All posts by rafiziramli

KEADILAN Mulakan Tindakan Mengikut Perlembagaan Untuk Mewujudkan Tribunal Memecat Pengerusi Dan Timbalan Pengerusi SPR

Pendedahan yang dibuat oleh Setiausaha Agong KEADILAN, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail bahawa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah ahli Umno mempunyai kesan yang besar di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Bukti yang dikemukakan oleh Dato’ Saifuddin Nasution Ismail mengenai keanggotaan Tan Sri Abdul Aziz Yusof di bahagian Umno Ampang sehingga kini tidak disanggah. Timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar pula mengaku secara terbuka beliau pernah menjadi ahli Umno. Sejak pendedahan dibuat dua minggu lalu, kedua-dua mereka tidak pernah menyatakan bahawa mereka telah membatalkan keanggotaan mereka.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai perlantikan dan keanggotaan SPR adalah jelas seperti termaktub di dalam Perkara 114, terutamanya Fasal 2 dan Fasal 4A seperti berikut:

(2) Pada melantik anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengambil perhatian tentang peri mustahaknya suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.

(4A) Sebagai tambahan kepada apa-apa kehilangan kelayakan yang diperuntukkan di bawah Fasal (4), pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu jika selepas tiga bulan pelantikannya ke jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, mana mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusahaan komersil, perindustrian atau pengusahaan lain, sama ada atau tidak dia menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

Dengan syarat bahawa kehilangan kelayakan itu tidaklah terpakai jika organisasi atau badan itu menjalankan apa-apa kerja kebajikan atau sukarela atau tujuan yang berfaedah kepada masyarakat atau mana-mana bahagiannya, atau apa-apa kerja atau tujuan lain yang bersifat khairat atau sosial, dan anggota itu tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

Keanggotaan kedua-dua pegawai tertinggi SPR ini di dalam sebuah parti politik secara jelas melanggar Perkara 114, Fasal 2 dan Fasal 4A. Apatah lagi apabila kedua-dua mereka mengaku menjadi ahli atau tidak menafikan mereka pernah menjadi ahli.

Tuntutan yang dikenakan oleh Perkara 114 adalah jelas; iaitu dalam masa tiga bulan dilantik ke jawatan Pengerusi atau Timbalan Pengerusi SPR, mereka perlu menarik diri dari semua badan yang termaktub di bawah Fasal 4A dengan membatalkan keahlian mereka. Sebagai pegawai tertinggi SPR, kecuaian mereka tidak menyemak dan membatalkan keahlian parti politik adalah satu kesalahan besar yang melanggar peruntukan Perlembagaan.

Oleh yang demikian, KEADILAN akan memulakan tindakan bersesuaian dengan Perlembagaan untuk memecat kedua-dua mereka dari SPR. Mengikut peruntukan Perlembagaan, sebuah tribunal perlu ditubuhkan untuk membicarakan kecuaian dan pelanggaran peruntukan Perlembagaan seperti yang didakwa seterusnya mengambil tindakan memecat kedua-duanya jika didapati bersalah.

KEADILAN akan menulis secara rasmi kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi menggesa penubuhan tribunal ini. Surat rasmi ini akan diserahkan secara tangan ke Pejabat Perdana Menteri Khamis 10 Mei 2012 ini.

Kebebasan pilihanraya umum akan datang bergantung kepada kredibiliti SPR. Maka, Dato’ Seri Najib sewajarnya tidak melengah-lengahkan penubuhan tribunal ini.

YB SIVARASA RASIAH
AHLI PARLIMEN SUBANG

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

8 MEI 2012

Kontrak Asrama KUIS: Bukti Penyelewengan Umno Punca Yuran Pengajian Tinggi, Beban Pelajar

Ekoran polemik mengenai pemansuhan PTPTN dan tawaran pendidikan percuma yang dibuat KEADILAN dan Pakatan Rakyat, ada pihak yang cuba menempelak kerajaan Pakatan Rakyat kononnya supaya yuran pengajian dihapuskan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) milik kerajaan negeri.

Hari ini, KEADILAN tampil dengan jawapan kepada hujah tersebut dengan memberi contoh bagaimana penyelewengan dan ketamakan pimpinan Umno yang mengambil kesempatan sepenuhnya dari dasar memperniagakan pendidikan yang dibawa Umno menjadi punca yuran pengajian yang tinggi dan membebankan pelajar.

Salah sebuah institusi utama yang dimiliki Kerajaan Selangor adalah Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Pada tahun 2007, sebuah syarikat bernama Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) telah dianugerahkan kontrak untuk membina asrama dan pusat pelajar bagi menampung keperluan 6,000 pelajar KUIS. Perjanjian yang ditandatangani oleh Kerajaan Selangor pimpinan Dato’ Seri Khir Toyo menetapkan bahawa RRSB akan diberikan konsesi untuk membina dan menyewakan kembali kemudahan itu selama 33 tahun kepada KUIS.

RRSB ialah sebuah syarikat yang dikuasai oleh Sulaiman Abdul Razak, seorang pemimpin Umno Selangor yang juga ADUN Permatang. Beliau memiliki saham sebanyak 7,200,000 saham bersamaan 51% pegangan di dalam RRSB, sementara isteri beliau, Jamaliah Kamarudin pula memiliki 800,000 saham bersamaan 6% pegangan. Baki 43% pegangan dimiliki oleh Bina Puri Holdings Bhd iaitu syarikat sub-kontraktor yang menjalankan sepenuhnya operasi pembinaan dan penyenggaraan asrama.

(Sila lihat carian syarikatdi Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang dilampirkan sebagai bukti pegangan saham)

RRSB disokong sepenuhnya oleh Kerajaan Selangor di bawah Umno. Malah, Dato’ Seri Khir Toyo menjadi saksi pemeteraian perjanjian pinjaman sebanyak RM125.8 juta di antara RRSB dan bank-bank pembiaya pada 3 Ogos 2007 untuk membiayai pembinaan asrama pelajar KUIS ini.

(Sila lihat keratan akhbar BERNAMA bertarikh 3 Ogos 2007 yang dilampirkan)

Kontrak pembinaan ini kemudiannya diberikan kepada Bina Puri Holdings Bhd dengan RRSB hanyalah menjadi orang tengah. Dalam Laporan Tahunan 2006, Bina Puri Holdings Bhd melaporkan telah mendapat kontrak berjumlah RM96.1 juta untuk membina asrama dan pusat pelajar, yang dianugerahkan oleh RRSB.

(Sila lihat Laporan Tahunan 2006 BPHB, muka surat 15 yang dilampirkan)

Malangnya, dengan kos hanya sebanyak RM96.1 juta, RRSB yang dimiliki ADUN Permatang ini telah dianugerahkan konsesi asrama pelajar KUIS oleh kerajaan Umno di bawah pimpinan Dato’ Seri Khir Toyo selama 33 tahun pada kadar tahunan RM15.4 juta setahun. Maka, bagi sepanjang tempoh 33 tahun, RRSB milik ADUN Permatang akan mendapat durian runtuh sebanyak RM508 juta walaupun kesemua urusan hanyalah “atas angin” dan kosnya sekadar berjumlah RM97 juta sahaja iaitu keuntungan 524%.

(Sila rujuk Penyata Pendapatan MAIS dari Laporan Tahun 2010, “Kos Jualan: Sewa Asrama” berjumlah RM15.4 juta setahun yang dilampirkan)

Konsesi sewa asrama yang mahal dan berat sebelah ini membebankan pengurusan KUIS. Anggaran kadar sewa yang dikira berpatutan adalah lebih separuh dari kadar sekarang, iaitu sebanyak RM6 juta setahun.

Oleh kerana terikat dengan konsesi sewa asrama yang berat sebelah dan dimeterai semata-mata untuk menguntungkan pimpinan Umno, maka sehingga kini KUIS tidak dapat menurunkan yuran apatah lagi menanggung yuran secara percuma.

Pada prinsipnya juga, kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat tidak wajar menanggung yuran selagi konsesi berat sebelah berbau penyelewengan dan rasuah ini tidak ditamatkan serta merta. Jika yuran ditanggung, ia bermakna mengkayakan lagi pemimpin Umno yang sudah jelas bermewah atas kesengsaraan rakyat.

Oleh itu, saya mencabar supaya pimpinan Umno mengarahkan YB Sulaiman Abdul Razak menarik diri dari konsesi itu dengan sukarela agar kadar sewa asrama lebih adil dan tidak menindas pelajar di KUIS, sebelum pimpinan Umno ghairah menuding jari mendesak kerajaan Selangor melaksanakan pendidikan percuma.

Seperti yang ditegaskan KEADILAN, jika rasuah dan penyelewengan dibanteras, kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk menyediakan pendidikan percuma.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

2 MEI 2012

Dato’ Seri Shahrizat Jalil Salahguna Dana Rakyat Biayai Program Wanita Umno Melalui Majlis Pembangunan Wanita Dan Keluarga (MPWK)

Dato’ Seri Shahrizat Jalil bertanggungjawab menubuhkan Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) sebaik sahaja beliau mula-mula dilantik menjadi menteri penuh. Pengumuman mengenai penubuhan majlis ini dibuat pada 29 Jun 2001.

Pada asalnya, keanggotaan MPWK adalah terdiri dari EXCO wanita dari kerajaan-kerajaan negeri di seluruh Malaysia. Malangnya, sejak penubuhan hingga ke hari ini, ia telah disalahgunakan sebagai sebuah organisasi haram yang dianggotai oleh Ketua-ketua Wanita Umno dan pimpinan Wanita Umno di setiap kawasan parlimen dan diberikan peruntukan yang besar oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diketuai Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Semakan dengan Pendaftar Pertubuhan mengesahkan bahawa MPWK tidak berdaftar dan dikategorikan sebagai pertubuhan haram.

MPWK mempunyai anggota di peringkat negeri dan parlimen. Ketua MPWK di peringkat negeri adalah Ketua Wanita Umno Negeri, manakala di peringkat parlimen adalah Ketua Wanita Umno Bahagian.

KEADILAN mempunyai bukti mengenai perbelanjaan dan peruntukan yang telah disalurkan kepada kesemua bahagian Wanita Umno di seluruh negara dengan berselindung di sebalik pertubuhan haram yang diberi nama MPWK ini.

Hari ini, Wanita KEADILAN menampilkan bukti bagaimana kerajaan menanggung perbelanjaan yang tinggi untuk program mewah di hotel mahal yang dihadiri oleh keseluruhan jentera kepimpinan Wanita Umno seluruh Malaysia, atas nama MPWK. Surat jemputan yang dilampirkan bersama dialamatkan kepada Puan Normah Mohd Saman iaitu Ketua Wanita Umno Wangsa Maju.

Pembiayaan aktiviti parti dan perbelanjaan yang memberi manfaat kewangan kepada pimpinan parti dengan menggunakan wang rakyat dan dana kerajaan adalah satu kesalahan besar di sisi undang-undang. Ini adalah penyelewengan dan salahguna kuasa yang nyata yang telah dilakukan oleh Wanita Umno di bawah kepimpinan Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Oleh itu, Wanita KEADILAN mendesak:

1. Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membubarkan serta merta MPWK ini dan menghentikan semua perbelanjaan dan dana yang disalurkan kepada MPWK;

2. Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu mengarahkan siasatan dalaman di peringkat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan serta merta bagi mengenalpasti sejauh mana penyelewengan telah berlaku sejak 2001;

3. Dato’ Seri Shahrizat Jalil meletak jawatan serta merta sebagai Ketua Wanita Umno kerana telah terbukti beliau terbabit di dalam penyalagunaan wang rakyat; dan

4. SPRM menjalankan penyiasatan serta merta untuk menentukan sejauh mana salahguna kuasa telah berlaku sejak 2001.

Wanita KEADILAn akan terus mengemukakan bukti sekiranya tidak ada maklumbalas dari Dato’ Seri Najib Tun Razak, Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan SPRM.

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
KETUA WANITA KEADILAN

2 MEI 2012

Konvensyen MPWK 2012

Surat Debat PTPTN

Saya telah mengutus surat secara rasmi kepada Sinar Harian menyatakan persetujuan kedua-dua belah pihak menyerahkan urusan debat PTPTN kepada Sinar Harian.

Debat akan dijalankan pada 3 Mei 2012, butir-butir lain akan ditentukan oleh Sinar Harian. Perkara ini juga telah dipersetujui oleh Pemuda Umno.

Surat Debat PTPTN Kepada Sinar Harian

Hartanah Di Mont Kiara: Keluarga Dato’ Seri Shahrizat Terus Dapat Manfaat Kewangan Dari Dana Rakyat

Walaupun Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa aset NFC telah dibekukan, hakikatnya keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil masih lagi mendapat bayaran bulanan yang lumayan dari harta-harta yang dibeli menggunakan dana NFC.

Selain dari pelbagai kondominium yang telah didedahkan kini, keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil juga mendapat kutipan sewa dari hartanah-hartanah yang dibeli dengan dana NFC dan kemudiannya disewakan kembali kepada NFC dan syarikat-syarikat bersekutu yang lain.

Bukti yang paling kukuh ialah dua premis utama operasi NFC iaitu pejabatnya di alamat L-3A, No. 2, Jalan Solaris, Solaris Mont Kiara dan restoran mewah Meatworks di alamat 2G 3A, Jalan Solaris 5, Solaris Month Kiara.

KEADILAN berjaya mendapatkan rekod hakmilik dan nilaian kedua-dua hartanah dari carian rasmi dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (sila rujuk dokumen carian harta JPPH yang disertakan bersama).

4 unit ruang pejabat yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutu di Tingkat 3A, Jalan Solaris dimiliki bersama oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan anaknya Wan Izanur Izran. Salah satu unit iaitu Unit L-3A-3A berjaya dipadankan dengan carian harta di JPPH atas nama Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail yang dibeli pada harga RM814,550.

Semakan pembayaran dari rekod kewangan NFC pula menunjukkan bahawa pada setiap bulan, NFC akan membuat dua pembayaran sewa pejabat seperti berikut:

RM28,000 setiap bulan kepada Wan Shahinur Izran
RM8,240 setiap bulan kepada Dato’ Seri Mohamad Salleh

Ini menimbulkan beberapa kesimpulan dan persoalan besar seperti berikut:

1. Dua orang pengarah NFC telah menyalahgunakan wang syarikat dengan mendapatkan pinjaman bank bagi hartanah yang kemudiannya disewakan kembali kepada syarikat;

2. Adakah urusniaga pembelian hartanah atas nama peribadi tetapi dibayar menggunakan kutipan sewa dari NFC dan syarikat bersekutu ini mendapat kelulusan Lembaga Pengarah? Jika tidak, Dato’ Seri Salleh Ismail dan Wan Shahinur Izran perlu disiasat atas kemungkinan pecah amanah wang syarikat;

3. Bayaran sewa yang dikutip oleh Dato’ Seri Salleh Ismail iaitu RM8,240 sebulan bagi ruang pejabat bernilai RM814,550 adalah terlalu tinggi. Jika pembelian ini dibiayai dengan pinjaman selama 25 tahun pada kadar faedah semasa, bayaran bulanan dianggarkan sekitar RM4,800 sebulan. Ini bermakna Dato’ Seri Salleh Ismail membuat keuntungan 72% setiap bulan; iaitu kadar keuntungan yang terlalu tinggi dari wang rakyat.

4. Jika ini keadaannya dengan unit L-3A-3A yang dimiliki oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail, sudah tentu kadar keuntungan serupa juga dibayar oleh NFC kepada Wan Shahinur Izran bagi ruang-ruang pejabat lain yang dimiliki beliau.

Kaedah membeli hartanah atas milikan peribadi dan dibiayai oleh bayaran sewa oleh NFC dan syarikat bersekutu turut digunapakai dalam hartanah-hartanah lain.

Ruang niaga restoran yang disewa oleh RFC bagi operasi Meatworks di Mont Kiara pula dimiliki oleh Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh.

Carian rasmi di JPPH menunjukkan beliau mempunyai dua ruang kedai iaitu unit 2 dan 3. Unit 2 berharga RM8.4 juta sementara unit 2 berharga RM5.7 juta. Ruang ini disewakan kepada RFC yang membayar sewa bulanan kepada Wan Shahinur Izran menggunakan dana RM250 juta yang dibiayai oleh rakyat.

Walaupun saya tidak mempunyai rekod kewangan terperinci bagi RFC dan syarikat-syarikat bersekutu yang lain, saya percaya Wan Shahinur Izran turut mendapat bayaran sewa yang lumayan dari dua ruang restoran yang dimilikinya. Saya menganggarkan beliau memperolehi pendapatan sewa RM150,000 sebulan dari dua unit hartanah bernilai RM14.1 juta ini, mengambil kira kadar keuntungan sama yang diperolehi Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail.

Ini membuktikan sekali lagi bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghentikan penyelewengan wang rakyat walaupun pelbagai pendedahan telah dibuat. Beliau berharap dengan pengunduran sementara Dato’ Seri Shahrizat Jalil dari jawatan kabinet, skandal ini akan reda sementara beliau membiarkan keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil terus bermewah dengan wang rakyat sebanyak RM250 juta.

KEADILAN akan membuat laporan polis susulan berikutan pendedahan ini agar Wan Shahinur Izran dan Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail disiasat atas kemungkinan pecah amanah dalam urusan sewa beli hartanah-hartanah yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutunya di Mont Kiara.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

24 APRIL 2012