All posts by rafiziramli

Campur Tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak Bertentangan Dengan Keputusan Awal Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan

Walaupun KEADILAN telah memaklumkan bahawa pendedahan bersiri mengenai anugerah kontrak bernilai RM1 bilion projek sambungan LRT Ampang akan membuktikan campur tangan terus Dato’ Seri Najib Tun Razak, sehingga kini beliau masih belum bersuara.

Saya percaya beliau memahami betapa besarnya kesan pendedahan ini kepada kredibiliti pentadbiran beliau. Desas-desus campur tangan beliau yang bertentangan dengan penilaian bidaan (bid evaluation) dan tindakan beliau menolak semua keputusan yang telah dibuat di peringkat jawatankuasa bertanggungjawab menjadi bahan bualan di kalangan mereka yang terbabit di dalam projek ini.

Ia menguatkan lagi pandangan komuniti perniagaan di dalam dan luar negara bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak dan keluarga beliau memainkan peranan mempengaruhi pelbagai keputusan tender dan berkait rapat dengan pihak yang berkepentingan.

Dalam kes kontrak kerja-kerja sambungan LRT Ampang yang bernilai lebih RM1 bilion, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada minggu lepas melahirkan hasrat beliau untuk menganugerahkan kontrak tersebut kepada Konsortium George Kent, seperti yang dilaporkan oleh Business Times bertarikh 22 Jun 2012 yang lalu.

Ini bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) yang bersidang pada 25 Januari 2012. JPMK adalah jawatankuasa perolehan tertinggi di peringkat Kementerian Kewangan dan dipengerusikan sendiri oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan.

Keputusan mesyuarat JPMK dengan rujukan T/1/M/1/2012 dengan secara jelas menolak cadangan Prasarana Negara untuk melantik PDA Consortium sebagai kontraktor projek ini (seperti yang didedahkan sebelum ini oleh KEADILAN).

Sebaliknya, JPMK mengarahkan supaya pakej kontrak itu dianugerahkan kepada Konsortium Balfour Beatty-Invensys pada harga RM1,012,910,000.
Keputusan itu ditandatangani sendiri oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak (Menteri Kewangan), Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah (Menteri Kewangan II) dan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) seperti yang dilampirkan bersama.

Keputusan JPMK itu kemudiannya disampaikan secara bertulis oleh Kementerian Kewangan kepada Dato’ Shahril Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana melalui satu surat bertarikh 26 Januari 2012 (yang dilampirkan bersama).


Rentetan keputusan ini menimbulkan persoalan-persoalan berikut yang perlu dijawab segera oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak:

1. Kenapakah Konsortium George Kent begitu yakin akan memenangi kontrak ini seperti yang dilaporkan oleh media kebelakangan ini, walaupun keputusan anugerah kontrak telah dibuat seawal 25 Januari 2012?

2. Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu menafikan bahawa beliau menandatangani kertas keputusan JPMK jika dokumen yang saya tunjukkan hari ini adalah palsu;

3. Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu menjelaskan atas faktor apakah beliau mengubah fikiran sehingga campur tangan untuk menolak keputusan awal anugerah projek yang beliau sendiri sama-sama bersetuju; dan

4. Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu meyakinkan rakyat Malaysia bahawa campur tangan beliau di dalam anugerah projek ini langsung tidak ada unsur rasuah atau penyelewengan.

KEADILAN akan terus menunggu maklum balas daripada Dato’ Seri Najib Tun Razak berhubung perkara ini dan akan terus membuat pendedahan.

Pun begitu, saya yakin bahawa campur tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak sudah pun melanggar etika pentadbiran telus dan berbaur penyelewengan kuasa. Oleh yang demikian, KEADILAN akan membuat satu laporan polis dan laporan SPRM terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak pada hari Jumaat 29 Jun 2012 untuk mendesak perkara ini disiasat secepat mungkin.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
27 JUN 2012

Surat & Minit JPMK

Dakwaan “Master Account” Oleh Dato’ Murad Khalid Merujuk Kepada Pegangan Harta Beliau Sendiri

Ekoran dari permainan Umno/Barisan Nasional menimbulkan kembali dakwaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempunyai banyak akaun untuk menyimpan saham dan hartanah, saya telah mengambil inisiatif sendiri meneliti semua fakta dan dakwaan yang dibuat terhadap beliau.

Atas nama kebenaran dan keinginan untuk membongkar perkara sebenar, saya telah menyelidik perkara ini secara peribadi.

Dakwaan bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempunyai banyak akaun saham dan hartanah sehingga mencecah nilai RM3 bilion ini timbul dari perakuan bersumpah (statutory declaration) yang dibuat oleh Dato’ Murad Khalid, bekas Penolong Gabenor Bank Negara di antara tahun 1994 dan 1999.

Perakuan bersumpah beliau tidak memberikan fakta dan senarai semua harta yang didakwanya dimiliki oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Sebaliknya, ia hanyalah dakwaan dengan menyebut beberapa nama yang kemudiannya dikaitkan dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Oleh yang demikian, saya berpendapat untuk mengesahkan sama ada dakwaan beliau benar atau tidak, saya tidak ada pilihan lain kecuali menyiasat latar belakang Dato’ Murad Khalid sendiri.

Jika rekod beliau sendiri pun tercalar dengan dakwaan rasuah dan salahguna kuasa, ini menimbulkan keraguan bahawa perakuan bersumpah yang dibuat beliau adalah tidak benar, terutamanya apabila beliau tidak menyenaraikan pun harta atau saham yang kononnya dimiliki oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Hasil siasatan saya mengenai latar belakang Dato’ Murad Khalid menimbulkan dakwaan-dakwaan berikut:

1. Bahawa ketika beliau menjadi pegawai tinggi Bank Negara Malaysia, seawal tahun 1991 beliau menerima habuan dalam bentuk pembayaran keahlian kelab golf dan yuran bulanan dari pihak ketiga yang melanggar etika dan peraturan Bank Negara Malaysia;

2. Bahawa ketika beliau menjadi pegawai tinggi Bank Negara Malaysia, insuran kediaman beliau bagi perlindungan berjumlah RM3.1 juta dibayar oleh pihak ketiga yang melanggar etika dan peraturan Bank Negara;

3. Bahawa melalui satu syarikat bernama Kenworth Sendirian Berhad yang berhubung kait dengan beliau, Dato’ Murad Khalid mempunyai kepentingan dan mendapat manfaat dari 15 unit kondominium di Pelangi Indah Condo; dan

4. Pelbagai salah laku lain yang akan dibongkarkan dari satu masa ke satu masa kelak.

Saya mengajukan pendapat bahawa dakwaan Dato’ Murad Khalid mengenai kewujudan “master account” yang memegang hartanah dan saham sebenarnya merujuk kepada pegangan beliau sendiri.

Siasatan saya menunjukkan beliau mempunyai hubungan dengan banyak syarikat yang mempunyai kepentingan dengan Bank Negara dan industri perbankan di Malaysia. Ini menimbulkan tanda tanya sama ada beliau terlibat dalam pelbagai salah laku dan penyelewengan serta menggunakan kedudukan beliau untuk mengumpul harta, sehinggakan kelemahan ini dimanipulasi oleh musuh-musuh Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membuat perakuan bersumpah palsu terhadap beliau.

Saya menasihatkan Dato’ Murad Khalid supaya kembali ke pangkal jalan dan memperbetulkan keadaan dengan berterus terang. Saya juga perlu memaklumkan kepada Dato’ Murad Khalid bahawa saya mempunyai salinan surat asal beliau kepada Tun Mahathir Mohamad yang membawa pelbagai implikasi buruk kepada beliau dan beberapa pimpinan tertinggi Umno.

Sebelum perkara ini berlarutan, saya menasihatkan Dato’ Murad Khalid tampil ke hadapan meminta maaf seperti mana yang pernah beliau lakukan secara peribadi kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sudah sampai masanya fitnah selama 13 tahun ini dihentikan supaya rakyat Malaysia boleh maju menumpukan isu-isu negara dan rakyat yang membina.


MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
27 JUN 2012

Skandal Kontrak Pembinaan Projek Tambahan Sistem LRT Ampang Melibatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak

Saya merujuk kepada satu laporan yang disiarkan oleh Business Times bertarikh 22 Jun 2012 yang menyebut sumber-sumber yang rapat dengan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) mengesahkan sebuah konsortium yang diketuai oleh George Kent akan dianugerahkan kontrak bernilai RM960 juta. Kontrak tersebut adalah bagi kerja-kerja projek tambahan sistem LRT Ampang (“The Engineering, Procurement, Construction, Testing and Commissiong of System Works for the Ampang Line Extension Project”).

KEADILAN mendapat maklumat yang rapat dengan kerajaan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri campur tangan di dalam hal ini untuk memastikan kontrak tersebut dianugerahkan kepada George Kent, sedangkan beliau pernah berjanji untuk berlaku telus dan memastikan semua kontrak besar dijalankan secara tender terbuka.

KEADILAN dimaklumkan bahawa laporan Business Times itu dibuat selepas Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan sendiri kepada pimpinan kerajaan hasrat beliau menganugerahkan projek tersebut kepada George Kent.

Walau bagaimana pun, campur tangan beliau itu tidak disenangi oleh pengurusan Prasarana kerana bertentangan dengan penilaian bidaan yang telah dijalankan oleh Prasarana sebelum itu.

KEADILAN boleh mendedahkan bahawa George Kent bukanlah konsortium yang telah terpilih bagi projek tersebut setelah melalui proses tender terbuka yang dijalankan oleh Prasarana. Ini disahkan oleh surat bertarikh 12 Disember 2011 dari Dato’ Shahril Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana kepada Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan bahawa Konsortium PDA telah dipilih sebagai kontraktor terbaik bagi projek tersebut.

Dato’ Shahril Mokhtar telah menulis kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri untuk mendapatkan kelulusan mengeluarkan Surat Setuju Terima kepada Konsortium PDA.

Perkembangan terbaru seperti yang dilaporkan oleh Business Times mengesahkan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak bertindak menukar keputusan Prasarana dan menolak proses tender terbuka dalam projek mega yang melibat berbilion wang rakyat.

Ini mengesahkan persepsi masyarakat bahawa berlaku campur tangan dan penyelewengan yang serius melibatkan anugerah projek-projek awam di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, walaupun beliau sering melaungkan janji untuk berlaku telus dan adil.

KEADILAN akan melakukan pendedahan setiap dua hari bermula hari ini mengenai skandal ini yang bakal menguji komitmen Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada usaha membanteras rasuah dan penyelewengan.

Pendedahan-pendedahan ini adalah juga balasan dari saya kerana tindakan jijik Umno di bawah kepimpinan beliau memutar belitkan keputusan saya menarik diri dari Kerajaan Selangor untuk menumpukan perhatian merancang strategi pilihanraya KEADILAN.

Saya betul-betul menasihati Dato’ Seri Najib Tun Razak supaya menangani skandal ini dengan baik demi menjaga imej pentadbiran beliau.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
25 JUN 2012

Fokus Menumbangkan Umno/Barisan Nasional

Keputusan peribadi saya untuk menarik diri dari jawatan di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor telah diperbesarkan oleh media Umno bahawa kononnya ia petanda wujud keretakan di dalam pentadbiran Kerajaan Selangor yang ditunjangi KEADILAN.

Saya telah menjelaskan seawal minggu lepas bahawa ia keputusan peribadi yang telah lama saya rancang demi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada usaha KEADILAN dan Pakatan Rakyat menumbangkan Umno/Barisan Nasional.

Saya mula-mula menyatakan hasrat untuk menarik diri dari pentadbiran Kerajaan Selangor dalam bulan Oktober 2011 semasa KEADILAN mula menumpukan perhatian serius membongkarkan penyelewengan NFC. Memandangkan tarikh pilihanraya umum belum jelas ketika itu, saya diminta menangguhkan hasrat itu.

Kini, pembubaran Dewan Rakyat perlulah dibuat dalam tempoh kurang dari satu tahun. Dengan kepastian ini, saya yakin masa dan tenaga saya lebih baik ditumpukan kepada usaha merancang kempen KEADILAN dan menyusun strategi menghadapi pilihanraya. Apatah lagi apabila pentadbiran Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim adalah utuh dan telah mempamerkan pencapaian cemerlang setakat ini.

Oleh yang demikian, saya sekali lagi menegaskan bahawa perletakan jawatan ini adalah satu tindakan biasa yang juga dilandaskan pada asas moral kerana seorang ahli politik tidak wajar dibayar gaji dari wang rakyat apabila tumpuannya cenderong kepada aktiviti politik partinya.

Malang sekali, konsep kebertanggungjawaban sebegini tidak wujud di dalam Umno/Barisan Nasional.

Saban hari, Umno/Barisan Nasional menggunakan jawatan dan kemudahan kerajaan yang ditanggung oleh rakyat untuk membayar pimpinan dan aktivis mereka; sedangkan keseluruhan masa digunakan untuk berkempen politik bagi parti mereka.

Contoh penyelewengan wang rakyat sebegini ialah kehadiran lantikan politik di jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan sedangkan mereka bertugas untuk Umno/Barisan Nasional.

Malah, sebuah jabatan khas iaitu JASA ditubuhkan semata-mata untuk membayar gaji pimpinan dan aktivis Umno/Barisan Nasional yang kemudiannya digunakan sepenuhnya untuk berkempen politik.

Sudah menjadi budaya Umno/Barisan Nasional bahawa seorang pemimpin berebutkan jawatan politik untuk mendapat tempat di dalam kerajaan dan menikmati habuan lumayan sedang mereka tiada sumbangan kepada kerajaan.

Oleh sebab itulah, Umno/Barisan Nasional cepat-cepat memutar belitkan tindakan saya menarik diri dari Kerajaan Selangor kerana mereka berfikiran budaya politik di dalam KEADILAN sama seperti yang diamalkan mereka.

KEADILAN adalah sebuah parti reformasi. Budaya politik kami berbeza dan saya cukup tidak selesa menerima gaji dari tabung rakyat apabila tumpuan saya lebih kepada kerja politik. Selain mahu menumpukan sepenuhnya kepada usaha menumbangkan Umno/Barisan Nasional, saya juga mahu terus kekal dengan perjuangan reformasi yang memisahkan kerja politik dari dana rakyat.

Rakyat akan dapat menghakimi sendiri putar belit Umno/Barisan Nasional ini apabila saya makin lantang membongkarkan rasuah dan penyelewengan mereka.

Hari ini bermula siri pendedahan besar berhubung Projek LRT Ampang yang melibatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri.

Esok saya akan mula duduk berbincang dengan Cik Faekah Hussin untuk meneliti semula fail-fail penyelewengan yang berlaku di Selangor semasa pentadbiran Umno dahulu, sebagai menyahut seruan pimpinan Umno agar saya membongkarkan penyelewengan yang berlaku di Selangor.

Oleh kerana penyelewengan yang berlaku hanyalah semasa Umno memerintah, maka senanglah saya menumpukan sepenuh perhatian menyiasat penyelewengan ini seperti yang diminta mereka.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
25 JUN 2012

Jaminan Menteri Pendidikan Tinggi Bahawa Pelajar Tidak Akan Dimangsakan Lagi

Saya mengalu-alukan pengumuman Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor berhubung penubuhan dana RM30 juta untuk membantu pelajar-pelajar Unisel yang terkesan dengan pembekuan pinjaman PTPTN.

Iltizam Kerajaan Pakatan Rakyat untuk melakukan yang termampu bagi memastikan kebajikan pelajar tidak terjejas adalah sangat bertentangan dengan sikap tiga orang Menteri Umno iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Khaled Nordin dan Dato’ Seri Noh Omar yang gembira dengan kesusahan pelajar demi permainan politik mereka.

Kemarahan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat – dari Pakatan Rakyat, kumpulan mahasiswa, orang kebanyakan hinggalah pimpinan Barisan Nasional sendiri – akhirnya memaksa Dato’ Seri Khaled Nordin dan PTPTN menghentikan tindakan memangsakan pelajar Unisel itu.

Kenyataan tidak rasmi bahawa PTPTN telah membatalkan arahan pembekuan pinjaman kepada pelajar Unisel disambut dengan perasaan lega.

Pun begitu, suka saya mengingatkan Dato’ Seri Khaled Nordin supaya jangan sekali-kali cuba memperjudikan masa depan dan kebajikan pelajar demi kepentingan politik Umno. Sebagai orang yang bertanggungjawab mengarahkan pembekuan pinjaman PTPTN, beliau wajar memberi jaminan bahawa PTPTN tidak akan membekukan pembiayaan kepada mana-mana institusi atau pelajar yang layak menerimanya.

KEADILAN akan terus mendesak menteri terbabit mengeluarkan jaminan agar tindakan kebudakan-budakan oleh PTPTN di Unisel tidak akan berulang lagi.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI

8 JUN 2012