All posts by rafiziramli

Kenyataan Penafian Tidak Menjernihkan Pelbagai Persoalan Mengenai Integriti Dan Ketelusan Perdana Menteri

 

Saya memandang serius kenyataan-kenyataan penafian yang dibuat tanpa disertakan bukti berhubung dakwaan salah guna kuasa Perdana Menteri yang ditimbulkan mutakhir ini. Walaupun saya mengalu-alukan kenyataan yang dibuat oleh Shangrila Hotel, ada dua aspek yang mempersoalkan ketelusan Perdana Menteri dalam berdepan dengan rakyat:

1) Sehingga sekarang, tidak ada sebarang maklumbalas dari Perdana Menteri mengenai 8 bukti yang sewajarnya diberikan kepada rakyat agar sebarang keraguan dapat dirungkai secepat mungkin, seperti yang disyorkan KEADILAN; dan

2) Perdana Menteri seolah-olah merasakan kenyataan penafian oleh pejabat beliau dan Shangrila Hotel sudah memadai untuk memadamkan isu ini.

Persoalan yang dibawa bukanlah semata-mata siapa yang menanggung kos majlis pertunangan tersebut, tetapi ketelusan dan operasi Pejabat Perdana Menteri yang sewajarnya mengasingkan di antara kepentingan peribadi dan tugasan umum. Perdana Menteri menjanjikan transformasi politik, ekonomi dan sosial sebagai jawapan kepada tuntutan rakyat agar rasuah dan salahguna kuasa pimpinan diperangi sehabis-habisnya; maka Perdana Menteri perlulah memberikan teladan yang baik bahawa segala urusan Pejabat Perdana Menteri bebas dari sebarang unsur salah guna kuasa dan pecah amanah.

Ini adalah piawaian integriti baru yang dituntut rakyat Malaysia. Mungkin Perdana Menteri merasakan isu ini remeh, tetapi sikap Perdana Menteri menangani isu ini membayangkan sama ada beliau betul-betul ikhlas dalam menjalankan transformasi politik, ekonomi dan sosial negara.

Sebab itu KEADILAN berpendapat masih banyak persoalan yang belum dijawab dalam hal ini, terutamanya apabila dibandingkan dengan satu lagi majlis peribadi yang menggunapakai khidmat Shangrila Hotel.

Pada hari Ahad 24 Julai 2011, Perdana Menteri telah mengadakan satu jamuan meraikan hari lahir beliau di Sri Perdana. Banquet Event Order (BEO) majlis tersebut diedarkan bersama-sama dengan kenyataan akhbar ini.

Berdasarkan BEO tersebut, fakta-fakta berikut adalah tepat:

1) Tempahan turut dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, walaupun ia jelas adalah majlis peribadi Perdana Menteri;

2) Berbanding dengan majlis pertunangan anak beliau, majlis ini dengan jelas menyatakan bahawa ia majlis peribadi Perdana Menteri. Ini menimbulkan persoalan kenapa majlis pertunangan anak Perdana Menteri tidak dinyatakan secara jelas sebagai majlis peribadi, sebaliknya disebut sebagai “majlis Pejabat Perdana Menteri”?

3) Perdana Menteri membelanjakan sekitar RM79,053 untuk satu majlis meraikan hari lahir beliau; pecahannya seperti berikut:

Buffet untuk 100 tetamu @ RM207 setiap seorang

RM20,700

Band Syed Sobri @ RM7,300 + 6% cukai

RM7,738

Band Batak @ RM5,000 + 6% cukai

RM5,300

Minuman 5 gallons @ RM750 + 6% cukai

RM795

Gubahan bunga @ RM30,000 + 6% cukai

RM31,800

Caj pengendalian @ RM12,000 + 6% cukai

RM12,720

JUMLAH

RM79,053

4) Majlis tersebut menyajikan 47 juadah antarabangsa termasuklah daging panggang yang diimport dari New Zealand, makanan Jepun, makanan Barat dan lain-lain.

Oleh yang demikian, saya ingin mengajukan soalan-soalan berikut kepada Perdana Menteri jika beliau benar-benar telus dan ikhlas untuk menjadi teladan kepada seluruh rakyat Malaysia:

1) Bilakah beliau akan mengemukakan 8 bukti yang disyorkan KEADILAN agar nama beliau dapat dibersihkan?

2) Dalam masa lebih kurang satu bulan, Perdana Menteri membelanjakan setengah juta ringgit untuk dua majlis mewah di Sri Perdana. Jika beliau bertegas ini dibayar oleh beliau sendiri, bagaimanakah beliau mampu berbelanja sedemikian rupa sedangkan pendapatan Perdana Menteri tidaklah seberapa?

3) Jika perbelanjaan mewah ini ditanggung oleh rakan taulan yang memberi tajaan, siapakah mereka ini dan apakah bukti Perdana Menteri bahawa sumbangan kepada majlis peribadi tidak mempengaruhi apa-apa keputusan beliau selama ini?

4) Wajarkah Perdana Menteri berbelanja besar sebegini untuk majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini? Kos hampir RM800 setiap tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat.

 

Perdana Menteri boleh sahaja tidak mengendahkan soalan-soalan ini, tetapi dengan bertanyakan soalan sebeginilah rakyat dapat membongkar pelbagai penyelewengan yang berlaku di dalam pengurusan dana awam NFC sehinggakan Barisan Nasional terpaksa tunduk kepada tekanan rakyat.

Perdana Menteri membuat keputusan tidak menyambung tempoh perkhidmatan Dato’ Seri Shahrizat Jalil apabila persoalan moral bersabit integriti sebegini diajukan kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Apabila soalan-soalan yang sama diajukan kepada beliau sekarang, wajarlah beliau juga membuat ‘pengorbanan’ seperti yang dilakukan oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil dengan menjawab satu persatu secara ikhlas dan telus, demi menjaga integriti kerajaan.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

14 MAC 2012 

 

BEO – Birthday NTR Page1

BEO – Birthday NTR Page2

BEO – Birthday NTR Page3

Rakyat Requires Hard Evidence, Not Mere Denial: Eight Hard Evidence That Prime Minister Must Produce

I welcome the prompt official statement issued from the Prime Minister’s Office (PMO) denying that the public has footed the bill for the engagement ceremony of the Prime Minister’s daughter, despite a clear evidence in the form of a “Banquet Event Order” (BEO) from Shangrila Hotel that suggests otherwise as the whole booking and payment instructions were dealt with by the PMO.

PMO’s demand for my instant apology is premature at this junction as the two paragraphs statement consists of only mere denials, without any hard evidence or facts that can support the denial. Nor did the PMO dispute the veracity of the BEO document produced against the Prime Minister.

In the midst of widespread scepticism against Barisan Nasional’s commitment to combat corruption, a mere denial such as that is hardly convincing; let alone when there is a hard evidence produced that corroborates the allegation that PMO has managed the whole booking and payments of the event.

Therefore, in order to clear his name, I urge Dato’ Seri Najib Tun Razak to answer the following questions backed up by hard evidence in the form official documents to prove that the public did not foot the bill for his daughter’s engagement party:

 

First, he has to confirm (or deny) that the engagement party did cost as much as specified in the BEO document produced against him;

Second, he has to confirm (or deny) the veracity and authenticity of the Banquet Event Order (BEO) produced against him that clearly specifies the PMO as the party footing the bill;

Third, he has to instruct the PMO to produce the original copy of the Purchase Order sent to Shangrila Hotel to ascertain which party was originally responsible for making the order,

Fourth, he has to instruct the PMO to produce the original snapshot of the accounting transaction from the Government of Malaysia’s (GOM’s) accounting system which recorded the Purchase Order, to ascertain whether the order (allegedly raised by the PMO) was ever recorded in the accounting system,

Fifth, he has to instruct the PMO to produce the original copy of the invoice sent by Shangrila Hotel in relation to the event as it can be used to determine whether the whole expenses were charged personally to the Prime Minister as he claims,

Sixth, he has to instruct the PMO to produce the original snapshot of the accounting transaction from the Government of Malaysia’s (GOM’s) accounting system which recorded the invoice sent by Shangrila Hotel, to ascertain whether the liability to pay the invoice was ever recorded in the accounting system,

Seventh, he has to instruct the PMO to produce the original payment voucher made to Shangrila Hotel to ascertain the party which first settled the bill; and

Eight, he has to produce proof of payments in the form of a copy of his personal cheque used to pay, or his bank statements or any third party records of his financial transactions that can substantiate his claim that he did pay for the bill.

 

The rakyat can only be satisfied that the Prime Minister did not use the public money to pay for his daughter’s engagement banquet if these eight evidences can be produced to establish with certainty that at no time, the Government of Malaysia ever recorded a liability to pay for the bill. Even if the Prime Minister did reimburse the payment later on, if it can be established that the bill of almost half a million ringgit was at one point or another recorded in the accounting system of the government, that already constitutes an abuse of government position for his personal interest.

Unless these eight questions and hard evidences are produced to the public, he will grapple with the public perception that despite his massive campaign to portray him as a clean and transparent Prime Minister, he is no different from his other colleagues in the cabinet who allegedly use the public fund for personal gains.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

DIRECTOR OF STRATEGIES, KEADILAN

10 MARCH 2012 

Rakyat Perlukan Bukti, Bukan Sekadar Penafian: Lapan Bukti Yang Perlu Dikemukakan Perdana Menteri

Saya menyambut baik kenyataan rasmi yang pantas dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri menafikan bahawa perbelanjaan majlis pertunangan anak Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 17 Jun 2011 lalu dibiayai oleh wang rakyat melalui Pejabat Perdana Menteri, walaupun dokumen dari Hotel Shangrila yang mengendalikan majlis secara jelas menunjukkan semua urusan tempahan dan bayaran dibuat melalui Pejabat Perdana Menteri.

Persoalan saya memohon maaf tidak timbul kerana kenyataan dua perenggan itu hanyalah satu penafian, tanpa ada sebarang bukti atau fakta yang boleh menafikan kesahihan dokumen atau tuduhan yang dibawa terhadap Perdana Menteri.

Dalam suasana kepercayaan rakyat terhadap iltizam Barisan Nasional memerangi rasuah adalah sangat rendah, penafian semata-mata tidaklah mencukupi. Apatah lagi apabila dokumen yang dibawa menjadi bukti kukuh bahawa Pejabat Perdana Menteri mengendalikan urusan tempahan dan bayaran bagi majlis itu.

Oleh yang demikian, untuk membersihkan nama beliau, saya menyeru Dato’ Seri Najib Tun Razak menjawab perkara-perkara berikut dengan mengemukakan dokumen rasmi sebagai bukti perbelanjaan pertunangan anak beliau tidak dibayar oleh rakyat:

Pertama, beliau perlu mengesahkan sama ada perbelanjaan yang tertera seperti dokumen Hotel Shangrila itu adalah perbelanjaan majlis pertunangan anak beliau;

Kedua, beliau perlu mengesahkan sama ada dokumen Banquet Event Order (BEO) yang dikemukakan oleh saya adalah dokumen yang sah dan bukannya palsu;

Ketiga, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan kepada rakyat salinan Purchase Order (dokumen tempahan) yang dihantar kepada Hotel Shangrila untuk menentukan pihak manakah sebenarnya yang bertanggungjawab membuat tempahan tersebut;

Keempat, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan rekod perakaunan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia yang merekodkan Purchase Order tersebut, bagi menentukan sama ada tempahan direkodkan sebagai tanggungan Kerajaan Malaysia;

Kelima, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan kepada rakyat salinan invois yang dihantar oleh Hotel Shangrila kerana ia boleh menjadi bukti bahawa ia dicaj kepada Perdana Menteri atas kapasiti peribadi beliau ataupun ditanggung oleh Kerajaan Malaysia;

Keenam, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan rekod perakauan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia yang merekodkan invois tersebut, bagi menentukan sama ada bayaran akan dibuat oleh Kerajaan Malaysia; dan

Ketujuh, beliau perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan baucer bayaran yang dibuat kepada Hotel Shangrila untuk menentukan siapakah yang mula-mula sekali menyelesaikan tanggungan belanja majlis tersebut; dan

Kelapan, beliau perlu mengemukakan bukti bayaran yang dibuat oleh beliau dan keluarga beliau untuk menanggung perbelanjaan tersebut; termasuklah salinan cek, penyata bank atau dokumen-dokumen lain dari akaun bank peribadi beliau.

 

Sekiranya Perdana Menteri berjaya mengemukakan dokumen-dokumen ini dan membuktikan tidak pernah sekalipun caj tanggungan berjumlah hampir setengah juta itu direkodkan sebagai tanggungan Kerajaan Malaysia, barulah rakyat Malaysia boleh berpuas hati bahawa majlis mewah untuk pertunangan anak beliau itu tidak ditanggung rakyat Malaysia.

Jika tidak, beliau akan berdepan dengan persepsi rakyat bahawa beliau pun tidak ubah seperti menteri-menteri lain di dalam kabinetnya yang menggunakan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya untuk bermewah bagi tujuan peribadi.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

10 MAC 2012 

Perdana Menteri Seleweng Wang Rakyat Untuk Majlis Pertunangan Anak Beliau?

 

Pada 17 Jun 2011, Perdana Menteri dan isteri telah mengadakan satu majlis pertunangan anak perempuan beliau dengan pasangannya di Seri Perdana. Majlis tertutup itu dihadiri oleh pembesar negara, tokoh-tokoh terkenal dan sahabat handai Perdana Menteri dan isteri beliau.

Sejurus selepas majlis itu dilangsungkan, pimpinan KEADILAN telah mempersoalkan sama ada perbelanjaan majlis tersebut ditanggung oleh rakyat Malaysia? Dr Tan Kee Kwong, ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN telah tampil menyebut bahawa ada ura-ura ia ditanggung oleh rakyat Malaysia kerana dibayar oleh Pejabat Perdana Menteri.

Hari ini, KEADILAN mengemukakan bukti kukuh bahawa majlis tersebut dibiayai oleh rakyat Malaysia apabila keseluruhan urusan tempahan dan pembayaran dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri.

Dokumen yang disertakan bersama adalah dokumen tempahan catering  yang memperincikan kos berikut:

 

Kos jamuan VIP seramai 36 orang @ RM522 seorang                          RM18,792

Kos jamuan tetamu seramai 862 orang @ RM359.60 seorang          RM309,975

Kos pengendalian                                                                                                   RM81,000

Jumlah                                                                                                                        RM409,767

 

Rakyat memahami kehendak dan citarasa Perdana Menteri dan isteri yang sememangnya mahukan majlis dan jamuan yang terbaik untuk tetamu mereka. Tetamu tidak dihidangkan dengan menu rakyat 1Malaysia, sebaliknya menu yang mirip santapan diraja termasuklah daging panggang Australia, makanan-makanan laut dan pelbagai juadah yang diluar kemampuan dan imaginasi rakyat biasa.

Sementara itu hak peribadi mereka untuk mempunyai citarasa yang tinggi, adalah sangat memualkan apabila wang rakyat digunakan memenuhi nafsu dan citarasa mereka itu. Pada masa yang sama, Perdana Menteri membayar perunding-perunding untuk membina imej seorang yang makan bersama-sama rakyat dan menampilkan serba kesederhanaan.

KEADILAN telah membuat semakan dan berjaya mengesahkan bahawa individu-individu yang dinamakan di dalam dokumen tersebut adalah sahih dan bekerja di organisasi masing-masing.

Ini bukan perkara yang remeh walaupun jumlahnya hanyalah RM409,767 kerana ia melambangkan sikap sambil lewa kerajaan, bermula dari Perdana Menteri hinggalah ke menteri-menterinya menggunakan wang rakyat bagi kemewahan peribadi.

Dengan pendedahan-pendedahan setakat ini yang melibatkan menteri-menteri dan timbalan menteri, KEADILAN berpendapat sudah sampai masanya satu suruhanjaya diraja ditubuhkan menyiasat penyelewengan wang rakyat oleh Perdana Menteri, menteri-menteri dan timbalan menteri yang telah didedahkan setakat ini.

Perkara ini akan dibincangkan bersama-sama rakan di dalam Pakatan Rakyat untuk dibawa ke sidang Dewan Rakyat yang bermula minggu depan.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

9 MAC 2012 

 

“Banquet Event Order” dari hotel yang mengesahkan tempahan dan caj dikenakan ke atas Pejabat Perdana Menteri

 

 

 

Saman Balas Ke Atas Dato’ Seri Shahrizat Jalil Untuk Pastikan Kes NFC Terus Masuk Mahkamah

Peguam-peguam saya dan YB Zuraida Kamaruddin pada hari ini telah pun memfailkan pembelaan berhubung saman RM100 juta yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kertas pembelaan yang telah difailkan itu juga telah dihantar ke peguam Shafee & Co yang mewakili Dato’ Ser Shahrizat Jalil petang ini.

Pendirian saya adalah konsisten sejak dari awal mengenai keperluan membicarakan kes ini di mahkamah bagi merungkai sedalam-dalamnya penyelewengan yang berlaku di dalam NFC.

Saya khuatir bahawa pihak plaintiff mungkin mengambil keputusan untuk melengah-lengahkan perbicaraan ini atau menarik balik saman dalam masa terdekat untuk mengelakkan dokumen-dokumen penting dan pimpinan tertinggi Barisan Nasional diseret ke mahkamah memberi keterangan.

Demi kepentingan nasional dan setelah berbincang dengan peguam-peguam, saya mengambil keputusan untuk mengemukakan saman balas kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil atas kata-kata berbau fitnah yang diucapkan di dalam ucapan pembukaan beliau di Perhimpunan Wanita Umno pada 30 November 2011.

Saman balas ini memberi ruang kepada saya untuk memastikan bahawa kes NFC ini akan terus dibawa ke mahkamah dan dokumen-dokumen penting dapat dikemukakan di mahkamah bagi pengetahuan umum.

Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan keseluruhan pimpinan Barisan Nasional tidak lagi boleh berdolak dalih dari berdepan dengan rakyat dalam hal ini. Walaupun Perdana Menteri dan pimpinan kanan Barisan Nasional tidak serius dalam memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka keadilan, saya yakin jalan mahkamah memberi lebih ruang agar penyelewengan-penyelewengan lain yang belum didedahkan di bawa ke pengetahuan umum.

Tuntutan saman balas itu telah difailkan bersama-sama dengan pembelaan pada pagi ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

9 MAC 2012 

 

Kenyataan Pembelaan & Saman Tuntutan Balas ke Atas Dato’ Seri Shahrizat Jalil