All posts by rafiziramli

Farmhouse Supermarket Beroperasi Di Rochester Mall, Bersebelahan Star Vista Di Singapura

Saya dimaklumkan mengenai penafian oleh CapitalMall bahawa kompleks membeli belah Star Vista yang sedang dimajukan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Farmhouse Supermarket Pte Ltd yang dimiliki keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Saya memandang berat kesilapan ini dan telah berhubung dengan rakyat Malaysia di Singapura yang banyak membantu. Semakan pada pagi ini mendapati bahawa Farmhouse Supermarket akan beroperasi di Rochester Mall bersebelahan dengan Star Vista.

Farmhouse Supermarket menyewa unit-unit bernombor #02-08 hingga #02-35 di kompleks membeli belah yang dibangunkan bersama-sama kondominium mewah di alamat 35, Rochester Drive, Singapura. Projek itu dibangunkan oleh pemaju UE One-North Developments Private Limited.

Semakan di laman rasmi Rochester Mall jelas menyenaraikan Farmhouse Supermarket sebagai salah satu penyewa mereka, seperti yang dilaporkan di laman http://www.rochestermall.com.sg/#02-08to35

Maklumat di laman itu juga mengesahkan bahawa Farmhouse Supermarket adalah penyewa terbesar di tingkat 2, berbanding kedai-kedai lain.

Saya juga berpendapat oleh kerana lokasi Rochester Mall adalah bersebelahan dengan Star Vista, anggaran sewa seperti yang didasarkan kepada laporan Competition Commission of Singapore tidaklah banyak berbeza.

Oleh yang demikian, saya percaya selain dari kesilapan alamat sebenar kompleks seperti yang saya sebutkan, keseluruhan pendedahan yang dibuat semalam adalah tepat. Kenyataan Dato’ Seri Salleh Ismail yang disiarkan oleh The Malay Mail bertarikh 29 Februari 2012 juga mengesahkan bahawa NFC tidak menafikan kewujudan pasaraya mewah ini, malah masih mempertahankan hak mereka untuk menceburi apa-apa perniagaan yang mereka rasa sesuai.

Saya memohon maaf secara terbuka kepada CapitalMall dan NFC atas kesilapan fakta yang berlaku, walaupun ia tidak memadamkan pelbagai persoalan yang timbul mengenai pembabitan NFC di dalam operasi pasaraya mewah di Singapura.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

29 FEBRUARI 2012

 

Dana Rakyat Terdedah Kepada Risiko Kerugian Perniagaan Pasaraya Mewah Di Singapura

 

KEADILAN pada hari ini boleh mendedahkan bahawa selain dari perniagaan 3 buah restoran mewah di Singapura dan pelaburan berjumlah RM44 juta dalam 3 kondominium mewah di sana, pengurusan NFC juga terlibat di dalam perniagaan pasaraya mewah di republik itu.

 

Ia dikendalikan melalui sebuah syarikat bernama Farmhouse Supermarkets Pte Ltd yang sahamnya dimiliki bersama oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil seperti berikut:

 

Dato’ Seri Salleh Ismail                                   S$666,667

Wan Shahinur Izran Salleh                              S$666,667

Wan Izzana Fatimah Zabedah                         S$666,667

 

(Maklumat korporat syarikat seperti yang dilaporkan kepada pihak berkuasa Singapura ada disertakan. KEADILAN berjaya menjejaki syarikat ini melalui carian penglibatan perniagaan Wan Izzana Fatimah Zabedah yang menyenaraikan kesemua syarikat yang dimiliki beliau, seperti yang disertakan.)

 

Farmhouse Supermarkets Pte Ltd dipercayai dibiayai oleh Malayan Banking Berhad dan United Overseas Bank Limited, melalui kaedah yang sama yang digunapakai untuk membiayai pembelian 2 kondominium mewah di Marina Bay Suites berharga RM34 juta yang didedahkan baru-baru ini.

 

Sejak tahun 2011, syarikat ini aktif mengambil pekerja melalui pengiklanan yang dibuat (sila rujuk Lampiran A), dipercayai sebagai persediaan bila mana pasaraya itu bakal dibuka dalam tahun 2012 kelak.

 

Siasatan KEADILAN menunjukkan bahawa Farhmouse Supermarkets Pte Ltd telah pun menjadi anchor tenant kepada sebuah kompleks pasaraya mewah yang bernama Star Vista beralamat 35, Rochester Drive dan terletak di kawasan elit berdekatan dengan Nanyang Technology University. Pasaraya yang diusahakan oleh Farmhouse Supermarkets Pte Ltd ini dijangka mula beroperasi dalam suku ketiga tahun ini, apabila kompleks Star Vista siap.

 

Siasatan KEADILAN juga menunjukkan bahawa Farmhouse Supermarkets Pte Ltd telah menandatangani perjanjian sewaan (tenancy agreement) dengan CapitalMalls (pemaju) bagi 28 unit ruang kedai di tingkat 2 kompleks tersebut, dari unit #02-08 hinggalah unit #02-35.

 

Semakan dengan harga pasaran bagi ruang kedai komersil di pasaraya di Singapura menunjukkan julat kadar sewa bagi satu meter persegi adalah di antara S$350 hingga S$500 sebulan, bergantung kepada lokasi (berdasarkan kajian Competition Commission of Singapore). Oleh itu, jika keluasan 28 unit dianggarkan sekitar 3,000 meter persegi, tanggungan sewaan bulanan yang terpaksa dibayar oleh Farmhouse Supermarkets Pte Ltd adalah sekitar S$900,000 sebulan atau RM2.2 juta sebulan.

 

Sudah tentu perniagaan pasaraya ini akan dibiayai oleh dana awam yang disalurkan bagi tujuan penternakan lembu seperti yang dimandatkan oleh NFC, seperti yang berlaku di dalam pembelian-pembelian aset mewah lain sebelum ini. Kenyataan pengurusan NFC yang mempertahankan hak mereka berbelanja dana RM250 juta itu mengikut citarasa mereka memperkuatkan lagi hujah bahawa sebahagian wang tersebut bakal dibelanjakan bagi membiayai pasaraya mewah ini.

 

Oleh yang demikian, KEADILAN mendesak supaya NFC berterus terang mengenai komitmen kewangan yang telah dibuat melalui Farmhouse Supermarkets Pte Ltd ini, termasuklah perjanjian sewaan yang telah dimeterai.

 

Tindakan tegas perlu dilakukan segera untuk merampas kembali kesemua dana yang telah diselewengkan secepat mungkin dan mendakwa individu terbabit di mahkamah atas tuduhan pecah amanah dan jenayah perdagangan.

 

Jika ini tidak berlaku dalam minggu ini, KEADILAN akan melakukan pendedahan setiap minggu hinggalah Dewan Rakyat bersidang pertengahan bulan Mac ini.

 

 

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN

KETUA WANITA KEADILAN

 

 

28 FEBRUARI 2012

 

 izzana

ACRA – Farmhouse


 

LAMPIRAN A

 


Farmhouse Supermarkets Pte Ltd

Advertised: 17-1-12 | Closing Date: 16-2-12

Operating in a highly competitive and fast moving food industry, this global group is one of the market leader in the Malaysia engaged in the manufacture, marketing and distribution of beef products.

Assistant Purchasing Manager / Purchasing Manager
Across Singapore

Responsibilities: 

  • Fully responsible for purchasing in a newly set up supermarket
  • Involved in planning, sourcing and recommending suitable materials, products, goods and services in accordance with desired purchase conditions, from local and overseas suppliers and vendors
  • Establish and conduct regular review of procurement procedures and policies in consultation with the Management
  • Implement procurement procedures and policies across the relevant business units
  • Establish inventory control procedures including inventory documentation and listing, replenishment etc
  • Conduct regular review cost effectiveness and performance of suppliers and vendors by making random checks or regular or designated supplier’s/vendor’s price with other supplier’s price
  • Ensure timely submissions of purchase order requisitions for internal approvals, co-ordinate delivery schedules & timing with suppliers/vendors, and check product quality when goods are delivered
  • Resolve any irregularities and non-compliance issues with suppliers and vendors concerning purchase orders, payments or any conditions of purchase
  • Maintain proper and complete records of purchase orders and related purchase documentation
  • Carry out ad hoc assignment as instructed by Management

Requirements:

  • Candidate must possess at least a Degree with a minimum of 5 years of relevant experience in purchasing in supermarket is a must
  • Strong negotiating and problem solving skills
  • Dynamic, resourceful and have a good knowledge in market sources
  • A self-starter and able to work in a fast paced environment and with tight deadlines
  • Good analysing and coordination skills
  • Able to commence within short notice will be an added advantage
  • Only Singaporean need to apply

Candidates interested in the above position, please forward your detailed resume in MS Word with a recent photo to [email protected] indicating

* Earliest available Date
* Current & expected salary
* Reason for leaving all employment

We regret to inform that only short-listed candidates will be notified.

 

Dato’ Seri Najib Perlu Jelas Kenapa Felda Farm Products Sdn Bhd Tidak Dilantik Menerajui NFC

Pendedahan yang dibuat setakat ini menunjukkan bahawa NFC yang diterajui suami Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan anak-anak mereka gagal memenuhi sasaran kerana mereka langsung tidak ada pengalaman di dalam industri penternakan berskala besar. Perkara ini turut diakui oleh Dato’ Seri Salleh Ismail sendiri, bahawa mereka sebenarnya tidak berpengalaman dalam satu temuramah dengan media perdana bertarikh 17 November 2011.

 

Ini menimbulkan persoalan bagaimanakah sebuah projek berstatus nasional yang dikategorikan sebagai “projek berimpak tinggi” dengan peruntukan melebihi RM300 juta boleh diberikan kepada sebuah syarikat milik keluarga menteri yang tidak berpengalaman.

 

KEADILAN telah menyemak kembali semua sumber rasmi untuk memahami proses penganugerahan tender itu.

 

Hakikatnya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar sendiri mengakui bahawa tidak ada tender terbuka untuk memilih operator yang terbaik. Sebaliknya, kerajaan Barisan Nasional hanya memanggil beberapa buah syarikat yang tidak dikenali bersama-sama dengan Agroscience Sdn Bhd (milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil) untuk mengemukakan kertas cadangan.

 

Ini diterangkan beliau di Dewan Rakyat pada 31 Oktober 2011, seperti berikut:

 

“Pusat Fidlot Nasional ini Tuan Yang diPertua, matlamat utama pelaksanaan Pusat Fidlot Nasional ialah untuk kita mewujudkan sistem pengeluaran daging lembu fidlot secara komersial sepanjang rantai nilai bagi meningkatkan pengeluaran daging dalam negara. Bagi merealisasikan pelaksanaan program ini, kerajaan telah menjemput beberapa syarikat untuk membentangkan cadangan projek tersebut. Hanya enam buah syarikat yang membentangkan cadangan projek kepada Jawatankuasa Pemilihan Syarikat Peneraju Bagi Projek PFN pada 25 September 2006.

 

Enam syarikat ini terdiri daripada FELDA Farm Product Sdn Bhd, Group Five Bonsmara Breeding Centre Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Lamberts Agriculture Trade (M) Sdn Bhd – ini syarikat dari Australia ini – yang kelima, MIG Farm Sdn Bhd dan yang keenam MLC Industries Sdn Bhd. Melalui mesyuarat tersebut, Jawatankuasa Pemilihan Syarikat Peneraju Bagi Projek PFN memilih dua syarikat iaitu Syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd dan juga Lamberts Agriculture Trade (M) Sdn Bhd yang mana Lamberts diberikan 500 ekar dan Agro Science diberi sebanyak 5,000 ekar.”

 

Umum sedia maklum bahawa Jawatankuasa Pemilihan Syarikat Peneraju Bagi Projek PFN dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

 

Semakan awal KEADILAN menunjukkan dari segi pengalaman, saiz kapital, pengurusan dan rekod industri, syarikat yang paling berdaya maju di antara keenam-enam syarikat tersebut adalah Felda Farm Product Sdn Bhd.

 

Perbandingan dari segi saiz kapital dan perolehan (yang menjadi salah satu kayu ukur kekuatan kapital, pengurusan dan pengalaman) berdasarkan carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang disertakan bersama adalah seperti berikut:

 

SYARIKAT

DITUBUHKAN PADA

SAHAM DITERBITKAN BERBAYAR

PEROLEHAN TAHUNAN TERKINI

Felda Farm Products Sdn Bhd

7 Ogos 1995

RM10 juta

RM9.6 juta

(31 Dis 2010)

 

Group Five Bonsmara Breeding Centre Sdn Bhd

28 Mac 2005

RM2

0

(31 Dis 2010)

MIG Farm Sdn Bhd

15 Julai 2005

RM1 juta

RM1.2 juta

(31 Dis 2009)

MLC Industries Sdn Bhd

13 Ogos 2004

RM2 juta

0

(31 Dis 2010)

 

Jelas sekali bahawa hanya Felda Farm Products Sdn Bhd adalah satu-satunya syarikat yang mempunyai operasi sedekad sebelum Projek Fidlot Nasional dirancang, berbeza dengan syarikat-syarikat lain termasuklah Agroscience Industries Sdn Bhd yang hanya ditubuhkan setahun sebelum kontrak dianugerahkan.

 

Jelas juga bahawa ada pertimbangan yang tidak telus kerana lantikan Agroscience Industries Sdn Bhd mengenepikan pertimbangan asas kewangan dan pengalaman, yang memihak kepada Felda Farm Products Sdn Bhd. Dari segi impak nasionalnya pula, Felda mempunyai rancangan tanah yang besar dan peneroka-peneroka boleh dilatih menjadi penternak berjaya untuk meningkatkan lagi hasil pendapatan mereka, selain tanaman kelapa sawit.

 

Sebagai individu yang bertanggungjawab menganugerahkan kontrak ini kepada syarikat milik keluarga menteri yang kini terbukti tidak berjaya memenuhi sasaran dan menyelewengkan wang bagi tujuan lain, Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak boleh mencuci tangan dan berdiam diri. Beliau wajib memikul tanggungjawab dan tindakan menolak isu ini kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil semata-mata membayangkan beliau seorang ahli politik Umno yang pentingkan diri.

 

Oleh yang demikian, KEADILAN mendesak supaya semua minit mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Syarikat Peneraju Bagi Projek PFN yang dipengerusikan Perdana Menteri, didedahkan serta-merta agar beliau boleh menerangkan kepada ratusan ribu warga Felda:

 

  1. Kenapa beliau mengenepikan warga Felda sedangkan mereka lebih layak dan berpengalaman berbanding keluarga menteri;
  2. Apakah kriteria yang digunapakai sehinggakan Felda Farm Products Sdn Bhd diketepikan berbanding Agroscience Industries Sdn Bhd yang tidak mempunyai pengalaman?

 

Perkara ini sudah tentu akan terus mengheret Dato’ Seri Najib kecualilah beliau mendedahkan kesemua minit mesyuarat yang dipengerusikan beliau.

 

 

 

 

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

HAJI SUHAIMI SAID

PENGERUSI, BIRO FELDA DAN ORANG ASAL KEADILAN

 

 

28 FEBRUARI 2012

 SSM – MLC Holdings

SSM – Group 5 Entertainment

SSM – MIG

SSM – Felda Farm Products

Tindakan Mengenepikan KPF Bermakna Membelakangkan Peneroka, Merendahkan Nilai Penyenaraian FGVH

Keputusan Barisan Nasional mengenepikan terus pandangan dan penyertaan Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang mewakili kepentingan peneroka dan kakitangan Felda bermakna proses penyenaraian Felda Global Ventures Berhad yang cuba dilakukan akan membelakangkan dan mengorbankan kepentingan penoraka dan kakitangan Felda.

Kerajaan Barisan Nasional memerlukan persetujuan KPF yang kini mempunyai pegangan 51% di dalam Felda Holdings Berhad untuk memindahkan keseluruhan pegangan itu kepada Felda Global Ventures Berhad yang ingin disenaraikan.

Keuntungan sebenar di dalam kumpulan Felda datang dari Felda Holdings Berhad, bukannya Felda Global Ventures Berhad. Bagi tahun berakhir 31 Disember 2010 misalnya, perbandingan perolehan dan keuntungan kedua-dua kumpulan ini adalah seperti berikut:

 

 

 

Perolehan

(RM juta)

Keuntungan Sebelum Cukai (RM juta)

Felda Holdings Berhad

14,900

760

Felda Global Ventures Berhad

3,200

366

Malah, bagi tahun-tahun berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, keuntungan sebelum cukai Felda Holdings Berhad melangkaui RM800 juta, iaitu RM804 juta (2009) dan RM819 (2008).

Rancangan jahat Barisan Nasional adalah untuk memindahkan syarikat-syarikat dan aktiviti perladangan yang menguntungkan di dalam Felda Holdings Berhad dari KPF (yang dimiliki peneroka dan kakitangan) kepada FGVB (yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan). Melalui cara ini, suara peneroka dan kakitangan Felda dalam keseluruhan aktiviti perniagaan dan operasi Felda akan berkurangan, terutamanya apabila kerajaan menjemput pelabur-pelabur lain untuk turut serta membeli saham di dalam FGVB.

Anggaran KEADILAN menunjukkan pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam aktiviti syarikat dan perniagaan Felda Holdings Berhad yang menguntungkan itu akan berkurangan dari 51% sekarang (turut menjadi pemegang saham majoriti) kepada sekitar 42.7% selepas disenaraikan (bertukar menjadi pemegang saham minoriti).

Walau bagaimana pun, keberanian peneroka-peneroka yang menggunakan hak mereka untuk menyekat penyerahan saham KPF di dalam Felda Holdings Berhad kepada FGVB dan kenyataan Tan Sri Isa Samad bahawa kerajaan akan menubuhkan sebuah syarikat khas (SPV) yang mengenepikan KPF bagi tujuan penyenaraian; kini menimbulkan beberapa persoalan:

  1. Jika penyenaraian FGVB diteruskan tanpa melibatkan suntikan aset dari Felda Holdings Berhad akibat tindakan mahkamah peneroka, nilai penyenaraian adalah jauh lebih rendah iaitu sekitar RM3 billion sahaja, bukannya RM21 billion seperti yang diwar-warkan kerajaan;
  2. Jika ini diteruskan, keuntungan dari penyenaraiaan dan dividen yang bakal diperolehi peneroka pada masa akan datang adalah jauh lebih rendah dari yang disebut-sebut oleh kerajaan sekarang;
  3. Penubuhan SPV tersebut membelakangkan KPF dan menunjukkan sikap Barisan Nasional yang tidak menghormati suara peneroka dan kakitangan Felda. Kewujudan SPV itu dijangka akan digunakan untuk secara perlahan-lahan mengambil alih fungsi yang dimainkan oleh KPF; dan
  4. Sebarang tindakan untuk menggunakan SPV tersebut bagi menyuntik aset Felda Holdings Berhad adalah bertentangan dengan undang-undang dan mengkhianati peneroka dan kakitangan Felda.

KEADILAN merasakan cara terbaik untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku adalah secara berhadapan dengan peneroka dan kakitangan Felda. KEADILAN bersedia membentangkan hujah-hujah dan analisa kami kenapa penyenaraian ini dikira tidak baik demi kepentingan peneroka dan kakitangan Felda.

Bersempena dengan budaya baru berdebat secara ilmiah yang semakin popular di Malaysia dan memenuhi citarasa rakyat, KEADILAN melontarkan jemputan kepada Dato’ Ahmad Maslan atau Tan Sri Isa Samad untuk turut serta di dalam debat ulung Felda membincangkan  penyenaraian FGVB yang akan dianjurkan oleh KEADILAN dalam masa terdekat.

Buat masa ini, sebarang maklumbalas negatif dari mereka berdua membayangkan ketidaksediaan mereka mempertahankan hujah Barisan Nasional di kalangan rakyat.

 

MOHD RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

HJ SUHAIMI SAID
Ketua Biro Felda dan Orang Asli

23 Februari 2012