Category Archives: 1MDB

Bayaran Pinjaman IMDB RM3.6 Bilion Pada September 2015: Jangan Sentuh Dana Rakyat

12 MEI 2015

Beberapa bulan yang lepas, saya telah mendedahkan bahawa selain dari pinjaman daripada bank-bank tempatan, 1MDB juga telah mengambil pinjaman sebanyak USD975 juta (bersamaan RM3.6 bilion) dalam Oktober 2014 dari satu konsortium 6 bank antarabangsa yang diketuai oleh Deutsche Bank.

Pinjaman ini telah dilaporkan di dalam majalah-majalah kewangan antarabangsa. Pinjaman bagi jangka masa satu tahun ini perlu dibayar dalam September 2015 dan telah menarik perhatian pasaran kewangan antarabangsa di saat-saat 1MDB berhadapan dengan masalah membayar hutangnya kepada bank-bank tempatan.

Saya telah cuba mengumpul maklumat tidak rasmi dari pemberi-pemberi maklumat yang bekerja di bank-bank terbabit dan dari pasaran kewangan untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai pinjaman ini. Maklumat tidak rasmi yang saya dapati adalah amat membimbangkan kerana terma-terma pinjaman itu amat membebankan rakyat.

Oleh yang demikian, saya ingin menimbulkan soalan-soalan ini agar Dato’ Seri Najib Tun Razak menjelaskan sendiri mengenai terma-terma pinjaman yang saya perolehi secara tidak rasmi dari pemberi-pemberi maklumat:

1. Apa cagaran yang telah dibuat oleh 1MDB untuk mendapatkan pinjaman ini kerana ia dibuat pada ketika masalah kewangannya telah diketahui umum? Pinjaman sebesar ini sudah tentu melibatkan cagaran (“collateral”). Maklumat yang saya perolehi menyebut cagaran kepada pinjaman ini adalah simpanan wang di BSI Singapura yang sebelum ini telah dilaporkan tidak wujud. Jika cagaran ini tidak wujud, ada kemungkinan besar 1MDB perlu mendapatkan dana lain untuk menggantikan cagaran tersebut.

2. Adakah benar Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan telah mengeluarkan satu surat sokongan atau surat makluman mengenai pinjaman ini? Saya dimaklumkan satu surat sokongan telah dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia yang membolehkan pinjaman ini diluluskan kepada 1MDB. Apakah terma-terma surat sokongan itu?

3. Adakah benar kadar faedah bagi tempoh setahun itu ialah 11% seperti yang dimaklumkan kepada saya? Jika benar, kadar ini sudah mencecah kadar “overdraft” dan menunjukkan terdesaknya 1MDB.

Mengambil kira bahawa hutang ini perlu dibayar dalam tempoh terdekat iaitu September 2015 dan jumlahnya besar, pinjaman ini adalah satu lagi “bail out” yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Sebelum ini, setiap kali 1MDB perlu membayar hutangnya, kerajaan terpaksa menyuntik wang atau satu urusniaga yang merugikan rakyat akan berlaku:

1. Mac 2015 – Kerajaan terpaksa menyuntik RM950 juta dalam bentuk “standby credit” yang kebetulan diluluskan beberapa minggu sebelum 1MDB perlu membayar hutang

2. Mei 2015 – Tabung Haji membeli hartanah di Tun Razak Exchange dari 1MDB pada kadar untung berlipat kali ganda kepada 1MDB yang kebetulan dimuktamadkan beberapa minggu sebelum 1MDB perlu membayar hutang

Saya yakin jika rakyat tidak mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak berlaku telus mengenai hutang RM3.6 bilion yang perlu dibayar 1MDB September ini, lebih banyak dana rakyat dan harta kerajaan yang akan disuntik ke dalam 1MDB untuk membayar hutang ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Dato’ Seri Najib Ada Kuasa Hentikan Pembelian Tanah 1MDB Oleh Tabung Haji, Pulangkan Wang Tabung Haji

8 MEI 2015

Pembelian tanah 1.56 ekar oleh Lembaga Urusan Tabung Haji (atau “TH”) dari 1MDB yang melibatkan pembayaran RM188.5 juta wang pendeposit TH kepada 1MDB akan selama-lamanya dilihat sebagai usaha menyelamatkan (“bail-out”) 1MDB. Tanah itu pula dilaporkan dibeli pada harga yang cukup murah oleh 1MDB dari Kerajaan Persekutuan iaitu pada harga RM74.20 satu kaki persegi dan dijual pada harga berkali-kali ganda mahalnya (iaitu pada harga RM2,779 satu kaki persegi) kepada Tabung Haji.

Lebih mencurigakan, nilai jualan RM188.5 juta itu lebih kurang serupa dengan nilai pembayaran faedah pinjaman yang perlu dilunaskan oleh 1MDB bagi hutang-hutangnya. Mengikut laporan akhbar perniagaan The Edge, 1MDB perlu membayar faedah pinjaman sebanyak USD52.5 juta (bersamaan RM188.5 juta) minggu depan.

Apakah penggunaan duit pendeposit Tabung Haji ini adalah bertujuan untuk membantu 1MDB membayar faedah pinjamannya?

Keadaan ini hampir sama dengan tindakan Kerajaan Persekutuan menyuntik RM950 juta ke dalam 1MDB pada pertengahan Mac lalu iaitu pada tarikh yang hampir sama dengan tarikh bayar faedah hutang 1MDB.

Saya tidak menafikan bahawa tanah 1.56 ekar yang dibeli itu berpotensi untuk dimajukan. Namun, tanah itu pada asalnya adalah tanah milik Kerajaan Persekutuan dan tidak sewajarnya 1MDB membuat untung atas angin dengan mengambil wang pendeposit TH; lebih-lebih lagi jika dana itu kemudiannya digunakan untuk membayar faedah hutangnya.

Ada dua cara terbaik TH membeli tanah tersebut tanpa mengorbankan kebajikan pendeposit TH, iaitu:

1. Pertama – membeli terus tanah itu dari Kerajaan Persekutuan pada harga diskaun yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada 1MDB. Keuntungan yang dibuat oleh TH di atas pembelian ini bolehlah dikira sebagai sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada pendeposit miskin untuk mereka mencukupkan tabungan untuk naik haji; atau

2. Kedua – membeli tanah tersebut dari 1MDB pada harga “forced sale value” atau harga lelongan kerana 1MDB telah benar-benar terdesak untuk mendapatkan wang tunai. Selalunya, syarikat yang bermasalah melelong harta mereka pada harga yang betul-betul murah dan dalam kesempatan beginilah TH boleh mendapat keuntungan yang baik dari pembelian itu

Saya yakin bahawa perjanjian jual beli tanah yang melibatkan dana sebanyak RM188.5 juta ini belum dimuktamadkan kerana hakmilik belum dipindakmilikkan kepada TH. Oleh yang demikian, kontrak ini belum dikira muktamad dan 1MDB belum memenuhi semua syarat-syarat jual beli.

Oleh yang demikian, ada peluang untuk menghentikan jual beli ini untuk membolehkan dana RM188.5 juta milik pendeposit TH (termasuk simpanan saya sendiri) tidak disentuh.

Kuasa untuk meluluskan pindahmilik tanah selepas sesuatu urusniaga jual beli adalah kuasa Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab kepada Menteri Wilayah Persekutuan, YB Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor.

Oleh yang demikian, KEADILAN akan menggembleng tenaga untuk menekan supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor menggunakan kuasa mereka untuk menghentikan urusniaga jual beli ini secara berikut:

1. Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan memutuskan untuk meluluskan permohonan pindahmilik tanah dari 1MDB kepada TH;

2. Oleh kerana 1MDB gagal memastikan hakmilik tanah ditukar nama kepada TH, ia gagal memenuhi syarat-syarat jual beli. Kontrak itu secara automatik juga akan terbatal;

3. Oleh kerana kontrak terbatal, maka 1MDB tidak ada pilihan lain kecuali memulangkan kembali wang RM188.5 juta yang telah diambilnya dari TH.

Kesemua ini boleh dilakukan tanpa melanggar undang-undang dan ia adalah dalam bidang kuasa Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor (yang bertanggungjawab dengan urusan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan) dan Dato’ Seri Najib Tun Razak (Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB).

Sebagai permulaan, saya akan memanggil satu perjumpaan dengan semua pendeposit Tabung Haji pada hari Rabu depan, 13 Mei 2015 jam 9 malam (tempat akan diumumkan kelak) untuk melancarkan kempen mendesak supaya Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasanya menghentikan penggunaan dana TH ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pelaburan SRC Alami Susutnilai RM204 Juta Sedangkan Kakitangan Kerajaan Dari Badan Berkanun Dinafikan Hak Pencen

21 APRIL 2015

Dalam satu sidang media di Parlimen pada 1 April 2015, saya telah mendedahkan bagaimana pelaburan SRC International Sdn Bhd (sebuah anak syarikat 1MDB sebelum dipindahmilik kepada Kerajaan Malaysia) telah mengalami susutnilai (impairment) berdasarkan penyata kewangan terkini bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 yang telah diaudit.

Penyata kewangan terkini itu telah menunjukkan sebanyak RM115 juta telah dicatatkan sebagai susutnilai pelaburan SRC.

Selain dari pelaburannya sendiri, SRC juga telah menubuhkan sebuah syarikat usahasama (joint venture) dengan sebuah syarikat dari Timur Tengah iaitu Aabar untuk melabur di dalam aset perlombongan. SRC memegang 50% kepentingan di dalam syarikat usahasama ini yang melibatkan pelaburan sebanyak RM184 juta. Ini terkandung di dalam nota kewangan 11 seperti yang dilampirkan.

jv1

Bagi tahun kewangan yang sama, SRC berpandangan bahawa pelaburan di dalam syarikat usahasama itu tidak akan membawa pulangan yang memberangsangkan. Oleh yang demikian, SRC telah mencatatkan susutnilai (impairment) bagi pelaburan dalam usahasama ini sebanyak RM89 juta seperti yang dinyatakan di dalam sambungan nota kewangan 11.

jv2

Ini bermakna, bagi tahun kewangan 2014 sahaja, kerugian melalui susutnilai yang dicatatkan oleh SRC dari pelaburan dalam perlombongan arang batu di Mongolia telah mencecah RM204 juta (iaitu RM115 juta dari pelaburan sendiri dan RM89 juta melalui syarikat usahasama).

Oleh kerana dana yang digunakan oleh SRC untuk melabur adalah dari pinjaman sebanyak RM4 bilion yang diberikan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), kerugian RM204 juta setahun bukanlah jumlah yang kecil apatah lagi jika diambil kira sebanyak RM3.1 bilion dari pelaburan SRC dikategorikan sebagai pelaburan yang tidak mempunyai maklumat dan tidak dapat diaudit oleh juru audit.

Sejak saya membawa isu SRC, ramai pesara kerajaan yang tampil meluahkan rasa marah terutamanya pesara-pesara dari badan-badan berkanun yang dinafikan hak mereka untuk mendapat pencen apabila badan berkanun itu diswastakan. Mereka ini terdiri dari kakitangan kerajaan yang menyertai sektor kerajaan dan diserapkan ke badan-badan berkanun seperti Bank Simpanan Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ada beribu-ribu pesara dari kalangan mereka yang telah dinafikan hak untuk mendapatkan pencen pada kala dana pencen dilaburkan oleh SRC/1MDB dalam pelaburan yang tidak diketahui seperti ini.

Saya akan mula membawa kes pesara-pesara ini untuk menuntut pampasan sewajarnya dari kerajaan setelah dana pencen dilaburkan sewenang-wenangnya oleh 1MDB.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

SRC Mencatat Susutnilai Pelaburan Sebanyak RM115 Juta Bagi Tahun 2014

1 APRIL 2015

Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis beliau minggu lepas telah mengesahkan bahawa sebanyak RM3.81 bilion dana pencen yang diambil oleh SRC International Sdn Bhd (bekas anak syarikat 1MDB) telah dilaburkan di dalam aset-aset sumber asli dan batu-bara di Mongolia dan beberapa tempat lain.

Saya juga telah mendedahkan bahawa daripada jumlah ini, sebanyak RM3.1 bilion adalah Pelaburan Tahap 3 iaitu pelaburan yang juru audit tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenainya.

Setiap tahun mengikut peraturan audit kewangan, pengurusan syarikat perlu membuat nilaian terkini mengenai pelaburan. Ini dibuat dengan membandingkan nilai pelaburan itu seperti yang dimasukkan di dalam penyata kewangan dengan jumlah pendapatan (earning potential) yang akan dibawa oleh pelaburan itu di masa hadapan. Sekiranya nilaian pelaburan adalah lebih rendah dari jumlah pendapatan (earning potential), pengurusan syarikat terpaksa melakukan susutnilai (impairment) ke atas nilaian pelaburan itu.

Proses ini lebih mudah bagi aset dan pelaburan yang nilaiannya ada rujukan di pasaran seperti hartanah, pegangan saham yang disenaraikan dan bon. Proses perbandingan nilaian menjadi lebih sukar bagi aset atau pelaburan yang tiada maklumat pasaran; iaitu aset atau pelaburan yang diklasifikasikan sebagai Pelaburan Tahap 3.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014, mengikut penyata kewangan terkini yang diaudit, saya boleh mengesahkan bahawa SRC International Sdn Bhd telah terpaksa merekodkan susutnilai (impairment) sebanyak RM115 juta ke atas pelaburannya seperti berikut:

impairmentnote

Malah, daripada kerugian sebelum cukai berjumlah RM164 juta, susutnilai pelaburan sebanyak RM115 juta ini adalah kerugian/perbelanjaan paling besar seperti yang diterangkan di dalam nota penyata kewangan berikut:

note6p&l

Susutnilai pelaburan berjumlah RM115 juta ini membimbangkan kerana pelaburan SRC ini menggunakan dana pencen awam melalui pinjaman sebanyak RM4 bilion dari KWAP.

Oleh kerana juru audit sendiri tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai pelaburan sebanyak RM3.1 bilion yang kononnya bersabit aset batu bara di Mongolia dan tempat-tempat lain, ada kemungkinan besar bahawa risiko susutnilai sebenar adalah jauh lebih besar. Saya tidak terkejut sekiranya SRC terus akan mencatatkan susutnilai pelaburan dalam tahun-tahun akan datang apabila pelaburan yang tidak diketahui itu gagal menjana pendapatan kepada SRC.

Saya mengulangi pendirian sebelum ini bahawa pengurusan dana awam melalui SRC ini sebenarnya lebih sensitif dari pinjaman-pinjaman yang dibuat oleh 1MDB kerana ia melibatkan dana pencen. Apatah lagi apabila minggu ini Kerajaan Persekutuan memohon belanjawan tambahan yang sebahagian besarnya (lebih dari RM1 bilion) untuk disuntik ke dalam KWAP. Apakah suntikan dana ke dalam KWAP yang diluluskan melalui belanjawan tambahan minggu ini bersabit dengan risiko KWAP tidak mampu menampung keperluan pembayaran pencen (tanpa suntikan dana baru) yang sebahagiannya boleh dikaitkan dengan hutang RM4 bilion kepada SRC ini?

Oleh sebab itu, saya menyeru supaya Perdana Menteri memasukkan audit terhadap SRC ke dalam senarai syarikat-syarikat 1MDB yang perlu diaudit oleh Ketua Audit Negara. Saya juga akan menulis kepada Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mereka bersuara di dalam Umno untuk menyelamatkan dana pencen rakyat dengan memastikan SRC memulangkan RM4 bilion yang telah diambil dari KWAP.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pelaburan SRC Sebanyak RM3.81 Bilion Sama Kategori Dengan Pelaburan-Pelaburan 1MDB

25 MAC 2015

Soalan saya mengenai pelaburan oleh SRC International Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia yang bermula sebagai anak syarikat 1MDB telah dijawab oleh Menteri Kewangan semalam seperti berikut:

jawapan1

jawapan2

Menteri Kewangan mengesahkan bahawa sebanyak RM3.81 bilion dari dana sebanyak RM4 bilion yang diambil dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) telah dilaburkan di dalam aset-aset yang berkaitan dengan sumber alam asli dan batu-bara di luar negara termasuk Indonesia dan Mongolia.

Walaupun soalan saya adalah khusus untuk mengetahui di dalam syarikat manakah pelaburan-pelaburan ini dibuat, Menteri Kewangan terus mengelak dari memberi maklumat seperti mana beliau mengelak dari menjawab semua soalan berkaitan dengan 1MDB.

Saya telah menyemak penyata kewangan terkini SRC International bagi tahun kewangan 31 Mac 2014 yang telah diaudit untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perincian pelaburan-pelaburan ini.

Perincian mengenai pelaburan ini diberikan di dalam nota kepada penyata kewangan mengenai kaedah nilaian aset-aset pelaburan, seperti berikut:

assetforsale1

assetforsale2

Kebiasaannya, jika sesebuah syarikat itu melabur dengan membeli saham atau kepentingan di dalam sebuah syarikat yang lain, pelaburan itu akan diperincikan sebagai pelaburan di dalam anak syarikat atau syarikat bersekutu yang akan memberikan maklumat terperinci. SRC International juga perlu menunjukkan prestasi kewangan anak-anak syarikat dan syarikat bersekutunya di dalam penyata kewangan.

Walau bagaimana pun, pelaburan sebanyak RM3.81 bilion yang disebut oleh Menteri Kewangan ini tidak disertakan di dalam penyata kewangan SRC International sebagai pelaburan di dalam anak syarikat atau syarikat bersekutu. Ia ditunjukkan di dalam pelaburan yang tidak diketahui dan dinilai sebagai Pelaburan Tahap 3 (“Level 3 investments”).

Pelaburan bukan tetap (iaitu pelaburan di dalam saham atau bon) dikategorikan sebagai pelaburan untuk dijual (“available for sale investments”). Ia akan dinilai mengikut ketelusan maklumat mengenai pelaburan itu seperti yang ditetapkan oleh International Financial Reporting Standard (IFRS) seperti berikut:

1. Pelaburan Tahap 1 – saham-saham yang disenaraikan di pasaran saham dan harga sahamnya boleh diketahui setiap hari secara telus

2. Pelaburan Tahap 2 – saham-saham di dalam syarikat yang tidak disenaraikan tetapi aktiviti perniagaannya dan untung ruginya setara dengan syarikat-syarikat di dalam industry yang sama yang disenaraikan atau boleh dibandingkan

3. Pelaburan Tahap 3 – saham-saham di dalam syarikat yang mana juru audit tidak mempunyai maklumat untuk menilai aktiviti perniagaannya atau untung ruginya

Dari nota penyata kewangan yang saya sertakan di atas, sebanyak RM3.7 bilion dikategorikan sebagai “open ended funds” iaitu pelaburan yang tidak diketahui atau boleh diklasifikasikan. Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.1 bilion diklasifikasikan sebagai Pelaburan Tahap 3 iaitu pelaburan yang juru audit tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenainya.

Keadaan ini sama dengan pelaburan-pelaburan yang pernah dibuat oleh 1MDB yang rata-ratanya diklasifikasikan oleh juru audit sebagai Pelaburan Tahap 3. Pelaburan-pelaburan seperti inilah yang akhirnya menyebabkan 1MDB berhadapan masalah aliran tunai sehingga terpaksa menangguhkan bayaran hutang kepada bank-bank beberapa kali.

Perkara ini menerangkan keengganan Menteri Kewangan mendedahkan secara terperinci di dalam syarikat mana dana pencen sebanyak RM3.8 bilion ini dilaburkan. Rakyat Malaysia wajar mengetahui di manakah dana pencen ini dilaburkan secara terperinci supaya masalah yang dihadapi 1MDB tidak berulang dengan dana pencen yang telah diambil.

Saya mengulangi desakan supaya dana RM4 bilion ini dikembalikan serta merta.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN