All posts by rafiziramli

Skandal Projek Lembu: Dato’ Seri Shahrizat Jalil Perlu Jawab Segera

KEADILAN menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) untuk memulakan siasatan ke atas National Feedlot Corporation Sdn Bhd yang dimiliki oleh suami dan anak-anak kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil, seorang menteri kanan dan Ketua Wanita Umno.

KEADILAN telah membawa isu ini ke perhatian rakyat sejak awal tahun 2010 lagi memandangkan kedudukan strategik projek seperti yang didakwa oleh kerajaan dan peruntukan besar yang terlibat.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, Pusat Feedlot Kebangsaan yang dimiliki dan dikendalikan oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd diberi status Projek Berimpak Tinggi dengan sasaran memenuhi 40% permintaan dan pengeluaran daging lembu untuk pasaran tempatan.

Pada hari Khamis, 20 Oktober 2011 satu pasukan peninjau KEADILAN yang diketuai oleh Saudara Mohd Rafizi Ramli (Pengarah Strategi) dan YB Aminuddin Harun (ADUN Sikamat) telah membuat kunjungan tidak rasmi ke Pusat Feedlot Kebangsaan seluas 5,000 ekar di Gemas untuk menentukan prestasi pencapaian pusat tersebut memenuhi sasaran yang ditetapkan.

Hasil dari temuramah dengan pekerja-pekerja, maklumat yang diperolehi adalah seperti berikut:

Jumlah lembu yang dipelihari pada satu-satu masa: Sekitar 1,000 ekor

Asal-usul lembu: Diimport dari luar negara

Anggaran sembelihan setiap hari: Sekitar 20 ekor

Pasaran: Hypermarket seperti Giant, Carrefour dan lain-lain

Anggaran daging lembu yang dikeluarkan sehari (dikira): 3,000 kg

Anggaran daging lembu yang dikeluarkan setahun (dikira): 900,000 kg atau 900 tan

Prestasi operasi ini perlu dibandingkan dengan sasaran yang ditetapkan memandangkan projek tersebut dikurniakan tanah kerajaan seluas 5,000 ekar di Gemas dan mendapat bantuan kewangan kerajaan berjumlah RM250 juta. Oleh itu, prestasi Pusat Feedlot Kebangsaan:

Jumlah penggunaan daging lembu Malaysia[1] setahun: 162,357 tan

% permintaan yang dicapai oleh Pusat Feedlot (dikira): 0.6%

Sasaran % permintaan yang perlu dicapai ditetapkan RMK9: 40%

Jumlah lembu yang perlu disembelih untuk mencapai sasaran: 1,500 ekor sehari

Jumlah lembu yang kini disembelih: 20 ekor sehari

Kajian awal oleh KEADILAN ini jelas menunjukkan bahawa projek ini telah gagal walaupun menelan jumlah wang rakyat yang besar dan kurniaan tanah seluas 5,000 ekar. Malah, ada petani dan penternak kecil yang mempunyai operasi yang lebih besar dan berkesan walaupun tidak mendapat apa-apa bantuan kerajaan.

Penyelidikan KEADILAN juga menunjukkan bahawa sehingga kini, komponen-komponen operasi yang lain yang diamanahkan kepada syarikat milik suami dan anak-anak Dato’ Seri Shahrizat Jalil masih belum dilaksanakan walaupun mendapat peruntukan besar. Selain dari aktiviti mengimport lembu, syarikat ini juga dilantik oleh kerajaan untuk:

  1. Membangunkan penternak kecil melalui konsep “penternakan satelit” untuk menggandakan pengeluaran lembu
  2. Membangunkan makanan lembu berkualiti
  3. Membangunkan baja dari operasi penternakan lembu

KEADILAN berpendapat bahawa isu ini perlu diberi perhatian serius kerana ia salah satu contoh utama bagaimana penyelewengan wang rakyat akibat ketirisan mempunyai kesan mendalam kepada kenaikan harga barang yang menekan rakyat.

Projek ini dilancarkan oleh kerajaan bertujuan untuk mengurangkan import makanan yang memainkan peranan utama kepada kenaikan harga barang makanan yang terpaksa ditanggung rakyat. Walau bagaimana pun, sebahagian besar dari peruntukan kepada projek-projek pertanian dan makanan untuk mengurangkan pergantungan kepada import tidak sampai dan diselewengkan sehingga mengakibatkan import makanan mencecah RM30 bilion setahun sehingga akhir 2010.

Dato’ Seri Shahrizat Jalil sebagai menteri yang berkepentingan dalam projek ini dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bekas Menteri Pertanian dan Agro Industri yang terlibat menganugerahkan projek ini kepada rakan menteri beliau tidak boleh lagi terus berdiam diri. Rakyat memerlukan penjelasan segera mengenai kegagalan projek nasional yang menelan belanja besar ini.

Sekiranya kedua-dua mereka masih berdiam diri sehingga Isnin minggu depan, KEADILAN dan Wanita KEADILAN akan menganjurkan satu lawatan menjejaki lembu ke Pusat Feedlot Kebangsaan di Gemas untuk mendedahkan perkara ini dengan luas kepada rakyat.

YB ZURAIDA KAMARUDDIN, KETUA WANITA KEADILAN/AHLI PARLIMEN AMPANG

RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI KEADILAN

YB AMINUDDIN HARUN, ADUN SIKAMAT, SEREMBAN

25 OKTOBER 2011


[1] Statistik rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi 2010

Program 23 Oktober – 4 Nov

23 Oktober: Forum Belanjawan Pakatan di Pulau Pinang bersama-sama YB Dr Dzul & YB Liew Chin Tong

24 Oktober: Ceramah Umum di markas PAS, Klang bersama-sama YB Nizar & YB Dr Hatta

27 Oktober: Pelancaran jentera pilihanraya KEADILAN Besut dan taklimat pilihanraya kepada jentera

28 Oktober: Taklimat Buku Jingga/Belanjawan PR kepada jentera Pakatan Rakyat Ketereh, malam ceramah umum

29 Oktober: Majlis Dialog dengan anak-anak Felda di rantauan, Shah Alam

30 Oktober: Taklimat Buku Jingga/Belanjawan PR kepada jentera KEADILAN Kuala Kangsar, malam ceramah umum

31 Oktober: Ceramah umum di Pandan bersama-sama YB Iskandar

1 November: Ceramah umum anjuran aktivis-aktivis mahasiswa bersama-sama YB Khalid Samad, markas PAS Klang

3 November: Ceramah umum di Alor Limbat, Terengganu anjuran Pemuda PAS

4 November: Ceramah umum di Johor Bahru/Pasir Gudang bersama-sama Yb Saifuddin Nasution

Forum Belanjawan di UIA: Slide

Forum berjalan baik, saya tertarik dengan minat yang ditunjukkan oleh adik-adik di UIA. Saya sebut bahawa pada umur mereka, nafsu muda saya lebih cenderong untuk menonton TV di rumah pada jam 10 malam, bukannya bersesak untuk turut serta dalam satu forum ekonomi.

Saya selalu juga turun berceramah, tetapi perasaan melihat anak-anak muda menerima dengan baik hujah ekonomi Pakatan Rakyat mengenai keperluan merubah struktur ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat membuatkan saya teruja.

Setiap hujah yang dikemukakan diterima baik terutamanya yang bersabit taraf gaji yang tidak berpadanan dengan kadar kenaikan harga barang.

Saya sertakan slide yang saya gunakan pada malam tersebut, walaupun saya hanya sempat menerangkan slide pertama ha2. Yang lainnya dijawab melalui sessi soal jawab.

Tahniah adik-adik UIA, saudara-saudari jauh lebih hebat dan peka berbanding kami dulu!

Belanjawan 2012 – UIA 20102011

Belanjawan 2012 Sahkan GST Akan Dilaksanakan Jika BN Menang PRU13

Angka-angka unjuran ekonomi yang terkini semakin menunjukkan bahawa ramalan pertumbuhan ekonomi yang digunakan Perdana Menteri di dalam Belanjawan 2012 adalah tidak realistik. Terbaru adalah unjuran yang dibuat Malaysian Institute of Economics Research (MIER) yang menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 kepada 4.6%.

Berdasarkan realiti ekonomi global, sasaran pertumbuhan 5% – 6% yang digunapakai adalah sukar untuk dicapai. Ini akan memberi kesan kepada jumlah pendapatan negara bagi tahun 2012 akibat kutipan cukai dan hasil lain yang berkurangan berikutan pertumbuhan ekonomi 2012 yang lebih perlahan.

Barisan Nasional perlu meminjam sekurang-kurangnya RM46 bilion untuk membiayai defisit Belanjawan 2012; itu pun jika ekonomi tumbuh pada kadar 5% – 6% bagi tahun 2012. Pada masa yang sama, keupayaan kerajaan mengeluarkan terbitan bon dan instrumen hutang baru dalam tahun 2012 adalah terbatas akibat had keberhutangan negara (debt ceiling) yang dihadkan kepada 55% daripada KDNK di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983. Hutang negara sudah pun mencecah 53% dari KDNK berdasarkan angka rasmi Bank Negara Malaysia setakat Jun 2011, maka sebarang hutang baru sudah tentu bertentangan dengan undang-undang negara.

Saya berpendapat Perdana Menteri dan pentadbiran Barisan Nasional cukup arif dengan segala angka ekonomi dan had keberhutangan kerajaan di bawah kedua-dua akta tersebut. Saya juga yakin Perdana Menteri telah dinasihatkan bahawa ramalan pertumbuhan 5% – 6% yang digunapakai di dalam Belanjawan 2012 adalah tidak realistik.

Ini membawa kepada satu rumusan semata-mata.

Belanjawan 2012 yang berjumlah RM232 bilion pada ketika pendapatan negara tidak mampu menampungnya dan keupayaan berhutang kerajaan dihadkan mengesahkan niat Perdana Menteri untuk serta-merta melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya Barisan Nasional kekal berkuasa selepas PRU13.

Ini adalah satu pertaruhan yang diambil oleh Perdana Menteri, dengan niat mengabui mata rakyat dan menawarkan gula-gula bermula dengan bayaran dalam Januari 2012 kelak tetapi akan dicukai kembali melalui GST selepas PRU13 kelak.

Oleh yang demikian, Biro Politik KEADILAN telah memutuskan semalam untuk bersama-sama dengan Pakatan Rakyat membawa isu GST kepada rakyat sebagai isu utama PRU13 bertujuan memastikan rakyat memahami bahawa “undi kepada BN bermakna undi melaksanakan GST”.

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI

13 OKTOBER 2011