Harga Barang: Naik Atau Turun Selepas GST Dimansuh?

06 - 19 - 1

 

Antara isu yang paling penting untuk rakyat biasa adalah harga barang. Saya juga sangat berminat dengan kesan pemansuhan GST ke atas harga barang kerana jika harga barang turun, itu akan banyak membantu rakyat biasa.

Apa faktor-faktor yang mempengaruhi harga barang?

Ada 3 perkara besar yang mempengaruhi harga barang:

(i) kerajaan yang menetapkan dasar-dasar dan peraturan yang perlu dipatuhi dan diterjemahkan menjadi harga barang – contohnya harga kawalan, harga siling, harga minyak, tarif elektrik, subsidi yang diberikan, kadar cukai dan lain-lain

(ii) peniaga yang mengambil kira semua kehendak undang-undang dan dicampur pula dengan margin keuntungan dalam menetapkan harga barang

(iii) pengguna (orang ramai) yang menentukan permintaan dan kesanggupan membeli barang dan perkhidmatan pada harga yang ditetapkan oleh peniaga (yang tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan kerajaan)

Apabila Kerajaan Persekutuan menghapuskan GST, itu menyelesaikan sebahagian dari perkara yang menyebabkan harga barang yang berada di dalam kawalan kerajaan. Pada dasarnya, apabila Kerajaan Persekutuan tidak lagi mengutip 6% ke atas setiap pembelian, harganya sepatutnya turun sekurang-kurangnya 6% ke atas setiap harga.

Tetapi ada peniaga yang akur, ada peniaga yang mengambil pendirian berlainan. Ada yang mengatakan selama ini harga dengan GST itu bermakna mereka menanggung GST, jadi bila GST dihapuskan, mereka enggan menurunkan harga barang kerana mereka beranggapan merekalah yang menanggung GST selama ini, bukannya pengguna.

Keputusan menetapkan harga mengikut undang-undang itu masih lagi keputusan peniaga. Peniaga juga adalah rakyat – selagi mereka menetapkan harga mengikut undang-undang, mereka bergantung kepada pengguna untuk membeli atau tidak.

Ada banyak peruntukan undang-undang yang boleh digunapakai untuk memastikan peniaga menetapkan harga mengikut peraturan dan tidak mengambil keuntungan yang melampaui batas atau mengambil kesempatan. Antaranya:

(i) Peniaga yang masih mengutip GST boleh dikenakan tindakan serta merta kerana GST telah dihapuskan

(ii) Peniaga yang menaikkan harga dengan tidak munasabah boleh dikenakan tindakan oleh KPDNKK di bawah Akta Anti Pencatutan 2011

(iii) Peniaga yang tidak mempamerkan harga boleh dikenakan tindakan di bawah pelbagai akta sedia ada; dan lain-lain

Saya akan terus memantau kedudukan harga barang setakat yang termampu, dengan keterbatasan saya sebagai rakyat biasa, seperti anda.

Namun, pengalaman saya menguruskan sukarelawan melalui INVOKE juga meyakinkan saya bahawa ada banyak perkara yang kita dapat capai bersama sebagai rakyat.

Pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNKK ada kekangan untuk bertindak dengan berkesan kerana saya pasti ada ribuan laporan mengenai kenaikan harga setiap minggu. Orang ramai pula mungkin tidak tahu bahawa harga yang mereka bayar itu sebenarnya tinggi, kerana mereka tidak boleh membandingkannya dengan harga di kedai atau tempat lain.

Lebih penting, saya pasti bila ada pendedahan kedai mana dan peruncit mana yang mengenakan harga yang tidak berpatutan atau terlalu tinggi, orang ramai tidak akan membeli di kedai itu dan akan memaksa peniaga menurunkan harganya.

Masalahnya, bagaimana kita boleh mengetahui sama ada harga yang dikenakan itu berpatutan, atau terlebih tinggi? Bagaimana kita mendapatkan kepastian bahawa laporan kita kepada KPDNKK akan diambil tindakan segera?

Saya bernasib baik kerana bidang yang saya ceburi sekarang adalah analisa data menggunakan kaedah-kaedah statistik yang boleh menjawab soalan-soalan ini.

Sejak seminggu yang lalu, kami di INVOKE telah mengambil keputusan untuk mencuba menggunakan kuasa sukarela rakyat Malaysia untuk mengawal harga barang. Usaha ini tidak memerlukan peruntukan, tidak memerlukan kuasa atau jawatan.

Ia hanya memerlukan maklumat dari seberapa ramai pengguna untuk melaporkan peniaga yang masih mengutip GST, atau peniaga yang menaikkan harga barang. Malah, kita boleh kawal harga barang jika seberapa banyak harga barang dipantau kerana pengguna menghantar maklumat harga barang dari semasa ke semasa.

Pengkalan data #hargabarang yang INVOKE usahakan akan dapat menganalisa dari ribuan data harga barang yang dihantar oleh rakyat untuk mengenal pasti barang mana yang harganya naik melambung, apa inflasi sebenar, peniaga mana yang sering dilaporkan menaikkan harga barang (maka penguatkuasa perlu memberi keutamaan mengambil tindakan ke atas peniaga ini) dan lain-lain.

Saya mohon kerjasama seramai mungkin rakyat Malaysia untuk menyertai usaha akar umbi memantau harga barang ini supaya kita boleh ambil tindakan yang sewajarnya sebagai pengguna dan rakyat biasa, sementara menunggu tindakan penguatkuasaan.

Lawati https://hargabarang.invokemalaysia.org atau bit.ly/laporhargabarang untuk menyertai rakyat Malaysia yang secara sukarela memantau harga barang.

Setiap bulan, saya akan membentangkan kedudukan harga barang dan mendedahkan peniaga-peniaga yang paling banyak dilaporkan berhubung aduan harga barang. Senarai ini saya akan hantar kepada KDNKK untuk mereka mengambil tindakan penguatkuasaan secara segera.

Saya tetap yakin dengan kuasa rakyat. Kuasa rakyat juga boleh kita gembleng untuk memantau dan mengawal harga barang.

Sebarkan kepada seramai mungkin, kami sedang membangunkan sistem pemantauan itu agar dapat memberi mata kepada setiap laporan harga barang selepas ini.

Akhir sekali, ucapan selamat hari raya Aidilfitri dari kami di INVOKE Malaysia.

Rafizi Ramli
12 Jun 2018

2 thoughts on “Harga Barang: Naik Atau Turun Selepas GST Dimansuh?”

  1. Keep up with the good work RR. I hope to see you in the cabinet line up or @least appointed personnel in PM’s dept to oversee wht you are good at. But to no avail todate. Don’t worry. Public had acknowledged yr previous contributions but short of acknowledgement until you are given certain tasks. Till then, we are behind you.

  2. Saudara Rafizi,
    Saya setuju dengan kaedah mengumpul data harga barang.

    Tetapi systemnya rumit sangat. Kena isi banyak detail, not worth it ,people in malaysia are to lazy to submit.

    Cadangan saya adalah membuat satu app dgn connect acct by google atau facebook acct.

    Konsep asasnya..
    Pengguna yang merasakan sesuatu harga barang mahal atau murah, hanya perlu snap gambar dan submit ke dalam app, sebagai rekod invoke.

    Dengan collect simple data(nilai harga,lokasi-by googlemaps) + gambar yang invoke terima, seterusnya boleh menggenal pasti apakah benar harga sesuatu barang meningkat atau menurun. Ianya satu proses kawalan bersama rakyat , invoke dan kerajaan.

    tagline nya lebih kurang macam nih.
    “just snap and send to us”

    disamping itu. app tersebut boleh report kembali kepada pengguna, yang harga barang tersebut adalah dalam lingkungan harga pasaran atau tidak. ( so mcm mana invoke nak tahu apakah nilai harga pasaran sesuatu produk, siapa yg bakal semak harga tersebut untuk report kpd pengguna ? ) Guna konsep like fb. Dimana pengguna lain akan klik like jika ianya berbaloi untuk dibeli and then ada like by invoke moderator (sukarelawan) dgn konsep “approve berbaloi by Invoke”

    konsep give n take ini, bakal membawa kpd lambakkan gambar yg diupload pengguna. Dari situ, pihak invoke bakal menjadi one stop centre menyemak harga barang. Linkkan dengan share kpd Fb untuk menarik crowd.

    to win people hard is not easy, jika app itu go beyond expected.

    app tersebut bakal menghantui iklan2 dari syarikat gergasi yang ingin mempromosi produk. Invoke boleh buat profit selepas nih, tapi pastikan iklan gambar produk yang betul2 berbaloi sahaja.

    But our priority, we should focus on how to help and maintance a fair price for a product.

    Terima Kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.