All posts by rafiziramli

Alu-alukan Kesediaan YB Khairy Jamaluddin Berdebat

Saya baru dimaklumkan bahawa YB Khairy Jamaluddin sudi berdebat mengenai kemelut NFC yang menjadi kontroversi. Saya ucapkan tahniah kepada beliau kerana sudi membuka ruang kepada generasi muda mengenali politik baru.

Saya akan menulis secara rasmi kepada beliau untuk menetapkan tarikh, format dan perkara-perkara lain supaya debat ini tidak terlalu dilengahkan memandangkan minat rakyat yang tinggi terhadap isu NFC setakat ini.

Jemputan Kepada YB Khairy Jamaluddin Untuk Berbahas Mengenai Penyelewengan Wang Rakyat Oleh NFC

Saya ucapkan terima kasih kepada YB Khairy Jamaluddin, ahli Parlimen Rembau dan Ketua Pemuda Umno yang tampil cuba memberi beberapa penerangan mengenai kemelut penyelewengan wang rakyat dalam Projek Fidlot Kebangsaan yang semakin memualkan rakyat.

Sejak KEADILAN mendedahkan perkara ini, beliau menjadi satu-satunya pimpinan Umno yang paling lantang membela NFC. Beliau juga dengan sukarela menjawab pelbagai persoalan walaupun beliau tidak ada apa-apa portfolio di dalam kerajaan. Malah, beliau melantik diri sendiri sebagai pegawai media dan jurucakap rasmi kepada NFC sejak kebelakangan ini.

Kalaulah beliau benar-benar dilantik oleh NFC untuk bercakap bagi pihak mereka, maka NFC telah melantik seorang jurucakap yang memberikan jawapan yang paling dangkal berhubung skandal pembelian kondominium mewah menggunakan dana rakyat.

YB Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa pembelian tersebut adalah satu strategi pelaburan untuk mendapatkan keuntungan sementara menunggu fasa projek yang seterusnya.

Saya ingin mengambil kesempatan hari ini untuk membidas strategi pelaburan yang kurang pintar ini dari dua aspek:

PRINSIP TATA KELOLA YANG BAIK (principles of good corporate governance)

  • Sebarang penggunaan dana yang dipinjam (apatah lagi dana rakyat) bagi tujuan selain dari tujuan asal pinjaman dikira bertentangan dengan prinsip tata kelola yang baik
  • Di dalam sesebuah entiti korporat yang baik, sebarang keputusan pelaburan akan dibuat melalui proses pemantauan yang ketat mengikut kerangka mengawal risiko (risk mitigation framework)
  • Bagi tujuan mendapat pulangan dari dana yang belum digunakan, entiti korporat terbesar di dunia selalunya membuat pelaburan jangka pendek di dalam instrumen-instrumen cair (liquid instruments) seperti pasaran mata wang (money market), pasaran ekuiti (ekuiti market) atau disimpan di dalam deposit tetap jangka pendek
  • Bekas majikan saya (PETRONAS) mempunyai ratusan bilion ringgit wang simpanan yang menunggu masa untuk digunakan di dalam projek-projek pada satu-satu masa. PETRONAS tidak pula menggunakan wang ini untuk melabur di dalam aset hartanah seperti yang disebut oleh YB Khairy Jamaluddin kerana ia satu tindakan yang tidak bijak dan melanggar prinsip tata kelola yang baik.

PASARAN HARTANAH MEWAH YANG SEMAKIN MENURUN

  • Kalau pun NFC benar-benar mahu melabur untuk mendapat pulangan, pelaburan sebanyak RM9.8 juta membeli hartanah kondominium mewah adalah keputusan pelaburan yang salah.
  • Pasaran hartanah mewah, terutamanya kondominium mewah seperti yang dibeli NFC dijangkakan akan mengalami penurunan harga bermula tahun 2010 hingga beberapa tahun akan datang.
  • Statistik Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan bahawa pada akhir 2010, terdapat sebanyak 66,328 unit kondominium mewah di seluruh Malaysia yang masih belum dijual.
  • Statistik terkini JPPH iaitu Laporan Status Pasaran Harta Tanah: Harta Tanah Siap Dibina Tidak Terjual Q3 2011 menunjukkan bagi suku ketiga 2011 sahaja, 20% dari kondominium mewah berharga lebih dari RM1 juta masih belum terjual walaupun telah siap dibina. Jumlah harga kondominium mewah di Malaysia yang siap dibina tetapi tidak dibeli bagi tempoh 3 bulan di antara Julai hingga September 2011 adalah RM549 juta.
  • Ini menyokong laporan terbaru oleh pakar hartanah antarabangsa DTZ Research bertarikh 10 November 2011 bahawa “risiko harga menurun bagi hartanah mewah akan terus meningkat” dan “lambakan hartanah mewah akan menurunkan kadar sewa bagi pasaran jenis ini”.

Data-data ini secara jelas membidas alasan yang diberikan oleh YB Khairy Jamaluddin.

Jika pelaburan NMLC membeli One Menerung adalah untuk mendapat untung kerana kenaikan harga, ia sukar untuk berlaku kerana pasaran hartanah mewah sedang mengalami penurunan akibat lambakan unit-unit tidak terjual.

Jika pelaburan NMLC bertujuan mendapatkan sewa seperti yang didakwa, sewanya tidak padan dengan penyelewengan wang rakyat kerana kadar sewa yang semakin rendah.

YB Khairy telah banyak membuat kenyataan di Twitter, media baru, akhbar dan Parlimen yang menyerang saya mengenai pendedahan NFC. Setiap kenyataan akhbar atau rencana saya akan dijawab oleh beliau. Saya langsung tidak terfikir skandal ini menarik minat beliau kerana ia membabitkan Ketua Wanita Umno, bukan Ketua Pemuda Umno.

Oleh kerana ada pertembungan yang sihat di antara pimpinan muda KEADILAN dan Umno bersabit isu NFC ini, setelah dua minggu berdebat di media saya berpendapat sudah sampai masanya perbahasan mengenai NFC ini diadakan secara terbuka dan melibatkan orang ramai yang juga mempunyai banyak soalan.

Saya menjemput YB Khairy Jamaluddin untuk berbahas mengenai isu NFC dengan saya pada bila-bila masa bermula dari hari ini dalam satu majlis terbuka yang melibatkan orang ramai. Ini jalan terbaik untuk kita merungkai kekusutan skandal NFC dan pada masa yang sama merintis politik baru orang muda.

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

14 NOVEMBER 2011

Kenyataan Menteri Semakin Bercanggah Dan Tidak Tepat

Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Dato’ Seri Noh Omar yang disiarkan di dalam Sinar Harian pada 12 November 2011 bukan sahaja tidak tepat tetapi bercanggah dengan kenyataan beliau sebelum itu.

Kenyataan beliau bahawa NFC adalah sebuah syarikat swasta yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan adalah salah. Kerajaan melalui Kementerian Kewangan mempunyai satu saham khas (golden share) di dalam NFC seperti yang disahkan oleh carian syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) seperti yang diedarkan minggu lepas.

Keadaan ini sama seperti syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain yang mempunyai pelbagai struktur pegangan saham, tetapi keputusan masih tertakluk kepada kerajaan melalui pegangan satu saham khas (golden share) tersebut.

Kenyataan Menteri adalah satu cubaan untuk mencuci tangan dari pelbagai penyelewengan yang berlaku di dalam NFC yang membuktikan kegagalan dua orang menteri (menteri sekarang dan Timbalan Perdana Menteri) menyelia dan memastikan wang rakyat digunakan dengan sebaiknya.

Kenyataan kedua beliau bahawa dana hanya akan disalurkan kepada NFC dari “akaun pinjaman khas” setelah NFC membuat tuntutan perbelanjaan bersabit pengurusan ladang ternakan menimbulkan lebih banyak persoalan.

Jika RM181 juta telah dibayar kepada NFC daripada jumlah pinjaman RM250 juta seperti yang didakwa oleh Menteri, maka tuntutan untuk bayaran kondominium sebanyak RM9.8 juta sudah tentu termasuk di dalam senarai tuntutan yang telah diluluskan oleh kerajaan.

Hanya ada dua kemungkinan yang berlaku – sama ada NFC memalsukan senarai tuntutan perbelanjaan semasa membuat tuntutan pinjaman dari kerajaan kerana ia membuat tuntutan bagi perbelanjaan yang tidak wujud (kerana RM9.8 juta sebaliknya digunakan untuk membeli kondominium); atau tidak ada pun sistem kawalan dan kebenaran pembayaran seperti yang disebut oleh Menteri.

KEADILAN akan terus mendesak penjelasan bagi perkara-perkara ini terlebih dahulu sebelum kita mendedahkan kepincangan yang seterusnya.

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN

KETUA WANITA KEADILAN

AHLI PARLIMEN AMPANG

14 NOVEMBER 2011

Laporan SPRM Berhubung Penyelewengan RM9.8 Juta Wang Rakyat Untuk Membeli Kondominium Mewah ‘One Menerung’

Selepas beberapa pendedahan mengenai penyelewengan dana rakyat yang berlaku di National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, KEADILAN pada hari ini tampil dengan bukti kukuh satu lagi penyelewengan.

Pada 2 Disember 2009, NFC telah membuat 4 pindahan wang dari akaun semasanya di Bank CIMB cawangan Taman Tun Dr Ismail kepada Bandar Raya Developments Berhad sebagai bayaran penuh pembelian sebuah kondominium mewah di One Menerung, Bangsar.

Butiran 4 pindahan wang tersebut adalah seperti berikut:

TARIKH JUMLAH (RM)
2 Disember 2009 699,870
2 Disember 2009 694,150
2 Disember 2009 4,199,220
2 Disember 2009 4,164,900
Jumlah 9,758,140

Harga-harga kondominium One Menerung di Bangsar bermula pada RM3 juta dan boleh mencecah RM10.3 juta, bergantung kepada saiz unit yang dibeli.

Bayaran untuk pembelian kondominium sebanyak RM9.8 juta ini direkodkan sebagai “hutang” National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC) kepada NFC. Jumlah ini adalah sebahagian daripada RM83 juta yang dihutangi oleh NMLC kepada NFC pada 31 Disember 2009.

Bayaran untuk membeli sebuah kondominium mewah bagi pihak sebuah syarikat lain yang dimiliki sepenuhnya oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil adalah satu bentuk penyelewengan wang rakyat yang diberikan sebagai pinjaman kepada NFC. Ia adalah perlakuan pecah amanah yang jelas dan bertentangan dengan tujuan pinjaman RM250 juta diberikan kepada NFC.

Malah, ia juga membuktikan kenyataan-kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Ketua Pemuda Umno bahawa wang yang disalurkan oleh kerajaan kepada NFC diletakkan di dalam sebuah akaun amanah khas adalah tidak benar. Jumlah RM9.8 juta yang diselewengkan untuk membeli kondominium mewah itu dipindahkan dari akaun semasa NFC di Bank CIMB cawangan Taman Tun Dr Ismail, bukannya sebuah akaun amanah khas.

Oleh itu, dakwaan menteri dan Ketua Pemuda Umno bahawa setiap transaksi memerlukan kelulusan kerajaan dan dipantau ketat juga tidak benar. Kalau betul pantauan ketat ini berjalan, sudah tentu wang sejumlah RM9.8 juta tidak boleh dipindahkan begitu sahaja untuk membeli kondominium mewah yang tidak ada kena mengena dengan industri penternakan dan penyembelihan lembu.

KEADILAN percaya maklumat-maklumat ini adalah bukti nyata bahawa satu perlakuan pecah amanah telah berlaku. Oleh itu, satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat dengan diketuai oleh Saudara Fariz Musa, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN di ibu pejabat SPRM Selangor, Shah Alam pada jam 1130 pagi ini.

Laporan ini wajar disiasat secepat mungkin memandangkan ia membabitkan integriti keseluruhan kerajaan Malaysia dengan mengheret pimpinan-pimpinan utama ke dalam skandal ini, iaitu:

  1. Perdana Menteri (yang berbohong kepada Dewan Rakyat);
  2. Timbalan Perdana Menteri (bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang meluluskan projek dan pinjaman RM250 juta);
  3. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (yang berbohong dan memberi kenyataan salah di Dewan Rakyat);
  4. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (yang mendapat keuntungan dari penglibatan keluarga beliau yang mendapat projek dan bantuan kewangan dari kerajaan); dan
  5. Ketua Pemuda Umno/YB Rembau (yang cuba memutar belitkan fakta demi melindungi perbuatan pecah amanah)

KEADILAN juga menyeru agar Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bersidang segera untuk menyiasat perkara ini.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

SETIAUSAHA AGONG KEADILAN

AHLI PARLIMEN MACHANG

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

10 NOVEMBER 2011