untuk membeli syarikat perlombongan dari Mongolia bernama Gobi Coal & Energy untuk melabur di Mongolia. Pelaburan itu tidak berlaku dan sehingga sekarang tidak diketahui bagi tujuan apakah RM4 bilion itu dibelanjakan

Dalam keadaan 1MDB tidak boleh menyatakan pun ke mana perginya dana-dana yang memberi tanggungan kewangan besar berjumlah RM20 bilion ini kepada rakyat, sudah tentu rakyat berhak berasa bimbang.

Jumlah RM20 bilion boleh membina sekurang-kurangnya 40 hospital di seluruh negara. Ia boleh membuka sekurang-kurangnya 15 universiti awam baru. Jika dilaburkan dengan baik, peminjam PTPTN tidak perlu berdepan dengan tindakan-tindakan yang membebankan mereka sekarang.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

18 November 2014

Perjanjian Hutang 1MDB Jelas Membuktikan Kerajaan Malaysia Bertanggungjawab Menanggung Hutang 1MDB

Saya difahamkan bahawa akhbar kewangan The Edge telah pun menyiarkan surat sokongan Kerajaan Malaysia kepada pemegang-pemegang bon hutang 1MDB. Bersama-sama ini saya edarkan mukasurat penting dari perjanjian hutang 1MDB itu seperti berikut:

1. Muka depan perjanjian yang mengesahkan bahawa Kerajaan Malaysia terbabit memberi Surat Sokongan dalam penerbitan hutang berjumlah USD$3 bilion oleh 1MDB yang diatur oleh Goldman Sachs International

GSI-page1

2. Mukasurat 2 – mengesahkan bahawa terma Surat Sokongan turut dimuatkan di dalam perjanjian

GSI-page2

3. Mukasurat 19 dan 20 – menjelaskan apa tanggungjawab Kerajaan Malaysia mengikut terma Surat Sokongan dan bagaimana tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Kerajaan Malaysia

GSI-page19

4. Mukasurat 70 – mengesahkan status Surat Sokongan dan kedudukannya berbanding hutang-hutang Kerajaan Malaysia yang lain

5. Mukasurat 86 hingga 88 – Surat Sokongan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia dan disiarkan oleh The Edge

Saya meneliti kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Ahmad Maslan yang cuba untuk bersembunyi di sebalik perkara teknikal selepas saya mengancam untuk merujuk beliau kepada Jawatankuasa Keistimewaan Dewan kerana boleh dikira berbohong kepada Dewan Rakyat. Kenyataan ringkas itu mengaku bahawa Kerajaan Malaysia ada mengeluarkan Surat Sokongan tetapi beliau tetap menafikan kononnya Surat Sokongan itu bukanlah satu jaminan.

Untuk menentukan sama ada terma Surat Sokongan yang dikeluarkan itu mempunyai makna dan kesan yang sama sebagai satu jaminan Kerajaan Malaysia, saya rujuk kepada perenggan-perenggan berikut:

1. Mukasurat 20, perenggan 2 – secara jelas dinyatakan bahawa sekiranya Kerajaan Malaysia gagal membuat bayaran seperti yang terkandung di dalam Surat Sokongan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Kerajaan Malaysia di Mahkamah England. Apabila keputusan terhadap Kerajaan Malaysia telah dikeluarkan oleh Mahkamah England, Kerajaan Malaysia tidak ada pilihan dan perlu mengikuti perintah membayar yang dikeluarkan oleh mahkamah itu.

2. Mukasurat 20, perenggan 3 dan 4 – secara jelas menyatakan bahawa apabila keputusan telah dibuat oleh Mahkamah England, keputusan terhadap Kerajaan Malaysia itu boleh didaftarkan di Mahkamah Malaysia untuk diambil tindakan.

GSI-page20

3. Mukasurat 70, perkara 3 – secara jelas mengakui bahawa tanggungjawab Kerajaan Malaysia bersabit hutang yang diperakui di dalam Surat Sokongan adalah sama atau lebih tinggi dari tanggungjawab hutang Kerajaan Malaysia yang lain

GSI-page70

Mengambil kira perkara-perkara ini yang telah jelas terkandung di dalam Surat Sokongan, bolehlah disimpulkan bahawa tanggungjawab Kerajaan Malaysia adalah untuk menanggung hutang 1MDB ini sekiranya ia tidak mampu dilangsaikan.

Ini samalah dengan makna dan kesannya jika Kerajaan Malaysia menjamin hutang ini seperti biasa. Bezanya, jaminan hutang Kerajaan Malaysia perlu dilaporkan kepada Dewan Rakyat dan disebut di dalam Penyata Kewangan Kerajaan, sedangkan jaminan yang disembunyikan melalui Surat Sokongan seperti ini tidak perlu dilaporkan.

Saya masih beranggapan Timbalan Menteri terbabit cuba mengelirukan Dewan Rakyat dengan kenyataan beliau dan akan tetap memfailkan usul untuk merujuk beliau kepada Jawatankuasa Keistimewaan Dewan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

10 November 2014

Perjanjian Penuh Hutang USD$3 Bilion 1MDB

Bahagian Pertama   Bahagian Kedua   Bahagian Ketiga